Sabtu, 3 September 2011

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Pasar Chow Kit macam-macam ada

Posted:

Pasar Chow Kit macam-macam ada

Pasar Chow Kit macam-macam ada

Oleh KUMARA SABAPHATY
kumara.sabapatty@kosmo.com.my

DI sebalik kemunculan pasar raya berhawa dingin seperti Tesco dan Giant, bandar raya Kuala Lumpur masih memiliki beberapa pasar basah tradisional seperti Pasar Pudu dan Pasar Keramat.

Namun, hanya ada satu pasar yang dianggap sebagai dapur Kuala Lumpur kerana kepelbagaian barangan dan sejarahnya iaitu Pasar Chow Kit. Penjaja, pengusaha restoran, suri rumah, orang biasa mahupun individu bergelar Tan Sri dan kerabat diraja pernah singgah di pasar ini.

'Ha meh tengok ikan bang', 'Ayam… ayammm…', 'Haa kak, sayur kak….', dan 'ya bos… buah bos…'. Hingar-bingar dan riuh-rendah suara peniaga untuk menarik pelanggan itu adalah sesuatu yang unik di sini.

Suasana di lorong sempit Jalan Raja Alang dan Jalan Raja Bot sekitar pukul 6 petang pula lebih menarik.

Berpuluh-puluh lori tiga tan bergilir-gilir memasuki kedua-dua lorong berkenaan untuk memunggah dan menurunkan barangan segar seperti daging dan sayur-sayuran.

"Tepi tepi, sayur sayur sayur," teriak beberapa pekerja yang menolak laju troli yang digunakan untuk menghantar barangan segar tadi kepada peniaga sayur kampung.

Pasar Chow Kit dikatakan menawarkan pilihan sayur kampung yang paling lengkap di bandar raya ini.

Sebutkan saja nama daun turi, daun selon, serai, pandan, ubi kayu, daun limau dan ulam-ulaman, semuanya ada di sini dan ia segar-segar. Ubi kentang kecil Indonesia dan petai dari kawasan pedalaman Thailand turut boleh ditemui.


PENIAGA dan orang ramai memilih sayur kampung dari lori yang baru tiba.


Bekas lombong

Pasar Chow Kit yang didirikan di atas tanah bekas lombong ini dibahagikan kepada beberapa segmen iaitu bahagian basah yang menjual ikan, ayam dan daging, buah-buahan, sayur kampung, makanan dan pakaian.

Terdapat kira-kira 1,400 peniaga di sini, sebahagian besar adalah peniaga turun-temurun yang mencari rezeki di tapak niaga yang sama sejak sebelum merdeka lagi.

Salah seorang peniaga lama di situ ialah Soieb Yusof, 64. "Saya mengikut ibu bapa saya menjual daun turi dan ubi kayu sejak pasar ini dibina pada 56 tahun lalu," kenang beliau yang pada masa itu baru berumur lapan tahun.

Menurut Soieb, peniaga dulu-dulu sekadar menyusun beberapa keping papan di atas tanah dan melapiknya dengan surat khabar lama sebelum meletakkan barang-barang di atasnya.

"Kami duduk di bawah dan menjual ikan, sayur dan buah-buahan. Pada masa itu peniaga terdiri daripada pelbagai kaum iaitu Melayu, Cina dan India.

"Tetapi sekarang anak peniaga India khususnya tidak mewarisi perniagaan ibu bapa mereka," katanya.

Pasar Chow Kit mencapai kemuncak populariti pada tahun 1970-an dengan pelanggan datang dari negeri sejauh Perak dan Negeri Sembilan. Ada juga yang datang dari Pulau Pinang, imbau Soieb.

Pada pendapat beliau, keistimewaan pasar berkenaan terletak pada kepelbagaian barangan basah dan kering yang dijual. Malah, tambah beliau, ada barang yang sukar dilihat di tempat lain tetapi boleh diperoleh di sini.

"40 tahun lalu semua barangan sangat murah. Bayangkan segelas teh, kopi serta roti canai hanya berharga 15 sen hingga 30 sen.

Murah

"Kita dengan mudah boleh melihat kelibat pekerja mamak menjerit sambil membawa gelas-gelas yang diisi kopi dan teh serta bungkusan roti canai yang siap diisi dengan lauk kari ikan. Ia sungguh sedap.

"Selain itu, sayur-sayuran tidak ditimbang sebaliknya dijual 10 sen seikat, ikan 50 sen selonggok manakala daging RM2.40 sekilogram.

"Waktu itu suasana pasar sangat meriah. Kami sesama peniaga saling bersaing menawarkan sayur, ikan dan daging sampaikan ada peniaga yang membaling ikan dan sayur antara satu sama lain kerana tidak berpuas hati.

"Namun, insiden seperti itu tidak berlarutan. Mereka akan kembali berniaga seperti biasa keesokan harinya kerana sedar di sinilah sumber rezeki mereka," cerita Soieb sambil menambah, pada tahun 1970-an juga, lantai pasar diratakan dengan simen konkrit manakala meja niaga turut disediakan.

Seorang peniaga sayur-sayuran, Abdul Majid Ahmad, 61, menyebut konsert penyanyi Sudirman sebagai detik yang paling diingatinya sepanjang berniaga di situ.


PUCUK ubi dan nangka muda mudah diperoleh di sini.


Sudirman yang polular dengan lagu Chow Kit Road mengadakan konsert percuma itu pada 15 April 1986. Konsert jalanan itu berjaya menarik kehadiran 100,000 penonton.

"Jalan Chow Kit termasuk pasar ini pada era Sudirman merupakan gelanggang marhaen. Chow Kit menjadi simbol orang-orang kerdil yang juga peminat Sudirman," kata beliau.

Majid juga tidak dapat melupakan peristiwa gerai beliau dikunjungi Tan Sri P. Ramlee.

"Saya seperti biasa menyusun sayur-sayuran di gerai apabila tiba-tiba P. Ramlee datang berdiri di hadapan saya diiringi dua pengawal peribadinya. Dia membeli daun turi dan ulam-ulaman.

"Seniman itu tersenyum lebar sambil bertanya khabar dan beredar dari situ selepas membeli barang yang dikehendaki," ujarnya.

Lebih tua daripada negara Malaysia, Pasar Chow Kit seperti juga Kuala Lumpur telah melalui masa gemilang dan suram. Semasa dibuka pada tahun 1955 oleh Sultan Selangor, pasar itu dan kawasan sekitarnya merupakan pusat beli-belah dan hiburan utama di ibu negara.

Empat puluh tahun kemudian ia terkenal kerana aktiviti liarnya berbanding fungsinya sebagai sebuah pasar basah.

Jika anda berada di tengah-tengah Pasar Chow Kit, berlaga bahu dengan warga asing terutamanya rakyat Indonesia merupakan perkara biasa. Lagu-lagu dangdut yang berkumandang dari kedai kaset adakalanya membuatkan pengunjung berasa berjalan di kota Jakarta.

Suatu ketika Chow Kit khususnya Lorong Haji Taib dicemari dengan kehadiran ramai penagih dadah. Pelacur dan pondan pula terang-terangan tawar-menawar dengan pelanggan.

"Kami tidak lagi menikmati bisnes seperti zaman ibu saya pada tahun 1970-an dan 1980-an sejak warga asing menjaja di sini. Barang yang sentiasa habis dijual setiap hari kini terpaksa disimpan dalam peti ais kerana pelanggan kurang.

"Ini ditambah dengan keadaan pasar yang tiada sebarang penambahbaikan sehingga sekarang, namun kami menerima khabar berita bahawa pasar ini akan dimodenkan seperti Pasar Seni.

"Kami mengalu-alukannya cuma mahu ia bermanfaat kepada peniaga tempatan, bukannya warga asing," kata peniaga ikan, Tung Chee Meng, 30.

Hantu stesen bawah tanah

Posted:

Hantu stesen bawah tanah

Hantu stesen bawah tanah


STESEN Underground London merupakan stesen kereta api bawah tanah tertua di dunia.


JIKA berkunjung ke London, tidak lengkap kunjungan tersebut sekiranya tidak menaiki kereta api bawah tanah yang dikenali sebagai London Underground atau The Tube.

Menarik tentang The Underground di kota dengan populasi 7.7 penduduk ini, sistem laluan kereta api bawah tanah tersebut merupakan jaringan tertua dan tersibuk di dunia.

Mempunyai 268 stesen di sepanjang 400 kilometer landasan, ia merupakan sistem metro terpanjang di dunia.

Tidak hairanlah, pada tahun 2007 sahaja, lebih satu bilion perjalanan penumpang direkodkan.

Mula dibuka pada tahun 1863, The Underground menyimpan banyak kisah misteri sepanjang 148 tahun ia beroperasi.

Aktiviti paranormal dikatakan berlaku hampir di setiap stesen sehingga ada stesen yang dikenali sebagai stesen berhantu seperti Hyde Park Corner berhampiran Taman Hyde, London.

Tanpa wajah

Seperti kebanyakan stesen bawah tanah lain, ramai pengguna pernah terserempak dengan jelmaan hantu di sini, terutamanya pekerja di stesen berkenaan.

"Kami pernah melihat bayangan hitam dan jelmaan roh di ruang penempahan tiket. Ia muncul secara tiba-tiba dan suasana ketika itu memang menyeramkan.


KEADAAN di dalam sebuah daripada koc kereta api bawah tanah di London.


"Pernah juga eskalator berfungsi sendiri sedangkan tidak ada sesiapa di kawasan tersebut," ujar pekerja Underground London, Sheila Parker. Dia mengakui ada beberapa pekerja yang pernah terserempak dengan entiti menakutkan tidak lagi datang bekerja di situ.

Di Stesen Beantree, lain pula ceritanya. Pada tahun 1992, seorang pekerja yang sedang bekerja sendirian di tingkat bawah mendengar pintu pejabatnya berdetar seperti ditiup angin kuat, sedangkan pintu tersebut mempunyai pemberat di bahagian atas dan akan tertutup secara automatik apabila dibuka.

Dengan perasaan gementar, dia naik ke tingkat atas untuk melihat apa yang berlaku dan mencari rakannya.

Namun, tiada sesiapa di tingkat atas. "Saya rasa seperti diperhatikan. Apabila saya menoleh ke belakang, saya melihat kelibat wanita berambut perang tanpa wajah berdiri di muka saya.

"Apabila saya bercerita dengan rakan-rakan sekerja, rupa-rupanya mereka juga pernah terserempak dengan wanita tanpa wajah itu," kata pekerja tersebut.

Hantu berambut perang yang ditemui di Beantree sebenarnya turut ditemui di stesen lain.

Menurut cerita seorang rakyat Malaysia yang pernah menuntut selama tujuh tahun di Kota London, dia pernah terserempak dengan jelmaan wanita berambut perang memakai gaun panjang pada waktu malam di stesen Underground London.

"Saya dan rakan pernah terserempak dengannya di platform Stesen Aldwych. Menurut cerita orang tempatan, jelmaan wanita tersebut sering dilihat sama ada oleh penumpang mahupun pekerja pembersih di stesen berkenaan. Namun, wanita ini berwajah cantik.


TIDAK semua orang berani untuk berada di dalam tren seorang diri pada waktu malam.


Bunuh diri

"Mereka percaya, itu adalah jelamaan roh pelakon teater Royal Strand. Sebelum ini, stesen ini adalah tempat pementasan teater," kata Mohd. Noor Yusuf, 32.

Stesen bawah tanah di jaringan Piccadilly Line, di antara Stesen Holborn dan Covent Garden ini bagaimanapun ditutup pada tahun 1994 dan kereta api hanya melintasinya.

Mohd. Noor menambah, tidak jauh dari situ, di antara Tottenham Court Road dan Holborn di jaringan Central Line, kelibat seorang lelaki bertopi tinggi dengan sebatang cerut dikatakan sering menghantui stesen berkenaan.

"Dengar cerita, kelibat lelaki itu mula dilihat sejak tahun 1950-an lagi. Kata orang, lelaki itu ialah William Terriss yang mati dibunuh di stesen tersebut pada tahun 1890-an," katanya.

Selain kelibat lelaki dan wanita, kisah misteri suara tangisan bayi di bekas Stesen Farringdon di Metropolitan Line juga sering diperkatakan.

"Suara tangisan menyayat hati itu biasanya kedengaran bergema di dinding terowong. Katanya ia milik seorang remaja penjual topi yang terbunuh di dalam terowong ini," kata Mohd. Noor yang pernah mendengar cerita bahawa ramai orang menjadikan terowong Underground London sebagai lokasi untuk membunuh diri.

Jelas Mohd. Noor, jika datang ke London, kalau menaiki kereta api bawah tanah dan terlihat platform gelap yang tiada manusia di dalamnya, itu merupakan bekas stesen yang telah ditutup dan dikenali sebagai stesen hantu.

"Sepanjang 400 kilometer landasan ini, ada lebih kurang 40 stesen hantu dan masing-masing ada cerita di sebaliknya.

"Sejauh mana benar cerita yang disampaikan, saya sendiri kurang pasti," ujarnya.

Kewujudan aktiviti paranormal yang aktif di kawasan stesen Underground London memang sudah lama disedari malah ia juga pernah didokumentarikan dalam The History Channel.

Namun atas fungsinya sebagai nadi pengangkutan utama di kota London, ramai yang tidak mahu terlalu memikirkannya. – SITI NOR AFZAN KASIMAN

Kisah srikandi pengawal kampung

Posted:

Kisah srikandi pengawal kampung

Kisah srikandi pengawal kampung

Oleh ADHAM SHADAN
adham.shadan@kosmo.com.my


SEMASA zaman mudanya, Azizah mengawal kampungnya dengan senapang di tangan.


HARI Kemerdekaan yang baru tiba menggamit memori dua wanita warga emas bekas anggota Home Guard di Kampung Manjor, Kuala Krai, Kelantan.

Sementara tugas sebagai suri rumah tidak diabaikan, mereka masih sempat mengangkat senapang Lee enfield .303 rifle demi mempertahankan kesejahteraan kampung daripada ancaman komunis.

Home Guard atau pengawal kampung ialah pasukan di peringkat kampung yang ditubuhkan kerajaanbagi mengekang pengaruh komunis semasa era Darurat yang bermula dari tahun 1948 hingga 1960. Ia melibatkan pengawal lelaki dan wanita.

Daripada 12 orang anggota Home Guard wanita di Kampung Manjor, hanya dua orang kini yang masihhidup iaitu Azizah Musa, 71, dan Sofiah Yusof, 70.

Azizah memberitahu, Home Guard wanita biasanya melakukan kawalan dan rondaan di sekitar kampung pada waktusiang khususnya semasa kaumlelaki pergi bekerja atau menunaikan solat Jumaat di masjid.Home Guard lelaki selalunya berkawal pada waktu malam.

"Tetapi adakalanya kami perlu berjaga malam juga terutamanya jikasuami tiada di rumah disebabkanada urusan.

"Saya teringat bagaimana saya berkawal sampai tertidur dengan senapang di atas tangga depan rumah.

"Sebagai ahli Home Guard kita kena pantas bertindak. Itu yang kadang-kadang perlu bersedia dengan senapang di depan rumah," kata Azizah kepada Jurnal.


SOFIAH mahu generasi muda kini menghargai kemerdekaan negara yang dicapai dengan susah payah orang terdahulu.


Azizah turut menunjukkan kad anggota Home Guard yang masih disimpannya yang bertarikh 29 Jun 1953.

Jelas Azizah, Home Guard wanita di kampungnya dipilih oleh penghulu kampung dalam kalangan isteri kepada Home Guard lelaki.

"Semasa mula-mula diberikan senapang untuk dicuba, saya tiada sedikit pun rasa takut, bahkanbersemangatuntuk menyelamatkan kampung daripada komunis," katanya.

Sementara itu, Sofiah berkata, Home Guard wanita di kampungnya dilatih menggunakan senapang oleh pihak polis di Padang Tembak, Kota Bharu.

"Setiap kali mendengar tembakan menghampiri kampung, sayaamat cemas. Saya akan segera mengambil senapang manakaladua orang anak saya masuk ke dalam lubang persembunyian di dalam rumah.

"Tetapi komunis tidak pernah memasuki kampung kami. Saya pernah mendengar cerita, komunis yang ingin menyerah diri lebih rela menyerah di kampung lain kerana takut dengan Home Guard wanita di kampung ini," ujarnya yang mendakwa Kampung Manjor sahaja yang mempunyai Home Guard wanita di Malaysia.

Sofiah sempat berpesan kepada generasi muda hari ini agar mensyukuri keamanan yang diperoleh kini.

"Hargailah keamanan dan kesenangan yang dinikmati sekarang kerana betapa sukarnya hidup dalam belenggu ketakutan dan kesusahan sebelum negara mencapai kemerdekaan," ujarnya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved