Rabu, 2 November 2011

Kosmo Online - Horizon


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Horizon


Panjat pokok sukan ekstrem baru

Posted:

Panjat pokok sukan ekstrem baru

Panjat pokok sukan ekstrem baru

Oleh BASIR ABU BAKAR

MEMERHATIKAN Nazirah Nari, 25, memanjat pokok setinggi 12 meter di Taman Tasik Shah Alam membuatkan penulis kagum. Wajah gadis kecil molek itu kelihatan serius dan begitu fokus, dahi yang kering tadi mula dibasahi peluh.

Lengkap berpakaian harness atau abah-abah yang berfungsi sebagai sokongan antara tali dan tubuh, kasut serta caribiner (gelung besi), gadis itu seakan-akan sudah bersedia menunjukkan aksinya.

Seperti aksi adiwira Spiderman, jari-jemari lembut gadis itu bingkas mencapai peralatan pencangkuk besi dinamakan jumar dan satu persatu pergerakan tolak ke atas dan tendangan dilakukan bagi mengangkat tubuh kecilnya itu sehingga mencecah dahan pokok paling tinggi yang ditetapkan.

Melihat kemampuan tiga orang gadis dari Kelab Rekreasi Shah Alam (Kresa) melakukan aktiviti lasak tree climbing atau memanjat pokok di Shah Alam baru-baru ini membuatkan penulis turut teruja serta tercabar untuk tidak melepaskan peluang mencubanya.

Dengan berbekalkan peralatan seperti seutas tali, abah-abah, carabiner, prusik cord, jumar, grigri dan decending device mereka mampu memanjat pokok setinggi 12 meter dalam masa lima minit dan turun semula dalam masa dua saat.

"Saya sebelum ini pernah menyertai aktiviti rock climbing tapi aktiviti tree climbing lebih menarik dan mencabar. Sejak diperkenalkan oleh rakan setahun lalu saya mula jatuh cinta dan ketagih dengan aktiviti memanjat pokok ini," katanya.


AKTIVITI ini nampak mudah tapi belum cuba belum tahu cabaran yang akan dihadapi.


Menurutnya lagi, dia mula meminati aktiviti rekreasi itu sejak menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam jurusan sains sukan.

"Pelbagai aktiviti rekreasi telah saya sertai namun, tree climbing membuat dirinya dan rakan-rakan lain ketagih untuk terus melakukan aktiviti itu.

"Setiap bulan pasti ada sahaja cabaran baharu membabitkan tree climbing akan dilakukan saya dan rakan-rakan. Walaupun ia lebih mencabar dari segi stamina dan kecekapan mental namun, aktiviti ini lebih selamat dan sesuai untuk riadah seisi keluarga," kata Nazirah yang berasal dari Klang, Selangor itu.

Seorang peserta tree climbing lagi, Farah Salwani Adzlan, 26, menjelaskan, aktiviti memanjat pokok ini telah bermula sejak abad ke-19.

Aktiviti itu hanya diaplikasikan oleh arborist atau tree worker iaitu orang yang terlibat dalam menjalankan kerja-kerja berkaitan pokok seperti menebang dan mengambil biji benih di atas pokok.

Aktiviti itu kemudian berkembang dan kini ia dijadikan sebagai sebahagian daripada aktiviti rekreasi yang menarik untuk dilakukan.

Keselamatan

"Pada tahun 1983, Peter Treeman Jenkins merupakan orang yang bertanggungjawab menjadikan kerja-kerja di atas pokok menjadi aktiviti, Recreational Tree Climbing.

"Namun, beliau dikecam hebat pada mulanya kerana ahli-ahli arborist risau tentang keselamatan si pemanjat pokok ekoran ia telah dijadikan aktiviti rekreasi," katanya.

Kata Farah Salwani lagi, setelah Peter menubuhkan Tree Climbers International (TCI) iaitu sekolah latihan tree climbing pertama di Atlanta, Amerika Syarikat, sukan rekreasi itu kian berkembang dan maju.

"Di Malaysia sukan rekreasi tree climbing ini telah lama bertapak tapi ia tidak dipopularkan sebagai aktiviti rekreasi yang menyeronokkan.

"Namun, dengan inisiatif sendiri seorang anak muda yang begitu mencintai aktiviti rekreasi dan tree climbing bernama Saifful Pathil mengambil langkah mempromosi sukan rekreasi ini di Malaysia," katanya.

Aktiviti itu yang diilhamkan daripada campuran teknik-teknik rock climbing, abseiling dan waterfall abseiling itu semakin diminati ramai pada masa kini.

Sekarang terdapat banyak persatuan yang menggalakkan belia melakukan aktiviti memanjat pokok di seluruh dunia seperti Amerika Syarikat, Jepun, Perancis, Britain, Kanada, Taiwan, Australia, Indonesia dan China.


SEBAHAGIAN daripada ahli Kelab Rekreasi Shah Alam (Kresa) yang juga antara pelopor aktiviti tree climbing di Malaysia.


Di Malaysia pula, Kresa merupakan antara persatuan pelopor kepada aktiviti tersebut telah menggerakkan aktiviti tree climbing dengan menggunakan garis panduan keselamatan bertulis dan latihan memanjat pokok daripada TCI.

Presidennya, Saifful Pathil berkata, perkara asas untuk seseorang itu menceburi aktiviti tree climbing adalah mereka perlu mempelajari teknik-teknik asas memanjat menggunakan tali terlebih dahulu sebelum teknik lain diajar kepada mereka.

Tambahnya lagi, antara teknik yang digunakan dalam tree climbing ialah teknik ikatan tunggal (single rope) dan dwiikatan (doubled rope) mengikut keselesaan peserta.

"Pada umumnya aktiviti ini nampak mudah tetapi, sebenarnya keseluruhan anggota badan peserta bergerak secara tidak langsung ketika sedang melakukan aktiviti ini.

"Kesukaran dan cabaran yang akan ditempuhi setiap peserta adalah melalui celahan dahan bercabang, kerapuhan kayu mati, keadaan cuaca dan faktor ketinggian," kata bekas pelajar Universiti Teknologi Mara itu.

Tambahnya lagi, untuk asas aktiviti tree climbing kebiasaannya dia akan menjalankan aktiviti di sekitar Tasik Shah Alam.

"Untuk aktiviti yang lebih lasak atau I Got High kami laksanakan aktiviti tree climbing di Taman Botani Negara dan untuk aktiviti tree climbing yang lebih mencabar, kami lakukan di FRIM Kepong," ujarnya ketika ditemui di Shah Alam baru-baru ini.

Teknik


Setiap peserta perlu memakai kelengkapan keselamatan sebelum memanjat


Menurutnya, halangan pertama setelah bergayut di atas tali tersebut, peserta akan mencabar kemampuan diri untuk menolak seluruh beban badan mereka seolah-olah sedang mendaki tangga di atas seutas tali.

"Teknik dwiikatan atau lebih dikenali sebagai yoyo lebih digemari kerana ia memudahkan peserta memanjat dan turun ke bawah dengan lebih cepat.

"Teknik ini juga membolehkan peserta menyesuaikan diri dengan tali yang dililit di bahagian dahan pokok, kaki dan pinggang pemanjat," katanya.

Teknik ikatan tunggal pula lebih sukar kerana peserta hanya bergantung kepada kemampuan mengangkat berat badan sendiri tanpa bantuan sebarang peralatan mekanikal seperti jumar, dling dan grigri.

Saifful berkata, ciri-ciri keselamatan perlu diutamakan bagi mengelak berlakunya sebarang kejadian kemalangan yang tidak diingini.

"Peserta perlu percaya kepada kebolehan diri sendiri dan sebelum memanjat, mereka perlu terlebih dahulu memastikan dahan tersebut kukuh dan mampu menampung berat badan masing-masing.

"Setiap peserta dinasihatkan untuk meneliti ikatan dan peralatan yang digunakan terlebih dahulu seperti abah-abah dan carabiner," ujarnya. Ciri-ciri keselamatan yang perlu diutamakan adalah dengan memastikan setiap pemanjat mempunyai kelengkapan keselamatan yang lengkap iaitu tali, memakai harness dan memakai topi keselamatan.

Pokok-pokok yang dipilih untuk ditawan perlu sesuai dengan menepati ciri-ciri seperti pokok tersebut kuat, tidak mudah rapuh, tahan tekanan yang tinggi dan paling penting mempunyai dahan kayu yang besar untuk digunakan sebagai tempat untuk menggantung tali.


AKTIVITI tree climbing mencabar stamina dan kecekapan mental si pemanjat sehingga ke puncak pokok.


Sepanjang terlibat dengan aktiviti memanjat pokok, ahli-ahli Kresa hanya menjadikan pokok-pokok di hutan manakala pokok-pokok di Frim dan Tasik Shah Alam sebagi medan menguji kemahiran tersebut.

Aktiviti tree climbing itu perlu dilakukan secara berperingkat dan setiap peserta diingatkan supaya tidak terburu-buru.

Keghairahan aktiviti tree climbing itu turut dikongsi seorang wanita muda berusia 20 tahun, Nor Hamizah Mohd. Puad yang menjelaskan, aktiviti tersebut mempunyai keistimewaan yang tersendiri.

"Ia berbeza dengan aktiviti abseiling kerana kaedah yang digunakan lebih mudah.

"Aktiviti ini menguji kemampuan peserta untuk mengangkat berat badan sendiri sekali gus menguji ketahanan mental dan fizikal seseorang dalam ketinggian yang mencabar batasan," katanya.

Tambahnya lagi, aktiviti itu lebih mencabar jika pemanjat meluangkan masa semalaman di atas pokok dengan menggunakan kaedah treeboats.

"Kaedah treeboats membolehkan peserta berehat atau tidur di atas pokok dengan menggunakan kanopi.

"Bagaimanapun, bagi peserta baharu, mereka perlu terlebih dahulu menyesuaikan diri dengan ketinggian 12 meter ke atas untuk membiasakan diri dengan ketinggian," jelasnya.

Untuk maklumat lanjut mengenai aktiviti tersebut, sila layari laman web www.kresaselangor.blogsport.com atau www.treeclimbersmalaysia.blogspot.com.

Full content generated by Get Full RSS.

Imbau nostalgia di Kota Bengawan

Posted:

Imbau nostalgia di Kota Bengawan

Imbau nostalgia di Kota Bengawan

Solo atau dikenali sebagai Surakata sememangnya terkenal dengan nilai, tradisi dan budaya Jawa yang mendasari kehidupan sebahagian besar warganya sejak dahulu sehingga kini.


KEHALUSAN seni dan kraftangan masyarakat Solo sentiasa menggamit pesona.


MAHUKAN perjalanan santai yang memberikan pengalaman nostalgia? Kenapa tidak memilih kota Solo sebagai destinasi pilihan. Terletak di Jawa Tengah, Indonesia, Solo atau dikenali sebagai Surakarta sememangnya terkenal dengan nilai, tradisi dan budaya Jawa yang mendasari kehidupan sebahagian besar warganya sejak dahulu sehingga kini.

Selaku penuntut sarjana komunikasi di Universiti Jakarta di Indonesia, penulis akui begitu teruja setiap kali mendengar kisah dan keistimewaan Solo daripada teman-teman sekuliah.

Justeru, pelawaan seorang teman backpacker, Fajar untuk membawa penulis melihat sisi kota itu dengan lebih dekat pastinya disambut dengan tangan terbuka.

Penulis memulakan penjelajahan ke Solo dari Jakarta dengan menaiki kereta api Matarmaja kelas ekonomi.


MONUMEN unik Priyai Jawa tersergam di hadapan Pasar Triwindu.


Biarpun terpesona dibuai panorama indah desa sepanjang perjalanan, hati penulis turut tersentuh melihat kegigihan seorang wanita berusia mencari rezeki. Berpakaian khas Jawa dan kain batik lusuh, si ibu tekun mengendong anaknya sambil menawarkan makanan yang dijualnya kepada penumpang-penumpang, termasuk kepada penulis.

"Nak, nasi pecel, ayam telur, endok asin hangat, nak," pelawanya.

Tatkala penulis menghulurkan wang, si ibu pantas mengucap syukur: "Alhamdulilah, terima kasih Gusti Pangeran."

Jangan terkejut, ia merupakan suasana biasa yang sering dilalui penumpang sekiranya memilih menaiki kereta api kelas ekonomi. Pelbagai ragam manusia yang dilihat pastinya menjadi pelajaran hidup yang sangat bermakna kepada sesiapa sahaja.

Kunjungan ke Kraton


SUASANA di sekitar Pasar Klewer sentiasa sibuk dengan kehadiran orang ramai yang membeli-belah.


Bagaimanapun, keceriaan mula terhidang sebaik sahaja tiba di Solo. Seperti yang dijanjikan, Fajar setia menanti kehadiran penulis di stesen kereta api.

Dalam loghat Jawa yang pekat, Fajar teruja menceritakan kepelbagaian seni, budaya sejarah, kulinari dan segala keistimewaan yang terdapat di kota itu.

Kehadiran penarik beca, kereta kuda dan bas Trans Batik Solo yang siap sedia menunggu penumpang membuatkan penulis tidak sabar untuk memulakan penjelajahan.

Cuaca yang cerah membolehkan kami ke Pasar Triwindu atau pasar barang antik yang sudah wujud sejak tahun 1945.

Pelbagai barangan antik boleh ditemui daripada hiasan rumah kuno, lampu, topeng, lukisan malahan ratusan arca yang memberi kesan klasik, nostalgia dan antik kepada pencintanya.

Beberapa monumen unik memenuhi ruang laman di depannya seperti patung Priyai Jawa yang sedang duduk bersila, lesung penumbuk padi dan beberapa topeng Jawa yang turut memberi elemen klasik tempat itu. Katanya suasana siang di sini akan berubah dan bertambah hidup di kala malam.


PENULIS turut berkesempatan memberi makan kerbau 'keramat' Kyai Slamet.


Jika bernasib baik, pengunjung berpeluang menyaksikan konsert kecil daripada pengamen (penyanyi keroncong) jalanan yang sememangnya berbakat besar.

Aroma nostalgia kota Solo seperti tidak akan lengkap tanpa berkunjung ke Kraton (istana) Surakarta Hadiningrat.

Bangunan itu menjadi nadi utama kebudayaan kota Solo dengan gabungan elemen Jawa dan Eropah yang masih kekal terpelihara. Melihat seni ukiran halus yang menghiasi segenap sudut Kraton membawa penulis seolah-olah kembali ke zaman kegemilangan kerajaan Melayu silam.

Kami turut diberitahu, bangunan itu merupakan kompleks pejabat satu ketika dahulu. Kini selepas dijadikan muzium, ia menempatkan sembilan ruang pameran yang memaparkan pelbagai pusaka peninggalan kraton seperti diodrama kesenian rakyat, upacara perkahwinan sehinggalah peralatan tradisional.

Seterusnya kami ke sebuah kompleks utama yang menempatkan istana dengan patung-patung Eropah. Di situ jugalah terletaknya sebuah menara tinggi dikenali sebagai Panggung Songgobuwo.

Satu tips yang ingin penulis kongsikan pembaca semua, jangan lupa menanggalkan kasut dan berpakaian tertib sekiranya melalui kawasan ini nanti.

Puas berjalan melihat kebudayaan seni warisan Solo, Fajar membawa penulis melawat ke Pasar Klewer.

Daripada makanan, pakaian, alat-alat kesenian dan kraftangan sehinggalah batik Solo yang sangat popular, semuanya boleh didapati pada harga yang murah.

Seni dan budaya Solo


PENGUNJUNG diingatkan menanggalkan kasut dan berpakaian tertib di sekitar Panggung Songgobuwo.


Kami kemudiannya meneruskan perjalanan, selepas melepaskan lelah di Masjid Agung Surakarta yang terletak berhampiran.

Kehadiran sekumpulan penduduk yang berpusu-pusu mendekati sekawan kerbau putih dikenali sebagai Kyai Slamet sambil memberi makanan kepadanya membuatkan penulis agak kebingungan.

"Kerbau ini dianggap keramat oleh masyarakat Solo dan selalu diarak menjelang malam satu syura," jawab Fajar apabila penulis melontar persoalan mengenainya.

Perjalanan kami diteruskan ke Ngarsopuro, iaitu sebuah kawasan yang meriah dengan aktiviti malam.

Terletak, berhampiran Keraton Mangkunegaran dan Pasar Triwindu kawasan itu dihiasi indah dengan laluan khas pejalan kaki beserta tempat duduk serta lampu neon berbentuk sangkar burung yang unik.

Di situ pengunjung boleh melihat pelbagai aksi anak muda yang bebas berekspresi menonjolkan bakat seni seperti menyanyi, membaca puisi, bermain muzik dan sebagainya.


PERTUNJUKKAN pentas dan seni budaya menghidupkan suasana malam di Solo.


Pada masa yang sama, jangan lupa menikmati lukisan seorang legenda muzik keroncong Bapak Gesang yang juga pencipta lagu Bengawan Solo yang memenuhi dinding tembok sepanjang jalanan.

Keinginan untuk melihat seni dan budaya Solo dengan lebih dekat membawa kami melihat persembahan wayang orang di Taman Sriwedari.

Selepas membayar tiket wayang sekitar Rp3,000 (RM1), kami dibawa melangkah ke sebuah bangunan lama yang dipenuhi elemen dan aura klasik di setiap sudutnya.

Fajar memberitahu, di situlah pelbagai aktiviti seni dan budaya dijalankan saban minggu. Biarpun bangunan itu sudah agak berusia, namun ia tetap memberi keselesaan kepada penonton serta dilengkapi sistem penghawa dingin.

Alunan gendang Jawa gemersik dan mengasyikkan tiba-tiba mengejutkan penulis. Ternyata, persembahan wayang orang yang ditunggu-tunggu sudah bermula.

Satu-persatu watak mulai berada di atas panggung dengan loghat bahasa Jawa halus yang sukar difahami penulis.

Full content generated by Get Full RSS.

Makan Angin berlabuh di Kampung Jawa

Posted:

Makan Angin berlabuh di Kampung Jawa

Makan Angin berlabuh di Kampung Jawa

Oleh ADZRIEFAIZ ADZLAN


PENULIS tidak ketinggalan mencuba tiga jenis masakan iaitu botok-botok, lemper dan ayam engkong.


SETELAH puas mengembara ke serata tempat termasuklah beberapa destinasi di Malaysia dan juga Indonesia, Makan Angin 2 kini ke lokasi terakhir musim ini iaitu di Segamat, Johor.

Dari Kuala Lumpur, perjalanan ke Segamat mengambil masa selama dua jam sahaja. Kali ini, penginapan saya dan kru yang lain ditaja oleh Segamat Country Club. Indah sungguh pemandangan di sini.

Setelah bagasi dibawa masuk ke dalam bilik penginapan, tanpa berlengah saya dan kru bergegas untuk berjumpa dengan Sothir iaitu wakil di sana yang membawa kami mengenali orang Jawa di Kampung Jawa.

Tempat pertama yang dibawa beliau ialah sebuah rumah yang sedang riuh-rendah disebabkan rewang. Rewang sinonim seperti gotong-royong tetapi, lebih kepada memasak dan menghias.

Tradisi orang Johor melakukan rewang setiap kali adanya kenduri kendara berlangsung.


SEMPAT ke Sungai Segamat untuk memancing ikan baung.


Selepas sibuk merewang di dapur, sekarang bermula pula aktiviti memasak saya. Kali ini saya ke rumah Roz untuk belajar memasak botok-botok dan lemper.

Kedua-dua makanan itu sememangnya makanan khas orang Jawa. Untuk memasak botok-botok, ia memerlukan pelbagai jenis daun. Tetapi disebabkan terlalu banyak jenis daun, saya cuma ingat daun pisang sahaja! Akhir sekali botok-botok perlu direbus sebelum boleh dimakan.

Sementara menunggu botok-botok siap, saya mencuba untuk membuat lemper pula. Lemper seperti kuih pulut panggang, tetapi bukan dibakar sebaliknya direbus. Rasa masakan kedua-dua menu Orang Jawa itu ternyata sedap.


JIKA ke Kampung Jawa jangan lupa untuk mencuba nasi ambeng.


Walau hanya direbus, tetapi kemanisan dan keunikan menu itu tidak dapat disangkal lagi. Memang tidak rugi saya mencuba.

Pada hari berikutnya pula, kami masih ke Kampung Jawa. Namun kali ini, saya mencuba menu baru pula iaitu ayam engkong. Menu tersebut saya pelajari dengan Wak Paimo di rumahnya. Cabaran saya pada kali ini, saya ditugaskan untuk menangkap dan mencabut bulu-bulu ayam hinggalah bersih.

Setelah selesai berguru menyembelih ayam dengan Wak Paimo, saya berguru pula dengan isterinya yang lebih selesa dipanggil Mak Wagina.


BOTOK-BOTOK iaitu ikan tenggiri yang akan direbus dengan pelbagai jenis daun untuk menghasilkan rasa yang unik.


Dia mengajar saya bagaimana memasak ayam engkong itu. Ramuan menu tidaklah sesukar mana antaranya bawang merah besar, bawang besar, serai dan kelapa.

Selepas semua bahan dicampur gaulkan sebati, bahan-bahan tersebut dikisar dan dilumur pada badan ayam sepenuhnya. Setelah selesai semuanya, ayam diperap selama satu hingga ke dua jam sebelum dimasak.

Sebelum saya mengundur diri, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang telah terlibat dan bekerjasama dalam penggambaran Makan Angin musim 2 ini.

Terima Kasih yang tidak terhingga saya ucapkan. Bagi peminat Makan Angin kita bertemu esok, Jumaat dalam episod terakhir pada jam 8.30 malam menerusi saluran Di Hatiku TV9.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved