Khamis, 18 Oktober 2012

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Sihanouk kesayangan rakyat Kemboja

Posted:

Sihanouk kesayangan rakyat Kemboja

LAUTAN manusia membanjiri pekarangan Istana Diraja Phnom Penh, Kemboja untuk menangisi pemergian pemimpin kesayangan mereka, Norodom Sihanouk, 89.

Situasi memilukan itu membuktikan betapa kasihnya rakyat negara itu terhadap lelaki yang digelar 'Bapa Raja' tersebut.

Sihanouk pernah mengeluarkan kenyataan: "Saya adalah Sihanouk dan semua rakyat Kemboja adalah anak-anak saya."

Tempoh perkabungan rasmi telah bermula sejak Rabu lalu dan ketiadaan kawasan khas bagi upacara itu tidak menghalang orang ramai untuk hadir ke kawasan istana bagi memberi penghormatan terakhir.

Menjelang petang, ribuan lagi orang awam memenuhi kawasan tersebut. Pihak istana terpaksa menyediakan meja bagi menempatkan bunga-bunga, lilin dan setanggi, sambil orang awam berbaris mengabadikan ucapan takziah mereka dalam sebuah buku khas.

"Saya berharap dapat melihat mendiang dan mahu menatap wajahnya buat kali terakhir," ujar Mean Pichavisa, 16, yang sedang memotong reben hitam untuk diletakkan pada baju putihnya sebagai simbol perkabungan.

Remaja itu juga membotakkan kepalanya sebagai tanda hormat di atas pemergian Sihanouk. Kepulangan pemimpin Asia Tenggara terakhir yang merebut kemerdekaan Kemboja selepas peperangan itu, diibaratkan sebagai momen paling penting dalam sejarah negara tersebut.

Difahamkan, hampir 100 sami dan rahib Buddha memulakan upacara doa sejak Selasa lalu di sebuah pagoda yang terletak berhampiran istana.

"Sebagai penganut Buddha, kami percaya doa kami dapat membantu roh Bapa Raja kesayangan kami bersemadi dengan aman dan melalui proses kelahiran semula dengan cepat," ujar Ngoun Pheadkey, sami berusia 22 tahun yang menambah, upacara itu adalah tanda terima kasih rakyat jelata kepada Sihanouk.

Sejumlah orang awam, khususnya warga emas, sanggup datang dari ceruk kampung selepas mendengar berita kematian Sihanouk.

"Semua penduduk Kampong Chhnang berdukacita dan meratapi pemergian Sihanouk. Kami sentiasa berharap beliau dapat hidup lebih lama," ujar seorang tukang masak Pen Sominea, 50.

Di bandar-bandar utama Kemboja, segenap lapisan rakyat memakai reben hitam pada baju mereka. Sekumpulan pelajar universiti pula dilihat mendendangkan lagu patriotik Kemboja dengan penuh bangga di hadapan istana.

RAKYAT Kemboja membanjiri Istana Diraja Phnom Penh bagi memberi penghormatan terakhir kepada bekas raja mereka.


"Beliau seorang raja yang baik. Beliau menjaga negara dan rakyat Kemboja dengan penuh tanggungjawab," ujar seorang penduduk Kampong Cham, Ching Sivheang, 94.

Penulis biografi rasmi Sihanouk, Julio Jeldres pernah mengungkapkan: "Sihanouk ialah Kemboja."

Permintaan terakhir

Ekspresi yang dipetik rakyat cukup memberi gambaran tentang kredibiliti Sihanouk sebagai pemimpin. Biarpun pendirian beliau sering dipersoalkan, segala keputusan yang dipilih adalah semata-mata demi kebajikan negara dan rakyatnya.

Bukti sokongan rakyat terhadapnya dapat dilihat menerusi perbarisan melibatkan kira-kira 100,000 orang yang menyambut kepulangan jenazah Sihanouk pada Rabu lalu. Mereka memenuhi jalan-jalan di sepanjang lapangan terbang sehingga ke istana.

Jenazah Sihanouk akan terus berada di istana untuk tiga bulan membolehkan orang ramai memberi penghormatan terakhir.

Pada Januari lalu, Sihanouk meminta agar jenazahnya dibakar mengikut tradisi agama Buddha. Beliau memohon supaya abunya diletakkan di dalam tempayan, seboleh-bolehnya diperbuat daripada emas dan diletakkan di dalam stupa istana.

Sihanouk yang meninggal dunia akibat serangan jantung di Hospital Beijing, China mula menerima rawatan sejak Januari lalu. Beliau berperang dengan beberapa penyakit termasuk kanser, diabetes dan masalah jantung. Sepanjang tempoh rawatan, beliau ditemani isteri keenam yang dikahwini pada tahun 1952, Norodom Monineath atau lebih dikenali dengan nama Monique.

GAMBAR bertarikh 30 Oktober 2001 ini merakamkan aksi Sihanouk bersama Monique melambai tangan kepada orang ramai ketika menghadiri festival tahunan lumba bot di Kemboja.


Hubungan akrab Sihanouk bersama pemimpin revolusi China, Mao Zedong dan Zhou Enlai dibuktikan menerusi penghormatan bendera China yang dinaikkan setengah tiang di Tiananmen Square dan di beberapa lokasi utama pusat bandar negara itu.

"Saya sentiasa menganggap China sebagai rumah kedua. Hanya China menyokong kami walaupun ditentang Khmer Rouge dan tidak diingini oleh Kesatuan Soviet," ujar Sihanouk pada tahun 1971.

Legasi

Dilahirkan pada 31 Oktober 1922, Sihanouk melalui zaman kanak-kanak ketika era kolonial Perancis Indochina. Pada tahun 1941, Perancis menabalkan beliau sebagai Raja Kemboja walaupun baharu berusia 18 tahun.

Perancis menganggap Sihanouk sebagai seorang putera yang tidak serius dan mudah dikawal. Mereka memandang rendah kebolehan Sihanouk, namun pada tahun 1953, Perancis akhirnya berundur.

Pada tahun 1955, Sihanouk turun takhta dan memberi laluan kepada ayahandanya, Norodom Suramarit untuk menaiki takhta. Beliau menceburi dunia politik dan membentuk parti sendiri serta memegang beberapa posisi penting seperti perdana menteri dan ketua negara.

Sepanjang hidupnya, beliau cuba menjadikan Kemboja sebagai negara berkecuali ketika Perang Dingin memuncak dan menjadi pengasas kepada Pergerakan Negara-Negara Berkecuali. Pada tahun 1965, beliau memutuskan hubungan dengan Amerika Syarikat (AS) yang kemudiannya menggandakan asakan dalam Perang Vietnam.

Namun, pada tahun 1969, beliau mencipta perhubungan baharu bersama AS dan mengetepikan China kerana bimbang bahan mentah negaranya dikuasai komunis Vietnam.

Keutamaan Sihanouk adalah bagi mengelakkan Kemboja daripada terlibat dengan perang, tanpa mengira musuh atau kawan, tetapi beliau gagal. Tentera udara AS mengebom markas komunis Vietnam di Kemboja yang disangka telah dipersetujui Sihanouk menerusi persefahaman tidak bertulis.

Bagi merebut kembali takhtanya selepas dirampas Jeneral Lon Nol yang mendapat sokongan AS pada tahun 1970, beliau membuat pakatan bersama Khmer Rouge. Ketika itu beliau melalui tempoh buangan di China.

Apabila Khmer Rouge berjaya merampas kuasa pada tahun 1975, Sihanouk kembali ke Kemboja. Namun, beliau meletakkan jawatan sebagai ketua negara selepas beberapa bulan dan diarahkan menjalani hukuman mati. Campur tangan pemimpin China, Zhou Enlai menyelamatkan beliau.

Sihanouk kemudiannya ditahan di istananya sendiri sambil menyaksikan Khmer Rouge menubuhkan rejim fahaman Mao Zedang yang bersifat ultra radikal bermula tahun 1975 sehingga tahun 1979. Sepanjang tempoh itu, kira-kira 1.7 juta rakyat terbunuh termasuk lima anaknya.

SAMI-SAMI Buddha dan orang ramai memenuhi monumen kemerdekaan Kemboja menantikan konvoi perjalanan yang membawa Sihanouk dari lapangan terbang ke istana.


Vietnam kemudiannya menawan Khmer Rouge pada tahun 1978 manakala Sihanouk dibuang negeri ke Beijing dan Korea Selatan. Walaupun kurang menyukai Khmer Rouge, Sihanouk terpaksa bersama tentera itu untuk membentuk Kerajaan Campuran Demokratik Kampuchea dan menghalau tentera Vietnam.

Selepas 10 tahun, Sihanouk kembali menaiki takhta pada tahun 1993 dan membina semula reputasi sebagai pemerintah negara mengikut sistem raja berperlembagaan. Keamanan negara bagaimanapun masih belum dapat dikembalikan ekoran trauma rakyat terhadap Pol Pot sehinggalah pemimpin Khmer Rouge itu mati pada tahun 1998.

Pada tahun 2004, atas faktor kesihatan Sihanouk akhirnya menyerahkan takhta kepada anak lelakinya, Norodom Sihamoni untuk menjadi Raja Kemboja.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved