Isnin, 12 September 2011

Kosmo Online - Infiniti


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Infiniti


Menjana minda jurutera muda

Posted:

Menjana minda jurutera muda

Menjana minda jurutera muda

Oleh LILY YEAN
rencana@kosmo.com.my

PERALATAN elektronik dan alat-alat tulis pada mulanya bertaburan di atas lantai. Beberapa kumpulan pelajar tekun menyiapkan tugasan mereka dalam tempoh masa beberapa jam yang diberikan.

Ada yang tersenyum dan ada pula yang mengerutkan muka. Masing-masing berusaha dan berharap untuk mencapai kemenangan yang diidamkan dalam projek tersebut.

Begitulah keadaan di dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Kajang Utama, Selangor (SMKKU) yang dipenuhi seramai 189 orang pelajar hujung Julai lalu.

Semuanya berusaha menunjukkan bakat dalam reka cipta robotik sempena Hari Inovasi dan Rekacipta Asas Robotik untuk menarik perhatian guru-guru dan para juri yang bakal menilai hasil mereka.

Walaupun ada dalam kalangan mereka yang terbantut dalam proses penyiapan projek itu, namun keriangan dapat dilihat di raut wajah mereka.

Menurut wakil kumpulan pemenang pertama tahun lalu, Sheikh Amir Usman Seikh Salim, 16, dia sanggup mengetepikan masa senggang untuk bersama keluarga demi menyertai pertandingan tersebut.

"Saya memang minat dalam bidang mekatronik dan robotik. Ibu bapa saya memberi kebebasan dan sokongan penuh dalam bidang yang saya minati selama ini.

"Oleh sebab itu, saya perlu mencuba sedaya-upaya untuk mencapai keputusan yang terbaik untuk membuktikan minat saya ini," katanya dengan semangat berkobar-kobar.

Begitu juga dengan wakil kumpulan pemenang kedua tahun lalu, Wan Muhammad Imran Mohammad Kahiri, 15, yang berharap dengan sokongan ibu bapanya, dia mampu melangkah lebih jauh.

Dalam pertandingan tersebut, dia yang meminati permainan kereta Tamiya mendapat idea melalui permainan kesayangannya dan yakin akan menang dalam pertandingan tersebut.


BINAAN asas robotik yang menggabungkan pelbagai komponen kecil.


Lain pula cerita Fatimah Bazilah Nazari, 15, yang menyertai pertandingan tersebut untuk kepuasan diri.

Kata wakil kumpulan pemenang ketiga tahun lalu itu, sama ada menang atau kalah, perasaan akan cukup puas setiap kali melihat hasil reka cipta berjaya disiapkan untuk bertanding.

Selain itu, dia turut mengakui banyak ilmu dapat dipelajari dari pertandingan tersebut.

"Tahun lepas, kami hanya berupaya menghasilkan sebuah kereta yang biasa sahaja. Tahun ini, dengan pengalaman dan ilmu yang diperolehi dari tahun lepas, kami berupaya menghasilkan kereta robot bertemakan Domo," ujarnya yang jelas kelihatan gembira.

Malah, peningkatan kemahirannya dalam pertandingan tersebut telah menambah keyakinan dan semangatnya untuk mencapai cita-cita menjadi jurutera elektronik suatu hari nanti.

Pendedahan

Program yang berlangsung kali kedua itu merupakan hasil kerjasama antara Universiti Kuala Lumpur Malaysia France Institute (UniKL MFI) dengan SMKKU.

Menurut Pensyarah Jabatan Perindustrian Automasi Mekatronik dan Robotik (UniKL MFI), Rostam Salleh, pertandingan itu bertujuan untuk memberi pendedahan awal kepada pelajar sekolah mengenai asas mekatronik dan robotik serta memupuk minat mereka dalam bidang tersebut.

Katanya, para pelajar dapat mempelajari dan memahami bidang mekatronik dan robotik secara lebih mendalam melalui program seperti itu.


PROJEK ini memerlukan daya ketelitian yang tinggi.


"Pada masa sama, ia memberi ruang kepada para pelajar untuk memilih kerjaya mereka sekiranya mereka betul-betul berminat dalam bidang robotik," ujarnya.

Rostam yang cenderung dalam bidang tersebut menawarkan diri untuk membantu para pelajar dengan memberi nasihat dan panduan dalam proses penyiapan projek mereka.

Selain itu, beliau turut memberi ceramah dan bengkel mengenai mekatronik dan robotik sebelum pertandingan tersebut berlangsung.

"Ini bertujuan untuk memastikan mereka memahami tentang mekatronik dan robotik agar projek yang dihasilkan akan berjaya," jelasnya.

Nilai tambah

Menurut Pengetua SMKKU, Hidayah Mokhtar, pertandingan yang diadakan khusus untuk pelajar-pelajar Kelas Rancangan Khas (KRK) merupakan satu nilai tambah kerana berpeluang untuk menghasilkan inovasi baharu.

"Di samping itu, para pelajar juga diberi peluang untuk meneroka bidang yang berkaitan dengan kejuruteraan mekatronik dan robotik," ujarnya.

Melalui pertandingan tersebut, beliau turut berharap pelajar SMKKU akan berjaya dalam bidang reka cipta robotik dan berupaya menyertai pertandingan-pertandingan yang akan berlangsung pada peringkat daerah, negeri serta kebangsaan.

Peserta pada Hari Inovasi dan Rekacipta Asas Robotik yang dibahagikan kepada 19 kumpulan yang terdiri daripada 10 orang pelajar antara tingkatan satu hingga tingkatan lima.

Penyelaras Kelas Rancangan Khas SMKKU, Arpah Abu Chik berkata, tujuan menggabungkan pelajar dari pelbagai tingkatan adalah untuk memastikan semangat berpasukan dapat diwujudkan dalam kalangan pelajar iaitu pelajar senior akan membantu dan membimbing pelajar yang baharu.

"Kami akan memberi idea kepada para pelajar dan mereka akan melaksanakan idea yang kami berikan, yang penting sekali mereka harus melaksanakan tugas tersebut bersama," katanya.

Tambahnya, idea tersebut telah diberikan seminggu lebih awal supaya para pelajar mempunyai masa untuk mengagihkan tugasan masing-masing.

"Secara langsung, proses tersebut akan memupuk semangat berpasukan dan mewujudkan nilai murni seperti saling bantu-membantu dalam kalangan pelajar yang mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut," ujar Arpah.

WL 700 bukan sekadar televisyen

Posted:

WL 700 bukan sekadar televisyen

WL 700 bukan sekadar televisyen


REKAAN futuristik hasil sentuhan pereka terkenal Jacob Jensen.


KINI televisyen bukan sekadar sumber hiburan dalam kediaman semata-mata. Jika memilih jenis rekaan yang berseni, televisyen turut mencerminkan keperibadian dan tahap prestij pemiliknya.

Syarikat pengeluar barangan elektrik, Toshiba Sales and Services Sdn. Bhd. baru-baru ini melancarkan sebuah televisyen, siri WL700 dengan rekaan yang futuristik hasil kerjasama dengan Jacob Jensen Design.

Jacob Jensen ialah pereka bentuk industri dari Denmark yang mendapat perhatian dunia melalui ilham rekaannya. Dia pernah mengadakan pertunjukan seni secara solo di New York pada tahun 1978.

Rekaannya, bingkai televisyen siri WL700 sangat unik sehingga ia tidak kelihatan dengan sekali pandang, manakala sistem sokongannya berwarna perak menyebabkan bingkai televisyen itu nampak seakan-akan terapung.

Bahan buatan WL700 pada kemasan yang diperbuat daripada logam berkilau memberikan impak gaya dan keanggunan kepada siri model televisyen tersebut.

Dilengkapi teknologi tiga dimensi, kepuasan menonton filem-filem keluaran Hollywood mampu dicapai dengan kualiti gambar yang terbaik.

Resolusi tiga dimensi yang tinggi memberikan paparan imej berdefinisi tinggi sepenuhnya (Full HD), perincian yang jelas dalam gambar dan objek imej yang tajam.

Perisian Intelligent 3D pula memastikan kualiti gambar yang terhasil sentiasa terbaik sama ada ketika menonton filem tiga dimensi atau dua dimensi.

Menggunakan teknologi pemprosesan Meta Brain Premium memastikan siri televisyen WL 700 memberikan imej yang sangat jelas dengan pemeringkatan imej semula jadi, tekstur dan warna.

Bagi sistem bunyi pula, Audyssey EQ membaiki masalah akustik seperti pantulan dan serapan bunyi pada dinding sekali gus memberikan bunyi yang jelas.

10 aplikasi iPad untuk pendidik

Posted:

10 aplikasi iPad untuk pendidik

10 aplikasi iPad untuk pendidik

Oleh KHAIRUL ANUAR ABDUL RAHMAN
rencana@kosmo.com.my


GURU boleh meningkatkan minat pelajar menerusi pendidikan interaktif melalui iPad.


ARUS pembangunan teknologi digital kini memasuki sepenuhnya era tablet. Sebut sahaja tablet, hampir segenap lapisan masyarakat dari warga emas hingga kanak-kanak yang belum memasuki alam persekolahan mampu memberikan definisi sebuah tablet.

Apple iPad merupakan salah satu jenama yang sering menjadi topik perbualan hangat kerana reka bentuk unik selain pilihan ribuan aplikasi menyokong peranti itu.

IPad bukan lagi suatu gajet mewah yang hanya mampu digunakan oleh golongan atasan. Harganya yang berpatutan bermula dari RM1,499 menjadikan tablet itu pilihan mereka yang inginkan pengalaman pengkomputeran bergerak tanpa memerlukan sebuah komputer riba.

Operasi ringkas dan memerlukan masa yang singkat untuk dihidupkan (boot time) berbanding komputer biasa, menjadikannya popular dalam tempoh yang begitu pantas.

Golongan pendidik, tidak kira guru sekolah mahupun pensyarah di institusi pendidikan tinggi turut tidak terlepas daripada tempias teknologi itu. Salah satu cabaran sebagai seorang pendidik ialah merangka pelan pembelajaran. Berita baiknya, terdapat cabang teknologi yang boleh membantu seseorang menjadi seorang pendidik efektif.

Aplikasi iPad yang boleh membantu para pendidik menguruskan masa dan juga mencatatkan idea pelan pembelajaran adalah seperti :-

1. Bento: Aplikasi ini memudahkan pendidik memantau pelan pembelajaran, janji temu dan nota tentang pelajar.

2. Tetikus mudah alih: Dapat mengubah iPad anda menjadi alat kawalan jauh untuk kegunaan di dalam kelas.

3. Dropbox: Membolehkan rekod berkaitan pelajaran disimpan di komputer dan diselaraskan dengan ruang simpanan di Internet. Fail yang disimpan kemudiannya boleh diakses dari sekolah mahupun dari komputer di rumah.

4. Quick Voice Recorder: Rekod aktiviti pembelajaran di dalam kelas dan analisis butirannya bagi tujuan pemeriksaan untuk menambah baik kualiti pembelajaran.

5. Idea Boards: Jangan biarkan idea yang timbul secara spontan hilang begitu sahaja. Rekodkan idea dan jadikannya deraf untuk mengatur kelas. Anda juga boleh meletakkan peringatan pada nota-nota yang telah disimpan.

6. World Atlas HD: Aplikasi percuma yang ditawarkan oleh National Geographic ini membolehkan anda menggunakan peta bagi tujuan rujukan. Peta ini boleh dikaitkan dengan elemen menarik agak pelajar tidak mudah jemu ketika sesi pembelajaran.

7. BBC News: Gunakan sumber berita terkini sebagai salah satu sumber material bagi menyediakan bahan mengajar berkaitan peristiwa semasa, sejarah dan pelbagai lagi.

8. The Skeletal System Pro: Guru biologi atau pensyarah kursus perubatan boleh memanfaatkan aplikasi ini untuk memudahkan pemahaman pelajar mengenai sistem rangka, otot, pencernaan dan juga anatomi yang lain.

9. GoSkyWatch Planetarium: Aplikasi astronomi ini merupakan alat bantuan mengajar terbaik bagi subjek berkaitan dengan astronomi. Ia boleh digunakan ketika mencerap bintang bagi mengukuhkan lagi pemahaman para pelajar.

10. Cram: Pendidik boleh menggunakan aplikasi ini untuk menyediakan kuiz dan juga ujian untuk pelajar. Guru juga boleh mengakses bank simpanan kuiz dan ujian secara dalam talian bagi memudahkan lagi penilaian tahap pemahaman terhadap satu-satu subjek yang diajar.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved