Isnin, 15 Oktober 2012

Kosmo Online - Varia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


'Anyaman gila' yang hampir pupus

Posted:

'Anyaman gila' yang hampir pupus

TIDAK ramai wanita yang dapat mempelajari teknik menganyam rombong dengan lengkap.


ANYAMAN rombong merupakan seni kraf tangan terkenal di Melaka yang merujuk kepada penghasilan pelbagai jenis bakul yang diperbuat daripada mengkuang.

Dahulunya rombong digunakan untuk menyimpan pakaian dan barang kemas, namun pada hari ini ia masih digemari ramai yang menjadikannya sebagai hiasan hantaran perkahwinan dan bakul hamper.

Bakul rombong boleh didapati dalam pelbagai saiz dan bentuk seperti bujur telur, potong wajik, tiga segi, empat segi dan bulat. Selain itu, ia juga didatangkan dalam set susunan tiga atau lima pada bentuk yang sama, tetapi berlainan saiz dengan motif-motif berteraskan alam semula jadi.

Seni itu sangat terkenal pada suatu ketika dahulu dalam kalangan kaum wanita di Melaka. Namun difahamkan, pada masa ini tinggal beberapa orang wanita sahaja yang memiliki skil anyaman rombong.

Teknik menganyam yang sukar hinggakan seni kraf itu dikenali sebagai 'anyaman gila' adalah antara punca ia tidak digemari untuk dipelajari. Anyaman rombong memerlukan kemahiran tangan, kesabaran dan ilham yang tinggi.

Proses pembuatan bakul rombong tidak jauh berbeza daripada membuat tikar mengkuang. Bezanya terletak pada teknik anyaman tiga lapis berbanding anyaman rata pada tikar mengkuang.

Penyambung warisan

Amnah Abdulla, 53, mungkin ialah satu-satunya wanita paling mahir dalam anyaman rombong yang diketahui masih ada pada masa ini.

Perkara itu diakui sendiri Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan) cawangan Melaka yang telah menjalankan usaha mengesan penganyam rombong di seluruh negeri bersejarah itu.

Amnah, anak ketujuh daripada sembilan adik-beradik, mula mempelajari seni anyaman rombong ketika berusia 12 tahun bagi membantu ibunya mencari rezeki selepas bapa beliau meninggal dunia

Hanya beliau dan seorang kakaknya yang mahir menghasilkan rombong di dalam keluarganya.

AMNAH bersama sebahagian daripada anyaman rombong yang dihasilkannya.


Bagaimanapun, seni anyaman itu berkubur hampir 35 tahun selepas Amnah mendirikan rumah tangga dengan seorang nelayan, Md. Jali Berahim kerana sibuk menguruskan keluarga dan kedai makan miliknya.

Namun kejadian pada kira-kira tiga tahun lepas membawa sinar harapan kepada seni kraf tangan yang semakin dilupakan itu.

Amnah yang lebih mesra dengan panggilan Mak Nah ketika itu sedang menggoreng ikan sebagai juadah bagi keluarga sebelum dipanggil suaminya untuk menonton sebuah dokumentari mengenai rombong di televisyen.

"Suami saya yang mengetahui saya pandai menganyam rombong kemudiannya begitu bersungguh-sungguh mencari daun mengkuang bagi dijadikan bakul rombong," kata Amnah ketika ditemui di rumahnya di Batu 7 1/4 Balik Bukit, Tanjung Kling.

Teringat semula

Ketika memegang daun mengkuang berkenaan, teknik menganyam rombong seolah-olah terbentang kembali di kepala Amnah.

Amnah berkata, ketika asyik menghasilkan rombong keduanya selepas begitu lama meninggalkan seni itu, beliau didatangi Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Kundor, Datuk Ab. Rahaman Ab. Karim yang kebetulan berada di kampung berkenaan dan bertanyakan mengenai hasil kerja tangannya itu.

Beliau berkata, Ab. Rahaman yang tertarik dengan rombong itu memaklumkan akan membawa seni anyaman tersebut kepada pengetahuan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka untuk dipelihara dan dikembangkan.

ANYAMAN rombong begitu unik kerana seseorang perlu menghasilkan tiga lapis anyaman pada satu permukaan.


"Tidak lama kemudian, Kraftangan Melaka menghubungi saya dan selepas itu, rombong mula diperkenalkan kembali kepada rakyat Melaka dan Malaysia," kata ibu kepada empat orang anak itu.

Amnah kini mampu menarik nafas lega selepas berjaya meraih pendapatan antara RM1,000 hingga RM1,500 sebulan hasil jualan rombong yang kebanyakannya untuk dijadikan hantaran dan hadiah perkahwinan selain hamper.

Bakul rombong dijual pada harga antara RM2 hingga RM350 setiap satu bergantung kepada saiz.

Bentuk sukar

Rombong paling sukar untuk dihasilkan ialah rombong berbentuk empat segi yang berukuran 27x20 inci. Tempoh sebulan akan diperlukan untuk menyiapkannya bagi mereka yang kurang mahir.

Begitupun, Amnah mampu menghasilkannya dalam tempoh 10 hingga 15 hari.

Seni anyaman rombong yang memperlihatkan keindahan dan kehalusan seni khazanah Melayu sememangnya dikagumi dan diminati masyarakat setempat dan pelancong asing.

Tidak hairanlah rombong mendapat permintaan yang menggalakkan setiap tahun.

Pengarah Kraftangan cawangan Melaka, Aididah Ibrahim berkata, produk kraf tangan khususnya rombong sentiasa mendapat permintaan pasaran ekoran nilai estetiknya.

Beliau bagaimanapun memberitahu, permintaan tinggi terhadap hasil kraf tangan tersebut tidak mampu dipenuhi berikutan jumlah produk yang dihasilkan terlalu sedikit kerana kekurangan penganyam rombong. – Bernama

Himpunan kisah seram

Posted:

Himpunan kisah seram

MAHU lari daripada tema yang tipikal dalam setiap penghasilan buku di arena penulisan tanah air? Lejen Press kini tampil dengan sebuah karya yang bertajuk Ketakutan.

Hanya dengan melihat kepada muka depan dan tajuknya, pembaca pasti sudah dapat mengagak tema yang ditonjolkan dalam buku ini.

Ketakutan merupakan sebuah buku antologi cerpen gabungan 15 penulis tempatan menggunakan tema seram dan suspen. Garapannya juga dilihat berbeza dengan cerpen-cerpen yang menggunakan tema sama di pasaran.

Antara cerpen yang terkandung dalam buku ini ialah Pesan Lisa, Coro, Sketsa Maya Rumah Kedai Nyonya Jun, Korban Judas , Teddy Bear Kuning dan Pisang.

Keseluruhan gaya bahasa dalam setiap cerpen juga mudah difahami dan terus kepada kisah yang ingin disampaikan. Namun, pembaca akan menemui elemen-elemen seram dan suspen ketika membaca di tahap klimaks dan peleraian kisah dalam setiap cerpen.

Kisah seram yang ditonjolkan dalam buku ini tidak menceritakan kisah seram yang tipikal dialami oleh nenek moyang daripada keturunan Melayu seperti puntianak, pocong dan penanggal malah terdapat mitos serta cerita hantu daripada kaum lain.

Rangkuman kisah seram daripada pelbagai jenis aspek seperti agama, hantu, mitos dan kepercayaan masyarakat di Malaysia ini merupakan kekuatan utama himpunan cerpen yang telah berada di pasaran pada awal September lalu.

Mengambil contoh salah satu cerpen yang bertajuk Rose dan Laila karya Izwan Hafifi, ia mengisahkan tentang sebuah keluarga yang mempunyai saka warisan turun-temurun. Saka itu sering mengganggu kehidupan mereka kerana mahu mendampingi anak perempuan dalam keluarga itu.

Kita sememangnya sering membaca kisah-kisah sebegini dalam kehidupan seharian malah melalui tulisan cerpen atau novel. Namun, kisah yang melibatkan saka dalam cerpen ini mampu memberikan gambaran sebenar situasi seseorang itu apabila diganggu oleh makhluk halus.

Lebih menyeramkan, sebelum menjengah ke setiap bab, karya fotografi hitam dan putih menggambarkan cerita yang bakal dibaca nanti turut memberi mood seram sebelum membaca kisah di sebalik cerpen itu.

Selain Izwan, penulis-penulis yang terlibat dengan cerpen seram ini ialah Aisa Linglung, Hasrul Rizwan, Amirul Bozu, Nash Azly, Amal Hassan dan Wan Shafiq.

Mereka juga disertai Ophan Bunjos, The Best Pecil, Shafiq Helmi, Fikri Misti, Razman, Syahid Abdullah dan Khrlhsym.

Bagi peminat tegar buku-buku keluaran syarikat penerbitan buku alternatif urban Malaysia ini, Ketakutan merupakan salah satu karya yang harus ada dalam koleksi anda.

Anda dapat merasai perbezaan mood apabila membaca Ketakutan jika dibandingkan dengan judul-judul lain keluaran Lejen Press seperti Lelaki Eksistensial, Awek Chuck Taylor dan Kitab Terfaktab.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved