Sabtu, 20 Ogos 2011

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Khazanah dasar laut

Posted:

Khazanah dasar laut

Khazanah dasar laut

Oleh SITI NOR AFZAN KASIMAN
afzan.kasiman@kosmo.com.my

RATUSAN tahun dahulu, ribuan kapal telah belayar merentasi Selat Melaka dan Laut China Selatan. Destinasi mereka adalah untuk mencari tanah baharu namun sebahagian besar daripadanya ingin berdagang dengan dunia luar.

Tidak hairanlah pada abad ke-15, perairan laut negara dipenuhi kapal yang membawa banyak barang dagangan. Sungguhpun begitu, tidak semuanya selamat sampai ke destinasi yang dituju.

Ada kapal yang karam di lautan sama ada disebabkan bocor terlanggar batu karang, dibedil dalam peperangan atau dipukul ribut.

Sejak dari zaman penjajahan Portugis, Belanda, British sehinggalah ke Jepun, semakin banyak kapal yang membawa pelbagai harta karam di perairan negara.

Pakar arkeologi yang juga bekas Ketua Pengarah Jabatan Muzium, Datuk Dr. Adi Taha pernah berkata, keadaan geografi dan sejarah perdagangan di Tanah Melayu menyebabkan ia memiliki banyak khazanah maritim berupa kapal karam dan harta karun.

"Bagaimanapun, ia bukanlah jongkong atau berlian sebaliknya pinggan mangkuk yang diperbuat daripada seramik, tembikar, senjata, wang syiling selain pelbagai barang dagangan pada zaman itu," katanya.

Gading gajah

Antara usaha terawal dalam kerja mencari kapal karam di dasar laut dilakukan sekitar penghujung 1970-an apabila Kerajaan Terengganu bersama Jabatan Muzium dan dibantu Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menemui bangkai kapal karam tentera Jepun berhampiran Chendering.

Kapal yang karam kerana terkena tembakan peluru berpandu itu tenggelam kira-kira 30 meter di dasar laut. Kerja penyelaman dijalankan dan lakaran bentuk kapal itu berjaya dihasilkan.

Sementara itu, antara penemuan terbesar dalam kerja mencari kapal karam di dasar laut dicatat pada 1980-an apabila bangkai kapal dagang Risdam ditemui di perairan Mersing, Johor.

Kapal dagang milik Syarikat Hindia Timur Belanda (VOC) seberat 520 tan itu dibina pada tahun 1713 dan didapati karam pada 1727 akibat kebocoran.

Khazanah harta kapal karam yang ditemui dalam kapal itu adalah 90 batang gading gajah, kira-kira 100 jongkong timah dan dua tembikar Thailand.


SUDAH terbenam di dasar laut untuk tempoh lama, sauh ini asalnya dipenuhi dengan teritip.


"Operasi menyelamat khazanah kapal karam atau salvaj telah dijalankan oleh H.C Besancon iaitu ahli Butch East Wreck Foundation.

"Mereka mendesak kerajaan Belanda supaya satu rundingan dilakukan dengan kerajaan Malaysia untuk melakukan salvaj namun tidak berjaya.

"Akibatnya, mereka melakukan salvaj secara haram.

"Atas nasihat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Singapura, laporan itu telah dihantar kepada Ketua Pengarah Jabatan Muzium dan Antikuiti, Jabatan Kastam dan Eksais serta Kerajaan Negeri Johor," kata Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan, Jabatan Muzium Negara, Samsol Sahar.

Tidak menolak tanggapan bahawa muatan kapal karam memiliki nilai komersial tinggi, bagi Jabatan Muzium, ia sangat berharga kepada negara, jelas Samsol.

Biarpun Risdam pernah diteroka pada tahun 1984, namun kerja-kerja sistematik mengikut kaedah arkeologi maritim hanya dimulakan pada tahun 1995 apabila Jabatan Muzium dan Antikuiti membuat kerja-kerja menyelamat khazanah terhadap kapal perang Belanda, Nassau di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Serpihan artifak yang ditemui oleh para nelayan ketika memukat ikan menjadi petanda ada kapal karam di situ.

Berbulan-bulan

Berkongsi pengalaman tentang bagaimana operasi salvaj dilakukan, pembantu muzium, Mohd. Suparman Mohd. Miskan berkata, ia tidak semudah kerja ekskavasi di daratan.

"Walaupun ada ratusan kapal yang karam di perairan negara, setakat ini Jabatan Muzium baru melakukan operasi salvaj ke atas 13 buah kapal dengan bantuan pakar dari syarikat swasta.

"Sebelum turun membuat kerja-kerja salvaj, banyak perkara yang perlu kami lakukan. Ini termasuk mengenal pasti lokasi kapal karam menggunakan pengimbas sisi sonar.

"Bukan mudah untuk menjumpai kapal karam kerana ia sudah ditimbusi pasir. Ada kapal tenggelam sehingga 63 meter di dasar laut.

"Keadaan seperti itu menyebabkan kami terpaksa mengambil masa sehingga berbulan-bulan sebelum dapat berjumpa dengan lokasi tepat," katanya yang mengangap batu dan kayu balak dapat mengelirukan sistem pencarian yang digunakannya.

"Apabila sampai ke lokasi tepat, kami akan memasang grid menggunakan tali dan besi bagi memudahkan skala pencarian dan kerja mendokumentasi.

"Selepas semuanya selesai, baru kami menyelam untuk mencari dan mengumpulkan artifak," katanya yang sudah lebih 10 tahun terlibat dalam operasi salvaj.

Ular

Selain menyelamat, artifak yang ditemui perlu didokumentasikan.


SETIAP artifak yang ditemui mempunyai kisah sejarah yang tersendiri.


"Seperti di darat, kami akan melukis penemuan di setiap tapak grid mengunakan pensel dan papan slip khas untuk mendapat gambaran lebih jelas tentang sejarah kapal tersebut," katanya.

Selain Suparman, Mohd. Edry Awang Gani yang juga pembantu muzium, turut terlibat dalam misi salvaj.

"Kami akan turun secara berkumpulan dan bergilir-gilir.

"Kami tidak boleh terlalu lama di dasar laut kerana tangki oksigen boleh bertahan di antara setengah jam hingga satu jam sahaja," katanya.

Di samping menyelam dan melukis, para penyelam akan memasukkan semua barang yang dijumpai ke dalam bakul sebelum ditarik ke atas.

Sampai saja tiba di atas, artifak yang kebanyakannya seramik dan porselin akan asingkan mengikut jenis sebelum dibersihkan.

"Ada artifak yang perlu direndam dengan air suling untuk membuang garam.

"Ada juga yang tidak boleh terdedah kepada persekitaran daratan dan terpaksa direndam untuk tempoh yang lama seperti hulu pedang dan sarung keris," katanya yang mengakui kerja salvaj telah mengubah persepsinya tentang apa yang mungkin ada di dasar laut.

"Di bawah sana memang gelap, bahkan boleh dikatakan sangat gelap sehinggakan ada kawan di sebelah pun kita tidak perasan.

"Pernah juga ada penyelam daripada syarikat swasta yang dipatuk ular laut. Kami juga terdedah dengan sengatan obor-obor.

"Namun, seronok juga bekerja di bangkai kapal yang telah menjadi tempat tinggal ribuan ikan dan batu karang," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Penjejak GPS Nadia

Posted:

Penjejak GPS Nadia

Penjejak GPS Nadia

Oleh KUMARA SABAPATTY
kumara.sabapatty@kosmo.com.my


NADIA berpendapat alat navigasi dan penjejak GPS memberi banyak kelebihan kepada pengguna.


NADIA Suhaili, 33, telah mengikuti perkembangan teknologi sistem kedudukan global (GPS) dengan penuh minat sejak di kampus universiti lagi.

Selepas tamat pengajian pada tahun 2000, beliau menyertai sebuah syarikat teknologi maklumat di Sarawak sebagai pengurus pusat panggilan.

Setelah puas menimba pengalaman, Nadia bersama seorang rakan kongsi membuka syarikat, Tech Innovasi Sdn. Bhd. dengan beliau sebagai Ketua Pegawai Operasinya. Fokus syarikat itu ialah menjual produk berasaskan GPS.

"Enam tahun lalu sudah banyak alat navigasi GPS dijual di pasaran. Alat itu memang canggih tetapi untuk menghasilkan produk yang sama bukanlah satu keputusan bijak. Kami hanya akan berjaya jika dapat mencipta produk yang lebih hebat," kenang beliau.

Selama beberapa tahun, Tech Innovasi membangunkan produk penjejak satelit sendiri, dinamakan QuantumTrac sebelum boleh menjualnya.

Kenderaan

"Memang banyak alat GPS yang ada di pasaran tetapi fungsinya hanya untuk menjejak lokasi yang ingin dituju.

"Sebaliknya kurang alat yang boleh mengesan pergerakan kenderaan khususnya kenderaan komersial dan ia boleh dipantau dari komputer di rumah atau pejabat.

"Malah, ia juga boleh digunakan untuk mengesan kenderaan yang hilang," katanya.


SATU unit QuantumTrac berharga RM1,200. Pelanggan juga dikenakan yuran perkhidmatan bermula dari RM60 sebulan.


Menurut Nadia, QuantumTrac versi terkini juga mampu memantau tahap penggunaan minyak, kelajuan serta tingkah laku pemandu.

Jika kenderaan tersebut dipandu di luar laluan yang ditetap, pemilik atau syarikat terbabit akan menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) yang memaklumkan perkara itu secara serta-merta untuk tindakan lanjut.

QuantumTrac yang mendapat pengiktirafan Insitut Penyelidikan Piawaian dan Perindustrian Malaysia (SIRIM) telah dilanggan oleh syarikat seperti pengeluar air berkarbonat, Permanis, dan francais Mynews.com.

Tambah Nadia, dengan menggunakan GPS, sesebuah syarikat pengangkutan boleh merancang perjalanan dengan lebih efektif.

"Pemandu yang sebelum ini kerap berhenti rehat mungkin akan mengubah sikap itu apabila mengetahui tindak-tanduk mereka dipantau.

"Syarikat Mynews.com yang selalu membuat penghantaran buku dan surat khabar contohnya, tidak akan berhenti di tempat yang tidak ditetapkan" ujar Nadia.

Alat penjejak kenderaan itu juga penting dipasang pada kenderaan untuk mengelak kejadian samun atau kenderaan dilarikan.

Ini kerana alat itu memiliki sistem yang dipanggil immobilizer yang boleh mematikan enjin dan menghalang penjenayah daripada menghidupkan semula enjin kenderaan yang dilarikan itu.

"Pernah sekali sebuah lori dilaporkan hilang di Kuala lumpur dan kami dapat menjejak lokasi lori itu di Perak.

"Malangnya lori tersebut tiada di situ kerana rupa-rupanya alat itu telah ditanggalkan dari kenderaan itu oleh penjenayah," kata Nadia sambil memberitahu keretanya mempunyai alat navigasi GPS kerana beliau takut tersesat jalan semasa memandu di bandar raya Kuala Lumpur.

Menurut Nadia, rangkaian jalan raya baru yang sentiasa dinaik taraf menyebabkan orang ramai menghadapi kesukaran untuk mengingati jalan ke sesebuah lokasi dan oleh itu navigasi GPS begitu banyak membantu di samping membolehkan seseorang membuat perjalanan yang terancang.

Internet

Nadia berpendapat teknologi GPS bukan hanya berguna dalam menjejak kenderaan yang hilang malah beliau meramalkan ia akan digunakan secara meluas untuk mengesan kedudukan manusia dan haiwan pada masa akan datang.


PERGERAKAN kenderaan boleh dipantau menerusi laman khas QuantumTrac.


Baru-baru ini, Jabatan Hidupan Liar Sabah (SWD) dan Pusat Lapangan Danau Girang (DGFC) meletakkan tag satelit pada buaya air masin di Kinabatangan, sebagai usaha memantau pergerakannya.

Ia bagi memastikan kelangsungan hidup haiwan itu berikutan perubahan landskap habitatnya akibat kegiatan perladangan.

Usaha meletakkan tag pada buaya jantan sepanjang empat meter yang diberi nama Girang itu merupakan inisiatif pertama seumpama itu di Borneo, dan juga mungkin yang pertama di Asia Tenggara.

Dengan kejadian penculikan yang sering dilaporkan akhbar mutakhir ini, Nadia berkata, teknologi satelit khususnya yang dipasang pada telefon pintar dapat membantu mengesan mangsa.

"Di New Zealand, ada pesakit Alzheimer yang dipakaikan jam tangan satelit. Jadi jika mereka bersiar-siar dan terlupa jalan untuk pulang ke rumah, kedudukan mereka dapat dikesan oleh ahli keluarga menggunakan perisian khas di Internet.

"Di Malaysia, beberapa sekolah antarabangsa telah membekalkan teknologi GPS ini untuk memantau pergerakan dan keselamatan pelajar mereka," cerita beliau.

Ditanya mengenai penggunaan alat itu dalam memerangkap suami atau isteri yang curang dengan memasangnya pada kenderaan pasangan, Nadia berkata, ia mungkin boleh digunakan tetapi itu bukan tujuan utama alat GPS itu direka.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Bayangan manusia di langit

Posted:

Bayangan manusia di langit

Bayangan manusia di langit


AWAN berbentuk wajah manusia tersenyum dirakam di Grand Falls, Kanada.


KOPERAL Suhairi Mahsan, 39, sedang bertugas di menara kawalan Kem 21 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan apabila dia terpandang kepulan awan berbentuk aneh di langit.

Menurut Suhairi, dia melihat satu objek sedang turun perlahan-lahan. Setelah diamati, dia terkejut kerana awan tersebut berbentuk seperti jenazah yang sudah dikafankan.

"Cantuman kain kafan jelas di bahagian kepala dan kaki serta ia turun perlahan-lahan secara berdiri dan berhenti bersetentang dengan satu lagi gumpalan awan yang berbentuk orang yang memakai serban dan berdiri seolah-olah sedang menyembahyangkan jenazah tersebut.

"Ketika itulah kalimah syahadah jelas terlihat dari kepala hingga ke kaki gumpalan awan berbentuk jenazah itu," kenang Suhairi.

Peristiwa selepas subuh pada 27 Jun 2010 itu turut disaksikan oleh beberapa rakan Suhairi.

Kemunculan kepulan awan dalam pelbagai bentuk sudah lama dianggap fenomena yang menakjubkan bahkan menakutkan.

Wajah

Pada 4 Ogos lalu, seorang jurukamera amatur, Denis Farmer sempat merakam bentuk awan hitam dari belakang rumahnya di pekan Grand Falls, Kanada.

Awan berbentuk wajah manusia gergasi itu terjadi semasa angin kencang yang membawa hujan melanda kawasan itu.

Imej itu lengkap dengan hidung, mata dan muncul dengan mulut tersenyum. Kejadian itu berlangsung selama beberapa saat sebelum kepulan awan itu kembali kepada bentuk asal.

Sesetengah masyarakat menganggap bentuk aneh awan bayangan kuasa ghaib dan kejahatan manakala yang lain melihatnya sebagai mesej daripada Tuhan.


AWAN berbentuk pau kerap berlaku selepas ribut petir.


Penduduk Moscow, Rusia, yang menyaksikan satu fenomena unik apabila imej seperti cincin yang bersinar terbentuk di langit bandar raya itu pada 12 Oktober 2009 percaya ia berlaku akibat kuasa ghaib.

Imej itu dirakamkan oleh seorang penduduk dan boleh dilihat menerusi laman web YouTube.

Bagaimanapun, seorang pegawai meteorologi menafikan hujah kuasa ghaib itu.

Menurut seorang jurucakap agensi meteorologi di Moscow, kejadian itu disebabkan oleh kesan maya pada pandangan mata.

"Ia merupakan satu kesan maya walaupun kelihatan seperti mengagumkan.

"Jika anda melihat dengan lebih dekat, anda akan mendapati terdapat sinaran matahari yang datang melalui awan itu," katanya.

Sebenarnya, terdapat pelbagai bentuk awan. Di tempat paling tinggi yang udaranya dingin, terbentuk gumpalan awan kecil-kecil. Awan besar yang menyerupai kapas terjadi sewaktu udara panas naik dari permukaan bumi dan menjadi dingin.

Lapisan awan berwarna terbentuk dari udara yang hangat dan lembap dekat permukaan bumi. Menurut Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan Amerika Syarikat (NOAA), awan diberi nama menurut tinggi dan bentuknya.

Kuasa ghaib

Awan sirus, sirokumulus dan sirostratus merupakan awan paras tinggi iaitu berada pada ketinggian lebih enam kilometer.

Ia selalunya nipis dan putih tetapi boleh menampilkan warna yang menakjubkan apabila matahari berada dekat dengan horizon. Awan sirus terjadi semasa cuaca baik dan bergerak mengikut tiupan angin.

Altokumulus, altostratus dan nimbostratus ialah awan paras sederhana iaitu di antara dua kilometer hingga lima kilometer. Ia mengandungi air hujan manakala kristal ais di tempat bersuhu sejuk.

Kululus, stratokumulus, stratus dan kumulonimbus adalah awan rendah yang mengandungi air hujan. Ia berada beberapa meter dari permukaan bumi hingga dua kilometer ke angkasa.


BENTUK bergulung terjadi selepas awan altitud rendah terperangkap dalam tiupan angin.


Pensyarah Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Muhamad Razak Idris berpendapat kejadian awan membentuk imej manusia berlaku secara kebetulan.

Razak turut menolak dakwaan kononnya peristiwa seperti itu merupakan petanda akan berlaku sesuatu yang buruk.

"Setiap kejadian Allah di muka bumi sudah diatur. Awan mempunyai peranannya sendiri. Bentuknya yang tidak tetap itu memang boleh menyerupai apa-apa lebih-lebih lagi apabila ada angin yang menolaknya.

"Tiada apa yang perlu dikhuatirkan kerana ia berlaku secara semula jadi," ujar beliau.

Razak turut menggesa umat Islam agar tidak mempercayai bahawa bentuk awan itu adalah jelmaan kuasa ghaib.

"Umat Islam tidak seharusnya terpengaruh dengan cerita di sebalik objek yang dilihat itu. Sebaliknya jadikanlah ia pedoman untuk kita menginsafi diri dan mengingati Tuhan.

"Kita memiliki al-Quran sebagai panduan. Kitab suci itu ada menyebut bahawa apa yang ada di langit dan di bumi adalah kepunyaan Allah. Semuanya hanya tunduk dan patuh hanya kepada-Nya," tegas Razak.

Mengulas mengenai awan berbentuk seakan jenazah yang dikafankan dan kalimah Allah, Razak berkata, umat Islam boleh menjadikannya sebagai peringatan supaya sentiasa mengingati Allah.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved