Selasa, 26 Julai 2011

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Noktah pejuang terakhir teater Tamil

Posted:

Noktah pejuang terakhir teater Tamil

Noktah pejuang terakhir teater Tamil

Oleh NIZHA PERIASWAMY



SEMASA sibuk menemu ramah seorang lelaki muda dan kacak yang aktif sebagai pelakon separuh masa, Ramesh Kumar Munusamy, 26, banyak kejutan yang dikongsi tentang dunia teater.

Jika diselak sejarah dan perkembangan industri teater di Malaysia, kita hanya mempunyai pengarah teater yang sama dan lebih teruk, jenis penonton yang sama. Ini kerana teater sebagai satu cabang kesusasteraan yang primitif dan agak sukar disampaikan kepada semua orang.

Hanya mereka yang berminat dan tertarik dengan keaslian persembahan lakonan secara spontan sahaja yang menonton naskhah itu.

Walaupun wujud beberapa individu yang gah dalam memperkenalkan teater moden dalam kalangan penonton teater Melayu seperti Datin Seri Tiara Jacquelina yang menggemparkan penonton melalui teater-teater kelas pertama seperti Puteri Gunung Ledang The Musical serta Rohaya Atan dengan naskhah Nyoya Anak Muda dan teater Muzikal Tun Mahatir, namun mereka terpaksa memasukkan elemen muzikal dalam usaha menarik penonton ke pentas teater.

Guru untuk ramai pelakon

Bagaimanapun, usaha dan idea mereka wajar dipuji kerana sekurang-kurangnya ia memastikan survival teater Melayu.

Tetapi itu bukan nasibnya bagi teater Tamil yang menghampiri zaman kepupusan. Jika benar kenyataan yang diberikan penggiat teater moden Tamil, S. T. Bala yang mahu meninggalkan dunia teater, pasti ramai yang menangisinya kerana dia merupakan orang terakhir yang aktif dalam penglibatan teater Tamil.

"Saya memulakan karier sebagai pelakon semasa berusia 19 tahun. Ketika itu saya sekadar mencuba sahaja. Ada seorang penerbit tempatan membuka uji bakat dan berjanji akan membawa mereka yang lulus dalam uji bakat berlakon di India. Tetapi, saya hanya bertahan sehingga separuh. Selepas itu, saya pun menumpukan perhatian dalam pengajian," kata Ramesh.

Ketika itu dia sedang melanjutkan pengajian di sebuah kolej swasta. Katanya, salah seorang juri pada waktu itu ialah penggiat teater Tamil, Bala yang turut berjanji akan memanggilnya suatu hari.

Hari itu tiba apabila Bala sedang mengusahakan teater Marupadiyum. Ramesh dipanggil pada tahun yang sama untuk berlakon dalam teater arahan Bala.

"Sir umpama institusi lakonan. Dia akan memastikan setiap pelakon akan mengikut terma dan disiplin lakonan. Selepas berlakon dengannya, anda mudah diterima oleh pengarah lain. Cakap sahaja anda pernah berlakon dibawah arahan Sir," kata Ramesh yang menggelarkan Bala sebagai Sir.

Berkat ilmu Bala, selain pernah berlakon dalam beberapa teater arahan Bala, Ramesh pernah berlakon dengan beberapa pengarah teater lain, siri televisyen Gerak Khas, drama Di Bawah Satu Bumbung malah, memegang watak utama filem Tamil Challanggai.


SELAIN pementasan teater Bala juga aktif menerbitkan drama dan filem pendek.


Namun, ketika ditemui hari itu, wajah suram Ramesh membayangkan kesedihan hatinya. Sir yang diagungkannya dalam pentas teater dan lakonan sudah pun meletakkan titik noktah kerjayanya sejak Jun lalu.

"Kami (peminat teater Tamil) hanya tinggal Sir sebagai penggerak teater Tamil di Malaysia. Apabila Sir sudah berhenti daripada bergiat teater, maka teater Tamil akan pupus. Sebelum ini, memang ada pengarah teater Inggeris cuba menerbitkan teater Tamil, tetapi apabila teater itu tidak mendatangkan keuntungan dia sudah serik.

"Begitulah juga dengan pengarah-pengarah lain. Hanya Sir yang sejak dulu bertahan kerana dia membuat filem bukan untuk duit, tetapi kerana minat dalam bidang lakonan. Hari ini kami bukan sahaja kehilangan Sir bahkan, teater Tamil itu sendiri," ungkap Ramesh.

Menjejak penggiat terakhir teater Tamil itu, ketika ditemui, kemarahan dan kekecewaan jelas terpacar di wajah beliau. Walaupun mempunyai rekod kejayaan seni selama 23 tahun, beliau memberitahu, syarikat produksi dan saluran swasta menganggap dirinya sama ada masih baharu atau pesaing yang khuatir jika diberi peluang akan membelakangkan mereka.

Sedangkan pengarah berusia 43 tahun itu adalah nama di sebalik beberapa persembahan teater, drama dan filem pendek berbahasa Tamil dan bahasa Melayu.

Antara teater yang paling popular hasil beliau ialah Sebermulanya Sebuah Sinopsis (1990), Iruvar (2004), Menjunjung Wawasan (2004), Kembali (2005), Kembali Bersinar (2007), Karma (2006) dan Sambanthan (2008).

Selain dipentaskan di dewan-dewan biasa, teater Bala gah mendapat tempat di Dewan Bahasa dan Pustaka dan Istana Budaya.

Kekecewaan Bala

Mengimbau latar belakang Bala, beliau bermula dalam industri seni sejak 16 tahun lalu apabila memilih untuk belajar Pengarahan Filem di Akademi Filem Malaysia (FINAS). Minat beliau terserlah apabila memenangi Filem Video Pendek Terbaik bagi filem Cinta untuk kategori institusi pengajian tinggi seluruh negara ketika itu.

"Bayangkan ketika itu, penyertaan dibuka kepada 13 institusi dan lebih 30 orang peserta. Drama saya berkenaan kisah cinta antara lelaki India dan wanita Melayu dipilih sebagai yang terbaik," katanya bangga.

Malah, sewaktu belajar di FINAS, Bala telah mengerjakan tujuh buah teater, drama dan filem pendek. Walaupun kini digelar mahaguru teater Tamil, Bala sebenarnya lebih berminat untuk menghasilkan filem. "Sehingga sekarang saya sedang berusaha untuk berbuat demikian. Saya hanya mahu membuat filem. Saya bukan memilih teater atas alasan suka tetapi terpaksa kerana ketika itu tiada bantuan kewangan untuk membuat filem."


BALA memberi arahan dalam salah sebuah teaternya.


Bala bagaimanapun memberitahu, kemudian kepelbagaian yang ditunjuk dalam teater dan selaku seorang pengarah yang berjaya mengekalkan survival dalam bidang itu ia diharap dapat membantu beliau melangkah ke mana-mana.

"Mereka menyanjungi saya kerana saya memperkenalkan teater moden atau dikenali sebagai naveena medai nadagam. Teater moden ini merujuk cara persembahan yang tidak semestinya terikat dengan prop, contohnya ada teater yang dilakonkan oleh dua orang pelakon sahaja," katanya.

Bala pernah mencuba mencari peluang mengarah drama di slot televisyen Radio Televisyen Malaysia (RTM) 2, ketika itu yang memberikan slot yang sedikit, tetapi ketika itu ia didominasi oleh syarikat penerbitan mega.

Selepas 18 tahun, Bala mengakui masih dibelenggu masalah yang sama, syarikat penerbit tertentu mendominasi.

"Mereka mendapat pembayaran kira-kira RM200,000 untuk setiap episod. Bayangkan bagi drama 13 episod. Mereka menjana pendapatan berjuta ringgit. Ia hanya digunakan oleh beberapa syarikat yang sama!" luah Bala.

Lebih buruk, beliau mendakwakebanyakan pengarah yang bekerja di bawah syarikat penerbitan besar itu didatangkan khas dari India dengan tenaga murah. Ini memberikan ruang untuk syarikat mengaut keuntungan lebih berbanding jika mereka terpaksa memilih pengarah tempatan.

Syarikat swasta seperti Astro Vaanavil yang berbahasa Tamil tempatan, pula dilihat lebih mengutamakan produk dari India berbanding tempatan. "Mengapa mereka perlu mengagung-agungkan drama India dan beri waktu siaran perdana kepada mereka. Bukan itu sahaja, semua kedai emas, jenama rempah dan kedai kain berlumba-lumba membeli iklan dan menaja. Sedangkan yang mengaut keuntungan adalah orang luar," katanya yang percaya slot yang diberikan kepada penerbitan tempatan masih sangat sedikit dan tidak adil.


WALAUPUN lebih berminat dalam penghasilan filem, namun Bala tetap menghasilkan teater setiap tahun.


Bala pada tahun 2008 pernah menerbitkan sebuah teater mega, Sambanthan. Ia menceritakan kisah Tun Sambanthan dan rentetan peristiwa sepanjang kemerdekaan pada Ogos 1957 sempena sambutan kemerdekaan ke-50. Dalam teater itu, beliau turut menggunakan tenaga kerja, Datuk Jalaluddin Hassan sebagai Bapa Malaysia Tunku Abdul Rahman Putra dan Dr. Peter Low Meng Tuck selaku Presiden MCA yang ketiga, Tun Tan Siew Sin.

Selain itu, Bala juga pernah menerbitkan sebuah filem pendek, Bavam yang diterbitkan dalam filem 35 mm. Ketika itu, beliau bekerja bersama seorang pengarah filem tersohor di India, Dr. K. Balachander dan menjadi penolong pengarah untuk filem ke-100 beliau, Poi.

"Bukan itu sahaja, saya juga merupakan satu-satunya wakil menyertai kursus latihan rapid di UAA Jubli Emas (Akademi Lakonan dan Seni Halus YGP) di Chennai, India. Saya dihantar dengan biasiswa penuh oleh Kementerian Kebudayaan, Seni dan Warisan Malaysia ketika itu," katanya.

Namun, semua episod kegemilangan Bala dan teater Tamil kini akan hanya menjadi lipatan sejarah. Kecewa dengan beberapa pihak dan penonton teater yang semakin berkurangan telah menyebabkan Bala mengambil keputusan drastik untuk menarik diri daripada industri seni hiburan.

"Selepas lebih 23 tahun berjuang untuk teater Tamil, mungkin sudah tiba masanya saya berundur," luah Bala menutup bicara.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved