Rabu, 19 September 2012

Kosmo Online - Varia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Ziarah kampung Orang Asli

Posted:

Ziarah kampung Orang Asli

ANAK-ANAK Orang Asli bersifat terbuka apabila turut menyertai acara permainan yang diadakan oleh Muslim Aid.


SUASANA Kampung Sentoi, Pos Betau, Raub meriah apabila segerombolan sukarelawan termasuk dua orang dari Universiti Teknologi Malaysia dan Bom Kitchen memasuki kawasan perkampungan tersebut.

Bukan mahu meninjau hasil hutan mereka tetapi para sukarelawan itu datang dengan tujuan membantu penduduk kampung yang terdiri daripada penduduk Orang Asli.

Seramai 45 buah keluarga terlibat dalam program yang dianjurkan oleh Yayasan Kemanusian Muslim Aid Malaysia (Muslim Aid) pada akhir bulan Mei lalu.

Umum mengetahui bahawa sumber makanan utama masyarakat Orang Asli ialah ubi kayu. Justeru, dengan bantuan chef eksekutif Bom Kitchen, Chef Azry diharap dapat menambah nilai pada sumber makanan mereka sekali gus menambah hasil pendapatan penduduk di Kampung Sentoi.

DUA orang sukarelawan dari Iran (empat dari kiri) turut menyertai aktiviti Muslim Aid kali ini.


Chef Azry yang mengetuai pasukan sukarelawan mengajar para penduduk cara membuat tapai ubi dan ikan pekasam menggunakan ubi kayu.

Kelak, hasil makanan yang dibuat itu boleh dijual di pekan-pekan berdekatan dengan kampung mereka seperti di Sungai Koyan.

"Sebenarnya hasil hutan yang dipungut dan tanaman hasil usaha penduduk kampung boleh dimanfaatkan untuk menambah pendapatan," terang Chef Azry sambil menambah kerepek juga merupakan salah satu jenis makanan yang mudah dibuat dan mampu menarik perhatian ramai.

PENDUDUK Orang Asli diberi tunjuk ajar cara untuk menambah nilai pada sumber asli, ubi kayu.


Sambutan penduduk kampung juga amat menggalakkan, malah mereka bersikap terbuka untuk menyertai setiap acara yang dirangka oleh Muslim Aid.

Wakil penduduk yang dikenali sebagai Faik berharap, program seperti itu perlu dilakukan lebih kerap walaupun ia kelihatan sangat ringkas.

Dia tidak henti-henti mengucapkan terima kasih atas keprihatinan pihak Muslim Aid mengadakan program ziarah ke kampungnya itu.

Selain tunjuk ajar mengenai cara-cara menambah sumber kewangan, Muslim Aid turut mengadakan acara gotong-royong memasak bersama-sama Orang Asli dan sukaneka dengan anak-anak masyarakat itu.

SELAIN mengajar penduduk dalam bidang masakan, sukarelawan Muslim Aid turut beramah mesra dengan anak-anak Orang Asli.


Tiada kata-kata yang dapat digambarkan apabila kegembiraan menyertai permainan jelas terserlah pada wajah kanak-kanak.

Pada sebelah malam pula, penduduk Kampung Sentoi pula menyajikan tarian tradisional Sewang kepada para sukarelawan di rumah Tok Batin.

Salah seorang sukarelawan yang hanya mahu dikenali sebagai Karim berkata, acara sedemikian amat penting terutamanya kepada generasi muda.

Bukan sahaja dapat memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan malah yang paling penting orang muda dapat dididik mengenai semangat kerjasama dan tolong-menolong dengan lebih berkesan.

Selain sukarelawan yang terdiri daripada rakyat Malaysia, dua orang daripadanya ialah warganegara Iran yang belajar di negara ini.

Istimewanya Sai Florist

Posted:

Istimewanya Sai Florist

Oleh NIZHA PERIASWAMY

THILAGA (kiri) sedang sibuk menggubah bunga di Sai Florist untuk salah seorang pelanggan.


SEIRING dengan usaha kerajaan memartabatkan perpaduan bangsa Malaysia, dua orang sahabat, Mohd. Razlan Ismail, 39, dan T. Bala Prakash, 40, tampil dengan pembukaan sebuah kedai bunga berkonsep 1Malaysia.

Dengan hasrat murni untuk membekalkan bunga-bunga segar pada harga murah dan berpatutan, kedai konsep 1Malaysia, Sai Florist and Gift yang berlokasi di Lot G30, pasar raya Giant, Bandar Kinrara, Selangor adalah satu contoh perniagaan rakan dua kaum berlainan.

"Sebenarnya kami juga mempunyai seorang rakan berketurunan Cina sebelum ini. Tetapi, dia baru beberapa bulan lalu meninggal dunia. Kami turut berkongsi pelancaran kedai ini bersama mendiang," kata Bala dalam nada simpati.

Razlan pula memberitahu, sebelum beroperasi di premis tersebut, mereka menjalankan bisnes bunga di bawah nama Crystall Florist & Gifts secara dalam talian sejak dua tahun lalu.


TIMBALAN Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Hasan Malek pada majlis pelancaran Sai Florist and Gift.


Berdasarkan respons positif, mereka akhirnya membuat keputusan membuka kedai bunga itu dengan mengambil kira lokasi yang paling strategi iaitu di Puchong.

Kedua-dua lelaki berkenaan turut menjual produk-produk hadiah, bunga-bunga plastik dan patung untuk disusun bersama dalam gubahan bunga mengikut tempahan.

"Kami sedia memberi komitmen yang sepenuhnya kepada pelanggan. Mereka boleh datang membeli sendiri, menempah atau berkongsi idea gubahan bersama dua orang penggubah bunga di sini," kata Razlan.

Tambah beliau lagi, bagi memastikan kualiti bunga seiring dengan harga dibayar, pihaknya memastikan bunga-bunga itu dibawa khas ke premis mereka sama ada dari Cameron Highlands atau diimport dari China dan India.


PELBAGAI cenderamata tambahan juga boleh dibeli di kedai yang diusahakan dua sahabat ini.


Dengan pilihan lebih 20 jenis bunga di kedai tersebut, salah seorang penggubah bunga, Thilaga Raman, 36, mengakui, bunga mawar menjadi permintaan klasik yang terus kekal dalam pasaran di samping bunga lili.

Bunga mawar

"Permintaan terhadap bunga semakin banyak kerana ia memberi pelbagai signifikan yang positif. Kami di sini menyediakan perkhidmatan menjual dan gubahan bermula dari harga RM35," ujar Thilaga lagi.

Razlan, juga memberitahu, sebelum ini syarikatnya pernah membekalkan bunga untuk pelbagai acara termasuk acara-acara hiburan dan penghargaan tokoh Malaysia.

Razlan menambah dengan respons berterusan daripada orang ramai, pihaknya merancang untuk membuka cawangan kedua Sai Florist and Gift di pusat beli-belah, The Curve, Damansara menjelang tahun hadapan.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved