Khamis, 18 Oktober 2012

Kosmo Online - Stailo


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Stailo


Inspirasi fesyen Orang Asli

Posted:

Inspirasi fesyen Orang Asli

Oleh HAFIZ AHMAD

BUSANA eksentrik bermotifkan kulit ular sawa menyusuri pentas peragaan. Langkah penuh yakin model menambah sensasi pada rekaan kreatif yang mengambil cetusan inspirasi fesyen terkini.

Hadirin yang memenuhi Zebra Square, Kuala Lumpur seakan-akan terpaku seketika kerana tidak menyangka ia sebenarnya dihasilkan oleh gadis remaja 16 tahun dari suku kaum Orang Asli.

Terhapus segala persepsi lain yang menyelubungi gaya hidup kaum pribumi itu kerana mereka kini sudah selari dengan arus perdana malah hidup setara anak merdeka Malaysia yang lain.

"Saya banyak menelaah majalah-majalah fesyen selain mencari maklumat terperinci dalam laman sesawang bagi mendapatkan ilham," ujar sang pereka, Elin Yusniza a/p Yap Tian Loy.

Dia sama sekali tidak menyangka diangkat sebagai pemenang tempat pertama kategori rekaan baju pada Malam Graduasi Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya (PLKK) baru-baru ini berikutan kekangan masa yang terlalu singkat untuk menghasilkan busana tersebut.

Masa singkat

"Bayangkan, kami hanya diberikan masa hanya dua minggu untuk mereka dan menjahit sendiri baju yang dipersetujui oleh para guru," jelas anak gadis kelahiran Kuala Pilah, Negeri Sembilan itu.

"Syukur saya banyak dibantu oleh guru-guru yang memberi tunjuk ajar seperti mencadangkan jenis fabrik yang bersesuai," jelasnya.

Memilih gabungan material polivinil klorida (PVC) dan linen, rekaan ini berjaya mengatasi 17 busana pelajar tahap dua Kursus Pembuat Pakaian Wanita PLKK yang berpusat di Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Paya Bungor, Kuantan, Pahang.


ELIN (tengah) menunjukkan trofi kemenangannya dan diapit oleh pemenang tempat kedua, Saerah (kanan) dan ketiga, Syariza (kiri) bagi kategori rekaan fesyen.


Gadis genit itu menambah, kesemua pelajar diberi kebebasan dalam memilih gaya untuk dipersembahkan namun perlu mengikuti tema yang disediakan iaitu Urban Glam.

"Saya mengambil masa selama 30 minit untuk mereka baju ini begitu juga dengan rakan-rakan yang lain. Ini kerana, kami perlu menumpukan proses menjahit yang mengambil masa yang lama," ujarnya.

Beliau menghadapi kesukaran ketika membuat bahagian bawah busana tersebut yang menggunakan dua bantal kecil bagi mendapatkan bentuk yang dicadangkan.

"Selain itu, fabrik yang digunakan juga sukar untuk dijahit kerana ia tebal dan sukar untuk dicantumkan," jelasnya. Elin kini sedang mengikuti program inkubator iaitu kursus lanjutan di butik jahitan yang terletak di Senawang, Negeri Sembilan.

Pada malam itu, turut diadakan Pertandingan Solekan dan Hiasan Rambut yang disertai oleh sembilan peserta keturunan Orang Asli yang menjalankan latihan di salun kecantikan tempatan seperti BJ Beauty Academic, Subang Jaya; La Joise Industries, Klang dan Millenium Hair Care Beauty Academy, Kuala Lumpur.

Hasil rujukan dalam laman sosial, YouTube selama seminggu akhirnya membuahkan hasil apabila Hafizan Mazlan, 22, dan Kasnisah Sudin, 24, berjaya mengungguli kategori tersebut.

Pembahagian tugas

"Kami banyak berbincang terlebih dulu bagi mendapat idea terbaik. Tenaga pengajar di Millenium Hair Care Beauty Academy juga memberi cadangan terutamanya pemilihan warna yang bersesuaian.

"Apa yang menjadi keutamaan kami adalah kekemasan dan selari dengan tema yang diberikan," ujar Hafizan.

Tambah Kasnisah yang turut menjadi model yang menggayakan dandanan mereka, pembahagian tugas adalah mengikut kepakaran masing-masing, iaitu beliau melakukan proses solekan manakala Hafizan diberi tanggungjawab mendandan rambut.

Dalam masa yang sama, Nurul Farhana Yusuf, 20, dinobatkan sebagai Ikon PLKK Beliawanis Orang Asli selepas mengalahkan dua lagi jelitawan Orang Asli. Beliau dipilih kerana setelah melepasi beberapa saringan seperti keterampilan diri, cara penyampaian bahasa dan kebijaksanaan menjawab soalan juri.

"Saya tidak akan berputus asa dalam mengejar cita-cita dan akan meneruskan perjuangan sehabis daya agar menjadi contoh kepada rakan-rakan yang lain," kalimah keramat itu diucapkan Farhana lantas mendapat sorakan gemuruh daripada hadirin yang hadir.

Kemenangan gadis tinggi lampai itu seperti sudah dijangka apabila namanya menjadi sebutan ramai kerana personaliti dan keterampilannya yang menarik. Jika digilap dengan baik, pasti kilauan pesonanya bakal menyinari pentas peragaan suatu hari nanti.

Farhana berkata, pada mulanya beliau kurang yakin dengan diri untuk mengikuti pertandingan ini namun setelah mendapat galakan daripada pengetua Millenium, dia bersedia menggalas kepercayaan yang diberikan.

Menyimpan cita-cita untuk menceburi dunia peragaan, Farhana akan menggunakan setiap pengalaman sepanjang pertandingan tersebut untuk memantapkan keyakinan dirinya.

YALIYANA (kiri) menerima Anugerah Ketua Pengarah Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 1 manakala Norkartini (kanan) menggondol anugerah kategori sama untuk Tahap 2.


Sebelum itu, beliau dan dua rakannya diberikan kursus selama tiga hari di Snips College of Creative Arts (Snips) yang merangkumi pembelajaran pengucapan awam, pemantapan personaliti dan kursus peragaan.

Mereka diajar cara berjalan di atas pentas dan cara menjawab soalan dengan betul yang dikendalikan oleh tenaga pengajar Snips.

Harapan Farhana, kejayaan diri dan pelajar-pelajar yang lain pada malam graduasi ini menjadi contoh kepada Orang Asli untuk mengejar cita-cita mereka bagi mengubah masa depan hidup mereka.

Beliau kini sedang mengikuti kursus kecantikan di Millenium Hair Care Beauty Academy.

Sentuhan klasik bak bangsawan

Posted:

Sentuhan klasik bak bangsawan

RONA merah plum tampak menawan pada dres dan blaus si wanita.


DUDE & THE DUTCHESS kali ini memberi penghormatan kepada stail klasik menerusi persalinan yang memfokuskan kepada palet tanah. Potongan tajam dan fabrik nipis pula menjadi peranan utama setiap rekaan.

Dilancarkan pada bulan September lalu, koleksi The Other Side of Paradise yang diinspirasikan daripada novel The Great Gatsby itu memperlihatkan siluet tidak simetri dan keindahan perinciannya.

The Other Side of Paradise menceritakan tentang perkumpulan golongan bangsawan yang terdiri daripada pemain muzik jazz, artis, sasterawan, kerabat diraja, individu kreatif dan cendekiawan yang terlibat dalam tingkat sosial atasan, kesusasteraan atau politik.

Mereka berkumpul di zon eksklusif dilengkapi sofa baldu dan langsir material chintz dengan rambut dirapi ke belakang dan segak dalam kemeja hitam dengan lengan tidak berbutang berona kontra. Wanita bangsawan (duchess) pula kelihatan anggun dalam dres sifon berlisu berserta rantai mutiara panjang.

Mengangkat stail merentas zaman yang menyerlah ketika zaman 1920-an, paten dan fabrik ringkas dan elegan mengisi pentas utama koleksi kali ini dengan material direncana khas untuk setiap siluet.

Perincian lisu dapat ditemui pada kemeja, skirt dan baju (tops) manakala cetakan memukau ketara pada penghasilan jalur dan corak yang memberi ilusi optik. Fabrik nipis seperti sifon, georget dan jersi menambah sentuhan kelembutan kepada wanita manakala kapas dan twil menjadikan si lelaki segak dalam pakaian yang terletak dengan perincian kemas.

CETAKAN berjalur menyerlahkan gaya ringkas yang feminin.


Musim ini, penataan setiap warna kekal dibayangi fabrik yang menyerupai warna kulit daripada palet Stone Age yang terdiri daripada palet tanah, hijau zaitun, perang, merah jambu pudar dan merah plum.

Ia diiringi ton-ton mewah seperti kayu manis, madu keemasan dan mocha. Saduran rona-rona utama tersebut berjaya mencipta impak luar biasa sementara warna hitam menjadi pilihan yang selamat.

Setiap helaian item Dude & The Duchess koleksi baharu tersebut dijual pada harga antara RM129 sehingga RM299. Ia boleh didapati di beberapa butiknya yang terletak di Bangsar Village II, Empire Shopping Gallery, Tangs 1 Utama (hanya pakaian lelaki) dan Isetan KLCC (hanya pakaian wanita). Pembelian secara dalam talian juga boleh dilakukan melalui laman web www.dudeandtheduchess.com, fashionvalet.net dan zalora.com.my.

Bentuk gaya jean putih

Posted:

Bentuk gaya jean putih


KASUT high cut rona hitam amat sempurna dipadankan bersama jean putih dan jaket hitam pendek.


SOALAN: Di pentas peragaan, jean rona putih kerap muncul dalam koleksi terkini pereka-pereka antarabangsa. Saya tertarik dengannya dan teringin untuk mencuba tetapi takut tidak kena gaya. Harap boleh berikan panduan.

JAWAPAN:

Jean putih ialah sama seperti pakaian denim lain yang anda miliki. Terdapat beberapa panduan untuk memakai jean putih yang boleh diikuti. Antaranya, item itu sememangnya tampak hebat apabila dipadankan dengan warna hitam terutamanya apabila kemeja polo, turtle neck ataupun sweater leher V digabungkan.

Untuk gaya kasual, padankan jean anda dengan warna-warna kontra. Contohnya, kemeja polo rona terang yang dipadukan bersama kasut loafer.

Bagi membentuk penampilan lebih elegan, padankan seluar putih anda dengan blazer biru. Pastikan juga anda memakai kemeja kontra dan kasut oxford hitam serta tali pinggang berjalin (braided) untuk gaya ekstra sofistikated.

Sneaker putih juga amat menarik digayakan bersama jean putih. Namun, ia perlu mempunyai sedikit perincian agar kelihatan lebih hip dan cool.

Sememangnya, jean putih sesuai dipakai ketika cuaca panas dan menjadi item yang efisien untuk dibawa tatkala bercuti di tepian pantai. Ia juga boleh membentuk pelbagai gaya santai. Gandingkannya bersama flip flop ataupun kemeja yang tidak dibutangkan.

Anda boleh kelihatan segak dengan jean putih tanpa memakai tali pinggang untuk gaya yang lebih versatil. Namun, pastikan jean yang disarungkan adalah saiz yang paling sesuai dengan anda.

Selain itu, ia juga boleh dipadankan dengan jaket, blazer atau kot sport anda. Perlu diingat, jika anda mahu mengekalkan gaya minimum dan kemas ketika melaram bersama jean putih, pilihlah jaket rona neutral tanpa sebarang reka corak atau motif sebagai pelengkapnya.

Pastikan potongan jean putih tidak terlalu ketat dan dipotong lurus tetapi elakkan potongan yang mengecil ke bawah. Sekiranya anda mahu menggayakan persalinan serba putih secara keseluruhan bagi acara tertentu, lengkapkan gaya tersebut dengan tambahan rona krim dalam bentuk kasual. Chunky sweater atau blazer korduroi berupaya mengelakkan anda kelihatan seputih salju sepenuhnya.

Di luar negara, jean putih menjadi item paling selamat untuk digayakan ketika musim bunga dan panas. Ia juga warna yang mudah dipadankan kerana ia sesuai dengan apa jua pakaian atau aksesori.

Sebagai tambahan, ikuti tip-tip pemakaian jean putih yang bernas seperti yang disenaraikan di bawah:

* Baju T: Sarungkan baju T leher V kelabu gelap, merah pudar atau biru jersi bagi menjadikan jean putih anda kelihatan kasual dan ringkas. Sekiranya mahukan sedikit penegasan, pilih baju T hijau atau biru.

* Baju T putih dan kasut kontra: Paduan baju T leher V bersama denim putih memang membentuk imej suci. Namun, percikkan sedikit keceriaan menerusi kasut yang menarik. Pilih kasut berona terang atau gelap bagi memberi kelainan pada gaya keseluruhan.

* Jaket putih atau hitam: Jean dan jaket putih akan serasi apabila disatukan bersama kemeja cetakan besar berkolar butang. Impak gaya jaket hitam dan jean putih akan terkesan menerusi gandingan baju T polos.

* Vest gelap: Cuba padankan jean putih bersama vest gelap. Hitam, biru kelasi atau kelabu gelap adalah pilihan tepat terutamanya jika ia memiliki alur putih.

* Kardigan neutral: Sekiranya baju kait adalah penampilan lazim anda, cuba gayakan kardigan jenis tersebut dalam rona krim, kelabu lembut atau biru kelasi. Warna-warna neutral yang dikait akan nampak kontra secara semula jadi bersama denim putih.

* Kemeja berkolar butang: Apabila memakai kemeja berkolar butang dengan jean putih, ketahuilah bahawa rona terang lebih baik berbanding warna neutral.

* Jean tanpa baju: Anda lelaki yang berbadan sasa atau menarik? Sarungkan jean putih anda sahaja jika ke pantai. Lengkapkan penampilan maskulin dengan kaca mata hitam. Ia satu gaya yang ringkas namun memukau pandangan, sekiranya anda kacak dan memiliki daya tarikan tertentu.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved