Khamis, 20 Oktober 2011

Kosmo Online - Varia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Photomarathon membidik foto terbaik

Posted:

Photomarathon membidik foto terbaik

Photomarathon membidik foto terbaik

Oleh ADLAN JAAFAR
adlan.jaafar@kosmo.com.my

SEMANGAT para peserta Fotomarathon dapat dilihat dalam rakaman gambar ini.


SUASANA pada pagi Sabtu lalu di pusat beli-belah Pavilion, Kuala Lumpur sangat berbeza daripada hari-hari biasa. Lautan orang ramai yang berpakaian warna merah sambil memegang kamera mendominasi ruang legar dan siar kaki serta di ruang pintu masuk menghadap Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Mereka ialah sebahagian daripada lebih 1,300 orang peserta acara Photomarathon Canon Malaysia kali kelima yang sejak pukul 7 pagi sudahpun menunggu untuk memulakan lumba maraton unik itu.

Tidak perlu berlari sehingga puluhan kilometer, Photomarathon dibahagikan kepada tiga bahagian dengan tema yang berbeza. Para peserta wajib menghasilkan foto yang tepat, sesuai dan berkualiti dalam masa yang ditetapkan.

Tema adalah rahsia dan hanya diberitahu saat pelepasan peserta iaitu pukul 9 pagi, 2 petang serta 4 petang. Pertandingan tersebut berakhir pada pukul 6 petang dengan setiap peserta harus menghantar sendiri foto penyertaan mereka.

Para peserta terdiri daripada pengguna kamera daripada pelbagai tahap kemahiran iaitu daripada jurugambar profesional sehingga kepada individu-individu yang baru sahaja berjinak-jinak dalam bidang fotografi.

Kumpul pengalaman

Bagi jurugambar amatur, langkah menyertai pertandingan seumpama itu bukan semata-mata untuk mendapatkan hadiah apatah lagi mahu menyaingi jurugambar profesional.

Menurut Zulkarnain Hafiz, 26, dia menganggap pertandingan sebegitu sebagai sebuah platform untuk dia mengembangkan ilmu pengetahuan dan rangkaian kenalan dalam bidang fotografi.

"Ia bermula sebagai hobi untuk melegakan tekanan bekerja tetapi lama-kelamaan menjadi pekerjaan sampingan pula. Paling sukar adalah belajar seting kamera secara manual," ujarnya yang memiliki kamera Canon model EOS 50D.

Disebabkan oleh perkara tersebut, Zulkarnain yang pertama kali menyertai Photomarathon itu berharap dapat menajamkan skil membidik foto daripada peserta lain sepanjang pertandingan berlangsung.

Sementara itu, jejaka dari Klang, Selangor, Chan Kok Beng pula sanggup bangun awal pagi hanya untuk menyertai Photomarathon tersebut. Baru lebih kurang setahun serius dalam mendalami ilmu fotografi, dia hadir berseorangan ke perlumbaan tersebut.

"Hanya minat yang mendorong saya datang ke sini. Ia akan memberi pendedahan yang luas kepada saya kerana pertandingan ini melibatkan jurugambar profesional sama ada sebagai peserta atau hakim," katanya ketika ditemui sedang menunggu saat pelepasan peserta.


ANTARA gelagat peserta acara yang menghangatkan ibu negara baru-baru ini.


Dia yang meminati foto-foto berbentuk landskap dan potret mengakui bahawa bidang fotografi sangat mahal kerana menggunakan peralatan yang moden dan terkini bagi hasil yang baik.

Jadi, Kok Beng ada membuat kerja-kerja sampingan seperti mengambil foto perkahwinan dan potret sama ada luar rumah atau dalam studio.

Lain pula kisahnya dengan seorang eksekutif jualan, Defney Chong Yu Wan, 33, yang juga pada mulanya berjinak-jinak dengan hobi mengambil gambar selepas sering mengikuti suaminya.

Suaminya, Clavenn Choo Chin Kiat, 34, sudah tujuh tahun terlibat dengan hobi tersebut dan sering mengikuti pertandingan-pertandingan seperti itu, cuma bagi Photomarathon Canon pada tahun ini, dia menyertainya buat kali pertama.

"Pertandingan seperti ini amat bagus kerana dapat merapatkan hubungan sesama kami selain bagi pendedahan kepada individu seperti saya," ujarnya ringkas ketika ditemui di samping suaminya.

Amal

Berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini, Photomarathon Canon kali ini lebih bermakna apabila pihak Canon diwakili oleh Presiden Canon Marketing (Malaysia) Sdn. Bhd., Melvyn Ho menyerahkan sekeping cek bernilai RM25,960 kepada Yayasan Penyelidikan Barah Payudara Kebangsaan (NBCRF).

"Bersempena bulan kesedaran kanser payudara pada bulan Oktober ini, pihak Canon mengambil keputusan untuk menyerahkan semua bayaran penyertaan sebanyak RM20 kepada pihak persatuan sebagai tanda sokongan," kata Melvyn.

Pada acara tersebut, cek telah diserahkan kepada Penaung NBCRF, Datin Seri Akmal Abdul Salam sebelum acara pelepasan peserta dilakukan.

Tambah Melvyn, aktiviti kemasyarakatan seperti yang dilakukan pada tahun ini pasti akan berterusan pada tahun-tahun akan datang.

Selain itu, gerai-gerai mencetak gambar dengan menggunakan pencetak Pixma Canon turut diadakan dan setiap keping foto akan dikenakan bayaran sebanyak RM10. Hasil kutipan akan terus didermakan kepada NBCRF.

Sebuah pameran foto bertajuk Canon Signature Gallery turut diadakan dari 19 hingga 23 Oktober di ruang legar Pavilion. Antara foto-foto yang dipamerkan adalah hasil kerja Zainal Abdul Halim, Peter Tan, Harry Woo dan Ng Kok Leong selain 10 keping gambar terbaik daripada peserta Photomarathon.

Seramai 10 orang pengadil akan mengadili peserta Photomarathon Canon pada tahun ini seperti jurugambar Reuter, Zainal Abdul Halim, bekas Ketua Jurugambar Kumpulan Utusan, Syed Agil Syed Jaafar dan Editor Foto The Star Publications, Ng Kok Leong.

Pemenang hanya akan diketahui pada 22 Oktober ini di Laman Tengah Pavilion pada pukul 11 pagi.

Full content generated by Get Full RSS.

Don't Know Much teksi juara

Posted:

Don't Know Much teksi juara

Don't Know Much teksi juara


PERTANDINGAN mencari harta karun menggunakan teksi antara idea sangat unik dalam merapatkan pemandu teksi dengan pengguna.


PERLUMBAAN mencari harta karun teksi bertema Having Fun With Sunlight yang dianjurkan oleh Sunlight Taxi berakhir dengan kejayaan apabila lebih 300 pemandu teksi dan orang ramai mengambil bahagian.

Malah, mereka sanggup meredah hujan di sekitar Lembah Klang semata-mata untuk mengumpul harta karun demi keseronokan dan misi kebajikan di samping mahu merebut hadiah utama bernilai RM2,000.

Bagaimanapun, di sebalik semangat dan kesungguhan yang dipamerkan setiap peserta, akhirnya pasukan Don't Know Much dimahkotakan sebagai juara pencarian tersebut.

Secara umum, terdapat 49 pasukan yang telah mengambil bahagian dalam acara julung-julung kali diadakan yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM30,000.

Ketika ditemui sambil bergurau, pasukan Don't Know Much berkata, mereka mungkin tidak mempunyai banyak pengetahuan mengenai selok-belok pencarian harta karun tetapi, mereka sedar pentingnya setia kawan dan semangat kerja berpasukan.

Tiga kawan lama, Mohd. Md. Taib, Ahmad Zarmilan Mohamad dan Ahmad Iznie, masing-masing pernah menyertai dan memenangi perlumbaan mencari harta karun sebelum ini, tetapi ini adalah kali pertama mereka mengambil bahagian bersama-sama sebagai satu pasukan untuk memenangi hadiah utama.

"Daripada pengalaman lalu, kami memang menduga akan menduduki tempat dalam lima kumpulan teratas, tetapi kami terkejut apabila diumumkan sebagai juara.

"Perlumbaan ini memang menyeronokkan, unik dan meninggalkan kenangan manis. Buat pertama kali, kami tidak perlu memandu dalam perlumbaan mencari harta karun, sebaliknya bergantung sepenuhnya kepada pemandu teksi untuk membawa kami.


WEI YEE (kanan) memberikan barangan makanan yang dijumpai peserta mencari harta karun kepada penghuni Rumah Hope.


"Malah, kami menghabiskan banyak masa berkomunikasi dengan pemandu teksi kami. Pengalaman ini membuka mata dan menyedarkan kami betapa mencabarnya tugas sebagai seorang pemandu teksi yang terpaksa dilalui setiap hari," kata Mohd. sambil tersenyum.

Niat murni

Perlumbaan mencari harta karun itu juga bertujuan untuk membantu kanak-kanak yang kurang bernasib baik. Sunlight Taxi dan Magnum sebagai penaja utama, KK Supermart sebagai penaja perak dan Fotokem sebagai penaja gangsa, melawat Rumah Hope iaitu rumah perlindungan untuk kanak-kanak terabai dan teraniaya selepas perlumbaan untuk mendermakan semua harta karun yang dikumpulkan kepada rumah tersebut.

Tidak ketinggalan, Sunlight Taxi juga menyumbangkan RM500 setiap bulan kepada Rumah Hope untuk kos petrol mereka.

Ketua Pegawai Operasi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat, Azhar Ahmad yang melepaskan peserta, menyifatkan perlumbaan mencari harta karun teksi yang julung-julung kali diadakan itu sebagai satu usaha yang menyeronokkan dan bermakna untuk merapatkan jurang antara pemandu teksi dan orang ramai.

Teknologi canggih

Malah, ia juga merupakan satu cara untuk menaikkan semangat pemandu teksi yang sentiasa berusaha menambah pendapatan untuk hidup yang lebih selesa.


AZHAR (empat dari kanan) melepaskan lebih 49 buah teksi dalam pertandingan mencari harta karun.


"Hingga kini terdapat 37,000 pemandu teksi berdaftar di Lembah Klang. Nisbah ini adalah 3.5 kali lebih tinggi berbanding pemandu teksi di New York.

"Bagaimanapun, pendapatan pemandu teksi di New York adalah lebih tinggi daripada pemandu tempatan yang mendapat 30 peratus daripada hasil mereka bagi masa yang dihabiskan di jalan raya, manakala pemandu teksi di New York meraih lebih daripada 60 peratus daripada hasil pendapatan mereka.

"Bila kita meneliti perbandingan ini, kita akan dapati perbezaannya terletak pada teknologi canggih. Di New York, pemandu teksi menggunakan perkhidmatan GPS untuk membolehkan orang ramai membuat panggilan ke pusat panggilan untuk mendapatkan khidmat teksi.

"Ini membolehkan waktu 'pusing balik' yang lebih singkat dan menjana lebih pendapatan untuk pemandu teksi," kata Azhar sambil melahirkan rasa gembira apabila mengetahui bahawa Sunlight Taxi telah mengambil langkah untuk menggunakan sistem GPS dalam teksi mereka bagi menambah pendapatan pemandu teksi.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Sunlight, Choi Wei Yee berkata, pihaknya berhasrat untuk menganjurkan lebih banyak program pendidikan dan latihan untuk pemandu mereka pada tahun hadapan.

Untuk maklumat lanjut mengenai Sunlight Taxi boleh menghubungi talian 1300-800-222 (CAB) atau buat tempahan dalam talian melalui laman web www.sunlighttaxi.com.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved