Khamis, 28 Julai 2011

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Rintihan rakyat Somalia

Posted:

Rintihan rakyat Somalia

Rintihan rakyat Somalia

Susunan IZYAN LIYANA MOHD. DARIF



KESEDIHAN Sainab Yusuf Mohamed tidak mampu dibendung lagi. Hatinya pilu dan luluh mengenangkan nasibnya yang kehilangan dua orang anak kesayangan dalam sekelip mata.

Namun, bagaikan sudah dijangka, naluri keibuannya selama ini sudah kuat berbisik bahawa masalah kebuluran yang melanda tanah airnya akan mengancam nyawa anak-anaknya.

"Kami tidak mempunyai bekalan makanan yang mencukupi. Tubuh anak-anak semakin kurus sehingga menampakkan rangka akibat kekurangan zat. Saya kasihan melihat keadaan mereka tetapi tidak mampu berbuat apa-apa.

"Sungguh sedih apabila dalam perjalanan merentas padang pasir yang kering-kontang bagi mendapatkan bantuan makanan, anak sulung saya meninggal dunia. Lebih perit, sebaik saja mengebumikan jenazahnya, anak kedua saya pula menghembuskan nafas terakhir," luah Sainab dalam nada bergetar.

Nasib malang Sainab turut dialami oleh Hassan Abdi. Dalam perjalanan ke kem pelarian, tangan kirinya mendukung cucunya yang kurus kering manakala tangan kanannya pula menjinjit sebuah beg kain berisi bijirin, gula dan sebotol minyak masak sumbangan agensi bantuan.

"Perut cucu saya sudah lembik kerana dia mengalami kelaparan terlampau. Saya fikir stok makanan yang diperoleh ini tidak mencukupi dan mampu bertahan untuk beberapa hari saja kerana kami perlu berkongsi dengan tujuh orang ahli keluarga lain," kata Hassan sambil menunjukkan perut cucu lelakinya yang berusia lima tahun itu.

Beginilah senario terbaharu di Somalia yang sedang berhadapan dengan krisis makanan kronik dalam tempoh dua dekad. Krisis kemanusiaan terburuk pada abad ke-21 itu telah menyebabkan separuh daripada rakyat tempatan bergelut mendapatkan bantuan makanan bagi meneruskan kehidupan.

Menagih bantuan


CUACA kemarau mengakibatkan rakyat Somalia terpaksa berjalan kaki ke kem-kem pelarian untuk mendapatkan bantuan makanan.


Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menjangkakan krisis kebuluran berkenaan akan merebak dalam tempoh dua bulan di Somalia sekiranya tiada bantuan dihulurkan.

Berdasarkan data yang dikeluarkan Unit Analisis Keselamatan Makanan dan Nutrisi (FSNAU), seramai 3.76 juta rakyat Somalia terpaksa mengharapkan bantuan kemanusiaan dari segi makanan dan ubat-ubatan.

Oleh kerana tidak tahan lagi untuk menjalani kehidupan di tanah sendiri yang sudah kehabisan sumber makanan, majoriti rakyat Somalia sanggup merentas kawasan panas kering dan berkaki ayam di bawah terik matahari yang mencecah 50 darjah Celsius ke kem-kem pelarian yang menyediakan makanan.

Malangnya, belum pun sempat menjejakkan kaki di kem berkenaan, segelintir daripada mereka mati dalam perjalanan terutamanya kanak-kanak dan bayi. Cuaca panas dan kebuluran antara faktor utama yang meragut nyawa mereka. Sementara yang berjaya tiba di kem dalam tempoh 24 jam tampak lesu, tidak terurus dan kurus kering.

Dianggarkan secara purata setiap hari, seramai 60 bayi mati akibat kelaparan dan kekurangan makanan berkhasiat, selain kemusnahan tanaman dan haiwan ternakan.

Hari ini, Somalia yang terletak di timur Afrika merupakan salah satu negara yang berhadapan dengan ancaman kemarau dan kebuluran kronik selain di Habsyah, Djibouti, Sudan dan Kenya.

Berdasarkan statistik Program Makanan Dunia (WFP) mendapati seramai 3.5 juta orang di Kenya, 3.2 juta orang di Habsyah, 2.5 juta orang di Somalia dan lebih 100,000 orang di Dijbouti terdesak memerlukan bantuan makanan.

Menurut Ketua Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR), Antonio Guterres, krisis kemarau dan makanan di Somalia adalah antara yang paling teruk di dunia.

"Sukar diluahkan dengan kata-kata apabila menyaksikan banyak nyawa terkorban kerana musim kemarau dan panas terik. Saya tidak pernah melihat kem-kem pelarian sesak dengan orang ramai yang hadir dalam keadaan terdesak dan tidak bermaya.

"Paling menyedihkan adalah apabila melihat seorang ibu yang kehilangan tiga orang anak serentak ketika menuju ke kem pelarian," jelas Antonio Guterres mengenai satu perempat daripada 7.5 juta orang Somalia yang membanjiri kem pelarian.

Masalah dalaman


RAKYAT Somalia menunggu giliran mengambil makanan yang disediakan di kem pelarian.


Menurut Penganalisis Ekonomi dan Pensyarah Kanan Pengurusan Strategik Kolej Perniagaan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Haim Hilman Abdullah, krisis kebuluran di wilayah Afrika tidak berkesudahan sekiranya masalah dalaman di negara itu tidak diselesaikan pada kadar segera.

Selagi isu rasuah, pergolakan politik dan perbalahan rakyat masih belum diatasi, maka secara tidak langsung ia menyebabkan ekonomi negara semakin merosot. Semua itu mengakibatkan Afrika kekal tersenarai sebagai negara mundur dan miskin.

"Selain kacau-bilau, kenaikan harga bahan api dan bahan mentah turut menyumbang pada krisis kebuluran di beberapa wilayah di Afrika.

"Disebabkan faktor itu, kebanyakan negara maju, badan korporat, individu dan agensi bantuan terpaksa mengehadkan perbelanjaan stok bekalan makanan yang ingin diagih-agihkan kepada rakyat Somalia.

"Kos pengangkutan dan penghantaran makanan ke negara itu juga dititikberatkan memandangkan ia melibatkan kos bahan api.

"Bagi rakyat Afrika pula, mereka mengalami kesukaran mengeluarkan sumber makanan daripada hasil pertanian kerana faktor cuaca yang panas dan kedudukan geografi," tambah Haim yang merujuk pada kawasan gurun dan tanah tandus di Afrika yang tidak sesuai dijadikan tapak pertanian.

Tambah Haim, isu kebuluran di setiap negara miskin dapat diatasi dengan baik sekiranya negara maju dan membangun seperti Eropah, Amerika Syarikat (AS), Jepun, Singapura atau negara sedang membangun seperti Malaysia bijak menguruskan sistem stok makanan dengan baik

"Pada pandangan saya, daripada stok makanan dibiarkan membazir begitu saja, lebih baik ia disalurkan pada negara-negara yang memerlukan," jelasnya lagi.

Kemarau berterusan

Cuaca panas dan kemarau berpanjangan telah menyebabkan 12 juta rakyat di beberapa wilayah itu terpaksa berjalan kaki ke kem pelarian bagi mendapatkan bantuan makanan dan ubat-ubatan.

Dalam pada itu, krisis kemarau tersebut turut mengakibatkan haiwan ternakan seperti kambing, lembu dan unta terkorban. Jika musim kemarau lima tahun lepas hanya mengorbankan antara 20 hingga 30 ekor haiwan ternakan setiap bulan tetapi kemarau tahun ini angka haiwan yang mati hampir mencecah 50 ekor.


WANITA ini hanya mampu berserah mengenangkan kesihatan badan anaknya yang semakin kurus akibat kekurangan makanan.


Kehilangan jumlah haiwan ternakan dalam jumlah yang banyak secara tidak langsung menyebabkan rakyat Somalia kehilangan sumber makanan.

Memetik ramalan saintis Pusat Geologi Amerika Syarikat (USGS), Chris Funk, menjangka musim kemarau di timur Afrika akan berterusan dalam tempoh yang sukar dipastikan. Lazimnya, bulan Mac hingga Jun merupakan musim hujan di Afrika.

"Namun sehingga ke hari ini, tidak menampakkan sebarang tanda-tanda hujan akan turun malah kadar purata hujan di Somalia mencatatkan di bawah paras paling rendah.

"Lebih memburukkan keadaan, isu pemanasan global dijangka meningkat dan faktor ini menyukarkan lagi usaha rakyat Afrika untuk menjalankan aktiviti bercucuk tanam kerana kekurangan sumber air serta tanah kering kontang," jelas Funk.

Setakat ini bagi menghulurkan bantuan makanan kepada rakyat Somalia yang kebuluran, UNHCR dan kerajaan Habsyah mengambil inisiatif menyediakan kem di Dolo Ado, Habsyah. Dianggarkan kem berkenaan menerima hampir 2,000 pelarian baharu setiap hari.

Persekitaran di Somalia bukan saja mempamerkan gelagat kanak-kanak bermain tanpa menyarungkan seluar malah turut menyaksikan penghuni kem sentiasa bersesak merebut makanan yang disumbangkan oleh pihak-pihak tertentu.

Keadaan yang sama turut berlaku di kem Dadaab, Kenya iaitu kem pelarian terbesar dunia yang kini dihuni kira-kira 382,000 orang sedangkan ia hanya mampu menampung 90,000 orang pada satu-satu masa.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved