Khamis, 6 Oktober 2011

Kosmo Online - Negara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


Tumpu golongan bergaji rendah

Posted:

Tumpu golongan bergaji rendah

Tumpu golongan bergaji rendah

Oleh NOR IDAYU BOSRO dan LUQMAN RIDHWAN MOHAMED NOR
berita@kosmo.com.my

BAJET 2012 diharap dapat memberi lebih insentif kepada golongan berpendapatan rendah mengimbangi pendapatan mereka dengan kenaikan harga barang. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR – Kelangsungan hidup golongan berpendapatan rendah dan pengurangan kadar cukai diharap menjadi agenda utama Bajet 2012 yang akan dibentangkan di Parlimen hari ini.

Beberapa pakar ekonomi berpendapat pembentangan Bajet 2012 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu akan menumpukan kedua-dua aspek berkenaan.

Pakar ekonomi, Datuk Salleh Majid berkata, kerajaan perlu mengurangkan kadar cukai yang disifatkannya masih tinggi bagi membolehkan Malaysia kekal kompetitif dalam kalangan negara-negara membangun.

"Walaupun kadar cukai pendapatan maksimum dikurangkan daripada 27 peratus kepada 26 peratus dalam bajet tahun lepas, ia sebenarnya masih tinggi untuk berdaya saing dengan negara-negara lain di rantau ini.

"Singapura, misalnya, hanya mengenakan kadar cukai pendapatan sebanyak 17 peratus namun tetap mampu bersaing," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai isu-isu yang ditekankan dalam Bajet 2012 yang akan dibentangkan oleh Najib hari ini.

Mengulas lanjut, Salleh berkata, pengurangan kadar cukai juga dapat menggalakkan kemasukan pelabur asing yang secara tidak langsung berupaya memacu pertumbuhan ekonomi yang positif.

Salleh juga menyatakan harapannya agar pengurangan kadar cukai dapat dilaksanakan supaya dapat meringankan beban rakyat dari segi kos sara hidup terutamanya dalam kalangan golongan miskin dan berpendapatan rendah.

Sementara itu, Presiden Persatuan Ekonomi Pengguna dan Keluarga Malaysia, Prof. Dr. Jariah Masud pula berharap kerajaan perlu mengawal harga barang keperluan asas bagi mengelakkan pengguna daripada terus ditindas sesetengah peniaga.

Menurutnya, sudah terlalu banyak kes yang melibatkan penipuan oleh peniaga dan keadaan itu akan menjejaskan ekonomi keluarga yang berpendapatan rendah dan sederhana.

Jika perkara itu tidak segera dibendung, katanya, keluarga berkenaan dikhuatiri akan gagal mengawal perbelanjaan harian, sekali gus mendatangkan kesan negatif kepada ekonomi untuk jangka masa panjang.

"Kini sudah terdapat banyak kes seperti anak-anak terpaksa berhenti daripada persekolahan semata-mata untuk membantu ibu bapa mencari wang.

"Bagi saya, antara cara terbaik untuk menangani masalah tersebut ialah dengan mengawal harga barang," katanya.

Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Dr. Firdaus Abdullah pula berpendapat Bajet 2012 dapat memberi lebih pengisian kepada rakyat terutamanya yang berpendapatan rendah.

"Saya percaya bajet itu dapat memberi lebih insentif kepada golongan berkenaan agar dapat mengimbangi pendapatan dengan kenaikan harga barang dan kos sara hidup yang semakin meningkat pada masa ini.

"Pelaksanaan itu diharap dapat memberi kesamaan dari segi taraf hidup bagi menjamin keselesaan dan kesejahteraan rakyat," katanya.

97 pelarian Myanmar kebuluran di laut

Posted:

97 pelarian Myanmar kebuluran di laut

97 pelarian Myanmar kebuluran di laut

Oleh NOOR HASLIZA NUSI
hasliza.nusi@kosmo.com.my


MOHD. HATTA (kanan) bertanyakan sesuatu kepada seorang pelarian warga Myanmar di Balik Pulau, Pulau Pinang semalam.


BALIK PULAU - Tindakan nekad 97 pelarian warga Myanmar untuk masuk ke negara ini secara haram selepas sembilan hari belayar dari Bangladesh tidak kesampaian apabila mereka ditahan polis di pesisiran pantai Pulau Betong di sini semalam.

Kesemua mereka yang berusia 19 hingga 30 tahun diberkas dalam satu operasi bersepadu polis kira-kira pukul 8 pagi dan ditemui dalam keadaan tidak bermaya serta kelaparan setelah lima hari terputus bekalan makanan.

Difahamkan, mereka terpaksa mengerah kudrat yang ada untuk berenang sejauh 300 meter menyeberangi Pulau Kendi ke Pulau Betong selepas ditinggalkan tekong bot kira-kira 500 meter dari pantai.

Sebahagian daripada mereka menggunakan jaket keselamatan untuk berenang ke pesisiran pantai manakala selebihnya hanya menggunakan tong beras, tong fiber dan plastik sebagai pelampung.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supritendan Mohd. Hatta Mohd. Zain berkata, tangkapan dilakukan berdasarkan maklumat orang awam yang curiga melihat sebuah bot berhampiran Pulau Betong pada pukul 3 pagi semalam.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan polis ke lokasi terbabit menemui sekumpulan lelaki basah kuyup dan menggigil kesejukan selain berada dalam keadaan lapar manakala selebihnya melarikan diri ke kawasan bukit berhampiran.

"Siasatan mendapati mereka adalah kumpulan pelarian Myanmar yang datang dari sebuah kem pelarian di Bangladesh sebelum belayar ke negara ini semata-mata mahu mencari pekerjaan.


SEBAHAGIAN daripada 97 orang pelarian warga Myanmar yang
kebuluran diberi makan selepas ditahan di Balik Pulau semalam.


"Mereka menaiki sebuah bot kayu dan membayar tekong dengan upah 10,000 paka (RM420) seorang dan diarah terjun ke laut kira-kira 500 meter dari pantai oleh tekong berkenaan," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Susulan daripada itu, Hatta memberitahu, pihaknya dengan kerjasama Maritim Malaysia (APMM) giat mengesan bot terbabit selain berjaya menahan 14 lagi warga Myanmar, tidak jauh dari pantai Pulau Betong.

Turut ditahan ialah dua lelaki Myanmar berusia 40-an yang bekerja di negeri ini yang mengaku mahu mengambil saudara mereka yang tiba dengan bot di pesisiran pantai terbabit.

Kedua-dua lelaki yang datang dari Nibong Tebal dan Sabak Bernam, Selangor itu kemudiannya turut dibawa bersama kesemua pelarian terbabit ke Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya untuk membantu siasatan.

Sementara itu, menurut seorang pelarian, Anowar Hussain, 23, mereka hanya minum air kosong bagi mengalas perut sejak lima hari lalu ketika belayar dari perairan Bangladesh ke sini.

Katanya, dia menghabiskan semua wang simpanan kira-kira RM500 untuk membayar tekong kerana teruja untuk mencari pekerjaan yang lebih baik di Malaysia setelah mendengar cerita rakan-rakan yang berhijrah ke sini.

Kekalkan sistem sekarang untuk Malaysia terus maju

Posted:

Kekalkan sistem sekarang untuk Malaysia terus maju

Kekalkan sistem sekarang untuk Malaysia terus maju

SIBU - Sistem perkongsian kuasa dan kekayaan yang diamalkan sekarang harus dikekalkan bagi membolehkan negara mencapai matlamat Wawasan 2020 menjadi negara maju, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (gambar).

Katanya, sistem itu terutamanya perkongsian kuasa yang dilaksanakan oleh Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj terbukti penyelesaian terbaik untuk negara pelbagai bangsa seperti Malaysia.

"Kita ada konsep pelbagai parti politik yang mewakili kaum berbeza bekerjasama di bawah satu gabungan. Konsep ini jelas berjaya sama ada ketika di bawah Perikatan dan kemudian gabungan dan kini Barisan Nasional.

"Mereka telah memenangi setiap pilihan raya dan membentuk kerajaan sama ada pada peringkat Persekutuan ataupun negeri," katanya di hadapan kira-kira 1,000 penduduk Sibu di sini semalam.

Beliau berkata, walaupun merupakan negara berbilang bangsa dengan pelbagai agama, Malaysia kini menjadi negara yang bersatu padu, stabil dan maju kerana sistem itu.

"Sudah tentu akan ada sedikit rasa tidak gembira kerana tidak ada seorang pun dari mana-mana bangsa atau kumpulan boleh mendapat semua yang difikir hak mereka.

"Ini adalah ciri-ciri masyarakat yang adil kepada semua. Kita melakukan perkara yang betul apabila hampir setiap orang berasa tidak gembira sedikit," katanya.

Beliau berkata, masyarakat harus terus menyedari yang mereka harus berkorban sedikit bagi mendapat sesuatu yang lebih bernilai.

"Masyarakat seharusnya tidak membuat tuntutan yang tidak dapat dipenuhi atau bertindak secara berkonfrontasi kerana ia hanya menimbulkan ketegangan dan pergaduhan yang akan memusnahkan kemajuan negara," katanya.

Mengenai perkongsian kekayaan, beliau berkata, menjadi dasar semua negeri berkongsi nikmat kemakmuran negara.

"Kekayaan juga datang daripada perniagaan besar yang berpusat di tempat seperti Kuala Lumpur di mana ada ramai orang kaya. Sistem kita membolehkan lagi kaya anda, lagi banyak anda dikenakan cukai," katanya. -Bernama

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved