Isnin, 3 September 2012

Kosmo Online - Negara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


Tidak kekok pikul tugas baharu

Posted:

Tidak kekok pikul tugas baharu

SAMSIAH (kiri) bersama ahli keluarganya di rumah mereka di Kampung Jalan Kamaruddin, Kuala Terengganu semalam.


KUALA TERENGGANU - Seorang pegawai agama, Samsiah Awang mencatat sejarah sebagai wanita pertama di negara ini yang menerajui jabatan agama apabila dilantik sebagai Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) sejak 26 Ogos lalu.

Bernama melaporkan, Samsiah, 54, ibu tunggal kepada sembilan anak dan memiliki sembilan cucu itu berazam untuk memberikan khidmat terbaik bagi membuktikan wanita juga berkemampuan memimpin jabatan yang menjadi tradisi diterajui lelaki.

"Saya berharap mendapat sokongan daripada semua kakitangan jabatan ini untuk sama-sama memastikan khidmat kita terus cemerlang demi memastikan kemaslahatan (kesejahteraan) umat Islam negeri ini terus terjaga.

"Saya juga bersyukur dengan pengiktirafan ini dan akan meminta petunjuk daripada Allah sekiranya terdapat masalah dan cabaran besar untuk bergerak seiring dengan hasrat kepimpinan kerajaan negeri yang mahu Terengganu terus maju dengan syiar Islam," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Samsiah sebelum ini memegang jawatan Ketua Penolong Pengarah JHEAT menggantikan Mohd. Rozali Saleh yang kini memegang jawatan Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu.

Katanya, walaupun ia satu tanggungjawab besar yang perlu digalas, beliau yakin mampu menyumbang khidmat cemerlang menerusi semangat kerja berpasukan.

Pengalaman luas Samsiah dalam bidang keagamaan bermula sejak kecil dan hasrat beliau kini ialah meneruskan impian ibu bapanya dalam menegakkan syair Islam di Terengganu.

"Arwah ayah saya, Datuk Awang Ismail adalah bekas Imam Masjid Negeri dan guru agama kepada Almarhum Sultan Mahmud, ayahanda kepada Sultan Terengganu sekarang, iaitu Sultan Mizan Zainal Abidin," katanya.

Arwah suaminya, Rozali Awang pula bekas ketua penolong pengarah di JHEAT yang meninggal dunia tiga tahun lalu.

Sementara itu, dalam pertemuan dengan Kosmo! di rumahnya di sini semalam, Samsiah berkata, beliau sama sekali tidak menyangka akan diberi tugas baharu itu walaupun selepas 30 tahun berkhidmat dengan JHEAT.

"Secara ikhlas, saya tidak pernah sangka akan memikul tugas Pengarah JHEAT. Insya-Allah saya tidak kekok dalam menjalankan kepercayaan yang diberikan dan akan berusaha memenuhi amanah dipertanggungjawabkan.

"Ia juga satu pengiktirafan kepada golongan wanita. Ini bukan tugas mudah dan penuh cabaran apatah lagi JHEAT mempunyai tujuh jabatan yang kesemuanya diterajui lelaki," katanya.

Samsiah memberitahu, sepanjang tempoh bekerja di JHEAT, beliau tidak berdepan masalah dengan kakitangan malah mengenali mereka dengan rapat.

Beliau berharap lebih 500 kakitangan di tujuh bahagian dalam JHEAT dapat bersatu hati untuk meningkatkan prestasi jabatan itu.

Dalam pada itu, wanita yang berasal dari Kampung Tanjung, Kuala Terengganu ini memberitahu, beliau banyak mendapat inspirasi daripada bapanya.

"Arwah ayah banyak berpesan agar anak-anak sentiasa mempunyai sifat bersabar dan tidak sombong," ujarnya.

Sementara itu, anak beliau, Noor Fadhlina Ghazali, 25, mengaku terkejut apabila mendapat tahu ibunya menggalas tugas sebagai Pengarah JHEAT.

"Bagaimanapun, bila difikir balik, ibu mampu memikul tugas itu kerana beliau mempunyai pengalaman luas di jabatan tersebut," katanya.

Siasatan siap sebulan lagi

Posted:

Siasatan siap sebulan lagi

Oleh ZAINI SAMSU HADI
berita@kosmo.com.my

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mengakui terdapat keraguan dan kekeliruan ketika melakukan siasatan melibatkan kes Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dan Suara Inisiatif Sdn. Bhd. yang bermula sejak Julai lepas.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, siasatan tersebut mendapati berlaku transaksi dana antara kedua-dua pihak.

Beliau berkata, Suara Inisiatif Sdn. Bhd. yang didaftarkan dengan SSM di bawah Akta Syarikat 1965 telah menyalurkan dana kepada Suaram yang merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Siasatan SSM mendapati ada kekeliruan dan keraguan dari segi kerjasama dan hubungan antara Suaram dan Suara Inisiatif.

"Kita tidak boleh dedah lebih apa jenis hubungan itu, cukup setakat ini. Kita perlu siasat lebih terperinci.

"Kita bukan siasat dari mana wang itu datang tetapi adakah ia mengikut peruntukan Akta Syarikat. Kewangan syarikat tidak boleh digunakan untuk kepentingan pihak lain," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar bagi menjelaskan perkembangan terkini siasatan SSM ke atas Suaram dan Suara Inisiatif di sini semalam.

Sebelum ini SSM dikritik oleh beberapa NGO kerana didakwa gagal bertindak terhadap Suaram yang mengaku menerima dana dari negara asing dan individu dari seluruh negara.

Kritikan itu susulan ada laporan mendakwa Suaram bukan NGO tapi sebuah syarikat dikenali Suara Inisiatif Sdn. Bhd.

SSM kemudian mengesahkan Suara Inisiatif berdaftar dengan mereka di bawah Akta Syarikat 1965 sebagai syarikat perbadanan pada 24 Oktober 2001.

Ia dianggotai dua pengarah berdaftar iaitu Kua Kia Soong dan Yeoh Seng Gua.

Kia Soong merupakan Pengarah Suaram yang dilapor mengesahkan NGO itu menerima dana dari negara asing.

Menjawab kritikan itu, Ismail Sabri berkata, aktiviti Suaram tidak tertakluk di bawah bidang kuasa SSM, namun institusi tersebut bertanggungjawab menyiasat sama ada berlaku pelanggaran terhadap peruntukan Akta Syarikat oleh Suara Inisiatif.

"Seterusnya, pihak Bank Negara dan Kementerian Dalam Negeri yang akan mengambil tindakan dan keluarkan kenyataan jika berlaku penyelewengan," katanya sambil menambah siasatan dijangka siap dalam tempoh sebulan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Mohd. Naim Daruwish turut menyifatkan tindakan sesetengah pihak mendesak beliau meletak jawatan ekoran isu Suaram dan Suara Inisiatif sebagai tidak bertanggungjawab.

"Ia telah memburukkan nama SSM dan diri saya sendiri. Tiada keperluan untuk saya meletak jawatan tapi saya bersedia melakukannya jika SSM di pihak yang salah," tegasnya.

Sultan Brunei hadiri majlis perundingan tahunan

Posted:

Sultan Brunei hadiri majlis perundingan tahunan

SULTAN Hassanal Bolkiah (dua dari kanan) tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia di Subang untuk menghadiri Majlis Perundingan Tahunan Pemimpin Malaysia-Brunei Darussalam di Putrajaya semalam.



KEBERANGKATAN TIBA. Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah tiba di Malaysia semalam bagi menghadiri Majlis Perundingan Tahunan Pemimpin Malaysia-Brunei Darussalam ke-16 selama dua hari di Putrajaya. Kementerian Luar dalam satu kenyataan menyatakan, pemimpin kedua-dua negara dijadual membincangkan kemajuan kerjasama yang sedang berlangsung dan meninjau potensi baharu bagi mempertingkatkan perkongsian yang dapat memanfaat rakyat Malaysia dan Brunei. Perundingan itu juga merupakan acara paling penting dalam takwim tahunan kedua-dua negara yang menjadi mekanisme bagi perbincangan meliputi pelbagai isu kepentingan bersama bilateral, serantau dan global.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved