Sabtu, 3 Disember 2011

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Muzium Kapal Selam di bumi Hang Tuah

Posted:

Muzium Kapal Selam di bumi Hang Tuah

Muzium Kapal Selam di bumi Hang Tuah

Oleh KUMARA SABAPATTY dan NUZULSHAM SHAMSUDDIN

NEGERI 'Hang Tuah' tidak pernah jemu dikunjungi pelancong dari dalam negeri mahupun luar negara.

Kota A'Famosa, bangunan Stadthuys, perigi Hang Tuah dan bermacam-macam lagi. Semua itu tidak pernah membosankan walaupun sudah dilawati berkali-kali.

Kali ini Melaka mahu memberi sesuatu yang baharu. Negeri penuh tinggalan sejarah itu menawarkan tarikan baharu dengan pembukaan Muzium Kapal Selam. Muzium ini diselia Perbadanan Muzium Melaka (Perzim).

Muzium kapal selam ini menambah lagi koleksi artifak sejarah negeri ini yang sudah mempunyai 23 muzium.

Terletak di Dataran 1Malaysia, Klebang, pembukaan Muzium Kapal selam SMD Ouessant jenis Agosta 70 milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada 22 November lalu sudah cukup membuatkan rakyat negara ini terutama rakyat Melaka berbangga.

Selepas menempuh pelayaran selama 31 hari dari pelabuhan Brest, Perancis, kapal selam seberat 1,200 tan tersebut akhirnya tiba di perairan Selat Melaka pada 12 November lalu.

Disebabkan proses untuk mengangkut kapal selam terbabit menelan belanja RM12.6 juta dan pertama kali dilakukan, kerja-kerja mendaratkan memakan masa yang lama apabila ia perlu dilakukan dengan teliti.

Ramai antara kita pernah menyaksikan aksi mencabar seumpama seperti mengangkut kapal atau rumah dari satu tempat menggunakan treler dalam dokumentari Discovery Channel atau National Geographic.

Rekod dunia

Sudah pasti ia antara program yang sangat menyeronokkan.

Jika adapun seperti kapal selam yang dipindahkan ke Surabaya, Indonesia sebenarnya dileraikan kepada dua bahagian sebelum ditempatkan di situ menggunakan kapal laut.

Bagaimanapun, Felda Transport Services Sdn. Bhd. ada cara tersendiri dalam mengangkut kapal selam itu ke Melaka.


KAPAL selam Agosta 70 selamat ditempatkan di Klebang, Melaka.


Kapal yang beratnya lebih 1,000 tan itu dipindah dan diangkut tanpa dileraikan sekali gus mencipta sejarah dan dipuji pasukan marin Perancis.

Proses itu melibatkan dua buah kren khas yang masing-masing berkeupayaan mengangkat beban 900 tan. Operasi mengalihkan kapal selam dari kapal 'Jumboship' ke kapal ponton mengambil masa selama tiga jam.

Ia berukuran 67.57 meter panjang dan tinggi 11.75 meter manakala 6.5 meter lebar. Sesiapa sahaja akan teruja melihat kapal itu kerana ketinggiannya menyamai sebuah bangunan kedai tiga tingkat!

Menyingkap sejarah kapal itu, Agosta 70 digunakan untuk melatih kru pertama kapal selam Malaysia dari 2005 hingga 2009 dan latihan itu dijalankan berikutan kontrak yang ditandatangani Malaysia untuk pemilikan kapal selam Scorpene Perancis pada 2002.

Pada 23 September lalu, Duta Malaysia ke Perancis Tan Sri Abdul Aziz Zainal mewakili kerajaan Malaysia menandatangani satu pemindahan pemilikan kapal selam Agosta 70 dengan wakil Kementerian Pertahanan Perancis, Yves Blanc.

Menariknya, kali terakhir Agosta 70 digunakan oleh TLDM dan Tentera Laut Perancis ialah ketika melakukan pelayaran di Lautan Atlantik pada Julai 2009.

Ketua Pegawai Eksekutif Felda Transport, Zainal Abidin Ujud memberitahu, kerja menaikkan kapal selam itu merupakan pengalaman pertama syarikatnya apabila proses mengalihkan kapal selam itu menggunakan kaedah 'heavy lift' yang belum pernah dilakukan oleh mana-mana pihak sebelum ini.

"Kami pada mulanya mahu mencuba kaedah tali balut atau bellishing namun (teknik itu) dianggap tidak sesuai sebelum beralih pada 'heavy lift'.


PELAN pembangunan Muzium Kapal Selam atau Kompleks Pelancongan Klebang, Melaka.


"Ini adalah yang pertama di dunia dan kita terpaksa mendapatkan kepakaran jurutera marin dengan melibatkan kajian menyeluruh daripada Universiti Delft, Belanda bagi membuat penilaian mengenai proses mengangkut kapal selam ini.

Trelar 480 tayar

"Ia melibatkan beberapa kepakaran termasuklah 'salt water Engineering dan Lloyd' kesemuanya melibatkan kepakaran marin laut," katanya.

Ujar beliau, meskipun kapal selam itu diperbuat daripada besi, namun ada beberapa bahagian kapal itu rapuh. Petugas pengangkutan perlu berhati-hati ketika operasi mengangkut kapal dilakukan.

"Bayangkanlah kerja itu selesai pukul 6 petang di Pelabuhan Marin Brest, selepas dibawa ke situ dari Rotterdam, pangkalan tentera marin Perancis," katanya yang turut menyelia dari mula hingga akhir pendaratan di Klebang, Melaka.

Lebih mendebarkan, pukul 9.30 pagi kapal ponton perlu membawa kapal selam terbabit dengan berhati-hati ke jeti sementara di Klebang, Melaka pada 17 November lalu.

Satu lagi cabaran menanti apabila kru terpaksa menempuh perjalanan sejauh 1.8 kilometer untuk ke kawasan lapang Dataran 1Malaysia, Klebang.

Dengan menggunakan treler 'Multi axle' yang disewa khas dari Singapura, proses pendaratan penuh mencabar itu selesai dalam tempoh kurang 100 minit.

Kira-kira pukul 12.30 tengah hari, operasi membawa kapal selam berkenaan bergerak ke tapaknya dengan bantuan air pasang kerana air pasang membantu kapal ponton terbabit berada sama paras dengan jeti sebelum kapal selam ditarik ke darat.


KAPAL selam diangkut dan dipindahkan dari jumboship milik Belanda ke atas tongkang yang berlabuh di sebelah jumboship itu di Melaka.


"Dalam kedudukan satu kilometer dari pesisir pantai jeti sementara, kami meletakkan kapal selam di atas treler 480 tayar yang berada di atas 'barge' atau tongkang sebelum ditarik perlahan ke arah jeti sementara sebelum dipindahkan ke darat menggunakan alat kawalan jauh.

Zainal Abidin memberitahu, bagi melancarkan operasi menaikkan kapal ke darat, beberapa plat keluli diletakkan di atas laluan bagi mengelak tanah menjadi mendap.

"Namun semuanya lancar kerana jeti sementara dan laluan yang diwujudkan khas untuk kapal selam memang kukuh," jelasnya lagi.

Selepas semua proses selesai, kira-kira pukul 4.40 petang, kapal selam itu akhirnya berjaya diletakkan di posisi yang ditetapkan dengan sokongan dua 'saddle' atau besi gergasi pada badannya.

Full content generated by Get Full RSS.

Kafe empat musim

Posted:

Kafe empat musim

Kafe empat musim

Oleh MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM


PINTU gerbang seakan-akan dibalut daun-daun plastik seakan-akan mempelawa pelanggan memasuki kafe.


SEKILAS pandang, ramai akan teruja dan terpesona melihat keindahan restoran ini. Ciri eksklusif itu pasti membuatkan ramai bertanggapan bahawa makanan yang dihidangkan pasti mahal-mahal belaka.

Itu pandangan pertama penulis sebelum memasuki dan merasai sendiri makanan serta minuman yang terdapat di kafe Little White Cafe yang terletak di Seksyen 9, Bandar Baru Bangi, Selangor.

Sebenarnya, bukan ingin bersikap skeptikal namun hiasan di bahagian luarnya sahaja cukup mewah seakan-akan pelanggan berada di taman bunga di Belanda atau Switzerland!

Selain itu, mungkin ramai yang memikirkan Little White Cafe milik pelabur asing.

Hakikatnya, pemilik kafe itu ialah wanita tempatan, Faizah Zainal Abidin.

"Sebenarnya, harga makanan dan minuman yang terdapat di kafe ini berpatutan. Ini kerana, kafe ini dihias menarik untuk membuatkan pelanggan berasa seperti berada di kafe luar negara.

"Little White Cafe turut menonjolkan konsep 'fine dining' yang mementingkan lokasi strategik, kelazatan hidangan selain penampilan luaran dan dalaman," katanya ketika ditemui Jurnal baru-baru ini.

Hidangan eksklusif

Faizah menjelaskan, konsep 'fine dining' yang diterapkan di restorannya digambarkan dengan hiasan luar dan dalaman kafenya.

Realitinya, sebelum memasuki kafe, pelanggan bagaikan disapa dengan binaan pintu gerbang berbentuk empat segi seperti kubah masjid.


PEKERJA restoran tekun menyiapkan menu makanan yang dipesan pelanggan.


Malah, pintu gerbang itu juga dibalut dengan bunga-bunga kertas. Pagar besi di bahagian kiri dan kanan pintu gerbang membuatkan bahagian luar kafe seakan-akan taman bunga.

Bukan itu sahaja yang Faizah menggamit pelanggan untuk datang tetapi juga rekaan kayu berbentuk empat segi yang dicat berwarna hitam.

Kayu itu ditempa menu istimewa kafe yang turut digelar kafe empat musim ini.

Ciri-ciri unik lain di bahagian luar kafe ini termasuk lampu-lampu neon klasik yang digantung sekali gus menggambarkan ciri-ciri tradisional seperti rumah lama.

Faizah juga bereksperimen dengan reka bentuk kontemporari dan tradisi dengan menggunakan pintu dan tingkap jenis logam 'magnesium board' yang lebih ampuh berbanding kayu.

Menurut Faizah, beliau sengaja mengecat pintu dan tingkap dengan rona hijau kerana ingin menekankan ciri-ciri alam semula jadi serta tumbuh-tumbuhan.

"Terdapat pelanggan yang memasuki kafe ini terasa bagaikan dipeluk dengan kasih sayang kerana hiasannya," kata Faizah tersenyum.


CUKUP tenang apabila membaca surat khabar di kafe ini.


Cerita wanita berusia 40 tahun ini tidak berhenti begitu sahaja.

Tombol pintu masuk juga cukup unik kerana bercorak bunga serta alam semula jadi.

Faizah memberitahu, beliau cenderung memilih warna putih sebagai kemasan kafenya kerana warna itu membuatkan premisnya kelihatan lebih besar dan selesa walaupun ruangannya agak terhad.

"Warna putih sesuai dipadankan dengan warna-warna lain seperti warna hijau dan kuning," katanya.

Lukisan

Bahagian dalaman Little White Cafe turut menyajikan susun atur dan rekaan yang pasti menggoda pelanggan.

Selain kaunter penyediaan minuman dan makanan yang terletak di bahagian hadapan kafe, terdapat beberapa lukisan karya pelukis bernama D Wolf digantung kemas di dinding kafe.

Lukisan-lukisan tersebut digantung rapi serta tersusun seakan-akan ia bercerita mengenai aktiviti nelayan di lautan, suasana pantai serta gambar matahari terbenam.

Teruja untuk membeli, usah khuatir kesemua lukisan itu bukan perhiasan semata-mata tetapi untuk dijual.

Selain lukisan-lukisan potret itu terdapat rak-rak di bahagian dinding kafe yang dihiasi pinggan mangkuk sama seperti untuk dihidangkan kepada pelanggan selain bahan makanan dan minuman yang disaji kepada pelanggan.

Antaranya tin minuman bergas, serbuk kopi dan teh, botol sos cili dan tomato.

Selain itu, tarikan lain seperti novel-novel Inggeris serta televisyen bersaiz kecil.

Faizah turut memasang cermin di bahagian dinding sebagai satu langkah bijak untuk membuatkan ruang kafe seakan-akan lebih luas.

Tarikan kafe wanita yang mempunyai lima orang anak ini masih belum berakhir.

Beliau turut menyediakan menu makanan serta dekorasi kafe yang berbeza mengikut empat musim iaitu musim bunga, luruh, panas dan juga salji.

Ujarnya, jika pada musim sejuk bahagian tingkap akan disembur dengan semburan khas seakan-akan musim salji sedang berlaku di negara ini.

"Selain itu, saya juga akan menggunakan kipas yang mengeluarkan cecair seperti salji . "Makanan yang dihidangkan juga berbeza iaitu ayam belanda serta sos beri yang lazat.

"Jangan khuatir kerana tiada arak digunakan selain tiada pokok hiasan seperti perayaan Krismas," katanya.

Jika pada musim bunga pula, lebih banyak bunga-bunga tiruan akan menghiasi kafe.

Pada musim luruh kafe akan dihias dengan bunga-bunga hiasan dan daun-daun plastik di bahagian lantai kafe.


RUANG dalaman kafe yang ringkas namun mementingkan keselesaan pelanggan.


"Apabila musim panas tiba, kami akan memperkenalkan menu ayam dan daging yang dibakar dengan menggunakan arang batu," katanya.

Susunan meja kafe juga diatur dengan kemas dan lebih berbentuk santai.

"Pelanggan boleh memilih meja untuk dua orang, empat orang, enam orang atau 11 orang yang kebiasaan digunakan oleh keluarga.

"Pelanggan juga boleh memilih untuk duduk di kerusi kayu atau sofa," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Sisa merpati ubat mujarab

Posted:

Sisa merpati ubat mujarab

Sisa merpati ubat mujarab

Oleh SITI NOR AFZAN KASIMAN


JALAN AL-MISFALAH ini merupakan dataran merpati terbesar dan ia terletak 250 meter dari Masjidil Haram.


SEBAIK sahaja gelap kota Mekah hilang diterangi sinar mentari, ratusan kawanan merpati mula berterbangan di sekitar kawasan Masjidil Haram.

Di beberapa sudut jalan menuju ke Al-Misfalah, terdapat beberapa jemaah dari Asia Selatan asyik menabur bijirin menjamu kumpulan burung yang jinak itu.

Bukan sukar untuk mendapatkan makanan burung kerana terdapat banyak kedai dan penjaja bergerak yang menjual dedak, kekacang, sekoi serta barli terutamanya di sekitar jalan Al-Hafair, Ghazah dan Al-Misfalah dengan harga SR1 (85 sen) sebungkus.

Di sudut yang sama, ada pula jemaah lelaki dan perempuan kebanyakannya dari Pakistan yang tekun menguis-nguis taburan bijirin yang baru saja terhampar di atas jalan tar.

Tujuh biji

"Kami percaya, makanan merpati ini boleh mengubati beberapa jenis penyakit terutamanya untuk merawat masalah kesuburan," ujar wanita berketurunan Pakistan, Hasina.

Ketika disapa penulis, Hasina yang sudah lama menetap di Britain memberitahu, dia mengetahui tentang kemujaraban makanan merpati daripada saudara-maranya yang pernah berkunjung ke Mekah.

"Hanya bijirin yang belum pecah dan masih berkulit dipilih untuk dijadikan penawar," katanya yang tekun memilih bijirin untuk adiknya.

Menurut Hasina, adiknya sudah enam tahun berkahwin tetapi belum dikurniakan zuriat.

Tambahnya lagi, sebanyak tujuh biji bijirin perlu dikutip dan ia perlu dimakan tanpa dimasak setiap hari selama tujuh hari.

Walaupun belum ada penemuan perubatan yang sahih mengesahkan makanan merpati mampu menyembuhkan penyakit, jumlah jemaah yang mengutip makanan merpati di atas jalan sekitar Masjidil Haram ini tidak pernah berkurangan.

Seorang jemaah Mesir yang ditemui, Ismail Ahmad berkata, dia turut mengutip makanan merpati sebagai usaha menyembuhkan isterinya yang menghidap sawan.

Apabila keadaan isterinya semakin teruk, seorang rakannya menasihatinya supaya pergi mengerjakan umrah ke Mekah dan mengutip makanan burung untuk diberikan kepada isterinya.

"Kawan saya kata isteri saya perlu makan tiga biji bijirin yang masih berkulit ini sebanyak tiga kali sehari selama tiga hari berturut-turut.

"Namun, selepas dua minggu, isteri saya masih belum pulih," katanya.


WARGA Pakistan adalah jemaah yang paling ramai mengutip bijirin makanan merpati di Mekah.


Merugikan

Selain mengambil bijirin makanan merpati, ada juga sejumlah jemaah yang sanggup naik ke Gua Hira, tempat Nabi Muhammad SAW menerima wahyu pertama dan Jabal Rahmah di Arafah, lokasi pertemuan Nabi Adam dan Siti Hawa selepas 40 tahun terpisah untuk mengutip batu-batu di sana.

Kebanyakannya mempercayai batu-batu tersebut dapat memberkati kehidupan mereka dan keluarga mereka.

Mengulas senario yang banyak berlaku terutamanya pada musim haji, Pengarah Pusat Pengajian Islam, Universiti Ummul Qurah, Muhammad Al-Suhali, menjelaskan, hanya umat lslam yang lemah iman dan kurang pengetahuan tentang Islam yang akan percaya tentang kemujaraban makanan merpati dan berkat batu yang diambil di Mekah.

Kenyataan Muhammad yang diterbitkan akhbar The Arab News menjelaskan, mempercayai wujudnya kuasa lain yang boleh menyembuhkan dan memberi keberkatan selain Allah adalah bertentangan dengan syariah Islam.

Ia juga perbuatan yang merugikan apatah lagi jika ia dilakukan oleh jemaah yang datang untuk mengerjakan ibadah haji.

"Di dalam hadis, Nabi Muhammad SAW ada menyatakan, barang-barang yang dijumpai di Mekah baik wang, makanan atau lain-lain, tidak boleh diambil dan digunakan.

"Sebaiknya, kedatangan jemaah ke Tanah Suci dimanfaatkan dengan bersembahyang dan berdoa di Masjidil Haram.

"Mintalah kepada Allah jika kita berada dalam keadaan yang sukar. Itu cara yang betul. Jangan sekali-kali bergantung kepada perkara lain seperti makanan haiwan untuk mengubati penyakit," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved