Isnin, 31 Oktober 2011

Kosmo Online - Urban


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Urban


Falsafah seramik tamadun Alam Melayu

Posted:

Falsafah seramik tamadun Alam Melayu

Falsafah seramik tamadun Alam Melayu

Oleh MAZLINA ABDUL MAJID

KETIKA berada di tingkat dua Muzium Seni Asia yang terletak di Universiti Malaya (UM), kami larut mendengar pengkisahan tentang dunia seramik dari pelbagai tamadun.

Kurator muzium itu, Abd. Aziz Rashid membawa kami melayari dari satu tamadun ke satu tamadun selari dengan peningkatan kemajuan masyarakat.

Pengetahuan lelaki itu tentang seramik berskala luas. Dia yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Arkeologi di Universiti Gadjah Mada, Jogjakarta, Indonesia dan Ijazah Sarjana Arkeologi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mampu menjawab segala-galanya tentang seramik.

Di Muzium Seni Asia itu terdapat lebih 2,000 keping seramik yang merangkumi seramik dari beberapa tamadun Alam Melayu iaitu Malaysia, Thailand, Kemboja, Myanmar dan Vietnam. Selain itu, ada juga seramik yang didatangkan dari Jepun, India dan Iran.

Atmosfera di muzium itu sungguh luar biasa. Himpunan artifak yang pastinya terkait dengan hikayat yang berjela-jela membuatkan sifat ingin tahu terhadap sesuatu membuak-buak.

Abd. Aziz memulakan pengkisahannya tentang seramik China dari Zaman Dinasti Ming pada abad ke-14 hingga 17 masihi.

Kemudian dia beralih menceritakan tentang kehalusan pembuatan seramik rakyat Thailand pelbagai wilayah iaitu di Ban Chiang, Sukhotai dan Sawankhalok.

Dari Thailand, dia membawa penulis ke Khmer, Kemboja. Abd. Aziz sempat memberitahu, penduduk Khmer pada tahun 879 Masihi sangat teliti dalam menghasilkan seni seramik.

Jalinan sejarah tentang kisah seramik kemudian dinoktahkan dengan historiografi seramik di Vietnam. Terus terang, bukan mudah untuk menyerap fakta-fakta yang disalurkan Abd. Aziz. Itu semua berlaku lantaran setiap plot ceritanya mempunyai subplot-subplot yang rumit untuk dihadam.

Namun asas kepada seramik mudah. Ia diperbuat daripada tanah liat dan dibakar pada suhu tertentu dan tidak melebihi 1,350 darjah Celcius.

Ada beberapa jenis seramik yang ditemui dan mempunyai pelbagai warna, corak, motif, bentuk dan saiz. Antaranya ialah seramik jenis tembikar tanah, tembikar batu dan porselin.

Bilakah manusia mula memiliki idea untuk menghasilkan seramik? Sama ada percaya atau tidak, ia mula wujud pada zaman prasejarah terutama pada awal zaman Neolitik iaitu ketika manusia mula pandai bercucuk tanam kira-kira 10,000 tahun yang lampau.

Idea kreatif


PEMBUATAN seramik secara tidak langsung menggambarkan tingkah laku dan pemikiran masyarakat yang menciptanya.


Menurut Abd. Aziz, pembuatan seramik berupaya merekonstruksi tingkah laku dan kegiatan masyarakat yang menciptanya, pemikiran, kosmologi, kepercayaan dan nilai estetika termasuk jenis teknologi yang digunakan.

"Setiap tamadun memperlihatkan idea yang kreatif dan terdapat sedikit perbezaan," katanya sambil memberitahu seramik-seramik di muzium ini ada yang didapati dari negara luar, tempatan dan ada yang diperoleh daripada pengumpul seramik tegar.

Bagaimanapun, ujarnya, kegunaan seramik masih statik. Lazimnya ia digunakan sebagai instrumen untuk menyimpan makanan atau minuman termasuk abu mayat.

Abd. Aziz memberitahu, seramik buatan China paling banyak didagangkan ke tamadun Alam Melayu. Kenyataan itu diperkukuhkan dengan sumber bertulis dan menerusi beberapa penemuan arkeologi di merata-rata lokasi.

Daripada banyak pemerintahan, beliau yang juga pensyarah di UM memberitahu, industri seramik berkembang pesat pada era Dinasti Ming iaitu dari tahun 1368-1644.

Seramik China


ABD. AZIZ yang juga merupakan Kurator Muzium Seni Asia mempunyai pengalaman luas tentang dunia seramik.


"Seramik jenis porselin biru dan putih yang menampilkan motif dan ukiran yang menakjubkan pada zaman itu berjaya menenggelamkan populariti seramik terdahulu," katanya.

Selepas menyelongkari kehebatan seramik China, penulis diajak menyelami manifestasi seramik Thailand dan ia dimulakan di wilayah Ban Chiang.

Bagaimanapun, industri seramik Ban Chiang tak bertahan lama ekoran kawasan ditawan oleh kerajaan Khmer.

Sambungnya, setelah perusahaan di wilayah itu suram, Raja Rama Khamhaeng yang memerintah di wilayah Sukhothai (bahagian utara Thailand) kembali menghidupkan industri seramik Thailand.

Legenda seramik Sukhothai yang diceritakan Abd. Aziz sangat menarik. Kesediaannya mengeluarkan beberapa seramik dari pintu kaca yang terkunci rapi menunjukkan kesungguhannya menerangkan falsafah setiap seramik di muzium itu.

Jelasnya, identiti seramik Sukhothai dapat ditelah apabila melihat kilatan berwarna hitam dan bermotif ikan pada mangkuk atau pinggannya.

"Namun terdapat juga motif berupa cakra atau pancaran matahari dan biasanya pada permukaan bahagian badan seramik sedikit kasar," katanya sambil menunjukkan contoh seramik Sukhotai.

Bagaimanapun, ujar Abd. Aziz prinsip penghasilan seramik di daerah berdekatan iaitu di Sawankhalok, Thailand lebih bermutu tinggi ekoran tanah liatnya lebih berkualiti.

Kenyataan itu disokong oleh Asyaari Muhammad menerusi jurnalnya bertajuk, Seramik Purba Yang Diperdagangkan di Semenanjung Malaysia.

Jurnal itu menjelaskan, terdapat dapur pembakaran khas yang dinamakan Tukata dan Yak yang khas untuk membuat seramik Sawankhalok berbentuk arca seperti haiwan dan patung.


KENDI yang dihasilkan di negara Tamadun Alam Melayu banyak diinspirasikan daripada sosok tubuh wanita.


Pakar seramik itu seterusnya menitipkan tentang lunas produk seramik Khmer (abad ke-15 Masihi). Menariknya, sentuhan pencipta zaman itu lebih cenderung mengalunkan corak berupa imej Hindu-Buddha dan sedikit dari China.

Sementara itu, dalam jurnal karya Asyaari pula menyebut, seramik Khmer terdapat empat jenis iaitu seramik tidak berlicau, bercorak tulang, tembikar tanah gaya neolitik dan tembikar batu.

Subjek perbualan kami masih tidak berubah. Namun, kali ini perbincangan terarah tentang seni seramik Vietnam yang disifatkan lebih unik dan meluas.

Seramik buatan negara itu yang mempunyai ciri-ciri gaya dari Dinasti Han terdiri daripada porselin, monokrom, celadon dan enamel, kata Abd. Aziz.

Bagaimanapun, jenis porselin lebih banyak terdapat di rak muzium itu.

"Kebanyakan hiasan porselin Vietnam ringkas seperti lukisan bunga yang sering dilukis di bahagian tengah mangkuk atau piring," katanya sambil menambah terdapat hubungan perdagangan tembikar antara Jepun dan Vietnam pada era 1360-an.

Ekspresi kendi


MOTIF gajah amat sinonim dengan seni pembuatan seramik di Thailand.


Barangkali umum kurang mengetahui bahawa Muzium Seni Asia merupakan rumah pengumpulan kendi terbesar di dunia. Di sini, terdapat 260 biji kendi yang didatangkan dari Thailand, China, Indonesia, Jepun, Perancis dan Iran.

Kendi sebenarnya umpama sebuah teko yang diperbuat daripada tanah liat. Ia terdiri daripada dua stail iaitu polos dan bercorak.

Setiap negara, ujar Abd. Aziz mempunyai ideologi pembuatannya yang tersendiri. Misalnya, dekorasi kendi China tertumpu kepada corak naga. Thailand pula kadangkala menyiapkan kendi polos atau bercorak.

Sementara di Indonesia dan sama seperti Malaysia, penciptanya menggemari gaya polos tetapi memiliki gagang.

Daripada ratusan kendi, iris terpesona melihat sebuah kendi bersaiz kecil yang tidak mempunyai pemegang.

Kata Abd. Aziz : "Kalau diteliti kendi ini secara menyeluruh, kita dapat simpulkan bahawa pembuatan dan bentuk kendi yang dibuat melambangkan kesuburan dan ia adalah justifikasi orang zaman dahulu dalam menghargai kaum wanita."

Lelaki ini galak bercerita. Katanya, cara penyimpanan kendi juga setiap negara turut punya gaya tersendiri.

"Di Laos iaitu kawasan yang paling kering di Asia, orangnya menyimpan kendi di atas cucur atap dan di persimpangan jalan," beritahunya.

Bagaimanakah muzium ini memelihara dan memulihara khazanah yang berharga itu? Jelas pensyarah itu: "Suhu di bilik ini dikawal di antara 22 hingga 24 darjah Celsius dan kita akan bersihkan dengan air suam. Kita rasa bertuah kerana barang-barang di sini tak banyak ragam."

Benarkah setiap kendi ada roh atau semangat? Barangkali itu hanya dongengan semata-mata atau ada benarnya. Namun sebagai individu yang sudah lama berkecimpung dalam bidang arkeologi ini, Abd. Aziz hanya berkata: "Apa yang penting ialah sejarah dan nilai estetika di sebalik artifak itu."

Full content generated by Get Full RSS.

Sensasi belaian kelah dan lampam

Posted:

Sensasi belaian kelah dan lampam

Sensasi belaian kelah dan lampam

Oleh MAZLINA ABDUL MAJID


TAGAL Spa Ikan Sungai Moroli dibuka kepada orang awam sejak tujuh tahun lalu.
PENGUNJUNG yang hadir bukan sahaja di kalangan orang tempatan sebaliknya dari seluruh pelusuk negara.





RAMAI tertanya-tanya apa yang menarik sekiranya ber kunjung ke Ranau, Sabah yang terletak kira-kira 131 kilometer (km) dari Kota Kinabalu? Pada awalnya, memang tiada jawapan untuk itu sehinggalah penulis dan jurufoto, Abdul Razak Latif dibawa oleh penduduk tempatan yang dikenali sebagai Jaflis ke sana.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved