Ahad, 21 Oktober 2012

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Eja anggap diri budak tadika

Posted:

Eja anggap diri budak tadika

BERSAMA-SAMA Lisa Surihani, Azizah Mahzan, Radhi Khalid, Esma Daniel, Nazim Othman serta pelakon tambahan yang lain, itu pasukan terbaik di mata Eja.


GELORA lautan boleh sahaja dilawan armada perkasa namun tiada yang dapat berlawan dengan takdir. Sekilas pandang, pernyataan itu terlalu besar untuk dicondongkan kepada situasi yang sedang menjadi rutin jelitawan bernama Siti Shahrizah Saifuddin ketika ini.

Umum tahu dia menjadi 'orang ketiga' namun kuatnya hati wanita itu, segala cabaran mahu ditepis tanpa mudah mengaku kalah. Skeptikal umum tentang masalah dalaman dan kekalutan dalam naskhah teater Tun Dr. Siti Hasmah juga mahu dibuang jauh dari kotak fikirannya.

Berbaki kurang daripada 30 hari sesi latihan menjelang hari pertama untuk ditatap sebagai Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali, dia melalui saat yang diibaratkan sebagai sesi prasekolah. Sementelah, watak isteri kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad itu watak sulung yang membawanya ke dunia teater.

"Saya selalu dianggap sebagai jiran yang anti sosial oleh penerbit teater ini, Datin Paduka Umie Aida. Kami berjiran tapi saya jarang bertemu mesra dengannya. Ketika dia menelefon saya untuk menawarkan watak berkenaan, saya kaget. Umie mahu berjumpa dan berikan saya skrip teater itu. Saya pula langsung tidak tahu apa-apa perkembangan tentang teater berkenaan.

"Dalam masa saya masih berkira-kira untuk membaca skrip terlebih dulu, Umie memberi isyarat agar jawapan yang bakal keluar dari mulut saya ialah jawapan yang dia mahukan," tenang Eja bercerita susur titik yang membawa dirinya memasuki pasukan teater yang diterajui oleh Erma Fatima itu.

Meletakkan dirinya sebagai gelas kosong yang hari demi hari diisi titis-titis air sebagai penghilang dahaga ilmu, kata Eja, amanah yang terjunjung atas batu jemalanya itu juga disifatkan sebagai takdir dan peluang yang tidak mampu dibayar oleh wang ringgit.

"Saya anggap peluang ini sebagai takdir yang telah tertulis untuk saya. Ia sebuah rezeki dan pengalaman berlakon bersama pasukan teater ini satu anugerah yang tidak ternilai. Saya diberi keyakinan untuk watak itu, kenapa mesti saya sendiri perlu berasa tidak yakin terhadap diri sendiri. Jadi saya terima semua tunjuk-ajar sewaktu sesi latihan.

"Vokal dan lenggok cakap saya yang mendayu-dayu kena pancung habis. Saya cuba sedaya-upaya, selebihnya semoga urusan ini dipermudahkan Allah SWT," lenturnya hampir meluluhkan perasaan.

Pilihan ketiga pilihan terbaik


PERCAYA kepada takdir dan rezeki yang memihak untuknya, Eja sahut cabaran untuk jiwai karakter Tun Siti Hasmah biarpun sebelum ini nama Erra Fazira dan Sofia Jane menjadi pilihan pertama dan kedua.


Hampir 16 tahun dalam industri juga, Eja sudah cukup membuktikan dirinya sebagai anak seni. Deretan drama televisyen berupa drama bersiri mahupun telemovie, bahkan terpilih ke dalam senarai aktres terbaik Malaysia dalam Festival Filem Malaysia menerusi Janin, namun untuk teater yang akan berkampung di Panggung Sari, Istana Budaya itu, namanya muncul sebagai pilihan ketiga. Itupun, selepas pilihan pertama, Erra Fazira dan Sofia Jane menarik diri.

Kedua-dua pelakon itu miliki pesona dan profil tersendiri, kedua-duanya juga pernah melakar nama indah di kanvas perfileman dan teater tanah air. Namun, atas beberapa masalah, kedua-duanya tidak kesampaian untuk memecah tembok menzahirkan watak bekas wanita pertama negara itu.

"Tidak adil untuk saya bercakap tentang apa yang berlaku kepada dua pelakon berkenaan. Benar saya pilihan ketiga tetapi fikiran saya menolak untuk memikirkan susun atur tersebut. Kalau difikirkan akan menambah tekanan. Lebih baik saya ambil positif.

"Setahu saya, Lisa juga bukan pilihan pertama, Erma Fatima dan Esma Daniel juga bukan pilihan pertama. Pendek kata, kebanyakan nama dalam pasukan teater ini bukanlah pilihan pertama, tapi inilah pilihan yang terbaik," katanya sedar jika selalunya peluang berpihak kepada nama yang sama, tiada kelainan dapat disaksikan.

Tambah Eja: "Cuma jangan terlalu meletakkan harapan yang terlalu tinggi. Sekiranya persembahan saya nanti tidak sampai ke tahap yang diimpikan, itu tidak bermakna saya gagal.

"Saya tak kisah dikritik, bahkan saya mohon, tegurlah dan dan kritiklah saya. Cuma janganlah kecam saya sehingga saya terduduk."

Meneruskan nota hatinya untuk dipaparkan sebelum lakonannya diperlihatkan, Eja menjelaskan banyak sebab yang menyokong pilihannya untuk menyahut tawaran melakonkan watak Siti Hasmah.

"Saya terima watak ini atas banyak sebab, terutamanya kerana Umie, Erma dan Normah Nordin sebagai jurulatih lakonan. Sudah tentu juga kerana teater itu sendiri yang bercerita tentang wanita ulung negara.

"Setiap kali melintasi dan datang menyaksikan kerja orang lain, saya cuma tertanya-tanya tentang peluang untuk saya berlakon di sini (Istana Budaya). Alhamdulillah, Allah SWT telah mendengar doa saya dan peluang ini tidak harus saya lepaskan.

"Saya juga mahu mencabar diri saya untuk berdepan dengan khalayak yang ramai. Satu tahu, itu kelemahan utama saya. Saya jenis yang tidak pandai berurusan dengan orang ramai dalam satu-satu majlis."

Pinta aktres berusia 40 tahun itu, janganlah dirinya dibandingkan dengan Erra mahupun Sofia.

"Erra seorang primadona filem Melayu, Sofia pula pelakon yang cukup berpengalaman. Kami dalam liga yang berbeza. Saya tidak mahu memberi tekanan kepada diri sendiri untuk fikirkan perkara itu," katanya yang semakin tenang selepas selepas beberapa minggu menjalani latihan.

Gerun berdepan 9 November

Tiga minggu menjalani latihan, banyak yang telah dikutip. Selain skrip yang dibekalkan, itu pun baru sahaja diberikan skrip terakhir beberapa hari lalu, Eja turut membuat rujukan peribadi untuk mengenali dan mendalami watak sebenar yang dipegangnya.


MEMASUKI usia 40 tahun kematangan sifat kewanitaan dan keibuan Eja tambah meyakinkan bahawa aktres yang pernah digelar ratu bulu mata palsu satu ketika dahulu itu pilihan terbaik untuk merealitikan wajah Tun Siti Hasmah di pentas Istana Budaya pada 9 hingga 19 November nanti.


"Saya baca buku Doktor Umum: Memoir Tun Dr Mahathir Mohamad. Saya juga 'google' untuk cari maklumat-maklumat berkaitan, tengok dalam YouTube. Mujurlah sempat juga bertemu dengan Siti Hasmah baru-baru ini. Saya hanya nampak dan kenal beliau dari jauh, saya katakan pada diri saya, tiada sesiapa pun yang dapat menjadi Tun selepas ini. Apa yang akan saya persembahkan nanti hanyalah Siti Hasmah seperti yang dibayangkan setepat yang mungkin," katanya.

Daripada 74 babak keseluruhan, 64 daripada babak dalam teater tersebut melibatkan lakonannya.

"Harap penonton tidak muak nanti," tutupnya ketawa sambil tidak mahu membohongi diri bahawa jauh di hati yang terdalam, dia menyimpan gugup dan gerun berdepan teater berprofil tinggi itu.

Memetik kata-katanya di awal perbualan, 'seandainya lakonan itu sesuatu yang bakal memberikan kesan ke jiwa penonton, itu sudah satu ibadah saya untuk masyarakat.'

Jika Eja berjaya memberi interpretasi yang paling tepat menghampiri lahiriah dan batiniah Siti Hasmah sepanjang 9 hingga 19 November nanti, gambaran itu bakal jadi riwayat hidup yang memberi impak. Bukan sahaja kepada penonton bahkan kepada pemilik riwayat itu sendiri.

2012 uji kejantanan Farid

Posted:

2012 uji kejantanan Farid

PE3 adalah sebuah dedikasi Farid terhadap golongan tertentu.


DEBARAN Farid Kamil sedang memuncak berikutan dia kini berdepan dua perkara terpenting dalam hidup. Dia berdebar kerana filem Pe3 dan bergelar suami kepada pelakon Diana Danielle.

Filem kedua arahan Farid, Pe3 sudah ditayangkan di panggung bermula 18 Oktober lalu. Selepas Kongsi, itu taruhan baharu jejaka 31 tahun ini yang masih bermain dengan genre aksi. Namun kali ini diselitkan komedi untuk menjadi perencah filem yang turut dilakonkan bersama Kamal Adli dan Diana Amir itu.

Angka tiga juga bakal menukar kehidupan pemuda kelahiran Kedah ini. Daripada status si teruna ke suami seorang aktres terkenal, Diana Danielle yang duduk sama rendah berdiri sama tinggi dengannya. Tarikh 3 November 2012 dipilih sebagai tanda dua jiwa ini menjadi satu.

Pasangan ini mendedahkan yang mereka akan bernikah pada pagi 3 November kelak di Hotel Flamingo Ampang dan memilih taman di pinggiran tasik sebagai lokasi untuk bernikah. Pendedahan itu diadakan pada tarikh debaran filem Pe3 ditayangkan kepada pihak media, baru-baru ini.

Buat pengarah yang sudah mengembara ke Australia untuk segulung sijil lagak aksi, Pe3 buat Farid adalah sebuah filem dedikasi.

"Filem ini adalah sebuah cerita yang saya tujukan khas buat sebuah golongan, tetapi harus saya tegaskan bukan kumpulan tertentu. Golongan ini telah menjalankan aktiviti hitam secara terangan," tegas Farid yang membawa watak Megat, seorang ketua gengster yang merasakan dirinya bagus.

"Karakter Megat ini sangat menjijikkan. Dia rasa dia bagus," ulas Farid lagi.

Menginjak balik sejarah lama, Farid Kamil pernah dihujani panggilan telefon dan khidmat pesanan ringkas (SMS) ugutan gara-gara kekasihnya Diana. Dia hadapinya dengan tenang dan jantan.

"Sewaktu mahu bikin Pe3, saya sudah bersedia namun tetap ada kerisauan. Mungkin ini akan ada masyarakat atau golongan tertentu bertindak agresif terhadap saya. Namun ini tidak ada kaitan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Malaysia. Saya harap penjelasan ini akan dapat memberi pemahaman yang baik," jelasnya yang menjalankan penggambaran filem Pe3 di Pulau Pinang secara keseluruhannya.

Masih mengangkat tema gengster dalam filem kali ini, ujar Farid gengsterisme sudah lama berada dalam masyarakat kita malah sebelum 55 tahun kemerdekaan.

"Banyak cerita kongsi gelap dijadikan cerita rakyat dan mitos yang tepat. Itu sudah berlaku sebelum merdeka. Tidak menjadi persoalan dalam mengangkat tema gengsterisme. Cuma kini pendekatan pengarah lebih komersial," jelasnya yang akan muncul juga dalam filem Legenda Budak Setan 2: Katerina.

Menariknya, Pe3 dan Diana mempunyai persamaan. Pertemuan kedua-dua subjek penting ini berdasarkan pembacaan Farid di surat khabar. Teringat cerita Farid satu ketika yang memberanikan diri menegur dan mengusik Diana dalam satu acara di Bangsar selepas membaca kisah kontroversi gadis itu di surat khabar.

Usikan nakalnya yang berbunyi, 'kalau sudah single bolehlah masuk jarum' rupanya adalah satu tanda bahawa jodoh bakal bertemu.

Begitu juga dengan Pe3, hasil pembacaan Farid tentang kisah rompakan mikrocip yang berlaku di Pulau Pinang telah membuahkan idea untuk tampil dengan sebuah filem. Mengangkat jenayah yang dibacanya di laman suratkhabar, filem ini memaparkan beberapa episod daripada penceritaan saksi yang ditemuinya.

Guba tidak tumpang populariti

Posted:

Guba tidak tumpang populariti


GUBA menegaskan bahawa tiada isu menumpang populariti apabila dia berduet dengan Yuna mahu pun Diana Danielle. Semuanya berlaku kerana keserasian.


MELODI lagu-lagu daripada album pertama jejaka ini kedengaran sedikit berbeza. Guba atau nama sebenarnya Gabrial Robert tampil dengan irama lebih segar berbanding album penyanyi lain di pasaran.

Kata jejaka berumur 28 tahun itu, lagu-lagu mendayu yang dimuatkan dalam album Guba: Hilang itu berkonsepkan irama pop alternatif.

Benar, jika kali pertama mendengar lagu-lagu seperti Purple River, Oh Please, You and Me dan Aku Pergi itu, melodinya kedengaran bervariasi. Tetapi lenggok suara Guba itu kedengaran persis penyanyi Yuna. Dia turut mengakuinya.

"Boleh dikatakan lagi-lagu saya seperti Yuna versi lelaki. Sengaja saya memberi variasi kepada album ini kerana rasanya belum ada lagi penyanyi lelaki lain di negara ini yang membawakan lagu berentak sedemikian.

"Lagi pun boleh dikatakan bahawa rentak sebegini masih baharu di negara kita. Rentaknya juga santai," kata Guba semasa sesi fotografi di Studio Utusan baru-baru ini.

Dia yang kini turut berkhidmat sebagi pegawai perhubungan awam (PR) di sebuah institusi pengajian tinggi itu tampil dengan lapan lagu Inggeris dan dua lagu berbahasa Melayu.

Guba bertuah kerana pantas diberi peluang untuk menghasilkan album sendiri. Apatah lagi pada saat ini penyanyi lain sekadar berani mempertaruhkan lagu dalam bentuk single.

Kebolehan mencipta lagu membuka peluang besar untuk dia tampil dengan sebuah album penuh dengan sepuluh buah lagu itu.

"Saya akui bahawa trend penjualan album penuh pada ketika ini begitu teruk. Bagaimanapun jika tidak cuba, kita tidak akan tahu kelebihan kita.

"Lagipun kesemua lagu dalam album ini merupakan koleksi ciptaan saya sendiri. Ada lagu yang disiapkan dalam tempoh sepuluh minit sahaja iaitu yang berjudul Did We," katanya yang gemar mencipta lagu ketika pulang dari kerja.

Lebih istimewa apabila Guba menampilkan penyanyi antarabangsa Yuna untuk berduet dalam lagu You're So Fine dan pelakon Diana Danielle menerusi duet dalam lagu A Beauty Company.

Bersedia untuk dilabel sebagai mahu menggunakan populariti dua nama besar tersebut sebagai platform pantas mencipta nama, Guba tampil dengan alasannya.

"Sebenarnya tidak timbul soal menumpang populariti Yuna dan Diana Danielle di sini. Saya berduet dengan mereka pun disebabkan keserasian antara kami.

"Secara peribadinya saya tidak mengenali mereka, tetapi keputusan itu juga atas sebab pilihan oleh syarikat rakaman, Laguna Music," jelas pemegang ijazah dalam bidang perniagaan itu.

Mengakhiri bicara Guba berkata, dia sekadar mencuba nasib untuk menjadi penyanyi kerana minatnya lebih terarah kepada penciptaan lagu. Namun begitu dia tetap memilih untuk membahagikan masa di antara kerjaya sebagai pegawai seranta dan penyanyi.

Sehingga kini anak bongsu daripada enam beradik itu telah mencipta sebanyak kira-kira 60 buah lagu sendiri.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved