Rabu, 29 Jun 2011

Kosmo Online - Horizon


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Horizon


Ujian sukar dalam belantara

Posted:

Ujian sukar dalam belantara

Ujian sukar dalam belantara

Oleh RAIS YEOP JOHARI
rais.johari@kosmo.com.my



SELEPAS sarapan dan membawa sebotol dua air mineral dalam beg masing-masing, peserta Kumpulan 2 pagi itu bagai tidak sabar dan teruja ingin memulakan misi Kembara Duga di hutan belantara Taman Negara Kuala Koh di Gua Musang, Kelantan.

Seramai 36 peserta Perajurit Muda pasukan Askar Wataniah dari Kem Rejimen 515 Askar Wataniah begitu bersemangat apabila mengetahui bahawa kumpulan sebelum mereka berjaya menamatkan misi dengan penuh cabaran.

Kumpulan 1 itu terdiri daripada pelatih dari kem Rejimen 502 Askar Wataniah, Bahagian Teknologi Persenjataan (Stride) Batu Arang dan Stride Kajang seramai 30 orang. Kumpulan itu diterajui Sarjan Sapawi Hamdan Mohd. Nor dan Sarjan Junaidi Mamat.

Ramai yang begitu teruja mahu untuk menempuhi misi berkenaan kerana rata-rata peserta termasuk penulis dan rakan dari Platun Media, kali pertama menjejakkan kaki ke taman negara tersebut.

Selesai taklimat ringkas dari Ketua Program, Mejar Mohd. Yusoff Sadri, dan kata-kata semangat daripada Staf Sarjan Mohd. Yusuff Musa, kira-kira pukul 9 pagi kesemua peserta memulakan cabaran yang dipanggil Canopy Walk dengan melalui jambatan gantung sejauh kira-kira 50 meter dan tinggi lebih kurang 25 meter.

Kemudian perjalanan merentas hutan (jungle tracking) di belantara itu benar-benar menakjubkan apatah lagi peserta dapat melihat keindahan flora dan fauna yang terpelihara untuk tatapan untuk generasi akan datang.

Kira-kira dua jam meredah hutan, tidak dinafikan fizikal dan mental peserta mula tercabar. Riuh rendah suara dan keriangan mereka mula bertukar perasaan serius, letih dan cemas ketika merentasi lebih lima bukit-bukau di Pertang.

Dalam kembara itu, pelbagai aksi peserta mencuit hati rakan sekumpulan apabila ada dalam kalangan mereka yang panik dan terkejut akibat 'serangan' pacat di kaki mereka.

Walau apa jua rintangan yang menanti, kesemua peserta meneruskannya atas dasar semangat berpasukan walaupun keletihan. Seorang wartawan Bernama, Nurqalbi Mohd. Reda, 28, dari Platun Media yang mengalami kecederaan pangkal buku lali juga tidak patah semangat demi menyempurnakan misi berkenaan.

"Misi ini memang mencabar fizikal dan mental, lepas turun bukit curam kita daki pula bukit yang tinggi. Biar apa pun, kita harung juga sampai tamat.

"Buddy, lepas dua jam, kita harung bukit ini memang nalla (bermakna besar mengikut dialek Utara)," kata rakan sekhemah penulis, Mohamad Naim Firdaus Abd. Aziz.

Meskipun letih, Mohamad Naim yang bertindak selaku jurugambar, yakin menyempurnakan misi berkenaan sambil tidak melepaskan peluang merakamkan keindahan hutan, aksi para peserta dan juga bekas tapak kaki harimau menerusi kamera digital Canon 1D Mark V yang begitu lasak.

Riak sungai


PENGALAMAN menaiki trak tentera untuk ke Taman Negara Kuala Koh begitu mengujakan.


Apabila terdengar bunyi air sungai semakin hampir dan jelas, kesemua peserta kembali bersemangat meneruskan perjalanan untuk tiba di check point pertama berehat dan menunggu makan tengah hari di Sentri Kelah.

Sejurus selesai makan dan berehat kira-kira satu jam lebih, pengembaraan diteruskan semula. Mental dan fizikal peserta sekali lagi diuji apabila dikehendaki berpatah balik dan mendaki beberapa buah bukit untuk ke check point kedua.

Perjalanan kali ini benar-benar menguji kekentalan semangat para peserta selepas sejam lebih berjalan. Ada beberapa peserta hampir putus asa untuk meneruskan perjalanan berikutan mengalami keletihan dan kesakitan di pangkal buku lali.

Bukan sekali dua kaki peserta terpelecok malah ada yang beberapa kali tersadung tunggul-tunggul kecil. Saat berjalan terhoyong-hayang dan kesakitan di kaki, ketika itu kelibat Medic, Koperal Mohd. Saifuddin Mohamed, Koperal Razal Aziz dan Prebet Noriyana Md. Shah memainkan peranan membantu peserta yang memerlukan rawatan.

Rasa penat bukan kepalang berbanding perjalanan pagi membuatkan pakaian peserta habis lencun dek peluh. Hanya mental dan gerak berpasukan menjadi tonik terbaik bagi meneruskan langkah.

Jeram Sinar

Tanpa beralah pada kepenatan dan kesakitan, kesemua peserta akhirnya berjaya dan selamat tiba di check point kedua di Jeram Sinar. Perasaan puas dan bangga segera dirasai kerana itulah laluan yang mencabar sebelum meneruskan aktiviti terakhir iaitu Rubber Floating sejauh dua kilometer (km).

Rubber Floating adalah aktiviti air yang memerlukan peserta berbaring di atas tiub pelampung besar dan menyusuri Sungai Kuala Koh hingga di check point terakhir.

"Inilah saat yang ditunggu kerana kita tidak perlu berjalan. Cuma relaks dalam pelampung ini. Walaupun nampak mudah, aspek keselamatan tetap diutamakan.

"Pengalaman merasai Rubber Floating ini memang menyeronokkan setelah penat mengharungi halangan hutan belantara," ujar seorang peserta yang juga pensyarah muzik, Yasmin Malik.


BERGAMBAR kenang-kenangan selepas menamatkan Program Kembara Duga Askar Wataniah.


Akhirnya, kesemua peserta tiba di check point terakhir kira-kira pukul 4.15 petang selepas tujuh jam mengharungi misi berkenaan. Tatkala berjaya menamatkannya semua peserta sekali lagi bersorak kegembiraan sebagai tanda berjaya menamtkan misi tanpa ada seorang pun ahli kumpulan terkecuali.

Aktiviti hari ketiga Kembara Duga itu dianggap paling mencabar selepas hari sebelumnya kumpulan penulis melakukan aktiviti merentas hutan ke Bumbun dan Pertang.

Pengalaman bermakna

Selain aktiviti berkenaan, peserta juga berpeluang melakukan aksi terbang keluang (flying fox), menikmati makan malam barbeku dan mengunjungi perkampungan Orang Asli di sekitar taman negara tersebut.

Salah salah seorang peserta, Ahmad Syah Ejaz Ismail, 23, berkata, penyertaannya bersama rakan-rakan dalam program berkenaan memberi pengalaman yang bermakna dari aspek mental dan fizikal.

"Ia sesuatu yang menarik untuk dikongsi bersama rakan kumpulan dalam membentuk kerja berpasukan dan membina semangat yang kental," katanya.

Seorang lagi peserta, Zuhaira Zainuddin, 34, berkata, dia berasa bangga dapat mengikuti program yang diatur untuk pasukan Wataniah.

"Walaupun bukan seorang tentera tetap, saya berasa amat teruja dan amat berminat sekiranya diberi peluang sebegini pada masa akan datang," katanya.

Kehadiran kesemua peserta menerusi perjalanan sejauh lebih 500km dan mengambil masa kira-kira tujuh jam dari Kuala Lumpur ke taman negara itu pada 2 hingga 5 Jun lalu merupakan aktiviti yang dirancang oleh pihak kementerian di bawah Program Kembara Duga Askar Wataniah, Kementerian Pertahanan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Berkunjung ke ‘tanduk’ Borneo

Posted:

Berkunjung ke 'tanduk' Borneo

Berkunjung ke 'tanduk' Borneo


TITIAN di tepi pantai ini merupakan laluan khas buat pengunjung yang mahu menghayati keistimewaan landskap semula jadi.


AKHIRNYA, sampai juga hajat penulis untuk menjejakkan kaki ke Tanjung Simpang Mengayau di Kudat, Sabah. Gambaran pemandangan alam semula jadi yang sering dilihat di laman web, blog, akhbar dan Internet kini di depan mata.

Walaupun dilahirkan di Negeri Di Bawah Bayu, penulis sendiri belum pernah sampai ke daerah Kudat sebelum ini, apatah lagi menyaksikan keindahan Tanjung Simpang Mengayau yang sangat menakjubkan.

Justeru, dalam perjalanan melawat saudara-mara pada tahun lalu, destinasi ini menjadi agenda wajib.

Untuk ke destinasi ini, pemanduan selama empat jam dari Kota Kinabalu diperlukan. Tempoh itu terasa berbaloi kerana perjalanan tersebut menyajikan pemandangan yang menarik.

Cuma cuaca panas terik ada ketikanya membuatkan tekak terasa perit dan kekeringan.

Terkenal dengan jolokan nama The Tip Of Borneo atau Penghujung Barat Laut Kepulauan Borneo, pemandangan mempesona yang sentiasa menjadi buah mulut selain lambakan gambar di Internet itu ternyata mampu memanggil sesiapa sahaja untuk bertandang, terutamanya para pencinta alam.

Subhanallah. Itulah ungkapan pertama penulis ketika tiba di tanjung di Semenanjung Kudat, kira-kira 215 kilometer (km) dari Kota Kinabalu.

Mula-mula penulis dan rombongan singgah di kawasan pantai sebelum beralih ke dataran. Berbanding di kawasan dataran, pengunjung boleh menjalankan pelbagai aktiviti di pantai seperti berenang, snorkeling, barbeku dan beriadah mahupun sekadar berbaring untuk sesi istirehat di bawah redup pokok.

Setelah puas melakukan pelbagai aksi untuk rakaman gambar, kami terus ke dataran kerana kami ingin tahu juga pelbagai pilihan aktiviti lain.


LAUT ini pernah menjadi laluan pedagang China yang datang ke Borneo menggunakan tongkang.


Lokasi 'tanduk'

Sebenarnya Tanjung Simpang Mengayau ini merupakan kawasan paling hujung kepulauan Boneo bahagian utara. Ia terletak pada 'tanduk' seperti yang terlihat pada peta negeri Sabah.

Dari dataran, anda akan nampak pandangan luas lautan Sulu dan Laut China Selatan, selain beberapa pulau termasuk Pulau Bangi dan sebuah pulau lagi yang menempatkan rumah api.

Rumah api itu terletak di Pulau Kalampunian yang khabarnya memiliki hamparan pantai tercantik di Kudat. Kejernihan laut dan pasir pantainya yang memutih pasti membuatkan sesiapa saja terpanggil untuk bermandi-manda.

Selain itu, jika anda berpeluang ke pantai anda akan melihat pelbagai bentuk formasi batu semula jadi, monumen berupa bongkah batu bulat dan beberapa tempat tinggalan sejarah.

Diterjemahkan sebagai 'simpang yang berpanjangan', Simpang Mengayau menjanjikan pemandangan memukau yang melepasi Laut China Selatan.

Menariknya, ia tempat pertemuan Laut China Selatan dan Laut Sulu yang pernah satu ketika dulu menjadi laluan pedagang China ke Borneo menggunakan tongkang.

Difahamkan, banyak tongkang yang karam kini menjadi tukun di dasar laut lantas membentuk habitat ideal bagi hidupan laut.

Peperangan

Dalam bahasa kaum Rungus, Kudat, Tanjung Simpang Mengayau dikenali dengan nama Tanjung Sampang Mangazo.

'Tanjung' bermaksud hujung, 'sampang' adalah simpang dan 'mangazo' pula bermakna peperangan.

Bagi kaum Rungus, tempat itu mempunyai makna tersendiri yang menyaksikan peristiwa penting dalam kisah keturunan mereka.

Menurut catatan sejarah, kawasan itu adalah tapak pertempuran pahlawan Rungus dengan lanun yang sering menyerang perkampungan mereka sekitar abad ke-18 dan 19.

Justeru, mereka menggunakan tanjung tersebut sebagai lokasi pertahanan untuk melindungi kampung mereka. Tanjung tersebut juga begitu strategik sebagai tempat pemantauan kapal asing yang melewati perairan atau yang mahu mendarat di pantainya.

Merakam kenangan


PELUANG bergambar beramai-ramai sememangnya sesuatu yang wajib dirakam oleh seorang pengembara.


Untuk sampai di titik penghujung barat laut di pulau ketiga terbesar di dunia itu, pengunjung terpaksa berjalan kaki kira-kira 200 meter dari tempat letak kereta untuk ke pancang bendera raksasa dan replika bumi.

Ini membolehkan pengunjung merakamkan gambar kenangan seterusnya ke batuan singkapan granit. Walaupun terpaksa berjalan, segala tenaga yang digunakan pasti berbaloi kerana kedatangan itu disambut elemen alam yang memukau.

Elemen itu termasuklah pecahan batuan pasir yang membentuk landskap unik seperti formasi pusaran dan tetingkat.

Bagi yang meminati seni fotografi, inilah masanya untuk merakam pelbagai keindahan dan panorama yang sukar diungkap dengan kata-kata.

Selain Tanjung Simpang Mengayau, pengunjung yang datang ke sana juga berpeluang melawat lokasi menarik. Antaranya adalah ladang madu lebah di Kampung Gombizau, kilang gong di Kampung Sumangkap dan rumah panjang kaum Rungus.

Justeru, bagi yang mahukan percutian menarik, masa yang diluangkan di Tanjung Simpang Mengayau pasti tidak akan sia-sia kerana setiap detik adalah saat yang menyeronokkan.

Jangan lupa untuk turun ke kawasan batuan paling hujung di tanjung. Walaupun terdapat papan tanda amaran mengenai tindakan tersebut, anda akan berasa rugi jika tidak berbuat demikian. Begitupun, sikap berhati-hati perlu diutamakan agar anda selamat ketika melangkahkan kaki di kawasan itu.

Jika anda sekadar ingin tahu, sebenarnya kawasan tersebut terdapat banyak formasi batuan yang luar biasa formasinya. Pastinya ia suatu pemandangan istimewa untuk dirakamkan dengan lensa kamera seterusnya ditunjukkan kepada keluarga dan rakan-rakan yang tidak pernah sampai ke destinasi itu.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved