Sabtu, 1 Oktober 2011

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Meletup macam bom

Posted:

Meletup macam bom

Meletup macam bom

Oleh KUMARA SABAPATTY

DARYL CHUA, 27, menyangka dia dan kekasihnya Hibbie Tan, 23, akan mati selepas terhumban sejauh beberapa meter akibat letupan kuat yang menggegarkan Subang Jaya pada pukul 3.45 pagi Rabu lalu.

Ketika kejadian, Daryl, seorang jurujual kereta dari Sri Hartamas, sedang berjalan ke arah mesin pembayaran automatik di pusat beli-belah Empire Shopping Gallery, Subang Jaya. Dia baru selesai minum kopi di sebuah kafe di tingkat bawah pusat beli-belah yang baru satu tahun setengah dibuka itu.

"Bunyi letupan itu sama seperti yang kita saksikan dalam filem," imbasnya.

Selepas dia kembali tenang, Daryl dapat mendengar bunyi penggera keselamatan dan kaca berderai sebelum dinding-dinding retak dan jatuh di sekelilingnya. Penutup longkang di pusat beli-belah lima tingkat itu turut terbongkar, meninggalkan debu tebal berterbangan di udara.

"Pada mulanya saya fikir pusat beli-belah itu telah dibom," kata Daryl yang mengalami luka-luka dan lebam di tangan.

Kekasihnya Hibbie pula terseliuh pergelangan tangan serta lebam di kaki dan paha. Menurut Chua, kereta mereka yang diletakkan di tempat letak kereta turut rosak. Letupan itu juga boleh didengar sejauh beberapa kilometer dan menggegarkan banyak kediaman di Subang Jaya.

Timbalan Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd. Sani Harul, berkata letupan itu mengakibatkan kesan teruk di laluan sepanjang 300 meter.


KEMUSNAHAN ini disebabkan letupan, bukan kebakaran.


Restoran

"Kesan kemusnahan itu lebih diakibatkan letupan berbanding kebakaran," katanya sambil menambah, sekurang-kurangnya 40 buah kedai rosak teruk dalam kejadian itu.

Pengarah Suruhanjaya Tenaga bagi Peraturan Pembekalan dan Keselamatan Gas, Ahmad Nornadzmi Ahmad Zulkarnain memberitahu siasatan awal mendapati kejadian itu berpunca daripada kecuaian manusia yang meninggalkan paip gas tanpa ditutup.

"Ada kemungkinan pekerja restoran di tingkat bawah bangunan itu membiarkan kepala gas tidak ditutup semalaman," katanya.

Kejadian gas memasak bocor dan meletup sering dilaporkan di negara ini. Dalam hampir semua insiden, impak letupan itu bukan kepalang.

Pada 18 Jun lalu, tiga pekerja sebuah restoran mamak di Petaling Jaya melecur teruk setelah tong gas memasak meletup di dalam premis berkenaan.

Letupan berlaku semasa seorang pekerja mahu menukar tong gas yang sudah kosong dengan tong baharu pada pukul 8.30 pagi.

Tong gas yang mahu ditukar itu tiba-tiba meletup sehingga menyebabkan tiga pekerjanya cedera parah akibat melecur.

Letupan kuat itu turut menyebabkan barang-barang dalam restoran tercampak manakala siling premis runtuh.

Sebelumnya pada 8 Mei, seorang warga Britain nyaris maut apabila kondominium yang baru didudukinya di Persiaran Hampshire, Jalan Ampang, Kuala Lumpur meletup akibat kebocoran gas.

Ketua Jabatan Kejuruteraan Gas, Fakulti Kejuruteraan Petroleum dan Tenaga Diperbaharui, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr. Zainal Zakaria berpendapat punca kebocoran gas sama ada di rumah, restoran atau kilang adalah disebabkan kecuaian dalam memastikan saluran paip yang digunakan mematuhi standard yang ditetapkan atau ia dipasang dengan cara yang salah.

Kegagalan melakukan pemeriksaan rutin turut menyumbang kepada kejadian gas bocor.

"Di rumah misalnya, walaupun paip getah berkualiti digunakan tetapi jika ia dipasang longgar atau digigit tikus, gas akan meresap keluar.


SEBUAH kereta yang diletakkan di luar bangunan rosak teruk.


Pemeriksaan

"Penghuni rumah yang tidak menyedari kebocoran itu mungkin secara sengaja mencetuskan percikan api dan dia tidak sempat menyelamatkan diri kerana letupan kuat itu berlaku sangat pantas. Di kilang pula, saluran paip boleh berkarat jika tidak selenggara," katanya.

Beliau menjelaskan, gas yang digunakan untuk memasak adalah gas petroleum cecair iaitu jenis butana dan propana manakala gas yang digunakan pihak industri adalah daripada jenis metana.

Zainal menambah, tindakan membuka pintu dan tingkap bagi mengeluarkan gas itu dari rumah sebenarnya tidak memberi kesan serta-merta.

"Gas asli cecair lebih tumpat daripada udara, jadi ia lebih berat dan tidak mudah keluar dari sebuah kawasan tertutup. Ia akan berkumpul dan tersebar ke seluruh rumah selain melekat pada pelbagai barangan seperti langsir dan sofa.

"Keadaan ini menjelaskan mengapa letupan gas memberi impak yang besar terutamanya jika kebocoran itu berlaku dalam kuantiti yang banyak," terang beliau.

Zainal bagaimanapun berkata, gas yang terperangkap itu boleh dikeluarkan dengan memasang kipas angin asalkan kawasan di luar rumah tidak terdapat objek yang menghalang pergerakan gas itu.

"Dalam hal ini, penghuni rumah perlu bertanggungjawab dan mengambil inisiatif memeriksa saluran paip gas memasak di dapur supaya ia sentiasa berada dalam keadaan baik.

"Tindakan yang paling bagus ialah memeriksanya setiap tiga minggu atau sebulan sekali. Jangan tunggu sampai gas habis baru hendak melihat dan menggantikannya dengan tong gas yang baharu," katanya.

Beliau menambah, Akta Bekalan Gas 1993 (Akta 501) hanya mewajibkan sistem bekalan gas berpusat pihak industri diperiksa oleh pihak berkuasa yang dilantik.

Namun, tiada klausa yang mencadangkan pihak berkuasa melakukan pemeriksaan ke atas gas memasak di rumah.

Zainal menerangkan, kekuatan sesuatu letupan bergantung kepada tekanan dan kapasiti gas yang bocor itu.

"Di Malaysia, sudah banyak dijual alat pengesan tekanan gas yang dipasang pada kepala tong gas. Alat itu boleh memberi amaran jika berlaku kebocoran gas sekali gus mengelak daripada berlaku kemalangan," katanya yang berpendapat sebuah tong gas seberat 14 kilogram (kg) sudah cukup untuk memusnahkan sebuah rumah.

Beliau berkata, kejadian letupan gas di sebuah bangunan besar seperti pusat beli-belah perlu diberi perhatian serius.

"Selalunya banyak restoran terdapat di dalam sesebuah pusat beli-belah dan mereka turut menggunakan gas memasak. Kemusnahan akan menjadi lebih teruk jika medan selera itu terletak di tingkat bawah bangunan," katanya.


LETUPAN dipercayai akibat kebocoran gas dari sebuah restoran di Empire Shopping Gallery di Subang Jaya meninggalkan kemusnahan yang besar.


Pada asasnya, mangsa yang terhidu gas memasak tidak akan berdepan masalah secara serta-merta. Kata Zainal, gas itu tidak beracun tetapi masih boleh menyebabkan mangsa pengsan jika terhidu dalam jumlah yang banyak.

Pensyarah UTM di jabatan yang sama, Profesor Dr. Ahmad Fauzi Ismail pula berpendapat tong gas 14kg sudah cukup untuk memusnahkan sebuah rumah dengan satu letupan kuat.

"Gelombang dan tekanan yang muncul akibat letupan itu yang membawa impak teruk sehingga mengakibatkan seluruh rumah dijilat api.

"Manakala letupan yang boleh menyebabkan kerosakan sebuah bangunan besar biasanya melibatkan kuantiti yang lebih banyak," katanya kepada Jurnal.

Rahsia Sarkozy pikat Bruni

Posted:

Rahsia Sarkozy pikat Bruni

Rahsia Sarkozy pikat Bruni


PENGETAHUAN meluas Sarkozy tentang bunga-bungaan berjaya memikat hati Carla Bruni.


CARLA BRUNI SARKOZY, 43, dikenali sebagai seorang yang tidak gemarkan publisiti. Sejak berkahwin dengan Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy, supermodel kelahiran Itali yang kemudian menjadi penyanyi itu lebih berhati-hati tentang imejnya.

Namun, pada hari Ahad dua minggu lalu, Bruni yang sarat mengandung dilihat berjalan kaki di sebatang jalan di Paris sebelum memasuki sebuah restoran Pizza d'Auteuil. Kedai itu dianggap restoran piza terbaik di bandar raya Paris.

Kehadiran pasangan itu yang nampak seperti orang biasa telah mengejutkan orang ramai lebih-lebih lagi dengan keadaan perut Bruni yang memboyot kerana kandungannya sudah mencecah usia lapan bulan.

Dia dijangka bersalin pada awal Oktober ini. Ini merupakan kali pertama seorang bayi bakal dilahirkan di Elysee Palace, kediaman rasmi presiden Perancis.

Minggu ini pula, Bruni memberi temu bual kepada Radio BBC - peluang yang sangat jarang diperoleh oleh pihak media. Dalam temu bual itu, Bruni mendedahkan rahsia dia jatuh cinta dengan lelaki yang 13 tahun lebih tua daripada dirinya itu.

"Berkahwin dengannya sangat gila-gila bagi saya," katanya dalam ketawa semasa ditemu bual Christine Ockrent, seorang wartawan terkenal Perancis yang juga rakan Bruni.

Bruni berkata, suaminya itu sangat berminat dengan semua benda termasuk sejarah, geografi dan tentu saja politik tetapi pengetahuan lelaki itu tentang seni tamanlah yang telah menawan hatinya.

"Apabila saya bertemu Sarkozy dan kami berjalan-jalan di taman kediaman presiden iaitu Elysee Palace, dia memberitahu saya nama semua jenis bunga yang ada di situ. Dia tahu nama Latin tumbuhan hiasan itu termasuk perkara terperinci tentang bunga tulip dan ros.

"Saya kata pada diri saya: 'Oh tuhan, saya mesti mengahwini lelaki ini. Dia seorang presiden tetapi dia juga tahu semua perkara fasal bunga. Ini sungguh hebat'," ujarnya.

Bruni berkata, dia tidak banyak bercakap mengenai kehamilannya kerana dia seorang yang 'misteri', lagipun ia bukan sesuatu yang menarik bagi orang Perancis.

Bruni berpendapat hamil adalah perkara yang sangat biasa tetapi mengakui ia satu perkara yang mengujakan dirinya.

"Saya seorang yang 'misteri', jadi ya, saya begitu berhati-hati," katanya kepada BBC.

Bosan

"Tidak banyak perkara boleh diperkatakan. Setiap wanita memang diketahui melahirkan anak," tambahnya.

Sarkozy, yang dijangka mempertahankan jawatannya pada pilihan raya presiden akan datang, berkahwin dengan Bruni pada tahun 2008, iaitu tidak sampai setahun selepas dia menjadi presiden.


BRUNI yang sarat mengandung dijangka bersalin awal Oktober ini.


Bruni mempunyai seorang anak lelaki hasil hubungan dengan bekas teman lelakinya, Raphael Enthoven manakala Sarkozy, 56, dikurniakan tiga anak lelaki daripada dua perkahwinannya sebelum ini. Ketiga-tiga anak Sarkozy kini berusia 14, 25, dan 26 tahun.

Bruni berkata, bermain gitar dan melancong adalah perkara paling dirinduinya dan dia tidak pernah berbincang mengenai pilihan raya presiden tahun hadapan.

Menganggap wanita pertama bukan kerjaya kesukaannya, Bruni memberitahu: "Impian saya ialah untuk kembali kepada kerja lama saya secara sepenuh masa dan bersama keluarga saya. Impian seperti itu ada pada semua orang."

Akhbar Perancis, Le Parisien baru-baru melaporkan Bruni berasa sangat bosan kerana tidak dapat minum wain dan merokok sepanjang lapan bulan hamil.

"Terus terang saya sudah tidak tahan lagi. Sepanjang masa saya cuma duduk atau berbaring. Saya tidak lagi boleh menghisap rokok dan menikmati wain. Saya sudah tidak sabar untuk melepasi situasi ini," katanya.

Seorang rakan Bruni memberitahu akhbar itu, disebabkan Bruni hamil selepas usia 40 tahun, doktor-doktor wanita pertama itu menasihatkan supaya dia banyak berehat dan mengamalkan gaya hidup sihat.

Bruni dilaporkan pernah menjalin hubungan dengan beberapa individu berpengaruh seperti penyanyi terkenal Eric Clapton, Mick Jagger dan jutawan perniagaan, Donald Trump.

Dia memulakan kerjaya peragaan pada usia 19 tahun. Menjelang tahun 1990-an, Bruni merupakan antara 20 model yang menerima bayaran tertinggi apabila memperoleh pendapatan sebanyak AS$7.5 juta (RM23 juta) setahun.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved