Rabu, 24 Oktober 2012

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Berakhirnya perjalanan Raja Asmara

Posted:

Berakhirnya perjalanan Raja Asmara

DALAM satu wawancara khas bersama aktor terkenal Bollywood, Datuk Shah Rukh Khan ketika meraikan sambutan kelahiran Yash Raj Chopra yang ke-80 pada 27 September lalu, pengarah veteran itu membuat satu pengumuman yang mengejutkan.

"Saya sudah puas bergelumang dalam industri ini Shah Rukh," kata Chopra apabila ditanya mengenai projek terbaharunya.

"Saya sentiasa berpegang kepada gerak hati. Saya tidak akan mengarahkan filem lain selepas Jab Tak Hai Jaan."

Selepas lebih enam dekad mengabdikan diri dalam industri perfileman, lelaki yang murah dengan senyuman dengan kepala yang hampir botak itu tenang memberikan alasannya.

Impian Chopra

"Saya mahu melakukan perkara yang tidak dapat lakukan sebelum ini. Misalnya, mencurahkan pengalaman mendidik generasi muda mengenai teknik perfileman.

"Isteri juga sering mengeluh kerana saya jarang menghabiskan masa bersamanya. Saya mahu menggembirakannya dan melakukan sesuatu yang bermakna di dalam hidup," jelas Chopra dalam satu wawancara yang berkisar mengenai perjalanan hidup dan kariernya itu.

Bagaimanapun, pengarah yang terkenal dengan jolokan Raja Asmara itu tidak sempat merealisasikan impiannya. Beliau dimasukkan ke Hospital Lilavati, Mumbai pada 13 Oktober lalu akibat denggi berdarah.

Selepas sembilan hari dirawat, Chopra disahkan meninggal dunia pada petang Ahad lalu akibat kegagalan fungsi organ. Beliau meninggalkan seorang balu Pamela Chopra dan dua orang anak, Aditya dan Uday.

Tidak seperti filem-filem arahannya sebelum ini, Chopra tidak sempat menyaksikan kejayaan karya terakhirnya itu yang akan ditayangkan pada 13 November ini. Filem itu dibintangi oleh Shah Rukh Khan, Anushka Sharma dan Katrina Kaif.

Menyusuri kehidupan pengarah tersohor itu, Chopra, anak bongsu daripada lapan beradik dilahirkan di wilayah Punjab, Lahore (kini di Pakistan).

Sebaik berakhirnya pemerintahan Inggeris pada Ogos 1947 yang menyaksikan kewujudan negara Pakistan, Chopra dan keluarganya memilih untuk berhijrah ke India.

Meminati filem-filem Hindustan sejak kecil, abang sulungnya B. R. Chopra, yang merupakan seorang pengarah dan penerbit filem terkenal ketika itu mahu beliau mempelajari bidang kejuruteraan.

Bagaimanapun, Chopra bertegas mahu mengikut jejak langkah abangnya dan berhijrah ke Mumbai berbekalkan wang sebanyak 200 Rupee (RM11.40).

Di Mumbai, beliau menimba ilmu pengarahan daripada I.S. Johar sebelum menyertai produksi abangnya, B.R. Films. Pada tahun 1959, beliau mengarahkan filem pertamanya, Dhool Ka Phool yang berjaya melonjakkan namanya sebagai pengarah muda berbakat.

HASRAT Chopra untuk menghabiskan lebih banyak masa bersama isterinya, Pamela selepas persaraannya nyata tidak kesampaian.


Terdorong dengan kejayaan itu, Chopra tampil dengan filem Dharmputra, yang diadaptasi daripada novel karya Acharya Chatursen yang turut mencatatkan kutipan pecah panggung.

Lebih membanggakan, filem Waqt arahannya yang menghimpunkan barisan bintang Bollywood seperti Sunil Dutt, Raj Kumar, Sadhna, Sharmila Tagore, Shashi Kapoor and Balraj Sahni menjadi sebutan di media-media di India.

Pada tahun 1971, beliau menubuhkan produksi sendiri, Yash Raj Films (YRF).

"Saya mahu kahwin dan perlukan banyak wang ketika itu. Apabila saya beritahu abang tentang hasrat menubuhkan syarikat sendiri dia merestuinya," kata Chopra.

Sejak itu, Chopra enggan menoleh ke belakang. Produk sulung YRF, Daag (1973) menjadi filem terhebat sepanjang tahun.

Produksi hebat

Ia merupakan antara filem yang bertemakan cinta tiga segi yang sinonim dengan Chopra sebelum ini.

Jika kejayaan filem Kabhi Kabhie, Kaala Patthar and Silsila membantu mengukuhkan produksinya, karya ikonik seperti Deewaar dan Trishul mengangkat nama Chopra sebagai pengarah yang tiada tolok bandingnya.

"Kejayaan dua filem ini menjadikan YRF sebuah produksi yang paling berkuasa di India. Sebahagian besar pelakon di Bollywood memasang impian untuk menjadi sebahagian daripadanya," kata Ramesh Talwar yang menjadi pembantu Chopra sekitar tahun 70-an.

Menurut sumber YRF, sebanyak 12 daripada keseluruhan produk yang dipasarkan sejak sedekad lalu mencatatkan keuntungan sehingga AS$200 juta (RM610 juta) di seluruh dunia.

Sepanjang empat dekad kewujudannya, produksi itu semakin berkembang. Sejak tahun 2006, YRF kini mempunyai sebuah studio bunyi berteknologi tinggi, jenama muzik, bakat-bakat baharu dan sebuah unit pemasaran.

Penubuhan produksi Y Films misalnya bertujuan menghasilkan rancangan yang berorientasikan remaja. Kini, YRF juga mula merancang meneroka pasaran stesen televisyen.

Penulis biografinya, Rachel Dwyer berkata, kejayaan YRF selama ini terletak kepada Chopra, selaku Naib Presiden.

"Beliau memahami segala aspek mengenai pembuatan filem, daripada kewangan dan pengeluaran sehingga pemasaran serta pengarahan. Beliau menggabungkan kesemua kemahiran ini dalam kerjayanya," katanya.

CHOPRA sering menjadikan keindahan landskap kawasan pergunungan di Switzerland sebagai latar belakang filem-filemnya.


Sebagai seorang pengarah berpengaruh dalam industri berkenaan, filem-filem yang dihasilkan Chopra berjaya membentuk karier dan mencungkil bakat dua nama besar Bollywood, iaitu Amitabh Bachchan dan Shah Rukh Khan.

Filem arahannya, Deewar (1975) berjaya membentuk imej lelaki muda pembengis dalam diri Bachchan yang masih diingati jutaan peminat-peminatnya sehingga kini.

Situasi sama terjadi kepada Shah Rukh Khan yang membawa imej negatif dalam filem pertamanya Darr (1993) sebelum membawakan imej lelaki romantik dalam beberapa filem blockbuster seperti Dil To Pagal Hai (1997) dan Veer Zara (2004).

Lebih penting, Chopra juga memainkan peranan sebagai penerbit filem Dilwale Dulhaniya Le Jayenge (1995) dan Mohabbatein (2000) yang diarahkan oleh anaknya, Aditya yang menjadikan Shah Rukh Khan, pelakon kelas A sehingga kini.

Tema percintaan

Dari sudut karier pengarahan pula, Chopra mampu menghasilkan tema dan jalan cerita yang berbeza-beza. Misalnya tema romantik, kemanusiaan, masalah sosial, aksi dan seram dan sebagainya.

Ia kemudiannya digarap dengan jalan cerita menarik, muzik yang menakjubkan, penggambaran di luar negara dan babak romantik tanpa henti membabitkan pelakon-pelakon yang tampan dan jelita dilihat berjaya memancing penonton ke pawagam.

Bagaimanapun, dalam kebanyakan filemnya, Chopra sinonim menggunakan tema percintaan sebagai jalan cerita. Beliau gemar bermain emosi penonton melalui paparan kisah-kisah percintaan tiga segi, kecurangan, pengorbanan, percintaan remaja dan sebagainya.

Beberapa filemnya bermula dari Kabhie Kabhie sehingga Silsila, Chandni, Darr, Dilwale Dulhaniya Le Jayenge, Dil To Pagal Hai dan Veer-Jaara mengetengahkan tema yang sama dengan misteri tersendiri.

Penggambaran filem-filem ini sebahagian besarnya dilakukan di luar negara seperti di Switzerland. Salah satu lokasi penggambarannya ialah sebuah tasik di Alpenrausch, yang turut digelar Chopra Lake.

Usaha kerasnya selama ini turut diiktiraf. Chopra pernah memenangi beberapa anugerah perfileman termasuk enam National Film Awards dan 11 Filmfare Awards serta dinobatkan sebagai Pengarah Terbaik.

Kerajaan India juga turut menganugerahkannya Dadasaheb Phalke Award pada tahun 2001 dan Padma Bhushan pada tahun 2005 di atas sumbangannya terhadap industri perfileman negara itu.

Apa pun, Chopra kini sudah pergi meninggalkan peminat-peminatnya. Hilangnya tiada pengganti, namun yang pasti karya-karyanya pasti akan terus diingati.

Renangan gaya samurai

Posted:

Renangan gaya samurai

PERENANG akan dinilai berdasarkan keindahan daya dan teknik renangan yang dilakukan.


MUNGKIN ramai yang berpendapat bahawa aktiviti berjalan atau berenang mudah dilakukan oleh sesiapa sahaja. Namun, bagaimana pula sekiranya anda disuruh melakukannya dengan berpakaian samurai? Bagaimanapun, bagi segelintir rakyat di Jepun, mereka sanggup melakukannya, malah menganggapnya suatu keseronokan.

"Sut ini sangat berat dan panas. Tolong kipaskan saya.

"Saya hanya bimbang sekiranya saya tidak mampu keluar dari dalam air nanti. Lagipun, sudah tiga tahun saya tidak melakukannya," kata seorang doktor, Mutsuo Koga, 27, ketika bertemu peminat aktiviti renang dengan kostum tradisional itu baru-baru ini di sebuah kolam renang awam.

Aktiviti itu dikatakan bermula sejak zaman feudal pada kurun ke-15 hingga ke-16, sebagai salah satu ujian kepada golongan samurai bagi membuktikan semangat kepahlawanan dalam diri.

Ikhtiar hidup

Ia juga merupakan salah satu daripada teknik ikhtiar hidup agar bersedia berhadapan pelbagai rintangan. Adakalanya samurai perlu berenang bagi menyelamatkan diri dengan kostum dan perisai dibadan.

Kini, ia turut diiktiraf sebagai salah satu daripada persembahan estetik dalam seni mempertahankan diri di Jepun.

Seperti juga pengamal seni mempertahankan diri yang lain, pengamal aktiviti itu juga mengaplikasikan perkara yang dipelajari dalam kehidupan harian.

"Tujuan utama aktiviti ini adalah untuk mempelajari teknik dan kemahiran berenang dalam persekitaran sebenar," kata Tadao Koga. Beliau merupakan bapa kepada Mutsuo dan mahaguru di Sekolah Kabori, salah sebuah sekolah seni yang diiktiraf Persekutuan Renang Jepun.

SEJAK zaman dahulu, samurai dianggap sebagai lambang kepahlawanan di Jepun.


"Jika kamu boleh berenang dengan pantas menggunakan teknik dari Barat tidak semestinya kamu boleh melakukannya dalam persekitaran semula jadi," kata Koga, 67.

Perenang tradisional perlu menguasai kemahiran di dalam air yang membolehkan mereka bertahan melawan arus kuat berhampiran pantai.

Pada masa yang sama, mereka juga diajar mengenai teknik hayanuki iaitu berenang melawan arus sungai iaitu pengalaman yang membuatkan tubuh terasa seperti ditikam dan melambung ke udara.

Awasi musuh

Walau apapun yang terjadi, perenang perlu mendongakkan kepala bagi melihat sebarang rintangan di hadapan, sama ada batu atau musuh yang bersenjata.

Sambil berenang menggunakan teknik yang diajar, mereka juga dikehendaki memakai kostum dan perisai seberat 15 kilogram.

"Perenang akan dinilai berdasarkan keindahan daya dan teknik renangan yang dilakukan, bukannya kelajuan," kata Yoko Suzuki, 25, juara renang tradisional bagi kategori wanita.

Pengerusi Jawatankuasa Renang Tradisional Jepun, Masahiko Yaginuma berkata, teknik renangan itu telah diajar di sekolah-sekolah sejak awal kurun ke-20 namun ia kurang diberi perhatian dan hanya boleh ditemui di beberapa institusi.

"Pada hari ini, kaum wanita yang berusia 60 tahun dan ke atas merupakan kumpulan utama pelajar baharu. Ini kerana mereka melihat renang tradisional sebagai lanjutan daripada budaya wanita Jepun seperti upacara mengatur bunga dan teh," katanya.

Briton Antony Cundy, eksekutif pengiklanan yang berpangkalan di Tokyo dan telah menghabiskan masa bertahun-tahun mengajar di Kabori berkata, aktiviti itu mempunyai kelebihan yang tersendiri.

MEMAKAI kostum dan perisai seberat 15 kilogram pastinya menguji ketahanan mental serta fizikal peserta.


"Ia merupakan kaedah terbaik untuk kekal bertenaga dan menikmati kebudayaan serta sejarah negara ini.

"Sesuatu yang menghairankan kerana tidak ramai warga asing yang menggemarinya," kata Cundy.

Selepas beberapa minit meluncur laju di dalam air, perlahan-lahan Mutsuo Koga mula timbul sambil menerima tepukan gemuruh daripada penonton yang hadir.

Dia berjaya berenang sejauh 20 meter menggunakan teknik kuak yang membolehkannya meluncur di permukaan air. Pergerakannya langsung tidak terhalang biarpun memakai topi samurai.

"Bahagian dada kamu perlu berada di atas air," kata Tadao, ketika anaknya itu berdiri di tepi kolam renang.

"Saya tidak melakukannya dengan baik. Badan saya sukar untuk terapung," kata Mutsuo yang tidak berpuas hati dengan pencapaiannya. - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved