Isnin, 10 September 2012

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Obsesi Braddy terhadap reptilia

Posted:

Obsesi Braddy terhadap reptilia

SEDANG sekumpulan 120 murid-murid sekolah sedang asyik mendengar taklimat mengenai kehidupan reptilia di pekarangan Zoo Negara, Kuala Lumpur Jun lalu, mereka tiba-tiba dikejutkan dengan kehadiran seorang lelaki yang meluru laju ke arah mereka.

Lelaki tersebut tidak bersendirian. Kelihatan ular sawa kuning terlilit leher dan badannya dan situasi tersebut ternyata mengejutkan mereka. Ada di antara mereka yang menjerit ketakutan tidak kurang pula ada yang begitu teruja dengan kehadiran pakar reptilia institusi sains dan pendidikan antarabangsa, National Geographic, Dr. Brady Barr yang tidak henti-henti memperagakan haiwan eksotik itu kepada mereka.

Brady, 49, ternyata tidak lokek berkongsi ilmu dan pengalamannya sepanjang siri jelajah ke-70 buah negara di seluruh dunia menerusi siri ketujuh rancangan dokumentari National Geographic, The Most Dangerous Encounters & Dangerous Encounters yang disiarkan menerusi saluran Astro 553 (National Geographic) dan saluran Astro 550 (Nat Geo Wild)

Pertuturannya yang diselang-seli dengan lawak jenaka di samping persembahan video yang lucu jelas dapat menarik perhatian kanak-kanak untuk mendengar kisah-kisah reptilia mahupun haiwan-haiwan lain yang pernah didekati Brady.

Lelaki ikon itu memberitahu, antara haiwan yang paling digemarinya ialah buaya dan beliau merupakan satu-satunya saintis haiwan yang telah berjaya menangkap 23 spesies buaya liar di seluruh dunia.

Dengan stail dan personaliti yang bersahaja, Brady membawakan banyak haiwan yang jarang didedahkan kepada umum kepada orang ramai secara akademik, sama ada secara berdepan ataupun melalui program televisyen.

BRADY gemar pada cabaran mendekati haiwan liar.


Minat dinosaur

Menurut Brady, minat terhadap buaya lahir sejak daripada zaman kanak-kanak apabila beliau pada awalnya taksub pada kehidupan dalam zaman dinosaur.

"Buaya sangat istimewa bagi saya. Walaupun ia telah wujud kira-kira 25 juta tahun lalu, haiwan tersebut masih boleh dilihat dan dikaji sehingga kini. Tidak seperti dinosaur, haiwan tersebut telah lama pupus dan generasi kini masih tidak jelas mengenai kewujudannya," ujar beliau.

Brady turut mendedikasikan kisah hidupnya bersama hidupan reptilia kepada orang ramai sebagai salah satu cara untuk mendidik mereka mengenai keajaiban alam.

Sepanjang penggambaran siri ketujuh Most Dangerous Encounters & Dangerous Encounters, Braddy ternyata mengharungi pelbagai cabaran untuk mendekati hidupan liar di 70 buah negara yang telah dijelajahinya.

Sepanjang penjelajahannya, Brady mengakui tidak gentar berhadapan dengan haiwan-haiwan liar seperti ular dan buaya di habitat liar, cuma beliau amat takut dengan jangkitan dan virus yang dibawa melalui air seperti parasit dan malaria.

"Jika terkena jangkitan, ia akan mengambil masa yang lama untuk sembuh dan berkemungkinan akan melumpuhkan sesi penjelajahan saya bersama krew National Geographic," jelasnya.

Telah muncul dalam lebih 100 buah filem terbitan National Geographic, Brady ternyata mempunyai kaedah tersendiri untuk mendekati haiwan-haiwan liar di hutan dan di air.

Beliau lazimnya menggunakan teknik penyamaran seperti memakai sut dan topeng buaya, badak sumbu, babun dan beruang malah kostum tumbuhan seperti lalang.

"Apabila saya memakai sut dan topeng menyerupai haiwan-haiwan tersebut, saya dengan mudah dapat menghampiri dan menyentuh haiwan tersebut. Selain itu, saya dapat menyelami kisah kehidupan haiwan-haiwan itu walaupun tanpa berkomunikasi dengan mereka.

"Kaedah ini merupakan pendekatan bukan ortodoks untuk saya menjalankan eksperimen terhadap haiwan liar dan penonton akan dapat melihat kehidupan sebenar haiwan-haiwan ini secara semula jadi," ujar pemegang ijazah doktor falsafah dalam bidang biologi di Universiti Miami pada tahun 1997 itu.

AKSI Brady bersama para petugas di Zoo Negara.


Babun cemas

Menceritakan pengalaman penyamarannya, Brady memberitahu, dia dapat mengetahui sifat haiwan yang sering menyelongkar rumah penduduk di Amerika Syarikat (AS) iaitu babun.

Dengan teknik penyamaran yang menyerupai ketua kumpulan babun, beliau ternyata memperoleh keputusan bahawa sekumpulan haiwan tersebut takut apabila disergah oleh ketua kumpulan spesiesnya.

Beliau juga dapat merungkai bahawa babun mempunyai sifat sama seperti manusia iaitu takut dan cemas apabila melihat ular.

Mempunyai 1,001 pengalaman pahit dan manis dalam usaha menerokai kehidupan reptilia, Brady sentiasa mendidik orang ramai untuk menghargai keajaiban kehidupan semula jadi.

Ketika ditanya mengenai idea beliau untuk melakukan teknik penyamaran itu, beliau memberitahu bahawa idea tersebut diperoleh ketika sesi ceramahnya bersama kanak-kanak pada suatu ketika dahulu.

"Kanak-kanak merupakan sumber inspirasi kepada saya dalam setiap tindak-tanduk penyamaran saya.

"Saya tidak seperti individu lain yang sering memandang remeh idea-idea yang dikemukakan oleh kanak-kanak. Sebaliknya, saya sentiasa mendengar idea-idea mereka kerana kanak-kanak mempunyai fikiran telus dan jujur yang lahir daripada hati dan perasaan," jelas beliau yang berada di bawah naungan National Geographic sejak 1997.

Pengalaman menarik

Selain daripada mempromosikan dokumentari The Most Dangerous Encounters & Dangerous Encounters itu, kehadiran Brady ke Malaysia turut mendapat sokongan Kementerian Pelajaran, Akademi Sains Malaysia dan Persatuan Pencinta Alam Malaysia.

Antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan oleh Brady sepanjang penjelajahannya menerusi siri berkenaan ialah beliau berusaha sedaya upaya untuk menangkap buaya di salah sebuah sungai tanpa menggunakan sebarang alat keselamatan.

Ketika itu, beliau yang ditemani oleh seorang jurukamera tidak mempunyai alatan seperti jaring dan perangkap untuk menangkap reptilia tersebut.

"Saya dan jurukamera hanya menggunakan kelengkapan peribadi kami dan apa yang terdapat di dalam kereta kami seperti tali pinggang keselamatan kereta, tali kasut, seluar dalam yang belum digunakan dan kabel pengecas bateri kenderaan.

"Apa yang merumitkan keadaan ialah dalam pada kami berdua menangkap reptilia itu, jurukamera juga mahu mendapatkan rakaman terbaik untuk momen tersebut. Walaupun kamera diletakkan secara statik, hasilnya amat mengagumkan dan rakaman tersebut jelas menunjukkan kegigihan kami berdua," ceritanya.

MURID-MURID sekolah ini tercuit hati melihat gelagat Brady yang gemar berjenaka.


Dalam pada itu, Ketua Penyelia di Zoo Negara, Mohd. Hafiz Thanabalan, 40, memberitahu, idea dan kaedah Brady dalam menyampaikan ilmu pengetahuan mengenai reptilia merupakan kaedah yang terbaik untuk kanak-kanak mahupun orang dewasa.

"Beliau sentiasa membantu kanak-kanak sekiranya mereka mempunyai keraguan mengenai haiwan. Segala persoalan juga dijawab bersama lawak jenaka untuk memudahkan pemahaman.

"Beliau bukan sekadar menunjukkan cara beliau menangkap reptilia seperti buaya malah turut menyelitkan maklumat mengenai haiwan tersebut," jelasnya.

Dilema pelacur Bangladesh

Posted:

Dilema pelacur Bangladesh


WANITA ini, sama seperti ramai penghuni lain di rumah pelacuran Madaripur, tidak akan berganjak ke tempat lain walupun diusir.


TARA DAS memberitahu, dia merupakan generasi kelima dalam keluarganya yang bekerja di rumah pelacuran yang sama di Bangladesh. Namun, apa yang membimbangkan, dia kini terpaksa berhadapan dengan penunjuk perasaan orang Islam yang mahu perniagaan pelacuran ditutup.

Kawasan pelacuran yang terletak di bandar Madaripur itu telah beroperasi kira-kira 150 tahun lalu dan pekerja seks percaya kehadiran kumpulan penunjuk perasaan berkenaan didalangi syarikat pemaju yang ingin mengambil alih tanah di situ.

Pada bulan lalu kira-kira 10,000 orang yang diketuai oleh kumpulan Islam iaitu Islahe Kaom Parishad (Majlis Reformasi Kebangsaan) telah mengadakan protes. Mereka memaksa rumah pelacuran ditutup dan menghalau keluar seramai 500 pelacur.

"Sejak mereka mengadakan tunjuk perasaan secara besar-besaran, saya menjadi bingung dan sukar melelapkan mata. Ke mana harus saya pergi selepas ini?

"Lagipun, hanya rumah kecil dan pekerjaan ini yang saya kenali sejak zaman kanak-kanak. Mohon selamatkan kami daripada kumpulan agama itu," kata Tara.

Jika diimbas, rumah pelacuran itu dibuka untuk pedagang jut ketika zaman kolonial Britain. Ia beroperasi di dalam bangunan batu berlumut tiga tingkat yang berbumbungkan atap zink. Ia terletak di tengah-tengah bandar Madaripur iaitu 60 kilometer dari Dhaka.

Sebelum Bangladesh mencapai kemerdekaan sekitar tahun 1971, perniagaan pelacuran beroperasi secara sah tetapi kini bisnes itu diancam pelbagai aktivis daripada kumpulan Parishad.

Kumpulan Islamik itu telah mengadakan beberapa siri demonstrasi dan melobi pihak berkuasa dengan menekankan bahawa rumah pelacuran merosakkan lelaki muda dan ia harus dihapuskan.

Golongan pekerja seks percaya protes itu dianjurkan oleh ahli perniagaan yang berkait rapat dengan kumpulan politik tempatan. Mereka turut melaporkan mengenai kempen tunjuk perasaan termasuk peranti bahan letupan yang ditemui baru-baru ini dan dua cubaan serangan membakar.

Kontroversi tanah

"Kami tidak sesekali akan meninggalkan tempat ini. Pekerjaan kami ini sah di sisi undang-undang. Kami juga tidak mempunyai pekerja seks bawah umur. Lagipun tempat ini diwarisi daripada nenek moyang kami malah sesetengah daripada mereka masih lagi hidup.

"Hakikatnya ia sebuah konspirasi untuk merampas tanah kami yang bernilai tinggi," jelas Momo Rani Karmakar yang merupakan ketua pekerja seks Madaripur.

Dia turut menambah bahawa seramai 110 kanak-kanak yang menghuni di rumah pelacuran masih dihantar ke sekolah setiap hari.

Sejak aktiviti tunjuk perasaan dijalankan, anggota polis mula mengawasi kawasan manakala pihak kerajaan memberitahu bahawa keputusan akhir untuk melakukan pembangunan baharu di situ masih belum diputuskan.

Pada masa yang sama, sebuah jawatankuasa yang diketuai oleh timbalan pentadbir wilayah telah ditubuhkan dan berusaha untuk membuka rundingan bagi menggalakkan pemulihan dalam kalangan pekerja seks.

"Orang Muslim dan golongan elit tempatan tidak mahu era pelacuran terus wujud di bandar ini. Mereka berpendapat aktiviti tidak bermoral ini mungkin satu keperluan pada zaman lalu tetapi kini tidak lagi," jelas ketua jawatankuasa, Siddiqur Rahman.

Tambahnya, pihak berkuasa wajar memulakan proses pemulihan dengan menjalankan kajian bagi mengenal pasti jumlah pekerja bawah umur.

"Jika proses pemulihan ini dijalankan, saya fikir pekerja seks golongan dewasa akan beralih mencari pekerjaan lain termasuklah melibatkan diri dalam kerja sukarelawan," tutur Rahman.

Namun begitu, kumpulan pekerja seks menegaskan mereka tidak akan meninggalkan rumah pelacuran mahupun mencari kerja baharu. Segelintir daripada mereka pernah mencuba bidang lain tetapi diusir oleh masyarakat tempatan.

"Jika kami tidak mempunyai pelanggan, bagaimana saya ingin membeli makanan untuk lima orang anak saya dan menguruskan hal akademi mereka.

"Kini, pelanggan mula bimbang dengan situasi yang sedang berlaku. Mereka menyangka rumah pelacuran ini akan ditutup tidak lama lagi," luah Jhumur, 45.

Melindungi maruah

Ramai pekerja seks mendakwa bahawa tujuan utama kempen penunjuk perasaan itu berlaku adalah disebabkan sebahagian besar keluarga Muslim yang sudah mendirikan bangunan bersebelahan kawasan pelacuran.

Walau bagaimanapun, kumpulan Parishad menyangkal dakwaan itu dan mereka memberitahu tindakan protes diambil bagi melindungi maruah dan moral masyarakat Islam.

"Rumah pelacuran salah satu penyumbang utama pada aktiviti jenayah di wilayah ini. Ia perkara yang memalukan dan tidak layak digelar pekerjaan.

"Mereka turut mengusahakan kedai arak secara haram dan membiarkan kanak-kanak perempuan bawah umur membelinya untuk dijual kepada pengedar dadah terbesar," jelas Setiausaha Kumpulan Parishad, Ali Ahmed Chowdhury.

Sehingga kini, pertelagahan antara kumpulan konservatif Muslim dan rumah pelacuran di Bangladesh yang berlaku telah menyebabkan sekurang-kurangnya empat rumah pelacuran di daerah itu terpaksa ditutup.

"Sudah berkali-kali kami diingatkan bahawa mereka boleh menembak kami pada bila-bila masa. Tetapi, mereka masih tidak boleh mengusir kami.

"Kami akan memusnahkan rumah pemimpin Muslim sekiranya mereka datang ke sini untuk menghalau kami," jelas Morzina yang kehilangan suami pada dua tahun lalu sehingga menyebabkan dia terpaksa kembali ke rumah pelacuran. - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved