Selasa, 2 Oktober 2012

Kosmo Online - Infiniti


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Infiniti


Telefon pintar jejaskan jualan gajet IT

Posted:

Telefon pintar jejaskan jualan gajet IT

Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR
khadijah.mohamadnor@kosmo.com.my

JIKA berbicara tentang teknologi, ia tidak pernah ada penghujungnya. Saban hari pelbagai peralatan canggih yang merangkumi segenap aspek muncul untuk mendominasi kehidupan manusia moden.

Satu ketika dahulu komputer peribadi (PC) pernah dianggap simbol kekayaan seseorang, tetapi kini, dunia semakin berubah. Teknologi yang sentiasa ke hadapan membuatkan ramai sudah melupai zaman memiliki sebuah PC.

Kewujudan variasi telefon pintar dan aplikasi komputer tablet menyebabkan ia menjadi kegilaan masyarakat masa kini. Malah, penggunaan gajet sedemikian bukan sahaja terhad pada golongan dewasa, bahkan remaja belasan tahun termasuk kanak-kanak di sekolah rendah.

Bagaimanapun, di sebalik fenomena telefon pintar itu, ramai yang tidak menyedari dilema yang dihadapi pengusaha atau peruncit produk berkaitan teknologi maklumat (IT).

Apabila semua orang menggunakan telefon pintar untuk melakukan semua perkara daripada berkomunikasi, merakamkan foto, melayari internet, menghantar e-mel, mendengar lagu, memuat turun aplikasi dan banyak lagi, ia menyebabkan pengguna tidak membeli produk-produk IT lain.

Situasi tersebut menjejaskan pengusaha dan peruncit IT seperti margin keuntungan yang rendah, perlindungan harga/tuntutan rebat, komitmen terhadap stok dan kecairan kewangan.

Selain itu perang harga, kesan dasar komputer riba percuma kerajaan yang menjejaskan jualan, kekerapan penganjuran pameran perdagangan dan ketiadaan persatuan untuk melindungi nasib peniaga menambahkan keperitan peniaga.

Menyelami masalah peniaga

Menyedari hakikat itu, 1 Utopia Berhad, sebuah syarikat konglomerat berasaskan teknologi negara terpanggil untuk menganjurkan forum bertajuk Survival Peruncit IT bagi membincangkan dan menyelami permasalahan yang dihadapi golongan terbabit.

Pengarah Urusannya, Chin Boong Long berkata, perbincangan tersebut memberi tumpuan terhadap isu-isu serius yang melanda peruncit IT.

PERANG harga antara peruncit IT juga dikenal pasti menjadi masalah dalam kalangan peniaga barang-barang pengkomputeran.


"Semua masalah ini jika tidak diatasi dengan baik mampu membuatkan ramai peruncit atau peniaga produk IT gulung tikar kerana tidak mampu menanggung beban tersebut," ujar Boong Long sambil memberitahu jumlah pendapatan yang dijana oleh sektor IT untuk produk berasaskan IT antara Ogos 2011 dan Julai 2012 adalah sekitar RM4 bilion. Ia juga sebenarnya penurunan sebanyak 3.9 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Berlangsung di Hotel Federal, Kuala Lumpur pada 27 September lalu, forum tersebut dihadiri lebih 140 peruncit IT dan wakil persatuan IT negeri dari seluruh negara.

Rata-rata mereka melahirkan harapan agar satu tindakan segera perlu diambil bagi menyelesaikan dilema yang dihadapi bagi memastikan masa depan yang lebih cerah buat golongan tersebut.

Pengerusi Persatuan ICT Pulau Pinang (PICTA), Irene Sau memberitahu, beliau sudah melibatkan diri dalam industri jualan produk IT selama lebih 20 tahun dan telah melalui pelbagai situasi jatuh bangun dunia perniagaan dalam tempoh tersebut.

"Namun, pasaran kami sekarang begitu terkesan dengan kewujudan pelbagai aplikasi telefon pintar yang secara tidak langsung menjejaskan jualan produk IT.

"Sepuluh tahun lalu, peruncit boleh menjual bermacam-macam produk apabila pelanggan membeli sebuah PC untuk kegunaan sendiri.

"Tetapi, sekarang dengan membeli sebuah komputer riba atau telefon pintar, ia sudah mencukupi. Justeru, tidak banyak produk yang boleh kami jual kepada pelanggan. Tambahan pula, persaingan sengit dari pelbagai pihak membuatkan pengaliran wang masuk berkurangan," luah Irene yang mewakili suara hati peruncit IT dari Pulau Pinang. Irene juga merupakan Pengarah Urusan Best Buy IT Mall Sdn. Bhd.

Masa sukar

Perkara itu dipersetujui Pengerusi Persatuan Pengusaha Komputer & Digital IT Ipoh Perak, Kevin Chang. Menurut Kevin, semua orang yang terlibat dalam industri jualan runcit IT berdepan situasi sukar ketika ini.

PARA peserta forum Survival Peruncit IT mengangkat tangan tanda setuju dengan cadangan penyelesaian masalah yang dikemukakan.


"Jualan berkurangan, harga produk yang tidak terkawal menyebabkan tiada keuntungan yang diperoleh dan peningkatan perbelanjaan bagi operasi kedai memburukkan lagi keadaan.

"Justeru, kami amat berbesar hati jika ada pihak yang mahu mengambil langkah pertama dalam usaha membendung permasalahan ini sekali gus menyokong penuh setiap tindakan yang akan dilakukan kelak," tegas Kevin merangkap Pengarah Urusan Megamate Computer Holdings (M) Sdn. Bhd.

Apa yang pasti, melalui penganjuran forum itu, semua peserta menyokong penuh usaha untuk menubuhkan persatuan bebas, iaitu sebuah entiti berasingan daripada Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Malaysia (Pikom) bagi melindungi kepentingan dan masa depan peruncit IT.

Kewujudan persatuan itu diharap mampu menangani pelbagai cabaran yang dihadapi peruncit IT, bahkan membangunkan eko-sistem peruncitan IT yang mampan melalui sistem pasaran yang saksama di Malaysia.

Idea yang diilhamkan oleh Boong Long itu menerima sokongan padu daripada lebih 100 peruncit IT yang melihat kepentingan pembentukan badan bebas tersebut.

Selain itu, para peruncit IT telah menandatangani satu bentuk petisyen untuk menunjukkan sokongan mereka kepada penyelesaian yang dicadangkan sepanjang forum itu berlangsung.

Selain itu, setakat ini 13 peruncit IT dari seluruh negara telah menawarkan diri secara sukarela untuk menjadi sebahagian daripada jawatankuasa kerja bagi melancarkan pentadbiran persatuan baharu itu.

Usaha Moss selamatkan Amazon

Posted:

Usaha Moss selamatkan Amazon

KEMPEN Moss ini adalah untuk menyedarkan orang ramai mengenai kepentingan sungai terbang kepada penduduk Brazil dan Amerika Selatan.


KEMARAU yang boleh membinasakan sudahpun meliputi seluruh dunia. Disebabkan itulah seorang juruterbang kelahiran British, Gerard Moss terbang di langit hutan hujan Amazon hampir kebanyakan masa sejak beberapa tahun lalu.

Dari kedudukan itu, dia mahu menunjukkan suatu tempat yang dikenali sebagai 'sungai terbang' yang membawa hujan ke Brazil dan Amerika Selatan.

Sungai terbang merupakan istilah yang merujuk kepada kawasan dengan udara yang lembap.

Menaiki pesawat berenjin tunggal, Embraer 721, Moss yang juga seorang aktivis alam sekitar Brazil berada dalam penerbangan selama 45 minit dari Brasilia ke Goiania, ibu negeri Goias, Brazil.

"Perubahan iklim sedang menunjukkan kesannya. Amerika Syarikat kini melalui musim kemarau terburuk dalam tempoh setengah abad lalu, Rusia juga mengalami keadaan yang sama.

"Hujan monsun di India sudah bertahun-tahun tidak seragam. Brazil ialah negara yang paling kurang menerima kesan kerana kami mempunyai hutan tropika paling besar di dunia. Ia membantu mengawal iklim," katanya kepada pemberita AFP.

Bagaimanapun, tidak dapat dinafikan pembalakan dan perladangan mengecilkan saiz hutan hujan Brazil dari semasa ke semasa. Pokok terlalu sedikit untuk melepaskan wap air yang mewujudkan sungai terbang.

Sungai-sungai terbang dari Amazon ke Andes bertindak sebagai penghadang semula jadi membawa kepulan wap ke tengah barat, tenggara dan selatan Brazil.

Bahagian utara Argentina, Uruguay, Paraguay, Colombia, Venezuela, Guyana, French Guiana dan Surinam turut mendapat kesan sungai terbang.

"Peru turut menerima sedikit air itu, tetapi tidak sampai sehingga ke Cordillera," kata Moss.

Ketika dalam penerbangan ke Goiania, Moss memantau sebuah petunjuk yang mengukur tahap kelembapan udara sekali gus dapat membantu mengesan kedudukan sungai-sungai terbang.

MOSS berdiri di sebelah pesawat miliknya yang digunakan untuk projek sungai terbang.


"Tidak ramai yang menyedari bahawa selain memerangkap karbon dioksida, sebatang pokok mampu menghantar 1,000 liter air ke udara dalam sehari.

"Seluruh lembangan Amazon merupakan pembekal air segar untuk banyak tempat di Brazil dan juga di utara Argentina. Jadi, ia sangat penting untuk iklim dan ekonomi Brazil," terang Moss lagi.

Dia menghabiskan masa selama lima tahun untuk menyebarkan mesej bahawa hutan hujan Amazon bukan sahaja membersihkan udara planet, tetapi menjadi penjamin kelembapan dan hujan di Brazil dan beberapa bahagian Amerika Selatan.

Menyebarkan kesedaran Amazon

Moss yang membesar di Switzerland tiba di Brazil pada tahun 1980-an untuk bekerja dalam bidang eksport kacang soya. Sedekad kemudian, dia menukar arah dengan mengambil keputusan menjadi pencinta alam sekitar bersama-sama isterinya yang berketurunan Kenyan.

Pada tahun 2003, mereka melancarkan projek pertama bagi memelihara air Brazil yang merupakan pembekal air segar sebanyak 12 peratus kepada dunia.

Selama setahun mereka terbang menggunakan pesawat laut untuk mengumpul lebih 1,000 sampel air dari sungai dan tasik di kawasan pedalaman negara itu.

"Kami dapat mengesan 85 peratus air bersih sekali gus menunjukkan Brazil mempunyai kekayaan sumber air. Tetapi di kawasan berpenduduk di bandar, kualiti air teruk," katanya.

Melalui keputusan yang didapati itu, Institut Penyelidikan Udara Kebangsaan (INPE) telah melakukan pengesanan kadar kelembapan semasa Amazon di seluruh Brazil pada setiap hari.

EKOSISTEM hutan hujan Amazon dapat menstabilkan suhu dunia.


Kini, Moss amat sibuk mempromosi keputusan kajiannya bagi memastikan matlamat menyelamatkan Amazon tercapai.

"Amazon bagi kebanyakan orang, tidak memberikan apa-apa perbezaan. Kami mahu menunjukkan bahawa terdapat perbezaan jika kita kehilangan Amazon.

"Apabila kami hilang kawasan-kawasan tertentu di Amazon melalui pembesaran tanah sama ada untuk penternakan lembu atau kacang soya, ekosistem dunia perlahan-lahan akan lenyap.

"Kami mahu menyelamatkan setiap batang pokok di situ," katanya dengan penuh semangat.

Para saintis percaya hampir 20 peratus Amazon telah pun musnah dan terdapat ketakutan bahawa hutan itu tidak mungkin dapat diselamatkan jika kemusnahan mencecah 35 hingga 40 peratus.

Penebangan hutan secara besar-besaran menjadikan Brazil sebagai negara penyumbang kesan rumah hijau terbesar di dunia, tetapi pihak kerajaan berjanji untuk menanganinya, malah telah mengadakan langkah signifikan sejak beberapa dekad lalu.

Pihak berkuasa Brazil mengesahkan pada awal tahun ini rekod penebangan hutan pada tahun 2011 hanyalah 6,418 kilometer persegi iaitu yang terendah pernah dicatatkan berbanding 27,000 kilometer persegi pada tahun 2004. - AFP

Taksub memburu The Vault

Posted:

Taksub memburu The Vault

Oleh MOHAMMAD RADZI ZOHRI
radzi.zohri@gmail.com

BORDERLANDS 2 menggunakan teknik grafik Cell Shading yang lebih mantap.


PELBAGAI permainan video genre first-person shooter telah dibincang dalam artikel-artikel sebelum ini. Namun, kesemua judul itu tidak mempunyai elemen permainan role playing.

Tidak seperti yang lain, 2K Games telah melancarkan siri terbaharu francais mereka iaitu Borderlands 2 yang bukan sahaja beraksi dalam genre first-person shooter malah merupakan permainan video bergenre role-playing.

Dibikin oleh Gearbox Software dan dilancarkan pada 18 September 2012, Borderlands 2 tampak seperti mampu memenuhi kehendak komuniti pemain dan kini boleh didapati pada platform Microsoft Windows, PlayStation 3 dan juga XBOX 360.

Plot

Borderlands 2 merupakan sambungan daripada siri sebelumnya iaitu Borderlands yang mengisahkan tentang empat orang Vault Hunters yang taksub untuk memburu The Vault.

Ia dipercayai sebagai satu simpanan yang mengandungi pelbagai teknologi makhluk asing di planet Pandora. Bagaimanapun, The Vault dilindungi oleh Guardians yang tugasnya menghalang sesiapa sahaja daripada memasuki The Vault dengan sebab tertentu.

Pada penghujung episod sebelumnya iaitu dalam Borderlands, pemain didedahkan bahawa terdapat seekor raksasa bernama The Destroyer yang dikunci di dalam Vault dan ia terlepas akibat perbuatan antagonis.

Kini, dengan tamatnya kejadian tersebut, tampil empat orang Vault Hunter baharu iaitu Axton, Maya, Salvador dan Zero dalam Borderlands 2 yang diumpan oleh Handsome Jack iaitu antagonis dalam sekuel tersebut.

Begitupun, seperti dalam siri sebelum ini, pemain telah diselamatkan oleh sebuah robot Claptrap dan pengembaraan pemain di planet Pandora bermula.

Mekanisme permainan

Borderlands 2 menggabungkan dua genre ke dalam satu permainan video iaitu role-playing dan juga first-person shooter yang terbukti sangat berjaya dalam siri sebelum ini.

EMPAT watak utama yang boleh dipilih pemain iaitu Salvador, Maya, Axton dan Zero yang mempunyai kekuatan tersendiri dalam menghadapi pihak musuh.


Heads Up Display (HUD) memaparkan nyawa, perisai, meter experience, objektif, kompas, peluru, dan juga kemahiran yang aktif. Sepanjang permainan, pemain akan mendapati bahawa cara mudah untuk mendapatkan duit dan juga experience point adalah melalui Bounty Board.

Ia bukan sahaja memberi pemain quest utama malah quest sampingan untuk diselesaikan. Ganjaran seperti senjata juga diberi dan berbeza mengikut bounty yang diselesaikan.

Sama seperti permainan video role-playing yang lain, pemain akan diganjarkan dengan experience untuk setiap musuh yang mereka tumpaskan dan setiap musuh mempunyai titik-titik lemah yang tersendiri.

Dengan mengambil kesempatan menyerang titik-titik lemah ini, pemain dapat menjimatkan peluru mereka kerana serangan ke atas titik-titik lemah ini membolehkan pemain mengenakan critical yang mempunyai damage (kesan kesan kecederaan atau kerosakan) yang lebih tinggi daripada serangan biasa.

Malah, pemain akan diberi antara empat pilihan watak sebagai watak utama iaitu Salvador, Maya, Axton dan Zero. Masing-masing mempunyai kemahiran yang unik dan bersesuaian untuk senario berlainan.

Watak utama

Empat kelas watak utama yang berbeza membuktikan bahawa Borderlands 2 mahu pemain menilai kemahiran sendiri dan menggunakan kemahiran tersebut bagi mengemudi watak pilihan mereka.



Setiap watak adalah unik. Salvador contohnya, ialah seorang Vault Hunter yang lebih berminat dalam serangan jarak dekat di samping mempunyai ketahanan nyawa dan perisai yang sangat tinggi.

Maya pula sesuai untuk mereka yang menggemari serangan taktikal dan mampu menggunakan kemahiran Phaselock yang boleh melumpuhkan musuh di udara.

Axton pula seorang komando mampu mendirikan turret untuk menumpaskan pihak musuh manakala Zero, seorang pembunuh upahan tegar yang menggunakan pedang dan juga senjata. Zero sangat berkemampuan dalam menggunakan senjata sniper di samping mampu membuat klon dirinya sendiri bagi mengelirukan pihak musuh.

Skill Tree

Sepanjang permainan, pemain akan diberikan ganjaran experience dan setiap kali mereka mencapai level baharu, mereka akan diganjarkan dengan skill point. Ia boleh digunakan untuk mempelajari kemahiran baharu yang berbeza mengikut kelas pemain.

Grafik

Borderlands 2 menggunakan teknik grafik yang sama dengan siri sebelum ini iaitu Cell Shading. Selain menawarkan grafik yang mantap ia juga tidak menggunakan sebanyak kuasa pemprosesan seperti yang digunakan oleh Battlefield 3.

Ia sekali gus membolehkan ramai pemilik komputer peribadi (PC) untuk bermain Borderlands 2 tanpa masalah. Secara keseluruhannya, Borderlands 2 berjaya memenuhi kriteria yang dicari oleh komuniti pemain kini. Menerima pelbagai respons positif, Borderlands 2 juga berjaya mendapat rating yang tinggi dalam pelbagai review di seluruh dunia.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved