Rabu, 28 September 2011

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Noktah Kembara Seorang Pendidik

Posted:

Noktah Kembara Seorang Pendidik

Noktah Kembara Seorang Pendidik

Oleh ALIF ABU BAKAR dan SITI AISHAH MOHAMMAD RAZI

TEMPOH 18 tahun mengabdikan diri mendidik anak-anak Orang Asli dirasakan begitu pantas berlalu tanpa disedari oleh lelaki yang membuang pandangannya ke luar jendela.

Entah apakah yang bersarang di kepala insan bernama Ahmad Mohd. Sa'at yang mesra disapa Haji Mat itu. Adakah memikirkan nasib anak-anak pedalaman tersebut selepas peninggalannya, atau mungkin mengenang kembali segala kenangan yang pernah wujud sepanjang khidmatnya di tanah itu?

Walau apapun, tekaan isi dewan pada hari itu tidak penting. Perkara utama saat itu ialah penghargaan yang sewajarnya diterima Haji Mat kerana sudi menabur bakti sebagai Guru Besar di Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Kuala Mu, Sungai Siput Utara, Perak.


BIARPUN kecemerlangan anak-anak Orang Asli ini tidak sehebat murid di bandar, namun mereka amat patuh pada kata-kata guru.


Biarpun kemudahan dan kelengkapan sekolah terpencil itu tidak boleh dibanggakan, ia tidak pernah melahirkan keluh-kesah dalam diri lelaki berusia 58 tahun tersebut.

Perjalanan meredah bekas laluan lori balak dengan motosikal yang memakan masa lebih tiga jam bagi menuju ke penempatan itu juga sudah menjadi asam garam hidupnya.

Bukan itu sahaja, untuk sampai ke sekolah yang menjadi rumah keduanya itu juga, dia perlu melewati Bukit Galok, Bukit Petai dan Bukit Cermin yang sinonim sebagai laluan berbahaya.

Mungkin kedengaran tidak masuk akal, tetapi itulah realiti yang didepani Haji Mat dan seluruh warga pendidik Kuala Mu yang terletak 73 kilometer (km) dari Sungai Siput Utara.

Setiap hari Ahad atau Isnin, Haji Mat akan turun ke Kuala Mu bagi menjalankan tugasnya di sekolah tersebut dan hanya keluar dari kampung itu pada hari Jumaat.

Meskipun rutin guru besar kesayangan anak tempatan Kuala Mu itu kedengaran begitu meletihkan, ia seakan-akan satu keseronokan buat dirinya yang jatuh cinta dengan keharmonian perkampungan serba daif itu.

"Rutin harian saya adalah mengajar pada waktu pagi manakala waktu petang, saya akan meluangkan masa bersama guru-guru dan penduduk kampung.

"Memandangkan di sini tiada talian telefon, waktu malam saya dan warga pendidik lain banyak dihabiskan dengan menonton televisyen.

"Tetapi mujur ada Internet yang memudahkan saya dan mereka yang lain berkomunikasi bersama ahli keluarga," ujar Haji Mat yang berkhidmat di Kuala Mu sejak tahun 1993.

Guru larikan diri


PERSARAAN Haji Mat menyedihkan semua penduduk berikutan kesefahaman dan keakraban mereka begitu utuh.


Pelbagai pengalaman ditimba Haji Mat sepanjang khidmatnya dan rata-ratanya merupakan kenangan indah yang membuatkannya bertambah sayang kepada Kuala Mu.

Namun, sudah tentu ada beberapa kisah pahit yang masih belum luput daripada ingatan, antaranya ialah berdepan kerenah guru-guru yang ditugaskan di kawasan tersebut.

Menurut Haji Mat, ada guru yang melarikan diri pada waktu tengah hari selepas melaporkan diri pada waktu pagi dan ada juga yang hanya mampu bertahan selama seminggu ataupun sebulan sahaja.

Namun baginya, bertugas di Kuala Mu tidak sukar sekiranya seseorang pendidik itu memiliki kekuatan fizikal dan mental sama rata. Paling penting, menurutnya, adalah semangat survival yang tinggi.

Murid-murid Orang Asli di sekolah itu sememangnya istimewa pada pandangan Haji Mat. Walaupun mereka tidak sehebat anak-anak di bandar, namun mereka tidak buta huruf malah amat mendengar kata dan mudah dibentuk.


HAJI MAT (duduk, tiga dari kiri) bergambar kenangan bersama tenaga pengajar di SK Pos Kuala Mu.


"Terdapat beberapa bekas pelajar yang telah berjaya seperti Busu Ngah yang kini bertugas sebagai juruhebah Asyik FM dan Adzlan Pandak yang telah berjaya menjadi seorang guru.

"Melihatkan kejayaan mereka membuatkan saya berasa lapang dan itulah perkara paling menggembirakan dalam hidup saya.

"Saya sayangkan Kuala Mu kerana masyarakat Asli Temiarnya baik dan ramah. Memang sedih untuk bersara kerana semangat guru-guru mendidik anak-anak di sini masih bersama saya," tutur Haji Mat berbaur sebak dalam ucapan perpisahannya.

Mencuri tumpuan dalam majlis tersebut adalah persembahan kumpulan koir. Dialunkan oleh pelajar-pelajar darjah empat hingga darjah enam sekolah itu, ternyata membuatkan suasana bertukar pilu.

Pelbagai riak emosi terpapar di dalam dewan tersebut saat itu, ada yang melinangkan air mata, ada yang menundukkan wajah dan ada juga yang sekadar menakung air mata tanpa mahu ia menitis ke pipi.

Sifat kebapaan


SIFAT kebapaan Haji Mat membuatkan anak-anak ini mudah mesra dengan guru besar kesayangan mereka itu.


Guru yang bertanggungjawab ke atas persembahan merentap emosi itu, Tarmizi Hassan, 28, menganggap Haji Mat sebagai seorang ketua yang benar-benar mendalami perasaan dan masalah kesemua warga pendidik Kuala Mu.

Mungkin normal bagi seorang ketua untuk membuat segala keputusan tanpa perbincangan anak buah, tetapi tidak bagi Haji Mat. Setiap yang dilakukannya adalah hasil perbincangan dan persefahaman setiap orang di bawahnya.

"Dia tidak pernah anggap diri sebagai seorang ketua tetapi lebih kepada seorang bapa yang prihatin terhadap anak-anaknya.

"Kami tidak merasai jurang guru besar dan guru biasa kerana dia meletakkan dirinya setaraf dengan orang lain," luah Tarmizi yang telah enam tahun menabur bakti di Kuala Mu.

Begitu juga dengan Guru Kanan Kokurikulum sekolah tersebut, Mohd. Aminudin Rohani, 30, yang menyifatkan Haji Mat sebagai sumber rujukan utama semua orang termasuklah penduduk setempat.

Ujar Aminudin, mengajar di pedalaman tidak mudah dan adakalanya terlintas juga rasa tidak selesa dan putus asa. Namun, insan yang bertanggungjawab membangkitkan semula semangat dirinya dan rakan-rakan lain adalah Haji Mat.


MUAFAKAT penduduk kampung menjayakan majlis tersebut mencerminkan kasih mereka terhadap Haji Mat yang sudah dianggap seperti keluarga.


"Dia tidak hanya memahami anak-anak buahnya, Haji Mat turut disegani penduduk-penduduk kampung ini kerana sifatnya yang ramah dan suka bergaul.

"Kami tidak terkejut, anak-anak di sini rapat dan tidak takut kepadanya disebabkan kerendahan hati serta sifat kebapaan yang dimilikinya," jelas Aminudin yang mula berkhidmat pada tahun 2002.

Fasih nahasa Temiar

Seorang lagi guru yang telah 11 tahun bersama-sama Haji Mat, Megat Asrul Megat Mohamed Yusof, 34, memberitahu, Haji Mat seorang individu yang tidak pernah marah dan sentiasa tersenyum.

Kelebihan berbahasa Temiar Haji Mat juga membuatkan dia begitu disegani penduduk kampung.

"Masyarakat di sini memang sensitif, jadi bukan sembarangan orang boleh merapati dan meyakinkan mereka.

"Itulah kehebatan Haji Mat kerana dia mampu bergaul mesra dengan penduduk di sini dan kelancarannya berbahasa tempatan banyak membantu kami menjalankan tugas sebagai guru.

"Memang sukar hendak mendapat seorang ketua mirip Haji Mat tetapi biarlah penggantinya seorang yang dapat memahami kehidupan dan perwatakan masyarakat tempat ini," tutur Guru Kanan Pentadbiran sekolah itu.

Kaitan basikal dan Malawi

Posted:

Kaitan basikal dan Malawi

Kaitan basikal dan Malawi


SEORANG pengayuh basikal teksi Malawi boleh mendapat upah sejumlah 1,00 kwacha (RM19.55) sehari.


BEBERAPA buah teksi basikal yang dilengkapi pad tempat duduk belakang sedang menunggu penumpang yang ingin menggunakan perkhidmatan perjalanan kos rendah tersebut.

Di bandar besar yang terletak di Malawi, sebuah negara kecil selatan benua Afrika itu, basikal adalah pengangkutan bertayar dua yang menjadi pesaing kepada kenderaan seperti kereta.

Di bandar Kaphatenga, kenderaan ringkas yang dilengkapi beberapa loceng dan wisel digunakan untuk mengangkut pelbagai jenis barang, daripada longgokan kayu api hinggalah kepada bungkusan ais.

Ia turut mampu menghantar orang sakit dengan memasang sebuah wagon khas pada bahagian belakang basikal.

"Industri pembuatan bot sangat susah. Oleh sebab itu, saya mengambil keputusan untuk menukar pekerjaan. Dalam sehari saya berjaya mengumpul sebanyak 1,000 kwacha (RM19.55).

"Saya sudah biasa dengan pekerjaan ini malah mampu membonceng orang yang berbadan besar. Kami tidak kisah selagi mendapat penumpang," kata Panjira Khombe, 28, yang telah menjalankan perkhidmatan teksi basikal selama dua tahun.

Malawi berbeza dengan negara-negara Afrika lain yang telah menggantikan basikal dengan deruman enjin motosikal.

Kebanyakan kawasan pedalaman dan bandar-bandar Malawi memiliki keanehan suasana retro dengan gaya hidup penduduknya kelihatan tidak tergesa-gesa dan basikal pula dapat dilihat di merata-rata tempat.

Murah


PENGAYUH basikal teksi di Malawi tidak pernah memilih penumpang, sama ada berbadan besar atau kecil.


Salah seorang kumpulan sukarelawan organisasi bukan kerajaan, Engineers Without Borders, Alex Hockin, hanya membayar lebih kurang satu dollar (RM3.15) kepada pemandu kabaza untuk membawanya melalui bandar Salima yang terletak di timur Malawi berdekatan tasik Malawi.

"Saya sangat sukakannya (basikal). Kamu hanya perlu naik teksi basikal untuk ke mana-mana sahaja," ujar pelajar sains alam sekitar yang berumur 21 tahun itu ketika membandingkan kesenangan dan kebolehsediaan sistem pengangkutan awam di negara asalnya, Kanada.

Bagaimanapun, berdasarkan kepada pengalaman, dia menggelak untuk menggunakan perkhidmatan teksi basikal yang tidak menyediakan tempat duduk pad penumpang.

"Ia mengejutkan. Terdapat antara 10 atau 20 buah basikal untuk setiap kereta yang berada di Salima. Tetapi logik juga apabila difikirkan. Ia berlaku kerana krisis minyak," ujarnya lagi.

Engineers Without Borders (Jurutera Tanpa Sempadan) merupakan badan sukarelawan yang bekerja untuk meningkat taraf hidup penduduk di pedalaman Afrika.

Malawi merupakan sebuah negara pertanian yang mempunyai kepadatan penduduk miskin seramai 16 juta orang. Namun, hanya 3,000 buah kenderaan didaftarkan dalam tempoh sebulan.

Penunggang motosikal sering berdepan dengan masalah ketiadaan minyak petrol dan kekurangan bekalan diesel. Akibatnya, ia sering mengganggu frekuensi perjalanan dan kos pengangkutan awam di negara itu yang bertahun-tahun berjuang dalam keadaan mundur.

Kemunculan teksi basikal bukan sahaja mampu mengurangkan kos pengangkutan malah ia mampu sampai ke setiap pelosok kampung. Ia juga sesuai digunakan orang miskin dan yang tinggal di kawasan pedalaman.

CareCar


WAGON khas diperlukan untuk membawa pesakit atau barang-barang yang besar.


Malawi merupakan negara yang dikelilingi daratan dengan populasi rakyat sebanyak 39 peratus dan hidup dengan pendapatan kurang satu dolar (RM3.17) sehari.

"Basikal sangat popular di sini kerana orang ramai tidak mampu memiliki motosikal, dan ditambah pula dengan kepadatan populasi penduduk yang tinggi," ujar lelaki dari Belanda, Peter Meijer yang membuka perniagaan basikal, Sakaramenta pada tahun 2009.

Syarikatnya yang berpusat di bandar ekonomi, Blantyre itu telah menghasilkan beberapa basikal pembawa muatan yang digunakan untuk tujuan pengangkutan dan jualan.

Tetapi produk yang paling popular adalah basikal ambulans yang dipanggil sebagai CareCar yang sudah terjual sebanyak 800 unit.

"Permintaan terhadap CareCar sangat tinggi. Ia digunakan untuk membawa pesakit dan wanita mengandung dari kawasan perkampungan ke hospital.

"Purata jarak antara kawasan luar bandar di Malawi ke pusat kesihatan adalah sejauh 13 kilometer dan sudah menjadi kebiasaan, orang akan berjalan kaki sepanjang jarak tersebut," ujar Meijer.

Tambahnya, sebanyak 80 peratus penduduk Malawi menggunakan perkhidmatan organisasi-organisasi bukan kerajaan sementara yang lain pula akan pergi ke syarikat-syarikat yang bertanggungjawab memegang polisi kebajikan sosial.


BASIKAL juga digunakan untuk mengangkut barang-barang keperluan harian seperti kayu api.


Dalam pada itu, syarikat pengedar, Farmers World, telah pun menjual antara 8,000 hingga 10,000 buah basikal import dari India dalam tempoh setahun pada harga antara 12,000 kwacha (RM235) hingga 15,000 kwacha (RM294) sebuah.

Basikal yang paling mendapat tempat dalam hati penduduk Malawi adalah basikal roda standard bersaiz 55 sentimeter dan mempunyai gear tunggal.

"Ia alat untuk membawa orang dan mengangkut barang, tiada cukai jalan dan tidak memerlukan ruang parkir yang luas," kata pengurus pemerolehan, Amin Edhi.

Dalam kesibukan laluan pasar di Nsundwe yang terletak di bahagian barat bandar pentadbiran, Lilongwe, di tengah-tengah Malawi, kelihatan mekanik basikal sedang sibuk membaiki kenderaan beroda yang dipenuhi kayu api.

"Orang ramai menggunakan basikal kerana mereka miskin," kata pemilik kedai Helbert Video Show, Felix Ziwande ketika ditemui di sebelah puluhan basikal yang ditempatkan di situ.

Ziwande mengenakan caj bayaran sebanyak 10 kwacha (RM0.20) untuk menonton filem berbahasa Cina dengan sarikata bahasa rasmi Malawi, Inggeris, yang ditayangkan pada sebuah televisyen kecil di kedai videonya.

Pada bahagian laluan dalam pasar pula, kelihatan penjual aiskrim, Banda Chimupuwe, 16, sedang mengusung basikal yang dilengkapi dengan kotak dingin beku berwarna merah.

"Ia mudah untuk saya menjalankan perniagaan, murah dan tidak memerlukan minyak petrol," ujarnya sambil menunjukkan basikal warna hijau miliknya yang dibeli pada harga 12,000 kwacha (RM391). - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved