Rabu, 14 November 2012

Kosmo Online - Horizon


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Horizon


Mencari ‘si manis’ dalam pasir

Posted:

Mencari 'si manis' dalam pasir

Mencari 'si manis' dalam pasir

Oleh NASRI JAMALUDIN
nasri.jamaludin@kosmo.com.my

SEJAK pukul 10 pagi Ahad lalu, Sharum Nizam Masuran, 39, dan isteri bersama anak perempuan mereka serta seorang anak saudara telah berada di Pantai Remis, Kuala Selangor.

Tujuan mereka bukanlah untuk beristirehat atau menjamu selera di pantai peranginan itu tetapi mempunyai agenda yang lebih besar iaitu mencari remis. Hidupan bercangkerang yang menghuni kawasan tersebut sangat popular dalam kalangan penduduk tempatan kerana isinya yang manis.

Setelah mengenal pasti lokasi yang sesuai, lelaki itu segera ke gigi air sambil membawa sudip kayu dan beg plastik. Tiba di satu tempat, dia duduk untuk menguis-nguis pasir. Apabila terdengar bunyi sudip kayu bergeser dan berlaga dengan objek keras, lelaki itu tersenyum kerana itulah yang dicarinya.

"Apabila remis yang hidup terkena sudip kayu, bunyinya padat. Mata kena tajam dan tangan perlu pantas mengutipnya, jika tidak ia hilang dihanyutkan ombak laut.

"Jika bernasib baik, dalam tempoh empat jam kami mampu mendapatkan sehingga 7 kilogram remis," katanya yang biasa melakukan aktiviti tersebut pada hujung minggu.

Remis yang saiznya sebesar duit 20 sen boleh direbus, dimasak sambal atau remis yang direbus dikopek isinya untuk dicampur ke dalam nasi goreng. Rasanya sangat enak.

Pelbagai ragam


BERCANDA di bawah pokok memberikan satu kepuasan kepada pengunjung.


Itulah antara gelagat orang ramai di pantai peranginan itu yang boleh disaksikan pengunjung terutama pada hujung minggu.

Dengan masa perjalanan kira-kira satu setengah jam dari ibu negara, tidak hairanlah pantai itu tidak pernah sepi daripada tumpuan pengunjung.

Sebaik sahaja tiba di destinasi itu terutamanya pada hujung minggu, pengunjung boleh menyaksikan ramai peniaga di sepanjang pantai itu. Selain menjual hasil laut seperti kerang, laladan ikan segar, pengunjung boleh membeli pakaian, buah-buahan dan layang-layang.

Di pintu masuk medan selera, kepelbagaian warna, saiz dan jenis layang-layang seakan-akan mengalu-alukan kedatangan pengunjung.

Jika tiupan angin baik, permainan layang-layang boleh memberikan satu kenangan unik di kawasan ini.

"Ada pelanggan sanggup membeli layang-layang berharga RM50, namun peliknya apabila layang-layang terbang tinggi, talinya dipotong lalu ia jatuh ke dalam laut.

"Apabila ditanya, jawab pelanggan itu, jawabnya 'hanya untuk suka-suka'," kata Yusof Budi, 53, yang sudah 13 tahun berjualan di situ.

Pantai berlumpur

Pantai peranginan yang banyak ditaburi kulit kerang itu tidak begitu sesuai untuk aktiviti mandi-manda kerana pantainya berlumpur. Bagaimanapun, bagi sesetengah pengunjung, ia bukanlah satu alasan untuk mereka melepaskan 'gian' mandi laut.

Meskipun airnya tidak sejernih pantai peranginan lain, faktor ombak yang sederhana dan kawasan pantai yang landai membuatkan pengunjung berasa selamat untuk membasahkan diri.

Alangkah meriahnya apabila suara jeritan dan gurauan mereka memecahkan suasana tepi pantai. Bagi yang malu-malu, mereka sekadar bermain ombak di gigi air.


TANGAN dan mata perlu cekap mengutip remis. Jika tidak, ia segera hilang di dalam pasir ditutup arus air.


Apabila sudah penat dan perut kelaparan, anak-anak berlari-lari mendapatkan ibu bapa masing-masing yang menunggu di bawah redup pokok. Dalam suasana riang, mereka menikmati makanan dan minuman yang siap dibawa dalam gaya perkelahan.

Memasang khemah

Lain orang, lain minatnya. Di celah-celah orang yang bermandi-manda, boleh disaksikan segelintir pengunjung sibuk menjaring dan memancing ikan.

"Hampir setiap minggu, saya membawa isteri dan anak-anak berkelah dan memancing di sini. Ada kalanya, kami memasang khemah dan bermalam di tepi pantai," kata Asmui Othman, 45, dari Kota Damansara.

Aktiviti memancing dan berkhemah merupakan salah satu cara bagi keluarga berkenaan mengeratkan hubungan kekeluargaan.

Asmui yang merupakan seorang pemandu lori turut menceritakan suasana malam Pantai Remis yang mempunyai keindahan tersendiri. Selain menikmati bunyi ombak, kegelapan malam bertemankan cahaya lampu suluh mampu menenangkan fikiran.

"Untuk hiburan, kami boleh mendengar bunyi nyanyian karaoke dari kawasan resort berhampiran. Bunyinya yang kuat memecah keheningan malam di sini," ujar bapa kepada lima orang anak itu.

Makanan laut

Medan selera dan gerai-gerai di sepanjang pantai yang dibuka setiap hari mempunyai tarikan istimewa. Di medan selera itu, makanan laut merupakan menu wajib yang tidak boleh dilepaskan oleh pengunjung.

Kerang rebus atau bakar antara menu utama makanan laut di kebanyakan gerai. Dijual pada harga RM7 sepinggan, ia menjadi penambah kelazatan selain pesanan menu-menu lain.


SAMBIL bercuti, pengunjung berpeluang membeli hasil laut di pasar kecil Pantai Remis.


Tidak cukup dengan kerang, pelanggan boleh menempah ikan bakar, nasi dan mi goreng yang boleh dinikmati pada harga bermula serendah RM4 sehidang.

"Kerang dan ikan bakar menjadi pilihan utama pelanggan saya. Pelbagai jenis ikan seperti gerut, siakap, bawal dan cencaru boleh didapati dengan harga antara RM5 hingga RM35 setiap seekor," kata Rosnani Atan, 43, peniaga di medan selera berkenaan.

Sabtu, Ahad dan cuti umum, Rosnani yang dibantu suami dan anak-anak tidak menang tangan melayan para pelanggannya.

Hasil laut

Setelah puas berjalan-jalan atau bermain seharian bersama anak-anak di tepi pantai, tentulah terasa penat. Anak yang riang pun mulai merengek keletihan.

Sebelum pulang, apa kata anda menjenguk sebentar di gerai jualan hasil laut yang terletak di belakang medan selera.

Pelbagai hasil laut yang segar antaranya kerang, lala dan lokan boleh didapati dengan harga berpatutan. Jadi, apabila pulang nanti tidak perlu lagi bersusah-payah ke pasar untuk membeli barangan basah.

"Kami mendapat bekalan hasil laut daripada nelayan tempatan, namun kami hanya membuka gerai pada hujung minggu, cuti umum atau cuti persekolahan sahaja," kata seorang peniaga, Wati Ismail, 44.

Bak bulan madu perkahwinan

Posted:

Bak bulan madu perkahwinan

Bak bulan madu perkahwinan


KUIL di Tanah Lot ini boleh dikunjungi dengan hanya berjalan kaki pada waktu air surut.


PERCUTIAN penulis ke Bali, Indonesia pada 6 hingga 9 September lalu bersama suami tercinta, Eric Yap Chee Meng, 30, seumpama menikmati bulan madu perkahwinan.

Sebelum itu, berbulan-bulan kami merancang percutian tersebut dan pada hari berkenaan perasaan teruja untuk menjejak bumi Bali sememangnya tidak dapat dinafikan.

Pesawat kami mendarat di Lapangan Antarabangsa Bali Ngurah Rai Denpasar kira-kira pukul 3.40 petang. Kemudian, kami dibawa ke Hotel Berry, iaitu hotel tiga bintang moden dan terletak di Kuta.

Di hotel, kami sangat berpuas hati dengan bilik yang diberikan. Ini kerana, semasa kami membuat tempahan melalui laman web groupon.com, ia adalah bilik standard. Namun, ia telah ditukarkan dengan bilik yang lebih cantik, besar dan pemandangan menghadap kolam renang.

Rupa-rupanya, bilik kami telah dinaik taraf ke Bilik Suite (Berry Suite Room), iaitu kategori bilik yang paling tinggi di hotel tersebut.

Setelah berehat sebentar di bilik, kami telah menghubungi pemandu (yang dikenali melalui seorang kawan di Malaysia) iaitu Miko Saputra untuk berbincang mengenai program selama dua hari di Bali.

Miko telah mencadangkan banyak tempat dengan kadar upah yang dikenakannya adalah sebanyak RM100 (Rupiah 350,000) sehari. Perjalanan kami adalah dengan menaiki kenderaan Toyota Innova.

Watak bertopeng

Keesokan harinya, selepas sarapan pagi di hotel, Miko telah menyambut kami kira-kira pukul 8.30 pagi. Lokasi pertama adalah menyaksikan persembahan Tarian Barong. Dalam perjalanan itu, Miko banyak bercerita tentang Bali termasuk sejarahnya.

Tiket untuk menyaksikan persembahan tersebut adalah sebanyak RM30 dan ketika sampai kami dapati penonton telah memenuhi dewan tersebut.

Setiap watak memakai topeng dan kostum tertentu. Persembahan tersebut amat menarik dan watak-watak di atas pentas menggambarkan satu sejarah. Persembahan yang mencuit hati kami itu memakan masa selama sejam.

Selepas puas melihat persembahan itu, kami mengambil keputusan untuk singgah di Rumah Batik. Kesempatan itu, saya gunakan untuk membeli beg dan pakaian yang menggunakan fabrik tradisi kebanggaan negara itu.

Kami juga sempat mendekati pekerja yang juga penduduk tempatan di kedai tersebut memproses batik termasuk mencelup warna dan mencanting.

Miko kemudiannya membawa kami ke tempat pembuatan produk berasaskan perak. Di situ kami melihat pekerja-pekerja sedang membuat anting-anting dan rantai perak.

Walaupun tidak membuat sebarang pembelian, kami terpesona dengan layanan mesra pekerja di kedai tersebut hingga sanggup melayan kami sehingga ke pintu kereta.

Lokasi seterusnya ialah Galeri Seni. Di situ, kami disambut pameran lukisan yang sangat cantik dan mempunyai makna-makna tertentu. Ada juga lukisan yang menggambarkan suasana di Bali seperti pemandangan di sawah padi.

Gunung berapi


SAMBIL makan,penulis melihat keindahan pemandangan Gunung Batur.


Setelah puas melihat hasil seni tempatan, kami bergerak pula ke Gunung Batur, Kintamani. Perjalanan tersebut memakan masa selama sejam.

Apabila sampai di kawasan gunung, kami amat terpesona dengan panorama yang sungguh cantik. Dari jauh, kami dapat melihat gunung berapi yang pernah meletus sebelum ini.

Dengan bayaran RM30 seorang, kami dibawa menikmati hidangan makanan tengah hari secara bufet di kawasan tersebut.

Sambil makan, kami tidak melepaskan peluang untuk mengagumi pemandangan Gunung Batur, iaitu gunung berapi yang masih aktif serta tasik yang terbentuk di sekitar gunung tersebut.

Kopi luwak

Dalam perjalanan balik ke hotel, kami singgah di kedai menjual kopi. Kami juga dapat melihat cara-cara mereka menghasilkan kopi.

Kami juga telah mencuba kopi yang sangat istimewa iaitu kopi luwak yang berharga RM16 secawan. Ia diberikan secara pakej iaitu lengkap dengan sembilan lagi jenis kopi atau teh.

Menikmati hidangan kopi yang lazat membuatkan tenaga kami kembali pulih sekali gus bersemangat untuk meneruskan perjalanan bagi melawat kuil.

Oleh kerana, memakai seluar pendek, penulis perlu memakai kain yang dibekalkan sebelum boleh memasuki kawasan suci itu.

Kuil tersebut sangat cantik dan penuh dengan sejarah. Ada juga pengunjung yang bersembahyang di dalam kuil sambil berdoa selain turun ke kolam untuk mandi.

Kolam tersebut dikatakan amat suci di kalangan penganut Hindu dan sangat sesuai untuk orang yang ingin meminta hajat atau memohon doa.

Urut badan

Sepanjang hari berjalan, Miko mencadangkan kami supaya mengunjungi spa.

Oleh itu, kami dibawa ke Abian Spa yang terletak di kota Bali. Dengan harga lebih kurang RM160 seorang selama tiga jam, kami diurut seluruh badan, mandi bunga dan lain-lain. Bukan itu sahaja, kami turut dihidangkan dengan makan malam berupa mi dan nasi goreng.

Keseronokan tersebut berakhir pada pukul 9.30 malam dan kerana terlalu penat, kami memutuskan untuk balik ke hotel.

Hari kedua di Bali, perjalanan kami bermula seawal 8.30 pagi dengan pelan utama untuk ke Tanah Lot.

Di lokasi wajib pergi itu bukan sahaja terdapat kuil yang terletak di tengah laut malah terdapat tempat yang menarik untuk membeli-belah.

Semasa air surut, kuil itu boleh dikunjungi hanya denganberjalan kaki.

Saya dan suami telah membeli banyak cenderamata untuk keluarga dan kawan-kawan seperti baju, kemeja T, dres, rantai kunci dan banyak lagi aksesori lain. Semuanya dijual pada harga yang murah!

Sukar dilupakan

Kami juga telah mengunjungi Pusat Sukan Air Nusa Dua. Saya sememangnya takut dengan air yang dalam tetapi setelah dipujuk suami, akhirnya saya bersetuju untuk turut serta. Aktiviti yang kami pilih adalah menyelam skuba, menaiki rakit 'ikan terbang' dan jet ski.

Menyelam merupakan pengalaman yang sukar dilupakan. Saya sangat takut untuk menyelam kerana bimbang tidak boleh bernafas ketika sudah berada di dalam air.


MENYAKSIKAN persembahan penari Kecak di Uluwatu sewaktu matahari terbenam begitu mengujakan.


Setelah diajar jurulatih, akhirnya saya menjadi tenang dan berani menyelam di dalam air bersama kelengkapan yang lengkap.

Seperkara yang lucu terjadi. Suami saya yang pada awalnya sangat teruja untuk mencuba aktiviti itu pula gagal bernafas dalam air! Dia kemudiannya segera naik ke atas air, manakala saya pula seronok memberi ikan makan roti.

Bukan itu sahaja, saya sempat membuat rakaman video di dalam laut dan aktiviti itu paling seronok saya lakukan sepanjang dua hari di Bali.

Selepas itu, kami melawat Pantai Kuta dan di situ kami hanya mengambil gambar. Pantai Kuta popular dengan aktiviti luncur ombak.

Puas mengambil gambar dan menikmati suasana pantai, kami kemudiannya menonton persembahan Tarian Kecak di Uluwatu. Kami dikenakan bayaran sebanyak RM25 seorang.

Setiap pengunjung yang melawat tempat itu akan diberi sehelai tali yang harus diikat di pinggang untuk menghormati kesucian tempat tersebut.

Tarian kecak itu bermula semasa matahari mulai terbenam. Tarian tersebut penuh bersejarah tetapi pada pandangan saya, watak-watak dan kostum yang dipakai agak mengerikan.

Malam tersebut merupakan malam terakhir kami di Bali dan kami memutuskan untuk menikmati makan malam di Restoran Indonesia..

Keesokan harinya, tiba masa untuk kami berangkat pulang ke ke tanah air. Percutian kami ke Bali memang menyeronokkan dan penuh warna-warni.

Inap ideal saat kenali Melaka

Posted:

Inap ideal saat kenali Melaka

Inap ideal saat kenali Melaka


KESELESAAN bilik tidur membuatkan pengunjung seolah-olah berada di rumah sendiri.


SETIAP kali hujung minggu, cuti umum atau cuti sekolah, Melaka sering menjadi tumpuan pengunjung dari dalam dan luar negara.

Seolah-olah sudah menjadi kelaziman, pengunjung yang datang ke negeri itu pasti singgah ke sekitar kawasan Bandar Hilir yang terkenal dengan pelbagai tarikan pelancongan.

Di samping tinggalan sejarah silamnya seperti Kota A' Famosa, makam Hang Jebat, bangunan Stadhuys dan Bukit St. Paul, ia juga terkenal dengan beberapa tarikan baharu seperti Jongker Walk, Dataran Pahlawan, Menara Taming Sari serta River Cruise.

Bagi yang tidak sempat meneroka kepelbagaian produk pelancongan dalam tempoh lawatan sehari, usah risau kerana terdapat banyak hotel bertaraf tiga hingga lima bintang yang boleh dijadikan pilihan.

Wajah baharu

Salah satunya ialah Hotel Seri Costa yang terletak di Plaza Mahkota di sini.

Mula beroperasi kira-kira 12 tahun lalu, hotel itu kini berwajah baharu selepas diambil alih oleh Felda Travel Sdn. Bhd. awal tahun ini.

Sebaik sahaja kaki melangkah masuk ke dalam lobi hotel berkonsep kontemporari itu, pengunjung pasti terpesona dengan penampilan ringkas yang ditunjukkan.

Kehadiran kakitangan yang sentiasa peramah dan murah dengan murah dengan senyuman membuatkan sesiapa sahaja tidak sabar untuk menginap.

Bertaraf tiga bintang, ia menawarkan 147 unit bilik secara keseluruhan. Terdapat beberapa jenis bilik yang ditawarkan iaitu Standard, Superior, Deluxe, Executive, Costa, Family dan Executive Suite.

Bagi yang datang sendirian atau berpasangan, bilik Standard, Superior atau Deluxe mungkin sudah memadai. Namun, mereka yang mempunyai ahli keluarga yang ramai juga masih boleh berasa selesa kerana terdapat pilihan bilik-bilik Family yang memuatkan tiga hingga enam orang.

Setiap bilik dilengkapi kemudahan seperti pendingin hawa, televisyen satelit, telefon, peti ais mini, kemudahan membuat kopi dan teh serta pengering rambut.

Suite berjakuzi


JAKUZI peribadi antara ciri eksklusif yang ditawarkan di Executive Suite.


Jika mahu layanan bak seorang raja, bolehlah menginap di salah sebuah daripada dua Executive Suite yang disediakan. Harganya bermula dari RM662 (hari biasa) hingga RM692 (hujung minggu) semalam.

Sesuai dengan harganya, tetamu dipersembahkan dengan rekaan dan dekorasi yang cukup mempesona.

Ruang bilik yang luas memberi lebih keselesaan kepada tetamu yang menghuni. Lebih menarik, ia turut mempunyai dilengkapi jakuzi peribadi dan sebuah televisyen LCD bersaiz 42 inci.

Bagi pengunjung yang ingin menjamu selera, terdapat The Straits Cafe di tingkat bawah hotel ini yang boleh mengisi kira-kira 150 orang pada satu-satu masa.

Dibuka dari 7 pagi hingga 11 malam, ia menawarkan pelbagai pilihan hidangan sama ada ala carte dan bufet bercirikan cita rasa antarabangsa dan Asia.

Selain untuk menginap, Hotel Seri Costa juga sesuai untuk penganjuran acara seminar, majlis korporat dan mesyuarat.

Dewan utamanya, Hang Tuah, mampu memuatkan kira-kira 180 hingga 220 orang dan lengkap dengan kemudahan audio dan visual. Dewan itu sering menjadi pilihan acara keramaian seperti makan malam atau majlis perkahwinan berskala sederhana.

Sementara itu, untuk acara seminar dan mesyuarat pula, terdapat tiga bilik disediakan iaitu Parameswara 1, Parameswara 2 dan Kasturi yang mampu memuatkan 25 hingga 120 orang.

Bagi pengunjung yang ingin memanjakan diri, boleh mendapatkan rawatan kecantikan dan kesihatan di Costa Spa yang disediakan di hotel ini.

Berkonsepkan spa Bali, temu janji rawatan di situ pasti berbaloi apatah lagi selepas seharian berjalan dan melakukan aktiviti di luar hotel.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved