Khamis, 20 September 2012

Kosmo Online - Negara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


Pastikan barang dijual murah

Posted:

Pastikan barang dijual murah

Oleh MOHD. ZAINI SAMSU HADI
zaini.hadi@kosmo.com.my

AHMAD ZAHID (berdiri empat dari kiri) dan Allatif (berdiri tiga dari kiri) bergambar bersama pelajar UPNM yang menerima KADS1M di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Syarikat-syarikat yang menyertai program Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KADS1M) dan 1Malaysia Privilege diingatkan supaya tidak menipu pelanggan mereka dengan menawarkan harga barang yang mahal kepada pemegang kedua-dua kad berkenaan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebaliknya mahu mereka menepati janji iaitu memastikan harga tawaran yang diberikan adalah benar-benar murah berbanding harga di pasaran seperti yang telah dipersetujui dalam kontrak.

"Berdasarkan laporan, terdapat syarikat tertentu tidak memberi diskaun yang sepatutnya kepada pemegang kad berkenaan dengan tujuan untuk mengaut keuntungan dan saya harap syarikat-syarikat terbabit dapat memperbaiki kaedah pemberian diskaun ini.

"Biarpun ada niat yang baik, kita tidak mahu mereka melaksanakan usaha ini umpama melepaskan batuk di tangga sebaliknya mereka perlu penuhi persetujuan yang dibuat," katanya.

Terdahulu, Ahmad Zahid menyerahkan KADS1M kepada pelajar-pelajar Universiti Pertahanan Malaysia (UPNM) di Kem Sungai Besi di sini semalam.

Seramai 2,259 orang pelajar diberikan kad tersebut pada majlis penyerahan yang dihadiri oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Daud Tahir dan Naib Canselor UPNM, Datuk Seri Allatif Mohd. Noor.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, pihaknya memantau perkembangan usaha pemberian diskaun oleh syarikat-syarikat berkenaan ekoran tidak mahu pemegang kad yang merupakan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta terasa seperti ditipu.

Pada masa ini, sebanyak 231 syarikat termasuk koperasi menyertai KADS1M dengan menawarkan diskaun antara lima hingga 60 peratus bagi pembelian barangan dan perkhidmatan terpilih di premis-premis perniagaan mereka.

Antara sektor perniagaan yang terlibat ialah pengeluar buku, alat tulis, pakaian, kesihatan, peruncitan, penginapan, produk teknologi maklumat serta kemudahan automotif termasuk pengangkutan awam.

Kad tersebut yang diberikan secara percuma kepada lebih 1.5 juta pelajar IPT awam dan swasta warganegara Malaysia.

Usaha perkasakan pewaris Felda

Posted:

Usaha perkasakan pewaris Felda

NAJIB bergambar bersama pelajar-pelajar generasi baharu Felda di Seri Perdana, Putrajaya semalam.


PUTRAJAYA - Kerajaan sentiasa berusaha membangunkan generasi baharu Felda serta memperkasakan generasi itu dengan peluang menimba ilmu yang sebaik mungkin, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, selain itu mereka turut diberi peluang menimba pengalaman-pengalaman baharu dan pengetahuan terkini sama ada di dalam mahupun di luar negara.

"Saya berbangga bahawa apa yang diimpikan sejak 2005 di bawah strategi baharu abad ke-21 dan 50 tahun akan datang, kita telah menggariskan salah satu terasnya... mesti berusaha membangunkan pewaris-pewaris kita iaitu generasi baharu Felda.

"Kalau generasi pertama meneroka tanah, generasi kedua dan ketiga menjadi peneroka minda dalam abad ke-21," katanya semasa berucap pada majlis jamuan tengah hari bersama pelajar-pelajar generasi baharu Felda di Seri Perdana di sini semalam.

Majlis anjuran Universiti Limkokwing itu adalah bagi meraikan 100 pelajar Felda yang dipilih mengikuti Program Jelajah Pembelajaran Generasi Baharu ke London bermula 24 September ini hingga 18 Januari.

Perdana Menteri berkata, kejayaan Felda selama ini adalah kerana berbudi kepada tanah menerusi titik peluh dan susah payah para peneroka.

"Transformasi pertama ialah (peneroka) daripada tidak memiliki tanah kepada mereka yang memiliki tanah dengan pendapatan boleh dikatakan jauh lebih baik dan lebih terjamin," katanya.

Justeru, Najib berkata, punca-punca kejayaan secara tradisional sebelum ini perlu digantikan dengan asas kekayaan baharu pada abad ke-21 menerusi ilmu, teknologi dan inovasi.

"Sebab itu itulah kita buat program sebagai persediaan meniti arus globalisasi agar tidak ketinggalan dalam persaingan dunia.

"Berbeza dengan ada puak-puak di luar yang cuma pandai mengkritik dan lebih dahsyat menabur fitnah, tetapi mereka tidak ada jasa kepada masyarakat Felda. Tolak ke tepi puak-puak itu kerana masa depan kita ialah mencari ilmu dan membina generasi baharu," katanya. - Bernama

Demonstrasi kecam penghinaan

Posted:

Demonstrasi kecam penghinaan

Oleh JUNHAIRI ALYASA
junhairi.alyasa@kosmo.com.my

KHAIRY bersama beberapa wakil pertubuhan bukan kerajaan pada sidang akhbar
di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Pemuda UMNO akan mengadakan perhimpunan aman bagi membantah penyiaran filem Innocence of Muslims dan kartun terbitan majalah Perancis, Charlie Hebdo yang menghina Nabi Muhammad SAW di Masjid Kampung Baru di sini hari ini.

Menurut Ketuanya, Khairy Jamaluddin, demonstrasi yang akan diadakan selepas solat Jumaat itu bertujuan mengecam penghinaan yang dilakukan terhadap Islam.

"Kami ingin melahirkan pandangan bahawa kebebasan bersuara perlu ada had, tanggungjawab dan penghormatan terhadap agama, kaum serta sensitiviti manusia," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Perhimpunan itu akan diadakan selepas solat Jumaat dan disertai kira-kira 5,000 orang yang terdiri daripada ahli-ahli parti komponen Barisan Nasional, Gerakan Belia 4B, Pertubuhan Pribumi Perkasa, Pertubuhan Silat Lincah Malaysia, Pertubuhan Silat Kebangsaan Malaysia dan Persatuan India Muslim.

Khairy menjelaskan, bagaimanapun hasrat untuk bergabung dengan Dewan Pemuda Pas bagi mengadakan bantahan tersebut tidak dapat dilakukan atas faktor keselamatan.

"Saya dan Nasrudin Hassan (Ketua Dewan Pemuda Pas) sudah berbincang secara mendalam mengenai perkara itu, malah saya juga maklumkan kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, namun beliau meminta agar peserta diasingkan bagi mengelak kejadian tidak diingini.

"Walaupun saya dan Nasrudin boleh beri jaminan perhimpunan akan berlangsung dengan aman tetapi terdapat pelbagai kemungkinan yang boleh berlaku," ujar beliau.

Katanya, Dewan Pemuda Pas akan menganjurkan protes di pekarangan Kedutaan Amerika Syarikat di Jalan Tun Razak di sini.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved