Isnin, 29 Ogos 2011

Kosmo Online - Urban


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Urban


Iklan Petronas dan Identiti Malaysia

Posted:

Iklan Petronas dan Identiti Malaysia

Iklan Petronas dan Identiti Malaysia

Oleh NIZHA PERIASWAMY
nizha.periswamy@kosmo.com.my

TANGAN membawa banyak makna kepada kehidupan manusia. Dengan tangan, kita menempuh segala kepayahan dan memerah tenaga untuk melakukan kerja demi keluarga tersayang. Bahkan, manusia berdoa untuk kesejahteraan sejagat menggunakan tangan. Dengan tangan jugalah seorang doktor menyelamatkan nyawa insan lain.

Tangan menjadi petunjuk dalam pelbagai perkara. Ia membantu mengesan tulisan Braille seorang lelaki buta, membelai dan membantu mengurangkan tekanan insan tersayang, memberi salam, tanda kasih sayang dan hormat-menghormati.

Jika selama ini kita percaya hanya mata menjadi elemen penghubung kerohanian manusia, tetapi Petronas mengambil inisiatif yang berbeza apabila menggunakan kedua-dua belah tangan untuk mengekspresikan rasa cinta, bahagia, kebaikan, semuanya mengenai nilai-nilai yang menjadi identiti kita, identiti rakyat Malaysia.

Mempunyai reputasi tinggi dalam kalangan penerbit iklan televisyen pada musim perayaan, Petronas sejak tahun 1996 sentiasa tampil dengan iklan mengenai kemerdekaan yang menekankan nilai-nilai murni dan keharmonian sejagat.

Selain menyentuh hati dan perasaan, iklan syarikat petroleum itu sentiasa mempunyai mesej yang penting untuk dihayati oleh setiap rakyat Malaysia tidak kira usia dan bangsa.

Sama seperti iklan-iklan terdahulu, iklan pada tahun ini menerapkan pendekatan untuk melihat persamaan dan nilai-nilai perpaduan, keharmonian dan persefahaman dalam kalangan masyarakat. Bertepatan dengan matlamat itu, maka Petronas mengangkat Meraikan Nilai-Nilai Yang Kami Percayai sebagai tema iklan.

Hanya menggunakan tangan, syarikat korporat itu membawa variasi imej yang hanya memberi penekanan kepada anggota tubuh tersebut untuk menterjemah nilai-nilai murni. Sebahagian daripadanya adalah simbol perpaduan, permuafakatan, kesejahteraan dan semangat kekitaan yang kukuh.


TELITI. Iklan raya Petronas berupaya menyentuh perasaan rakyat Malaysia yang menontonnya.


Pelbagai makna

Pembikinan iklan itu secara keseluruhannya melibatkan lebih 10 pelakon yang melakonkan sebanyak lapan babak di lima buah lokasi yang berbeza.

Pengarah Seni Kanan, Ng Choo Seong dan Penyusun Iklan dari Leo Burnett Malaysia dan Arc Worldwide Malaysia, Lim Wee Ling yang menjadi tunjang kepada iklan itu berpendapat, tangan membawa pelbagai makna kepada seseorang.

"Apabila semua imej tangan digabung, ia memberikan definisi jelas tentang siapa diri kita sebenarnya.

"Sewaktu sibuk memikirkan konsep iklan dwi perayaan, kami sedar tangan menepati subjek sambutan hari raya dan kemerdekaan. Apabila kita melihat tangan, kita mendapat pelbagai jawapan. Kemaafan pada hari raya, perpaduan dan kebebasan bagi kemerdekaan," ujar Wee Ling.

Mengambil masa dua bulan untuk menyiapkan iklan itu, Choo Seong berkata, pihaknya tidak berdepan sebarang masalah mahupun ketegangan.

"Apa yang kami perlu lakukan ialah menghasilkan satu penyampaian yang bermakna menggunakan tangan untuk menjustifikasi tangan rakyat Malaysia di mana-mana. Apabila ia dirungkai, kerja pengarahan menjadi mudah," tambahnya.

Choo Seong memberitahu terdapat lima lokasi strategik yang dipilih. Lokasi itu ialah di Ulu Yam, Selangor untuk segmen petani, sekolah St. John di Kuala Lumpur untuk segmen cikgu menulis, di Carcosa Sri Negara, Kuala Lumpur untuk dua segmen tentang kanak-kanak dan mengelap peluh bapa, sebuah studio fotografi untuk segmen pelukis, orang cacat penglihatan dan pembuat tembikar serta Pusat Perubatan Prince Court untuk segmen di teater pembedahan.

Mesej 90 saat Petronas

Posted:

Mesej 90 saat Petronas

Mesej 90 saat Petronas

BARANGKALI tidak keterlaluan untuk dikatakan iklan Petronas merupakan iklan yang sentiasa dinanti-nantikan oleh rakyat Malaysia saban tahun.

Ramai menganggap iklan-iklan Petronas yang pernah ditayang di kaca televisyen sebelum ini bukan sahaja bersifat kreatif malah berjaya menyampaikan maksud yang sangat bermakna kepada orang ramai.

Justeru, pada tahun ini, Petronas menghidangkan satu lagi sentuhan baharunya dan lebih unik.

Iklan pada kali ini menggabungkan dua elemen perayaan iaitu sambutan Aidilfitri dan tema kemerdekaan.

Pengurus Besar Kanan Bahagian Perhubungan Korporat Kumpulan Petronas, Mohammad Medan Abdullah berkata, berikutan dwi sambutan perayaan Aidilfitri dan kemerdekaan tahun ini, pihaknya berdepan dengan sedikit kerumitan dalam menghasilkan iklan televisyen.

"Kandungannya perlu ada hubung kait dan bersesuaian antara kedua-dua sambutan.

"Ketika menyambut hari raya, kita meraikan nilai-nilai kemaafan, sementara pada hari merdeka pula kita menyanjung perpaduan dan kebebasan," katanya menjelaskan proses penghasilan iklan Petronas yang berdurasi 90 saat itu.

Rentetan daripada itu, Mohammad Medan berkata, pihaknya sepakat memilih konsep menggunakan tangan yang sebenarnya menjadi jawapan kepada nilai-nilai yang membentuk diri kita.

Lambang perwatakan

"Kami percaya tangan boleh menjadi lambang perwatakan dan peribadi seseorang. Misalnya, tangan-tangan yang bersalaman adalah simbol ampun dan maaf.

"Tangan-tangan yang penuh dengan parut dan calar menunjukkan kerja keras dan kekuatan. Pendek kata, tangan adalah simbol ideal kepada keperibadian kita," ujarnya.

Tambah beliau, iklan itu bukan lagi mengenai kepentingan menyampaikan nasihat atau memberi pengajaran kepada penonton. Iklan pada tahun ini adalah satu bentuk penghargaan kepada rakyat Malaysia.

Mengenai kos pembikinan, beliau enggan mendedahkannya.

"Kami beranggapan kos bukan penentu kejayaan sesuatu iklan," tegasnya.

Iklan Petronas yang mengangkat tema Meraikan Nilai-Nilai Yang Kami Percaya akan ke udara bermula 25 Ogos hingga 16 September 2011 di semua saluran televisyen utama negara.

Untuk menyuntik kemeriahan, Petronas turut menganjurkan pertandingan dalam rangkaian sosial Facebook bermula 23 Ogos hingga 12 September 2011 ini.

Beberapa selebriti akan mengunjungi pusat beli-belah dan akan berada di jalan-jalan terpilih di sekitar negara untuk menemuramah rakyat Malaysia.

Beberapa soalan akan diajukan. Antara soalan yang akan ditanya ialah apa yang mereka suka tentang Malaysia dan apa yang akan mereka lakukan jika memiliki RM5,000.

Aksi-aksi spontan akan direkod dan ditayang dalam rangkaian YouTube serta laman Facebook di mana peminat perlu klik like laman Facebook Petronas untuk membenarkan mereka menonton, memberi respons dan mengundi penyertaan.

Lima video yang dipilih sebagai pemenang akan membawa pulang RM10,000. Sebahagian wang itu akan akan didermakan untuk tujuan murni.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved