Ahad, 18 November 2012

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Izzue malu minta duit ibu

Posted:

Izzue malu minta duit ibu

Izzue malu minta duit ibu

ANAK muda ini sama juga dengan anak-anak muda yang lain. Dia memegang cita-cita dan impian untuk melakukan perubahan dan berjaya dengan transformasi yang diingini.

Izzue Islam atau nama berdaftarnya Muhammad Izzul Islam Mazlan ini dahulunya seorang pemuda yang penuh dengan angan-angan. Kotak impiannya berisi visual dia menjadi seorang berjaya dan bekerjaya.

Namun dia bukan hanya sekadar duduk dan menjadi mat jenin. Lebih daripada itu dia membawa tulang empat keratnya ke kota raya bagi merealisasikan kehendak dan kemampuan dirinya.

Belajar erti hidup

"Saya datang sebatang kara ke Kuala Lumpur untuk mencari sebuah kehidupan baharu," ujar Izzue dan terus penulis terbayangkan lagu Malek Ridzwan dengan bait aku datang dari desa dengan sebatang kara.

Bukan dicabar sesiapa untuk mengubah nasib diri, bukan juga atas ajakan teman-teman dia ke kota. Cita-citanya satu digenggam erat untuk mengubah nasib dirinya.

"Sampai di Kuala Lumpur saya cuba pelbagai pekerjaan. Salah satunya saya cuba uji bakat dan berjaya jadi pelakon tambahan dalam drama Kampung Jaguh terbitan produksi Double Vision Sdn. Bhd.," buka simpulan cerita awal hidupnya bergelar selebriti.

"Jujurnya saya memang mengimpikan kehidupan yang senang, stabil, kukuh. Mimpi mahu beli aset dan tak harapkan orang lain," ujarnya yang mencabar diri sendiri untuk memulakan sebuah hijrah dalam hidupnya.

"Saya mahu bantu keluarga. Saya tidak boleh hanya bergantung kepada famili. Saya juga jadi malu minta duit daripada ibu. Jadi saya mulakan gerakan perubahan diri saya dengan ke Kuala Lumpur," tambahnya yang mula bergelar pelakon sejak tahun lalu.

Kini namanya boleh dilihat di poster-poster filem malah sudah berderet di kredit barisan pelakon telefilem dan drama. Nama Izzue Islam semakin meluas pengaruhnya. Dia melakukan sedikit demi sedikit, dengan kudrat dan kemampuannya.

Penampilan sebagai Budi dalam 29 Februari dan kemunculan dalam filem Hantu Kapcai baru-baru ini mendapat respons positif. Kepelbagaian watak sudah semakin didalami Izzue dengan jalur hidup yang dilaluinya.

"Hidup dahulu dan kini banyak bezanya. Sekarang tidaklah sesenang yang khalayak nampak tetapi mengalami perubahan yang baik daripada dahulu. Saya ubah hidup saya seorang diri di Kuala Lumpur dan saya mahu terus memberikan yang terbaik," ikrarnya apabila sudah meletakkan kedua belah kakinya dalam padang seni.

"Emak juga terima apa sahaja pekerjaan saya sekarang. Dahulu dia risaukan saya dengan kerja pelakon ekstra dengan gaji RM50 sehari atau paling tinggi RM100. Dia tanya adakah saya dapat bertahan dengan gaji sebegitu? Tapi mak tahu saya ada bakat. Pesannya, kalau mahu jadi artis, jadi betul-betul dan itu yang saya pegang," tambah Izzue yang mengaku suka kerja sekerat jalan sebelum bergelar artis.

"Dahulu memang suka kerja separuh jalan sebab cepat rasa tak selesa," ketawanya.

Abang rampas kekasih

"Alhamdulillah saya mendapat pujian hasil lakonan saya. Kata peminat, lakonan saya berbeza dalam setiap filem pembabitan saya. Saya bersyukur dengan pujian tetapi saya belum mencapai kepuasan. Mungkin tidak akan pernah puas.

"Untuk diri saya, saya mahu gali lagi peluang dan ilmu. Kalau sekarang 50 peratus penonton suka akan lakonan saya, saya mahu naik ke 90 peratus. Biar dengan cara perlahan-lahan," nekadnya dalam membawa predikat artis dalam naik turun nafasnya kini.

Terbaharu dalam kesibukan bersama Forteen bersiap sedia menghadap Anugerah Industri Muzik ke-19 sebagai pencalonan dan pembuat persembahan, Izzue membahagikan waktu berada di lokasi drama bersiri bertajuk Duri.

"Duri ialah sebuah drama adaptasi daripada novel tulisan Fauziah Ashari. Saya membawakan watak Hazim yang terlibat dengan konflik cinta. Orang yang dicintai akhirnya menjadi kakak ipar sendiri," ujarnya tentang drama 15 episod yang bakal bersiaran di Astro Prima kelak.

Dia mengaku teruja dalam masa yang sama merasakan watak Hazim adalah satu watak yang cukup berat untuknya. Perlu dalam keberadaan emosi membuatkan dia berasa Hazim harus dilakari sebaik mungkin.

"Saya baca novel Duri dua kali. Saya sebenarnya bukan pembaca novel tetapi untuk memahami jalan cerita, saya rasa ini persediaan yang perlu saya lakukan. Saya mahu khalayak rasa apa yang Hazim rasakan seperti mana yang mereka visualkan sewaktu membaca novel Duri," kata Izzue yang mahu mendekati Hazim sedekat mungkin.


KEMBARA Izzue Islam ke Kuala Lumpur adalah dengan sebuah nekad.


Untuk tahun hadapan juga, jadual filem lakonannya sudah berbaris panjang. Bermula dengan filem Ular arahan Yusry Abdul Halim, Izzue juga sudah menjalankan tugasannya sebagai aktor melalui filem Hantu Tok Mudim, Mat Tudung dan Chikaro serta Kami Histeria.

Bersama grup harmoninya yang turut digawangi Ariz, One dan Ameer, Forteen sedang dalam perancangan menyiapkan single terbaharu yang bakal keluar pada tahun hadapan.

Sebuah bukti bahawa mereka ini bergerak serius sebagai sebuah kumpulan vokal ialah tersenarai dalam nominasi AIM dalam kategori Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik Dalam Lagu.

Cari wanita faham karier

Melihatkan jejaka yang lahir pada 2 Jun 1990 ini bergaya di depan lensa, tampak dia semakin selesa dan bijak memilih busana.

Untuk sesi fotografi kali ini pun dia bergaya santai. Berbaju corak flora bertanah putih yang digayakan dengan seluar senteng dan sepatu loafer. Menyangkut kaca mata hitam di celah butang, tampak santai dan selesa.

"Saya sebenarnya tidak pandai berfesyen. Tetapi saya gemar menonton filem dan melihat fesyen yang dikenakan. Saya juga belek majalah untuk mengetahui fesyen terkini," jujur Izzue memberi komen tentang imejnya.

Akhir tanya, dia disuakan soalan sesuai untuk jiwa muda. Tentang soal teman hidup dan wanita yang sesuai kehendaknya. Pasti ramai yang bertanya sama ada hati Izzue bukan hanya bercorak bunga di baju tetapi juga hatinya.

Ketawa dia menjawab: "Saya perlukan seseorang yang memahami karier saya. Yang faham tentang jadual kerja saya yang tak menentu. Adakala juga saya perlu ke luar kota dan lama di sana demi tuntutan kerja. Wanita itu harus faham itu."

Apabila ditanyakan adakah sudah ada calon dalam hidupnya, dia menjawab ringkas dalam tidak menjawab. "Insya-Allah, Insya-Allah," itu sahaja diucapkan menutup cerita.

Secebis biografi Tun Siti Hasmah

Posted:

Secebis biografi Tun Siti Hasmah

Secebis biografi Tun Siti Hasmah


EPISOD penting pengunduran Tun Dr. Mahathir dari kerusi penting UMNO menjadi klimaks cerita.


BERMAIN watak negarawan yang masih hidup di atas pentas teater mengundang banyak risiko. Di sebalik hakikat Teater Tun Siti Hasmah yang kini berbaki satu pementasan sebelum melabuhkan tirai, kesungguhan produksi bernilai hampir RM2 juta itu sudah dipamerkan kepada khalayak.

Teater itu berisi babak lakonan berselang tarian dan nyanyian yang dikutip daripada keratan akhbar dan video arkib. Namun perjalanan seorang negarawan itu masih gagal diceritakan dalam tempoh hanya dua jam.

Kehidupan negarawan itu diintip hidupnya dari awal usia dewasa, bermain cinta, menjadi doktor wanita Melayu kedua, berkahwin kemudian bertugas di luar kota dan seterusnya mula berdepan sang suami Tun Dr. Mahathir Mohamad dari awal bergelumang politik hingga zaman bersara yang tidak henti berbakti untuk rakyat. Semua itu dipersembahkan dalam plot yang mengikut putaran jam.

Putaran jam di tangan juga kerap dikerling sebagai riak kepada penantian untuk sampai titik pengakhiran. Jujurnya, reaksi sebegitu tidak berlaku dalam karya Badai Semalam, arahan Erma Fatima di pentas yang sama sebelum ini.

Tidak mahu mempertikaikan isi plot yang ditampilkan atas rasional kehidupan seorang negarawan, bahkan isteri kepada bekas perdana menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang sangat disanjungi dan disayangi negara namun secara teknikalnya, belanja lebih RM2 juta untuk wajah teater yang seperti itu rasanya terlalu mahal.

Menonton teater Tun Siti Hasmah, kemegahan set, kostum, prop, efek lampu atau montaj yang sebagai nilai tambah kepada mutu sebuah teater biografi bertaraf mega seperti tidak begitu ketara. Ia banyak diselamatkan oleh keyakinan daripada jiwa dan rasa daripada mata serta kejelasan dari telinga terhadap penghayatan dan kerja kuat pelakon-pelakon terbabit. Tepukan gemuruh untuk Dr. Siti Hasmah yang ditangani penuh keibuan, kesantunan dan kelembutan seorang wanita srikandi negara oleh Eja.

Tidak lengkap Siti Hasmah tanpa kekasih yang diturunkan dari langit untuknya, pemimpin ulung negara Dr. Mahathir yang dihadam secukup rasa oleh Esma Daniel.

Tanpa meninggalkan sumbangan Lisa Surihani sebagai Siti Hasmah pada usia muda dan Nazim Othman selaku Dr. Mahathir muda, persembahan Lisa dan Nazim ibarat zaman manis kepada kelat-maung dua tokoh itu.

Benarlah mencari kesilapan itu lebih mudah daripada mendalami kekuatan sesebuah naskhah. Salah percaturan atau sudah tidak menang tangan membuat pemilihan pelakon membuatkan watak ibu kepada Siti Hasmah, lakonan salah seorang artis Istana Budaya menjadi watak itu sekadar ada.

Teater Tun Siti Hasmah - Dari Hati Seorang Perempuan; dari segi fokusnya, ia masih mencapai sasaran penulis skrip. Sekadar memasukkan babak yang dikira penting sehingga kekuatan hatinya teruji; pertama ketika suaminya dituduh miliki skandal dengan wanita lain dan kedua ketika berdepan risiko hidup dan mati untuk pembedahan jantung yang dilakukan di Hospital Kuala Lumpur, tidak terkecuali pengalaman bertugas di ceruk kampung, sebenarnya banyak lagi kisah hidup Siti Hasmah tidak diberi perhatian. Tidak harus dilupakan, episod klimaks pengunduran Dr. Mahathir sebagai presiden UMNO dan pucuk pimpinan negara juga episod penting untuk membuka rahsia antara Siti Hasmah dan Dr. Mahathir selama ini. Sesungguhnya, apa yang dipaparkan hanyalah secebis daripada garis hidup Siti Hasmah yang tidak terbayang oleh kita semua.

Monolog akhir yang diletuskan daripada jiwa teguh rasa oleh Eja, 'bermadu dengan wanita sakitnya sampai ke lulur hati, tapi saya bermadu dengan rakyat, ada sakit, ada nikmat' di hujung cerita, bagaimanapun sangat merentap jiwa. Ia jelas membayangkan reda dan ikhlasnya wanita bernama Siti Hasmah Mohamad Ali itu. Dia menemani dan menjadi pendamping yang setia di sisi sang suaminya yang dimiliki oleh rakyat tanpa sekatan usia.

Terima kasih naskhah teater Tun Siti Hasmah atas sebuah kisah wanita ikonik, isteri, ibu dan srikandi negara yang tumbuh berwarna depan mata!

Pierre sudah lima bulan masuk tabligh

Posted:

Pierre sudah lima bulan masuk tabligh

Pierre sudah lima bulan masuk tabligh


GAMBAR Pierre siap berkopiah putih yang diambil dari Intagramnya.


UCAPAN Pierre Andre saat menerima trofi Anugerah Yasmin Ahmad pada Anugerah Skrin 2012 menggegarkan banyak jiwa. Bermacam persoalan dan andaian juga dibuat. Paling utama, kecenderungan anak sulung pelakon handalan Khatijah Tan itu terhadap ilmu agama terbuka jelas.

"Ya, benar sekarang saya sedang dalam penghijrahan untuk lebih mengenal agama dan Allah dan Rasul tetapi hijrah saya ini tidak akan berlaku secara drastik, saya takut fitnah," katanya membuka cerita tentang kehidupan baharu yang sedang dilaluinya ketika ini.

Jumaat lalu, Pierre membuka mulut di pentas yang disaksikan lebih empat juta penonton dengan kalimah 'Bismillah.'

"Anugerah paling hebat ialah kalimah 'Lailahaillallah,' jagalah kalimah ini dalam diri kita, love Allah dan love Muhammad," ucap Pierre dalam majlis itu.

Menghuraikan lagi mesej sebenar yang ingin disampaikannya, kata Pierre:

"Itu juga satu dakwah daripada saya. Saya memang minta doa kepada Allah agar jalan dakwah saya dibuka, dan Alhamdulillah saya diberikan kesempatan. Selama 10 tahun dalam bidang seni, itulah kali pertama saya diberi anugerah dan itulah siaran langsung pertama yang saya dapat untuk menyuarakan sedikit dakwah saya," katanya sambil meneruskan dengan satu pengakuan.

Demi untuk tidak mengelirukan khalayak terhadap perubahan yang berlaku ke atas dirinya, Pierre mengakui bahawa sudah lima bulan dia bergerak aktif dengan dengan mengikuti kumpulan tabligh.

"Saya sudah jadi pengarah filem sejak umur 21 tahun. Selama ini saya fikir itulah matlamat hidup saya. Akhirnya saya dapati hidup saya 'kosong.' Saya rasa dibohongi oleh dunia dan saya mula mencari.

"Seorang sahabat ajak saya menyertai tabligh. Pertama kali mencuba, saya terus jatuh cinta. Setakat ini, sudah empat kali saya keluar mengikuti aktiviti jemaah tabligh. Biasanya kami keluar selama tiga hari dan bermalam di masjid dan surau yang kami singgah. Alhamdulillah, Allah telah membuka pintu hati saya," katanya menyertai jemaah tabligh di Taman Permata, Ulu Kelang.

Berikut sedikit perbualan Sensasi Bintang bersama Pierre.

Mendalami agama itu banyak jalannya, kenapa pilih tabligh?

Orang selalu salah faham terhadap tabligh, tak kurang juga yang menuding jari masuk tabligh sebagai ikut ajaran sesat. Kita kena ingat, tabligh itu sifat Rasulullah. Rasulullah berdakwah selama bertahun-tahun sebelum turunnya hukum bersolat, puasa dan menunaikan zakat.

Bagaimana pula dengan kerja-kerja seni anda. Dunia hiburan sendiri dilihat lebih banyak mendedahkan seseorang itu ke jalan negatif?

Mulanya saya fikir begitu, tapi sahabat saya larang. Saya masih boleh berdakwah dalam bidang filem tapi kena lebih berhati-hati dalam bab agama. Paling utama kena masukkan unsur dakwah. Sekarang saya tiada karya terbaharu selain filem-filem yang telah dibikin sebelum saya berhijrah, jadi, jangan nilai siapa saya ketika dahulu, tapi nilai siapa saya ketika ini.

Mungkin ada perkembangan terbaharu yang lain?

Sekarang saya terlibat dengan projek filem pendek bersama kawan-kawan, selebihnya (saya) buat kerja-kerja penulisan. Saya mahu siapkan novel pertama, mungkin judulnya berbunyi Perjalanan Ke Darul Salam. Ia tentang penghijrahan seorang lelaki yang selama ini hidupnya kosong.

Adakah itu kisah sebenar yang berlaku kepada diri sendiri?

Tidak juga. Itu pemerhatian yang saya lihat selama ini.

Bagaimana amalan agama anda sebelum ini?

Selama ini pun saya percaya kepada Allah, tapi tahap keyakinan itu tidak seperti sekarang. Dahulu, saya Islam kerana dilahirkan sebagai orang Islam, sekarang saya Islam kerana kefahaman dan keyakinan saya terhadap agama Allah ini.

Ada sebarang sasaran?

Saya berminat mahu jadi pendakwah. Sebenarnya saya ada azam. Jika selama ini saya keluar selama beberapa hari sahaja, selepas ini saya mahu keluar rumah selama 40 hari pula. Kalau diizinkan Allah mungkin boleh sampai empat bulan dan kalau ada kekuatan mungkin dipanjangkan lagi selama setahun dan bukan hanya di Malaysia sahaja.

Apa rancangan Pierre dalam tabligh?

Nikah itu sebahagian daripada iman, saya juga mahu ke arah itu. Bagi saya, pengisian tabligh tidak boleh dilihat secara luaran sahaja, lihat juga dalaman. Ibaratnya, kalau hendak tinggalkan keluarga selama empat hari, bekalan yang ditinggalkan juga harus cukup untuk empat hari.

Apa kata kedua ibu bapa anda setakat ini?

Mummy (Khatijah Tan) sangat menyokong keputusan saya, ayah juga begitu sebab saya bukan buat perkara tidak baik, sebaliknya saya belajar dan mahu mengenal agama. Sejak sertai tabligh juga rezeki saya bertambah.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved