Ahad, 30 September 2012

Kosmo Online - Urban


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Urban


Paradigma kreatif Kakiseni Arts Exchange

Posted:

Paradigma kreatif Kakiseni Arts Exchange

Oleh NIZHA PERIASWAMY
nizha.periaswamy@kosmo.com.my

WANITA ini mempunyai impian besar untuk mengangkat paradigma seni tanah air yang dipersembahkan kepada umum. Low Ngai Yuen mungkin satu nama yang tidak asing di pentas seni lantaran pernah membina nama dalam bidang pengacaraan menerusi program 3R.

Hari ini apabila mengetuai sebuah organisasi persembahan Kakiseni, Ngai Yuen dan ahli organisasi itu merintis Program Kakiseni Arts Exchange 2012 yang diinisiatifkan bagi membuka lebih banyak peluang dan idea kepada para penggiat seni.

Collaborative Outreach atau program kolaborasi luar bersama itu ialah siri kedua daripada Kakiseni Arts Exchange 2012 yang diadakan bermula 6 September hingga 27 September lepas.

Kolaborasi itu turut melibatkan beberapa artis dari luar negara yang bekerjasama dengan karyawan tempatan dengan niat untuk membangun dan mewujudkan satu hasil kerja yang baharu serta mengujakan bagi tontonan umum.

Antara yang mendapat respons positif awam adalah persembahan jalanan yang dilakukan secara dirancang atau spontan di pelbagai lokasi di sekitar Lembah Klang.

"Pertunjukan seumpama ini adalah pertama kali diadakan yang mengangkat kepelbagaian disiplin persembahan seni. Lapan orang artis dari serata dunia yang berada di Malaysia selama 20 hari bersama-sama 16 artis tempatan bergabung idea untuk menunjukkan sisi berbeza seni," demikian kata Ngai Yuen ketika ditemui di majlis pelancaran Kakiseni Art Exchange 2012, Collaborative Outreach yang diadakan di Dewan Perhimpunan Cina, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Karyawan luar negara

Dalam majlis pelancaran yang diadakan dengan penuh nilai estetika seni itu, pelakon terkenal tempatan, Ida Nerina mengambil alih gimik pementasan pelancaran selaku pengarah.

Persembahan pelancaran itu turut melibatkan nama-nama tersohor negara dalam bidang seni kreatif contohnya pereka fesyen, Melinda Looi, malah kreativiti beliau melalui transformasi oleh artis visual dari Brazil, Andre Mendez.

SERAMAI lapan orang artis antarabangsa terbang ke tanah air untuk bersama-sama memeriahkan Kakiseni Arts Exchange 2012.


Persembahan tersebut juga menggabungkan muzik dan tarian di atas satu pentas menerusi persembahan tradisonal oleh Kamarul Baisah (rebab), Norbaizura Abdul Ghani (bharatanatyam), Zamzuriah Zahari (Mak Yong) dan penari kontemporari Judimar Hernandez.

Gimik pelancaran menampil persembahan projeksi visual oleh Fairuz Sulaiman dan Au Sow Yee dan artis bunyi, JacAI Map.

"Kami menitikberatkan tiga perkara dalam program ini. Pertama, pembangunan kemahiran apabila idea-idea baharu dibawa ke platform persembahan. Kedua, pembangunan kandungan yang membabitkan intipati dalam persembahan yang diperbaharui atau diubah.

"Sementara akhir sekali, pastinya mengenai pembangunan penonton. Kami mahu para penonton mengambil bahagian menjadi sebahagian daripada persembahan," tambah Ngai Yuen lagi.

Cabaran seni jalanan

Menurut salah seorang pelakon dari United Kingdom, Ben Cutler, program Arts Exchange itu dilihat sebagai satu pendekatan yang melibatkan pelbagai unsur seni.

"Jika di UK, saya hanya seorang pelakon dan berlakon dalam satu persekitaran yang statik. Di sini persembahan saya lebih mencabar apabila saya perlu menyampaikan seni secara spontan melalui program kolaborasi Kakiseni.

PENTAS pelancaran yang minimalis dengan rona warna putih menjelmakan aura tersendiri seiring dengan persembahan berkualiti para pelakon.


"Ia juga mendekatkan saya dengan penonton jalanan yang pada awalnya keliru, tetapi kemudian turut bersama mengikut jalan cerita," kongsinya.

Kata Cutler lagi, walaupun pendekatan yang digunakan itu baharu di Malaysia, tetapi beliau mengakui penonton di negara ini mudah menerima dan mempunyai kerelaan untuk turut serta.

"Saya amat menyukai kehidupan jalanan di sini yang penuh dengan aktiviti. Pertama kali di sini, saya juga jatuh cinta dengan kepelbagaian kebudayaan dan penerimaan secara luas," ujarnya.

Dengan sokongan daripada Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia di bawah Dasar Industri Kreatif Negara (DIKN), Jabatan Kesenian Kebudayaan Negara serta Unit Pengurusan Persembahan dan Penyampaian (PEMANDU), Kakiseni Arts Exchange 2012 akhirnya melabuhkan tirainya menerusi majlis penutupan di Temple of Fine Arts di Brickfields, Kuala Lumpur pada 27 September lalu.

Sepanjang program 20 hari persembahan seni tersebut, ia telah menjelajah beberapa lokasi terpilih seperti Pavilion, Batu Caves dan Penjara Pudu di Kuala Lumpur, Pulau Ketam di Klang, Melaka, Seremban serta Temple of Fine Arts sebagai lokasi terakhir.

Edisi ketiga Milo Play More, Learn More

Posted:

Edisi ketiga Milo Play More, Learn More

BERSUKAN bukan sahaja menyihatkan tubuh dan minda, bahkan membentuk jati diri remaja.


KOMITMEN Nestle Milo terhadap kanak-kanak di Malaysia melangkau jauh lebih mendalam bukan hanya sekadar pendidikan asas sukan.

Ia jelas terbukti dengan kesinambungan semula kempen Milo Play More, Learn More yang ketiga dengan penglibatan lebih menyeluruh di seluruh negara.

Ini bermakna program itu melibatkan lebih ramai pelajar dan keluarga, bahkan dengan usaha sama yang lebih kukuh masyarakat setempat.

Sebahagian besar daripada kempen itu akan memberi penekanan mendidik dan pada masa yang sama menyampaikan maklumat kepada ibu bapa bahawa mereka memainkan peranan yang penting bagi menggalakkan anak-anak menjalani gaya hidup aktif serta sihat.

Selain membantu mengelakkan penularan epidemik masalah berat badan berlebihan dan tekanan perasaan, Nestle Milo juga ingin mengingatkan ibu bapa bahawa kegiatan sukan adalah amat penting dalam memastikan tumbesaran yang seimbang anak-anak mereka.

Kebiasaannya oleh kerana ibu bapa begitu mendambakan anak-anak mencapai kecemerlangan dalam pelajaran, mereka terlupa bahawa aktiviti riadah dan bersukan juga merupakan sebahagian daripada pembangunan diri si kecil.

Milo Play More, Learn More merupakan sebuah kempen yang dibangunkan oleh Nestle Milo pada tahun 2009 mencakupi program di seluruh negara.

Tanggungjawab sosial Milo

Ia bertujuan memupuk serta membangunkan pemahaman yang lebih mendalam rakyat Malaysia mengenai keseimbangan hidup yang sejahtera melalui permainan dan sukan.

Selaku pengeluar minuman kesihatan terbesar di Malaysia, Nestle Milo memikul tanggungjawab untuk menerajui perubahan dalam kehidupan kanak-kanak dengan mempromosikan waktu bermain melalui sukan.

"Sukan merupakan guru yang terbaik untuk mengajar mengenai nilai-nilai murni kehidupan," kata Pengarah Eksekutif, Unit Kopi & Minuman Ringan, Nestle Products Sdn. Bhd., Don Howat.


PELBAGAI keletah peserta dapat dilihat sepanjang kem Milo Play More, Learn More.


"Anda boleh menyampaikan pengajaran yang lebih banyak melalui sukan contohnya bagaimana untuk menerima kekalahan dan kemenangan, kehidupan tidak selalunya adil dan pelbagai perkara lagi.

"Sekiranya anda membenarkan generasi muda membesar dengan pengalaman sedemikian mereka akan berjaya memupuk nilai-nilai murni tersebut.

"Kita telah menyaksikan ramai daripada individu yang membesar dengan melaksanakan aktiviti sukan dapat membangunkan kemahiran yang tidak dapat dipelajari dengan membaca buku," kongsi Howat lagi.

Beliau menambah, Nestle Milo berbangga kerana kempen itu telah berjaya mencapai matlamat untuk mencetuskan perubahan tingkah laku generasi muda dan masyakarat Malaysia dalam tempoh tiga tahun pelaksanaannya.

"Selain menumpukan usaha kepada hak kanak-kanak untuk mendapat lebih masa bermain dan belajar, kami juga menjalankan usaha sama yang rapat dengan masyarakat setempat melalui pelbagai kaedah. Ia bertujuan memberi mereka kefahaman dengan lebih mendalam keperluan sebenar masyarakat di peringkat akar umbi.

"Hari ini, kem dan klinik sukan yang kami anjurkan mendapat sokongan penuh dan diakui pelbagai persatuan ibu bapa dan sekolah," ujar Howat.

Sokongan ibu bapa

Kempen tersebut telah menerima maklum balas yang positif daripada ibu bapa yang menghadiri kem itu.

Seorang peserta, Fadzil Anuar, 41, merasakan bahawa konsep yang dilaksanakan itu amat berjaya, malah mencadangkan kem dan aktiviti-aktiviti seumpamanya harus dikendalikan seberapa kerap kerana ia memberi banyak pendedahan kepada kanak-kanak.

Di kem ini ditunjukkan demonstrasi bagaimana untuk menguruskan sesuatu acara dan juga mendidik mereka mengenai sukan selain secara tidak langsung menggalakkan si kecil untuk bersosial.


SI cilik didedah lebih awal untuk berseronok dengan bersukan.


Sukan bukan sekadar memupuk pemenang sahaja kerana sebuah padang permainan merupakan tempat yang terbaik untuk kanak-kanak mempelajari nilai-nilai sosial dan moral.

Bersukan akan membangun serta memperkukuhkan pelbagai nilai diri seperti kerjasama berpasukan, kesetiaan, pengorbanan, kesungguhan, etika bekerja dan ketahanan mental.

Kelebihan yang dipelajari melalui nilai-nilai murni itu akan menentukan bagaimana kanak-kanak tersebut akan bekerjasama dengan orang lain pada masa depan.

"Lebih ramai kanak-kanak hari ini meminati sukan, tetapi mereka hanya menontonnya di kaca televisyen atau melalui internet. Lebih ramai lagi yang tidak dapat melalui sendiri pengalaman bersukan secara langsung sama ada dengan bersendirian mahupun dengan rakan-rakan.

"Milo Play More, Learn More membuka peluang yang sebenar kepada kanak-kanak dengan membawa persekitaran sukan ke tempat di mana mereka berada," tambah Howat.

Tahun ini Milo Play More, Learn More akan meneruskan usaha mendidik masyarakat di peringkat akar umbi melalui kem sukan Milo dan memberi inspirasi kepada kanak-kanak untuk belajar, berhubungan dan berkembang melalui sukan.

Tahun ini, kem tersebut dijadualkan untuk turut meliputi Pantai Timur Malaysia dan menjangkau kawasan yang lebih luas serta lebih ramai lagi para pelajar di sekolah.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai jadual kem, ibu bapa boleh mengunjungi laman web http://www.milo.com.my/parents_arena/Pages/play_more_learn_more_schedule_2012.aspx.

Tilam tidur lebih sempurna

Posted:

Tilam tidur lebih sempurna

Oleh NIZHA PERIASWAMY
nizha.periaswamy@kosmo.com.my

GETHA adalah jenama tilam tempatan yang dikenali ramai menerusi produk yang berkualiti.


TIADA yang lebih melegakan apabila dapat berbaring di atas tilam yang empuk selepas seharian berpenat lelah tidak kira di pejabat atau beriadah.

Tidur yang cukup dan berkualiti penting untuk mendapatkan kesihatan sempurna, maka pemilihan tilam harus diberi penekanan.

Ini kerana tilam yang betul mampu memberi rehat yang terbaik, apatah lagi kalau dihitung kita secara puratanya menghabiskan satu pertiga daripada masa harian kita di atas tilam.

Selain untuk tujuan tidur atau rehat, biasanya pengguna memilih tilam berdasarkan keindahan rekaannya untuk menata gaya bilik.

Getha antara jenama tilam tempatan yang unggul baru-baru ini menghasilkan tilam Ikon Hijau yang bukan sahaja indah menghiasi kamar, bahkan penuh inovasi.

Getha mahu mempersembahkan rantai tidur yang boleh membangunkan sistem kesihatan estetik dan holistik.

Selaku jenama yang mengutamakan penggunaan hijau dan mesra alam, Getha berbangga dengan inovasi Ikon Hijau yang direka menggunakan kombinasi lateks unik untuk keselesaan sempurna.

TILAM Ikon Hijau menggabungkan inovasi dan kesempurnaan untuk memberikan momen indah di kamar tidur.


"Ikon Hijau Getha juga bakal menjadi penyelesai bagi masalah penyelenggaraan tilam.

"Kita hanya perlu memusing dan mengubah arah untuk menjaga ketahanan supaya ia bertahan lebih lama," kata Pengarah Urusan Getha Beddings Sdn. Bhd., Vincent Tan.

Malah, Ikon Hijau juga memberi pengguna pilihan sudut penggunaan, sama ada bahagian yang lebih lembut atau kental.

Satu sudut Ikon Hijau mempunyai permukaan Pillow Top untuk bantal yang menyediakan rasa lebih sempurna.

Sudut lain tilam Ikon Hijau Getha pula merupakan bahagian Euro Top yang memberikan rasa lebih kental.

Menambah nilai kepada Ikon Hijau ialah padding bulu yang diimport khas dari Jerman untuk cita rasa penuh kemewahan.

Dari segi estetik pula, reka bentuk sudut penghujung Ikon Hijau menampakkan penelitian kerja tangan signatur Getha.

"Ia adalah produk hijau sejak awal lagi kerana selain peka dengan alam semula jadi, Getha menggunakan sumber mentah tempatan sejak sekian lama," ujar Tan.

Harga untuk seunit tilam Ikon Hijau ialah antara RM10,000 hingga RM15,000.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved