Sabtu, 8 Oktober 2011

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Setiap orang ada klon

Posted:

Setiap orang ada klon

Setiap orang ada klon

PENYANYI Mawi dan 'klonnya' Saifulruddin.


FENOMENA pelanduk dua serupa atau individu memiliki wajah yang hampir sama sering menarik perhatian orang ramai.

Dalam kebudayaan Barat, mereka yang mempunyai wajah hampir seiras atau disebut 'klon' selalunya dikaitkan dengan personaliti hiburan, ahli politik atau kerabat diraja.

Bahkan ramai individu berwajah seiras dibayar untuk menjadi tetamu dalam majlis awam, menghadiri temu bual televisyen atau berlakon filem kerana wajah mereka seiras personaliti hiburan atau orang kenamaan.

Wajah mereka yang hampir seiras dengan individu terkenal ini boleh dilihat dalam banyak laman Internet termasuk gambar yang disediakan agensi fotografi profesional.

Mereka yang seiras wajah pelakon popular ini sering menjadi watak utama dalam filem-filem Barat sehingga kini.

Bekas Presiden Iraq, Saddam Hussein pula didakwa mengupah beberapa klonnya sebagai taktik politik semasa pemerintahannya.

Menurut program televisyen CBS, 60 Minutes pada Januari 2008, Saddam Hussein menafikan kepada penyiasat tentera Amerika Syarikat (AS) yang dia mengupah kumpulan 'klon' tersebut.

Semenjak tahun 2011, seorang lelaki mirip wajah jurulatih England, Sven Goran-Eriksson bernama Derek William telah diupah oleh pasukan bola sepak negara itu untuk menggantikan Eriksson dalam jemputan rasmi dan perlawanan persahabatan.

Seperti di Malaysia, sesetengah masyarakat Barat percaya terdapat tujuh individu berwajah serupa di dunia ini.

Sebenarnya, kisah wajah klon ini turut melibatkan orang kenamaan di negara ini termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi serta penyanyi popular Mawi dan Datuk Siti Nurhaliza.


PRESIDEN Obama dan jurufoto Indonesia, Ilham Anas.


Teori Adam dan Hawa

Beberapa tahun lalu, seorang ahli perniagaan dari Pulau Pinang, Lee Peng Hock, 60, mencuri tumpuan kerana wajahnya mirip Abdullah.

Menurut Peng Hock, beliau tiba-tiba menjadi popular sehinggakan ada saja orang memanggilnya Pak Lah ke mana saja beliau pergi.

Pada Januari 2007, orang ramai digemparkan dengan kemunculan klon mirip juara Akademi Fantasia 3 (AF3), Mawi iaitu Saifulruddin Mohd. Idaham, 21, dari Cheras, Kuala Lumpur.

Saifulruddin yang merupakan seorang tukang masak di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pernah diserbu orang ramai yang menyangka dia ialah penyanyi bergelar Raja SMS itu.

Suatu ketika, Siti Nurhaliza juga tidak boleh lari daripada fenomena itu. Dia turut mempunyai kembar iaitu penyanyi seberang, Rossa dan pelakon Yuni Yunos.

Baru-baru ini, wajah aktor yang terkenal dengan watak puntianak, Nicolas Cage didapati hampir sama dengan seorang individu berasal dari Bristol, Tennessee, AS, pada tahun 1870-an yang mirip beliau.

Wajah pelakon Paul Newman juga dikatakan mirip wajah seorang individu pada tahun 1860-an termasuk pelakon Matthew McConaughey.

Realitinya, jika wajah anda mirip ikon popular mungkin anda boleh menumpang tuah populariti mereka. Namun, jika wajah anda mirip pengganas, penjenayah mahupun perogol bersiri, mungkin bala pula yang datang.

Pengarah Institut Perubatan Molekul, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. A. Rahman A. Jamal memberitahu, tidak mustahil setiap individu di dunia ini mempunyai wajah yang hampir serupa.

Katanya, walaupun kini bumi dihuni tujuh bilion manusia yang terdiri daripada pelbagai kaum, mereka berasal daripada Nabi Adam dan isterinya Hawa.

"Sebenarnya, semua manusia berasal daripada Adam dan Hawa. Jika diteliti susur galur dan keturunan, wajah seiras sememangnya boleh berlaku.

"Namun, kita sukar mengenal pasti keturunan terdahulu kerana proses kejadian manusia berlaku jutaan tahun lalu," katanya kepada Jurnal.

Ujarnya lagi, wajah klon kebanyakannya berlaku pada manusia yang mempunyai susur galur keturunan dan bangsa yang sama.

Beliau memberikan contoh wajah Nicolas Cage yang sama seperti gambar foto seorang lelaki dari tahun 1860-an.

"Mereka mungkin berasal daripada bangsa dan keturunan yang sama. Kebiasaannya wajah orang Inggeris hampir sama dengan individu berketurunan Inggeris juga.

"Mustahil individu berbangsa Melayu wajahnya seperti orang Inggeris kecuali ada sejarah perkahwinan campur atau migrasi," katanya.

Ujarnya lagi, terdapat sifat dalam baka atau gen yang tidak diwarisi oleh anak seseorang tetapi mungkin akan diturunkan pada cucu-cicit kelak.

Ujian saintifik

Contohnya, kata beliau, seorang anak mungkin mempunyai lesung pipit tetapi bapa, nenek serta moyangnya tidak memiliki ciri fizikal sedemikian.

Namun, ciri tersebut dimiliki sama ada daripada keluarga pihak suami mahupun isteri yang mempunyai ciri berkenaan.

"Terdapat juga orang Melayu yang bermata biru sedangkan semua ahli keluarganya tiada. Mungkin dahulu keluarganya mempunyai mata berwarna biru. Tetapi ia jarang berlaku," katanya.

Rahman turut menjelaskan, faktor perpisahan keluarga juga boleh menjelaskan isu ini seperti pasangan kembar seiras dipisahkan tetapi setelah berpuluh tahun, mereka berjumpa kembali.

Beliau turut memberikan pandangan mengenai pendapat yang mengatakan terdapat tujuh individu berwajah serupa di dunia.

"Pendapat ini mungkin benar kerana manusia berasal daripada Adam dan Hawa selain daripada susur galur keturunan.

"Tetapi setakat ini tiada kajian spesifik yang dilakukan oleh saintis berhubung perkara ini kerana tiada keperluan setakat ini," katanya yang juga merupakan pengkaji di Institut Genom Malaysia (IGM).

Jelasnya, faktor kemajuan dalam sains dan teknologi turut dapat memberi kesimpulan pada perkara ini yang mana individu yang mempunyai wajah hampir sama boleh melakukan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) selain ukuran saiz mata, telinga, hidung dan mulut.

Ujarnya, setiap pemeriksaan tersebut dapat membuktikan perbezaan ukuran wajah.

"Teknologi kini juga boleh melakukan perkara itu seperti pertindihan imej wajah seseorang membuatkan ia hampir serupa.

"Selain rekaan imej, solekan dan dunia fotografi terbukti boleh merealisasi perkara itu namun saya berpendapat walaupun kembar seiras sendiri terdapat perbezaannya," katanya.

Isteri libas suami guna penyapu

Posted:

Isteri libas suami guna penyapu

Isteri libas suami guna penyapu

Oleh MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM
megatlutfi.rahim@kosmo.com.my


KES pertama suami memohon cerai di mahkamah akibat tidak tahan didera isteri berlaku tahun lalu. – Gambar hiasan


KES isteri mendera suami benar-benar berlaku di Malaysia walaupun ia kedengaran agak pelik. Akhbar juga pernah melaporkan kejadian seperti itu sejak beberapa tahun lalu.

Misalnya, seorang isteri di Sungai Petani, Kedah, sanggup membelasah si suami hanya kerana lelaki itu sering menegurnya kerana terlalu taksub dengan bomoh.

Dakwa Ibrahim, 57, yang merupakan seorang peniaga, perubahan isterinya, Saleha, 39, bermula apabila seorang bomoh muda tinggal bersama di rumah bapa mertuanya.

Beliau sudah membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Petani berhubung insiden itu.

Pemangku Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang memberitahu, sejak setahun lalu pihaknya telah menerima 50 kes melibatkan aduan suami didera oleh isteri. Beliau percaya jumlah kes seperti itu meningkat setiap tahun.

Beliau tidak menolak angka sebenar lebih tinggi kerana kaum Adam lebih malu untuk bercerita perkara sebenar berbanding kaum hawa.

Kes

Walaupun banyak kes isteri mendera suami dilaporkan, kes suami memohon perceraian disebabkan didera isteri hanya mula dikesan difailkan di Mahkamah Syariah pada tahun lalu.

"Terdapat suami yang tidak tahan didera isteri sehingga dia memohon untuk bercerai.

"Saya berpendapat perkara ini mungkin disebabkan oleh sejarah keluarga isteri seperti ibu isteri yang garang dan pernah memukul ayahnya suatu ketika dahulu.

"Perkara itu diteruskan oleh isteri apabila dia berkahwin," katanya kepada Jurnal.

Ujarnya lagi, faktor peribadi isteri yang garang dan tegas berbanding suami yang lembut turut mendorong isteri menjadi seorang pendera dalam rumah tangga.

"Akhirnya, isteri mula mengabaikan tanggungjawab dan mengetepikan batas-batas sebagai seorang isteri," katanya.

Menurut Musa, bentuk penderaan yang dilakukan oleh isteri terhadap suami termasuklah menumbuk, menampar dan menendang.

Alat yang digunakan pula meliputi batang penyapu dan pinggan mangkuk.

Musa memberitahu, faktor ekonomi keluarga juga boleh menyebabkan berlaku kes penderaan suami.

"Isteri mungkin memberi sumbangan yang lebih banyak kepada ekonomi keluarga selain sikap suami yang kurang bertanggungjawab.

"Faktor lain ialah kurangnya pengetahuan agama dan pasangan gagal memahami semangat institusi perkahwinan," katanya.

Bagaimanapun, suami yang didera boleh membuat laporan kepada pihak berkuasa mengikut Akta Keganasan Rumah Tangga 1999 (Akta 521).

"Akta ini sebenarnya bukan sahaja melindungi isteri tetapi juga suami dan ahli keluarga yang lain.

"Ada juga suami yang memohon perintah tegahan daripada mahkamah bagi mengelakkan isteri daripada terus menderanya baik dari segi fizikal, emosi mahupun harta," kata Musa.

Sementara itu, Naib Presiden Hal Ehwal Wanita (Helwa) Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Fadhlina Siddiq memberitahu, pihaknya kerap menerima aduan suami dicederakan isteri.

"Ini kerana isteri hilang rasa takut kepada suami sekali gus mendorong wanita itu menggunakan kekerasan.

"Oleh itu, pasangan perlu mengkaji semula aspek komunikasi, pengurusan ekonomi keluarga dan ikatan kasih sayang pada setiap lima tahun selepas mendirikan rumah tangga," katanya.

Lemah seks

Fahlina berkata, Abim telah memperkenalkan program pembangunan komuniti dikenali sebagai Tanmiyah al-Mutafakkir yang bertujuan membantu suami yang didera isteri.

"Program ini lebih berbentuk aduan panggilan telefon dan meminta khidmat nasihat khususnya bagi isu berkaitan keganasan rumah tangga. Masalah mereka akan diteliti oleh kumpulan peguam syarie Abim," katanya.

Bagi pakar psikologi Universiti Malaya (UM), Prof. Dr. Suradi Salim, faktor suami yang lemah syahwat boleh mendorong isteri bertindak ganas.

"Suami kerap menolak ajakan isteri untuk melakukan hubungan seks sehingga isteri tidak mampu lagi melayan si suami hingga dia sanggup bertindak memukul suami.

"Sesiapa pun apabila tahap kesabaran tidak mampu dibendung lagi boleh melakukan perkara yang di luar kemampuannya," ujar Suradi.

Katanya lagi, faktor peribadi seperti seorang wanita yang panas baran mungkin juga menjadi punca.

"Faktor perubatan dan emosi boleh mendorong isteri mendera suami seperti semasa dia meroyan selepas bersalin.

"Tetapi sebenarnya jika suami tidak buat hal, selalunya isteri tidak terdorong untuk mendera suami," tegas beliau.

Bos Apple maut ‘digigit’ kanser

Posted:

Bos Apple maut 'digigit' kanser

Bos Apple maut 'digigit' kanser


STEVE JOBS mengalami penurunan berat badan selepas disahkan menghidap kanser pankreas pada tahun 2003.


KESIHATAN Steve Jobs menjadi menarik diamati kerana harga saham Apple, pengeluar produk ikonik seperti iMac dan iPhone, dipengaruhi oleh khabar angin kesihatan Steve.

Misalnya, sewaktu Steve nampak tidak sihat pada satu acara MacWorld pada tahun 2009, Steve mengatakan dirinya 'berada dalam ketidakseimbangan hormon'.

Selepas dia mengumumkan akan menjalani rawatan, harga saham Apple turun. Setiap kali tersebar berita mengenai kesihatannya sama ada betul atau tidak, harga saham pasti jatuh.

Seperti pesakit kanser lain, Steve Jobs optimis tatkala sekumpulan pakar perubatan mengesahkan dia positif menghidap barah pankreas pada tahun 2003.

Ramai menganggap kanser ialah hukuman mati namun kanser pankreas boleh diubati jika ia dikesan pada peringkat awal.

Pengasas empayar pengkomputeran Apple Inc. itu meninggal dunia pada Rabu lalu setelah hampir lapan tahun didiagnosis menghidap kanser pankreas.

Alternatif

Steve tidak berseorangan dalam perjuangan menentang kanser. Pelakon Malaysia yang terkenal melalui filem Rahsia, Shukeri Hashim meninggal dunia akibat penyakit sama pada tahun 2009.

Dalam tahun sama, hero Hollywood yang terkenal menerusi filem Dirty Dancing, Patrick Swayze turut meninggal dunia, juga akibat penyakit sama.

Kanser pankreas kurang popular seperti kanser payu dara atau kanser paru-paru sekali gus menjelaskan mengapa tidak banyak maklumat diperoleh mengenai barah tersebut.

Pakar bedah kanser, Joseph Kim berkata, kanser pankreas berasal daripada tumor neuroendokrin yang terbentuk daripada kilang pengeluar hormon insulin.

Jelas pakar bedah Hospital City of Hope di Duarte, California itu, barah itu boleh dirawat jika ia dikesan pada peringkat awal.

"Pembedahan boleh membantu memanjangkan hayat pesakit," kata Kim.

Analisis Kim dan rakan-rakannya terhadap pesakit kanser neuroendokrin pada 2010 mendapati, jangka hayat pesakit yang menjalani pembedahan bertambah secara signifikan.


STEVE JOBS enggan melakukan pembedahan membuang kanser pada peringkat awal.


Kata beliau, kanser neuroendokrin merebak dengan perlahan dan terhad pada organ itu sahaja.

Pesakit selalunya meninggal dunia akibat kanser itu dan bukan akibat kesan penularan kanser yang merosakkan organ-organ lain.

Walaupun dianggarkan sehingga 3,000 rakyat Amerika Syarikat (AS) didiagnosis menghidap tumor neuroendokrin setiap tahun, pembedahan autopsi mendapati terdapat beratus-ratus lagi pesakit tidak terkesan meskipun menghidap penyakit sama.

Di sebalik saranan dan pandangan pakar perubatan, Steve tidak memilih kaedah moden sebaliknya, penganut agama Buddha berketurunan Arab itu menghabiskan sembilan bulan mengamalkan terapi alternatif termasuk diet khas, lapor majalah Fortune pada 2008.

Imbasan menunjukkan tumor itu semakin membesar dan akhirnya Steve menjalani pembedahan di Klinik Perubatan Universiti Stanford pada 31 Julai 2004.

Steve terpaksa menjalani prosedur Whipple atau pancreatoduodenectomy berikutan keadaan sel tumor yang semakin membesar.

Pembedahan itu membuang bahagian kanan pankreas, pundi dan saluran hempedu, sebahagian perut dan sebahagian usus kecil. Prosedur itu memberi petanda bahawa sel kanser itu sudah merebak ke organ-organ lain.

Steve dalam satu e-mel kepada para pekerja menjelaskan 'dia tidak memerlukan rawatan kemoterapi atau radioterapi'.

Kebimbangan pakar perubatan itu akhirnya menjadi kenyataan setelah lima tahun. Steve akhirnya menjalani pembedahan pemindahan hati di Hospital Universiti Methodis, Memphis pada tahun 2009.

Pembedahan

Pembedahan itu sekali gus memberi gambaran bahawa kanser yang dialaminya sudah merebak melampaui sistem penghadaman.

Jelas Kim, pemindahan hati yang dijangkiti sel kanser merupakan satu-satunya jalan untuk menyekat penularan sel kanser daripada terus tersebar.

Kerosakan hati bermakna ia dijangkiti kanser dari bahagian lain seperti tulang atau otak tetapi menggantinya ada kesan tidak diingini, tambah Kim.

Pesakit yang menjalani pembedahan pemindahan organ memerlukan ubat untuk menyekat sistem pertahanan badan yang banyak agar badan tidak menolak organ baru tersebut.


LELAKI ini mati pada usia 56 tahun ketika syarikat Apple sedang melakar kejayaan dalam bidang perkomputeran.


"Penggunaan ubat untuk menyekat sistem pertahanan badan mungkin ada baiknya tetapi ia boleh menyebabkan sel kanser bermaharajalela," kata Kim.

Pun begitu, Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) dalam satu keputusan pada Mei lepas meluluskan dua ubat untuk melawan kanser iaitu Sutent dan Afinitor yang masing-masing dikeluarkan oleh Pfizer serta Novartis.

Pada tahap awal, kanser ini tidak menunjukkan sebarang gejala. Namun, seiring dengan pertumbuhan kanser, pesakit akan terasa nyeri di kiri perut dan tersebar ke belakang badan. Rasa nyeri itu akan dapat dirasai semasa makan atau berbaring

Kalau kanser itu dibuang pada peringkat awal, sebanyak 25 peratus pesakit dijangka dapat bertahan selama lima tahun berikutnya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved