Rabu, 28 September 2011

Kosmo Online - Infiniti


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Infiniti


Tonton drama Korea percuma tanpa batas

Posted:

Tonton drama Korea percuma tanpa batas

Tonton drama Korea percuma tanpa batas

Oleh ADLAN JAAFAR

DAHULU, dua orang remaja yang meminati drama Korea sering kali bergegas ke rumah. Tujuannya adalah untuk menonton drama Korea kesukaan mereka yang ke udara di kaca televisyen pada pukul 8.30 malam.

Manusia memang mampu merancang tetapi adakalanya perancangan itu tidak membuahkan hasil. Remaja tersebut, Atikah Jalil, 21, dan Nur Athirah Roslan, 19, kerap terlepas episod kerana terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.

Bagaimanapun, pada akhir tahun 2010, Athirah diperkenalkan kepada sebuah laman web yang menayangkan bahan hiburan dari Korea Selatan. Pada kelajuan yang sangat pantas, seleksi drama terkini tersebut dapat ditonton tanpa tersekat-sekat.

"Sejak itu, maaduu.com menjadi laman web kegemaran saya dan kini saya tidak lagi perlu kelam-kabut untuk pulang ke rumah," ujarnya kepada Kosmo!

Setiap kali menonton, Athirah akan menghabiskan masa secara purata tiga jam di hadapan komputer dan menyifatkan antaramuka (layout) maaduu.com sungguh mesra pelayar Internet.

Bagi Atikah pula, dia mampu menghabiskan satu tajuk drama bersiri yang mempunyai 16 episod dalam tempoh satu atau dua hari.

Dia turut sama berkongsi pendapat dengan Athirah bahawa maaduu.com sangat pantas dan boleh ditonton mengikut kesesuaian waktu pelayar.

"Paling penting, ia menyediakan sarikata dalam bahasa Melayu dan Inggeris. Berbanding laman web drama Korea lain, penonton perlu meneka sendiri jalan cerita," seloroh Atikah.

Tempoh 48 jam


DENNIS (kiri) dan Syed Yazrine sentiasa memastikan laman web www.maaduu.com dapat beroperasi dengan baik.


Keistimewaan yang terdapat pada laman web kendalian Play TV Asia Sdn. Bhd. itu adalah kepantasan drama iaitu disiarkan dalam tempoh 48 jam selepas tayangannya di televisyen Korea Selatan.

Jadi, maaduu.com adalah saluran yang pertama di Asia yang menyiarkan drama-drama terkini dari stesen televisyen Korea, Korea Broadcasting System (KBS) dan Munhwa Broadcasting Corporation (MBC).

Mengulas lanjut mengenai kelewatan yang 'cukup memuaskan' itu, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dennis Lee, 44, berkata, ia disebabkan oleh masa yang diperlukan oleh pihak maaduu.com memproses fail drama melalui proses pemampatan fail, menyediakan sarikata sehinggalah ia dapat disiarkan di laman web itu.

"Teknologi yang kami gunakan membolehkan sesebuah drama itu ditonton dengan cepat tanpa tempoh buffer seperti laman YouTube atau laman-laman video lain," katanya ketika ditemui di Bandar Utama, Selangor baru-baru ini.

Teknologi yang digelar Pure Streaming yang digunakan pengendali laman web tersebut membolehkan sesebuah video boleh ditonton dengan saiz paling kecil iaitu 300 kilobait per saat.

Dennis turut memberi jaminan kepada pengguna Internet jalur lebar 3G, bahawa mereka pasti tidak akan mengalami kesulitan menonton drama Korea di laman web tersebut.

"Kualiti gambar pula sama seperti penonton sedang menonton drama daripada cakera padat digital (DVD) dan ia juga boleh ditonton di televisyen jika mempunyai sambungan Antaramuka Multimedia Definisi Tinggi (HDMI)," terang Dennis.

Untuk menjadikan laman web maaduu.com lebih interaktif dan membolehkan pengunjung bersosial dengan penonton lain, ia dipautkan dengan laman sosial Facebook.

"Jadi, kepada penonton yang mempunyai akaun Facebok dan telah mengklik pada fanpage kami, mereka dapat berbual melalui ruangan komen sambil menonton," ujar Dennis.

Dalam laman fanpage Facebook, seramai 1.3 juta orang telah menekan butang Like dan angka tersebut dijangka terus meningkat.

Mudah


DRAMA Princess Man adalah salah satu pilihan produksi Korea yang boleh ditonton.


Bagi pengunjung baharu laman web maaduu.com, anda hanya perlu mendaftar sebagai pengunjung secara percuma dan boleh terus menonton drama pilihan.

Bagaimanapun, sebelum pengunjung dapat menonton pelakon Korea kesukaan masing-masing, sebuah video komersial perlu ditonton tanpa boleh dipercepatkan.

Terang Pengurus bersama maaduu.com, Syed Yazrine Shahab, 44, ia mempunyai tujuan yang sama dengan medium media lain iaitu memberi pendapatan kepada pengendali laman web.

Sehingga kini, para peminat hiburan Korea dapat menonton drama-drama yang disiarkan pada waktu perdana sehingga 2,000 jam dan jumlah tersebut akan terus meningkat.

Tajuk-tajuk drama yang disiarkan pula bermula pada tahun 2001 iaitu zaman orang ramai mula mengenali drama Korea seperti Winter Sonata dan Autumn In My Heart.

Setiap drama yang disiarkan tidak ada sebarang potongan atau kerja-kerja suntingan. Penonton juga dapat menonton terus-menerus sehingga episod tamat.

Ujar Yazrine, laman web tidak tertakluk dengan undang-undang penapisan Filem Negara atau Finas tetapi atas dasar tanggungjawab, pihaknya akan memastikan setiap drama yang ditayangkan mendapat kelulusan pihak penapisan Korea untuk tontonan keluarga.

Kepada semua penonton drama Korea, drama-drama yang disiarkan dalam laman web tersebut adalah percuma dan sah di sisi undang-undang. Penayangannya di Malaysia mendapat pengesahan pihak penyiaran Korea Selatan.

Dapat ilham

Ceritanya bermula apabila kedua-dua sahabat sejak daripada kecil, Yazrine dan Dennis, mengunjungi sebuah festival filem di Hong Kong tahun lalu yang turut menyediakan peluang pemasaran filem.

Di sana, mereka merapati agensi tersebut dengan membawa bersama sebuah idea iaitu menonton drama Korea secara dalam talian dengan percuma.

"Hujah kami ialah kebanyakan bahan hiburan dalam media baharu (Internet) adalah menyalahi undang-undang tetapi dengan idea yang kami bentangkan, ia akan mengurangkan muat turun haram dan sekali gus dapat mengumpulkan para peminat hiburan Korea," terang Yazrine yang berasal dari Klang.

Kini maaduu.com telah berjaya mengumpul penonton berdaftar sehingga lebih 700,000 orang dengan bilangan pendaftar paling tinggi dalam lingkungan umur 15 hingga 34 tahun.

"Pada bulan Jun lalu, laman web kami sudah boleh ditonton di Singapura dan banyak lagi perancangan akan dibuat seperti memperbanyakkan bahan hiburan dan mahu menembusi negara Asia Tenggara lain," tambah Yazrine.

Selain itu, pengendali maaduu.com kini dalam perancangan dengan pihak penerbit filem Korea, SJ Entertainment bagi membolehkan filem-filem mereka ditayangkan di laman web tersebut.

Rancangan bual bicara dan hiburan lain turut tersenarai dalam perancangan mereka untuk dijadikan antara bahan yang boleh dicapai di maaduu.com.

Didik masyarakat kepentingan paya bakau

Posted:

Didik masyarakat kepentingan paya bakau

Didik masyarakat kepentingan paya bakau

Oleh ADLAN JAAFAR


KAWASAN penanaman pokok bakau sebenarnya meliputi kawasan sehingga beratus-ratus meter ke tengah laut dari pantai.


TIDAK terasa letih kerana berseronok! Pastinya pengalaman tersebut dialami oleh seramai 60 orang kakitangan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) yang sanggup meredah lumpur dan selut di kawasan lapang paya bakau Pulau Che Mat Zain, Klang tanpa menghiraukan kesan kotor pada pakaian dan tangan mereka.

Memakai pakaian warna seragam iaitu merah, mereka ialah individu yang sanggup menyumbangkan tenaga untuk terlibat secara sukarela dalam program penanaman 600 batang pokok bakau di situ.

Perjalanan mereka bermula seawal pukul 8 pagi dari jeti Pulau Ketam sebelum sampai ke destinasi. Meskipun dilambung ombak selama lebih sejam, mereka sedikitpun tidak terasa resah lantaran semangat sukarelawan yang menebal.

Disertai semangat memelihara alam sekitar yang berkobar-kobar, mereka telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk ditugaskan di zon penanaman masing-masing.

Masa hadapan

Pada hari tersebut, salah seorang peserta yang terlibat, pengurus BIMB cawangan Banting, Yusof Basran, 42, telah berjaya menanam sebanyak 20 batang pokok. Jumlah yang sama turut ditanam oleh ahli kumpulannya yang lain.


Seramai 60 orang petugas BIMB pelbagai peringkat pengurusan berganding bahu menjalankan aktiviti sukarela menanam anak pokok bakau.


Walaupun mengetahui tumbesaran pokok bakau sangat perlahan dan tidak mungkin akan menampakkan hasil dalam tempoh terdekat tetapi Yusof tetap optimis.

"Pokok bakau mungkin akan membesar dalam tempoh lebih 10 tahun lagi. Namun, saya percaya ia adalah untuk kebaikan pada masa hadapan," kata lelaki yang berasal dari Sabak Bernam itu.

Ternyata, sesi taklimat yang diberikan mengenai kepentingan pokok bakau kepada alam sekitar menyedarkan kakitangan BIMB yang terlibat mengenai makna di sebalik usaha mereka itu.

"Pokok bakau mampu menjadi penghadang atau benteng kepada ombak besar dan tsunami. Kerja-kerja sukarela ini bukan sahaja bertujuan memelihara alam sekitar malah ia mampu menyelamatkan generasi akan datang daripada bencana alam," ulas Yusof lagi.

Selain terlibat dalam kerja sukarela di tempat dia mencari rezeki, Yusof turut aktif menyertai aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan tempat tinggalnya, Kampung Raja Uda, Pelabuhan Klang.

Mendidik sukarela

Sementara itu, Pengarah Urusan BIMB, Datuk Seri Zukri Samat berkata, aktiviti sukarela tersebut adalah untuk mendidik para pekerja mengenali flora dan fauna di hutan bakau.

"Kepentingan hutan paya bakau dalam menghalang hakisan tanah di kawasan pantai dapat diserapkan dalam kalangan kakitangan BIMB selain memberi peluang mereka merasai sendiri cara menanam pokok bakau," ujarnya sempena acara istimewa tersebut.

Aktiviti penanaman pokok bakau juga adalah sebagai antara cara untuk memulihara ekosistem paya bakau.

Program itu tidak akan berjaya tanpa mendapat kerjasama sepenuhnya dua badan iaitu Yayasan Anak Warisan Alam (YAWA) dan Jabatan Perhutanan Selangor.

Bercakap bagi pihak YAWA, pengurus operasinya, Norashikin Shaharudin, memeberitahu, tugas mereka adalah menjadi orang tengah antara BIMB dan Jabatan Perhutanan.

"Kami membantu Bank Islam mendapatkan benih pokok bakau. Pokok bakau yang digunakan ketika acara tersebut adalah daripada jenis api-api.

"Ketika hari penanaman pula, pihak kami memberi tunjuk ajar kepada sukarelawan Bank Islam cara-cara menanam pokok bakau," ujar Norashikin ringkas.

Sasar enam juta pokok


UNTUK ke Pulau Che Mat Zain, perjalanan bot selama sejam perlu ditempuhi.


Program seperti itu amat dialu-alukan oleh pihak jabatan perhutanan. Tambahan pula, ia selari dengan matlamat negara untuk menanam 26 juta batang pokok di seluruh Malaysia menjelang tahun 2014.

Menurut Penolong Pengarah Kanan Perhutanan Negeri (Penguat Kuasa Hutan), Jabatan Perhutanan Negeri Selangor, Mohd. Yussainy Mohd. Yusop, pihaknya menyasarkan untuk menanam sebanyak lima hingga enam juta batang pokok di negeri itu.

Pulau yang menjadi lokasi program penanaman pokok bakau oleh BIMB pula dipilih kerana kedudukannya yang jauh daripada tanah daratan dan terpisah oleh lautan.

"Menarik tentang program di Pulau Che Mat Zain itu, mereka sebenarnya menanam anak pokok di tengah laut. Jadi mereka perlu cepat menanam kesemua anak pokok sebelum air laut kembali pasang," terang Yussainy lagi.

Tambahnya, pulau tersebut tidak berpenghuni dan merupakan salah satu daripada 69 hutan simpan di Selangor manakala 13 daripadanya terletak di pulau-pulau perairan negeri perindustrian tersebut.

Pihak Jabatan Perhutanan Selangor amat menggalakkan individu-individu atau kumpulan yang berminat mengadakan aktiviti-aktiviti seperti itu.

Ia juga sebagai salah satu cara kepada orang ramai untuk merasai sendiri pengalaman menanam pokok bakau. Sesiapa yang ingin mendapatkan maklumat lanjut atau menyumbang ke arah usaha tersebut boleh menghubungi talian 03-5544 7507.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved