Isnin, 10 September 2012

Kosmo Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Harimau Muda robek ego Indonesia

Posted:

Harimau Muda robek ego Indonesia

REUBEN (kanan) menjaringkan gol kemenangan Harimau Muda pada aksi menentang skuad B-22 Indonesia pada Piala SCTV di Gelora Bung Karno, Jakarta semalam.


EGO Sang Garuda berterusan 'dirobek' Harimau Muda. Malam tadi, dendam skuad Bawah 22 Tahun (B-22) Indonesia terhadap Harimau Muda masih belum terlunas apabila tewas tipis 0-1 dalam aksi Piala SCTV di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta.

Lebih menyedihkan, skuad kendalian Aji Santoso itu juga dicemuh lebih 5,000 penyokong sendiri - jumlah yang jauh lebih sedikit berbanding 100,000 penyokong Garuda yang memenuhi stadium yang sama ketika kempunan merampas pingat emas temasya Sukan SEA daripada skuad muda negara tahun lalu.

Pada perlawanan malam tadi, tonggak pertahanan negara, K. Reuben muncul wira apabila meledak gol tunggal perlawanan menerusi rembatan deras daripada luar kotak penalti melepasi jangkauan penjaga gol Indonesia, Aji Saka dua minit sebelum babak pertama berakhir.

Terdahulu, kesilapan mudah penjaga gol Harimau Muda, Ahmad Izham Tarmizi Roslan yang beberapa kali dilihat gagal mengawal kemas bola pada pertengahan babak pertama gagal dimanfaatkan rangkaian penyerang tuan rumah yang diterajui kapten, Fasta Biqul dan Hendra Bajaw.

Bersambung babak kedua, Harimau Muda sepatutnya selesa mendahului 3-0 namun dua gol ledakan Ahmad Hazwan Bakri dan Ferris Danial pada minit ke-48 dan 56 dibatalkan pengadil, Faulur Rosi kerana ofsaid.

Peluang terbaik Indonesia menyamakan kedudukan hadir pada minit ke-58 namun percubaan Hendra yang hanya berdepan Ahmad Izham dilihat jauh tersasar.

Ia merupakan aksi tunggal skuad kendalian Ong Kim Swee dalam kejohanan jemputan itu dan satu lagi aksi membabitkan pertembungan skuad senior Indonesia dan Korea Utara bakal berlangsung di stadium yang sama malam ini.

Selepas ini, skuad Harimau Muda akan kembali menyambung perjuangan dalam saingan Liga Singapura (Liga S) dan bakal berdepan pasukan di tangga kelima liga, Home United di Stadium Yishun, Singapura Sabtu ini.

Mereka kini di tangga keempat Liga S dengan 32 mata selepas 17 perlawanan, tujuh mata di belakang pendahulu liga, Tampines Rovers yang begitupun beraksi lebih satu perlawanan.

Safee mahu ulangi sejarah

Posted:

Safee mahu ulangi sejarah

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my


SAFEE mahu membuktikan dirinya sebagai peledak berbisa skuad Harimau Malaya.


BARANGKALI sudah lama rasanya peledak berbisa skuad bola sepak negara, Mohd. Safee Sali tidak mencetak gol buat Harimau Malaya.

Untuk rekod, kali terakhir Safee menemui sentuhan penyudah ialah ketika Malaysia tumpas 2-3 kepada India dalam satu aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Lake Salt, India pada 16 November tahun lalu.

Hampir setahun berlalu, Safee, 28, begitupun dilihat gagal menterjemahkan setiap peluang membuat jaringan yang indah biarpun masih mendapat kepercayaan jurulatih, Datuk K. Raja- gobal menerajui jentera serangan dalam beberapa episod perlawanan persahabatan antarabangsa selepas itu.

Justeru, penyerang kelahiran Kajang, Selangor itu nekad merobek gawang Vietnam menjelang aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Shah Alam malam esok.

"Sudah lama rasanya saya tidak menjaringkan gol bersama skuad kebangsaan. Jadi, saya harap dapat menamatkan kemarau tersebut (malam esok) tidak kira siapa gandingan saya nanti," katanya kepada Kosmo! semalam.

Mungkin ramai juga yang sudah lupa dengan kehebatan Safee meledak dua gol semasa menundukkan Vietnam 2-0 ketika separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki sebelum ini di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 15 Disember 2010.

Ia merupakan gol pertama Safee pada kejohanan tersebut selepas gagal meledak sebarang gol pada peringkat kumpulan sebelum itu.

Sejak itu, Safee tidak lagi menoleh ke belakang apabila meledak tiga lagi gol semasa menewaskan Indonesia menerusi agregat 4-2 dalam pentas final, sekali gus muncul penjaring terbanyak kejohanan dengan lima gol.

Lebih manis, ia juga merupakan kali pertama skuad kebangsaan mendakap trofi Piala AFF Suzuki sejak ia diperkenalkan pada 1996 (ketika itu dikenali sebagai Piala Tiger) yang menyaksikan Malaysia tewas 0-1 kepada Thailand dalam aksi final.

"Sudah tentu ia sesuatu yang cukup istimewa (apabila kembali berdepan Vietnam). Sejujurnya, saya tidak sabar untuk mengulangi sejarah dan berharap kemarau gol saya sekali lagi berakhir apabila berdepan mereka (malam esok)," kata Safee.

Dalam pada itu, Safee juga mengesahkan tidak menyertai mana-mana kelab menerusi pinjaman biarpun saingan Liga Super Indonesia (ISL) bersama kelabnya, Pelita Jaya hanya bermula pada Januari tahun depan.

"Jendela perpindahan pemain (musim ini) sudahpun ditutup, jadi saya hanya akan berlatih bersama skuad Harimau Muda bagi mengekalkan prestasi," katanya.

SPRM terus siasat skuad Penyu

Posted:

SPRM terus siasat skuad Penyu

Oleh MANIRAH OTHMAN
manirah.othman@kosmo.com.my


SHARBINEE antara pemain Terengganu yang sudah memberi keterangan kepada SPRM.


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil beberapa orang lagi pemain Terengganu dalam masa terdekat bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menjual perlawanan.

Sebelum ini, lapan individu telah diambil keterangan termasuk Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh dan penjaga gol utamanya, Mohd. Sharbinee Allawee Ramli.

Selain itu, jurulatih pasukan, Peter Butler turut memberi keterangan berhubung isu berkenaan yang membabitkan perlawanan Piala Malaysia antara Terengganu dengan Kedah di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, 1 September lalu.

Pengarah SPRM negeri, Md. Yusoff Md. Zain berkata, pada 4 dan 5 September lalu, selain tiga individu itu, dua lagi pemain dan selebihnya pihak pengurusan telah dipanggil bagi membantu siasatan.

"Buat masa ini, saya tidak boleh memberi ulasan lanjut mengenai perkara ini kerana ia masih dalam proses siasatan. Bagaimanapun sekiranya perlu, kita akan panggil semula mereka dan beberapa pemain lain untuk membantu siasatan.

"Kita jalankan siasatan bukan untuk mencari kesalahan tetapi untuk mencari kebenaran, siasatan sentiasa berjalan dan diteruskan," katanya.

Beliau ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri Jabatan Imigresen Negeri Terengganu di Wisma Persekutuan, Kuala Terengganu semalam.

Jelasnya, kertas siasatan masih dibuka tetapi belum ada sebarang perkembangan mengenainya namun proses siasatan tetap diteruskan.

Kem Terengganu mula diselubungi isu berkenaan apabila dua pemain tonggak, Muslim Ahmad dan Ismail Faruqi dikatakan mempunyai masalah disiplin dan disingkir Butler daripada pasukan itu.

Belum reda dengan isu itu, sekali lagi kem Terengganu goyah dengan dakwaan menjual perlawanan akibat tindakan Sharbinee yang dikatakan melepaskan gol mudah dan menyaksikan pasukan itu sekadar seri 1-1 dengan Kedah.

Kes kemudiannya disiasat SPRM dan PBSNT menubuhkan pasukan siasatan khas bagi menyelesaikan masalah itu sebelum musim baru bermula selepas pasukan itu terlepas peluang untuk mara ke pusingan seterusnya dalam saingan Piala Malaysia musim ini.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved