Jumaat, 18 April 2014

Kosmo Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Karl hargai pengalaman

Posted:

Karl hargai pengalaman

Karl hargai pengalaman

BULAT hati Karl Shafek memilih dunia penyiaran untuk mengembangkan kerjaya tidak pernah bertanda sia-sia. Bahkan, bekas kru kabin Penerbangan Malaysia (MAS) ini langsung tidak menyesal dengan keputusannya meninggalkan kotak selesa itu kira-kira enam tahun lalu.

Apa tidaknya, dengan usaha yang ditonjolkan selama ini, tuan empunya nama, Khairul Shafek Ibrahim, 34, kini mampu tersenyum dengan pencapaiannya dalam bidang pengacaraan.

Walaupun berjaya mengutip banyak pengalaman berharga sepanjang mengemudi kariernya, tiada siapa sangka anak kelahiran Pekan, Pahang itu pernah dibayar gaji sebanyak RM 1,600 sebulan ketika mula-mula menjinakkan diri dengan dunia penyiaran.

"Saya mula menceburkan diri dalam bidang ini sejak tahun 2008. Ketika itu, saya nekad meninggalkan pekerjaan tetap saya sebagai kru kabin untuk mengejar cita-cita dalam bidang penyiaran.

"Walaupun pada mulanya agak perih menjalani cara hidup yang jauh berbeza dan hanya berbekalkan gaji yang kecil tetapi kerana cinta saya terhadap bidang penyiaran, saya mampu meneruskan hidup sehingga hari ini," ujar Karl.

Hidup mewah

Disebabkan nekadnya itu, Karl tidak mengendahkan tohmahan sesetengah pihak yang mengatakan dia tidak lagi hidup secara mewah selepas kurang mendapat tawaran pengacaraan sejak akhir-akhir ini.

"Alhamdulillah, sejak mula memasuki industri (bidang pengacaraan) rezeki saya tidak pernah putus. Walaupun tawaran yang diterima tidak sebanyak dulu, sekurang-kurangnya, saya masih ditawarkan untuk mengacara atau mengendalikan acara setiap bulan.

"Saya bukanlah mahu menunjuk-nunjuk, cuma apa yang saya peroleh sepanjang bergelar pengacara cukup untuk saya hidup secara sederhana," ujarnya lagi.

SELEPAS muncul menerusi filem Zaiton Ceritaku, Karl Shafek mengimpikan watak dalam filem yang menuntutnya bermain dengan sisi komedi.


Menegaskan kehidupannya bukanlah berpaksi pada erti kemewahan, Karl lebih mempercayai dengan harga pengalaman yang diperoleh serta kepuasan melakukan kerja-kerja yang diminatinya.

"Bagi saya, pengalaman yang saya kutip selama ini lebih berharga jika mahu dibandingkan dengan wang ringgit. Lagipun, ia dapat digunakan dalam tempoh masa yang sangat panjang," tambah Karl yang menyifatkan rasa gembira perlu ada pada setiap pekerjaan yang dilakukannya.

Dunia lakonan

Selain rancak bergelar pengacara, Karl juga tidak ketinggalan untuk mencuba nasib sebagai seorang pelakon. Pernah muncul di kaca televisyen dan layar perak, graduan Institut Integratif Media Malaysia (MIIM) ini bercadang mahu memberikan lebih tumpuan terhadap bidang lakonan tahun ini.

"Pada tahun ini, saya bercadang mahu memberi fokus yang lebih terhadap bidang lakonan. Bukan tidak mahu bermula dari awal, cuma saya perlu berhati-hati dalam membahagikan masa untuk karier.

"Jadi, pada pendapat saya, selepas kedudukan saya kukuh sebagai pengacara, apa salahnya untuk saya mencuba bidang seni yang lain pula," katanya mengakui masih lagi bertatih dalam bidang tersebut.

Menurut Karl, sewaktu mula-mula beraksi di hadapan kamera, ramai yang memberitahu bahawa intonasi dan gaya percakapannya kedengaran seperti seorang pengacara.

Bagi mengelakkan perkara itu berulang, dia tidak teragak-agak untuk belajar tentang selok-belok dunia lakonan dengan menyertai pementasan teater secara kecil-kecilan.

"Ketika mula-mula berlakon, saya sering ditegur peminat kerana bercakap seperti seorang pengacara. Saya sedar, cara percakapan di dalam drama atau filem adalah lain dan perlu mengikut skrip.

"Justeru, apabila ditawarkan untuk berlakon teater Madu Ku Kalut pada tahun lalu, saya cuba menggunakan peluang tersebut sebaik mungkin. Alhamdulillah, prestasi saya semakin lama semakin meningkat," katanya.


KARL SHAFEK menjadikan pentas teater sebagai platform untuk belajar selok-belok dunia lakonan.


Dua tawaran

Melanjutkan perbualan bersama jejaka berbintang Aries itu, dia kini sedang sibuk menjalani penggambaran untuk sebuah drama bersiri 40 episod terbitan Suhan Movies berjudul Masihkah Ada Cinta.

Ternyata begitu teruja dapat bekerja dengan syarikat milik Rosyam Nor itu, Karl juga tidak menafikan bahawa dia sungguh gembira kerana berpeluang berlakon bawah pengarah ternama, Amy Maziah.

"Sejujurnya, pihak Suhan Movies telah beberapa kali menawarkan saya untuk berlakon dalam drama terbitan mereka. Namun, disebabkan kekangan masa, saya terpaksa menolak tawaran tersebut.

"Bagaimanapun, setelah mendapat tawaran untuk memegang watak Johan dalam drama Masihkah Ada Cinta, saya terus bersetuju. Lagipun, saya sudah lama ingin bekerja dengan pengarahnya," ujar Karl yang begitu meminati nashkah-nashkah yang pernah diterbitkan oleh Suhan Movies sebelum ini.

Drama yang diadaptasi daripada novel yang pernah diterbitkan sekitar tahun 90-an itu bakal menemui penonton di saluran RTM tidak lama lagi.

Di samping itu, Karl baru sahaja memulakan sebuah lagi penggambaran drama untuk slot Akasia TV3 yang bakal disiarkan pada bulan Ramadan tahun ini.

"Selain Masihkah Ada Cinta, saya sedang sibuk menjalani penggambaran drama bersiri Rindu Awak 200 Peratus bersama Ayda Jebat dan Zul Ariffin," ujar Karl.

Ketika ditanya mengenai keputusannya menerima dua tawaran dalam satu masa, Karl memberitahu, dia telah mengadakan perbincangan dengan pihak produksi Rindu Awak 200 Peratus terlebih dahulu sebelum menerima tawaran tersebut.

"Sebelum menerima tawaran ini, saya ada berbincang dengan mereka tentang drama yang sedang saya lakonkan dengan Suhan Movies. Jika mereka mampu mengikut jadual saya dengan Suhan, maka tidak menjadi masalah untuk saya menerima tawaran tersebut.

"Walaupun saya menerima tawaran berlakon yang berjalan secara serentak, namun saya akan pastikan bahawa saya tidak berkejar dari dua set penggambaran yang berbeza dalam satu masa," ujarnya.


SELAIN mengacara dan berlakon, figura ini juga bercita-cita mahu membuka sebuah restoran pada masa akan datang.


Buka cafe

Jika mahu diberi jolokan, status selebriti serba boleh mungkin tepat menggambarkan figura yang pernah membintangi drama muzikal Hotel Mania ini.

Sudah puas beraksi di hadapan kamera sebagai pengacara dan pelakon, Karl Shafek turut menunjukkan kemahirannya dalam bidang kulinari menerusi program pertandingan masakah MasterChef Selebriti dan MasterChef Celebrity All Stars.

Selepas muncul sebanyak dua kali dalam pertandingan memasak itu, bakat yang ada padanya sering menjadi bualan ramai. Justeru, tidak hairanlah jika kebanyakan daripada peminatnya begitu tertarik mahu mencuba masakan yang dimasak oleh Karl.

"Disebabkan oleh permintaan mereka, saya bercadang mahu membuka restoran atau kafe yang menampilkan menu-menu yang pernah saya masak ketika menyertainya MasterChef.

"Bagaimanapun, itu hanya perancangan awal sahaja. Jika saya ingin memulakan sebuah perniagaan, saya memerlukan modal yang besar. Insya-Allah, dalam masa dua tahun, mungkin cita-cita saya ini akan menjadi kenyataan," ujar Karl.

Adam nafi rumah tangga goyah

Posted:

Adam nafi rumah tangga goyah

Adam nafi rumah tangga goyah

Oleh IZWAN MOHD. ISA

FIGURA ini bersedia untuk ke gelanggang tarian sekiranya ditawarkan untuk berbuat demikian.


BEBERAPA bulan selepas mendirikan rumah tangga, hubungan antara penyanyi dan pelakon, Adam bersama isterinya, Fiza Halim dikatakan mulai renggang.

Fiza yang dahulunya merupakan bekas anggota kumpulan Elite dikatakan sering mengemas kini status di aplikasi permesejan Whatsapp miliknya dengan kata-kata dan ungkapan yang berbaur sedih.

Lantaran itu, timbul gosip mengatakan keadaan rumah tangga Adam atau nama sebenarnya, Mohd. Aizam Mat Saman, 31, dikatakan sedang bergolak.

Pernah beberapa kali Kosmo! cuba menghubungi penyanyi yang popular dengan lagu Tak Tahu itu untuk mendapatkan komen, namun usaha tersebut gagal.

Baru-baru ini, Adam yang sepatutnya datang ke studio Utusan di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur bagi menjayakan sesi fotografi sempena promosi filem Apokalips X bersama Kosmo!, tidak hadir.

Temu janji tersebut terpaksa dibatal- kan atas alasan Adam perlu pulang ke kampungnya di Sabah. Walaupun sesi tersebut telah ditunda ke tarikh yang lain, anak jati negeri Sabah itu turut membatalkannya untuk kali yang kedua.

Kosmo! bagaimanapun berkesempatan bertemu dengan Adam pada majlis tayangan perdana filem, Bahaya Cinta di TGV 1 Utama, Damansara, Selangor baru-baru ini. Ikuti temu bual selanjutnya antara Adam dan Kosmo!.

Kosmo!: Benarkah anda sedang mengalami masalah rumah tangga?

ADAM: Saya sedar ramai orang sedang bercakap tentang perkara ini dan ada juga ura-ura yang mengatakan hubungan kami sedang dilanda masalah.

Namun, saya dan Fiza baik-baik sahaja. Rasanya, saya tidak perlu memberikan komen mengenai perkara ini dengan lebih lanjut.

Adakah disebabkan ura-ura tersebut, anda cuba untuk lari daripada media dan meninggalkan majlis yang anda hadiri dengan lebih awal?

Saya akui pulang awal sewaktu menghadiri majlis sidang akhbar Selawat Perdana baru-baru ini. Namun, saya pulang awal kerana perlu menghadiri sesi fotografi untuk filem Apokalips X.

Saya tidak pernah berniat untuk lari daripada wartawan. Jika mahu menyembunyikan diri, saya tidak akan datang pada majlis tayangan perdana malam ini.

Bercakap tentang Apokalips X, anda juga dikatakan pulang awal sewaktu majlis tayangan perdana filem itu yang diadakan beberapa minggu lalu. Boleh berikan sedikit komen?

Tuduhan itu tidak benar sama sekali. Saya hadir pada majlis tayangan tersebut. Bagaimanapun, tiada wartawan yang datang berjumpa saya untuk diwawancara.

Apakah komen anda terhadap pembatalan sesi fotografi bersama Kosmo!?

Saya akui, itu merupakan kesalahan saya sendiri. Saya memang ada hal yang perlu diselesaikan dan perlu pulang ke Sabah. Namun, saya telah memaklumkan perkara tersebut beberapa hari sebelum sesi fotografi tersebut dijalankan.

KENANGAN manis Adam dan Fiza ketika bernikah pada 26 September, 2013.


Apakah pula komen anda terhadap cakap-cakap negatif mengenai kerjaya anda sebagai penyanyi yang berjalan seiring dengan keupayaan mengubat orang sakit dengan menggunakan kaedah Islam?

Buat masa ini, saya hanya membantu guru saya mengubati orang. Jika guru saya berada di luar kawasan, baru saya mengambil alih tugasnya. Lagipun, saya memakai serban dan jubah mengikut tempat yang dituju. Padahal, saya masih Adam yang sama.

Adakah isu-isu ini menggugat kebahagian rumah tangga anda?

Tidak sama sekali. Walaupun dihambat dengan pelbagai cerita, saya dan Fiza tidak pernah bergaduh. Mungkin ini adalah ujian yang Allah ingin berikan kepada saya.

Sampai bilakah anda akan meneruskan kerjaya sebagai seorang penyanyi?

Insya-Allah, saya memang mengharapkan perubahan yang lebih baik dalam hidup saya. Di samping itu, saya akan cuba untuk memperlahankan karier saya sebagai penyanyi. Sebab itu, saya mula menyanyi lagu-lagu berentak perlahan dan mengurangkan lagu-lagu yang memerlukan saya menari. Bagaimanapun, saya tetap akan menari jika mendapat permintaan.

Boleh ceritakan sedikit tentang filem Bahaya Cinta?

Ini merupakan filem kerjasama pertama antara Malaysia dengan Vietnam. Filem arahan Yusof Kelana ini mengisahkan Iskandar, lakonan saya, terbang ke Hanoi, Vietnam untuk mencari kekasih lama ibunya yang merupakan pelarian negara itu suatu ketika dahulu. Filem ini akan menemui penonton pada 1 Mei depan.

Apakah perkembangan terbaharu anda?

Saya akan muncul dengan single terbaharu berjudul Marmie Maafkanku. Lagu tersebut merupakan karya komposer dari seberang, Bajai.

Julfekar rancang bisnes di Filipina untuk Min

Posted:

Julfekar rancang bisnes di Filipina untuk Min

Julfekar rancang bisnes di Filipina untuk Min

Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA


PERBEZAAN usia melebihi 20 tahun tidak menjadi halangan buat Julfekar dan Min membina rumah tangga.


LEBIH seminggu melayari alam rumah tangga selepas melangsungkan pernikahan pada 4 April lalu, komposer Julfekar dan isterinya, penyanyi Min Yasmin disandingkan dalam acara begitu romantis di Dewan Ndah Mahligai, Shah Alam, Selangor.

Mengasyiki (menyukai) pada warna putih, pasangan ini melatari majlis persandingan mereka dengan warna putih dan Min juga anggun menyarung gaun berwarna putih dari Butik Princess.

Bergelar suami buat kali kedua selepas lima tahun hidup menduda, Julfekar mengakui bersyukur dan lega.

"Saya memang terbiasa hidup bersendirian selepas lima tahun menduda. Saya juga terfikir bagaimana berkahwin semula pada usia yang sudah mencecah 49 tahun.

"Terfikir juga berapa lama hidup saya. Walaupun pada mulanya kurang yakin untuk berkahwin, namun siapa saya untuk menolak jodoh," ungkapnya jujur selepas majlis resepsi yang berlangsung pada Ahad lalu.

Julfekar juga bersyukur apabila isterinya, pemilik sebenar nama Nurul Yasmin Abdul Aziz, 25, itu, menerima lamarannya. Kini, hidupnya terisi dengan kehadiran isteri yang dapat menjaga sakit dan makan minumnya.

Yakin Min pilihan tepat, luah Julfekar, bekas isterinya, anak-anak dan juga cucu-cucunya menyukai Min dan berharap dia mengahwini wanita berkulit hitam manis itu.

Sedar perbezaan usianya dengan Min begitu ketara, Julfekar sudah memikirkan perjalanan hidup isterinya itu dan merancang masa depan Min.

"Saya perlu fikirkan perjalanan hidup dia. Ada beberapa perancangan yang dirangka sejak dulu akan terhasil tidak lama lagi. Antaranya, album penuh Min dan juga album kolaborasi dengan penyanyi-penyanyi Filipina.

"Selain itu, saya juga merancang untuk membuka syarikat rakaman, restoran dan pusat peranginan di sana (Filipina)," jelasnya yang memilih negara itu kerana kuasa besarnya dalam bidang muzik.

Mengulas mengenai album kolaborasi Min dengan penyanyi Filipina, kata Julfekar, Min bakal berduet dengan penyanyi-penyanyi Filipina seperti Nikki Bacolod, Bryan Termulo, Diya dan Eima.


PASANGAN ini bakal berbulan madu di Pulau Boracay, Filipina.


Menyanyi dalam bahasa Tagalog, akui Min pula, dia perlu belajar dan bercakap dalam bahasa itu.

"Nicky Bacolod pernah datang sini (Malaysia). Dia banyak membantu saya bertutur dan melontar dialog dalam bahasa Tagalog," kata Min mengenai penyanyi yang juga merupakan pelakon dan pengacara MTV itu.

Ditanya tentang perancangan berbulan madu, pasangan itu merancang untuk menikmatinya di Pulau Boracay, Filipina.

Berduet

Malam resepsi Julfekar dan Min turut dihiburkan dengan persembahan duet daripada pasangan pengantin itu. Pasangan itu menyanyikan lagu Jangan Kau Pergi nyanyian Farawahida.

Menurut Min, lagu ciptaan Julfekar itu juga akan dihasilkan semula dan dinyanyikan mereka dalam susunan muzik berbeza untuk dipasarkan sebagai single mereka.

Biarpun ia pernah dipopularkan oleh Farawahida, Min tidak kisah untuk menyanyikan semula lagu tersebut kerana dia menyukai lagu itu.

"Saya suka lagu itu kerana lirik dan melodinya yang bagus," ulasnya.

Sementara itu, menurut Julfekar pula, Min sendiri yang meminta untuk menyanyikan lagu tersebut pada majlis resepsi mereka.

Majlis yang dikendalikan oleh anak Julfekar iaitu Zulfadhli itu turut dihiburkan dengan persembahan daripada penyanyi-penyanyi bawah bimbingan Julfekar.

Sekitar 500 tetamu hadir termasuk ahli keluarga dan sahabat-handai kedua-dua belah pihak serta rakan-rakan artis seperti Datuk Rosyam Nor, Faradhia, Lufyia dan David Teo.

Terdahulu, Min dan Julfekar atau nama sebenarnya, Julfekar Ahmad Shah, sah bergelar suami-isteri pada

4 April lalu. Mereka diijabkabulkan

di Masjid Kota Damansara, Kuala Lumpur.

Kredit: www.kosmo.com.my

Khamis, 17 April 2014

Kosmo Online - Rencana Utama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Hidup dalam buangan di tanah asing

Posted:

Hidup dalam buangan di tanah asing

Hidup dalam buangan di tanah asing

BERMULA tahun 1967, setiap orang Chagos yang meninggalkan Pulau Diego Garcia untuk rawatan perubatan atau bercuti di Mauritius, tidak lagi dibenarkan pulang ke tanah air mereka.

Tanpa ditemani keluarga atau harta benda, penduduk asal pulau yang terletak di jantung Lautan Hindi itu terpaksa merempat di penempatan setinggan Mauritius. Sehingga tahun 1973, hampir 1,200 orang Chagos dipindah secara paksaan ke Mauritius dan Seychelles.

Keluarga Jeannette Alexis antara penduduk Diego Garcia terakhir dipindahkan. Imbas Alexis: "Ayah memberitahu bahawa kami mesti meninggalkan pulau ini (Diego Garcia) kerana orang Amerika akan berpindah masuk dan ia tidak lagi selamat untuk kami sekeluarga."

Sudahlah mereka dihalau, haiwan peliharaan mereka terutama anjing dibunuh tentera British menggunakan gas dan kemudiannya dibakar.

"Anda boleh bayangkan tekanan yang mereka letakkan ke atas kami. Saya menangis dan berpaut pada kaki ibu dan walaupun masih kecil ketika itu, saya sedar bahawa kami telah meninggalkan sesuatu yang berharga dan ia merupakan rumah kami," luah Alexis.

Marcel Moulinie, pengurus sebuah ladang kelapa di pulau berkeluasan 44 kilometer (km) persegi itu menceritakan, dia diarahkan kerajaan British untuk memindahkan semua penduduk keluar.

"Apabila tiba waktu berpindah, mereka tidak dibenarkan membawa apa-apa selain beg berisi baju. Kapal kargo pemindahan yang digunakan pula kecil dan mereka terpaksa berhimpit selama lima jam," dedah Moulinie.

Penduduk Diego Garcia memberitahu bahawa mereka meninggalkan syurga dan dicampak ke neraka apabila tiba di Pelabuhan Louis, Mauritius. Berbekalkan kepakaran menangkap ikan dan berkebun, tanpa kemahiran profesional, mereka berdepan kesulitan mengadaptasi kehidupan di bandar serba lengkap itu.

Tambah menyayat hati, selepas ditinggalkan tanpa wang, pekerjaan yang dijanjikan dan rumah baharu, orang Chagos terpaksa berdikari hidup dalam buangan di tanah asing.

Selepas tiga dekad, tiada siapa mengetahui kisah kesengsaraan orang Chagos sehingga seorang penduduk asalnya, Olivier Bancoult, presiden bagi Persatuan Pelarian Chagos mendakwa kerajaan Britain di mahkamah.

Amarah Bancoult tidak terbendung setiap kali mengenang penderitaan yang dilalui bangsanya. Tiga abang Bancoult mati sebagai pemabuk akibat berputus asa dengan kesempitan hidup kritikal manakala adik perempuannya membunuh diri kerana terlalu merindui Diego Garcia.


LAPANGAN terbang Diego Garcia memainkan peranan penting ketika serangan ke atas Iraq dan Afghanistan.


"Ia menyiat-nyiat perasaan saya dan sebab itu saya tidak akan berputus asa. Semua ini terjadi kerana AS dan British membuat hidup kami merana," luah Bancoult menerusi laporan rangkaian televisyen dan radio Amerika Syarikat (AS), CBS News pada Jun 2003.

Kelapa

Kontroversi membabitkan hak untuk pulang penduduk asal Diego Garcia dengan kerajaan Britain dan AS mendapat perhatian dunia. Namun ia tidak diperjuangkan secara besar-besaran ekoran bilangan kecil rakyatnya yang kini meningkat kepada 5,000 orang.

Mengupas punca perpindahan paksaan itu, penulis buku Island of Shame: The Secret History of The U.S. Military on Diego Garcia, David Vine seperti yang dipetik daripada Global Research pada tahun 2009 mendedahkan, orang Chagos dipindahkan kerana populasi mereka yang kecil dan bukan tergolong dalam orang kulit putih.

Pihak AS juga cuba menyebarkan cerita palsu dengan mengatakan orang Chagos hanyalah pekerja kontrak sementara yang mendiami Diego Garcia untuk jangka masa singkat. Sementelah, mereka telah hidup di pulau itu sejak Revolusi Amerika iaitu hampir 200 tahun.

Jelas Vine yang juga profesor antropologi di Universiti Amerika, Washington DC, orang Chagos diimport dari Afrika, India dan sekitar Kepulauan Melayu bagi bekerja di ladang kelapa dan kopra (kelapa kering) di pulau itu.

Nenek moyang

Diego Garcia yang merupakan salah satu daripada 52 pulau dalam Kepulauan Chagos pada asalnya bukanlah penempatan manusia. Ia ditemui pelayar Portugis, Vasco de Gama sekitar 1500-an tetapi tidak diiktiraf di dalam peta dunia.

Pada abad ke-18 (1700-1800), Perancis meletakkan Diego Garcia di bawah jajahan Mauritius. Hamba-hamba yang dibawa masuk ke pulau itu untuk sektor agrikultur kemudiannya menjadi majoriti penduduk dan merupakan nenek moyang keturunan Chagos hari ini.


PANGKALAN tentera bersama Amerika Syarikat dan Britain ini menjadi lokasi strategik bagi dua kuasa besar ini meluaskan dominasi di Asia Barat.


British kemudian menawan Mauritius ketika Perang Napolean dan mendapat milikan ke atas Diego Garcia menerusi Perjanjian Paris. Tidak lama kemudian, pada tahun 1883, sistem penghambaan dihapuskan dalam sistem empayar British membolehkan orang Chagos membina peradaban sendiri.

Sehingga tahun 1971, pendapatan utama penduduk pulau itu diperoleh hasil perdagangan minyak kelapa. Ia merupakan sektor perladangan yang menguntungkan kerana minyak kelapa itu dijadikan minyak mesin yang berkualiti dan digunakan dalam lampu-lampu di Eropah.

Setahun selepas penubuhan Jajahan Lautan Hindi British (BIOT) pada tahun 1965, satu perjanjian rasmi telah ditandatangani antara United Kingdom (UK) dan AS bagi menjadikan Diego Garcia sebagai pangkalan tentera bersama.

Bagi menguatkuasakan perjanjian itu, Britain memisahkan Kepulauan Chagos daripada jajahan Mauritius, biarpun tindakan mereka menyalahi undang-undang penyahjajahan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Berdasarkan perjanjian itu, Diego Garcia dipajak kepada AS sebagai pertukaran pemansuhan hutang membeli peralatan ketenteraan bernilai AS$14 juta (RM45 juta).

Laman web Infoplease menyatakan, Diego Garcia terletak di luar rangkaian siklon (angin puting beliung) menjadikan ia pangkalan tentera efektif ketika Perang Dingin dan bagi memerhati pergerakan Kesatuan Soviet. Fungsinya sebagai pangkalan hadapan juga diiktiraf ketika Perang Teluk 1991.

"Menerusi Diego Garcia, AS boleh meluaskan kuasanya di sepanjang Asia Barat, Afrika Timur, India, Australia dan Indonesia," jelas Vine yang menyatakan AS kini memiliki kira-kira 1,000 buah pangkalan termasuk 287 di Jerman, 130 di Jepun dan 57 di Itali.

Diego Garcia juga dilengkapi pesawat pengebom terbesar AS termasuk Air Force B-52, B-1B dan B-2. Buktinya pada 17 Disember 1998, hampir 100 peluru berpandu kruis jarak jauh dilancarkan ke Iraq di bawah Operasi Desert Fox.

Pada 7 Oktober 2001 pula, AS sekali lagi menggunakan Diego Garcia sebagai pelancar pesawat pengebom B-52 dan B-2 bagi menyerang Afghanistan. Biarpun terletak lebih 4,828km dari selatan Iraq, ia tidak mengundang sebarang masalah logistik kepada AS. Malah Tentera Udara AS pernah mendedahkan bahawa B-52 mereka boleh menjangkau jarak melebihi 14,162km.

Seperti yang dinyatakan pada laman web rasmi Fasiliti Sokongan Tentera Laut Diego Garcia, kedudukan terpencil pulau itu membolehkan ia menjadi hab kunci bagi mengesan satelit dan bertindak sebagai salah satu daripada lima stesen pengawasan Penentu Kedudukan Global (GPS). Ia turut dilengkapi sistem Pengawasan Angkasa Optikal Elektro Darat bagi mengesan objek di ruang udara.

PENDUDUK asal pulau ini menjalani kehidupan berasaskan sistem sara hidup menerusi pertanian dan perikanan.


Dokumen rahsia

Berbalik kepada tuntutan hak kembali ke Diego Garcia oleh orang Chagos, pada tahun 2000, Bancoult bersama peguamnya, Richard Gifford berjaya menemui dokumen-dokumen rahsia yang telah diubah status berhubung penjelasan perjanjian antara AS dan Britain berkenaan pembinaan pangkalan tentera Diego Garcia.

Pendedahan daripada pihak Bancoult membawa kejayaan bermakna. Mahkamah Tinggi Britain memutuskan bahawa memindahkan penduduk asal Diego Garcia sebagai satu kegiatan haram.

"Orang Chagos tidak pernah menolak pangkalan AS di Diego Garcia tetapi mereka berkecil hati kerana dinafikan peluang pekerjaan di sana," ujar Gifford.

Bagi mengekang kemaraan orang Chagos, kerajaan Britain mengeluarkan Titah Berkenan pada tahun 2004 bagi mengharamkan penduduk asal untuk kembali. Prerogatif diraja tradisional itu membolehkan Britain menolak keputusan Mahkamah Tinggi pada tahun 2000.

Namun pada Mei 2006, Mahkamah Tinggi di London memutuskan bahawa orang Chagos mungkin boleh pulang ke pulau lain di dalam Kepulauan Chagos dan menyifatkan tindakan kerajaan Britain sebagai menyalahi undang-undang dan melanggar standard moral.

Menurut laporan Huffington Post, meskipun tiga mahkamah rendah di Britain berpihak kepada orang Chagos, keputusan Mahkamah Tinggi dengan margin 3-2 berpihak kepada kerajaan Britain meranapkan impian penduduk asal Diego Garcia. Tahun lalu, Mahkamah Hak Kemanusiaan Eropah juga menolak rayuan akhir orang Chagos.

"Ia adalah pangkalan penting, saya setuju tetapi pada masa yang sama, mereka perlu sedar bahawa manusia juga penting," luah Alexis.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Komuniti Kita

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Komuniti Kita


Adenan terima kunjungan hormat wakil DUBS

Posted:

Adenan terima kunjungan hormat wakil DUBS

Adenan terima kunjungan hormat wakil DUBS

ADENAN (kanan) menerima cenderamata daripada Abang Helmi pada majlis kunjungan DUBS di Wisma Bapa Malaysia, Kuching, Sarawak baru-baru ini.


KUNJUNGAN HORMAT. Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem menerima kunjungan hormat delegasi Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia, Kuching, Sarawak baru-baru ini.

Presiden DUBS, Datuk Abang Helmi Ikhwan berkata, kunjungan itu bagi memperkenalkan barisan ahli-ahli majlis eksekutif dan ahli-ahli gabungan usahawan bumiputera yang bernaung di bawah DUBS.

Menurutnya, dengan keahlian seramai 2,000 orang, DUBS telah memainkan peranan dengan berkesan dalam memajukan perdagangan dan perusahaan bumiputera di Sarawak.

"DUBS juga membantu kontraktor bumiputera di negeri ini untuk mendapatkan kontrak-kontrak pembangunan daripada kerajaan dan sebagainya," katanya.

Pertandingan Pengisahan Kenegaraan 1Malaysia

Posted:

Pertandingan Pengisahan Kenegaraan 1Malaysia

Pertandingan Pengisahan Kenegaraan 1Malaysia


THIONG GHEE (enam dari kanan) bergambar dengan pemenang pertandingan Pengisahan Kenegaraan 1Malaysia peringkat negeri Kedah di Kulim, Kedah baru-baru ini.


HEBAT. Sebanyak 10 pasukan menyertai pertandingan Pengisahan Kenegaraan 1Malaysia peringkat negeri Kedah di Dewan Bandaran Kulim, Kulim, Kedah baru-baru ini.

Dalam pertandingan anjuran Jabatan Penerangan negeri itu, Kumpulan Jiwa Hamba diwakili Mohd. Zulkamal Ismail, Mohamad Shafizal Ghali dan Muzaffar Tawang dari daerah Padang Terap membawa lakonan kisah kehidupan tokoh sasterawan negara, Datuk Osman Awang berjaya membawa pulang hadiah utama RM3,000.

Hadiah disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Kulim, Chua Thiong Ghee.

29 bekas tentera terima Pingat Jasa Malaysia

Posted:

29 bekas tentera terima Pingat Jasa Malaysia

29 bekas tentera terima Pingat Jasa Malaysia


SAPAWI (duduk tengah) bergambar dengan 29 ahli Persatuan Bekas Tentera Malaysia yang menerima Pingat Jasa Malaysia di Sipitang, Sabah baru-baru ini.


PENGHARGAAN. Bagi menghargai pengorbanan dan sumbangan bekas-bekas pejuang negara, seramai 29 ahli Persatuan Bekas Tentera Malaysia Cawangan Sipitang menerima Pingat Jasa Malaysia (PJM) dalam satu majlis di Dewan Mini Perpustakaan Sipitang, Sipitang, Sabah baru-baru ini.

Pingat disampaikan oleh Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Sapawi Ahmad yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran Tentera Sabah, Leftenan Kolonel Adnan Ariffin; Ketua Polis Daerah Sipitang, Deputi Superintendan Mustapa Osman dan Yang Dipertua Persatuan Bekas Tentera Negeri Sabah, Sanon Safari.

Menurut Sapawi, kerajaan sentiasa berusaha untuk membantu bekas-bekas anggota tentera termasuk mewujudkan Jabatan Hal Ehwal Veteran Tentera Malaysia dalam usaha menghargai pengorbanan mereka.

"Dengan adanya jabatan ini, pesara tentera boleh memohon untuk mendapatkan bantuan yang disediakan oleh kerajaan," katanya.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


1,000 penduduk kini terancam

Posted:

1,000 penduduk kini terancam

1,000 penduduk kini terancam

SEORANG kakitangan perubatan dan pengawal keselamatan berdiri di depan pintu masuk Wad Kecemasan Hospital King Fahd yang ditutup kerana sindrom MERS-CoV di Jeddah semalam.


BATU PAHAT - Seramai 64 orang penduduk Kampung Bintang di sini terpaksa dikuarantin selama seminggu di rumah masing-masing selepas dikesan mengalami tanda-tanda awal Sindrom Pernafasan Koronavirus Timur Tengah (MERS-CoV).

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, sebanyak 100 penduduk telah menjalani pemeriksaan di pusat pemeriksaan khas jangkitan MERS-CoV di kampung itu setakat ini.

Beliau berkata, pusat tersebut dibuka sejak 14 April lalu berikutan kematian seorang penduduk yang baru pulang daripada mengerjakan umrah dan disahkan meninggal dunia akibat jangkitan MERS-CoV.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Karpal maut dalam nahas di Perak

Posted:

Karpal maut dalam nahas di Perak

Karpal maut dalam nahas di Perak

Oleh SAHLIZAH MOHAMED dan FIRDAUS HASSAN
berita@kosmo.com.my

KAMPAR - Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh dan pembantu peribadinya terbunuh dalam kemalangan membabitkan kenderaan pelbagai guna (MPV), Toyota Alphard yang mereka naiki dengan sebuah lori di Kilometer 306.1 Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Gua Tempurung di Kampar awal pagi semalam.

Karpal, 74, dan pembantu peribadinya Michael Cornelius Selam Vellu, 40-an, maut di tempat kejadian.

Tiga lagi yang menaiki kenderaan bersama ahli politik itu termasuk pembantu rumah Karpal, seorang wanita Indonesia, cedera parah kerana mengalami pendarahan di otak.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

15 penumpang Turkish Airlines dipantau

Posted:

15 penumpang Turkish Airlines dipantau

15 penumpang Turkish Airlines dipantau

KAJANG - Seramai 15 jemaah umrah dari Malaysia yang menaiki penerbangan Turkish Airlines (TK93 dan TK60) bagi perjalanan dari Jeddah-Istanbul-Kuala Lumpur pada 29 Mac lepas kini di bawah pemantauan rapi.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, kesemua mereka berada di bawah pemantauan selama 14 hari sejak minggu lepas untuk memastikan kesemuanya bebas daripada dijangkiti Sindrom Pernafasan Koronavirus Timur Tengah (MERS-CoV).

Beliau berkata, bagaimanapun mereka tidak ditahan di wad sebaliknya membuat pemeriksaan kesihatan secara berkala.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


FAM harus tegas

Posted:

FAM harus tegas

FAM harus tegas

Oleh MOHD. IKHSAN FIRDAUS AZMI
ikhsan.azmi@kosmo.com.my

SEGELINTIR penyokong Perak membakar suar ketika aksi Liga Super antara Perak dan Johor DT di Stadium Perak, Ipoh Selasa lalu.


PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu bertindak tegas menyelesaikan insiden kekecohan yang berlaku selepas aksi Liga Super antara Perak dengan Johor Darul Takzim (Johor DT) di Stadium Perak, Ipoh Selasa lalu.

Demikian ulas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar (gambar kecil) mengenai kekecohan yang menyaksikan penyokong tuan rumah bertindak di luar kawalan selepas dikatakan tidak berpuas hati atas kekalahan Perak kepada Johor DT pada perlawanan tersebut.

Khairy berkata, FAM perlu mengenakan hukuman yang lebih berat bagi memberi pengajaran kepada mana-mana persatuan ekoran kelakuan penyokong mereka yang bertindak di luar kawalan ketika sesuatu perlawanan berlangsung.

"Saya rasa mereka boleh menghukum pasukan dengan lebih cepat dengan hukuman yang berat kerana pasukan perlu bertanggungjawab untuk memberitahu kumpulan penyokong mereka supaya jangan bertindak ganas sehingga mengakibatkan kekacauan.

"Ada pelbagai pilihan, contohnya pasukan yang penyokong mereka bertindak ganas harus didenda ataupun dipaksa bermain di stadium yang kosong.

"Tanggungjawab keselamatan adalah pada tuan rumah tetapi jika peminat atau penyokong daripada pasukan pelawat yang bertindak ganas maka pasukan tersebut harus dipersalahkan.

"Kita harus bertanggungjawab kepada penyokong kita," kata Khairy kepada pemberita di Kelab Golf Diraja Selangor (RSGC), Kuala Lumpur semalam.

Dalam insiden Selasa lalu, para penyokong Johor DT dikepung lebih daripada sejam selepas berlaku kekecohan sebaik perlawanan itu berakhir.

Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) terpaksa bertindak menyembur air ke arah penyokong-penyokong Perak bagi meleraikan kekecohan itu.

Sebelum perlawanan bermula, bas yang membawa para penyokong Johor DT diconteng dengan cat kuning oleh segelintir penyokong Perak.

'Stadium macam medan perang'

Posted:

'Stadium macam medan perang'

'Stadium macam medan perang'

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my


PASUKAN FRU terpaksa ditugaskan di Stadium Perak di Ipoh pada Selasa lalu bagi mengawal insiden kekecohan penonton selepas berakhirnya aksi Liga Super antara Perak dengan Johor DT yang berkesudahan Perak tewas 0-1.


STADIUM bola sepak seolah-olah bukan lagi tempat yang selamat ekoran pelbagai kekecohan yang dicetuskan oleh para penyokong sukan No. 1 negara itu.

Hampir setiap tahun, insiden kekecohan sering berlaku sehingga menyebabkan rusuhan kecil dipercayai berpunca daripada sekumpulan penyokong yang tidak 'bertamadun'.

Tidak cukup dengan kontroversi di atas padang, insiden-insiden yang tidak diingini itu terus merebak sehingga di luar kawasan stadium.

Suasana tersebut telah menimbulkan pelbagai persoalan sama ada perlawanan bola sepak masa kini sebagai satu aktiviti yang selamat untuk ditonton.

Bila berlaku masalah seperti ini, yang menerima padah adalah persatuan bola sepak negeri manakala penontonnya terlepas tanpa terbeban dengan hukuman.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sudah pastinya menghukum persatuan negeri atas alasan gagal menyediakan tahap keselamatan yang dituntut.

Ekoran itu, legenda bola sepak Kelantan, Dali Omar (gambar kecil) menegaskan bahawa sudah tiba masanya FAM mengkaji atau mengubal satu undang-undang bagi menghukum penyokong-penyokong yang tidak memiliki semangat kesukanan.

"Sekarang, FAM perlu mengkaji dan mencari jalan bagaimana untuk mengambil tindakan keras kepada penyokong. Jangan bagi muka atau toleransi kerana perbuatan mereka tidak melambangkan semangat kesukanan.

"Ini budaya samseng, bukan budaya cintakan bola sepak. Sampai bila FAM mahu menghukum persatuan negeri pada hal mereka (persatuan) sentiasa sedaya upaya untuk memastikan tahap keselamatan di dalam dan luar stadium terjamin.

"Kadang-kadang, kesalahan sebegini bukan senang untuk FAM menentukan bentuk hukuman.

"Hanya disebabkan segelintir penyokong buat perangai, persatuan negeri yang menjadi mangsa.

"Sudah tiba masanya FAM dengan kerjasama pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia mengenakan hukuman keras kepada penyokong yang tiada moral diri," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Pada Selasa lalu, satu kekecohan berlaku di Stadium Perak di Ipoh selepas aksi Liga Super antara Perak menentang Johor Darul Takzim (Johor DT) yang berkesudahan tuan rumah tewas 0-1.

Insiden membaling mercun dan botol air terjadi sebaik kemenangan 1-0 memihak kepada pasukan pelawat sehingga memaksa Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) bertindak menyembur air kepada penyokong-penyokong Perak bagi mengelakkan sebarang pergaduhan berlaku.

Tambah Dali, beliau menggesa peminat-peminat agar tidak mengulangi kelakuan kurang sopan ini pada perlawanan akan datang.

"Saya sedih lihat senario bola sepak kita.

"Peminat sudah semakin ramai datang menyaksikan perlawanan liga negara tetapi bila berlaku perkara begini, orang lain takut nak tengok," katanya.

Haluan Kelantan di bahu pemain

Posted:

Haluan Kelantan di bahu pemain

Haluan Kelantan di bahu pemain

Oleh YATIMIN ABDULLAH
sukan@kosmo.com.my

MARUAH The Red Warriors kini tergalas di bahu barisan pemainnya dalam usaha mengembalikan semula reputasi pasukan yang terjejas teruk selepas diaibkan oleh Sime Darby 0-4 dalam pertemuan Liga Super Selasa lalu.

Justeru, pertemuan dengan Sarawak di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam ini merupakan medan terbaik bagi mengembalikan status mereka sebagai antara pasukan terkuat dalam saingan Liga Super.

Begitupun The Red Warriors dijangka berdepan ujian getir selepas kehilangan khidmat ketua jurulatih, Steve Darby yang direhatkan buat sementara waktu daripada mengemudi pasukan berkenaan.

Pengendali sementara The Red Warriors, Mohd. Hashim Mustapha mahu barisan pemainnya segera melupakan kekalahan kepada Sime Darby dan kembali fokus pada pertemuan dengan Sarawak.

Menurut Hashim, hanya kemenangan ke atas Sarawak mampu memulihkan moral pasukannya setelah dikejutkan dengan berita pemecatan Darby oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dua hari lalu.

"Jujurnya, saya masih terkejut dengan berita penyingkiran Darby. Saya mengambil tanggungjawab ini (mengendalikan pasukan) dengan berat tetapi kami perlu memandang ke hadapan.

"Saya akan bergandingan dengan Zahasmi Ismail bagi merangka strategi terbaik untuk berdepan Sarawak," katanya ketika dihubungi Kosmo! di Kota Bharu semalam.

Tambahnya, penyingkiran pengendali berusia 59 tahun itu tidak mematahkan semangat pemain dan pegawai pasukannya dan beliau menagih sokongan padu peminat tempatan bagi memastikan kemenangan menjadi milik Kelantan malam ini.

Hashim memberitahu, dia akan membuat sedikit perubahan taktikal memandangkan beberapa tonggak utama dibelenggu kecederaan.

Katanya, dua tonggaknya iaitu Muhammad Nazri Ahmad terpaksa diketepikan akibat penggantungan perlawanan manakala Mohamed Shawky Aly yang mengalami kecederaan pangkal paha dan telah pulang ke Mesir buat sementara waktu.

"Peluang Mohamad Ghaddar masih 50-50 untuk diturunkan kerana saya rasa dia belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan.

"Saya akan menilai keadaan semasa dua penyerang, Ahmad Fakri Saarani dan Ahmad Shakir Md Ali dalam sesi latihan terakhir petang ini (semalam).

"Sekiranya keadaan memuaskan, kemungkinan besar mereka boleh disenaraikan pada pertemuan malam esok (ini)," ujarnya.

Hashim turut mengingatkan anak buahnya mengambil pendekatan lebih berwaspada terutama peningkatan prestasi mendadak skuad kendalian Robert Alberts selepas mengecewakan Angkatan Tentera Malaysia 3-2 di Kuching pada Selasa lalu.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online


Dua tentera cedera, siling runtuh ketika demonstrasi letupan bom di PWTC

Posted:

Dua tentera cedera, siling runtuh ketika demonstrasi letupan bom di PWTC

Dua tentera cedera, siling runtuh ketika demonstrasi letupan bom di PWTC

17/04/2014 10:03pm

KUALA LUMPUR - Dua anggota tentera cedera ringan apabila terkena serpihan siling selepas menonton demonstrasi letupan bom sempena Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, petang tadi.

Pengarah Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khiruddin Drahman berkata, dua tentera itu seorang daripadanya cedera ringan di kepala manakala seorang lagi pengsan dihempap siling itu.

"Keadaan mereka bagaimanapun dilaporkan stabil dan sedang dirawat di Hospital Kuala Lumpur.

"Kejadian itu berpunca daripada demonstrasi letupan bom (sebenar) oleh pasukan tentera yang mengakibatkan sebahagian siling anjung PWTC di tingkat dua runtuh," katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata, bomba menerima panggilan kecemasan pada 5 petang dan tiba di tempat kejadian enam minit kemudian. - Bernama

Polis tumpas sindiket 'black money', tahan dua warga asing

Posted:

Polis tumpas sindiket 'black money', tahan dua warga asing

Polis tumpas sindiket 'black money', tahan dua warga asing

17/04/2014 9:10pm

KUALA LUMPUR - Polis menumpaskan satu sindiket "black money" dengan menahan seorang lelaki warga Afrika dan seorang wanita Filipina serta merampas wang palsu yang dianggarkan bernilai RM3.2 juta.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Izany Abdul Ghany berkata, kedua suspek itu ditahan di dua lokasi berasingan di sekitar ibu kota Selasa lepas.

Menurut Izany, lelaki Afrika berusia 34 tahun itu ditahan di sebuah hotel di Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini setelah pihaknya menerima maklumat daripada seorang wanita tempatan yang mencurigai tawaran yang diberikan oleh suspek itu.

"Pengadu mengenali suspek itu melalui Facebook sebelum bercadang untuk bertemu dengan membawa beberapa individu yang berminat dalam bidang pelaburan itu.

Susulan itu, polis menyerbu hotel tersebut sebelum merampas tiga keping not RM50 dan peralatan mencuci wang yang dipercayai digunakan dalam kegiatan itu," katanya pada sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini. - Bernama

DSA 2014 terima jumlah pelawat terbesar

Posted:

DSA 2014 terima jumlah pelawat terbesar

DSA 2014 terima jumlah pelawat terbesar

17/04/2014 9:02pm

KUALA LUMPUR - Persidangan dan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2014 yang berakhir hari ini mencatatkan rekod tersendiri dengan penyertaan 1,000 syarikat dari 60 negara serta menerima lebih 30,000 pelawat iaitu angka tertinggi dicatatkan dalam sejarah DSA.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pada tahun 2012, pameran itu menarik 24,980 pengunjung.

"Keupayaan DSA menjadi platform untuk pemeteraian perjanjian komersial

merupakan bukti acara ini antara pameran peneraju bagi sektor pertahanan dan keselamatan global.

"Industri pertahanan sememangnya antara industri pertumbuhan berpotensi kukuh yang disasar kerajaan untuk terus diperkembang," katanya dalam ucapan penghargaan DSA 2014, di sini hari ini.

Beliau juga berkata, pameran itu yang dianggap sebagai satu daripada lima pameran pertahanan terbesar dunia, menyaksikan empat pemeteraian memorandum persefahaman (MoU), lima Surat Penerimaan (LoA), enam Surat Hasrat dan 10 kontrak. - Bernama

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Dunia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


Nahas feri di Korea Selatan

Posted:

Nahas feri di Korea Selatan

Nahas feri di Korea Selatan

BOT milik pasukan penyelamat berusaha mencari mangsa sebuah feri yang terbalik dan karam ketika dalam perjalanan dari Bandar Incheon menuju ke pulau Jeju semalam.- AFP


SEOUL - Pasukan penyelamat Korea Selatan termasuk beberapa penyelam unit elit tentera laut, SEAL bertungkus-lumus mencari 291 orang yang hilang selepas sebuah feri membawa 459 penumpang dan kru karam semalam.

Ketika kejadian, feri Sewol itu dalam perjalanan dari Bandar Incheon menuju ke pulau peranginan Jeju.

Kebanyakan penumpangnya terdiri daripada pelajar sekolah tinggi.

Setakat ini, empat penumpang disahkan maut selepas feri itu tenggelam di Laut Jepun, kira-kira 20 kilometer dari pulau Byungpoong, selatan Korea Selatan.

Pihak berkuasa turut menyatakan seramai 55 orang cedera dalam nahas tersebut. Menuru tnya, mangsa yang disahkan terselamat setakat ini hanya seramai 164 orang.

"Baki 291 orang lagi masih belum ditemui," kata Timbalan Menteri Keselamatan dan Pentadbiran Awam, Lee Gyeong-Og pada satu sidang akhbar di sini.

Semakan semula itu mencetuskan kebimbangan bahawa angka kematian sebenar adalah jauh lebih tinggi berbanding anggaran awal.

Feri seberat 6,825 tan itu terbalik dan tenggelam dua jam selepas ia menghantar isyarat kecemasan pada pukul 9 pagi waktu Korea Selatan.

Beberapa rakaman televisyen menunjukkan penumpang-penumpang yang memakai jaket keselamatan memanjat ke dalam bot-bot keselamatan ketika feri itu beransur karam.

Pada masa yang sama, petugas-petugas penyelamat termasuk kru sebuah bot nelayan bertungkus-lumus untuk menyelamatkan mereka.

Gyeong-Og berkata, jumlah mangsa terselamat yang lebih tinggi itu berpunca daripada kekeliruan ekoran percampuran sumber maklumat.

"Daripada 429 penumpang, lebih 300 orang merupakan pelajar sebuah sekolah tinggi di Ansan, selatan bandar raya ini yang melakukan perjalanan bersama 14 guru mereka," kata Gyeong-Og.

Kebanyakan mangsa yang terselamat berjaya diselamatkan oleh sebuah kapal nelayan dan beberapa kapal komersial yang kebetulan berada di sekitar lokasi kejadian.

Tidak lama selepas itu beberapa buah kapal dan bot tentera laut serta pengawal pantai yang turut dibantu oleh beberapa buah helikopter tiba untuk memberi bantuan.

Menurutnya, sejumlah penyelam termasuk pasukan penyelam SEAL Korea Selatan memeriksa feri yang karam itu.

"Namun, air laut yang berkeladak menyebabkan jarak penglihatan amat terhad," tambah timbalan menteri berkenaan.

Terdahulu, feri tersebut belayar dari pelabuhan Incheon yang terletak sekitar 430 kilometer dari Jeju petang kelmarin.

Punca kemalangan masih belum jelas tetapi beberapa penumpang terselamat memberitahu, feri itu terhenti secara tiba-tiba yang menunjukkan ia mungkin terlanggar beting pasir.

Cuaca pada hari kejadian dilaporkan cerah dengan kekuatan ombak dan angin yang sederhana.

"Terdapat bunyi yang amat kuat sebelum feri ini mula senget," kata seorang penumpang yang terselamat, Kim Song-Muk.

"Para penumpang bergegas untuk naik ke geladak atas tetapi ia amat sukar ekoran keadaan kapal yang condong," katanya.

Seorang pegawai tempatan yang tiba di lokasi kemalangan dengan menaiki bot sejam selepas isyarat kecemasan dihantar berkata, beliau amat bimbang mengenai mangsa-mangsa yang masih hilang.

"Feri itu hampir karam sepenuhnya apabila saya tiba di tempat kejadian. Ramai orang dikhuatiri terperangkap," katanya.

Suhu air laut pada hari kejadian adalah sejuk iaitu sekitar 12.6 darjah celsius.

Hampir 300 orang maut apabila sebuah feri di perairan barat Korea Selatan terbalik pada Oktober 1993 dalam kemalangan yang disifatkan antara terburuk di negara itu.- AFP

Kereta perisai kibar bendera Rusia di Ukraine

Posted:

Kereta perisai kibar bendera Rusia di Ukraine

Kereta perisai kibar bendera Rusia di Ukraine


BEBERAPA lelaki bersenjata dan berpakaian tentera dilihat menaiki beberapa buah kereta perisai memasuki bandar Slavyansk, Ukraine semalam.- AFP


SLAVYANSK – Beberapa buah kereta perisai yang mengibarkan bendera Rusia memasuki bandar ini, timur Ukraine semalam, sehari selepas Presiden Rusia, Vladimir Putin memberi amaran bahawa Ukraine kini di ambang perang saudara.

Keadaan semakin tegang menjelang rundingan diplomatik peringkat tinggi berhubung krisis Ukraine yang dijadualkan di Geneva hari ini selepas Kiev menghantar tentera untuk mengusir anggota-anggota pemisah pro-Moscow dari timur negara itu.

Seorang wartawan agensi berita AFP di sini melihat sekurang-kurangnya enam buah kereta perisai membawa berpuluh-puluh lelaki bersenjata masuk ke bandar ini.

Media Rusia melaporkan bahawa kereta-kereta perisai itu membawa askar Ukraine yang berpaling tadah untuk menyertai kumpulan pemisah.

Namun, tentera Ukraine memberitahu AFP bahawa pihaknya tidak menerima laporan tentang sebarang rampasan melibatkan peralatan ketenteraannya.

Sementara itu, sekumpulan lelaki bersenjata pro-Rusia bertindak menyerbu pejabat datuk bandar di Donetsk.

Ketika situasi di timur Ukraine kian meruncing, kerajaan Ukraine meningkatkan kecaman terhadap Rusia apabila Perdana Menteri Arseniy Yatsenyuk menuduh Moscow cuba membina Tembok Berlin baharu di negaranya. – AFP

20 tahun pakai pakaian warna bendera Brazil

Posted:

20 tahun pakai pakaian warna bendera Brazil

20 tahun pakai pakaian warna bendera Brazil


RUANGAN pejabat Paviotti dihiasi dengan warna hijau, kuning, putih dan biru.- Agensi


SAO PAULO - Seorang peminat fanatik pasukan bola sepak Brazil hanya memakai pakaian yang bertemakan warna bendera negara itu sejak 20 tahun lalu.

Lelaki tersebut, Nelson Paviotti berbuat demikian selepas berjanji untuk hanya memakai pakaian mengikut warna bendera Brazil jika negara itu menjuarai temasya bola sepak Piala Dunia pada tahun 1994.

Brazil menjurai piala paling berprestij tersebut selepas menewaskan Itali dalam temasya yang berlangsung di Amerika Syarikat.

Katanya, sebelum perlawanan tersebut, dia berjanji pada rakan-rakannya untuk hanya memakai pakaian berwarna hijau, kuning, putih dan biru, warna yang terdapat pada bendera Brazil jika negara itu muncul juara.

Menurutnya, hiasan rumah termasuk ruangan pejabatnya juga dihiasi dengan tema bendera Brazil.

"Saya turut mewarnakan dua buah kereta dengan warna bendera Brazil dan memainkan lagu kebangsaan negara ketika sedang memandu.

"Saya sangat sayangkan negara saya sendiri, Brazil dan juga penduduk di sini," katanya.

Pada tahun ini Brazil akan menjadi tuan rumah temasya Piala Dunia yang berlangsung pada Jun ini. - Agensi

Kredit: www.kosmo.com.my
 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved