Jumaat, 24 Jun 2011

Kosmo Online - Pemotoran


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pemotoran


Cuma 1 sen untuk 1 kilometer

Posted:

Cuma 1 sen untuk 1 kilometer

Cuma 1 sen untuk 1 kilometer

Oleh SHAWKATH AZDE
shawkath.ashraf@kosmo.com.my



PENGENALAN motosikal menggunakan sumber elektrik dikatakan bermula sejak tahun 1860-an. Ketika itu, sudah ada paten motosikal berasaskan sumber alternatif. Namun begitu, tiada rekod rasmi mengenainya.

Hanya pada tahun 1941, ada rekod mendakwa Earle Williams dari Amerika Syarikat (AS) melakukan pengubahsuaian sebuah motosikal dengan enjin konvensional menjadi motosikal elektrik.

Setahun selepas itu, firma Australia iaitu Socovel mengeluarkan kira-kira 400 unit motosikal elektrik buatan sendiri. Pendorong penciptaan motosikal hijau pada waktu itu dikaitkan dengan senario kenaikan harga minyak global.

Peugeot Motocycles menjadi syarikat pertama melaksanakan pengeluaran skuter elektrik berskala besar-besaran pada tahun 1996. Dikenali sebagai Scoot'elec, ia berjaya mencatat jualan sebanyak 3,500 unit sebelum pengeluarannya dihentikan pada tahun 2006. Model pengganti Scoot'elec dikatakan bakal dilancarkan pada tahun ini.

Tanggal 16 Jun lalu, landskap industri motosikal tempatan mengalami pembaharuan apabila Motosikal Dan Enjin Nasional Sdn. Bhd. (Modenas) melancarkan model motosikal elektriknya, CTric.

Jentera beroda dua elektrik pertama negara itu berjaya memenuhi standard piawaian motosikal elektrik SIRIM iaitu MS2413. Harus tahu bahawa CTric diuji berdasarkan piawaian ujian Japan Industrial Standard (JIS).

MS2413 yang diperkenalkan pada 7 April lalu merupakan piawaian khusus untuk motosikal elektrik dan tidak membabitkan basikal elektrik. Terdapat tiga bahagian utama terkandung di dalamnya iaitu spesifikasi umum, keselamatan dan ujian prestasi.

Antara syarat yang perlu dipatuhi ialah CTric perlu memiliki prestasi sama dengan motosikal enjin pembakaran dalaman (combustion engine) dengan kelajuan melebihi 50 kilometer/sejam (km/j). Ia juga perlu berupaya menaiki cerun pada sudut 20 darjah.

Selain itu, harga motosikal elektrik perlu 2.5 sehingga tiga kali ganda harga motosikal berenjin biasa. Faktor itu, akan menyebabkan harga motosikal hijau lebih mahal berbanding motosikal menggunakan petrol sebagai sumber tenaga.


CTric mengguna pakai model Modenas CT.


Jadi Modenas memerlukan formula agar motosikal itu lebih mampu dimiliki. Jawapannya terletak pada penggunaan bateri asid plumbum 12V/20AH berasaskan teknologi Nano Gel, berbanding mengguna pakai bateri lithium ion polimer.

Ini dapat mengurangkan harga motosikal kerana pemilihan bateri asid plumbum 12V/20AH jauh lebih murah berbanding bateri lithium ion polimer. Murah bukannya tidak berkualiti. Masing-masing ada kelebihan dan kekurangannya.

Pengurus Penyelidikan dan Pembangunan Modenas, Ahmad Sabandi Othman berkata, walaupun bateri lithium ion polimer memiliki jangka hayat lebih lama dan berprestasi tinggi, ia juga mudah meletup apabila terlebih cas atau sewaktu nyah cas bateri dilakukan.

"Kelemahan kedua-dua jenis bateri ini dan kenderaan elektrik adalah ia tidak dapat bergerak jauh (secara berterusan) berbanding enjin pembakaran dalaman. Motosikal elektrik juga memerlukan masa mengecas yang lama. Paling minimum ialah tiga jam," katanya dalam satu taklimat CTric.

Motosikal CTric dilancarkan oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha di Shah Alam baru-baru ini. Beliau menyatakan ada tiga lagi pembuat tempatan termasuk pengimport motosikal berada dalam proses mendapat kelulusan memasarkan motosikal elektrik mereka.

Berdasarkan model CT

CTric dibina berdasarkan model motosikal petrol Modenas iaitu CT. Malah nama CTric merupakan gabungan model CT dan elektrik. Enjin petrol pada model CT ditukar kepada motor yang digerak menggunakan kuasa elektrik.

Sumber penggerak motosikal seberat 114 kilogram (kg) itu diperoleh menerusi lima unit bateri dengan kapasiti 1,200Wh. Tenaga disalurkan kepada Motor Arus Terus Tanpa Sesentuh berkuasa 3.60kW @ 80km/j. CTric menggunakan transmisi automatik.

Pemilihan model CT sememangnya tepat. Model tersebut merupakan produk paling laris Modenas buat masa ini. Sejak model CT110 dan CT100 diperkenalkan pada November 2009 dan Januari 2010, jualan terkumpul kedua-model itu sudah melebihi 40,000 unit sehingga Mac 2011. Jumlah pendaftaran semua model motosikal Modenas sejak tahun 1996 sehingga April lalu sudah melebihi 1.1 juta unit.


BATERI ditempatkan di bawah tempat duduk dan di belakang roda hadapan.


Ahmad Sabandi berkata, bateri CTric boleh dicas menerusi soket tiga pin seperti yang digunakan di rumah. Apabila bateri sudah dicas penuh, sumber elektrik akan diputuskan secara automatik. Ini membolehkan bateri tersebut memiliki jangka hayat lebih lama.

Dua mode mengecas disediakan. Mode pantas selama 3.5 jam dan lapan jam untuk pengecasan normal. Jarak tunggangan setiap kali caj penuh ialah 60 kilometer (km) dengan tunggangan pada kelajuan purata 30km/j. Had laju CTric mampu mencapai 70km/j.

Kos untuk setiap km ialah satu sen berbanding petrol sebanyak lima sen satu km. Setiap unit bateri memiliki jangka hayat kira-kira dua tahun atau jarak perbatuan 32,000km (mana-mana yang tiba dahulu).

Modenas CTric turut diuji apabila ditenggelami air pada paras ketinggian 25 sentimeter (sm) iaitu lebih 15 sm berbanding standard yang ditetapkan. Jentera itu kemudiannya diuji dalam saluran air sepanjang 500 meter.

Hasilnya, keseluruhan rangkaian kuasa adalah kalis air.

Ketua Eksekutif Modenas, Abd. Halim Ismail memberitahu, model tersebut disasarkan kepada para pengguna di bandar. Pada peringkat awal, pengeluaran sebanyak 700 unit sebulan akan dibuat.

"Sebanyak 500 unit untuk pasaran domestik dan selebihnya untuk tujuan eksport. Eksport pertama sebanyak 100 unit ke Iran akan dilaksanakan menjelang akhir bulan ini," katanya yang memberitahu CTric turut menarik minat beberapa negara lain termasuklah Eropah dan Korea.

Sistem operasi CTric


TERMINAL pengecasan ditempatkan di bahagian kiri kunci penghidup motosikal.


Untuk menghidupkan CTric, kunci harus dimasukkan terlebih dahulu, sebelum tongkat motosikal dinaikkan. Tongkat tersebut dilengkapi alat pengesan (sensor) keselamatan untuk mengelakkan berlaku pergerakan secara tidak sengaja.

Tiga mod disediakan iaitu D untuk tunggangan, N (neutral) dan R bagi mengundur. Pulas pendikit dan jentera akan bergerak. Perbezaannya terletak pada mod R. Jika ingin mengundurkan motosikal, pilih mod R dan anda perlu menekan butang REV sewaktu memulas pendikit.

CTric ditawarkan pada harga RM4,888 seunit, termasuk cukai jalan dan insurans. Menarik bukan? Harganya hampir menyamai beberapa jenama motosikal enjin konvensional yang ada di pasaran sekarang.

Usaha Modenas dalam merealisasi motosikal berasaskan teknologi hijau membuktikan kemampuannya untuk mencetuskan kelainan dalam industri, selain menonjolkan produk negara di persada antarabangsa.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Mitsubishi ASX

Posted:

Mitsubishi ASX

Mitsubishi ASX

Oleh AHMAD SYUKRAN ZAINUDDIN
syukran.zainuddin@jkosmo.com.my



BAGI mereka yang pernah memandu uji model crossover kompak terbaru Mitsubishi, agak sukar untuk tidak menyukainya. Dikenali sebagai ASX, singkatan kepada Active Smart Crossover, jentera itu menawarkan apa yang berbaloi untuk harga kurang RM140,000 seunit.

ASX melakukan debut di pasaran tempatan pada lewat tahun lalu bersama model Mitsubishi Lancer Sportback. Berbanding Sportback yang menggunakan enjin 2.4 liter, ASX hanya dipasang dengan unit enjin bersesaran 2.0 liter seperti yang ada pada Lancer GT.

Jika harga dan spesifikasi tambahan bukan menjadi perbandingan utama, ASX bersaing dengan model-model seperti Suzuki SX4 Crossover, Renault Koleos, Nissan Dualis (pernah dibawa masuk oleh pihak Naza suatu ketika dahulu) dan Volkswagen Tiguan. Bagi pasaran Malaysia yang agak terhad pilihannya, memang sukar untuk mencari pesaing paling ideal untuk ASX.

Jika di pasaran lain ASX didatangkan dengan pilihan enjin diesel dan pacuan empat roda, Mitsubishi Motors Malaysia Sdn. Bhd. (MMM) hanya menawarkan satu varian sahaja. Enjin petrol dengan konfigurasi pacuan dua roda.

Dibina menggunakan platform sedan Mitsubishi Lancer, anda boleh mengharapkan kualiti pemanduan yang rigid dan meyakinkan. Ia terbukti ketika saya memandu uji ASX dalam perjalanan menuju ke Genting Highlands baru-baru ini.

Diimport sepenuhnya (CBU) dari Jepun, jentera seberat 1,970 kilogram (kg) itu mampu melayan setiap selekoh dengan baik. Tahap olengan tubuh dan rasa membuang di bahagian belakangnya adalah minimum.

Sukar sekali pemandu akan berasa hilang kawalan. Nampaknya, Active Stability Control (ASC) benar-benar menganalisis pergerakan kenderaan dan memantau masalah gelinciran rodanya.

Enjin MIVEC


UNIT audio Kenwood dengan skrin sentuh yang mudah dioperasi.


ASC berfungsi menguruskan pengeluaran kuasa daripada enjin, pada masa yang sama mengenakan kuasa brek ke atas roda tertentu bagi mengekalkan kestabilan serta kawalan kenderaan.

Kualiti pemanduan itu juga banyak dibantu oleh gabungan suspensi jenis topang MacPherson pada roda hadapan dan multilink untuk roda belakangnya. Pendek kata, menyusuri laluan sebegini dengan ASX sememangnya sesuatu yang boleh anda lakukan sepanjang hari tanpa rasa mahu mengeluh.

Kualiti pemanduan disempurnakan lagi dengan kuasa yang dijana daripada enjin blok aluminium ringan berkuasa 150PS. Prestasi enjin yang diekstrak oleh teknologi pemasaan injap MIVEC (Mitsubishi Innovative Valve timing Electronic Control) terbukti lancar dan mengesankan. Kuasa tersebut diagih ke roda hadapan menerusi kotak gear INVECS-III CVT enam kelajuan.

Secara peribadinya, saya gemar bermain dengan paddle shifter yang diperbuat daripada magnesium dan diletakkan di belakang stereng. Maklum balas penukaran gear dapat dilakukan dengan tepat. ini sekali gus dapat menyesuaikan karekteristik pemanduan yang agresif. Namun, pastikan kedudukan gear yang dipilih adalah sesuai dengan kelajuan, kalau tidak mahu mendengar enjin melahu secara berlebihan.

Biarpun dipandu agresif, catatan penggunaan bahan apinya masih boleh diterima, jika dibandingkan dengan keseronokan yang diperolehi. Anggaran penggunaan petrol ASX (gabungan perjalanan di bandar dan lebuh raya) adalah sekitar 7.9 liter bagi setiap 100 kilometer.

Elemen minimalis

Jentera itu turut dilengkapi dengan ciri Hill Start Assist (HSA) yang berfungsi mengelakkannya daripada mengundur jika memulakan pemanduan pada pertengahan laluan berbukit. Apabila tahap kecerunan dikenal pasti, HSA akan mengekalkan kuasa membrek secara automatik sehinggalah pedal minyak ditekan. Jadi, anda tidak perlu menggelabah dan terburu-buru untuk menekan pedal minyak.

Penumpang dialu-alukan dengan barisan tempat duduk yang dibalut dengan kulit berwarna hitam. Ia terbukti selesa biarpun terpaksa menempuh perjalanan yang lama. Bagi mereka yang berketinggian sederhana, ruang lega kaki dan kepala adalah lebih daripada mencukupi.


PAPAN pemuka ASX cukup ringkas dan ergonomik.


Tipikal Mitsubishi, ia mengetengahkan elemen minimalis ke dalam kabin ASX. Tidak ada butang-butang berlebihan pada papan pemukanya.

Konsol tengah hanya dihuni oleh unit audio jenama Kenwood dengan skrin sentuh yang mudah dioperasi, walaupun paparannya kurang mengujakan. Unit audio itu dipadankan bersama enam pembesar suara yang memberi kualiti bunyi memuaskan.

Tiga tombol kawalan pendingin hawanya ringkas. Pusing sahaja secara manual mengikut kesesuaian suhu yang anda mahukan. Menerusi ciri kawalan suhu automatik, menyejukkan kabin yang dimonopoli tona hitam itu tidak memakan masa terlalu lama.

Stereng tiga jejari itu bagaimana pun nampak kosong, biarpun ia dibalut kemas dengan material kulit. Tidak ada butang kawalan audio di sana. Apa yang ada hanya butang Cruise Control dan diletakkan pada sebelah kanannya.

Boleh dikatakan bahawa ASX tampil pada masa yang sesuai. Ketika pasaran semakin galak menerima segmen yang menggabungkan kelebihan sebuah SUV dan sedan ke dalam satu produk. Penerimaan orang ramai terhadap ASX juga agak baik, kelibat ASX mudah dilihat di mana-mana terutama di Lembah Kelang.

Membuat penilaian tentang penampilan sebuah ASX sememangnya satu perkara subjektif.

Mungkin ada yang tidak suka dengan bahagian hadapannya yang kelihatan begitu besar dan mendatar. Tetapi bagi saya, ia memiliki personaliti yang membuatkan orang ramai terus mahu melihatnya dari jauh atau dekat.

ASX ditawarkan pada harga RM139,980 (dia atas jalan) dengan lima pilihan warna iaitu hitam, putih, merah, biru dan kelabu.

Untuk ketenangan minda, ia hadir bersama jaminan selama tiga tahun atau perbatuan 100,000 kilometer (yang mana tiba dahulu).

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Range Rover Supercharged

Posted:

Range Rover Supercharged

Range Rover Supercharged


RANGE Rover Supercharged menawarkan kualiti pemanduan yang meyakinkan.


LAND Rover (Malaysia) Sdn. Bhd. (Land Rover Malaysia) baru-baru ini memperkenalkan Range Rover 5.0-liter Petrol Supercharged versi tahun 2011 yang disifatkan sebagai SUV (sports utility vehicle) paling berkuasa dan mewah di dunia.

Enjin supercharged LR-V8 bersesaran 5.0 liter dan berkuasa 510bhp itu menawarkan prestasi dan penjimatan terbaik.

Dibangunkan sendiri oleh para jurutera Land Rover, takat 0-100 kilometer sejam (km/j) mampu dicapai hanya dalam tempoh 6.2 saat sahaja.

Lebih menakjubkan adalah emisi CO2 cuma 384g/km, pengurangan sebanyak 7.4 peratus berbanding enjin sebelumnya.

Enjin LR-V8 supercharged bersesaran 5.0-liter itu adalah ringan, amat cekap dan menetapkan penanda aras yang baru bagi aspek penjimatan, kelancaran serta prestasi.

Menjana kuasa sehingga 510bhp dan 625 Nm tork, enjin Supercharged 5.0-liter itu 28 peratus lebih berkuasa berbanding enjin sebelumnya, selain menghasilkan 10 peratus lagi tork.

Range Rover Supercharged 2011 mengekalkan kotak gear automatik ZF 6HP28 yang mengagumkan itu.

Secara dinamiknya, Range Rover Supercharged dilengkapi dengan sistem suspensi yang mengandungi teknologi Adaptive Dynamics. Ia mengawal kenderaan sewaktu mengambil selekoh.

Model Range Rover Supercharged tahun 2011 ditingkatkan lagi menerusi beberapa penambahbaikan ke atas sistem Terrain Response® iaitu Hill Start Assist dan Gradient Acceleration Control (GAC).

HSA mengekalkan tekanan brek yang dibuat oleh pemandu, cukup lama bagi membolehkan kaki beralih daripada pedal brek dan menekan pendikit tanpa membuatkan kereta mengundur ke belakang.


RUANG dalaman yang mewah.


GAC pula dibangunkan untuk memberi perlindungan keselamatan di kawasan cerun yang curam apabila pemandu tidak mengaplikasikan sistem Hill Descent Control (HDC).

Bahagian dalaman Range Rover Supercharged menampilkan kemewahan sebenar dengan penggunaan kemasan kulit Oxford. Sementara aspek hiburan pula ditawarkan oleh sistem bunyi sekeliling harmon/kardon® Logic 7 Hi-Fi dengan 14 unit pembesar suara.

Biarpun dengan semua penambahan itu, harganya kekal RM798,888 (Semenanjung Malaysia) dan RM802,388 (Sabah dan Sarawak), di atas jalan tidak termasuk insurans.

Menurut Ketua Operasi Land Rover Malaysia, Mohd Hanif Tan Abdullah, sebanyak lapan unit Range Rover Supercharged telah dijual. Pihaknya menyasarkan jualan sebanyak 20 unit jentera tersebut menjelang akhir tahun ini.

Maklumat lanjut mengenai Range Rover Supercharged 2011, sila hubungi 1-300-1300-16 atau layari www.landrover.com.my.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved