Selasa, 13 Disember 2011

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Ahmad Yazid dedah tragedi Canny Ong

Posted:

Ahmad Yazid dedah tragedi Canny Ong

Ahmad Yazid dedah tragedi Canny Ong

KETIKA kanak-kanak lain sebayanya memilih permainan video, Ahmad Yazid sudah pun berada dalam dunia realiti.

Alat permainan pertama Yazid ketika dia berusia tiga tahun ialah kamera Lego. Pada usia sembilan tahun, dia sudah membantu bapanya melakukan kerja-kerja penyuntingan. Bahkan, dia mahir mengendalikan kamera perakam.

Kemahiran mengendalikan kamera perakam dipelajari daripada bapanya, seorang jurukamera bahagian berita Radio Televisyen Malaysia (RTM). Rakaman siaran berita dan penyuntingan berita adalah perkara pertama yang menjadi silibus lelaki yang berasal dari Kampung Majidi, Johor Bahru, Johor itu.

Sejak itu, pemuda yang baru mencecah 27 tahun itu tahu apa yang diingini dalam hidupnya. Dia memerlukan sebuah kamera, sepasang alat pencahayaan dan skrip.

"Sebagai seorang jurukamera sambilan di RTM, bapa selalu terlibat dalam kerja rakaman, penyuntingan visual dan menyusun gambar video. Saya pun terikut-ikut dengan ayah dan memilih kamera sebagai teman main ketika muda dahulu," ujar anak ketiga daripada tujuh beradik itu.

Ahmad Yazid mengakui guru pertama yang mendidiknya dalam bidang pembikinan filem berita, video korporat dan dokumentari ialah bapanya, Ahmad Puad Omar, 58. Peminat nombor satu Ahmad Yazid pula ialah ibunya, Rohana Sedek, 53.

Dapat kepercayaan

"Setiap kali saya menghabiskan pembikinan sesuatu dokumentari, itulah pengalaman yang paling manis. Ia tidak dapat digambarkan dengan kata-kata," katanya. Namun di sebalik kenangan manis itu, Ahmad Yazid turut berkongsi satu kenangan yang tidak dapat dilupakan.

Katanya, ketika berumur 10 tahun, Yazid mendapat kepercayaan bapanya untuk menyunting sebuah video korporat. Demi kerja-kerja penyuntingan itu, Ahmad Yazid tidak pergi ke sekolah selama seminggu dan berjaya menyiapkan kerja-kerja tersebut. Bagaimanapun, memandangkan dia masih kanak-kanak, bapa Ahmad Yazid terpaksa mengaku bahawa video itu adalah hasil suntingan beliau.

Namun, dia tidak menyalahkan bapanya. Menurut Ahmad Yazid, dia juga pernah dihalang daripada memasuki bilik persidangan semasa bapanya menayangkan video tersebut.


AHMAD YAZID (dua dari kiri) di salah satu set penggambaran pembikinan dokumentari.


Ahmad Yazid bagaimanapun tidak mengehadkan kemahirannya membuat filem dokumentari sahaja, bahkan dia melibatkan diri dalam pelbagai pembikinan dokumentari yang lain.

Berbekalkan minat dan didikan bapanya, Ahmad Yazid akhirnya berjaya menjadi seorang pengarah. Namun, dunia arahan Ahmad Yazid agak berbeza. Ahmad Yazid ialah pengarah bersama beberapa dokumentari. Tiga daripada hasil kerjanya pernah ditayang di saluran berbayar Astro, Crime and Investigation Network (CIN) dan History Channel iaitu Mas Selamat: The Fugitive Terrorist, The Mamak Gang dan Al Maunah - The Malaysian Heist.

Dengan label dokumentari yang kukuh, Ahmad Yazid terus terdorong untuk menghasilkan dokumentari bertaraf antarabangsa. Kali ini, dokumentari terbaharunya melibatkan kes jenayah yang pernah menggemparkan negara tujuh tahun lalu iaitu kes pembunuhan Canny Ong.

Ahmad Yazid mengakui terpaksa duduk berjam-jam dan berhari-hari dalam menyiapkan dokumentari tersebut agar dapat memenuhi kehendak penonton.

Ahmad Yazid memulakan kerjaya dengan menerbitkan dokumentari mengenai pendidikan seks. Nasib menyebelahinya, apabila dokumentari tersebut menang dalam Festival Filem Bebas oleh Pusat Komuniti Masyarakat (KOMAS) dan dianugerahkan sebagai dokumentari terbaik Anugerah Video Muzik (VMA). Dengan kemenangan tersebut, Dana Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) memberi kepercayaan kepada Ahmad Yazid untuk menghasilkan dokumentari mereka.


SEBAHAGIAN daripada individu yang terlibat dalam dokumentari kes pembunuhan mendiang Canny. Dari kiri depan: Amidon, Abu Bakar, Lydia dan Geshina Ayu. Belakang kiri: Chris Armphrey, Ahmad Yazid dan Nevis.


Bersama seorang rakan, Lydia Lubon, 32, Ahmad Yazid membuka sebuah syarikat produksi sendiri iaitu Rack Focus Films.

Selepas terlibat dalam beberapa dokumentari, buat julung-julung kalinya mereka berpeluang membuat dokumentari untuk CIN pada tahun 2009.

Walaupun kes mendiang Canny mendapat perhatian secara meluas daripada pelbagai pihak, Ahmad Yazid mengakui laporan yang disiarkan kurang nilai-nilai kemanusiaan. Atas alasan itulah dia membuka semula fail itu.

Tafsiran orang ramai

"Selain meminati pasukan produksi CIN itu sendiri, dalam kes mendiang Canny, saya melihat orang ramai membuat pelbagai tafsiran sendiri.

"Melalui dokumentari ini, krew kami berpeluang mendedahkan perkara sebenar daripada individu yang terlibat," kata Ahmad Yazid merujuk kepada para pihak yang ditemuramah untuk dokumentari tersebut.

Mereka yang terlibat ialah ibu Canny Ong, Pearly Visvanathan Ong, 63, teman rapat Canny, Noreen Natasha, wartawan pertama yang tampil dengan berita itu, Fay Angela D'Cruz, pakar kriminologi dan psikologi, Dr. Geshina Ayu Mat Saat.


PEMBUNUHAN mendiang Canny mencatatkan sejarah paling pahit dalam hidup Pearly.


Selain itu, antara sumber-sumber yang memberi maklumat termasuklah Timbalan Pendakwa Raya Awam kes tersebut, Datuk Salehuddin Saidin, Timbalan Suprintenden Polis dan Ketua Unit Siasatan Jenayah kes itu, Amidon Adnan.

Turut terlibat ialah Ketua Bahagian Penyiasatan Jenayah ketika itu, Senior Asisten Komisioner (SAC) Abu Bakar Mustafa, peguam bela pesalah, Ahmad Najib Aris, Rosal Azimin Ahmad, Ketua pasukan pertahanan pesalah, Muhammad Haniff Khatri Abdullah dan polis peronda ketika kejadian, Lans Koperal, S.Ravichandran.

"Kami ada menghubungi pesalah kes pembunuhan ini, Ahmad Najib. Dia bersetuju untuk berkongsi cerita untuk dokumentari ini tetapi kami tidak dibenarkan melakukan demikian atas dasar undang-undang oleh pihak penguatkuasa penjara."

"Saya percaya dokumentari ini telah diolah dan diceritakan kembali dengan memberi keutamaan kepada unsur-unsur kemanusiaan. Input daripada mereka yang terlibat juga memberi impak yang baik, sehinggakan saya sendiri dapat merasai apa yang dilalui oleh mendiang Canny," kata Ahmad Yazid ketika ditemui baru-baru ini.

Cabaran yang dihadapi sepanjang menyiapkan dokumentari ialah proses pembikinan yang memakan masa hampir satu tahun.

Menurut Ahmad Yazid, selain merujuk kepada undang-undang dan peraturan, dokumentari itu perlu berurusan dengan ibu mangsa, Pearly.

Dalam nada simpati, Ahmad Yazid berkata, krewnya beberapa kali menghubungi Pearly dan memujuk beliau untuk bekerjasama dalam pembikinan dokumentari itu.


DI lubang inilah mayat mendiang Canny ditemui oleh para penyiasat.


"Bukan itu sahaja, kami juga mahu membersihkan segala persepsi negatif yang dilemparkan masyarakat.

"Kami ingin menyedarkan masyarakat saat-saat genting yang dilalui oleh mendiang Canny."

Meskipun hanya berkelulusan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Ahmad Yazid berjaya mengolah jalan cerita pembunuhan mendiang Canny secara naratif.

Turut bersama dalam pertemuan krew pembikin dokumentari itu ialah Penerbit Eksekutif AETN All Asia Networks (AAAN), Chris Humphery, penerbit Lydia Lubon serta pengarah bersama, pengarah seni dan penyelidik, Rob Nevis.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved