Rabu, 30 November 2011

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Semangat juang penghidap HIV positif

Posted:

Semangat juang penghidap HIV positif

Semangat juang penghidap HIV positif

SEKITAR 13 tahun lalu, rutin hidupnya tidak pernah lekang daripada berkongsi jarum suntikan. Hari ini, lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Sohaimi, 34, menanggung bahana daripada gaya hidupnya itu. Dia disahkan menghidap HIV positif.

Namun, lelaki yang berasal dari Sabak Bernam, Selangor itu tidak menganggap disahkan sebagai penghidap HIV positif adalah noktah hidupnya.

Sebaliknya, dia bersyukur. Disahkan sebagai penghidap HIV positif menyuntik keinsafan yang tidak terluah dengan kata-kata. Bahkan, Sohaimi merasakan dirinya bertuah kerana itulah titik tolak baginya mengenal erti kehidupan dan mendekatkan dirinya kepada Yang Maha Esa yang dilupakannya selama ini.

"Sebelum ini, saya bergelumang dengan dosa sampaikan surah al-Fatihah pun saya tidak hafal apatah lagi menunaikan solat lima waktu," tuturnya yang gemar dengan aktiviti menghidu gam sejak usianya 15 tahun. Daripada aktiviti menghidu gam, Sohaimi mula terjebak dengan ketagihan dan mengedar heroin.

Namun, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua. Sohaimi akhirnya ditangkap di atas kesalahan memiliki dadah dan dipenjarakan sebanyak empat kali.

Di penjara, Sohaimi mula mengenal agama dan menunaikan tanggungjawabnya sebagai seorang Islam. Ketika berada di penjaralah dia mendapat berita yang mengejutkan.

"Amat mengejutkan apabila saya disahkan sebagai penghidap HIV positif. Namun, saya bersyukur kerana Allah memberi peluang kedua untuk bertaubat,'' ujarnya ketika ditemui di Rumah Pengasih Bukit Tunku, Jalan Duta, Kuala Lumpur baru-baru ini.


SESETENGAH penghidap HIV positif yang tidak mendapat sokongan hilang semangat meneruskan kehidupan.


Namun, Sohaimi mengakui hati lelakinya agak goyah pada peringkat awal tatkala menerima karma di atas gaya hidupnya selama ini. Bagaimanakah penerimaan keluarganya? Anak kedua daripada tujuh beradik itu berkata, mereka reda dengan takdir itu.

Bagi mengisi masanya, Sohaimi kini berkhidmat sebagai wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan membantu memberi khidmat kaunseling kepada penghidap HIV /AIDS.

Pengaruh rakan

Bagi Ayob, 25, meskipun disahkan sebagai penghidap HIV positif kira-kira lapan tahun lalu kini dia menjalani kehidupan seperti insan normal yang lain. Cerita Ayob, semuanya gara-gara terpengaruh dengan kawan sekolah yang menghisap ganja.

Bahkan, sejak umur 13 tahun dia sudah bergelar pengedar dadah secara kecil-kecilan di sekolah untuk menampung perbelanjaan membeli dadah dan mampu meraih puluhan ringgit dalam masa seminggu.

Ayob yang berasal dari Sungkai, Perak memberitahu, selain mengedar dia juga turut menagih dadah.

Anak keempat daripada lima adik-beradik ini mengakui menjadi penagih tegar. Bahkan, dia sudah tidak kisah untuk berkongsi jarum dengan kawan-kawan yang lain.

Sebaliknya, meskipun hari ini dia terpaksa bergantung kepada ubat-ubatan namun satu sahaja harapan Ayob agar masyarakat dapat menerima dirinya seadanya.

"Jangan sisihkan kami kerana kami juga ingin meneruskan kehidupan yang indah ini cuma nasihat saya bagi golongan muda jangan sesekali cuba 'bercinta' dengan dadah," ujarnya sebelum mengakhiri perbualan.


UBAT-UBATAN dapat membantu pesakit HIV terus hidup.


Sementara itu, Mohd. Rafiq, 41, tidak menyangka niatnya untuk menderma darah buat julung-julung kali mendedahkan 'rahsia' yang tidak diketahuinya selama ini.

Selepas menderma darah, dia menerima panggilan daripada Pusat Derma Darah (PDN) yang memintanya hadir ke pusat tersebut.

"Pada masa itu, macam-macam perkara yang terlintas dalam fikiran, namun saya memberanikan diri untuk mengetahui hal yang sebenar," kata lelaki yang berasal dari Kuala Lumpur ini.

Persoalan yang membelenggu fikiran Mohd. Rafiq akhirnya terjawab apabila dia membuka sepucuk surat yang menjelaskan status kesihatannya. Sesuatu yang tidak pernah diduganya terpaksa diterima dengan hati yang amat berat.

Dia disahkan menghidap HIV positif. "Saya benar-benar tidak menduga dan sungguh terkejutnya ketika melihat keputusan tersebut. Hati saya remuk dan hanya satu perkara yang terlintas di fikiran iaitu bunuh diri,'' ujarnya yang mengakui hilang arah selepas mendapat berita tersebut.

Begitupun Mohd. Rafiq tabahkan diri untuk meneruskan kehidupannya. Dia mula mencari saluran yang boleh membantunya dengan mendapatkan bantuan daripada NGO dan tempat-tempat yang boleh membantu pesakit sepertinya.

Beliau tidak menafikan dua tahun lalu sebelum dia disahkan menghidap HIV, dia sememangnya aktif melakukan seks rambang.

"Alhamdullillah, meskipun menghidap HIV, saya mampu makan, minum dan bekerja seperti orang normal. Sebelum ini, masyarakat sering memandang rendah kepada golongan ini. Tanggapan itu yang menyebabkan Orang Yang Hidup Dengan HIV/AIDS (ODHA) mati cepat," ujarnya mengakhiri perbualan.

Full content generated by Get Full RSS.

Christopher lawan stigma HIV/AIDS

Posted:

Christopher lawan stigma HIV/AIDS

Christopher lawan stigma HIV/AIDS


CHRISTOPHER tidak pernah menghukum pesakit HIV/AIDS sebaliknya merawat mereka sama seperti pesakit lain.


SEKITAR tahun 1990-an, bidang penyakit berjangkit masih agak baharu di negara ini bahkan, jumlah tenaga pakar dalam bidang tersebut di tanah air mungkin boleh dibilang dengan jari.

Salah satu penyakit di bawah bidang ini termasuklah penyakit HIV/AIDS. Ketika sesetengah pengamal perubatan bimbang berhubung penyebaran penyakit tersebut dan memilih pengkhususan lain, berbeza pula ceritanya dengan Dr. Christopher Lee Kwok Choong.

Ketua Jabatan dan Pakar Perunding Kanan (Penyakit Berjangkit) Jabatan Perubatan Hospital Sungai Buloh, Selangor itu nekad terjun dalam bidang tersebut kerana minat sekali gus menolak sebarang rasa takut.

"Disebabkan minat yang mendalam dan mahu membantu pesakit, saya akhirnya membuat keputusan untuk terjun dalam bidang itu," katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di Hospital Sungai Buloh baru-baru ini.

Anak jati Ipoh, Perak itu mengakui ketakutan terhadap penyakit HIV/AIDS menyebabkan sekitar 20 tahun lalu Malaysia kekurangan pakar dalam penyakit berkenaan.

Pada masa itu, kata Christopher, penyakit HIV/AIDS masih baharu dan kebanyakan doktor sukar menerima pesakit HIV. Boleh dikatakan mereka kurang prihatin terhadap isu-isu tersebut.

"Malah, ada segelintir kakitangan perubatan agak takut dengan penyakit HIV/AIDS kerana mereka khuatir akan dijangkiti. Ia semuanya berlaku kerana mereka tidak faham. Apabila tidak faham, timbullah stigma," jelasnya.


KESEDARAN mengenai penyakit HIV/AIDS perlu disebarkan dalam masyarakat agar tidak timbul stigma negatif ke atas pesakitnya. - Gambar hiasan


Disebabkan situasi itu juga, pada masa itu pesakit HIV/AIDS sukar menerima rawatan terutama sekali bagi pesakit yang perlu menjalani pembedahan. Bagaimanapun, pada hari ini stigma dalam kalangan pengamal perubatan sudah semakin berubah.

"Selain ramai yang sudah mempunyai kesedaran mengenai wabak itu, bilangan doktor juga semakin meningkat dalam bidang ini. Jika dibandingkan dulu, golongan doktor takut untuk membuat pembedahan, tetapi kini keadaan itu sudah berubah walaupun stigma dan diskriminasi dalam kalangan doktor dan paramedik masih wujud," jelasnya

Berkongsi rahsia kekal lama dalam kerjaya tersebut kata Christopher, beliau tidak pernah menghukum pesakit-pesakitnya.

"Kenapa perlu timbul perasaan stigma sedangkan setiap manusia membuat dosa. Sebagai contoh, kalau masuk kerja lewat, ia sudah dosa, menipu itupun dosa.

"Jadi, kenapa kita perlu menghukum orang ini walhal setiap manusia membuat dosa cuma cara kita melakukan dosa itu berbeza. Mereka juga seperti kita, kalau mahu dibandingkan kesalahan yang kita lakukan setiap daripada kita tidak pernah terkecuali daripada membuat kesilapan. Oleh itu, janganlah kita menghukum mereka," tegasnya.

Berbicara lanjut mengenai perkara itu, Christopher berkata, beliau menerima kesemua pesakit dengan seadanya.

Tiada diskriminasi


SEKITAR dua dekad lalu, negara pernah berdepan dengan kekurangan jumlah pakar penyakit berjangkit HIV/AIDS kerana takut pada stigma yang salah.


"Saya terima mereka. Tidak wujud sebarang diskriminasi antara saya dengan pesakit. Kalau diikutkan sangat dengan stigma, saya juga boleh membuka sebuah klinik dan meletakkan papan tanda 'Hanya merawat pesakit tidak berdosa'," katanya berseloroh.

Akui beliau, tiada apa yang lebih menggembirakan selain melihat pesakit yang dirawatnya dapat hidup lebih lama.

Meskipun ramai yang sudah meninggal dunia namun, ramai antara mereka yang mempunyai kehidupan baru di samping keluarga mereka.

"Dengan pemantauan, rawatan, kaunseling dan preskripsi ubat, mereka kini sudah pun menjalani kehidupan yang baharu. Ada antara mereka yang masih hidup biarpun lebih 10 tahun menghidap HIV bahkan, mereka juga sudah berkahwin dan bekerja.

"Pencapaian mereka itu sememangnya menggembirakan saya," katanya sambil memberitahu ramai dalam kalangan pesakitnya yang menghidapi penyakit itu jangka hayat mereka melebihi 15 tahun. - SUHANA VERU

Full content generated by Get Full RSS.

Fenomena seni pop China

Posted:

Fenomena seni pop China

Fenomena seni pop China


PENGHANTARAN menarik karya Chen Zhen dijual pada harga RM3.8 juta.


PENGARUH baharu dalam pasaran seni global serta suntikan cita rasa tempatan melonjakkan nilai pelukis kontemporari China. Malah, ia menyebabkan dunia seni global perlu menyediakan ruang untuk wajah-wajah baharu pelukis China dalam setiap pameran lukisan.

Bahkan, mengikut penyelidikan Artprice pada tahun lalu, China menjadi negara nombor satu dalam pasaran lelong seni halus berjaya mengatasi Perancis, Britain dan Amerika Syarikat (AS).

Ia sekali gus menjadikan China sebagai hab baharu kepada seni dunia yang sebelum ini tradisinya menjadi dominasi negara-negara Barat.

Malah, lima pelukis China menduduki dalam kelompok 10 pelukis paling laris di dunia berdasarkan kombinasi jualan lukisan dalam acara lelongan di seluruh dunia.

Kebangkitan pelukis-pelukis itu sekali gus berjaya menewaskan pelukis-pelukis pop AS tersohor seperti Jeff Koon yang berada di tempat ketiga dan Damien Hirst di tempat kesembilan.

Dominasi pasaran seni

Menurut Pengarang kajian The Wild Wild East, Barbara Pollack, sekiranya dilihat dari pasaran yang lebih luas, 45 daripada 100 lukisan paling laris dan mahal di dunia tahun lalu disumbang oleh pelukis China.

"Antara lukisan yang paling dikenali ialah hasil pelukis Beijing, Zeng Fanzhi iaitu Masks yang menjadi jualan terbaik di dunia pada Jun lalu.

"Bagaimanapun, masih banyak senarai nama-nama yang kurang dikenali seperti pelukis Wang Yidong dan Zhou Chunya, tetapi berjaya mencatatkan jualan hasil lukisan mengagumkan.

"Kedua- dua individu ini pernah terkenal di persada antarabangsa dengan menduduki tangga ketujuh dan ke-10," katanya.

Tambah Pollack, sebahagian lain daripada mereka merupakan pelukis dakwat tradisional, yang hampir tidak pernah kedengaran di Barat.

Setakat ini, beberapa pelukis-pelukis China telah dijemput untuk mempamerkan karya mereka pada pameran seni Barat walaupun penyertaan pelukis negara Afrika dan Amerika Latin juga turut meningkat.


ZHANG HUAN sering tampil dengan karya arca bersaiz gergasi bertemakan kepala Buddha.


Pollack berkata, ada pelukis-pelukis yang lain masih belum mendapat perhatian daripada pihak muzium.

Presiden International Contemporary Art Fair (FIAC) iaitu salah sebuah pameran seni kontemporari terkemuka di Eropah, Jennifer Flay berkata, beliau mahu melihat lebih ramai pelukis China hadir dalam pameran tersebut.

"Terdapat banyak hasil seni yang menarik di China sebenarnya. Namun, tahun ini daripada 168 buah galeri yang menjadi peserta hanya sebuah galeri sahaja dari China iaitu Shanghart," ujarnya.

Seni mozek

Galeri Shanghart membawa hasil seni daripada lapan orang pelukis kontemporari China yang menggunakan konsep-konsep Barat untuk inspirasi mereka.

Sebagai contoh, hasil lukisan Zhou Tiehai kelahiran Shanghai yang menggunakan seni mozek (teknik tindihan imej) menggambarkan masyarakat Perancis dan sebuah lagi lukisan hitam putih diilhamkan oleh Times Modern Charlie Chaplin. Pelukis Yu Youhan pula memotretkan wajah Mao Zedong di hadapan patung Liberty.

Di FIAC juga, pelukis Zhang Huan menampilkan karya heavyweight apabila membawa dua kepala gergasi Buddha yang diperbuat daripada bahan-bahan selepas Revolusi Kebudayaan selain sebuah lukisan yang dihasilkan daripada abu dupa kuil.

Sebuah galeri, Galleria Continua pula mempunyai hasil kerja daripada pelukis Chen Zhen pada tahun 1999 bertajuk Penghantaran Menarik yang diperbuat daripada tayar basikal, kabel hitam dan beberapa bahan buangan berharga 900,000 euro (RM3.8 juta).

Menurut Pollack, perubahan berlaku begitu pantas di Barat malah, sehingga kini setiap galeri utama di New York pasti mempunyai hasil karya seni pelukis China di salah satu sudut galeri.

Bagaimanapun, beberapa orang dalam dunia seni Barat mendakwa bahawa fenomena seni pelukis China hanya sementara dan tidak akan kekal lama.

"Saya fikir kita masih mempunyai pandangan yang sangat Euro-centric (fokus kepada Eropah) dan idea itu kita ingin ajarkan kepada mereka berfikiran sempit. China telah berjaya membuat transaksi sebanyak lebih 390 juta euro (RM1.7 bilion) dalam lelongan seni mereka Jun tahun ini, lebih awal daripada Amerika Syarikat dengan 227 juta euro (RM960 juta).

"Orang ramai di Barat masih berfikir pasaran seni China sebagai fenomena serantau namun, saiznya mula membuktikan ia tidak lagi boleh diabaikan lagi. Pasaran ini akan berkembang," kata Pollack. - AFP

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved