Jumaat, 26 Ogos 2011

Kosmo Online - Pesona


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pesona


Mahabbah Nabi kunci kekuatan

Posted:

Mahabbah Nabi kunci kekuatan

Mahabbah Nabi kunci kekuatan

Oleh MOHD. TURMADZI MADUN

SEJAK kecil, Husna Muhammad Shukor, 16, sudah didedahkan dengan pelbagai bahan bacaan ilmiah berteraskan Islam terutama kitab-kitab thurath lama yang dipelajari oleh kedua-dua ibu bapanya. Bapanya, Muhammad Shukor Shabudin, 47, yang bertugas sebagai Ketua Hakim Syarie Negeri Sembilan dan ibunya, Yusmawati Kamaluddin, 45, seorang guru agama di sebuah sekolah rendah sering membawa Husna bersama dalam pengajian kitab-kitab tersebut.

Antaranya seperti pengajian kitab Sahih Bukhari, Riyadh al-Solihin, al-Hikam Atoi'llah, al-Hikam Abi Madyan dan sebagainya. Bertunjangkan kepada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ), pembacaan kitab-kitab berkenaan tanpa disedari telah menyuntik semangat Husna untuk menjadi ahli ilmu bagi menyambung tugas Ulama dalam menyebarkan dakwah. Kemuncak pembelajarannya, anak ketiga daripada tujuh adik beradik itu berjaya mengkhatamkan pembacaan kitab Sahih Bukhari selama 20 hari dalam 40 majlis ilmu walaupun terpaksa menempuh dugaan yang hebat sepanjang tempoh itu.


[kiri] AISYAH [kanan] HUSNA


Baginya, peluang yang sudah tidak dipedulikan kebanyakan manusia zaman ini tidak mungkin dilepaskan walaupun dia terpaksa merangkak untuk menadah kitab di depan gurunya. "Saya perlu kuatkan semangat untuk terus berada di sini kerana menjadi penyangga Islam yang berilmu sememangnya adalah cita-cita saya. "Bukan mahu memuji, tetapi belajar di Darul Quran wal Hadis (DaQwaH) ternyata memberi saya satu kelainan berbanding sekolah pondok lain kerana semua ilmu yang diajar mempunyai sanad atau rantaian yang sampai kepada empunya sanad, Rasulullah SAW," demikian ungkapan tulus yang lahir dari bibir Husna Muhammad Shukor. Pelajar yang lebih mesra dengan panggilan Husna itu berjaya menamatkan pembacaan kitab Sahih Bukhari baru-baru ini.


[kiri]HABIBULLAH [kanan] MUHAMMAD AMNAN


Sambil membelek kitab yang dikenali seantero dunia Islam itu, Husna tertunduk malu. Sesekali dia menyilangkan jari pada kedua-dua tangannya untuk menyusun bait-bait kata saat ditemu bual di Pusat Ilmu Hadis yang terletak di Taman Tun Abdul Razak, Ampang Jaya baru-baru ini. "Ilmu hadis merupakan ilmu yang paling mulia berbanding ilmu lain. Melaluinya, kita dapat menguasai ilmu-ilmu lain seperti tafsir, al-Quran, Nahu, Lughah (bahasa) Tasawuf dan banyak lagi.

"Tetapi apa yang penting, ilmu hadis mampu mendekatkan diri seseorang dengan Rasulullah SAW kerana melaluinya sahaja kita dapat mendengar kalam yang diucapkan oleh Baginda," ceritanya. Bagaimanapun pelajar kelahiran Rembau, Negeri Sembilan itu tidak menafikan kesukaran dalam memperoleh ilmu yang berharga itu. Berbicara lanjut, Husna memberitahu, ketajaman akal dan kekuatan otak merupakan kunci utama untuk menghafal sanad dan matan (teks) hadis tersebut. Anak ketiga daripada tujuh beradik itu memperuntukkan lebih 12 jam sehari hanya untuk membaca hadis dan mengulang-ulang sehingga ia sebati dalam jiwanya.

Solat tahajud


PUSAT pengajian ilmu, al-Quran dan hadis Bayt al-Hikmah di Ampang Jaya menjadi medan para pelajar DaQwaH menuntut ilmu.


"Selepas solat Subuh, saya akan mula menghafal sebelum berhenti solat sunat Duha. Ia diteruskan sehingga petang. Selain hadis, saya dan rakan-rakan diwajibkan menghafal kesemua ayat al-Quran sebagai syarat untuk menamatkan pengajian. "Selepas Isyak, kami akan menghadiri kuliah agama oleh Tuan Guru, al-Musnid Sheikh Muhammad Fuad Kamaludin al-Maliki. Jika terdaya, saya akan melakukan solat tahajud pula kerana ia bagus untuk penuntut ilmu mendapatkan makrifat," terangnya. Husna dan 35 penuntut DaQwaH yang lain berjaya menerima ijazah khusus Sahih Bukhari sempena majlis pengkhataman kitab tersebut dan sambutan Israk Mikraj 1432 Hijrah di Masjid Negara yang berlangsung pada penghujung bulan Jun lalu.


PEMBACAAN kitab berkaitan hadis seperti Sahih Bukhari harus dijadikan amalan agar seseorang itu sentiasa merasakan dekat dengan Nabi SAW.


Pembacaan hadis tersebut dikhatamkan selepas ia dibaca selama 20 hari menerusi 40 kelas pengajian di DaQwah. Pembacaan tersebut bermula pada 1 Rejab lalu dan ia dihadiri lebih 3,000 jemaah.

Majlis yang dirasmikan oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh itu turut mengundang ulama hadith yang unggul dari Syria iaitu al-Musnid Dr. Muhammad Taufiq ibn Taisir al-Makhzumi al-Hasani dan ulama Iraq, al-Musnid Sheikh Abdul Majid Rasyid al-Jailani. Pertubuhan bukan kerajaan Yayasan Sofa (YS) bertindak sebagai penganjur bersama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Masjid Negara. Turut berkongsi pengalaman pada hari tersebut ialah rakan sekelas Husna, Aisyah al-Humaira Muhammad Fuad, 13. Katanya, semangatnya berkobar-kobar sebaik mendengar sabdaan Nabi SAW yang lebih kurang maksudnya: "Wahai umat Muhammad! Jika engkau tahu apa yang aku tahu, nescaya engkau akan banyak menangis daripada ketawa."

Suntik keinsafan


PERTEMBUNGAN dua ulama dari Asia Barat dan Malaysia, Sheikh Muhammad Fuad (kanan) menerangkan sesuatu kepada Muhammad Taufiq.


Ternyata hadith tersebut berjaya menyuntik keinsafan dalam diri Aisyah untuk terus berusaha menjadi penuntut ilmu terutama ilmu-ilmu agama yang dipandang mulia di sisi Allah. "Saya bersyukur dapat mengkhatamkan kesemua 7,563 hadis yang terkumpul di dalam kitab Sahih Bukhari yang masyhur dalam dunia Islam. "Pada zaman serba moden hari ini, mempelajari hadis dan al-Quran memang dipandang sepi oleh masyarakat tetapi ia merupakan satu tugas yang amat mulia di sisi Allah. Jika kita sentiasa memuliakan ilmu, nescaya Allah akan muliakan kita," tutur anak sulung daripada lapan beradik tersebut. Tambahnya, antara halangan yang sering dihadapi ketika membaca hadis ialah rasa mengantuk, jemu dan tidak faham kerana kitab itu menggunakan bahasa Arab sepenuhnya.

"Bagaimanapun, dengan tunjuk ajar dan huraian yang diberikan oleh tuan guru, Alhamdulillah semua cabaran itu dapat diatasi," kata dengan penuh semangat. Dua lagi pelajar lelaki yang turut menerima ijazah pada hari tersebut, Habibullah Amir Zuhairy, 14, dan Muhammad Amnan Hassan, 17, turut berkongsi pandangan mengenai majlis tersebut. "Kami sangat berbangga apabila menerima ijazah kerana berjaya menamatkan pembacaan kitab Sahih Bukhari ini. Tambahan pula, majlis seumpama ini amat jarang dilakukan," kata Muhammad Amnan.


MAKAM Imam Bukhari yang terletak di Khartang, Samarkand, Uzbekistan.


Sementara itu, pengasas YS, Sheikh Muhammad Fuad yang juga merupakan Pengerusi Aqidah Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) dalam ucapannya memberitahu, Imam Bukhari menghafaz hadis ketika berusia 10 tahun atau kurang daripada umur tersebut. Beliau sangat mementingkan disiplin dan keutamaan ilmu ketika menitipkan hadis di dalam sahihnya. "Beliau (Imam Bukhari) akan bangun sekurang-kurangnya 20 kali pada waktu malam setiap kali mendapat ilham terhadap sesuatu hadis yang dihimpunkan untuk ditulis," kata Sheikh Muhammad Fuad dalam ucapan pembukaannya pada malam tersebut. Hakikatnya, melalui pembacaan hadis, seseorang itu pasti akan mengucapkan selawat dan salam ke atas Rasulullah SAW apabila nama Baginda disebut. Jadi, tidak hairanlah jika ulama Ahli Sunnah wal Jamaah (ASWJ) sepakat mengatakan bahawa ahli hadis adalah golongan manusia yang paling banyak berselawat ke atas Nabi SAW.

Tradisi pembacaan kitab amalan ulama silam

Posted:

Tradisi pembacaan kitab amalan ulama silam

Tradisi pembacaan kitab amalan ulama silam


YUSRI


MELALUI penganjuran program ilmu seperti pembacaan kitab Sahih Bukhari ini, ia secara tidak langsung menyebarkan wangian mahabbah kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.

Pensyarah Kuliyah Undang Undang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Yusri Mohamad berkata, majlis yang julung-julung kali diadakan itu bertujuan untuk menghidupkan amalan Ulama terdahulu yang begitu mengharapkan keberkatan dalam hidup terutamanya daripada Rasulullah SAW.

Ujarnya, jika diperhalusi, kesenian yang ditampilkan oleh Imam Bukhari atau nama sebenarnya Muhammad ibn Ismail al Bukhari r.a begitu menakjubkan. Beliau sanggup bersengkang mata dan berpenat lelah untuk mengumpul hadis-hadis dari seluruh pelosok dunia Islam sebelum dibahagi-bahagikan mengikut bab-bab tertentu.

"Lihat sahaja bagaimana Imam Bukhari memulakan kitab beliau dengan meletakkan bab wahyu dan ilmu sebelum diakhiri dengan bab berkaitan akidah. Jika kita renungkan, Ia amat tersusun dan meliputi segala ilmu yang ada seperti tafsir, haji, tasauf, fiqah dan sebagainya.

"Di samping itu, kita meyakini bahawa melalui pembacaan hadis Rasulullah SAW boleh menyebabkan Allah menurunkan rahmatnya di tempat tersebut. Justeru, ramai ulama pada zaman salafusoleh menjadikan amalan ini sebagai pintu pelepasan terhadap musibah dan bala yang mereka hadapi," kata Yusri yang juga merupakan Yang Dipertua (YDP) Yayasan Sofa.

Tambahnya, kemuncak majlis pada malam itu ialah apabila Sheikh Muhammad Fuad berkenan untuk mengijazahkan periwayatan sanad Sahih Bukhari dengan kaedah imlak (hafalan) kepada jemaah yang hadir.

Menurut Yusri, ia terlalu istimewa kerana Sheikh Muhammad Fuad membacakan kesemua lebih nama 25 perawi hadis sehingga sampai kepada Rasulullah SAW tanpa melihat kepada kitab dan ia didapati melalui hafalannya sahaja.

"Ia sesuatu yang berharga dan sukar didapati pada zaman ini. Pada majlis itu juga, Ulama Syria, al-Musnid Dr. Muhammad Taufiq ibn Taisir al-Makhzumi turut mengiktiraf Sheikh Muhammad Fuad sebagai salah seorang gurunya," jelasnya.

Ujar Yusri, pembacaan sanad melalui kaedah imlak merupakan tradisi para Ulama setiap kali mereka mengadakan majlis pengkhataman pembacaan kitab Sahih Bukhari bersama anak-anak murid mereka.

Ziarah dengan Aidilfitri

Posted:

Ziarah dengan Aidilfitri

Ziarah dengan Aidilfitri

Sewajarnya, sikap lebih mengutamakan tayangan cerita di televisyen berbanding ziarah perlu ditangani kerana Aidilfitri tidak akan bererti tanpa adanya ziarah.

AIDILFITRI bakal disambut tidak lama lagi. Pastinya segala persiapan telah disediakan. Bukan saja persiapan individu atau keluarga malah, persiapan oleh stesen-stesen penyiaran yang sudah mempromosikan pelbagai cerita menarik untuk tayangan sepanjang Aidilfitri ini.

Tanpa disedari, pelbagai cerita menarik itu menjadi faktor penyumbang kepada makin kurangnya berlaku ziarah ketika Aidilfitri yang menjadi amalan tradisi nenek moyang kita.

Sewajarnya, sikap lebih mengutamakan tayangan cerita di televisyen berbanding ziarah perlu ditangani kerana Aidilfitri tidak akan bererti tanpa adanya ziarah.

Hari bersua muka

Aidilfitri bukan sekadar hari kemenangan selepas sebulan berpuasa tetapi, adalah hari untuk berkumpul dengan semua ahli keluarga dan sanak saudara. Malah, dalam dunia penuh sibuk hari ini, ramai yang hanya dapat balik ke kampung sekali setahun iaitu ketika Aidilfitri.

Kesannya, ramai yang tidak mengenali ahli keluarga sendiri. Dengan adanya ziarah, barulah kita dapat bersua muka dan berjumpa dengan seluruh ahli keluarga.

Hari beramah mesra



Aidilfitri juga adalah hari untuk beramah mesra. Hampir seluruh ahli masyarakat hari ini terlalu sibuk dengan kerjaya masing-masing.

Ziarah ketika Aidilfitri memberikan kita kesempatan untuk beramah mesra dengan ramai orang kerana fitrah kehidupan seorang manusia, takkan mungkin dapat hidup bersendirian.

Hari menghubung silaturahim

Ziarah juga sebagai satu cara untuk menghubung silatur rahim, mengeratkan hubungan yang sedia ada dan mewujudkan hubungan yang baharu.

Amalan berkunjung ke setiap rumah di segenap pelosok kampung secara berjemaah menjadi tradisi wajib selepas solat sunat Aidilfitri.

Hari bermaaf-maafan

Ramai yang arif dan maklum, Aidilfitri adalah hari untuk kita bermaaf-maafan. Perlu difahami, memohon maaf bukan terhad kepada ahli keluarga di dalam rumah yang sama atau mereka yang ada hubungan darah dengan kita sahaja. Sebaliknya kita perlu memohon maaf daripada sanak saudara lainnya termasuk jiran tetangga dan sahabat handai.

Terhad kepada jemputan

Namanya sahaja rumah terbuka tetapi ditetapkan senarai jemputan tertentu yang diundang. Ia jelas sekali berlawanan dengan amalan ziarah yang terbuka kepada sesiapa sahaja tanpa perlu ada undangan atau jemputan khusus.

Penyediaan makanan

Pelbagai jenis juadah disediakan pada acara rumah terbuka tetapi, ada pengkhususan pula untuk kategori jemputan, orang penting dan orang kebanyakan.

Konsep ini menyalahi konsep sebenar Aidilfitri iaitu sebaiknya hidangan makanan disediakan buat mereka yang tidak berkemampuan. Untuk menjadikan Aidilfitri hari yang luar biasa dan membahagiakan semua, berziarahlah!

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved