Khamis, 13 Oktober 2011

Kosmo Online - Negara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


7,113 pohon 560 rumah PR1MA

Posted:

7,113 pohon 560 rumah PR1MA

7,113 pohon 560 rumah PR1MA

PENGARAH Eksekutif Penasihat Audit Dalaman KPMG, Mohd. Khaidzir Shahari memasukkan nombor cabutan pemohon rumah PR1MA ke dalam peti undi di Putrajaya semalam.


PUTRAJAYA - Semua 7,113 borang permohonan bagi Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) akan menjalani proses ketat untuk memastikan pemohon yang berjaya adalah mereka yang benar-benar layak, kata Ketua Pegawai Eksekutif, Unit PR1MA, Datuk Abdul Mutalib Alias.

Katanya, unit itu akan memproses semua permohonan dengan dipantau oleh perunding juruaudit bertauliah iaitu KPMG Business Advisory Sdn. Bhd. (KPMG).

"Ia bagi memastikan tiada sikap pilih kasih, pemilihan adil dan telus dijalankan supaya mereka yang layak sahaja dipertimbangkan untuk memiliki rumah tersebut," katanya pada satu taklimat khas untuk media berhubung perkembangan terkini mengenai proses permohonan tersebut.

Dalam taklimat itu, pihak media menyaksikan bagaimana semua nombor pemohon diletakkan di dalam peti khas yang kemudian dikunci sebelum diletakkan di bilik kebal.

Katanya, peti tersebut hanya akan dibuka pada majlis pengundian pada Sabtu ini yang akan dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak di Kompleks Kejiranan, Presint 11 di sini.

Abdul Mutalib memberitahu, semua nombor permohonan akan disemak dan dibahagikan kepada dua bahagian iaitu warna biru untuk pemohon yang belum mempunyai rumah dan ia berjumlah 5,943 orang manakala warna merah jambu bagi pemohon yang sudah memiliki sebuah rumah iaitu berjumlah 1,170 orang.

Program fasa pertama PR1MA ini memperuntukkan 560 unit rumah.

"Undian akan dibuat sebanyak dua kali iaitu (untuk menentukan) 560 permohonan yang akan diletakkan di bawah senarai pertama dan (untuk menentukan) 560 lagi di bawah senarai simpanan.

"Sekiranya dalam proses tapisan didapati ada maklumat-maklumat yang diberikan tidak benar maka permohonan dianggap tidak berjaya dan akan digantikan dengan pemohon yang berada dalam senarai simpanan," jelasnya.

Rumah mampu milik di bawah program itu berharga antara RM120,000 hingga RM150,000 dan dibangunkan oleh Putrajaya Holdings Sdn. Bhd. di Presint 11 di sini.

Pendaftaran permohonan dibuat dalam talian di www.pmo.gov.my serta di beberapa lokasi di Putrajaya, permohonan dibuka pada 30 September lepas dan ditutup pada tengah malam semalam.

Syarat kelayakan warganegara Malaysia berumur 21 tahun ke atas, bekerja atau bermastautin di Putrajaya, pengundi berdaftar di Parlimen Putrajaya dan pendapatan kasar isi rumah tidak melebihi RM6,000 sebulan (suami dan isteri). - Bernama

Full content generated by Get Full RSS.

'Harta ibu bernilai jutaan ringgit'

Posted:

'Harta ibu bernilai jutaan ringgit'

'Harta ibu bernilai jutaan ringgit'

Oleh ADHAM SHADAN
adham.shadan@kosmo.com.my


KHAIRUL ANAM menunjukkan surat tuntutan harta sepencarian ke atas bapa mereka di Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU – Seramai 11 orang anak kepada seorang jutawan syarikat bas ekspres terkemuka di sini menuntut daripada bapa mereka harta sepencarian dipercayai bernilai jutaan ringgit milik ibu mereka yang telah meninggal dunia pada 2008.

Kesemua mereka memfailkan tuntutan ke atas Che Ibrahim Che Ismail, 56, yang merupakan pemilik syarikat bas Ekspres Mutiara di Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada 2 Oktober lalu.

Mereka ialah Khalilullah, 31; Tamtini, 30; Amalina, 29; Khairul Azhan, 28; Khairul Anam, 26; Khairul Adnin, 24; Salsabila, 20; Siti Nahwan, 18; Muhammad Atifuddeen, 16; Muhammad Amar, 11 dan Nurul Aufa, 13.

Ibu mereka, Paizah Mohd. Yusoff meninggal dunia pada tahun 2008 ketika berusia 49 tahun setelah koma selama empat tahun berikutan kemalangan jalan raya pada tahun 2004.

Mereka selaku plaintif menuntut harta sepencarian arwah ibu mereka bermula dari tarikh perkahwinan arwah dengan Che Ibrahim pada 22 Februari 1979 sehingga ibu mereka meninggal dunia pada 24 September 2008.

Kesemua plaintif turut mengemukakan notis permohonan untuk mendapatkan perintah interim secara ex-parte di mahkamah yang sama bagi menghalang defendan daripada melakukan sebarang transaksi terhadap harta sepencarian milik ibu mereka yang jumlahnya akan ditentukan kemudian.

Menurut penyata tuntutan harta sepencarian itu, arwah telah berkorban sepenuh jiwa dan raga mengharungi suka duka hidup berumah tangga bersama defendan sebagai teman yang membantu dan memberi dorongan sehinggalah defendan memperoleh kesenangan dalam hidup.

Sementara itu, anak sulung Che Ibrahim, Khalilullah ketika ditemui di sini semalam berkata, harta sepencarian ibu mereka itu bernilai jutaan ringgit.

Beliau berkata, harta tersebut meliputi kawasan tanah di sekitar Kota Bharu, Gua Musang dan Kuala Lumpur, beberapa rumah banglo dan bangunan serta syer di dalam Ekspres Mutiara yang didaftarkan atas nama Mutiara Pahim Sdn. Bhd.

"Tuntutan harta sepencarian ini dibuat bagi membolehkan ayah mengagihkan harta itu secara adil kepada kami semua kerana ia adalah harta arwah ibu yang menjadi hak kami adik-beradik dalam mewarisi pusaka tinggalan arwah," katanya ketika ditemui semalam.

Menurut Khalilullah lagi, bapanya telah berkahwin dengan seorang wanita lain selepas empat bulan ibunya koma akibat kemalangan pada tahun 2004.

"Selepas ibu meninggal dunia kami telah bertanya perkara ini kepada ayah beberapa kali tetapi tidak diendahkan.

"Kami juga telah berusaha dengan pelbagai cara, antaranya dengan meminta bantuan bapa saudara ayah saya, tapi tidak berjaya.

"Setelah tiga tahun berusaha, kami tidak ada jalan lain dan inilah jalan yang terbaik," ujarnya.

Khalilullah juga berharap, bapanya yang juga penerima anugerah Jaksa Pendamai perlu menunaikan tanggungjawabnya terhadap anak-anak meskipun lelaki itu telah berkahwin dengan wanita lain.

Full content generated by Get Full RSS.

Galakan terbit buku ilmiah bahasa Melayu

Posted:

Galakan terbit buku ilmiah bahasa Melayu

Galakan terbit buku ilmiah bahasa Melayu

Oleh ROSLI HASSAN
rosli.hassan@kosmo.com.my


MUHYIDDIN melakukan gimik perasmian Bulan Bahasa 2011 Peringkat Kebangsaan sambil diperhatikan Rais (kiri) dan Mohamed Khaled (dua dari kiri) di UTeM, Melaka semalam.


MELAKA - Dana berjumlah RM2 juta bagi menggalakkan penerbitan buku ilmiah dalam bidang sains dan teknologi dalam bahasa Melayu akan diwujudkan mulai tahun hadapan

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penulis yang menghasilkan buku seumpama itu dan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bakal menerima ganjaran RM20,000 selain bayaran royalti yang biasanya diterima.

"Pihak DBP akan menentukan karya-karya yang layak diterbitkan berdasarkan manuskrip yang dihantar," katanya ketika merasmikan pelancaran Bulan Bahasa 2011 Peringkat Kebangsaan di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di sini semalam.

Turut hadir Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Muhyiddin berkata, penubuhan dana tersebut merupakan antara beberapa langkah yang diambil kerajaan dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu terutama dalam bidang sains dan teknologi.

Katanya, jumlah buku ilmiah dalam bidang sains dan teknologi yang bertaraf ilmu tinggi dalam bahasa Melayu pada masa ini amat sedikit iaitu kira-kira 3,900 judul buku berbanding hampir 75,000 judul yang diterbitkan di negara ini.

"Kita memahami bahawa penerbitan dalam bahasa Inggeris adalah penting untuk meningkatkan penarafan universiti di peringkat antarabangsa tetapi ini tidak bermakna kita harus meminggirkan karya-karya penerbitan dalam bahasa Melayu," katanya

Dalam pada itu, menurutnya, fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi khususnya dalam pentadbiran dan urusan rasmi kerajaan juga akan dimantapkan berikutan persetujuan Kabinet supaya semua penjawat awam diwajibkan menggunakan bahasa kebangsaan dalam semua urusan rasmi.

"Untuk memastikan arahan itu dipatuhi, pekeliling perkhidmatan berkaitan Panduan Penggunaan Bahasa Kebangsaan Dalam Perkhidmatan Awam akan dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved