Sabtu, 20 Oktober 2012

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Disemadi selepas 67 tahun

Posted:

Disemadi selepas 67 tahun

Oleh SITI NOR AFZAN KASIMAN dan ADLAN JAAFAR

PAGI itu, suasana tenang yang menyelubungi Tanah Perkuburan Tentera Komanwel Cheras, Kuala Lumpur dikocak emosi pilu sebaik sahaja tujuh anggota Skuadron Ratu yang mengusung keranda mengandungi 80 cebisan tulang mangsa nahas tentera udara 67 tahun lalu memasuki kawasan perkuburan.

Dengan beralaskan dua batang kayu, keranda yang dilitupi bendera Union Jack kemudian diletakkan di atas lubang kubur.

Sebaik sahaja paderi Tentera Udara Diraja Britain (RAF), Jonathan Beach memulakan bacaan doa yang sesekali diiringi tiupan bengol dengan lagu The Last Post oleh tentera Gurkha, Prakash Rai dari Brunei, kesayuan jelas terpancar di wajah Geoffrey Dovey, 83, adik kepada salah seorang mangsa nahas iaitu pemandu arah William Kenneth Dovey.

Tepat pukul 7.50 pagi, keranda diturunkan perlahan-lahan ke satu liang kubur yang mempunyai lapan batu nisan.

Selepas itu, tetamu kehormat terdiri daripada Pesuruhjaya Tinggi British, Simon Featherstone, Penasihat Pertahanan Britain, Kapten Kenneth Taylor, waris-waris dan wakil daripada kerajaan Malaysia dijemput untuk memberi penghormatan terakhir kepada mangsa nahas.

Ketika Geoffrey bersama adiknya, John, 74, berjalan beriringan bersama jambangan bunga segar di tangan, mudah untuk menebak kesayuan yang beraja di hati mereka.

"Sangat lega apabila jasad abang saya dapat disemadikan dengan sempurna hari ini," ujar Geoffrey.

Walaupun hampir 70 tahun terpisah, dia masih mengingati perwatakan abangnya yang disifatkan sebagai pandai menikmati kehidupan dan meminati tumbuh-tumbuhan.

Tinggal sejarah

"Dia pernah bercita-cita menjadi veterinar," ujar Geoffrey yang berusia 16 tahun ketika pesawat yang dinaiki abangnya hilang dalam nahas udara 23 Ogos 1945.

"Saya pernah mendengar pesawat tersebut ditemui sekitar tahun 60-an tetapi tiada langkah lanjut diambil sehinggalah ada internet pada tahun 2000.

KERANDA yang mengandungi 80 cebisan tulang lapan anggota tentera yang terkorban di Langkap, Negeri Sembilan disemadikan dalam satu lubang kubur di Tanah Perkuburan Tentera Komanwel, Cheras.


"Dengan bantuan anak saya, Andrew, saya sering berutus e-mel dengan Kumpulan Sejarah Malaya (MHG) bagi mengikuti perkembangan penemuan pesawat tersebut.

"Usaha kami berbaloi. Selepas 67 tahun menanti, hari ini, William dapat disemadikan dengan tenang," ujarnya yang terbang bersama John dari East Anglia, Britain ke Kuala Lumpur untuk menghadiri upacara pengebumian abang mereka.

Bagi Nick Bromfield pula, dia hadir untuk memberi penghormatan terakhir buat bapa saudaranya, pengebom udara John Trevor Bromfield.

"Saya lahir 13 tahun selepas nahas yang menimpa pak cik. Saya hanya pernah mendengar sekali cerita mengenainya daripada mendiang bapa," ujar lelaki berusia 54 tahun ini.

Walaupun tidak pernah bertemu dengan bapa saudaranya itu, Bromfield akui, dalam upacara itu, dia dapat merasai kesedihan datuk, nenek serta ahli keluarganya yang lain.

"Bapa mempunyai empat orang adik-beradik lelaki. Tiga orang daripadanya merupakan anggota RAF manakala seorang lagi pegawai perubatan tentera. Bapa saudara yang terkorban itu ialah anak bongsu dalam keluarga.

"Dia berusia 20 tahun pada waktu itu dan baru sahaja menamatkan latihan ketenteraan," terangnya yang berasal dari Surrey, England.

Kini, kesemua adik-beradik John Trevor telah meninggal dunia. Bapa Bromfield juga meninggal dunia akibat sakit tua lapan tahun lalu.

Gelang tangan

"Keluarga kami sudah lama menganggap nahas yang berlaku puluhan tahun lalu sebagai sejarah sehinggalah pada tahun 2008, bangkai pesawat Liberator yang membawa pak cik saya ditemui semula.

"Sebagai waris, saya bersyukur mendiang mendapat majlis persemadian yang sempurna namun sedikit terkilan kerana bapa pergi tanpa sempat menyaksikan upacara pengebumian ini," ujarnya.

WARIS ini mengambil peluang merakamkan kenangan terakhir di pusara mangsa nahas sebelum pulang ke Britain.


Sementara itu, Featherstone, turut melahirkan penghargaan tinggi kepada pihak terlibat menjayakan misi penyelidikan dan ekskavasi bangkai pesawat B24 Liberator KL654 R yang terhempas di Gunung Telapa Buruk, Langkap, Kuala Pilah, sehingga menemukan 80 cebisan tulang milik lapan kru pesawat RAF yang terhempas pada 23 Ogos 1945.

Mengimbas semula nahas yang berlaku 67 lalu itu, pesawat B24 Liberator KL654 R terhempas setelah berlepas dari pangkalan udara British di Kepulauan Cocos, Australia bagi misi menghantar bekalan kepada gerila Force 136.

Pesawat tersebut berlepas bersama tiga pesawat lain menyeberangi Pulau Sumatera untuk ke Tanah Melayu tetapi tidak kembali ke pangkalan.

"Selepas gagal dikesan, RAF mengandaikan KL654 R terhempas dan bangkainya dijumpai pada tahun 1996," ujar ketua penyelidik MHG, Shaharom Ahmad, 38.

Dia bersama beberapa rakan kemudian mengatur beberapa eskpedisi penyelidikan ke Hutan Langkap.

"Bangkai pesawat ditemui berhampiran dengan laluan balak. Sepanjang ekspedisi tersebut, kami temui ekor pesawat, dua enjin dan sayap. Selain itu, ada juga cebisan baju, serpihan tulang, dua bentuk cincin, rantai dan gelang tangan.

"Hanya pada ekspedisi kedua, barulah kami berjaya menjumpai nombor siri pesawat iaitu KL654.

"Pada tahun 2007, kami menjalankan ekspedisi bersama Ketua Penyelidik Ekspedisi Garis Waktu Muzium Tentera Darat, Kapten Zuraiman Abd. Ghani.

"Ketika itu, kami menjumpai plat nombor enjin bertulis KL654. Ini mengesahkan lagi bahawa ia datang dari bangkai pesawat yang sama. Kami juga menemui simbol Snake yang merujuk kepada nama kod pesawat," jelasnya.

Untuk menyempurnakan misi ekskavasi tersebut, kumpulan ini berulang-alik selama 10 kali ke lokasi bangkai ditemui.

PADERI Jonathan Beach yang mengetuai upacara pengebumian diterbangkan khas dari Britain.


Ada masanya mereka berkampung di dalam hutan tebal itu selama berbelas hari demi memastikan proses ekskavasi yang dijalankan berjalan lancar.

"Semasa melakukan kerja-kerja ekskavasi, kami temui seutas gelang tangan yang tertulis nama Marjorie Hall.

"Setelah diselidik, ia adalah nama isteri salah seorang mangsa nahas. Dengan bantuan seorang rakan sukarelawan di United Kingdom, kami dapat mengesan wanita tersebut.

"Dia yang kini berumur 90-an masih mengingati suaminya yang terkorban dalam nahas pesawat di Malaya," ujar Shaharom.

Penemuan bangkai KL654 ini adalah kejayaan kedua MHG selepas badan itu membantu Muzium TD membongkar misteri pesawat Dakota DC-3 yang terhempas di tengah hutan tebal di Gua Musang, Kelantan empat tahun lalu.

Permainan video bawa maut

Posted:

Permainan video bawa maut

Susunan NOOR SYAHIDATOOL AQMA MOHD. NOOR

IBU BAPA perlu mengawasi jenis permainan video yang dimainkan oleh anak-anak. - Gambar hiasan


REMAJA yang bermain permainan video berunsur ganas untuk tempoh beberapa tahun didapati cenderung berkelakuan kejam terhadap orang lain, menurut satu kajian terbaharu oleh sepasukan penyelidik dari Universiti Brock di Kanada.

Penyelidik berkata, kajian itu adalah yang pertama menunjukkan kaitan jelas antara tempoh pendedahan kepada permainan video berunsur ganas secara berterusan dengan peningkatan kelakuan ganas.

Kanak-kanak perempuan yang bermain permainan komputer seperti itu semasa zaman persekolahan mereka juga didapati cenderung berkelakuan seperti kanak-kanak lelaki.

Keputusan kajian itu agak membimbangkan. Pada masa yang sama, ia mengukuhkan lagi tanggapan bahawa permainan ganas dipercayai mewujudkan perbuatan ganas yang bertujuan menangani konflik dan kemarahan.

Bukti menunjukkan bahawa mereka yang telah lama bermain permainan video itu cenderung untuk bertindak balas secara fizikal terhadap provokasi yang tidak disengajakan seperti terlanggar kereta lain.

Hasil kajian itu dibuat setelah seorang koroner, John Pollard, menggesa ibu bapa supaya menghentikan tabiat membenarkan permainan video yang biasa digunakan oleh golongan dewasa kepada anak-anak mereka.

Desakan itu dibuat ekoran kematian Callum Green, 14, dari Stockport, Kanada yang membunuh dirinya selepas bermain permainan video, Call of Duty yang memaparkan adegan ngeri iaitu tentera saling berbunuhan antara satu sama lain.

Ngeri

Callum dari Brinnington, Stockport, kerap bermain permainan itu dengan bapa tirinya, David White walaupun ia memaparkan adegan mengerikan tentera cuba untuk membunuh antara satu sama lain.

Selepas mendapati tingkah laku budak itu semakin teruk, ibunya bertindak mengurungnya sehinggalah dia ditemui tergantung di katilnya dengan tali leher sekolah menjerut lehernya.

John berpendapat, had umur perlu diletakkan pada pelbagai permainan komputer yang ada di pasaran sekarang.

"Saya sudah melihat bukti ada permainan komputer yang tidak sesuai.

"Perkara ini sangat penting. Remaja tidak boleh bermain atau mempunyai akses kepada bentuk permainan dewasa.

"Sekiranya ibu bapa membenarkan, mereka perlu memantau apa yang anak mereka pelajari daripada permainan video itu," ujarnya.

PERMAINAN video ganas memberi kesan kepada psikologi pemain. - Gambar hiasan


Ibu Callum, Emma Green, mengakui dia mengetahui tentang saranan had umur permainan tersebut tetapi masih membenarkan anaknya itu bermain.

"Callum sudah berumur 14 tahun dan dia sangat matang. Kanak-kanak lain bermain permainan yang lebih teruk daripada itu.

"Saya membenarkannya bermain Call of Duty tetapi tidak permainan lain. Dia dibenarkan duduk di hadapan komputer selama beberapa jam sahaja.

"Adakah itu membuat saya menjadi seorang ibu atau bapa yang teruk?" ujarnya pada sesi inkues anaknya itu.

Callum pernah bertindak lari dari rumah selepas bertengkar dengan ibu bapanya apabila dia meminta kebenaran berulang kali untuk mempunyai anak bersama teman wanitanya yang berusia 13 tahun.

Pada hari sebelum kematiannya, Callum telah dikurung oleh ibu bapanya kerana dia pulang lewat dari rumah teman wanitanya. Pada sebelah petang pula, dia balik ke rumah dengan buku lali yang terseliuh dan bergaduh dengan adiknya.

Callum kemudian pergi ke bilik tidur untuk menggunakan komputernya, walaupun keluarganya percaya dia hanya melayari laman sosial Facebook dan YouTube.

"Adakah dia ada niat untuk membunuh dirinya atau hanya untuk memberi anda kejutan, kita tidak tahu," jelas John.

Ibunya memberitahu, Callum tidak pernah memberikan sebarang petunjuk dia mahu membahayakan dirinya atau berasa tidak puas hati dengan keluarga. Dia juga tidak dibuli di sekolah.

Pada awal tahun ini, media massa melaporkan pelampau Kristian, Anders Behring Breivik yang membunuh 77 orang di Norway mendakwa dia telah bermain permainan video yang berunsur ganas bagi melatihnya melakukan serangan berdarah itu.

Di Perancis, pengganas Mohammed Merah juga bermain permainan video sebelum membunuh tiga askar dan empat orang awam termasuk tiga kanak-kanak di Toulouse pada Mac lalu.

Sepak bola api

Posted:

Sepak bola api

PEMAIN perlu berpuasa selama 21 hari sebelum boleh bermain permainan pelik ini.


BIAR betapa hebat sekali pun bintang bola sepak dunia seperti Lionel Messi dan Ronaldo, mereka belum tentu mampu menyentuh bola berapi yang menjadi permainan tradisi pelajar sekolah pondok di Indonesia.

Ia kedengaran seperti satu lagi versi filem Shoalin Soccer tetapi permainan yang popular di sekitar Yogjakarta, Bogor, Tasikmalaya dan Papua itu menjadikan buah kelapa yang telah diubahsuai sebagai bola.

Mereka menendang dan menimang bola yang sedang terbakar dengan berkaki ayam.

Permainan lima sebelah atau lebih itu dikaitkan dengan ilmu persilatan dan dimainkan di atas tanah lapang berukuran 25x25 meter. Ia dipanggil sepak bola api oleh penduduk tempatan.

Sepak bola api menggunakan bola khas yang diperbuat daripada buah kelapa. Buah kelapa yang paling baik ialah yang sudah tua dan kering. Sebahagian kulit kelapa itu akan dihiris dengan pisau sehingga menjadi bentuk bulat seperti bola.

BUAH kelapa direndam dalam minyak tanah selama dua hari.


Airnya dibuang selepas tempurung kelapa itu ditebuk dengan hujung pisau. Ia kemudian ditutup dengan kain, diisi dengan minyak tanah dan dibiarkan selama dua hari.

Menurut seorang penganjur pertandingan, Ali Khyar, perlawanan itu diadakan bagi menguji ketahanan pelajar.

"Memang ada perasaan bimbang tentang keselamatan mereka tetapi berkat doa tertentu yang dibaca ditambah selepas badan mereka dilumur dengan garam dan sirih untuk mengurangkan rasa panas di kaki, belum ada pemain yang cedera teruk setakat ini," kata Ali sambil memberitahu, permainan itu bertambah popular setiap kali menjelang Ramadan.

Minyak tanah

Akhbar-akhbar di Britain minggu ini menyifatkan bermain buah kelapa yang sedang terbakar dengan api bernyala-nyala jauh lebih sukar berbanding menendang bola biasa. Apatah lagi bola yang digunakan adalah buah kelapa yang sudah direndam selama dua hari dalam minyak tanah.

Media di negara itu kagum bagaimana pelajar sekolah pondok terbabit mampu bermain selama 60 minit tanpa sedikit pun mengalami luka terbakar.

"Pemain utama Liga Perdana England bakal hilang punca jika terpaksa bermain bola sepak api di Indonesia," tulis Daily Mail. Sementara The Sun mengatakan pemain profesional di England tidak setanding pemain bola sepak api Indonesia.

"Liga Perdana England melahirkan ramai bintang sensasi dunia tetapi mereka bukan siapa-siapa apabila bermain bola sepak api," ulas The Sun.

Menurut beberapa orang pelajar yang ditemu bual wartawan tempatan, bermain bola sepak api lebih menarik berbanding bola biasa.

PELAJAR wanita juga bermain bola sepak api bagi menguji ketahanan mental dan fizikal mereka.


Bagaimanapun, ada syarat yang perlu dipatuhi sebelum mereka turun padang iaitu mereka harus berpuasa selama 21 hari sebagai proses penyucian diri.

"Mereka juga dikehendaki memakai pakaian yang menutup aurat, menghindari makanan yang dimasak menggunakan api dan berpuasa seharian tanpa tidur.

"Selepas melalui proses ini, mereka tidak akan takut lagi bermain bola sepak api malah boleh menggunakan kepala dan dada untuk mengawal bola," ujarnya.

Mengulas perkara ini seorang pakar motivasi, Ahmadi Baharudin berkata, beliau tidak pernah mendengar permainan bola sepak api itu.

Katanya, ia mungkin ada kaitan dengan sejenis ilmu persilatan dan tidak mustahil melibatkan bantuan makhluk halus.

"Jika tidak bagaimana kaki dan badan pemain tidak berasa sakit atau cedera. Lagipun penggunaan garam dan sirih mirip amalan perbomohan," tegasnya.

Bagi seorang pengamal perubatan Islam, Shamsuri Shafie, beliau tidak menolak bantuan makhluk halus dalam sukan itu.

"Mustahil mereka tidak mengalami sebarang kesakitan. Sifat api itu sendiri membakar dan boleh mencederakan," katanya. - MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved