Isnin, 22 Ogos 2011

Kosmo Online - Urban


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Urban


Hidup terkapai-kapai di jalanan

Posted:

Hidup terkapai-kapai di jalanan

Hidup terkapai-kapai di jalanan

Oleh MAZLINA ABDUL MAJID

SEUSAI bersahur pada Rabu lalu, penulis singgah seketika di kawasan kompleks beli-belah Kota Raya di tengah ibu kota. Kunjungan penulis bukan bertujuan untuk bersuka ria. Sebaliknya, ingin melihat sejauh mana jujurnya kata-kata seorang gelandangan yang memberitahu lokasi tidurnya terletak di pintu sebuah tandas.

Mata penulis kemudiannya melilau pada sudut-sudut tertentu di sekitar pusat beli-belah tersebut. Gelandangan-gelandangan dilihat tidur bergelimpangan di atas tanah dan berbumbungkan langit.

Tiada tilam empuk dan bantal. Mereka hanya menjadikan beg yang barangkali terisi pakaian sebagai bantal untuk mengalas kepala. Para gelandangan itu juga tidak kisah dengan debu-debu yang berterbangan yang memungkinkan mereka terkena jangkitan penyakit.

Bagaimanakah dengan perasaan malu? Tidakkah mereka malu kepada orang ramai yang lalu lalang di kawasan sekitar?

Ya, memang benar. Seperti pengakuan lelaki itu pada hari pertama kami bertemu, 'rumahnya' sememangnya di koridor tandas yang terletak di kawasan parkir berhadapan bangunan Cahaya Suria dan berhampiran Puduraya.


SEJAK awal petang, gelandangan-gelandangan di sekitar pusat beli-belah Kota Raya sudah siap berkumpul apabila dikhabarkan akan menerima bantuan makanan daripada Big Belly Brothers & Fairies Food.


Emosi sayu mula menyapa tatkala melihat dia yang hanya mahu disebut sebagai Adnan, masih memakai baju yang sama ketika kami mula-mula bertemu. Dia tidur berdengkur dan jelas dia nampak betul-betul letih.

Melihat keadaan tersebut, pelbagai persoalan timbul di fikiran. Adakah Adnan sudah makan? Adakah dia mendapat rawatan di klinik kala ditimpa sakit? Bilakah kali terakhir dia tersenyum dan ketawa?

Dia juga hanya menggunakan alas tidur yang diberikan oleh Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin semasa Program Pemberian Makanan Percuma Kepada Gelandangan Ibu Kota Sempena Ramadan oleh Big Belly Brothers & Fairies Food anjuran Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Wangsa Maju) baru-baru ini.

Kenderaan yang bertali arus ditambah dengan kicauan burung gagak tanpa henti pada Subuh yang bakal berlabuh itu, sedikitpun tidak mengganggu lena Adnan.

Lelaki separuh umur itu terus memeluk sebuah beg galas yang dijadikan bantal peluknya. Ada ketikanya, kedengaran dia terbatuk-batuk kecil.

Hiruk-pikuk kenderaan yang semakin menguasai ibu kota membuatkan penulis meninggalkan lokasi itu dengan perasaan yang pastinya sukar untuk dihuraikan.

Masih terngiang-ngiang kata-kata Adnan semasa Program Pemberian Makanan Percuma Kepada Gelandangan Ibu Kota Sempena Ramadan baru-baru ini.

"Ini kali kedua saya datang ke Kuala Lumpur kerana ada krisis famili dan anak-anak. Dulu saya bekerja kini tak lagi.

"Saya makan apa yang orang lain makan, saya tinggal di tepi tandas di sana, mungkin awak tak biasakan, tapi nak buat macam mana, ini sudah suratan," katanya yang pernah menjawat jawatan penting dalam pentadbiran sebuah negeri di utara Semenanjung.

Persiapan Aidilfitri


BAGAIMANAKAH masa depan kanak-kanak yang juga merupakan sebahagian daripada gelandangan kota ini?


Terlalu banyak persoalan sebenarnya yang ingin dilontarkan. Namun, demi menjaga hatinya yang sudah lama berkecamuk, hasrat itu dipendam.

Adnan ditanya bagaimanakah persiapan hari rayanya? Jawabnya dengan nada penuh kesedihan: "Ada rasa nak balik kampung, tapi rumah tu mesti dah kosong, mereka biarkan saya. Namun, jauh di sudut hati saya berharap pada hari yang mulia ini mereka akan mengingati saya."

Kisah kebanyakan gelandangan semuanya tentang kecelaruan dan kesedihan. Begitu juga dengan kisah seorang lelaki yang hanya mahu dikebali sebagai Ismail, yang berumur dalam lingkungan umur 40-an. Bekas anggota tentera itu juga tidak menyangka takdir hidupnya sebegitu rupa ketika menghampiri usia emas.

"Saya tidur di sebelah dia (Adnan), saya makan ikut orang, saya tak kerja sebab saya ada masalah kesihatan," akuinya.

Ismail berkata, dia rindukan keempat-empat orang anaknya. Namun secara tiba-tiba lelaki itu membentak sambil berkata: "Saya beri mereka belajar tinggi-tinggi, ini yang mereka balas pada saya."

Ditanya tentang Aidilfitri, Ismail berkata, Aidilfitri sudah tidak ada dalam kamus hidupnya sejak sekian lama.

"Kami tidak tahu hendak ke mana?" katanya menoktahkan perbualan.

Sementara itu, seorang lagi gelandangan yang dikenali sebagai Salman, 40-an, lebih banyak mendiamkan diri. Pada asalnya, dia enggan diwawancara dan terus memasuki baris panjang untuk mengambil makanan yang akan diedar.

Namun, hatinya cair apabila dipujuk. "Saya macam gelandangan lain juga tapi saya tidur bawah pokok, kalau hujan, saya lari berteduh di bawah bangunan, nak bekerja tapi tidak ada orang nak terima," ringkas jawapannya.


MEREKA sentiasa mengharapkan bantuan daripada masyarakat untuk meneruskan kehidupan.


Salman memberitahu, dia enggan terlalu memikirkan tentang hari raya kerana mahu menikmati juadah berpuasa yang lazat pun sukar baginya.

"Saya dah lama tak makan ketupat, rendang dan lemang, mungkin orang macam kami menunggu belas ihsan orang lain seperti hari ini," katanya yang biasanya akan meraikan Hari Raya Aidilfitri di Masjid Jamek yang berdekatan.

Setiausaha Big Belly Brothers & Fairies Food, Shahira Kartini Mohd. Sharif, 26, berkata, terdapat ribuan gelandangan yang senasib dengan Adnan, Ismail dan Salman.

Golongan miskin tegar

Beritahu Shahira Kartini, selain di kawasan kompleks beli-belah Kota Raya, gelandangan yang masih terkapai-kapai mencari rumah tetap untuk didiami itu juga kerap memilih lokasi di sekitar Kuala Lumpur seperti Jalan Tuanku Abdul Rahman, Masjid India, Jalan Pudu, di bawah jambatan dan juga di kaki-kaki lima bangunan sebagai tempat berteduh.

"Mereka merupakan golongan miskin tegar dan tak mampu menyewa tempat tinggal kerana pendapatan yang tak mencukupi.


Shahira


"Kebanyakannya hanya makan sehari sekali saja. Justeru kami ingin menghulurkan bantuan makanan kepada mereka," kata sukarelawan itu.

Seramai 200 orang yang kurang bernasib baik termasuk kanak-kanak menerima bantuan makanan, baju hujan dan alas tempat tidur pada majlis itu yang dianjurkan oleh Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia itu.

Program Big Belly Brothers and Fairies merupakan salah satu pemohon Dana Belia 1Malaysia melalui Pemuda Barisan Nasional (BN) dan 1MDB yang berjaya mendapat geran sebanyak RM30,000 bagi melaksanakan program pengagihan makanan tersebut.

Mereka adalah organisasi kebaikan dan merupakan kumpulan sukarelawan yang memberi bantuan agihan makanan kepada gelandangan. Keahlian mereka silih berganti.

"Pada masa akan datang, kita bercadang untuk menubuhkan rumah perlindungan untuk gelandangan di sekitara pusat beli-belah Kota Raya. Selain itu, kita juga bercadang memohon khidmat pelajar perubatan untuk memberi bantuan pemeriksaan kesihatan kepada mereka, saya harap impian kami akan jadi kenyataan," kata anak muda itu mengharap.

Belia disaran lontar idea kemasyarakatan

Posted:

Belia disaran lontar idea kemasyarakatan

Belia disaran lontar idea kemasyarakatan


KHAIRY (kiri) antara pemimpin yang prihatin dengan nasib malang gelandangan di ibu kota.


GOLONGAN belia sama ada melalui persatuan atau perseorangan disarankan supaya menyalurkan idea kreatif baharu agar dapat direalisasikan melalui bantuan Dana Belia 1Malaysia.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, Dana Belia 1Malaysia masih mempunyai kira-kira RM15 juta untuk diagihkan kepada mereka yang menampilkan idea kreatif untuk program kemasyarakatan.

"Kita masih menunggu idea kreatif daripada belia untuk membuat permohonan bagi menganjurkan aktiviti kemasyarakatan," katanya selepas merasmikan Program Big Belly Brothers and Fairies Food Handout baru-baru ini.

Ujar Khairy, program tersebut adalah salah satu contoh persatuan belia yang tiada kaitan parti politik yang telah bersama-sama dengan bantuan kerajaan melalui 1MDB dan Pemuda Barisan Nasional (BN) dalam melakukan kerja-kerja amal.

Pada malam tersebut, kira-kira 200 gelandangan menerima sumbangan makanan dan air minuman, baju hujan dan tikar tidur untuk warga kota Kuala Lumpur yang tidak bernasib baik dan tiada tempat tinggal.

"Jika program ini berjaya dan berkesan, maka Dana Belia 1Malaysia akan diberi lagi.

"Selepas ini lokasi-lokasi lain akan diberi perhatian seperti di Pudu, Petaling Street, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Masjid India yang merupakan lokasi tumpuan bagi mereka yang kurang bernasib baik," kata Khairy.

Penjaga postur ketika memandu

Posted:

Penjaga postur ketika memandu

Penjaga postur ketika memandu

Oleh HAMZAH ABDUL HAMID


PRODUK Dr. Backbone didatangkan dalam pek Basic, Economic, Standard dan Limited Edition.


TIADA suasana yang lebih menggembirakan pada musim perayaan selain daripada menyambut kepulangan insan-insan tersayang dengan selamat. Atas kegembiraan itu, ucapan terima kasih seharusnya diucapkan kepada individu yang bertanggungjawab memacu kenderaan secara berhemah.

Namun, berhemah sahaja tidak mencukupi sekiranya tidak diiringi beberapa faktor sokongan lain. Selain persediaan awal seperti pemeriksaan kenderaan, faktor kewaspadaan semasa memandu juga amat penting.

Maka, ramai yang menjaga waktu rehat atau tidur sebelum memulakan perjalanan jauh. Ada juga yang berharap pada upaya kafein dan glukosa yang terkandung dalam kopi atau minuman tenaga. Begitupun, ramai yang lupa pada keadaan postur tubuh yang ideal demi kelancaran peredaran darah.

"Sejak tahun 2007, produk sokongan tulang belakang Dr. Backbone telah diperkenalkan dan mendapat sambutan menggalakkan. Ia terbukti dapat membantu penggunanya mendapatkan postur yang lebih ideal ketika dalam keadaan duduk.

"Berdasarkan maklum balas yang kami terima daripada pengguna, beberapa penambahbaikan reka bentuk produk telah dibuat untuk memantapkan fungsinya," ujar Ketua Pegawai Eksekutif Million Board Sdn. Bhd., Hasnizar Ibrahim.

Dr. Backbone yang mengangkat ilham teknologi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) merupakan produk sokongan lumbar yang diperkemas dengan material berkualiti tinggi.

Produk yang turut disyorkan oleh Pakar Bedah Ortopedik, Dr. Mohd. Ismail Maulut itu menyokong keseimbangan kedudukan badan, bersifat ringan, tahan lasak dan mudah alih. Postur tubuh yang betul semasa menggunakan Dr. Backbone juga mampu melancarkan peredaran darah dan oksigen ke seluruh bahagian tubuh.

"Oleh itu, penggunanya dapat menghindari masalah sakit pinggang dan belakang, lesu dan mengantuk ketika memandu jauh. Selain di dalam kenderaan, ia juga boleh digunakan untuk sandaran pada kerusi pejabat, kereta atau di meja makan dan menawarkan beberapa manfaat ergonomik lain," ujarnya yang mengetengahkan pek baharu dengan pilihan fungsi, material dan harga berbeza.

Ciri baharu


DR. BACKBONE menjadi aksesori kereta terbaharu yang membawa kebaikan jangka panjang kepada pemandu.


Dr. Backbone Basic dan Economic didatangkan dengan material jaring kapas yang selesa untuk sandaran tubuh dan diperkuatkan rangka keluli, kemasan tepi polimer tahan lasak dan tali pengikat asas. Produk Standard pula menggunakan pelapik fiber dan lebih kuat dan mesra varian tekanan.

Sempena Hari Raya Aidilfitri, syarikat tersebut turut memperkenalkan pek Limited Edition yang mengandungi dua unit Dr. Backbone dengan ciri terbaharu. Didatangkan dalam pek bergaya pada harga RM250, produk kembar itu sesuai dijadikan hadiah seterusnya dipakai oleh pemandu dan penumpang di sebelah.

"Antara pembaharuan produk adalah tali pengikat yang lebih panjang dan boleh diketatkan dengan penggunaan gancu. Begitu juga dengan tali vertikal berserta penanda laras yang mengawal keanjalan lengkungan mengikut kesesuaian tubuh penggunanya," terang Hasnizar tentang produk yang didatangkan dengan jaminan pulangan wang dalam tempoh enam bulan.

Ciri baharu lain adalah tali tambahan untuk diikat pada penyandar kepala kerusi kereta. Tali tersebut disertai gancu pelaras untuk disesuaikan dengan kedudukan lengkung lumbar bagi pengguna yang berbeza ketinggian.

Lokasi jualan

Di Lembah Klang dan sekitarnya, produk ini boleh didapatkan di beberapa lokasi seperti pusat beli-belah Ampang Point, Tesco Ampang, Amcorp Mall, Pasar Seni (Kasturi Walk), pusat beli-belah IPC dan Hospital KPJ Damansara. Warga Kuantan pula boleh mendapatkannya di Pusat Rawatan Fisioterapi dan Hidroterapi Grand Wellness yang terletak di Jalan Gambang.

"Penghantaran menggunakan khidmat pos laju ke seluruh Malaysia juga boleh kami uruskan dengan caj tambahan sebanyak RM10 dikenakan. Penghantaran akan dibuat selama lima hari waktu bekerja.

"Saya juga mengalu-alukan sebarang pihak yang ingin menjana pendapatan dengan menjadi wakil pengedar produk ini," ujar Hasnizar yang optimis menyasarkan jualan Dr. Backbone sebanyak 100,000 unit sepanjang tahun 2011.

Bagi pengguna Lebuh Raya Utara-Selatan, Dr. Backbone mula dijual seminggu sebelum hari raya di Hentian Rawat dan Rehat Pagoh, Seremban, Sungai Buloh dan Tapah. Untuk maklumat lanjut dan urusan pembelian talian yang boleh dihubungi adalah 03-7948 5262, 016-305 5036, 017-237 0169 dan 012-685 4251.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved