Jumaat, 21 September 2012

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Menjaga lembu seperti anak sendiri

Posted:

Menjaga lembu seperti anak sendiri

WANITA berusia 40 tahun itu, Letchumi Muniandy bangun seawal pukul 6 pagi untuk memulakan tugas-tugas rutin bersama enam orang pekerja yang lain.

Tugasnya tidak glamor seperti pegawai perhubungan awam mahupun setiausaha, namun setiap hari dia mesti akan memastikan para pekerja memberi makan secukupnya 130 ekor lembu tenusu baka frisian sahiwal dan frisian jersey.

Susu lembu diperah dua kali sehari iaitu pada pukul 8 pagi dan 6 petang menggunakan kaedah tulang ikan dari Thailand. Kaedah itu mampu mengumpul susu sebanyak 600 liter sehari.

Kaedah perahan susu tulang ikan membolehkan lebih kurang 10 ekor lembu diperah sekali gus dalam satu masa.

Semua alat perahan susu yang dipasang pada kantung susu lembu bersambung menjadi satu saluran yang terus ke bekas pengumpulan.

Dengan kaedah tulang ikan, susu dapat diperah dengan cepat dan dalam masa yang sama tahap kebersihan terjamin.

Selang masa antara dua waktu memerah susu, Letchumi memastikan lembu-lembu itu mendapat makan dan rehat yang cukup. Dia dan para pekerjanya turut mendapat rehat sebelum tugas waktu petang menjelma.

Suaminya, P. Jaga, 45, yang merupakan seorang pensyarah membantunya pada hujung minggu. Dalam nada lembut, dia mengakui sudah masak dengan cabaran menjadi penternak lembu tenusu.

Ketika mula-mula menjalankan penternakan lembu tenusu, dia dan suaminya membeli lembu-lembu bunting dari Thailand.

"Tahun pertama, kami rugi besar kerana 20 ekor daripada lembu yang dimiliki mati. Tahun kedua, masih lagi tidak mendapat sebarang keuntungan.

"Tahun ketiga, saya mengambil keputusan menguruskan ladang ini sepenuh masa," luah Letchumi ketika ditemui di ladangnya yang terletak di Kampung Ganun, Alor Gajah, Melaka.

Akuinya, kurang pengetahuan mengenai kesihatan dan keadaan fizikal lembu menyebabkan dia dan suami mengalami kerugian besar dua tahun lalu.


LEMBU-LEMBU ternakan perlu diberi makanan secukupnya sama dengan kuantiti pengeluaran susu.


Produktif

Sama seperti makhluk bernyawa lain, lembu juga menunjukkan tanda-tanda sedang sakit. Haiwan itu turut memerlukan rehat dan makan yang cukup supaya produktif dan tidak boleh terlalu tertekan.

Bagi Bacha Lal Baboothi Ram, 57, pula, masalah ruang ternakan dan makanan menjadi isu yang masih membelenggu hingga kini.

Dia yang merupakan generasi ketiga penternak lembu tenusu terpaksa memotong rumput-rumput sekitar Melaka setiap pagi semata-mata mahu memastikan lembu ternakan tidak putus bekalan makanan.

Letchumi juga berdepan masalah sama, penyelesaian yang dilakukan ialah menanam sendiri rumput di atas tanah seluas 24 hektar berdekatan ladang ternakan. Dahulu dia terpaksa membeli rumput dari Perak.

"Ketika menjalankan ternakan lembu tenusu secara bebas di ladang, hasilnya sangat banyak tetapi kini agak kurang setelah semua lembu dikurung," cerita Bacha Lal.

Menurutnya, industri tenusu juga pernah mengalami zaman merudum sekitar tahun 90-an sehingga menyebabkan lelaki dari Tambak Paya, Melaka itu menjual ladang berteknologi tinggi di Hutan Pecah, Melaka.

Ketika itu, masalah penyakit dan harga susu lembu yang murah serendah 50 sen seliter menyebabkan dia terpaksa berbuat demikian, namun kini, Bacha Lal bersyukur kerana kehidupan sudah stabil dan pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) kerap membantu.

"Menjaga lembu tenusu sangat susah, lembu-lembu perlu sentiasa diberi cukup air dan perlu diperiksa setiap hari," jelasnya tetapi pada masa yang sama dia yakin pekerjaannya itu membuahkan hasil yang lumayan.

Pekerjaan yang diwarisi oleh datuk dan ayah Bacha Lal kini bakal diwarisi anaknya, Rajnath Dinesh Lal Bacha Lal, malah dia mampu menghantar salah seorang anaknya belajar di Glasgow, United Kingdom.

Pendapat yang sama turut dikongsi oleh Letchumi. Bidang pertanian dan penternakan sudah pasti akan memberikan keuntungan cuma perlu bersabar dan memakan masa. "Paling penting ialah rasa sayang kepada haiwan dengan kerap membelai dan menjaga lembu-lembu seumpama menjaga anak sendiri," ujarnya sambil menambah, dia pernah mengalami lebam-lebam pada badan akibat ditendang lembu ketika proses memerah susu.

Seperti yang diungkapkan oleh Ketua penolong Pengarah Kanan JPV, Dr. Siti Salmiyah Tahir, 51, menternak lembu tenusu lebih susah daripada lembu daging.

"Penghasilan susu bukan sahaja untuk kegunaan anak lembu, malah perlu memenuhi kapasiti penggunaan sumber protein itu di seluruh negara," kata Siti Salmiyah ketika melakukan lawatan ke ladang lembu penternak di sekitar Melaka.

LETCHUMI memastikan lembu ternakannya mendapat kasih sayang selain mendapat makanan secukupnya setiap hari.


Ubat pembasmi kuman

Susu merupakan hidangan yang penuh nutrien dan mudah dihadam. Ia mengandungi lemak tepu, protein, kalsium dan juga vitamin C.

Ia sangat mudah tercemar sama ada melalui ubat-ubatan yang diberikan pada lembu atau bakteria selepas dibiarkan terdedah pada suhu bilik dalam tempoh yang lama.

Sehubungan itu, Ladang Agro Tenusu milik Letchumi mengamalkan amalan ladang yang sangat ketat. Setiap kenderaan yang masuk akan melalui takungan air yang mengandungi ubat pembasmi kuman.

Kaki-kaki lembu yang akan diperah di sistem tulang ikan juga akan dinyah kuman selain bahagian puting turut dilakukan prosedur yang sama.

Susu yang diperah serta-merta dihantar terus ke Pusat Perkhidmatan Industri Tenusu (PPIT), Air Molek untuk dijual dan disimpan. Setiap empat hari, susu terkumpul dibawa ke syarikat tenusu, Dutch Lady Milk Industries Berhad (DLMI) untuk diproses menjadi produk susu.

Di PPIT, susu disimpan dalam tangki penyejukan yang mengekalkan suhu pada 4 darjah Celsius. Takat suhu yang sesuai untuk memastikan sumber protein dalam keadaan baik. Bakteria dalam susu boleh dihapuskan dengan menurunkan suhu atau menaikkannya dengan cara mendidihkan.

Selain memastikan susu sentiasa segar, pencemaran antibiotik juga pernah menjadi isu yang menghalang para penternak lembu untuk terus maju.

Ia sukar dikesan melalui ujian ringkas dan memerlukan beberapa siri ujian yang intensif. Apabila susu yang tercemar dicampur dengan susu yang elok, maka keseluruhan susu tersebut sudah tidak boleh diterima dari segi kualiti.

"JPV giat membantu para penternak dalam memberi pendidikan mengenai isu tersebut sejak tahun 2000. Kini, kes susu tercemar dengan bakteria hampir 0 peratus iaitu 0.1 peratus," kata Siti Salmiyah.

Terangnya, banyak cara yang digunakan oleh para penternak dalam mengasingkan lembu yang sedang dalam proses rawatan menggunakan ubat antibiotik.

Antaranya, lembu diberi tanda pada bahagian ekor dan diasingkan bagi pengurusan memerah susu. Selepas semua lembu yang sihat diperah susunya, susu lembu sakit pula diperah. Susunya digunakan untuk minuman anak-anak lembu.

Jangka masa pengasingan lembu yang mendapat rawatan bergantung pada jenis ubat yang digunakan iaitu antara tiga hingga 14 hari dan tempoh itu susu dianggap rosak.

"Walaupun sakit, susu perlu diperah kerana jika tidak, kantung susu akan sakit dan boleh rosak. Apabila rosak, ia sudah merugikan penternak," cerita Siti Salmiyah. Namun, masalah tersebut boleh dikawal.

Disebabkan kebanyakan ladang ternakan sekarang mengamalkan sistem kandang atau fidlot akibat kekangan tanah, lembu perlu mendapat makanan yang secukupnya.


JAGA (kiri) menunjukkan keberkesanan hasil perahan susu yang menggunakan kaedah tulang ikan.


Baka lembu

Jadi, kaedah kecekapan makanan digunakan bagi memastikan makanan yang diberikan mampu menghasilkan kandungan susu yang setimpal. Selain rumput, makanan lembu mesti mengandungi tenaga., fosforus dan serat.

Melalui pemerhatian JPV, lembu-lembu baka dari Australia berpotensi mengeluarkan susu sebanyak 25 liter sehari berdasarkan pada faktor cuaca, air dan pemakanan di Malaysia.

Lembu-lembu memerlukan keprihatinan penjaga supaya ia berada dalam keadaan optimum bagi menghasilkan susu. Lembu bunting selama dua bulan dan mengeluarkan susu untuk tujuh bulan berbanding lembu daging hanya tiga bulan.

Selepas sembilan kali melahirkan anak, lembu tersebut akan dijual atas faktor penurunan pengeluaran susu.

Dalam tempoh itu, penjagaan lembu sangat penting. Menurut Pengarah Makmal Kualiti Susu, Melaka, Rosnaini Ali, 50, terdapat konsep yang dikenali sebagai cowsignals digunapakai dalam memberi gred mengikut fizikal haiwan.

Secara asasnya, terdapat enam elemen yang perlu dinilai iaitu air, cahaya, udara, rehat, ruang dan makanan. Kesemuanya harus diteliti, dinilai dan difikirkan seterusnya bertindak atas keputusan yang dibuat.

Terdapat lima skor dengan skor pertama bagi lembu yang terlalu kurus sehingga skor lima yang menggambarkan lembu obesiti. Lembu sepatutnya berada dalam keadaan antara skor tiga dan 3.5.

Satu lagi bahagian yang perlu diperhatikan ialah rumen. Rumen merupakan ruang pertama dalam perut binatang yang menyimpan makanan separuh cerna buat sementara waktu. Makanan dalam rumen akan dimasukkan ke dalam mulut kembali sebelum dikunyah sehingga lumat.

Lumur gris satu badan

Posted:

Lumur gris satu badan


SEORANG pemuda membiarkan tubuhnya disimbah dengan gris yang pekat.


IA mungkin kelihatan pelik dan menggelikan. Pasti ramai yang terfikir dan tertanya-tanya: 'Tidakkah acara itu akan mengotorkan bandar ataupun bagaimanakah pula mahu membersihkan diri selepas itu?'

Namun, itulah tradisi yang diraikan sejak hampir 500 tahun dahulu oleh penduduk sebuah daerah di Sepanyol.

Kebanyakan orang pasti biasanya mahu mengelakkan jari atau tangan mereka daripada terkena gris hitam apabila melakukan sesuatu pekerjaan terutamanya yang berkaitan pemotoran atau pembinaan.

SUASANA perarakan Cascamorras yang menempuh perjalanan sejauh tiga kilometer.


Namun, lain pula ceritanya dengan warga di utara Granada. Mereka bukan sahaja membiarkan tangan dan muka mereka terkena gris, bahkan melumurkan seluruh tubuh menggunakan pelincir hitam tersebut.

Lebih unik dan mengejutkan, ia dilakukan secara besar-besaran dan melibatkan ribuan orang. Bagaikan sebuah pesta riang ria, wajah dan tubuh yang comot itu dilihat sebagai suatu keseronokan.

Tanpa segan silu, pemuda dan pemudi yang telah 'kehitaman' dan berminyak itu berjalan kaki dalam perarakan sejauh tiga kilometer. Mereka bergerak dari sebuah pekan yang dipanggil Guadix ke pekan Baza.

Namun, jangan silap, ia bukanlah satu upacara pemujaan atau parti anjuran oleh peminat gothik.

JIKA pada hari biasa, perbuatan sepertiini dianggap menjijikkan, namun sempena pesta Cascamorras, ia suatu kemestian.


Mengimbau asal-usul kisah pesta yang dinamakan Cascamorras itu, ia menceritakan tentang sejarah pertelagahan penduduk di dua pekan iaitu Guadix dan Baza suatu ketika dahulu.

Pergaduhan tercetus apabila penduduk Guadix mahu merampas semula sebuah patung suci, Virgen de la Piedad, yang dipercayai telah dicuri dan diletakkan di sebuah gereja di Baza.

Bagaimanapun, penduduk Baza menetapkan syarat iaitu individu yang mahu mengambil patung itu boleh datang ke Baza, tetapi orang berkenaan hanya boleh mengambil patung tersebut sekiranya pakaiannya langsung tidak terkena sebarang kotoran.

Walhal, ia merupakan satu helah kerana penduduk Baza pada ketika itu sudah bersiap sedia dengan air berwarna dan telur bagi menggagalkan misi pemuda Guadix.

Selepas pertelagahan penduduk dari kedua-dua tempat itu berakhir secara damai, peristiwa tersebut terus diingati sehingga hari ini dan ia disambut pada tarikh 6 September setiap tahun.

Ketidakhadiran guru satu pembaziran

Posted:

Ketidakhadiran guru satu pembaziran

Setiap negara di Asia mempunyai fenomena yang berbeza dari aspek pembangunan pendidikan. Selain menetapkan standard yang tinggi seperti Singapura, India dan China pula berdepan dengan ancaman pendidikan yang mendukacitakan.

PADA hari-hari tertentu di sekolah rendah di India, satu daripada empat orang guru akan hilang. Ia merupakan satu pembaziran ilmu bagi sebuah negara yang menampung penduduk muda sebagai tiket untuk menempah status kuasa besar.

Di daerah miskin dan pertanian, Baghpat di Uttar Pradesh, sebuah negeri yang merupakan rumah kepada hampir 200 juta orang, nisbah satu daripada enam orang rakyat India, masalah ketidakhadiran menimpa kedua-dua pihak, murid-murid dan guru-guru.

Seorang guru besar yang kecewa menunjukkan rekod daftar kakitangan di sekolahnya. Dua daripada tujuh guru sepenuh masa tidak berada di situ. Seorang daripadanya dilihat hanya hadir beberapa kali pada tahun 2012 disebabkan oleh cuti berpaten perubatan dan penjagaan anak.

"Ramai guru yang tidak mahu bekerja," dia mengadu di pejabatnya yang kelihatan ringkas dengan cahaya yang terbatas, sambil meminta supaya namanya tidak didedahkan kerana sensiviti isu yang dikongsi.

"Kerajaan menyediakan buku, pakaian seragam dan makanan tengah hari kepada semua pelajar secara percuma. Mereka belanja begitu banyak wang, tetapi jika guru tidak berdedikasi maka semua wang hanya satu pembaziran."

Di sekolah-sekolah lain di sekitar kawasan itu, jarak kira-kira dua jam dari New Delhi, kekurangan guru disebabkan ketidakhadiran atau pengambilan guru yang terhad.

Dalam satu pendedahan terkini di kawasan itu menyaksikan seramai 77 orang guru dipecat selepas penyiasatan oleh kolej latihan tempatan mendedahkan mereka telah memalsukan sijil sekolah mereka sendiri.

Sistem pendidikan pada hari ini membekal masalah pada masa depan, kata pakar.

"Kami memiliki penduduk yang sangat muda dan ia mempunyai banyak potensi," kata Rukmini Banerji dari kumpulan penyelidikan dan pendidikan terkemuka India, Pratham kepada AFP.

"Jika anda mahu kanak-kanak bermula 10 tahun dari sekarang untuk mempunyai kemahiran asas pendidikan abad ke-21, anda perlu bermula dari sekarang di gred satu dan dua. Jika kita tidak melakukannya, kita akan kehilangan satu peluang yang unik."


PELUANG pendidikan kanak-kanak di Baghpat diparahkan dengan tindak-tanduk guru sekolah yang memonteng sekolah.


Mengukur ketidakhadiran

Secara umum, sekolah rendah kerajaan negeri di India amat mendukacitakan," kata seorang profesor di Universiti California dan penyelidik sistem India, Karthik Muralidharan.

Kajian beliau tentang ketidakhadiran guru, dilakukan bersama-sama dengan ahli akademik lain dan Bank Dunia, menyediakan angka konkrit bagi masalah ini kerana mereka mengadakan lawatan dari semasa ke semasa ke sekolah-sekolah di seluruh negara.

Pada tahun 2003, satu kaji selidik mendapati purata 25 peratus guru sekolah rendah kerajaan negeri tidak hadir pada satu-satu masa. Penyelidikan semula pada tahun 2010 mendapati, angka itu telah meningkat sedikit kepada 23.7 peratus. Di Uttar Pradesh, kadar itu masih lebih daripada 30 peratus.

Beberapa ketidakhadiran adalah sah seperti cuti sakit, bersalin atau penjagaan kanak-kanak, sebagai contoh, tetapi kira-kira 60 peratus adalah atas sebab-sebab yang boleh dipersoalkan.

Dalam kes-kes yang paling buruk, guru-guru yang mempunyai pengaruh politik bertindak bekerja di tempat lain dengan merasuah pihak pemeriksa sekolah dan terus menerima gaji mereka.

Kos keseluruhan guru-guru yang tidak hadir kepada kerajaan boleh mencapai Rs85 bilion (RM4.8 billion) setahun, anggaran Karthik dalam penyelidikan baharu yang belum diterbitkan lagi.

Kerajaan melabur berbilion-bilion rupee ke dalam sistem pendidikan sebagai tonggak agenda 'pertumbuhan inklusif' yang bertujuan memastikan faedah pembangunan ekonomi mencapai rakyat miskin, yang amat bergantung kepada pendidikan yang disediakan kerajaan negeri.

Prospek demografi

Perdana Menteri, Manmohan Singh, menyenaraikan kejayaan semasa ucapan Hari Kemerdekaan bulan lepas.

Menurut beliau, sebanyak 51,000 sekolah baharu telah dibuka dan kira-kira 700,000 guru diupah dalam tempoh dua tahun yang lalu. Untuk pertama kalinya, Hak untuk Akta Pendidikan menjamin persekolahan kerajaan negeri yang dibuka kepada kanak-kanak berusia dari enam hingga 14 tahun.

"Anak-anak kita ialah kekuatan terbesar negara kita," kata beliau.

India ialah rumah kepada bilangan kanak-kanak yang tertinggi di dunia, dan dalam beberapa dekad akan datang, akan menjadi tenaga kerja serta buruh produktif, satu terma yang digelar sebagai 'dividen demografi' oleh kerajaan dan pakar ekonomi.

Namun, prospek dividen demografi yang dipersoal, apabila berjuta-juta orang yang kurang berpendidikan tetapi dengan aspirasi tinggi, tidak akan dapat mencari pekerjaan menjadi cabaran kebangsaan, menghantui 1.2 bilion orang.


GOLONGAN petani di India menerima tempias daripada sistem pendidikan yang longgar apabila mereka tidak ada pilihan lain untuk menghantar anak mereka mendapat ilmu.


Pratham menjalankan satu kajian tahunan terhadap sekolah-sekolah luar bandar utama kerajaan negeri, yang mendapati selepas lima tahun bersekolah lebih daripada separuh kanak-kanak masih tidak dapat membaca teks asas dalam bahasa ibunda mereka sendiri.

Berdiri sebagai salah satu sistem pendidikan terbesar di dunia, China turut menerima tempias pelbagai jenis teguran mengenai tahap dan standard pendidikan.

Pada Jun 2012, kira-kira 9.15 juta pelajar mengambil Peperiksaan Pendidikan Tertinggi Kebangsaan (Gao Kao) di China yang merupakan pengukur kepada segala pembelajaran mereka sepanjang pendidikan.

Melabur kira-kira empat peratus daripada keseluruhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), kerajaan China menetapkan sembilan tahun pendidikan mandatori kepada semua kanak-kanak di negara itu dan dipercayai hampir 99 peratus mencapainya.

Namun, kritikan yang dihadapi oleh sistem pendidikan di negara itu ialah sama seperti kebanyakan sistem di negara Asia iaitu pembelajaran berasaskan hafalan. Tiada ruang untuk berfikir di luar kotak atau penekanan terhadap cadangan kolektif seperti di Barat.

Peperiksaan

Menurut seorang blogger berbangsa Amerika Afrika yang berkahwin dan bermaustatin di China, melalui blog, Life Behind The Wall, Amy Chua, 40, seorang kanak-kanak di China belajar sehingga mereka langsung tiada masa untuk bermain, bersosial atau berehat.

"Semua pembelajaran mereka akan 'direbus' dalam satu peperiksaan besar yang akan menentukan hala tuju. Peperiksaan itu akan meliputi semua yang mereka belajar dalam tempoh persekolahan."

Katanya, lebih teruk apabila seseorang pelajar tidak berjaya, mereka tidak akan mendapat tempat di universiti atau terkandas di sekolah vokasional atau berhenti belajar.

"Universiti yang menawarkan tempat belajar juga memainkan peranan. Jika ia bukan sebuah universiti yang popular, anda mungkin menganggur selepas tamat pengajian," katanya yang turut diakui ramai pengikutnya dalam blog tersebut.

Dalam pada itu, seorang buruh kasar yang sudah lama tinggal di Beijing, Hu Zhongping memasang impian untuk anaknya belajar hingga ke menara gading mungkin makin kabur.

Kini, dia hanya mahu anaknya bersekolah. Warganegara China, dengan separuh hidupnya di Beijing, Hu tidak mendapat akses yang sama seperti penduduk urban lain untuk pendidikan, kesihatan mahupun kemudahan.

"Saya cuma harap anak saya akan ke sekolah kerajaan negeri. Sebagai ibu bapa, saya mahu anak saya tidak mewarisi nasib saya," katanya.

Namun, kira-kira 140 juta migran luar bandar yang kini bekerja di bandar tidak mendapat manfaat yang adil dengan mereka yang tinggal di bandar, khususnya dari segi pendidikan.

Kira-kira 58 juta kanak-kanak di biarkan tinggal di perkampungan dengan harapan mereka akan dibesarkan dengan pendidikan wajar. Selebih, 19 juta lagi berada di bandar sebagai warga negara kelas kedua.

Namun, kedua-dua mereka mempunyai akses pendidikan yang lemah. "Kini, anak-anak saya, kembar berusia lapan tahun, Xiaonan dan Xiaobei, belajar dengan ibunya yang menamatkan pengajian semasa usia 16 tahun.

"Hanya mereka yang mempunyai 'hubungan' sahaja akan mendapat tempat di sekolah. Dan untuk mengadakan 'hubungan' itu pula, anda perlu banyak berbelanja," kata Hu sambil memikirkan masa depan pendidikan anaknya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved