Khamis, 24 April 2014

Kosmo Online - Rencana Utama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Dari Asia Barat ke Asia

Posted:

Dari Asia Barat ke Asia

Dari Asia Barat ke Asia

KEBIMBANGAN terhadap seorang jururawat Filipina yang positif Sindrom Pernafasan Timur Tengah-Virus Korona (MERS-CoV) pulang ke negara asalnya terlerai selepas dia didapati bebas daripada jangkitan dalam pemeriksaan berikutnya.

Terdahulu, lelaki warganegara Filipina itu pulang pada Selasa lalu dengan penerbangan Etihad Airways telah dikuarantinkan bersama sanak saudaranya termasuk mereka yang mempunyai hubungan langsung semasa ketibaan dari Emiriah Arab Bersatu (UAE).

"Nasib baik, ia bagus untuk menenangkan orang ramai. Hasil ujian di Institut Penyelidikan Perubatan Tropika kami mendapati ia negatif," kata Setiausaha Kesihatan Filipina, Enrique Ona.

Jururawat berkenaan merupakan seorang pembantu kepada seorang paramedik dari Filipina yang meninggal dunia akibat jangkitan MERS-CoV di UAE pada 10 April lalu.

Dalam pada itu, Ona memberitahu, pihak pemerintah berusaha mengesan 415 penumpang penerbangan 0424 dari Abu Dhabi ke Manila untuk pemeriksaan lanjut.

Sementara itu, Arab Saudi pada 23 April lalu melaporkan terdapat 11 kes baharu MERS-CoV dengan satu kes kelihatannya yang pertama dikesan di Tanah Suci Mekah.

Unta positif

Kenyataan Kementerian Kesihatan Arab Saudi memaklumkan lapan daripada pesakit tersebut ditempatkan dalam wad rawatan rapi, dua dalam keadaan stabil termasuk seorang lelaki Arab berusia 24 tahun yang berasal dari Mekah manakala seorang lagi tidak menunjukkan sebarang gejala.

"Tiga daripada pesakit itu yang dijangkiti adalah pekerja penjagaan kesihatan," katanya.

Pada November 2013, kerajaan Arab Saudi menyatakan bahawa unta telah diuji positif MERS-CoV dan ia merupakan kes pertama haiwan dijangkiti virus korona yang telah membunuh 64 orang di seluruh dunia pada ketika itu.

Unta berkenaan dimiliki oleh seseorang yang menghidap penyakit MERS-CoV telah diuji positif dalam pemeriksaan awal makmal.

"Kementerian telah bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan makmal-makmal untuk mengasingkan virus serta membandingkan struktur genetik dengan apa yang ditemui pada pesakit itu.


PEKERJA penjagaan kesihatan boleh terdedah dengan jangkitan MERS-CoV dalam makmal jika tidak mengambil langkah sesuai bagi mengurangan penyebaran virus.


"Jika virus yang dibawa oleh unta dan pesakit adalah serupa, maka ini akan menjadi satu penemuan saintifik pertama di dunia sekali gus menjadi kunci dalam mengenal pasti punca virus berkenaan," jelasnya dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh agensi berita SPA negeri.

Menurut kenyataan dalam laman web Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), virus korona merupakan anggota keluarga kumpulan coronavirus yang menjangkiti manusia dan haiwan.

Virus korona boleh menyebabkan pelbagai penyakit bertambah teruk bermula daripada selsema biasa seperti wabak Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) yang meletus pada tahun 2003.

Virus ini mula dikesan sejak April 2012 dan dikenali sebagai novel coronavirus . Ia merupakan virus baharu yang tidak pernah ditemui pada manusia sebelum ini.

Dalam kebanyakan kes, virus ini telah menyebabkan beberapa pesakit mengalami masalah pernafasan serius dan kegagalan buah pinggang manakala jumlah kematian berlaku separuh daripada kes yang dilaporkan.

Sementara itu, virus korona baharu ini dinamakan sebagai MERS-CoV oleh Kumpulan Kajian Virus Korona dalam Jawatankuasa Antarabangsa Taksonomi pada Mei 2013.

Dalam satu kajian yang diterbitkan minggu lalu mengenai Kemunculan Penyakit Berjangkit Baharu, penyelidik mendapati MERS-CoV boleh hidup di dalam susu unta untuk sekurang-kurangnya 72 jam. Bagaimanapun, mereka tidak memeriksa sama ada virus tersebut benar-benar ditemui dalam susu unta yang dijangkiti.

Negara pertama

Pada 11 November lalu, Kementerian Kesihatan Arab Saudi mengumumkan bahawa MERS-CoV telah dikesan pada unta dan ia dikaitkan dengan kes jangkitan kepada manusia di negara berkenaan.

Selain itu, MERS-CoV baru-baru ini turut ditemui secara genetik dengan virus yang dikenal pasti terdapat pada kelawar dari Afrika Selatan. Namun, tidak ada bukti sahih bahawa MERS-CoV berasal daripada kelawar.

Dalam pada itu, sembilan negara dilaporkan telah terlibat dengan kes jangkitan MERS-CoV terhadap manusia.

Negara tersebut ialah Perancis, Jerman, Itali, Jordan, Qatar, Arab Saudi, Tunisia, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan United Kingdom.


PEGAWAI perubatan Kementerian Kesihatan (kanan) memeriksa penduduk Kampung Bintang di pusat pemeriksaan khas jangkitan MERS-Cov di Johor baru-baru ini.


Terbaharu, Malaysia menjadi negara pertama di Asia yang dilaporkan berlakunya jangkitan ke atas manusia sehingga membawa maut. Pesakit merupakan seorang lelaki warganegara Malaysia berusia 54 tahun yang mengalami gejala demam, batuk dan kesukaran untuk bernafas pada 8 April lalu sejurus 10 hari pulang mengerjakan umrah.

Lelaki berkenaan ke Jeddah, Arab Saudi dengan sekumpulan 18 orang menunaikan umrah bermula 15 hingga 28 Mac lalu dan mengalami demam pada 4 April lalu.

Pesakit kemudian mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta di Johor pada 7 April sebelum pergi ke hospital pada 9 April.

Bagaimanapun, pesakit meninggal dunia pada 13 April. Pesakit berkenaan telah melawat ladang unta pada 26 Mac dan didapati minum susu unta. Sementara itu, kes di UAE pula melibatkan sekelompok empat pekerja kesihatan yang telah dikenal pasti memperoleh jangkitan menerusi kes dari Abu Dhabi yang meninggal dunia pada 10 April lalu.

Empat pekerja itu ialah tiga lelaki berusia 44, 30 dan 28 tahun dari Abu Dhabi serta seorang lelaki berusia 34 tahun dari Filipina yang terdedah dengan jangkitan dalam makmal.

Gejala

Kesemua empat pesakit tersebut tidak mempunyai sejarah perjalanan ke negara Asia Barat baru-baru ini dan tiada berhubung secara langsung dengan haiwan.

Tiga daripada empat kes tersebut telah dikuarantinkan di hospital dan mereka kini dalam keadaan stabil.

Di peringkat global sejak September 2012 hingga kini, WHO melaporkan sejumlah 243 kes disahkan dijangkiti MERS-CoV termasuk 93 kematian.

Tanda-tanda lazim jangkitan MERS-CoV adalah penyakit pernafasan yang serius dengan demam, batuk serta sesak dan kesukaran bernafas.

Kebanyakan pesakit mengalami radang paru-paru. Selain itu, ramai juga yang mempunyai gejala-gejala gastrousus termasuk cirit-birit, manakala sesetengahnya mengalami kegagalan buah pinggang.

Bagi mereka yang rendah sistem pertahanan tubuh, penyakit ini mungkin menyebabkan keadaan mereka menjadi lebih teruk.

Justeru, berdasarkan kepada keadaan dan maklumat semasa, WHO menggalakkan negara-negara anggota untuk meneruskan pengawasan terhadap jangkitan pernafasan akut teruk (SARS) dan seterusnya mengkaji dengan teliti jika ada sebarang perkara luar biasa.

Pada masa sama, langkah-langkah kritikal dalam kawalan dan pencegahan perlu dilakukan dalam usaha mengelak kemungkinan penyebaran MERS-CoV di pusat atau kemudahan jagaan kesihatan.


VIRUS korona boleh hidup di dalam susu unta sekurang-kurangnya 72 jam.


Pusat atau kemudahan jagaan kesihatan yang menyediakan rawatan kepada pesakit yang disyaki atau disahkan jangkitan MERS-CoV perlu mengambil langkah sesuai bagi mengurangkan risiko penyebaran virus daripada pesakit kepada pesakit lain, pegawai serta kakitangan perubatan dan pelawat.

Pegawai dan kakitangan kesihatan pula perlu mendapat didikan, latihan dan kemahiran terkini dalam pencegahan serta kawalan jangkitan.

Selain itu, WHO turut menasihatkan pusat-pusat kesihatan untuk terus mengekalkan kewaspadaan. Para pelawat dan pelancong yang mempunyai perjalanan dari Asia Barat harus menjalani pemeriksaan saringan MERS-CoV mengikut garis panduan pengawasan semasa.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah memberitahu, pihaknya telah menjalankan aktiviti pencegahan dan kawalan termasuk aktiviti pengesanan mereka yang ada berhubung dengan pesakit MERS-CoV.

Menurutnya, sehingga Ahad lalu, tiada kes baharu dikesan dan tiada kluster jangkitan MERS-CoV dilaporkan dari seluruh negara menjadikan jumlah kumulatif kekal sebagai satu kes kematian.

"Tiada sampel yang positif jangkitan MERS-CoV daripada 79 sampel yang telah diambil daripada kontak rapat yang bergejala dan tidak bergejala.

"Kesemua 17 ahli kumpulan dalam pakej umrah yang sama dengan mangsa didapati sihat dan tidak menunjukkan gejala serta disahkan negatif jangkitan MERS-CoV," katanya ketika dihubungi Kosmo!.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Komuniti Kita

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Komuniti Kita


Perlawanan bola sepak persahabatan PDRM, TLDM

Posted:

Perlawanan bola sepak persahabatan PDRM, TLDM

Perlawanan bola sepak persahabatan PDRM, TLDM

PASUKAN bola sepak PDRM bergambar selepas menewaskan pasukan Mawilla 2 dalam perlawanan bola sepak persahabatan di Kota Kinabalu, Sabah baru-baru ini.


ERAT. Hubungan akrab antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terus terjalin melalui perlawanan bola sepak persahabatan yang diadakan baru-baru ini.

Program yang berlangsung di Stadium Kompleks Sukan Pangkalan TLDM Sepanggar, Kota Kinabalu merupakan salah satu aktiviti di Strategi Lautan Biru Kebangsaan dalam mengukuhkan lagi silaturrahim, kerjasama dan persefahaman antara kedua-dua pasukan keselamatan itu.

Perlawanan tersebut telah dimenangi oleh PDRM dengan jaringan 3-1 selepas menewaskan pasukan Mawilla 2 (Markas Wilayah Laut 2).

65 pasukan berentap rebut Piala Presiden AUCMS

Posted:

65 pasukan berentap rebut Piala Presiden AUCMS

65 pasukan berentap rebut Piala Presiden AUCMS


SEBAHAGIAN daripada peserta bergambar sebelum memulakan pertandingan pada Kejohanan Badminton Piala Presiden AUCMS di Kepala Batas, Pulau Pinang baru-baru ini.


BERENTAP. Sebanyak 65 pasukan menyertai Kejohanan Badminton Piala Presiden Allianze University College of Medical Sciences (AUCMS) 2014 yang berlangsung di Kompleks Sukan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Kepala Batas, Pulau Pinang baru-baru ini.

Pengarah Pusat Sukan AUCMS, Nurul Akmal Azizan, sebanyak tiga kategori dipertandingan pada kejohanan itu iaitu beregu lelaki yang disertai oleh 26 pasukan, beregu wanita sebanyak 16 pasukan dan beregu campuran pula 23 pasukan.

Ayam Brand hargai golongan kurang bernasib baik

Posted:

Ayam Brand hargai golongan kurang bernasib baik

Ayam Brand hargai golongan kurang bernasib baik


MARIE MAGALI (barisan belakang lima dari kanan) bergambar dengan sebahagian daripada 100 murid dari lima buah rumah kebajikan di Alor Setar, Kedah baru-baru ini.


RAI. Lebih 100 murid dari lima buah rumah kebajikan di negeri Kedah dan Perlis diraikan pada kempen Masyarakat Penyayang oleh syarikat pengeluar makanan dalam tin, Ayam Brand baru-baru ini.

Kempen bertemakan Diet Sihat Untuk Kreativiti 2014 itu disertai Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Alor Setar, Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Perlis serta Pertubuhan Amanah Masyarakat dan Mendidik Anak-anak Yatim Daerah Baling.

Tidak ketinggalan Pertubuhan Bela Didik Anak-anak Yatim Islam dan Pertubuhan Rumah Anak Yatim Daerah Kuala Muda.

Menurut Pengurus Pemasaran Ayam Brand Marie- Magali Falcoz, kempen yang telah diadakan sejak tujuh tahun lalu itu bertujuan membantu golongan kurang bernasib baik.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


Guna duit BR1M untuk berjudi

Posted:

Guna duit BR1M untuk berjudi

Guna duit BR1M untuk berjudi

TERDAPAT segelintir penerima BR1M menggunakan wang tersebut untuk berjudi secara dalam talian. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR - Hasrat kerajaan untuk meringankan beban rakyat terutama golongan berpendapatan rendah melalui pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) tidak tercapai sepenuhnya.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, beliau kesal ramai penerima menggunakan bantuan itu untuk tujuan salah termasuk berjudi.

"Dapat sahaja BR1M, kafe siber di ibu kota ini penuh. Kenapa? Ramai yang pergi main judi (dalam talian).

"Kompleks beli-belah penuh, semua pergi shopping macam-macam yang tak patut," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang (APC) Wilayah Persekutuan 2014 di sini semalam.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Tower West KLIA2 tertinggi di dunia

Posted:

Tower West KLIA2 tertinggi di dunia

Tower West KLIA2 tertinggi di dunia

Oleh KHAIRI MOHAMAD
khairi.mohamad@kosmo.com


HISHAMMUDDIN (duduk, dua dari kanan) meninjau ATC KLIA2, Tower West di Sepang semalam.


SEPANG - Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) memahat nama di persada antarabangsa apabila menara Kawalan Trafik Udara (ATC) Tower West yang beroperasi di lapangan terbang itu diiktiraf sebagai yang tertinggi di dunia oleh Guinness World Records.

Ketinggian menara tersebut yang mencecah 133.8 meter dari aras tanah dan 141.9 meter dari aras laut mengatasi menara ATC Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi, Thailand dengan 132.2 meter dan Tower East di KLIA yang mempunyai ketinggian 130 meter.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Mati lemas dalam lubang anjing

Posted:

Mati lemas dalam lubang anjing

Mati lemas dalam lubang anjing

Oleh MOHD. YUNUS YAKKUB
yunus.yakkub@kosmo.com.my

INILAH lubang sedalam hampir semeter yang mengorbankan Joy Jeffrey Linjungan di Kampung Pisang Babah, Penampang, Sabah semalam.


PENAMPANG - Tindakan nekad seorang peguam muda mengeluarkan tiga ekor anak anjing peliharaannya di dalam lubang yang lebarnya sebesar sebiji bola sepak meragut nyawanya sendiri akibat sesak nafas di Kampung Pisang Babah di sini kelmarin.

Dalam kejadian pukul 7 pagi itu, Jay Jeffrey Linjungan, 28, dipercayai lemas selepas gagal keluar dari lubang tersebut yang mempunyai kedalaman hampir satu meter.

Sebelum maut, mangsa yang baru tiga tahun menjadi peguam dipercayai memasukkan kepalanya ke dalam lubang tersebut sehingga separuh badan dan berjaya mengeluarkan dua ekor anak anjing berkenaan.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Tiada maaf bagimu

Posted:

Tiada maaf bagimu

Tiada maaf bagimu

ON JABBAR (tengah) ditenangkan oleh pihak polis selepas melepaskan tumbukan ke muka pengadil, Sukri Abdul Rahman selepas aksi Liga Premier di Stadium Pasir Gudang, Johor minggu lalu.


PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) harus mengenakan hukuman berat terhadap bekas pengurus pasukan Johor Darul Takzim II (Johor DT II), On Jabbar yang bertindak menumbuk pengadil perlawanan, Sukri Abdul Rahman pada Sabtu lepas.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, walaupun On telah dilucutkan jawatan dan didenda sebanyak RM25,000 oleh pihak pengurusan persatuan berkenaan, namun tindakan yang dilakukannya adalah terlalu berat dan memalukan.

"Kesalahan yang dilakukan adalah berat, malah sebagai seorang penjawat awam, dia sepatutnya menunjukkan contoh terbaik kepada penyokong.

"Sekiranya tidak berpuas hati, beliau tidak boleh mengambil tindakan sebegitu," tegas Khairy selepas merasmikan majlis penutupan Simposium Kejurulatihan Pelan Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) di Seri Kembangan, Serdang, Selangor semalam

On mencetuskan gempar pada Sabtu lepas apabila menumbuk muka pengadil, Sukri Abdul Rahman selepas tamat perlawanan antara pasukan Johor DT II dengan UiTM FC di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) yang berkesudahan seri 2-2.

Kejadian tercetus ketika pemain kedua-dua pasukan hendak meninggalkan padang dan On tiba-tiba menumbuk muka Sukri sebelum mereka disuraikan dan dibawa keluar padang dengan diiringi pihak polis.

'Hatinya tiada bersama PKNS'

Posted:

'Hatinya tiada bersama PKNS'

'Hatinya tiada bersama PKNS'

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my


NAZMI meninggalkan PKNS untuk menyertai Selangor dalam baki kempen Liga Super musim ini.


KETIADAAN arkitek berbakat, Muhammad Nazmi Faiz Mansor menjelang baki perlawanan Liga Super musim ini pastinya memberikan tamparan yang cukup hebat buat skuad Selangor PKNS.

Namun pengendali The Red Ant, Wan Jamak Wan Hassan enggan meratapi pemergian Nazmi yang nekad berhijrah ke Selangor sebelum tarikh pendaftaran pemain ditutup Selasa lalu.

Sebaliknya, beliau percaya barisan pemain sedia ada mampu memastikan PKNS kekal dalam saingan Liga Super musim depan meskipun terperosok ke tangga ke-10 liga setakat ini.

Ini kerana, menurut beliau, Nazmi dikesan tidak lagi memiliki 'jiwa' untuk kekal bersama PKNS selepas menyertai mereka dari kelab Portugal, SC Beira Mar musim lalu.

"Saya sudah lama menyedari perkara ini, sejak saingan liga direhatkan pada Mac lalu lagi.

"Dia (Nazmi) seolah-olah tiada lagi hati untuk beraksi bersama kami, aksinya tidak seperti reputasi yang dimilikinya selama ini.

"Dia jarang membuat hantaran jauh yang berkesan, selain gemar 'berkampung' di bahagian pertahanan.

"Jadi, ada baiknya kami melepaskan Nazmi jika dia tidak lagi mahu beraksi bersama kami," katanya kepada Kosmo! semalam.

Justeru, Wan Jamak percaya kehadiran pemain sayap baharu dari Felda United, Shahurain Abu Samah mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan Nazmi selepas ini.

"Kami benar-benar memerlukan pemain sayap yang pantas di sebelah kanan seperti Shahurain, jadi saya sedang mengenalpasti pemain terbaik untuk digandingkan bersamanya di bahagian sayap kiri," jelas Wan Jamak.

Mengulas lanjut, Wan Jamak juga mengesahkan hanya Shahurain merupakan pemain baharu The Red Ant sejurus sebelum jendela perpindahan pemain ditutup tempoh hari.

Kesemua pemain import iaitu Hamka Hamzah; Patrick Wleh Ronaldinho; Karlo Primorac dan Kim Dong-Chan juga dikekalkan sehingga saingan musim ini berakhir.

"Saya harap kesemua pemain terutamanya pemain import yang dikekalkan dapat memperbaiki prestasi masing-masing dan berupaya membantu kami menamatkan saingan liga di kedudukan yang lebih baik musim ini.

"Saya juga bercadang untuk mengadakan sesi latihan di luar negara sebelum berdepan Kelantan di Stadium Shah Alam ketika saingan liga kembali bersambung bulan depan.

"Namun, ia masih di peringkat perbincangan, jika tidak kami akan mengadakan aksi persahabatan berkualiti di tempat sendiri sahaja," jelas beliau.

Chanturu tekad terus gegar gawang lawan

Posted:

Chanturu tekad terus gegar gawang lawan

Chanturu tekad terus gegar gawang lawan

Oleh MULLER ASEN
muller.asen@kosmo.com.my

PEMAIN sayap Sarawak, S.Chanturu berikrar tidak akan melepaskan peluang untuk merobek gawang lawan sekiranya terus mendapat kepercayaan daripada ketua jurulatih, Robert Alberts.

Berdasarkan rekod, pemain kelahiran Kulim, Kedah itu telah meledak lima gol setakat ini selepas kembali pulih daripada kecederaan.

Bagi Chanturu, tiada yang lebih istimewa buat dirinya selain membantu skuad Bujang Senang untuk terus memberi saingan dalam kempen Liga Super musim ini.

"Selepas berjaya membantu Sarawak mencipta kemenangan hatrik sebaik pusingan kedua liga bermula, saya masih mempunyai impian besar untuk membawa pasukan ini lebih jauh lagi.

"Saya perlu menghasilkan jaringan dan tidak harus melepaskan peluang yang ada. Saya hanya akan gembira jika mampu menjaringkan gol dalam setiap perlawanan," katanya ketika ditemui selepas sesi latihan di Kuching kelmarin.

Skuad Bujang Senang kembali menjalani latihan selepas berehat selama empat hari sebelum berkunjung ke Stadium Majlis Perbandaran Selayang menentang Sime Darby pada 10 Mei depan.

Bekas pemain Perak itu mengakui, dia semakin serasi dengan gandingan dua pemain import baharu, Ryan Griffiths dan Hassan Mohamad termasuk Muamer Salibasic di barisan serangan.

Katanya, jika keserasian dan kerjasama rakan sepasukan terus dikekalkan, hasrat membawa pulang tiga mata penuh dari Stadium Selayang kelak adalah cerah.

Sementara itu, Alberts berkata, tempoh rehat Liga Super masa ini telah memberi ruang buat Gabor Gyepes untuk pulih sepenuhnya.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Varia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Belia Islam Belgium kunjungi Terengganu

Posted:

Belia Islam Belgium kunjungi Terengganu

Belia Islam Belgium kunjungi Terengganu

Oleh NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM

TERUJA. Ahli-ahli belia islam Belgium tidak ketinggalan mencuba memainkan alat muzik tradisional


ISLAM itu indah malah tidak mengenal erti sempadan dalam menghubungkan umatnya di muka bumi ini.

Bahkan, Malaysia yang menjadikan Islam sebagai agama rasmi dipilih sebagai destinasi sembilan belia Islam Antwerp, Belgium mengadakan lawatan muhibah ke Terengganu baru-baru ini.

Kunjungan mereka ke Kampung Gong Baru, Gong Tok Nasek, Kuala Terengganu itu terjalin hasil inisiatif Kelab Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dengan kerjasama UMNO cawangan Kuala Terengganu dan Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC).

Lebih membanggakan belia Islam Antwerp, Belgium merancang melaksanakan program pertukaran belia dengan komuniti kampung itu dalam masa terdekat bagi mengeratkan ukhwah kedua-dua negara.

Pertukaran belia

Penasihat Kelab Organisasi Pendidikan, Sains dan Kebudayaan UNESCO UMT, Madzli Harun berkata, hasrat berkenaan telah dimaklumkan salah seorang wakil komuniti itu yang berpendapat inisiatif tersebut dapat meningkatkan integrasi dalam kalangan penduduk Islam Malaysia-Belgium.

"Dalam masa terdekat, mereka bercadang membawa seramai 30 orang lagi penduduk Islam Antwerp ke Terengganu dan berkunjung ke kampung tersebut sebelum program pertukaran belia dilaksanakan.

"Melalui program sebegini, penduduk Islam di Belgium dapat mengenali dan mengetahui keperluan budaya serta kaitannya dengan masyarakat Islam setempat," katanya.

Hadir sama ialah Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Mohd. Sabri Alwi dan Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Gong Baru, Mohd. Hanafiah Ismail.

Dalam lawatan muhibah itu, penduduk Islam Antwerp, Belgium yang pertama kali menjejak kaki di Terengganu dipersembahkan dengan demonstrasi silat.

Selain itu, mereka juga berkesempatan merasai juadah tradisional tempatan seperti nasi dagang, kuih tepung pelita, keropok lekor dan lain-lain lagi.


SEBAHAGIAN daripada kumpulan belia Islam Belgium bergambar bersama Mohd. Sabri (empat dari kanan) ketika melawat Kampung Gong Baru, Gong Tok Nasek, Kuala Terengganu baru-baru ini.


Penduduk kampung yang teruja dengan kedatangan belia Islam Belgium itu turut menampilkan pameran songket, wau dan batik dalam memperkenalkan budaya tradisional tempatan.

Terdapat kira-kira 450,000 masyarakat Islam di Belgium atau empat peratus daripada jumlah rakyatnya. Majoritinya berketurunan Turki dan Maghribi dengan sebahagian besarnya memegang kerakyatan Belgium.

Wakil Pertubuhan Islam Carpe Deen Antwerp, Walid Bouyouzan, 28, berkata, kunjungan komunitinya itu secara tidak langsung dapat memberi pemahaman berhubung ajaran Islam di Eropah dan di Malaysia.

"Malaysia merupakan negara Islam pertama yang dikunjungi dan kami amat berbesar hati dapat datang ke sini.

"Melalui usaha ini secara tidak langsung penduduk Islam yang merupakan kumpulan minoriti di Belgium dapat memahami, belajar dan mengetengahkan imej Islam," katanya.

Saudara seagama

Walid yang merupakan seorang guru memberitahu, pihaknya akan mengunjungi Terengganu lagi pada masa hadapan dengan membawa lebih ramai masyarakat Islam Antwerp.

Katanya, dia ingin memberi pendedahan kepada masyarakat Islam Belgium mengenai Malaysia terutama budaya Islam.

Sementara itu, Mohd. Hanafiah, memberitahu, dia teruja dengan kedatangan saudara seagama dari Belgium ke kampung itu.

"Ini merupakan kali pertama masyarakat luar negara mengunjungi kampung kami.

"Ia merupakan satu penghormatan kepada penduduk kampung apatah lagi mereka semua ingin mendekati budaya Islam negara ini," ujarnya.

Justeru, penduduk kampung amat mengalu-alukan kedatangan saudara-saudara kita masyarakat Islam Antwerp ke kampung berkenaan dalam masa terdekat.

Kelainan terapi urutan atlet

Posted:

Kelainan terapi urutan atlet

Kelainan terapi urutan atlet

Oleh ADLAN JAAFAR


PUSAT terapi yang dibuka pada tahun 2011 itu adalah idea daripada pelanggan.


SEPERTI pusat-pusat terapi lain, suasana sebuah pusat yang serupa di Seksyen 13, Shah Alam juga mempunyai ambien yang sama iaitu pencahayaan yang suram tetapi menenangkan minda para pengunjung.

Terletak di tingkat dua kawasan rumah kedai di Jalan Renang, Pusat Urut Terapi dan Refleksologi OKU Shah Alam memberikan kelainan dari segi jenis urutan terapi yang ditawarkan untuk atlet dalam keadaan spa kecantikan biasa.

Pusat itu menggunakan konsep gabungan moden dan tradisional melalui penggunaan perabot-perabot dengan rekaan terkini digabungkan bersama kain-kain batik menjadi pelapik tilam menyerlahkan lagi rasa seperti berada di rumah.

Ketika ditemui, pemiliknya yang juga seorang ahli urut terapi profesional, Rezafarish Yusof Khan, 34 baru sahaja mengurut seorang pelanggan yang mendapatkan terapi urut sukan untuk masalah cakera teranjak.

"Urut terapi sukan boleh mengendurkan otot-otot sebelum bersukan maka dapat mengurangkan sedikit kesakitan yang berlaku selepas habis bersukan.

"Kami akan meminta laporan kesihatan pelanggan yang mahu mendapatkan perkhidmatan urut terapi sukan terlebih dulu," katanya ketika ditemui di premisnya baru-baru ini.

Bukan setakat perkhidmatan yang baru sahaja ditawarkan itu, Pusat Urut Terapi dan Refleksologi OKU Shah Alam turut menyediakan urutan terapi bagi frozen shoulder, tennis elbow dan refleksologi kaki.

Seperti spa-spa lain, ia turut menyediakan perkhidmatan urutan untuk wanita seperti urutan selepas bersalin dan batu panas selain rawatan wajah.

Hilang penglihatan

Pemilik pusat urutan ini pada mulanya bukan seorang ahli terapi jauh sekali menjadikan pekerjaan itu sebagai cita-cita yang diimpikan.

"Saya seorang cef lulusan Kolej Damansara Utama, Pulau Pinang dan dapat biasiswa melanjutkan pelajaran ke luar negara," kenang Rezafarish.

Namun, segala-galanya berubah suatu pagi apabila beliau mahu membasuh muka dan mendapati penglihatan kabur.

Dengan keadaan begitu, dia memandu ke hospital dan diberitahu menghidap glukoma dan mata kanan rosak disebabkan saraf optikalnya pecah. Penglihatan mata kirinya pula kabur.


PELAPIK tilam kain batik menghidupkan suasana seperti berada di kediaman sendiri.


Lelaki yang berasal dari Butterworth, Pulau Pinang itu sangat kuat semangat kerana mengakui berasa tertekan. Dia melalui kehidupan seterusnya dengan tabah dan tetap meneruskan pengajian ke luar negara.

Sekembali ke tanahair pada tahun 2008, Rezafarish bekerja di Institut Makanan Malaysia (FIM) sebelum belajar membaca Braille, menggunakan tongkat dan mengurut di Persatuan Orang Buta Malaysia, Brickfields sehingga November 2009.

"Saya membuat kerja sambilan di Kedai Cikgu Mat di Brickfields untuk cari pengalaman sebelum bekerja di beberapa tempat di Puchong, Mid Valley dan di majlis sukan," katanya.

Kemudian, Rezafarish bekerja sebagai pembantu fisioterapi di Seksyen 7, Shah Alam sepenuh masa dalam usahanya mencari pengalaman dan pengetahuan dalam bidang urut terapi sukan.

Sekitar tahun 2011, dengan cadangan seorang pelanggan supaya membuka sebuah pusat terapi di premis sekarang yang berdekatan dengan Stadium Shah Alam, lelaki itu merealisasikan Pusat Urut Terapi dan Refleksologi OKU Shah Alam.

Pusat ini turut menawarkan khidmat serupa kepada pelanggan wanita yang dijalankan oleh seorang tukang urut OKU terlatih, Suzana Othman, 30. Beliau yang berasal dari Bota Kanan, Perak, mempunyai pengalaman 10 bekerja di pusat kecantikan.

Menurut Rezafarish, dia juga banyak belajar daripada Suzana terutama dalam kemahiran membuat rawatan wajah dan urutan batu panas.

"Kebiasaanya para pelanggan akan membuat temujanji dulu bagi menetapkan tarikh dan masa.

"Hasrat saya ingin menjadikan premis ini sebagai pusat urut sehenti kepada pelanggan lelaki dan wanita," ujar beliau.

Tenaga kerja mahir tiada diskriminasi

Posted:

Tenaga kerja mahir tiada diskriminasi

Tenaga kerja mahir tiada diskriminasi


PEMILIHAN dan sistem rekrut di perbankan Islam adalah lebih menyeluruh. - Gambar hiasan


KEPESATAN pembangunan dalam sistem kewangan Islam telah menjadi suatu fenomena. Salah satu prasyarat utama dalam menyokong pembangunan kewangan Islam yang progresif adalah dengan membina kumpulan tenaga kerja mahir.

Dalam rangka menyokong memartabatkan sistem perbankan Islam, Malaysia yang terkenal dengan masyarakat majmuk turut menyaksikan sumbangan tenaga kerja mahir hatta daripada golongan bukan Islam yang turut berperanan dalam membangunkan sistem perbankan ini di tanah air.

Walaupun dasar perbankan Islam itu berdiri atas landasan ajaran Islam yang patuh syariah, namun pekerjaan yang melibatkan kerja-kerja yang lebih bersifat teknikal seharusnya diserahkan hanya kepada mereka yang layak.

Pemilihan tugas itu dilihat kepada tahap pengetahuan dan kemampuan yang telahpun disimpulkan dalam al-Quran melalui dua sifat umum yakni sifat amanah (jujur) dan kuat (kemampuan).

Al-Quran ada menyebut kisah Nabi Syuaib yang memilih Nabi Musa atas dua kriteria penting berikut:

"Salah seorang antara dua perempuan itu berkata: Wahai ayahku, ambillah dia menjadi orang upahan (mengembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang kuat lagi amanah." (Surah al-Qashash: 26)

Ayat ini menggambarkan bahawa antara kriteria asas dalam pemilihan pekerja itu ialah kuat dan amanah. Syariat Islam memerintahkan agar pemilihan setiap suatu perkara atau pekerjaan itu hendaklah berdasarkan sejauh mana kekuatan dan keamanahan yang diperlukan.

Umur atau kekananan seseorang bukanlah satu syarat wajib seseorang itu dinaikkan atau diberikan sesuatu jawatan.

Rasulullah SAW juga pernah memberi amaran supaya hanya memberikan tugas kepada mereka yang layak. Baginda bersabda: "Sesiapa yang dilantik menguruskan mana-mana urusan orang-orang Islam, lalu dia melantik pula seorang lelaki, sedangkan dia boleh melantik orang lain yang lebih layak untuk kepentingan umat Islam berbanding lelaki berkenaan, maka dia telah mengkhianati Allah dan Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman." (Hadis riwayat al-Hakim).

Malah Rasulullah SAW dan Saidina Abu Bakar RA mengupah seorang lelaki Bani Dil daripada sekutu keluarga 'As Bin Wa'il as-Sahmi yang masih beragama kaum Quraisy untuk tujuan sebagai pemandu perjalanannya dalam peristiwa sepenting peristiwa hijrah (Sahih Bukhari jilid 1 m.s. 552- 554).

Sehubungan itu, tidak timbul isu diskriminasi dalam pemilihan gerak kerja dalam usaha membangunkan sistem kewangan Islam.

Pemilihan dan sistem rekrut di perbankan Islam adalah lebih menyeluruh dalam menghadapi situasi industri kewangan Islam yang sangat memerlukan sumber manusia daripada kumpulan tenaga kerja yang mahir dan terlatih.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Dunia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


Tiga objek ditemui di Australia Barat

Posted:

Tiga objek ditemui di Australia Barat

Tiga objek ditemui di Australia Barat

Gambar fail menunjukkan seorang anggota tentera berada di atas kapal HMAS Perth milik Tentera Laut Diraja Australia semasa mencari pesawat MH370 di selatan Lautan Hindi pada 13 April lalu.


PERTH - Tiga buah objek berpotensi dalam pencarian Penerbangan Malaysia MH370 telah ditemui di perairan Australia Barat, kata beberapa pegawai.

Lokasi penemuan tersebut terletak pada jarak pemanduan selama beberapa jam ke arah selatan bandar raya ini.

Ketua Komisioner Biro Keselamatan Pengangkutan Australia, Martin Dolan berkata, tiga objek itu dijumpai oleh seorang lelaki yang berjalan di pantai berkenaan sebelum menghubungi polis.

Katanya, salah satu objek itu adalah sekeping logam sebesar kereta dan mempunyai paku-paku rivet pada birainya.

"Kami berminat untuk memeriksa gambar-gambar penemuan itu. Kami mengambil serius semua petunjuk yang dijumpai," kata Dolan.

Namun, beliau enggan meletakkan harapan tinggi berhubung penemuan terbaharu itu.

"Semakin lama kami meneliti objek tersebut, semakin kurang keterujaan kami," tambahnya.

Satu sumber tentera Australia memberitahu stesen televisyen Amerika Syarikat, CNN bahawa objek itu diperoleh dekat Augusta yang terletak sekitar 300 kilometer ke selatan bandar raya ini.

Apabila ditanya tentang bentuk dan saiznya, sumber itu memberitahu bahawa objek tersebut berbentuk segi empat tepat tetapi terkoyak dan tidak sempurna.

Sumber sama menyatakan, adalah sukar untuk menganggarkan saiznya kerana mereka hanya melihat sekeping gambar tanpa skala.

Objek berpotensi itu kini berada di bawah pengawasan polis Australia Barat.

Namun, Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) kemudian mengesahkan bahawa objek tersebut ditemui 10 kilometer ke timur Augusta.

Dalam pada itu, imej tersebut turut diserahkan kepada pihak berkuasa Malaysia manakala biro keselamatan Australia masih mengkajinya untuk mengenal pasti tindakan lanjut yang bakal dilakukan.

Pesawat MH370 membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal hilang semasa ia dalam penerbangan ke Beijing, China dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Ia dipercayai berpatah balik ketika ia sepatutnya menghubungi sebuah menara kawalan di Vietnam.

Pesawat itu kemudian dipercayai hilang di selatan Lautan Hindi selepas kajian dilakukan ke atas data satelit. - Agensi

Penyelam dekati mayat feri karam

Posted:

Penyelam dekati mayat feri karam

Penyelam dekati mayat feri karam


SEORANG anggota penyelamat (kiri) menyaksikan rakannya menyelam untuk mendekati mayat-mayat penumpang feri karam di luar pantai Pulau Jindo di Korea Selatan semalam.


SEOUL - Penyelam-penyelam Korea Selatan menyelam di dalam laut yang gelap dan sejuk menuju ke dalam feri Sewol semalam sebelum memegang beberapa mayat kanak- kanak di dalam rangkaian kabin dan koridor dengan tangan mereka di luar pantai Pulau Jindo.

Pasukan penyelam itu yang memakai kabel oksigen dan komunikasi hanya dapat melihat beberapa sentimeter di hadapan mereka di dalam bangkai feri Sewol yang mula karam pada 16 April lalu selepas membuat pusingan secara mengejut.

Kebanyakan mangsa merupakan pelajar sekolah tinggi yang terperangkap selepas diarahkan supaya tidak menyelamatkan diri dari tempat mereka kerana faktor kesela- matan.

Sebahagian besar mayat yang ditemui sepanjang dua hari itu mempunyai jari tangan yang patah dipercayai kerana cuba memanjat lantai atau dinding untuk keluar dari feri tersebut.

"Kami dilatih untuk menghadapi perseki- taran yang mencabar tetapi sukar untuk kami memberanikan diri apabila menemui mayat-mayat di dalam air laut yang gelap," kata seorang penyelam berkenaan, Hwang Dae-sik selepas majlis pengebumian untuk 25 murid itu diadakan dekat sini.

Sebanyak 476 orang menaiki feri tersebut dengan 339 orang merupakan pelajar dan guru yang sedang dalam perjalanan menyer- tai percutian anjuran pihak sekolah.

Hanya 174 orang telah diselamatkan.

Angka kematian ialah 152 orang setakat semalam.

Menurut laporan agesni berita Yonhap, seramai lebih 150 orang lagi masih hilang. - Agensi

Orang salji tiruan dibuat daripada kain tiras

Posted:

Orang salji tiruan dibuat daripada kain tiras

Orang salji tiruan dibuat daripada kain tiras


ORANG salji tiruan diletakkan di Dataran Sechselaeuten, Switzerland semalam.


ZURICH, Switzerland - Sebuah orang salji tiruan gergasi diletakkan di atas satu pelantar kayu di Dataran Sechselaeuten di sini.

Orang salji yang dikenali sebagai Boeoegg dan dianggap sebagai simbol musim salji itu diperbuat daripada daripada kain tiras dan diisi dengan mercun.

Ia akan dibakar pada 28 April ini dalam satu perayaan tradisi yang dikenali sebagai Sechselaeuten. - Reuters

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online


Pekerja Alam Flora maut dirempuh lori

Posted:

Pekerja Alam Flora maut dirempuh lori

Pekerja Alam Flora maut dirempuh lori

24/04/2014 9:32pm

KUANTAN - Seorang kakitangan Alam Flora terbunuh selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 31 Jalan Felda Mempaga-Kampung Lebu, dekat Bentong hari ini.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, dalam kejadian 6.20 pagi itu, mangsa Roszimi Saaid, 36, dalam perjalanan ke Felda Mempaga dari kampungnya di Kampung Lebu.

"Sebaik tiba di tempat kejadian, mangsa dipercayai cuba mengelak longgokan sampah bersama ranting kayu di tengah-tengah jalan sebelum termasuk ke laluan bertentangan.

"Pada masa sama, sebuah lori yang datang dari arah bertentangan tidak sempat mengelak lalu bertembung dengan mangsa," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Akibat kejadian itu, katanya mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Bentong untuk bedah siasat. - Bernama

Polis Kelantan tumpas sindiket judi dalam talian

Posted:

Polis Kelantan tumpas sindiket judi dalam talian

Polis Kelantan tumpas sindiket judi dalam talian

24/04/2014 9:29pm

KOTA BHARU - Polis Kelantan menumpaskan sindiket perjudian dalam talian dipercayai didalangi seorang pengurus pusat siber di Jalan Kuala Krai di sini, malam tadi, dengan jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM100,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Lai Yong Heng berkata, serbuan di pusat siber itu dilakukan hasil maklumat orang ramai dan risikan yang dilakukan pihak polis.

"Sindiket ini berselindung di sebalik operasi pusat siber yang dijalankan sejak setahun yang lepas. Semasa serbuan dibuat terdapat empat lelaki yang bekerja sebagai pembantu di premis itu," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Yong Heng berkata, dalam serbuan itu pihaknya merampas 24 set komputer dan satu set komputer kawalan utama yang turut memaparkan permainan yang disyaki berunsur perjudian.

"Kita turut merampas sebuah monitor televisyen litar tertutup (CCTV), enam kamera CCTV, lima set modem wi-fi, 34 kerusi, enam bangku panjang, 14 meja dan satu unit papan tanda LED," katanya.

Katanya, kes itu merupakan yang pertama berlaku di Kota Baharu dan pihak polis sedang mempergiat usaha untuk membanteras kegiatan berkenaan.

Kesemua suspek ditahan untuk siasatan lanjut. - Bernama

Penemuan buaya buat penduduk sekitar Sungai Balang bimbang

Posted:

Penemuan buaya buat penduduk sekitar Sungai Balang bimbang

Penemuan buaya buat penduduk sekitar Sungai Balang bimbang

24/04/2014 8:49pm

MUAR - Penduduk di 12 buah kampung sekitar Parit Bugis, Sungai Balang, dekat sini, yang rata-rata mengetahui mengenai penemuan seekor buaya sepanjang hampir tiga meter di Sungai Sarang Buaya dekat situ bulan lepas, kini bimbang tentang keselamatan terutama anak-anak mereka.

Mereka mahu pihak berkuasa mengambil langkah tertentu termasuk memasang papan tanda amaran bagi mengingatkan orang ramai terhadap kehadiran reptilia itu.

Khalid Morsid, 55, yang berjaya menangkap seekor buaya seberat 80 kilogram pada 16 Mac lalu berkata terdapat kira-kira 10 ekor lagi buaya dipercayai berada di sepanjang sungai itu.

"Ramai kaki pancing dari luar yang gemar memancing di sungai ini kerana terdapat banyak udang galah, udang bara dan ikan toman, tapi tidak sedar akan bahaya yang menunggu mereka.

"Begitu juga dengan kanak-kanak, mereka masih terus menjadikan sungai ini tempat untuk mandi-manda walaupun selepas penemuan buaya di sungai ini," kata pemancing itu kepada pemberita hari ini yang mengikuti lawatan anggota Dewan Undangan Negeri Sungai Balang, Zaiton Ismail ke kawasan itu.

Khalid berkata, selepas menyerahkan buaya itu yang tersangkut pada mata pancing ikan tomannya kepada Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Muar, beliau mengesan seekor lagi buaya di tebing sungai itu pada sebelah malamnya.

Sementara itu Zaiton berkata, pihaknya sudah memohon kepada Majlis Perbandaran Muar supaya segera memasang papan tanda amaran di kawasan itu.

Beliau tidak mahu keselamatan penduduk yang dianggarkan lebih 3,000 orang di kawasan itu menjadi taruhan terutama dalam usaha mereka untuk mengadakan beberapa aktiviti di sungai itu sebagai usaha menarik kedatangan pelancong. -Bernama

Kredit: www.kosmo.com.my
 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved