Isnin, 12 September 2011

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Masih berumah di atas laut

Posted:

Masih berumah di atas laut

Masih berumah di atas laut

Oleh IZYAN LIYANA MOHD. DARIF

DI bawah panas terik, kelihatan Darman Shah Nurshi, 20, yang berbaju-T rona merah sedang membersihkan perahu. Kekotoran yang melekat di dinding perahu digosok menggunakan berus sabut, manakala air yang bertakung di dalamnya dikaut dan dibuang ke laut.

Selesai membersihkan perahu, dia pantas meniti tiga anak tangga dan melabuhkan punggung di bawah pondok. Di situ, jejaka tersebut beralih pula pada proses menjahit pukat sambil dibantu oleh rakannya, Tarib Jahal, 55.

"Jika tidak turun ke laut, saya banyak menghabiskan masa membaiki perahu dan menjahit pukat. Setiap masa itu berharga dan tidak boleh dipersia-siakan begitu saja. Jika ke laut dalam keadaan perahu atau pukat yang rosak ia menjejaskan hasil tangkapan pula.

"Secara tak langsung, sikap sambil lewa ini turut merugikan hasil pendapatan keluarga. Saya tidak pernah malu menjadi nelayan pada usia muda. Meskipun rakan-rakan sebaya kebanyakannya mencari rezeki di bandar Sandakan atau berhijrah ke Kuala Lumpur tetapi, saya selesa dengan punca rezeki ini. Setidak-tidaknya saya mencari rezeki halal dan paling utama meneruskan pekerjaan warisan keluarga," tutur Darman Shah yang memulakan aktiviti menangkap ikan seawal pukul 5 pagi.

Inilah situasi biasa yang dapat dilihat di perkampungan Pulau Nunuyan Laut yang terletak 48 kilometer dari Sandakan, Sabah. Selain Darman Shah, rata-rata penduduk di kampung berkenaan merupakan nelayan tegar yang sanggup meredah laut dalam bagi menangkap ikan dan hidupan laut yang lain.

Lazimnya, ikan jenahak, ikan kerapu, ikan merah, ikan senangin, udang dan ketam antara hasil tangkapan yang menjanjikan pulangan lumayan memandangkan ia antara hidupan laut yang paling digemari oleh penduduk di Sandakan.

Keturunan Bajau Laut


PEMANDANGAN perkampungan nelayan di Pulau Nunuyan Laut yang terletak 48 km dari Sandakan, Sabah.


Menggali asal usul, perkampungan nelayan di Pulau Nunuyan Laut atau sering dipanggil Pulau Nunuyan sahaja, ketua kampungnya, Halid Abdullah, 75, tidak lokek bercerita. Ujar Halid, majoriti penduduk di situ berketurunan Bajau Laut atau Banjar.

Ironinya, etnik Bajau Laut diiktiraf sebagai penduduk asli di Sabah malah, mereka ialah salah satu etnik awal di kepulauan Borneo sejak berabad-abad lama serta sejak kewujudan bangsa Melayu di Nusantara.

"Dulu dan kini penempatan etnik Bajau terletak di tengah-tengah laut. Cuma yang membezakan, pada hari ini, kami tidak lagi tinggal di atas perahu besar dan berpindah randah berpandukan arah angin. Sebaliknya, kami membina rumah di atas air laut dengan menggunakan kayu bakau.

"Kami masih menggunakan perahu dan bot sebagai pengangkutan utama untuk ke bandar atau mencari rezeki di lautan. Bagi saya, fasa perubahan daripada rumah perahu ke rumah kayu yang didirikan di atas air menjanjikan nikmat kehidupan yang lebih baik. Paling penting, masa depan anak-anak terjamin kerana mereka berpeluang pergi ke sekolah," jelas Halid mengenai etnik Bajau Laut yang menghuni perkampungan nelayan di Pulau Nunuyan Laut yang dipercayai berusia 300 tahun.

Terang Halid yang fasih berbahasa Melayu, pekerjaan utama penduduk di sana ialah nelayan memandangkan kehidupan mereka dikelilingi dengan laut. Biasanya, nelayan akan ke Laut Sulu, selama tiga hari untuk menangkap ikan. Paling singkat pun, mereka akan keluar mencari rezeki seawal pukul 5 pagi dan pulang pada pukul 8 malam.

Meskipun hidup ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, tetapi Halid sentiasa berusaha meningkatkan taraf hidup warga Pulau Nunuyan Laut. Selain memastikan fasiliti asas seperti elektrik, air, sekolah dan dewan serbaguna, Halid selalu menyarankan agar hasil tangkapan di laut dijual di pasar-pasar di bandar untuk memperoleh pendapatan yang lebih tinggi.

Rindu pukulan ombak


ANAK-anak Pulau Nunuyan Laut memiliki kemahiran berenang dan tidak takut pada air laut sejak dilahirkan.


Dalam pada itu, bertentang mata bersama Earni Huran, 21, serba sedikit membuka kisah anak-anak muda di Pulau Nunuyan Laut. Jelas, anak bongsu daripada tujuh orang adik-beradik itu salah satu bakat yang diwarisi anak-anak kampung secara turun-temurun ialah berenang.

"Kami tidak memerlukan pendidikan formal untuk mahir berenang kerana tradisi ini bagaikan dimiliki sejak lahir. Malah, menetap di rumah yang dibina di atas air laut yang kebarangkalian dipukul ombak besar pada bila-bila masa saja, sedikitpun tidak melemahkan semangat kami.

"Malah, kehidupan saya tak lengkap sekiranya tidak mendengar bunyi ombak dan bermain di kaki air. Setiap pagi, sepasang mata saya ini dihidangkan dengan pemandangan laut yang begitu mendamaikan sehingga saya sukar meninggalkan kampung untuk bekerja di bandar," katanya yang gemar bermain bermain bola jaring dan futsal di gelanggang yang berhampiran surau.

Semangat kejiranan

Sementara itu, Samsainon Mohd. Nordin, 54, yang berniaga makanan secara kecil-kecilan di pekarangan rumahnya menyatakan, menetap di pulau terpencil yang hanya didiami 140 buah keluarga cukup mendamaikan. Jumlah penduduk yang kurang daripada 1,500 membuatkan hubungan persaudaraan dan semangat kejiranan sesama mereka begitu menebal.

"Kami mengenali antara satu sama lain dan saling bantu-membantu. Lazimnya, selesai berniaga atau melunaskan kerja-kerja rumah, kami akan berkumpul di depan rumah untuk bersantai bersama.

"Saya bersyukur dilahirkan dan dibesarkan di pulau ini meskipun pulau ini tidak terkenal seperti pulau-pulau lain di Sabah," jelas Samsainon yang mampu meraih pendapatan sebanyak RM70 setiap hari.

Menyentuh mengenai kemudahan asas dan pendidikan di Pulau Nunuyan, nenek kepada dua orang cucu itu menyatakan, sumber bekalan elektrik dan air bersih antara kemudahan asas yang paling didambakan oleh penduduk kampung.


JIKA tidak ke laut Darman (kiri) menghabiskan masa membaiki perahu dan menjahit pukat.


Bagi penduduk yang berkemampuan, mereka berpeluang menikmati sumber air bersih dengan memasang unit pam air khas di tepi atau belakang rumah. Namun kepada mereka yang hidup serba kekurangan, air di perigi menjadi sumber air bersih.

Hal yang sama juga mengenai sumber bekalan elektrik. Para penduduk hanya berpeluang menerima bekalan elektrik di antara pukul 9 pagi hingga pukul 10 malam. Ini disebabkan alat jana kuasa elektrik milik konsesi Sabah Elektrik yang berpangkalan di hujung kampung hanya mampu menghasilkan kuasa elektrik dalam jumlah yang kecil.

"Namun begitu, aspek pendidikan di sini amat dititikberatkan. Ketua kampung khususnya sentiasa memastikan anak-anak di kampung ini mendapat pendidikan yang sewajarnya. Dia enggan membiarkan anak-anak muda menjadi nelayan atau penjual ikan seperti orang tua mereka," terang Samsainon yang memberitahu di Pulau Nunuyan Laut hanya menempatkan sekolah rendah, manakala pelajar sekolah menengah perlu bersekolah di bandar Sandakan.

Menunggu bekalan elektrik

Berbicara mengenai bekalan elektrik di perkampungan nelayan berkenaan Hanihani Majais, 67, berkongsi cerita duka. Menetap seorang diri di teratak yang dibina di atas laut, secara tidak langsung mengundang kebimbangan memandangkan rumah yang baru didiami dalam tempoh setahun itu tidak mempunyai kemudahan elektrik.

Saban hari, ibu kepada seorang cahaya mata itu akan ditemani cahaya pelita dan menikmati kedinginan angin yang masuk melalui tingkap. Jika cuaca terlalu panas dan kering, wanita berkulit hitam manis itu terpaksa menyejukkan diri di luar rumah ataupun berteduh seketika di bawah rimbunan pohon.

"Kadangkala teringin juga mempunyai kipas angin dan lampu kalimantang di rumah tetapi, saya tak mampu kerana kos pemasangan tiang elektrik amat tinggi. Lagipun saya tidak bekerja dan hanya bergantung pada kiriman wang anak setiap bulan.

Muzik untuk lupakan bom

Posted:

Muzik untuk lupakan bom

Muzik untuk lupakan bom


DARI KIRI: Shahzore Bhatty, Yusuf Ramay, Zain Peerzada, Isa Najam, Daud Ramay dan Misbah Uddin merupakan band Takatak yang membawa aliran muzik moden bagi membantu mengubah aspek sosial di Pakistan.


BERLATARBELAKANGKAN bom dan peluru militan, anak muda kaya Pakistan beralih kepada irama muzik moden untuk membantu membawa perubahan sosial kepada negara mereka yang bermasalah.

"Saya suka apabila anda memasuki tempat itu, anda benar-benar berubah. Ia tidak seperti Pakistan dan pasti bukan Pakistan yang anda lihat di media," kata DJ Faisal Big pada satu malam yang hangat di sebuah kilang bata. Lokasi itu adalah ihsan London's Ministry of Sound.

Acara tersebut bernilai RM298 untuk satu malam merupakan jumlah yang besar bagi sebuah negara miskin, namun revolusi mini tersebut telah merebak jauh melangkaui pintu kilang bata itu.

Para penganjur telah memujuk kelab malam London yang terkenal untuk mengiktirafnya sebagai tempat tarian muzik dan menyambut ulang tahun ke-20 kelabnya tahun ini. Malah, seorang DJ dari London dihantar untuk mengetuai kelab untuk satu malam sahaja.

Senario muzik belia di negeri Islam konservatif, ditambah dengan serangan berani mati Taliban dan Al-Qaeda merupakan pembukaan laluan kepada pengaruh baharu yang menawarkan cara melepaskan kemarahan dan ruang mengekspresikan pandangan politik.

Kebudayaan di Lahore merupakan pentas utama untuk anak-anak muda mencari muzik moden bagi merehatkan diri daripada belenggu militan.

Berhampiran dengan pusat dakwah untuk cendekiawan Islam dan estet bekas Perdana Menteri, Nawaz Sharif, ramai anak muda menghabiskan malam Sabtu menari di rumah-rumah ladang dan kelab-kelab.

"Ini adalah Pakistan, Pakistan saya, Pakistan yang sudah berubah. Tiada bom, tiada keganasan, masyarakat kami sudah berubah," kata Tahir Ali yang asyik menari di acara anjuran London's Ministry of Sound di jalan Raiwind.


AKTIVITI menari dan menyanyi antara bentuk hiburan yang menjadi pilihan generasi muda di Pakistan bagi merehatkan diri daripada belenggu militan.


"Anda akan lihat, suatu hari nanti seluruh Pakistan akan berubah. Kami akan mengubah negara kami dan membawa revolusi di sini yang akan menghapuskan ekstremisme," kata Zoobia yang menari bersama sepupunya Umair sehingga awal pagi.

Dalam pada itu, di bandar lain atmosferanya sangat berbeza tetapi ia bukan sebahagian daripada muzik tradisional Pakistan.

Di sebuah bandar contoh, seorang penghuni di kawasan kejiranan berumur 70 tahun yang merupakan pakar bantuan Amerika telah diculik sambil senjata diacukan kepadanya di rumahnya minggu lalu.

Disebabkan perkara itu, anak-anak muda berkumpul menghilangkan kekecewaan mereka dengan mendengar muzik heavy metal.

Ia bukanlah satu revolusi popular. Mereka ialah anak-anak lelaki dan perempuan daripada keluarga berada di Pakistan, belajar di sekolah swasta Inggeris yang mahal dan melakukan persembahan di antara satu sama lain di auditorium sekolah.

"Heavy metal adalah satu cara untuk meluahkan rasa marah tentang apa yang terjadi kepada negara," kata Zain, seorang pemain gitar dalam kumpulan Takatak yang semakin popular.

Kumpulan tersebut mendapat nama daripada bunyi pisau mencincang kemaluan kambing.

Peminat kumpulan muzik heavy metal tersebut percaya bahawa drum dan muzik bukan sahaja meringankan rasa kecewa malah, dapat membantu orang lain tampil bersuara.


GELAGAT salah seorang anak muda Pakistan yang menari sewaktu festival muzik elektronik yang berlangsung di Lahore.


"Kami berdepan dengan keganasan. Kami ada bom. Kami tiada pendidikan dan mempunyai pengebom berani mati. Di sini juga ada Taliban dan kerajaan. Takkan kami mahu berhibur mendengar lagu Beatles di zon perang?" kata ahli-ahli kumpulan yang saling menyampuk antara satu sama lain.

Penganjur gig, Younas Chowdhry menganggarkan terdapat lebih 100 kumpulan muzik di Lahore, Karachi dan Islamabad yang merupakan tiga bandar utama.

Kumpulan-kumpulan muzik itu mengadakan perjumpaan dan beraksi secara privasi tanpa orang awam mengetahui apa yang berlaku di sebalik langsir dan ruang bawah tanah.

"Mereka mahukan masyarakat lebih terbuka, mereka mahukan revolusi dan mengubah imej negara daripada sebuah negara pengganas kepada negara moden dan mereka menyampaikan mesej tersebut melalui muzik," kata Chowdhry.

Bagi orang awam, muzik tersebut tidak ubah seperti bunyi bising tetapi, anak-anak muda dapat menangkap mesej yang disampaikan.

Sebuah lagi kumpulan muzik, Laal yang bermaksud merah turut menganjurkan konsert bagi mengumpulkan orang ramai untuk mengadakan perjumpaan awam.

Penyanyi utamanya, Taimur Rahman menggandingkan syair klasikal dengan gaya kontemporari dan berjaya membangkitkan semangat masyarakat setempat bagi membebaskan negara daripada cengkaman pengganas.

Kini, karyanya lebih kepada politik, mempersendakan korupsi yang berlaku dalam politik dan kegagalan Pakistan membanteras keganasan atau mengesan Osama Laden yang ditembak oleh pasukan khas Amerika Syarikat pada 2 Mei lalu.

Namun demikian, ahli-ahli akademik lebih berhati-hati apabila menyentuh mengenai kuasa elit kecil untuk mengubah masyarakat yang kadar celik hurufnya 57 peratus sahaja.

"Ia mungkin tidak boleh menjadi penawar yang berkesan kepada ekstremisme tetapi ia merupakan satu langkah pertama ke arah membina semula Pakistan yang toleran," kata Tariq Azman yang mengajar pengajian Pakistan di Quaid-i-Azam University, Islamabad. - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved