Jumaat, 26 Ogos 2011

Kosmo Online - Pemotoran


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pemotoran


Jadi pemandu yang bertimbang rasa

Posted:

Jadi pemandu yang bertimbang rasa

Jadi pemandu yang bertimbang rasa

Oleh AHMAD SYUKRAN ZAINUDDIN
syukran.zainuddin@kosmo.com.my

KALAU diizinkan Tuhan, umat Islam di Malaysia bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri pada hari Selasa depan. Selepas sebulan berpuasa, pastinya semua orang mahu menyambut hari penuh bahagia itu bersama mereka yang tersayang di kampung halaman.

Sudah menjadi amalan pada setiap tahun, kebanyakan daripada kita akan pulang ke kampung. Sama ada memandu atau menaiki kenderaan awam, kota-kota besar terutama Kuala Lumpur akan ditinggalkan sepi untuk beberapa ketika.

Sementara bandar-bandar seperti Kota Bharu, Kuantan, Ipoh atau Seremban akan berubah wajah menjadi sangat sesak dengan kenderaan. Jumlah kenderaan bertambah berlipat kali ganda.

Sesaknya tidak ubah seperti di lebuh raya Persekutuan ketika orang ramai hendak pulang untuk berbuka puasa. Maklumlah, ramai yang hendak menayangkan kereta baharu mereka kepada orang kampung.

Baiklah, semua persiapan raya telah dibuat. Baju Melayu dan baju kurung sudah diambil dari kedai jahit. Kuih-kuih raya dan kerepek untuk hidangan tetamu di pagi Syawal pula telah siap dibeli serta diletakkan di dalam kereta.

Tetapi, adakah kenderaan anda sudah bersedia untuk menempuh perjalanan yang jauh dan panjang itu? Bagaimana pula dengan persediaan anda sendiri sebagai seorang pemandu? Sudah bersedia dari segi fizikal dan mentalnya? Semua ini penting kerana selain masalah kenderaan, sikap pemandu merupakan antara punca utama berlakunya kemalangan.

Rancang perjalanan

Sebagaimana yang biasa dibuat, kita akan sibuk pergi ke bengkel untuk membolehkan kereta diservis. Bagi mereka yang memang tidak pernah tertinggal membuat penyelenggaraan secara berkala, besar kemungkinan kenderaan berada dalam keadaan yang memuaskan. Namun, ambillah sedikit masa untuk membuat pemeriksaan ringkas.


PIHAK polis akan menjalankan operasi bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi undang-undang lalu lintas.


Bagi anda yang bakal berjalan jauh seperti ke negeri Utara atau Pantai Timur, pastikan perjalanan ke kampung dirancang. Ambil perhatian terhadap jadual waktu perjalanan yang diumumkan oleh pengendali lebuh raya seperti Projek Lebuh Raya Utara-Selatan Berhad (PLUS). Jadual waktu itu cukup kritikal dalam memastikan perjalanan di lebuh raya dapat dilakukan dengan lancar dan selamat.

Anda mahu memulakan perjalanan selepas berbuka? Janganlah makan sehingga tidak ingat dunia. Ia hanya akan membuatkan mata berat ketika memegang stereng. Jika mengantuk, ambil masa untuk berehat di R&R. Setelah tubuh kembali segar, mulakan semula perjalanan.

Jangan berhenti di tepi jalan

Masih segar dalam ingatan, saya terpaksa menempuh kesesakan teruk dalam tempoh yang lama di lebuh raya Karak dan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) menuju ke Kuantan pada menjelang hari raya tahun lepas.

Situasi ini memang menghairankan kerana lebuh raya Karak jarang sekali menjadi terlalu sesak. Selepas melepasi azab itu, barulah tahu bahawa tiada apa yang berlaku sebenarnya.

Tiada kemalangan atau sebagainya. Tetapi kesesakan itu berlaku kerana banyak kereta berhenti di tepi jalan. Antaranya untuk merokok dan pengguna jalan raya yang lain memperlahankan kenderaan untuk melihat apa yang berlaku! Ini sememangnya situasi yang tidak perlu ditempuh jika kita semua tidak berhenti sesuka hati di tepi jalan.

Sebagai seorang yang gemar memandu pada waktu malam, saya sentiasa berdepan dengan pemandu-pemandu yang tidak bertimbang rasa.

Memasang lampu tinggi sepanjang perjalanan memang menyakitkan hati orang yang memandu di hadapan dan bertentangan dengan anda. Sakit hati makin bertambah jika lampu itu mengalahkan lampu sorot stadium. Silap-silap, sampai rumah boleh jadi sakit kepala.

Jadi, sila peka dengan persekitaran anda. Rendahkan lampu jika ada kenderaan di hadapan dan di laluan bertentangan. Ini juga merupakan salah satu tanda anda menghormati pengguna jalan raya yang lain.

Pandu di lorong yang betul

Kita mempunyai kecenderungan yang berbeza ketika memandu. Ada yang gemar memandu laju dan ramai juga bersikap sebaliknya. Itu tidak salah jika anda berada di lorong yang betul.


MENERIMA surat saman daripada pihak berkuasa pastinya bukan pengalaman indah ketika balik beraya.


Jangan sekali-kali memandu perlahan di lorong laju. Mungkin perkara ini kedengaran remeh, tetapi tidak sedikit yang bersikap sedemikian. Memandu perlahan di lorong laju bukan sahaja melambatkan perjalanan orang lain, malah tidak mustahil boleh menyebabkan kemalangan kerana pemandu di belakang tidak tahu kelajuan sebenar kenderaan anda.

Pasti ramai antara kita yang akan melalui lebuh raya bertol. Di sini, ada beberapa perkara yang boleh anda lakukan untuk mengurangkan kesesakan di tol.

Pertama, gunakan kad Touch N Go atau Smart Tag untuk melancarkan perjalanan. Pembayaran tol secara manual hanya melambatkan perjalanan.

Sila pastikan juga anda tidak memotong barisan ketika hendak membayar tol. Perbuatan sebegitu memang tidak beradab dan mementingkan diri sendiri.

Lorong Kecemasan

Lorong kecemasan adalah untuk hal-hal kecemasan seperti sakit tenat dan sebagainya. Jadi, hal anda untuk bermain mercun dengan anak saudara di kampung atau hendak merasa rendang yang dibuat ibu untuk hari raya esok bukan kecemasan.

Menggunakan lorong kecemasan hanya akan menyebabkan kesesakan apabila kenderaan mula mencelah-celah untuk memasuki ke laluan utama kerana lorong kecemasan itu sudah tiba di penghujungnya.

Satu lagi perkara yang harus diambil kira ialah tahu kemampuan dan kekangan kenderaan anda. Maksudnya, pandulah kereta secara selamat. Jangan pandu Myvi mengalahkan BMW 5 Series lajunya.

Walaupun pihak berkuasa akan melaksanakan operasi sepanjang cuti hari raya ini, ia tidak akan mampu mengurangkan kadar kemalangan jika kita sebagai pemandu tidak mengambil langkah berhati-hati di jalan raya.

Akhir kata, patuhi semua undang-undang lalu lintas. Jadilah pemandu berhemah dan bertimbang rasa. Selamat menyambut hari raya dengan gembira!

Focus Sport TDCi

Posted:

Focus Sport TDCi

Focus Sport TDCi

Oleh AHMAD SYUKRAN ZAINUDDIN
syukran.zainuddin@kosmo.com.my


CUBA pandu. Anda mungkin menyukai jentera ini.


JIKA masuk ke dalam sidang media selepas sesebuah kereta dilancarkan, anda akan dapat mengetahui paten soalan yang bakal ditanya. Soalan-soalan itu juga secara langsung boleh dikaitkan dengan meja mana wartawan tersebut bertugas.

Kalau wartawan ekonomi, soalan kegemaran mereka pastinya berkaitan dengan angka. Misalnya, berapa sasaran jualan, penguasaan pasaran, perancangan untuk program pemasangan tempatan (CKD), isu panggilan semula di pasaran global (jika ada) dan soalan-soalan yang berkaitan dengannya.

Wartawan pemotoran pula, soalan mereka jauh berbeza. Selain soalan berapa banyak diskaun boleh diperoleh kalau kereta itu dibeli, mereka juga gemar bertanya mengenai aspek teknikal. Ada kalanya soalan yang dikemukakan itu terlalu terperinci, sehinggakan panel merasakan tempoh soal jawab tersebut cukup lama.

Satu ketika dahulu, sekiranya pelancaran kereta itu melibatkan pengeluar Eropah ada satu soalan wajib yang akan ditanya. Soalannya ialah bila dan kenapa mereka masih belum membawa masuk kereta dengan pilihan enjin diesel.

Kalau diikutkan, jawapan yang bakal diterima sudah dapat diagak. Namun, ia tetap ditanya kerana mereka (wartawan pemotoran) mengharapkan ada berita baik mengenainya. Namun, sehingga ke hari ini nyata tidak banyak yang berubah. Akhirnya, soalan itu tidak lagi ditanya.

Berbeza dengan pengeluar dari Jepun yang gemar mengaplikasikan teknologi hibrid dan elektrik, pembuat kereta Eropah memilih teknologi diesel untuk mendapatkan penjimatan serta mengurangkan pengeluaran gas berbahaya daripada ekzos kenderaan.


KEDUDUKAN semua butang kawalan adalah ergonomik.


Enjin diesel mereka cukup maju. Namun, kemajuan itu turut datang dengan kekangan tersendiri. Enjin-enjin itu tidak boleh menelan minyak diesel bersulfur tinggi sebagaimana yang ditawarkan di stesen-stesen minyak di seluruh negara kita.

Diesel Euro 2M

Malaysia sememangnya ketinggalan dari aspek penggunaan minyak diesel berkualiti tinggi. Ketika orang lain sudah menggunakan diesel dengan piawaian Euro 5, kita masih menjual diesel yang tahapnya cuma Euro 2M. Ibaratnya, satu berkualiti seperti air sungai di Ulu Yam dan satu lagi kotor macam air sungai Kelang.

Kadar sulfur yang tinggi dalam diesel Euro 2M memang tidak sesuai untuk enjin diesel moden. Sebab itulah pengeluar seperti Mercedes-Benz dan Volkswagen masih menunggu masa terbaik untuk memperkenalkan jentera diesel mereka di sini.

Kekangan itu bagaimanapun tidak menghalang beberapa jenama misalnya BMW dan Ford untuk menawarkan jentera diesel mereka untuk pengguna tempatan.

Ketika BMW hanya mampu dimiliki oleh mereka yang berpoket tebal, Ford tampil dengan model diesel yang diangkat daripada model hot hatch popularnya, Focus. Harganya juga lebih munasabah, masih boleh dimiliki oleh orang kebanyakan.

Ford Focus Sport TDCi, itulah kereta yang saya pandu uji hingga ke Jitra, Kedah baru-baru ini. Sepanjang tiga hari memandunya, banyak perkara yang disenangi mengenainya. Mungkin kedengaran keterlaluan, tetapi memandu jentera itu sebenarnya amat menyeronokkan.


GABUNGAN paparan meter digital dan analog yang informatif.


Keterujaan tersebut banyak disumbang oleh kuasa yang dialirkan oleh unit enjin diesel 2.0 liter ke roda hadapannya. Kuasa tork berjumlah 320Nm itu boleh dicapai ketika jarum rpm hanya mencecah 2,000 rpm! Maksudnya, sebaik sahaja pedal minyak ditekan, Focus Sport TDCi seperti sudah tidak sabar-sabar untuk meluncur ke hadapan.

Itulah antara kelebihan utama enjin diesel, anda akan berasa kereta seperti begitu ringan kerana kuasa torknya yang banyak. Ini membuatkan tugas untuk memulakan perjalanan di lampu isyarat dan memotong kenderaan semakin senang.

Kuasa enjin diagih dengan bijak oleh kotak gear Powershift enam kelajuan automatik buatan Getrag. Pertukaran gear dapat dilakukan dengan pantas dan tepat, sehinggakan mode manual seakan-akan tidak berguna lagi.

Kombinasi itu menghasilkan tahap penggunaan bahan api yang cukup bagus. Untuk satu tangki penuh, saya mampu mencapai perbatuan hampir 1,000 kilometer. Kalau dipandu lebih perlahan, saya yakin angka yang lebih besar tidak sukar untuk dicapai.

Anda bercakap tentang sebuah Ford Focus, jadi tidak perlulah ragu-ragu mengenai kualiti pengendaliannya. Ini model yang mempunyai nama besar dalam Kejuaraan Rali Dunia (WRC). Maka, sudah pasti kerangka tubuhnya cukup rigid sebelum dipadankan dengan suspensi yang memastikan keempat-empat tayarnya melekat di atas jalan raya ketika selekoh diambil dalam kelajuan tinggi.

Bagi saya, ruang kabin Focus Sport TDCi memerlukan proses ubah suai. Papan pemuka dengan corong pendingin hawa berbentuk lonjong dan set audio dalam perumah berwarna perak itu jelas membosankan.

Dari aspek luaran pula, tiada apa yang berbeza dengan Focus berenjin petrol, kecuali pelekat dan emblem TDCi yang dilekatkan padanya. Rekaan hatchback itu kekal kemas dan ringkas.

Di sebalik bunyi enjinnya yang seperti trak pikap, Focus Sport TDCi menawarkan penjimatan, kuasa dan pengandalian mengagumkan. Apa lagi yang anda mahukan?

Suzuki Swift GLX lebih dinamik

Posted:

Suzuki Swift GLX lebih dinamik

Suzuki Swift GLX lebih dinamik


SWIFT sememangnya berjaya mempopularkan semula nama Suzuki di Malaysia.


MODEL Suzuki paling popular di pasaran tempatan, Suzuki Swift baru-baru ini menerima penambahbaikan. Inisiatif itu dibuat bagi memberi nafas baru kepada Swift yang sudah agak lama berada dalam pasaran.

Swift yang dijana oleh enjin bersesaran 1.5 liter itu sememangnya menjadi pilihan buat penggemar kereta kompak. Ia bukan sekadar kompak, malah menawarkan kualiti pemanduan mengagumkan yang sememangnya sinonim dengan jenama Suzuki.

Jentera tersebut diedar dan dipasang tempatan (CKD) oleh pihak Suzuki Malaysia Automobile (Suzuki Malaysia). Buat masa ini, Suzuki Malaysia turut mengedarkan model-model seperti Grand Vitara, SX4 Crossover dan Alto.

Swift menjadi penyumbang terbesar kepada pertumbuhan jualan Suzuki pada tahun ini. Mewakili 67 peratus daripada jualan keseluruhan, Swift sememangnya mempunyai peminatnya tersendiri apabila sebanyak 2,730 unit berjaya dijual dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini.


DI sebalik penutup ini, tersimpan enjin bersesaran 1.5 yang berkuasa dan menjimatkan bahan api.


"Semua kenderaan Suzuki berpegang kepada falsafah Way Of Life dan visi jenamanya. Ia menawarkan keseronokan memandu dan rasa bangga untuk memilikinya.

"Walaupun terpaksa bersaing dalam pasaran mencabar, Suzuki Malaysia akan terus meningkatkan tahap kepuasan pelanggan menerusi pelbagai aktiviti demi menambah keyakinan pelanggan terhadap jenama ini di Malaysia," jelas Pengarah Urusan Suzuki Malaysia, Ibrahim Maidin.

Diberi nama Suzuki GLX, model itu tampil bersama enam ciri tambahan. Antaranya, gril radiator baru dengan perumah lampu kabus berwarna perak dan skirting sisi sporty. Selain lampu belakang baru, spoiler penuh gaya, bampar belakang dan penutup enjin.

Swift ditawarkan pada harga RMRM75,788 seunit bersama insurans. Anda diberi lima warna pilihan iaitu biru, perak, merah, hitam dan putih.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved