Selasa, 28 Ogos 2012

Kosmo Online - Infiniti


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Infiniti


Memantau keadaan jentera dari jauh

Posted:

Memantau keadaan jentera dari jauh

Oleh ADLAN JAAFAR
adlan.jaafar@kosmo.com.my

KONTRAKTOR di India yang menggunakan sistem telematik CareTrack Volvo sejak ia dilancarkan pada Julai 2011 di negara itu mula mendapat manfaat daripadanya selepas beberapa bulan.

Pengarah Perniagaan, Volvo Construction Equipment Malaysia, Frederic Ruesche, 41, berkata, kelebihannya amat menakjubkan apabila mereka dapat menjimatkan minyak hampir dua liter setiap jam bagi sebuah mesin berat.

"Pengawasan CareTrack telah membuatkan kerja mereka menjadi lebih mudah," katanya yang berasal dari Perancis.

Selain itu, Pengurus Perkhidmatan Pemasaran Volvo untuk Asia Tenggara, Pius Neo, 36, turut berkongsi cerita mengenai pengguna sistem tersebut di Indonesia.

"Salah sebuah syarikat di sana kerap mengalami kehilangan minyak petrol yang menyebabkan kos melambung tinggi.

"Dengan CareTrack, akhirnya pemilik syarikat dapat mengesan berlaku kecurian minyak dalam kalangan pekerja mereka," kata Pius ketika ditemui di Shah Alam, Selangor.

CareTrack merupakan sistem telematik tercanggih yang dikeluarkan oleh Peralatan Pembinaan Volvo. Ia boleh menguruskan produktiviti mesin dan memaksimum kebolehsediaan untuk bekerja.

Sistem tersebut menggunakan teknologi Sistem Penentu Kedudukan Global (GPRS) atau teknologi satelit bagi penghantaran maklumat jentera kepada pusat kawalan CareTrack. Data yang dikendali dalam keadaan selamat dan terkini itu dihubungkan dengan mana-mana peranti kawalan dalam talian.

Lonjak produktiviti

Secara asasnya, penggunaan sistem tersebut dapat menjimatkan minyak petrol dan menawarkan peningkatan produktiviti kerja. Mesin yang menggunakan CareTrack didapati antara yang paling berkos rendah dalam unit tan.

TEKNOLOGI GSM, satelit dan GPRS dapat mengesan kedudukan dan perilaku jentera milik kontraktor walaupun berada beribu-ribu kilometer dari ibu pejabat.


CareTrack mula dilancarkan pada tahun 2007 di Eropah dan Amerika Utara. Pada September 2010 pula ia diperkenalkan di Indonesia, diikuti India (Julai 2011) dan Singapura. Pada tahun ini, sistem telematik Volvo itu dilancarkan di Filipina, Thailand dan Malaysia.

Setakat ini, sudah hampir 40,000 mesin keluaran Volvo yang menggunakan CareTrack di negara-negara yang dilancarkan.

Menurut Frederic, sistem tersebut diperkenalkan secara berperingkat disebabkan ia melibatkan permohonan lesen bagi mendapatkan kebenaran selain kaedah pengurusan yang berbeza-beza bergantung pada sesebuah negara.

Sistem telematik CareTrack menggunakan teknologi GPRS untuk mengesan kedudukan secara tepat sesebuah mesin.

Melalui sistem berkenaan, maklumat kedudukan mesin atau jentera boleh dipantau secara terkini manakala data-data lain dihantar sekali setiap 24 jam.

"Jika GPRS tidak berfungsi, Sistem Komunikasi Global (GSM) menjadi alternatif dalam menyampaikan data dari lokasi mesin ke peranti pemilik mesin," kata Pius selepas majlis pelancaran CareTrack pada bulan Jun lalu.

Di Malaysia, pembekal sistem telekomunikasi DiGi digunakan untuk GSM yang juga rakan kongsi global bagi Volvo.

Dari segi kos, GSM lebih murah berbanding penggunaan teknologi satelit. Bagi satelit, perkhidmatan syarikat yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Orbcomm, digunakan untuk menghantar dan memantau data apabila perkhidmatan GSM tiada. Liputan satelit lebih menyeluruh berbanding GSM.

Kesemua data yang dipantau sama ada oleh GPRS, GSM atau satelit yang diterima dari mesin akan dihantar ke pusat pangkalan data untuk diproses.

Kemudian, data-data itu dihantar ke pihak pelanggan dengan talian internet yang dijamin keselamatannya melalui portal CareTrack yang beroperasi 24 jam.

Operasi kerja

Antara data yang dipancarkan ialah penggunaan minyak petrol (sama ada berlaku penurunan atau tiada perubahan) dan paras baki minyak enjin. Jumlah jam bekerja, jarak pergerakan dan bilangan operasi kerja yang dilakukan turut dapat dikesan menggunakan sistem CareTrack.

Selain itu, data yang turut direkodkan dalam sistem CareTrack ialah tempoh masa operasi kerja yang dijalankan, kelajuan mesin dikendalikan dan perkhidmatan pemberitahuan setiap kali jentera perlu diselenggara.

PELANCARAN CareTrack di Malaysia memang dinanti-nantikan oleh kontraktor di negara ini kerana percaya akan keberkesanannya.


Bagi mencapai misi menjadikan CareTrack sebagai sistem yang boleh mengesan sebarang kerosakan atau kegagalan lebih awal untuk tindakan pembaikan, ia turut menghantar laporan mengenai aktiviti mesin sebagai amaran bagi sebarang kerosakan.

"Melalui pemantauan mesin secara berterusan, CareTrack membolehkan ia menjadi lebih cekap sama seperti kehendak pelanggan.

"Mesin boleh sentiasa bersedia untuk bekerja dalam keadaan yang terbaik," kata Frederic.

Selain itu, para pelanggan boleh mendapatkan kumpulan data mengikut tempoh masa yang dikehendaki bagi menyelidik kecekapan jentera sekali gus dapat menilai prestasi pekerja.

Terdapat dua kaedah pemantauan iaitu data-data yang dihantar ke Pusat Penyelesaian CareTrack untuk diproses sebelum dihantar kepada pelanggan.

Bagaimanapun, jika pihak pelanggan mahu memantau sendiri aktiviti jentera milik mereka, sebuah laman web CareTrack versi pelanggan dibekalkan. Pada masa yang sama, pihak Volvo masih turut memantau.

"Sistem telematik bakal menjadi alat yang mesti dimiliki oleh pelanggan dan kontraktor dalam dunia yang penuh dengan persaingan," ujar Ruesche penuh keyakinan.

Setiap jentera berat yang dikeluarkan selepas pelancaran CareTrack dilengkapi dengan sistem telematik itu manakala mesin-mesin sedia ada boleh dipasang mengikut kehendak pemilik.

Eksklusif Blackberry Porsche

Posted:

Eksklusif Blackberry Porsche


HASIL kerjasama Porsche Design dengan RIM maka lahirlah Blackberry Porsche yang serba mewah.


DIREKA khas oleh Porsche Design dengan kerjasama RIM, telefon pintar jenama mewah pertama ini pasti menjadi dambaan golongan pencinta gajet eksklusif.

Menampilkan ciri-ciri teknologi kejuruteraan mewah dengan prestasi terunggul, model premium Blackberry Porsche Design P'9981 ini mampu memberi kepuasan maksimum kepada pemiliknya dalam aktiviti komunikasi mobiliti.

Selain itu, bahan-bahan eksklusif digunakan untuk peranti unik ini termasuklah rangka keluli tahan karat yang ditempa, sarung belakang kulit, papan kekunci fizikal QWERTY dan paparan sentuhan jelas kristal.

Tidak ketinggalan, peranti mewah ini didatangkan dengan Porsche Design UI eksklusif dan Wikitude World Browser bagi memperkukuhkan pengalaman capaian aplikasi realiti. Ia turut merangkumi premium, PIN eksklusif yang dengan mudah membantu mengenal pasti pengguna telefon pintar Blackberry P'9981 yang lain.

Sentuhan fungsi teknikal pintar dan berkuasa seperti penggunaan pacuan pemproses 1.2 GHz mampu menawarkan kelancaran ekstrem sama ada ketika melayari internet, memuat naik atau memuat turun sesuatu fail.

Model ini juga dilengkapi dengan kamera bersaiz lima megapiksel dengan kelancaran rakaman foto di samping berupaya merekod dan memainkan semula video definisi tinggi (HD) beresolusi 720p.

Melayari internet turut menjadi lebih mudah dan ringkas kerana BlackBerry Porsche P'9981 menyokong sambungan 3G dan wayarles Wi-Fi.

Dalam aspek inovasi perkakasan pula, telefon pintar tersebut dilengkapi teknologi Near Field Communication (NFC) untuk fungsi sambungan atau penghantaran fail kepada telefon lain hanya melalui sentuhan. - KHADIJAH MOHAMAD NOR

Penipuan kejuruteraan sosial

Posted:

Penipuan kejuruteraan sosial

Oleh KHAIRUL ANUAR ABDUL RAHMAN
anuarrahman@gmail.com

DUNIA tanpa wayar sekarang menjadikan penjenayah dalam talian internet semakin bijak menjalankan aktiviti penipuan. - Gambar hiasan


KEDUA-DUA senario di atas merupakan contoh cara licik penjenayah menggunakan teknik kejuruteraan sosial bagi mengekstrak sesuatu maklumat dengan melakukan penyamaran.

Penjenayah boleh menggunakan identiti atau akses individu lain bagi tujuan itu. Secara ringkasnya, kejuruteraan sosial merupakan satu kaedah bukan teknikal bagi menggodam sistem maklumat.

Sungguhpun aplikasi seperti firewall dan sistem keselamatan korporat seperti Intrusion Prevention System (IPS) boleh mengelakkan sistem komputer dan rangkaian daripada diceroboh, tetapi sistem seperti ini tidak memadai.

Ini kerana pengguna yang sah diperdaya oleh pihak lain bagi menyerahkan maklumat yang dikehendaki oleh penggodam.

Maklumat yang diperoleh daripada teknik itu bukan sahaja boleh digunakan untuk melepasi sistem keselamatan komputer pengguna rumah, bahkan sistem rangkaian korporat.

Selain itu, teknik ini juga sering digunakan bagi mendapatkan maklumat yang kemudiannya boleh digunakan untuk menipu kad kredit atau menyurutkan akaun bank pengguna.

Bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa, langkah-langkah berikut boleh diambil oleh pengguna:

1. Pengesahan

Lakukan pengesahan identiti setiap kali menerima panggilan telefon sama ada menerusi telefon pejabat mahupun telefon bimbit peribadi.

Sekiranya pemanggil mengaku daripada organisasi anda bekerja, anda boleh melakukan carian nama kakitangan tersebut di sistem Intranet, klien e-mel atau rujuk kepada direktori organisasi bagi memastikan nama pemanggil tersebut benar-benar wujud.

Langkah terbaik adalah dengan menyuruh pemanggil menghantarkan e-mel kepada anda sebagai satu cara verifikasi. Sekiranya e-mel yang digunakan bukan daripada domain organisasi anda, besar kemungkinan dia adalah seorang penjenayah jurutera sosial.

2. Buat panggilan semula

Apabila menerima panggilan telefon yang diragui kesahihan identiti pemanggilnya, anda boleh melengahkan pemanggil dengan memberikan alasan sedang sibuk dan akan menghubungi semula pejabat pemanggil. Jika pemanggil mengarahkan anda menghubungi nombor lain dan bukan nombor organisasi anda, pastikan anda tidak menghubungi semula.

3. Usah tertekan

Kebanyakan kes, mangsa memberikan maklumat yang tidak sepatutnya kepada pihak yang tidak dikenali kerana berada dalam keadaan tertekan.

Penjenayah kejuruteraan sosial lazimnya akan menghubungi anda dan mengatakan tentang betapa pentingnya panggilan tersebut. Mereka akan sedaya-upaya membuat durasi panggilan paling pendek, tetapi dapat mengekstrak maklumat yang mereka inginkan dengan menggunakan alasan urusan perbankan.

Jangan berasa tertekan dengan situasi seperti itu. Teruskan melakukan verifikasi terhadap pemanggil tanpa menghiraukan pemanggil yang mendesak dan ingin cepat.

Jangan buka lampiran daripada penghantar e-mel yang tidak dikenali.

Para penjenayah siber tidak pernah berputus asa dalam memanipulasi kelemahan pengguna komputer. Teknik yang sering digunakan adalah dengan menghantar e-mel yang mengaku daripada bank dan menyuruh pengguna melakukan perkara-perkara seperti:

n Mengklik pada pautan kononnya bertujuan untuk mengesahkan identiti anda kerana sistem bank sedang mengalami penyelenggaraan dan memerlukan pelanggan mengemaskini maklumat peribadi mereka.

n Membuka lampiran yang disertakan kononnya dokumen perjanjian perbankan yang telah dirombak.

n Memberikan nombor kad kredit, tarikh luput dan nombor sekuriti tiga digit di bahagian belakang kad bagi tujuan pengesahan data perbankan.

Sekiranya anda menerima panggilan atau e-mel yang mengarahkan perkara seperti di atas, perkara terbaik adalah dengan melaporkannya kepada Cyber999 dengan memilih pelbagai kaedah hubungan di laman web http://www.mycert.org.my/en/about/contact_us/main/detail/18/index.html.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved