Isnin, 3 September 2012

Kosmo Online - Stailo


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Stailo


Rejim Kecantikan Selebriti

Posted:

Rejim Kecantikan Selebriti

SELEBRITI muda ini seorang yang cukup ringkas. Bibirnya tidak lekang membutirkan kata-kata yang mengundang gelak tawa sehingga memecah kesunyian spa Tanamera yang terletak di Sooka Sentral, Kuala Lumpur.

Dia hadir dalam persalinan kaftan rona putih bertatah perincian manik dan batu permata di bahagian dada baju. Wajahnya pula dirias solekan tipis yang menggunakan pembayang mata warna coklat, pemerah pipi dan gincu palet coklat.

Namun, gaya anggun yang ditatapi sebentar tadi serta-merta bertukar ranggi apabila dia membaluti tubuh genitnya itu dengan seluar jean potongan tirus, blaus terdedah di bahagian lengan dan sepatu tinggi rona hijau gelap.

"Inilah diri saya yang sebenar. Selesa berbaju T atau blaus yang dipadankan bersama seluar jean. Saya tak suka memakai gaun atau skirt. Hanya menyarungkannya bagi memenuhi watak dan kehendak penata gaya sesi fotografi.

"Di dalam almari pun tak banyak busana tradisional dan gaun. Saya seorang yang ringkas dan lasak sebab itu meminati pakaian yang memudahkan saya bergerak," jelas pelakon Siti Zaqyah Abdul Razak, 25, atau popular dengan nama Tiz Zaqyyah.

Mula menceburkan diri dalam bidang lakonan sekitar tahun 2007 menerusi drama Gol & Gincu, Impian Ilyana, Bernafas Dalam Lumpur dan Puaka Topeng Putih, namun popularitinya melonjak selepas menjayakan watak Nur Amina untuk drama bersiri Nur Kasih. Nur Kasih merupakan sebuah drama yang menggabungkan elemen kekeluargaan, agama dan cinta yang disiarkan di TV3 sekitar tiga tahun lalu.

Sejak itu, nama Tiz semakin laris dan dia sibuk dalam pentas seni tanah air. Dalam setahun ada saja produksi yang memerlukan khidmat lakonannya yang cemerlang. Namun kesibukan itu menyebabkan waktu rehat Tiz terhad sehingga mencuri sebahagian besar waktu tidurnya.

"Istilah tidur lapan jam tiada dalam jadual hidup saya buat masa ini. Setiap hari saya sibuk di set penggambaran dan memenuhi undangan sesi fotografi. Saya akui sesekali badan rasa tidak bermaya, malah nak berdiri pun terasa letih tetapi lazimnya saya curi-curi tidur sekitar 15 minit di set penggambaran.

"Namun, jika ada kelapangan saya akan bercuti di dalam atau di luar negara. Saya gemar meneroka destinasi yang sarat dengan kebudayaan, sejarah dan seni bina bangunan," jelas Tiz yang menyukai Rom, Itali dan merancang untuk berkunjung ke negara itu semula.


TIZ dilantik menjadi duta sabun mandian May.


Sambil menikmati urutan yang ditawarkan di Spa Tanamera, anak tunggal itu sempat bercerita perihal dirinya. Bekas pelajar Sekolah Menengah Subang Jaya, Subang Jaya, Selangor itu memenuhi masa hujung minggunya ke spa sebagai terapi untuk menenangkan tubuh yang keletihan.

Tiz yang memiliki ketinggian 158 sentimeter menyifatkan setiap bulan dia akan mendapatkan khidmat urutan di spa. Biasanya, dia memilih spa yang berkonsepkan Thai kerana urutan yang kuat membantu melegakan otot.

Gemar ke spa

"Saya kurang gemar buat rawatan wajah kerana selesa melakukannya sendiri di rumah. Di spa saya hanya memilih servis urutan seluruh badan untuk tempoh dua jam.

"Selain ke spa, sesi mandian juga salah satu cara terbaik untuk merehatkan minda dan fizikal selepas penat bekerja. Berada di dalam kamar mandi selama 30 minit sudah memadai memberi kesegaran semula. Pada masa yang sama, saya gemar menjadikan kamar mandi tempat untuk menjiwai watak dan mengimbas memori pahit dan manis," jelas Tiz yang menikmati sesi mandian dengan krim mandian May koleksi Diamond Dazzle.

Kata pencinta rona hitam dan putih itu, krim mandian May Diamond Dazzle membantu melembutkan kulit badan. Ia tidak melekit dan harumannya memberi ketenangan yang menakjubkan.

Jika definisi kecantikan dan keyakinan Tiz Zaqyah terletak pada terapi mandian sabun May, Nurul Huda Abdul Wahab, 35, pula memilih sesi merias wajah dengan rangkaian produk Skinz Infinite.

Isteri kepada lelaki Perancis, Eric Daniel Depp, 47, itu menjelaskan, peningkatan usia sentiasa mengingatkannya tentang kepentingan menjaga kulit wajah. Apatah lagi, pada usia lewat 30-an kulit wajah mudah rosak, kusam dan tidak bermaya jika tidak dijaga dengan baik.

Apabila kerosakan kulit wajah semakin kronik maka ia menyukarkan proses penyembuhan terutamanya setelah menginjak usia antara 40 hingga 50 tahun.


Pada usia 35 tahun Nurul masih kekal cantik dan menawan.


Rutin wajib Nurul

"Saya seorang yang cukup menitikberatkan soal tata rias wajah dan menjaga kesihatan badan. Bukan kerana saya seorang selebriti tetapi saya fikir ia antara rutin wajib yang perlu dilaksanakan dengan baik oleh semua wanita.

"Sama seperti wanita lain, saya turut mengalami penambahan berat badan. Jadi, saya menurunkan berat dengan bersenam di gimnasium dan mengamalkan pemakanan seimbang," jelas ibu kepada Ayu Nazirah, 14, itu ketika ditemui Stailo pada majlis pelantikannya sebagai duta produk Skinz Infinite yang berlangsung di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bercerita tentang keistimewaan Skinz Infinite, pelantun lagu Kerana Terluka itu menyifatkan produk tersebut membantu memulih dan menyerikan kulit wajahnya dalam tempoh dua minggu.

Nurul yang mula dikenali dalam persada seni tempatan selepas menghasilkan album pertama pada tahun 1995 memberitahu, sikapnya yang suka ketawa telah menyebabkan kedutan di bahagian mulutnya. Kesan kedutan itu semakin ketara sekiranya dia tidak mempamerkan sebarang reaksi seperti bercakap atau ketawa.

"Selepas dua minggu menggunakan produk Skin Infinite terutama serum, kedutan kesan ketawa itu hilang sedikit demi sedikit. Malah, rakan jurusolek saya juga menyedari perubahan ini. Lebih menggembirakan, ton kulit wajah semakin sekata dan masalah pigmentasi dapat diatasi.

"Wajah saya sentiasa disolek dan terdedah pada simbahan lampu studio serta persekitaran yang tidak menentu. Justeru, jika tidak dibersihkan dengan baik dan melapisi kulit wajah dengan sapuan krim pelembap, serum serta krim pelindung cahaya matahari maka ia akan menyebabkan masalah bintik-bintik hitam, kulit kotor dan pori-pori tersumbat," ujar Nurul yang menyukai serum Youth Recall Skinz Infinite dan krim terapi mata Skinz Infinite.

Nurul yang menikmati roti bagi menggantikan nasi dan kurang mengambil daging menyatakan, kandungan formula Bio-Stem Cell Activator di dalam produk Skinz Infinite efektif memelihara kulit wajah Asia.

Baju T khat kufi

Posted:

Baju T khat kufi

Oleh ALIF ABU BAKAR


FRASA yang dicetak pada setiap baju T ini membawa mesej dakwah berbentuk moden.


MELAHIRKAN imej berteras Islamik kebiasaannya memerlukan pakaian berkonsep tipikal. Jubah dan baju Melayu antara item wajib seorang lelaki yang mahukan penampilan Islamik.

Namun, pengenalan baju T dengan cetakan kaligrafi jawi menerusi teknik khat kufi, kaum Adam berupaya melebarkan lagi pilihan gaya mereka. Biarpun ringkas berbaju T, tulisan khat kufi yang terpampang pada pakaian itu mudah memikat anak-anak muda.

Menerapkan konsep dakwah secara moden, baju T keluaran Kufi Art Resources itu masih berada di peringkat pengenalan. Lima rekaan pertama mereka sudah mula dijual secara dalam talian bermula Jun lalu.

Frasa seperti Jom Solat, Peace Be Upon You, Muslim By Name Muslim By Nature dan mencerminkan konotasi positif yang dirasakan sesuai dengan ciri-ciri golongan belia tempatan.

"Kebanyakan remaja hari ini gemarkan baju T yang mengandungi cetakan dan tulisan yang tidak berfaedah. Kami cuba menyampaikan mesej yang baik melalui baju T sebegini dan berharap ia mampu mencipta trend tersendiri kelak.

"Setakat ini sambutan yang kita terima memang datang daripada kelompok muda berusia 30 tahun ke bawah. Kami tidak menggunakan ayat-ayat al-Quran sebaliknya mengolah ayat-ayat bahasa Melayu dan bahasa Inggeris ke dalam bentuk khat kufi.

"Buat masa ini, kami hanya mengeluarkan baju T berwarna hitam dengan paduan warna bersesuaian bagi membentuk tulisan," jelas pengasas Kufi Art Resources, Ahmad Shah Heezam Abu Bakar, 38.

Menggunakan 100 peratus fabrik kapas, baju T tersebut hanya disediakan dalam lengan pendek, manakala saiz bermula dari M (Medium) sehingga XXL (Double Extra Large). Setiap helai baju T itu dijual pada harga RM30.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved