Selasa, 23 Oktober 2012

Kosmo Online - Stailo


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Stailo


Item wajib setiap jejaka

Posted:

Item wajib setiap jejaka

Oleh ALIF ABU BAKAR

FRASA lelaki sejati memakai hitam berkemungkinan boleh dipersetujui ramai. Malah, pada tahun 1990, kumpulan muzik bergenre R&B/funk, Cameo turut meminjam kenyataan Real Men... Wear Black sebagai tajuk album mereka.

Apakah kuasa yang terkandung dalam warna pilihan jejaka itu? Jawapannya mudah, ia satu rona ringkas yang mampu mengekspresikan 1,001 gaya lelaki tanpa bantuan warna lain.

Hitam sudah mampu membentuk personaliti maskulin seorang lelaki.

Apa jua jenis pakaian berwarna hitam pasti menjadi pilihan lelaki di serata dunia, begitu juga Malaysia. Namun sayangnya, kecenderungan itu tidak kelihatan pada pemilihan sut. Segelintir sahaja menyedari aura sut hitam, manakala selebihnya lebih teruja menyarungkan sut berona terang khususnya golongan selebriti lelaki tempatan.

"Artis-artis lelaki kita sukakan pakaian atau sut berwarna terang dan yang berkilat. Bagi mereka, sut hitam bakal membuatkan mereka tampak bosan dan tidak menyerlah di karpet merah.

"Di sinilah silapnya mentaliti yang mereka pegang. Cuba teliti pemakaian selebriti lelaki Hollywood. Majoriti mereka selesa menggayakan sut hitam. Ia mungkin kelihatan ringkas, tetapi kebijaksanaan suai padan dan potongan yang sempurna mampu menciptakan penampilan eksklusif.

"Sewajarnya, artis lelaki yang datang berpasangan perlu tampil ringkas dengan sut hitam. Selebriti wanita memang tidak dinafikan perlu bergaya sehabis baik bagi menangkap perhatian sekeliling. Lelaki pula perlu menjadi pelengkap kepada gaya wanita dan memakai sesuatu yang tidak keterlaluan.

"Pakaian lelaki tidak dinilai semata-mata pada kecantikannya, malah lebih kepada penonjolan karakter yang diserlahkan. Oleh yang demikian, jika anda diberi tajaan sekalipun, pastikan pakaian tersebut bertepatan dengan personaliti diri," demikian pesanan bernas yang diutarakan pereka fesyen prolifik, Bon Zainal.

Sebagai 'raja sut lelaki', Bon cukup arif tentang identifikasi persalinan rasmi jejaka itu. Menyifatkan bahawa sut hitam adalah item wajib ada dalam setiap almari lelaki, ujar Bon, ia menjadi pilihan mudah dan terbaik sekiranya anda mengalami masalah memilih pakaian bersesuaian.


JAKET hitam denim mirip kulit buaya tampak ranggi dipadankan bersama jean kain kapas ini.


Kuasa sut hitam terletak pada keseluruhan aspek yang dibawanya. Selain menjadi pendamping untuk acara formal, ia boleh diolah untuk disesuaikan ke majlis kasual dan santai.

Segak seorang jejaka dalam sut hitam akan lebih mantap dengan potongan dan saiz yang tepat. Sut hitam klasik kebanyakannya tertumpu kepada potongan slim yang amat sesuai bagi jejaka bertubuh segak. Keseimbangan bahagian atas dan bawah juga perlu sesuai dengan bentuk badan.

Selain itu, warna hitam sebenarnya boleh dipecahkan kepada beberapa tona warna. Sut hitam boleh diterjemahkan menerusi rona hitam arang, karbon, ebony, ivory, onyx, matte dan banyak lagi.

Memilih sut hitam

Apabila memilih sepasang sut hitam, apa yang perlu diambil kira adalah jenis butangnya. Sut hitam berbutang sebaris (single breasted) adalah pilihan terbaik dan seelok-eloknya yang mempunyai dua butang. Terdapat juga sut single breasted berbutang tiga dan empat tetapi, ia bergantung kepada fizikal dan ketinggian seseorang.

Sut hitam silang pangkah (herringbone), mirip kulit atau hitam bertekstur antara gaya yang boleh dibentuk menerusi persalinan merentas zaman tersebut. Hentikan stigma bahawa sut hitam hanya menepati tema pakaian acara formal kerana ia mampu digayakan lebih daripada itu.

"Sepasang sut hitam boleh membentuk 10 hingga 15 gaya yang berbeza. Anda boleh hapuskan formaliti dengan mengenakan jaket hitam bersama seluar putih atau kelabu.

"Jean juga sepadan dengan jaket atau blazer hitam. Sekiranya mahu penampilan santai tetapi kemas, sarungkan baju T leher V warna putih dan lengkapkan bersama jaket hitam.

"Anda perlu kreatif dengan sut hitam. Cukup dengan satu sut, anda boleh mencipta pelbagai gaya tanpa perlu gusar komen orang ramai.

"Tiada siapa akan menegur anda memakai sut hitam berulang kali. Paling penting, suai padan dan bijak mengatur gaya berlainan," jelas Bon yang memiliki 12 koleksi sut hitam pelbagai stail dan potongan.

Tambah Bon, kasut hitam menjadi pilihan terbaik bagi sut hitam. Stoking pula perlu dipadankan mengikut kesesuaian majlis. Acara formal lebih sesuai dengan stoking hitam, sporty pula tampak menarik bersama stoking putih dan baju T putih, ibarat gaya sinonim Raja Pop Dunia, Michael Jackson.

Bagaimanapun, semuanya berbalik kepada kehebatan warna hitam yang padan dengan semua rona. Campurkan apa sahaja warna bersama hitam, ia sama sekali tidak akan bercanggah.

BON Zainal (dua dari kanan) memiliki 12 koleksi sut hitam peribadi pelbagai stail dan potongan.


Tatacara gaya

Selepas sut hitam segak disarungkan, jangan rosakkan keseluruhan penampilan dengan kesilapan penggayaan rambut. Pesona sut hitam perlu disokong gaya rambut yang kemas dan rapi.

Ujar Bon: "Sut hitam ke acara formal perlu disertakan bersama gaya rambut dirapi menggunakan gel. Selalunya, rambut disikat ke belakang (slick back) dengan gaya kebasahan (wet look) menjadi pilihan sempurna penampilan ini.

"Bergaya bersama jaket hitam bagi acara kasual pula memerlukan rambut ringkas dan rileks. Tidak salah jika jejaka berambut panjang mengikat rambut mereka seperti gaya ekor kuda."

Satu lagi elemen perlu dititikberatkan kaum Adam di luar sana adalah penjagaan badan. Sememangnya diakui, hitam mampu memberi ilusi fizikal bentuk badan yang besar menjadi lebih kecil. Namun, perut buncit dan lemak berlebihan pada kawasan tertentu seperti pinggang dan punggung, secara terang-terangan mencacatkan penampilan.

Lelaki dinasihatkan menjaga bentuk badan agar sut hitam yang disarungkan mampu menyerlahkan penampilan luaran sempurna. Untuk kelihatan segak dan kacak, ia perlu seimbang dari segi pemilihan pakaian dan usaha menjaga bentuk badan.

Pertembungan kurung moden, klasik

Posted:

Pertembungan kurung moden, klasik

Oleh ALIF ABU BAKAR & HAFIZ AHMAD


IMEJ ringkas kaftan dapat diolah kepada penampilan mewah dengan adunan perincian eksklusif dan adunan warna menawan ini.


SAMBUTAN Aidiladha di sebahagian besar negeri di Pantai Barat di negara ini mungkin tidak semeriah Hari Raya Aidilfitri. Bagaimanapun, masyarakat Islam di Malaysia masih menghargai kenikmatan kurniaan Allah itu yang mengangkat nilai pengorbanan dalam kehidupan.

Dalam kesederhanaan, kaum Hawa tidak sekali-kali melepaskan peluang melaram pada pagi Aidiladha tatkala berkumpul bersama keluarga. Walaupun diraikan dalam tempoh singkat, persalinan istimewa yang sopan harus menjadi pilihan agar diri tampak bergaya dan menawan.

Baju kurung moden atau kaftan dengan percikan rona terang menjadi sandaran Hasfitri Yusof, 25. Ujar pereka yang bernaung di bawah Persatuan Pereka Bumiputra (BDA) itu, setiap rekaannya boleh dipadankan bersama baju berbeza bagi menampilkan stail tersendiri.

"Potongan yang saya terapkan bersifat kontemporari, jadi ia tidak terhad untuk musim perayaan sahaja," kata Hasfitri yang dinobatkan sebagai pereka pakaian wanita terbaik pada acara Muay Thai VS Asia (The Best of Malaysia) baru-baru ini.

Signatur

Mainan rona kontra pada baju potongan klasik membangkitkan perasaan ceria si pemakai. Ia turut diperindahkan dengan batu-batu jemeki yang menjadi signatur Hasfitri.

Kurung moden putih yang digabungkan dengan renda berwarna gelap sesuai digayakan ketika menghadiri majlis keraian atau berkunjung ke rumah terbuka. Sekiranya mahukan kelainan, sarungkan busana dengan teknik lipatan dan balut yang boleh dipadankan bersama songket rona hangat.

Anda inginkan imej klasik? Sarungkan baju kurung tradisional yang mendapat suntikan moden hasil kerja Melvin Shah. Kurung pesak seperti pesak gantung, kurung Riau dan kurung Pahang bakal menciptakan penampilan ringkas yang ayu.

Menepati ciri-ciri sepasang kurung klasik, potongan yang disediakan sedikit longgar dan ia sengaja direka untuk tidak menampakkan bentuk badan si pemakai. Namun, anda boleh mengolah potongan tersebut mengikut cita rasa tersendiri asalkan konsep tradisional itu tidak hilang.

"Wanita muda sukakan kurung tradisional yang telah dimodenkan, jadi, saya menambah manik-manik pada bahagian leher kurung Johor, sulaman lebih sarat dan banyak menggunakan mutiara dan kristal.

"Warna-warna neutral mengisi palet utama untuk koleksi baharu ini dan material saya tekankan ialah sutera Thailand, sutera mentah, tafeta dan syantung," jelas Melvin.

Keluarga keutamaan Zahnita

Posted:

Keluarga keutamaan Zahnita


SELEPAS berkeluarga, jadual kerja Zahnita tidak boleh melebihi waktu lewat malam.


KALI terakhir menatap wajah wanita ini di layar perak ialah pada tahun 2004 menerusi filem Kuliah Cinta. Selepas itu, nama dan kariernya bagaikan berkubur dalam industri seni tempatan.

Biarpun begitu, kelibat Zahnita Wilson, 27, masih kelihatan pada beberapa acara fesyen, malah perkembangan mengenainya pernah disiarkan oleh beberapa media cetak dan elektronik beberapa tahun lalu.

Sekejap timbul, sekejap tenggelam, begitulah diibaratkan perjalanan seni wanita ini. Dia tidak merajuk dan bukan memilih untuk menyepi, tetapi tuntutan keluarga membuatkan Zahnita kurang memberi penekanan kepada dunia seni.

Jujur mengakui bahawa kerjaya sebagai model yang disandang lebih sedekad lalu membuatkannya lebih selesa meneruskan dunia peragaan berbanding lakonan.

Agak keberatan

Baru-baru ini, Zahnita mengejutkan industri seni dengan penyiaran gambar-gambarnya ketika sarat hamil yang disiarkan oleh beberapa laman web. Rata-rata memberikan komen positif dan kagum dengan kejelitaan Zahnita walaupun sudah bergelar ibu.

"Pada awalnya, saya agak keberatan melakukan sesi fotografi tersebut kerana tidak yakin dengan kebolehan untuk beraksi di depan kamera ketika hamil.

"Ia satu pengalaman yang menakjubkan dan saya pasti menyesal kelak jika tidak melakukan perkara ini. Sekurang-kurangnya, saya dapat menjadikan foto-foto ini sebagai memori pada masa depan," kongsi Zahnita ketika dihubungi Stailo baru-baru ini.

Bakal menyambut kelahiran anak perempuan keduanya November ini, Zahnita mendedahkan bahawa kekosongan yang ditinggalkan dalam dunia seni bukan bererti penamat kepada bidang lakonan.

Kecintaannya terhadap lakonan masih kuat, cuma tawaran yang diterima masih belum mampu meyakinkannya untuk kembali beraksi. Hasil daripada empat filem dan dua telemovie yang pernah dilakonkan Zahnita, menyaksikan karakternya sebagai perempuan gedik yang terlalu stereotaip.

Bosan dengan peranan itu, Zahnita memutuskan untuk kembali ke pentas lakonan sekiranya diberikan skrip yang menarik dan tanggungjawab yang berbeza. Katanya: "Saya mengimpikan watak yang serius tetapi mungkin belum ada yang yakin dengan kemampuan saya memikul watak berat.

Lebih selektif

"Tambahan pula, bergelar pelakon dan model sepenuh masa menuntut komitmen yang tinggi. Saya tidak mampu menggalas dua pekerjaan itu secara serentak," katanya.

Alam perkahwinan yang menjangkau usia tujuh tahun banyak mengubah gaya hidup Zahnita sebagai model. Dahulu, segala jemputan dan permintaan sesi fotografi dan pentas peragaan dipersetujui tanpa mengambil kira waktu.

Kini Zahnita lebih selektif dan mengambil tawaran yang tidak melewati waktu malam. Paling lewat, dia perlu berada di rumah pada pukul 11 malam.

"Saya tiada pembantu rumah, jadi segala urusan rumah tangga seperti memasak, mengemas dan menguruskan keperluan suami dan anak menjadi tanggungjawab utama. Walaupun saya masih aktif dalam dunia peragaan, keluarga tetap menjadi keutamaan.

"Tawaran sebagai model yang saya ambil sekarang dijadikan pendapatan ekstra bagi menampung keperluan tambahan.

"Suami pula tidak menghalang saya untuk terus aktif dalam bidang peragaan dan memahami skop kerja saya. Namun, segalanya perlu kembali kepada keutamaan saya menguruskan keluarga," kata Zahnita memberitahu anak sulungnya, Zahrafeena Zackery, 5, sudah pun dihantar ke taska.- ALIF ABU BAKAR

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved