Selasa, 5 Julai 2011

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Memuliharatradisi Mandailing

Posted:

Memuliharatradisi Mandailing

Memuliharatradisi Mandailing

Oleh ROSMALINA ABD. KADIR



PALUAN Gordang Sambilan diiringi nyanyian adat Onang-onang telah menamatkan penantian kira-kira 600 tetamu pada malam itu.

Saat paluan pertama bergema bermakna pasangan pengantin yang ditunggu-tunggu sedang diarak untuk disandingkan di pelamin indah. Dengan berpegangan tangan, pasangan pengantin terlebih dahulu dililit dengan sehelai kain ulos oleh ibu pengantin perempuan sebagai tanda menyambut pengantin. Mereka kelihatan malu-malu sambil kenyusun langkah penuh berhati-hati ketika melewati deretan tetamu yang begitu teruja.

Sememangnya, tradisi perkahwinan Mandailing begitu sukar dilihat di Malaysia kini. Sejajar proses urbanisasi, tradisi yang kuat melingkari kehidupan kaum Mandailing di Malaysia suatu masa dahulu hampir diabaikan.


WARNA, hiasan dan upacara di pelamin ini adalah mengikut adat Mandailing.


Ramai anak muda tidak lagi berminat meneruskan tradisi nenek moyang mereka. Majlis perkahwinan bertema moden kontemporari barangkali lebih bergaya dan menjadi pilihan masa kini, apatah lagi cara hidup dan pertuturan Mandailing yang turut kian dilupakan. Tetapi tidak pula bagi pengantin perempuan, Intan Hawarin Salehudin Hasibuan, 28, yang memilih pasangannya, Azizan Kassim, 30. Mereka mahu memulakan pelayaran hidup berumahtangga tanpa melupakan tradisi Mandailing yang diturunkan ibunya, Aznah Sulaiman, 56. Dibesarkan dengan budaya dan pertuturan Mandailing, Intan yang merupakan anak keenam daripada 10 adik-beradik itu telah menghidupkan kembali tradisi perkahwinan Mandailing. Ia dilaksanakan penuh adat di Muzium Negara Kuala Lumpur, minggu lalu.


KUMPULAN Air Banjir dari Kampung Batu 12 Hulu Langat mempersembahkan tarian mereka.


Intan memberitahu, dia dibiasakan dengan gaya hidup Mandailing sejak kecil tetapi hanya menyedarinya setelah dewasa. Satu-satunya perkara yang disedari ketika itu adalah bahasa ibunda Mandailing yang menjadi pertuturan dalam kalangan warga tua di kampungnya di Sungai Bil, Tanjung Malim. "Saya dibesarkan dengan masakan tradisi seperti bulung gadung (gulai pucuk ubi) dan sambal tuk tuk malah dapat memahami butir bicara bahasa Mandailing walaupun tidak mahir menuturkannya. "Justeru, untuk perkahwinan ini, saya mahu menjadikannya majlis penuh bermakna dengan menghidupkan kembali adat Mandailing yang menjadi latar kehidupan saya selama ini," jelas penolong kurator Muzium Negara itu.

Tambah Intan, hasratnya itu dipermudahkan kerana melalui Internet, dia dipertemukan dengan Pensyarah Kanan Unit Kecemerlangan Warisan Jabatan Bahasa Melayu Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Mohd. Sharifudin Yusop. Bertemu margaraja Mohd. Sharifudin ialah margaraja atau ketua adat Mandailing selepas diamanahkan untuk menjaga Gordang Sambilan yang terdiri daripada sembilan gendang besar. Ia merupakan alat muzik kesenian warisan budaya tradisional kaum Mandailing. "Beliau telah membantu saya dan ibu untuk mengadakan majlis penuh adat Mandailing ini. "Bukan sekadar membantu dari segi maklumat dan pengendalian majlis, malah beliau menyediakan aksesori pengantin yang bertepatan dengan budaya perkahwinan Mandailing," katanya.


PARA wanita Mandailing pelbagai generasi bergabung dalam kumpulan Ribut Petir.


Majlis perkahwinan yang turut dihadiri Ketua Pengarah Muzium Negara, Datuk Ibrahim Ismail, itu dimulakan dengan persembahan Gordang Sambilan oleh kumpulan dari Institut Pendidikan Guru (IPG) Lembah Pantai. Ia disempurnakan dengan turutan upacara khas iaitu manortor, upa-upa, merenjis dan makan beradab. Upacara manortor yang merupakan tarian tradisi dipersembahkan oleh kumpulan Ribut Petir dan Air Banjir dari Kampung Batu 12 Hulu Langat. Kumpulan tersebut masing-masing menghiburkan tetamu dengan langkah tari Manortor Suhut dan Manortor Raja-raja. Pengantin menari Tetamu turut dihiburkan dengan persembahan manortor oleh pasangan pengantin. Biarpun sedikit kekok, terutamanya bagi pengantin lelaki yang merupakan anak jati Terengganu.


AZIZAN (dua dari kiri) yang merupakan anak jati Terengganu juga bersedia menari mengikut adat Mandailing bersama pasangannya.


"Sebelum mengenali Hawa (panggilan untuk Intan Hawarin) saya langsung tidak mengetahui mengenai budaya kaum Mandailing. Tapi disebabkan perkahwinan ini, saya telah banyak mempelajari budaya mereka seperti warna rasmi pelamin Mandailing iaitu hitam dan merah serta makanan dan pakaian khas Mandailing. "Saya dan keluarga tidak mempunyai halangan malah teruja untuk bersama-sama mengadakan majlis perkahwinan yang mengikut adat Mandailing ini," jelas Azizan yang terlebih dahulu melalui upacara masuk marga (kaum) yang dilaksanakan sebelum majlis pernikahan. Menurut Azizan, untuk berkahwin dengan orang Mandailing, dia perlu masuk marga dengan memilih keluarga angkat dari marga yang berbeza dengan keluarga pengantin perempuan yang berasal dari marga Hasibuan. "Saya telah memilih marga Nasution dan ia dijalankan dalam upacara ringkas berupa pemberitahuan masuk marga di kampung pengantin perempuan," katanya.


IBU pengantin perempuan, Aznah, menyempurnakan upacara buat pasangan pengantin di pelamin.


Sementara itu, upacara upa-upa yang dijalankan di pelamin merupakan upacara wajib majlis perkahwinan Mandailing yang diadakan bertujuan menaikkan 'tondi' atau semangat pengantin. Ibu pengantin, Aznah memberitahu, ketika upacara upa-upa tersebut, kaum keluarga pengantin telah menjamu pengantin dengan beberapa jenis makanan iaitu pulut kuning, ayam golek, telur rebus, udang, gula dan garam yang diletakkan dalam satu dulang khas. "Ketika upacara ini dijalankan, kaum keluarga terdekat akan memberi nasihat kepada pengantin mengenai alam rumah tangga, kemudian barulah acara merenjis dan makan beradab dijalankan sebagai penutup majlis," jelasnya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Layanan terakhir untuk si mati

Posted:

Layanan terakhir untuk si mati

Layanan terakhir untuk si mati


KUMPULAN Kyaw Thu menguruskan perkhidmatan percuma hampir 50 pengebumian sehari.


DAHULU Kyaw Thu, 51, seorang bintang filem terkenal di negara yang diperintah junta tentera, Myanmar. Kini, dia kerap dilihat mengusung keranda atau memandu kereta mayat pada majlis pengebumian orang miskin.

Selepas sedekad Kyaw Thu mengasaskan Persatuan Perkhidmatan Pengebumian Percuma, organisasi itu telah membantu lebih 100,000 buah keluarga yang mahu memberi penghormatan terakhir kepada si mati tanpa bayaran waima kyat1 (RM0.47).

"Saya mahukan perjalanan terakhir si mati dalam keadaan sebaik mungkin," kata bekas pelakon yang kini sudah beruban pada rambut dan janggutnya tetapi aura bintangnya tetap bersinar. Dengan pekerja berbayar seramai 80 orang dan 115 orang lagi sebagai sukarelawan, kumpulan Kyaw Thu menguruskan perkhidmatan percuma hampir 50 pengebumian sehari. Bagi merealisasi angka tersebut, pasukannya menggunakan 18 buah kereta mayat dan dua buah bot bagi membawa si mati dan ahli keluarganya. Selain itu, Kyam Thu juga perlu bergantung kepada hasil derma daripada penduduk tempatan dan luar negara.

Persatuan tersebut merupakan salah satu daripada banyak kumpulan awam tempatan yang berkembang di negara yang berada di bawah pemerintahan tentera selama hampir separuh abad. Kehadirannya dapat menampung kekosongan yang ditinggalkan oleh sektor awam kerana sering berdepan masalah kewangan dan aliran masuk bantuan asing yang sangat rendah. Menurut perangkaan Bank Dunia, Myanmar kekal sebagai salah satu negara tidak membangun walaupun memiliki banyak sumber-sumber alam yang tidak diteroka dengan hampir satu pertiga rakyatnya hidup di bawah garis kemiskinan. Kadar inflasi yang teruk turut menyebabkan penduduk negara pemerintah tentera itu semakin melarat.

Ritual pengebumian


PERBELANJAAN untuk majlis pengebumian di Myanmar menelan kos yang tinggi.


Pyae Phyo Tun, 12, seorang kanak-kanak yang mati lemas ketika sedang berenang di tasik berdekatan rumahnya. Ibu bapanya terpaksa merayu bantuan daripada Kyaw Thu kerana tidak mampu menanggung kos pengebumian anak lelakinya. "Kamu (Kyaw Thu) adalah penyelamat kami. Tanpa pertolongan anda, perjalanan terakhir anak lelaki kami tidak akan lancar," kata Aye Maw, 33, kepada pelakon filem itu pada hari pengebumian anak lelakinya di Yangon.

Di negara yang turut dikenali sebagai Burma itu, majoriti penganut Buddha percaya perjalanan ke kehidupan seterusnya perlu berjalan lancar tanpa ada penangguhan. Sebab itulah, upacara pengebumian adalah sesuatu yang sangat tradisi bagi penduduknya. Sudah menjadi kebiasaan, saudara-mara si mati akan membina sebuah astaka yang mampu bertahan selama seminggu di hadapan rumah untuk orang ramai berkumpul.

Selalunya, pada hari ketiga kematian, orang yang berkabung akan pergi ke tanah perkuburan manakala para sami akan membaca mantera sebelum mayat dibakar. Bagi yang berkemampuan, mereka akan membeli sebidang tanah di kawasan perkuburan bagi tujuan itu. Selepas beberapa hari, sebuah upacara memperingati si mati akan diadakan dengan menjemput orang ramai untuk berkabung manakala sami pula akan bersembahyang bagi memudahkan perjalanan roh ke dunia seterusnya. Bagi kebanyakan keluarga, agak sukar untuk mereka mengadakan sebuah majlis yang besar seperti itu. Pada masa itulah masa yang sangat sibuk bagi Kyaw Thu.


PERSATUAN Perkhidmatan Pengebumian Percuma telah menguruskan lebih 100,000 majlis seumpamanya untuk mereka yang kurang berkemampuan.


"Saya berasa gembira dan pada masa yang sama sedih. Anak saya tidak menyebabkan sebarang masalah walaupun dia kini sudah meninggal dunia. "Kami berdepan pelbagai kesukaran pada peringkat awal bagi mengurus pengebumian tetapi Persatuan Perkhidmatan Pengebumian Percuma membantu kami menyempurnakan mayatnya tanpa bayaran," kata Aye Maw dengan suara yang bergetar dan air mata yang bercucuran membasahi pipi.

Suaminya Zaw Tun, 34, bekerja sebagai buruh binaan berkata, mustahil untuk mereka membayar sendiri kos upacara pengebumian anak lelakinya.

Bagi upacara pengebumian sahaja boleh menelan kos lebih kyat35,000 (RM129.20) iaitu 10 kali ganda pendapatan seharinya. Persoalannya, bolehkah dia bekerja dalam waktu singkat bagi mengumpul duit sebanyak itu? "Saya terpaksa meminjam sebanyak kyat45,000 (RM166.70) pada kadar faedah 15 peratus ketika memerlukan wang bagi menghantar anak ke hospital dan mengaji sebuah bot untuk pengebumian. "Jiran-jiran tidak dapat membantu kerana mereka juga bekerja sebagai buruh kasar seperti saya," kata Zaw Tun dalam nada hiba selepas pulang dari tanah perkuburan.

Diperhatikan


KYAW THU


Walaupun kumpulan Kyaw Thu bukan satu-satunya organisasi yang menawarkan perkhidmatan seperti itu kepada golongan miskin, aktivitinya telah dibawa kepada pihak berkuasa Myanmar. Kuasa pemerintahan Myanmar baru sahaja diberi kepada rakyat negara itu pada bulan Mac lalu melalui pilihan raya yang diadakan pertama kali dalam tempoh dua dekad. Parti Kesatuan Perpaduan dan Pembangunan, sebuah parti politik proksi tentera menyapu bersih keputusan pilihan raya pada bulan November lalu turut menawarkan perkhidmatan pengebumian. Bintang filem yang pernah glamor suatu ketika dahulu itu pernah ditahan sebanyak dua kali oleh pihak berkuasa kerana aktivitinya dengan pelajar serta pemberontakan yang diketuai sami-sami Buddha pada tahun 1988 dan tahun 2007.

"Saya tidak berminat dalam politik. Tetapi orang ramai berharap dan menaruh kepercayaan kepada kami disebabkan oleh aktiviti yang kami lakukan, " kata Kyaw Thu yang mengakui dia dan kumpulannya diperhatikan oleh pemerintah. Dia meninggalkan dunia lakonan kerana telah disenarai hitam selepas dibebaskan dari tahanan. "Kehidupan saya kini sangat sunyi berbanding ketika menjadi pelakon dahulu. Tetapi jika saya letakkan diri sebagai Kyaw Thu, seorang pekerja sosial, sekarang saya mempunyai lebih ramai kawan. Bukan sahaja orang yang masih hidup tetapi juga hantu," katanya. - AFP

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tandas awam cermin sifat masyarakat

Posted:

Tandas awam cermin sifat masyarakat

Tandas awam cermin sifat masyarakat


PENGURUSAN dan penggunaan tandas awam yang seteruk ini hanya akan memalitkan imej buruk terhadap identiti dan budaya orang tempatan.


PADA musim cuti sekolah yang lepas, kompleks beli-belah dan pasar raya hiper di ibu kota seperti biasa dibanjiri pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat. Pada musim beginilah kebersihan tandas awam menjadi semakin 'tergugat' lantaran digunakan oleh ramai pengunjung. Malangnya, memang ada segelintir anggota masyarakat yang tidak prihatin terhadap kepentingan orang lain ketika dan selepas menggunakan tandas awam.

Lebih teruk sekiranya tempat-tempat tumpuan ramai itu tidak cukup atau tidak ada pekerja yang membersihkan kemudahan awam tersebut. Tanggungjawab memastikan tandas tersebut bersih seolah-olah menjadi cabaran besar. Rata-rata orang ramai mengatakan kebersihan tandas awam tidak mencapai tahap yang memuaskan terutamanya pada musim cuti dan perayaan. Kualiti kebersihannya jauh sekali kalau hendak dibandingkan dengan tandas yang disediakan di hotel mewah, hentian rehat lebuh raya dan juga beberapa gedung beli-belah yang berstatus tinggi.

Tidak beretika

"Segelintir anggota masyarakat kita bersalah kerana mereka tidak beretika ketika menggunakan tandas awam," kata aktivis sosial, Gurmukh Singh. Katanya, ada yang sengaja tidak mahu menggunakan pam tandas setelah menggunakannya dan ada pula yang mencangkung di atas mangkuk tandas. Itu akan mengotorkan mangkuk tandas dan adakalanya mangkuk tandas akan pecah. "Imej negara akan tercalar. Apa kata pelancong jika mereka terpaksa menggunakan tandas awam yang kotor?" kata beliau.

Tandas bersih

"Saya berpuas hati dengan tandas di sepanjang LebuhRaya Utara-Selatan di negara anda kerana ia bersih, tidak seperti yang terdapat di stesen-stesen minyak di kebanyakan tempat," kata seorang pelancong dari Kanada, Mike Brown. Kerajaan melancarkan Kempen Tandas Bersih pada tahun 1997 bagi menimbulkan kesedaran dalam masyarakat tentang perlunya tandas awam yang bersih. Menurut data yang dikeluarkan Pertubuhan Tandas Dunia (WTO), secara puratanya seorang individu menggunakan tandas sebanyak 2,500 kali setahun atau sama dengan enam hingga lapan kali satu hari. Ini bermakna secara purata, seseorang itu menggunakan tandas selama tiga tahun dalam hidupnya.

Menurut pertubuhan itu lagi, masalah kebersihan tandas merupakan isu di seluruh dunia disebabkan separuh daripada penduduk dunia tidak mempunyai sistem sanitasi yang baik. Ada juga tandas yang tidak mempunyai struktur reka bentuk yang sesuai. Menurut Gurmukh Singh, kebersihan tandas awam adalah penting kerana ia mencerminkan sifat dan perangai masyarakat di sesebuah negara. "Terima atau tidak, masyarakat Malaysia perlu sedar bahawa kebanyakan kualiti kebersihan tandas awam di negara ini adalah di bawah tahap yang sepatutnya.

"Kita perlu lihat negara lain contohnya Jepun yang telah menetapkan kebersihan sebagai satu keutamaan dan dengan mudahya masyarakat negara itu mengamalkan budaya kebersihan tandas," kata beliau. Beliau memberikan contoh rakyat negara Jepun yang mengamalkan kebersihan tandas sejak lama dahulu. "Bagi mereka, tidak kira berapa maju sesebuah negara atau betapa cantiknya bangunan atau premis, kalau tandas tetap kotor maka negara itu akan dianggap mundur. Begitulah sikap mereka terhadap kebersihan tandas," tambah beliau.

Penting bagi perniagaan

Bagi pemilik sebuah restoran di Kota Damansara dekat sini, yang mahu dikenali sebagai Mohan, kebersihan tandas penting bagi perniagaan beliau. Katanya kebersihan tandas membuatkan pelanggan selesa untuk singgah dan makan di restorannya. "Tetapi saya perlu menyediakan pekerja khas yang bekerja sepenuh masa untuk menjaga kebersihan tandas. Tanpa ada orang menjaganya, aspek kebnersihan akan terjejas selepas beberapa orang sahaja menggunakan tandas itu," kata Mohan.

Katanya walaupun seseorang itu biasa dengan kebersihan, mereka juga akan membiarkan tandas awam itu kotor kalau kemudahan itu didapati sudah kotor apabila mereka menggunakannya. Bagi Mohan, notis pesanan dan peringatan perlu diletakkan di tandas awam bagi mengingatkan pengguna supaya menjaga kebersihan kemudahan itu. "Saya juga meletakkan peringatan bahawa tandas tidak akan bersih dengan sendiri tanpa mereka yang menggunakannya mengambil inisiatif membersihkan kemudahan itu," tambahnya.

Menurut Mohan, tandas yang bersih di restoran atau kedai makan akan menarik lebih ramai pelanggan dan itu baik untuk perniagaan kerana pelanggan akan puas hati dengan perkhidmatan yang disediakan. Bagi Ahmed Waheed dari Bangladesh, yang bertugas sebagai tukang cuci di sebuah pasar raya hiper di Kota Damansara, dia berasa bangga kerana berjaya memastikan tandas awam di premis itu sentiasa bersih ketika beliau bertugas. "Saya cuci tandas ini bersih-bersih selepas digunakan orang lain," kata Ahmed yang ditemui semasa warga asing itu melakukan tugasannya. Gurmukh Singh mempunyai satu nasihat bagi pengguna tandas awam. "Gunalah tandas awam seperti anda guna tandas sendiri di rumah. Anda perlu ada etika ketika menggunakannya." - Bernama

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved