Isnin, 10 September 2012

Kosmo Online - Rencana Utama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Obsesi Braddy terhadap reptilia

Posted:

Obsesi Braddy terhadap reptilia

SEDANG sekumpulan 120 murid-murid sekolah sedang asyik mendengar taklimat mengenai kehidupan reptilia di pekarangan Zoo Negara, Kuala Lumpur Jun lalu, mereka tiba-tiba dikejutkan dengan kehadiran seorang lelaki yang meluru laju ke arah mereka.

Lelaki tersebut tidak bersendirian. Kelihatan ular sawa kuning terlilit leher dan badannya dan situasi tersebut ternyata mengejutkan mereka. Ada di antara mereka yang menjerit ketakutan tidak kurang pula ada yang begitu teruja dengan kehadiran pakar reptilia institusi sains dan pendidikan antarabangsa, National Geographic, Dr. Brady Barr yang tidak henti-henti memperagakan haiwan eksotik itu kepada mereka.

Brady, 49, ternyata tidak lokek berkongsi ilmu dan pengalamannya sepanjang siri jelajah ke-70 buah negara di seluruh dunia menerusi siri ketujuh rancangan dokumentari National Geographic, The Most Dangerous Encounters & Dangerous Encounters yang disiarkan menerusi saluran Astro 553 (National Geographic) dan saluran Astro 550 (Nat Geo Wild)

Pertuturannya yang diselang-seli dengan lawak jenaka di samping persembahan video yang lucu jelas dapat menarik perhatian kanak-kanak untuk mendengar kisah-kisah reptilia mahupun haiwan-haiwan lain yang pernah didekati Brady.

Lelaki ikon itu memberitahu, antara haiwan yang paling digemarinya ialah buaya dan beliau merupakan satu-satunya saintis haiwan yang telah berjaya menangkap 23 spesies buaya liar di seluruh dunia.

Dengan stail dan personaliti yang bersahaja, Brady membawakan banyak haiwan yang jarang didedahkan kepada umum kepada orang ramai secara akademik, sama ada secara berdepan ataupun melalui program televisyen.

BRADY gemar pada cabaran mendekati haiwan liar.


Minat dinosaur

Menurut Brady, minat terhadap buaya lahir sejak daripada zaman kanak-kanak apabila beliau pada awalnya taksub pada kehidupan dalam zaman dinosaur.

"Buaya sangat istimewa bagi saya. Walaupun ia telah wujud kira-kira 25 juta tahun lalu, haiwan tersebut masih boleh dilihat dan dikaji sehingga kini. Tidak seperti dinosaur, haiwan tersebut telah lama pupus dan generasi kini masih tidak jelas mengenai kewujudannya," ujar beliau.

Brady turut mendedikasikan kisah hidupnya bersama hidupan reptilia kepada orang ramai sebagai salah satu cara untuk mendidik mereka mengenai keajaiban alam.

Sepanjang penggambaran siri ketujuh Most Dangerous Encounters & Dangerous Encounters, Braddy ternyata mengharungi pelbagai cabaran untuk mendekati hidupan liar di 70 buah negara yang telah dijelajahinya.

Sepanjang penjelajahannya, Brady mengakui tidak gentar berhadapan dengan haiwan-haiwan liar seperti ular dan buaya di habitat liar, cuma beliau amat takut dengan jangkitan dan virus yang dibawa melalui air seperti parasit dan malaria.

"Jika terkena jangkitan, ia akan mengambil masa yang lama untuk sembuh dan berkemungkinan akan melumpuhkan sesi penjelajahan saya bersama krew National Geographic," jelasnya.

Telah muncul dalam lebih 100 buah filem terbitan National Geographic, Brady ternyata mempunyai kaedah tersendiri untuk mendekati haiwan-haiwan liar di hutan dan di air.

Beliau lazimnya menggunakan teknik penyamaran seperti memakai sut dan topeng buaya, badak sumbu, babun dan beruang malah kostum tumbuhan seperti lalang.

"Apabila saya memakai sut dan topeng menyerupai haiwan-haiwan tersebut, saya dengan mudah dapat menghampiri dan menyentuh haiwan tersebut. Selain itu, saya dapat menyelami kisah kehidupan haiwan-haiwan itu walaupun tanpa berkomunikasi dengan mereka.

"Kaedah ini merupakan pendekatan bukan ortodoks untuk saya menjalankan eksperimen terhadap haiwan liar dan penonton akan dapat melihat kehidupan sebenar haiwan-haiwan ini secara semula jadi," ujar pemegang ijazah doktor falsafah dalam bidang biologi di Universiti Miami pada tahun 1997 itu.

AKSI Brady bersama para petugas di Zoo Negara.


Babun cemas

Menceritakan pengalaman penyamarannya, Brady memberitahu, dia dapat mengetahui sifat haiwan yang sering menyelongkar rumah penduduk di Amerika Syarikat (AS) iaitu babun.

Dengan teknik penyamaran yang menyerupai ketua kumpulan babun, beliau ternyata memperoleh keputusan bahawa sekumpulan haiwan tersebut takut apabila disergah oleh ketua kumpulan spesiesnya.

Beliau juga dapat merungkai bahawa babun mempunyai sifat sama seperti manusia iaitu takut dan cemas apabila melihat ular.

Mempunyai 1,001 pengalaman pahit dan manis dalam usaha menerokai kehidupan reptilia, Brady sentiasa mendidik orang ramai untuk menghargai keajaiban kehidupan semula jadi.

Ketika ditanya mengenai idea beliau untuk melakukan teknik penyamaran itu, beliau memberitahu bahawa idea tersebut diperoleh ketika sesi ceramahnya bersama kanak-kanak pada suatu ketika dahulu.

"Kanak-kanak merupakan sumber inspirasi kepada saya dalam setiap tindak-tanduk penyamaran saya.

"Saya tidak seperti individu lain yang sering memandang remeh idea-idea yang dikemukakan oleh kanak-kanak. Sebaliknya, saya sentiasa mendengar idea-idea mereka kerana kanak-kanak mempunyai fikiran telus dan jujur yang lahir daripada hati dan perasaan," jelas beliau yang berada di bawah naungan National Geographic sejak 1997.

Pengalaman menarik

Selain daripada mempromosikan dokumentari The Most Dangerous Encounters & Dangerous Encounters itu, kehadiran Brady ke Malaysia turut mendapat sokongan Kementerian Pelajaran, Akademi Sains Malaysia dan Persatuan Pencinta Alam Malaysia.

Antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan oleh Brady sepanjang penjelajahannya menerusi siri berkenaan ialah beliau berusaha sedaya upaya untuk menangkap buaya di salah sebuah sungai tanpa menggunakan sebarang alat keselamatan.

Ketika itu, beliau yang ditemani oleh seorang jurukamera tidak mempunyai alatan seperti jaring dan perangkap untuk menangkap reptilia tersebut.

"Saya dan jurukamera hanya menggunakan kelengkapan peribadi kami dan apa yang terdapat di dalam kereta kami seperti tali pinggang keselamatan kereta, tali kasut, seluar dalam yang belum digunakan dan kabel pengecas bateri kenderaan.

"Apa yang merumitkan keadaan ialah dalam pada kami berdua menangkap reptilia itu, jurukamera juga mahu mendapatkan rakaman terbaik untuk momen tersebut. Walaupun kamera diletakkan secara statik, hasilnya amat mengagumkan dan rakaman tersebut jelas menunjukkan kegigihan kami berdua," ceritanya.

MURID-MURID sekolah ini tercuit hati melihat gelagat Brady yang gemar berjenaka.


Dalam pada itu, Ketua Penyelia di Zoo Negara, Mohd. Hafiz Thanabalan, 40, memberitahu, idea dan kaedah Brady dalam menyampaikan ilmu pengetahuan mengenai reptilia merupakan kaedah yang terbaik untuk kanak-kanak mahupun orang dewasa.

"Beliau sentiasa membantu kanak-kanak sekiranya mereka mempunyai keraguan mengenai haiwan. Segala persoalan juga dijawab bersama lawak jenaka untuk memudahkan pemahaman.

"Beliau bukan sekadar menunjukkan cara beliau menangkap reptilia seperti buaya malah turut menyelitkan maklumat mengenai haiwan tersebut," jelasnya.

Dilema pelacur Bangladesh

Posted:

Dilema pelacur Bangladesh


WANITA ini, sama seperti ramai penghuni lain di rumah pelacuran Madaripur, tidak akan berganjak ke tempat lain walupun diusir.


TARA DAS memberitahu, dia merupakan generasi kelima dalam keluarganya yang bekerja di rumah pelacuran yang sama di Bangladesh. Namun, apa yang membimbangkan, dia kini terpaksa berhadapan dengan penunjuk perasaan orang Islam yang mahu perniagaan pelacuran ditutup.

Kawasan pelacuran yang terletak di bandar Madaripur itu telah beroperasi kira-kira 150 tahun lalu dan pekerja seks percaya kehadiran kumpulan penunjuk perasaan berkenaan didalangi syarikat pemaju yang ingin mengambil alih tanah di situ.

Pada bulan lalu kira-kira 10,000 orang yang diketuai oleh kumpulan Islam iaitu Islahe Kaom Parishad (Majlis Reformasi Kebangsaan) telah mengadakan protes. Mereka memaksa rumah pelacuran ditutup dan menghalau keluar seramai 500 pelacur.

"Sejak mereka mengadakan tunjuk perasaan secara besar-besaran, saya menjadi bingung dan sukar melelapkan mata. Ke mana harus saya pergi selepas ini?

"Lagipun, hanya rumah kecil dan pekerjaan ini yang saya kenali sejak zaman kanak-kanak. Mohon selamatkan kami daripada kumpulan agama itu," kata Tara.

Jika diimbas, rumah pelacuran itu dibuka untuk pedagang jut ketika zaman kolonial Britain. Ia beroperasi di dalam bangunan batu berlumut tiga tingkat yang berbumbungkan atap zink. Ia terletak di tengah-tengah bandar Madaripur iaitu 60 kilometer dari Dhaka.

Sebelum Bangladesh mencapai kemerdekaan sekitar tahun 1971, perniagaan pelacuran beroperasi secara sah tetapi kini bisnes itu diancam pelbagai aktivis daripada kumpulan Parishad.

Kumpulan Islamik itu telah mengadakan beberapa siri demonstrasi dan melobi pihak berkuasa dengan menekankan bahawa rumah pelacuran merosakkan lelaki muda dan ia harus dihapuskan.

Golongan pekerja seks percaya protes itu dianjurkan oleh ahli perniagaan yang berkait rapat dengan kumpulan politik tempatan. Mereka turut melaporkan mengenai kempen tunjuk perasaan termasuk peranti bahan letupan yang ditemui baru-baru ini dan dua cubaan serangan membakar.

Kontroversi tanah

"Kami tidak sesekali akan meninggalkan tempat ini. Pekerjaan kami ini sah di sisi undang-undang. Kami juga tidak mempunyai pekerja seks bawah umur. Lagipun tempat ini diwarisi daripada nenek moyang kami malah sesetengah daripada mereka masih lagi hidup.

"Hakikatnya ia sebuah konspirasi untuk merampas tanah kami yang bernilai tinggi," jelas Momo Rani Karmakar yang merupakan ketua pekerja seks Madaripur.

Dia turut menambah bahawa seramai 110 kanak-kanak yang menghuni di rumah pelacuran masih dihantar ke sekolah setiap hari.

Sejak aktiviti tunjuk perasaan dijalankan, anggota polis mula mengawasi kawasan manakala pihak kerajaan memberitahu bahawa keputusan akhir untuk melakukan pembangunan baharu di situ masih belum diputuskan.

Pada masa yang sama, sebuah jawatankuasa yang diketuai oleh timbalan pentadbir wilayah telah ditubuhkan dan berusaha untuk membuka rundingan bagi menggalakkan pemulihan dalam kalangan pekerja seks.

"Orang Muslim dan golongan elit tempatan tidak mahu era pelacuran terus wujud di bandar ini. Mereka berpendapat aktiviti tidak bermoral ini mungkin satu keperluan pada zaman lalu tetapi kini tidak lagi," jelas ketua jawatankuasa, Siddiqur Rahman.

Tambahnya, pihak berkuasa wajar memulakan proses pemulihan dengan menjalankan kajian bagi mengenal pasti jumlah pekerja bawah umur.

"Jika proses pemulihan ini dijalankan, saya fikir pekerja seks golongan dewasa akan beralih mencari pekerjaan lain termasuklah melibatkan diri dalam kerja sukarelawan," tutur Rahman.

Namun begitu, kumpulan pekerja seks menegaskan mereka tidak akan meninggalkan rumah pelacuran mahupun mencari kerja baharu. Segelintir daripada mereka pernah mencuba bidang lain tetapi diusir oleh masyarakat tempatan.

"Jika kami tidak mempunyai pelanggan, bagaimana saya ingin membeli makanan untuk lima orang anak saya dan menguruskan hal akademi mereka.

"Kini, pelanggan mula bimbang dengan situasi yang sedang berlaku. Mereka menyangka rumah pelacuran ini akan ditutup tidak lama lagi," luah Jhumur, 45.

Melindungi maruah

Ramai pekerja seks mendakwa bahawa tujuan utama kempen penunjuk perasaan itu berlaku adalah disebabkan sebahagian besar keluarga Muslim yang sudah mendirikan bangunan bersebelahan kawasan pelacuran.

Walau bagaimanapun, kumpulan Parishad menyangkal dakwaan itu dan mereka memberitahu tindakan protes diambil bagi melindungi maruah dan moral masyarakat Islam.

"Rumah pelacuran salah satu penyumbang utama pada aktiviti jenayah di wilayah ini. Ia perkara yang memalukan dan tidak layak digelar pekerjaan.

"Mereka turut mengusahakan kedai arak secara haram dan membiarkan kanak-kanak perempuan bawah umur membelinya untuk dijual kepada pengedar dadah terbesar," jelas Setiausaha Kumpulan Parishad, Ali Ahmed Chowdhury.

Sehingga kini, pertelagahan antara kumpulan konservatif Muslim dan rumah pelacuran di Bangladesh yang berlaku telah menyebabkan sekurang-kurangnya empat rumah pelacuran di daerah itu terpaksa ditutup.

"Sudah berkali-kali kami diingatkan bahawa mereka boleh menembak kami pada bila-bila masa. Tetapi, mereka masih tidak boleh mengusir kami.

"Kami akan memusnahkan rumah pemimpin Muslim sekiranya mereka datang ke sini untuk menghalau kami," jelas Morzina yang kehilangan suami pada dua tahun lalu sehingga menyebabkan dia terpaksa kembali ke rumah pelacuran. - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Komuniti Kita

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Komuniti Kita


1500 rai sambutan Merdeka Raya DUN Gombak Setia

Posted:

1500 rai sambutan Merdeka Raya DUN Gombak Setia

SAID (berdiri tiga dari kanan) bersama sebahagian tetamu yang hadir pada majlis sambutan 'Merdeka Raya' di Taman Samudra, Gombak Batu Caves, Selangor baru-baru ini.


MERIAH. Majlis Aidilfitri dan sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia disambut serentak di Gombak, Selangor baru-baru ini.

Majlis yang diberi nama Merdeka Raya itu mendapat sambutan meriah daripada penduduk dan pertunjukkan bunga api juga juga turut diadakan.

Majlis anjuran Penyelaras Barisan Nasional (BN) dengan kerjasama Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO DUN Gombak Setia itu turut dihadiri oleh masyarakat berbilang kaum.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Penyelaras BN bagi DUN Gombak Setia Datuk Said Anuar Said Ahmad, Ketua UMNO Bahagian Gombak, Rahim Kamarudin, Ketua MIC Bahagian Gombak, G. Jaya Kumaren, Ketua MCA Bahagian Gombak, Datuk Yip Kum Fook dan Ketua Pergerakan Wanita UMNO Gombak, Datin Sharifah Salmah Syed Agil.

KKSM rai pelajar tahfiz Perak

Posted:

KKSM rai pelajar tahfiz Perak

HABIDI menyampaikan duit raya kepada pelajar Maahad Tahfiz Tarbiyah Ummah di rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri anjurannya di Taiping, Perak baru-baru ini.


HARGAI. Seramai 42 pelajar Maahad Tahfiz Tarbiyah Ummah, Batu 13, Batu Kurau, Taiping, Perak telah diraikan oleh Pengerusi Eksekutif Kolej Kejururawatan dan Sains Kesihatan Seri Manjung (KKSM), Habidi Zain pada Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini.

Selain menikmati pelbagai jenis juadah yang disediakan, pelajar tahfiz yang berusia tujuh hingga 16 tahun berkenaan menerima sumbangan duit raya daripada Habidi.

Menurut Habidi, kehadiran pelajar tahfiz terbabit merupakan acara wajib setiap kali beliau menganjurkan majlis rumah terbuka di pekarangan kediamannya di Assam Kumbang, Taiping.

Majlis yang bermula pada pukul 11 pagi hingga 10 malam itu dihadiri lebih 8,000 orang.

10,000 hadir rumah terbuka Perda di Butterworth

Posted:

10,000 hadir rumah terbuka Perda di Butterworth

AZHAR (tiga dari kanan) bersama sebahagian tetamu pada majlis jamuan Hari Raya Aidilfitri di Butterworth, Pulau Pinang baru-baru ini.


RUMAH TERBUKA. Kira-kira 10,000 tetamu menghadiri majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri anjuran Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) di Butterworth barubaru ini.

Jamuan tersebut telah mengeratkan lagi hubungan kakitangan agensi tersebut dengan masyarakat setempat.

Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran Pengerusi Perda, Datuk Azhar Ibrahim dan Pengurus Besar Perda, Saringat Hassan.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


Bertaruh di Indonesia, beroperasi di Kemboja

Posted:

Bertaruh di Indonesia, beroperasi di Kemboja

KAKI judi gemar membuat pertaruhan judi melibatkan perlawanan bola sepak Liga Perdana England. - Gambar hiasan


PHNOM PENH - Pihak berkuasa Kemboja pada Isnin lalu telah menahan seramai 114 warga Indonesia dalam satu serbuan perjudian bola sepak secara online di sekitar bandar raya ini.

Menurut Chhay Sinarith dari Kementerian Dalam Negeri Kemboja, sekumpulan 90 lelaki dan 24 wanita itu ditahan di dua buah rumah kediaman di bandar tersebut.

"Mereka ditahan ketika sedang menjalankan operasi perjudian yang diharamkan di negara ini.

"Mereka terlibat dalam pertaruhan bola sepak," katanya kepada AFP.

Beliau berkata, kumpulan itu mengambil pertaruhan bola sepak daripada orang ramai di Indonesia dan semua urusan perjudian dibuat melalui akaun bank secara online.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Teguran Sultan Johor dihargai

Posted:

Teguran Sultan Johor dihargai

MODEL Rapid Intervention Vehicle yang terdapat di pasaran.


KUALA LUMPUR - Perbezaan harga Rapid Intervention Vehicle (RIV) atau kenderaan intervensi pantas untuk kegunaan tentera yang diutarakan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail Ibni Almarhum Sultan Iskandar dalam titah baginda Sabtu lepas akan disiasat, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, kementeriannya mengambil secara positif komen tersebut dengan menganggapnya sebagai satu keprihatinan yang ditunjukkan baginda yang juga Kolonel Komandan Rejimen Gerak Khas.

"Kementerian Pertahanan mengambil maklum terhadap komen baginda dengan cara positif di mana saya sendiri akan lakukan penyiasatan terhadap perbezaan di antara harga RIV yang dianugerahkan oleh Tuanku Sultan Johor berharga RM150,000 berbanding RM690,000 yang dijual oleh pihak pembekal.

"Mungkin terdapat spesifikasi yang berbeda yang akan saya teliti," katanya kepada pemberita ketika mengulas mengenai titah Sultan Johor pada majlis ulang tahun Rejimen Gerak Khas ke-47 di Kem Iskandar, Mersing, Johor Sabtu lepas.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Sediakan pendidikan berkualiti

Posted:

Sediakan pendidikan berkualiti

Oleh JUNHAIRI ALYASA
junhairi.alyasa@kosmo.com.my

NAJIB (kanan) bersalaman dengan sebahagian pelajar MAHSA pada majlis pecah tanah kampus baharu MAHSA di Bandar Saujana Putra, Puchong semalam.


PUCHONG - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meminta semua institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan yang menawarkan bidang perubatan dan sains kesihatan agar bersekutu supaya mampu menyediakan pendidikan lebih berkualiti.

Beliau berkata, sesebuah IPT tidak boleh lagi berpegang kepada keperluan asas akreditasi sahaja sebaliknya perlu mempunyai tanda aras kualiti pendidikan perubatan bertaraf dunia.

"Jika kita berjaya mencapainya, tidak perlu lagi hantar pelajar ke luar negara kerana mereka mampu mendapat pendidikan berkualiti di sini," katanya.

Beliau berucap pada majlis pecah tanah kampus baharu Malaysia Allied Health Science Academy College (MAHSA) di Bandar Saujana Putra di sini semalam.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Harimau Muda robek ego Indonesia

Posted:

Harimau Muda robek ego Indonesia

REUBEN (kanan) menjaringkan gol kemenangan Harimau Muda pada aksi menentang skuad B-22 Indonesia pada Piala SCTV di Gelora Bung Karno, Jakarta semalam.


EGO Sang Garuda berterusan 'dirobek' Harimau Muda. Malam tadi, dendam skuad Bawah 22 Tahun (B-22) Indonesia terhadap Harimau Muda masih belum terlunas apabila tewas tipis 0-1 dalam aksi Piala SCTV di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta.

Lebih menyedihkan, skuad kendalian Aji Santoso itu juga dicemuh lebih 5,000 penyokong sendiri - jumlah yang jauh lebih sedikit berbanding 100,000 penyokong Garuda yang memenuhi stadium yang sama ketika kempunan merampas pingat emas temasya Sukan SEA daripada skuad muda negara tahun lalu.

Pada perlawanan malam tadi, tonggak pertahanan negara, K. Reuben muncul wira apabila meledak gol tunggal perlawanan menerusi rembatan deras daripada luar kotak penalti melepasi jangkauan penjaga gol Indonesia, Aji Saka dua minit sebelum babak pertama berakhir.

Terdahulu, kesilapan mudah penjaga gol Harimau Muda, Ahmad Izham Tarmizi Roslan yang beberapa kali dilihat gagal mengawal kemas bola pada pertengahan babak pertama gagal dimanfaatkan rangkaian penyerang tuan rumah yang diterajui kapten, Fasta Biqul dan Hendra Bajaw.

Bersambung babak kedua, Harimau Muda sepatutnya selesa mendahului 3-0 namun dua gol ledakan Ahmad Hazwan Bakri dan Ferris Danial pada minit ke-48 dan 56 dibatalkan pengadil, Faulur Rosi kerana ofsaid.

Peluang terbaik Indonesia menyamakan kedudukan hadir pada minit ke-58 namun percubaan Hendra yang hanya berdepan Ahmad Izham dilihat jauh tersasar.

Ia merupakan aksi tunggal skuad kendalian Ong Kim Swee dalam kejohanan jemputan itu dan satu lagi aksi membabitkan pertembungan skuad senior Indonesia dan Korea Utara bakal berlangsung di stadium yang sama malam ini.

Selepas ini, skuad Harimau Muda akan kembali menyambung perjuangan dalam saingan Liga Singapura (Liga S) dan bakal berdepan pasukan di tangga kelima liga, Home United di Stadium Yishun, Singapura Sabtu ini.

Mereka kini di tangga keempat Liga S dengan 32 mata selepas 17 perlawanan, tujuh mata di belakang pendahulu liga, Tampines Rovers yang begitupun beraksi lebih satu perlawanan.

Safee mahu ulangi sejarah

Posted:

Safee mahu ulangi sejarah

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my


SAFEE mahu membuktikan dirinya sebagai peledak berbisa skuad Harimau Malaya.


BARANGKALI sudah lama rasanya peledak berbisa skuad bola sepak negara, Mohd. Safee Sali tidak mencetak gol buat Harimau Malaya.

Untuk rekod, kali terakhir Safee menemui sentuhan penyudah ialah ketika Malaysia tumpas 2-3 kepada India dalam satu aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Lake Salt, India pada 16 November tahun lalu.

Hampir setahun berlalu, Safee, 28, begitupun dilihat gagal menterjemahkan setiap peluang membuat jaringan yang indah biarpun masih mendapat kepercayaan jurulatih, Datuk K. Raja- gobal menerajui jentera serangan dalam beberapa episod perlawanan persahabatan antarabangsa selepas itu.

Justeru, penyerang kelahiran Kajang, Selangor itu nekad merobek gawang Vietnam menjelang aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Shah Alam malam esok.

"Sudah lama rasanya saya tidak menjaringkan gol bersama skuad kebangsaan. Jadi, saya harap dapat menamatkan kemarau tersebut (malam esok) tidak kira siapa gandingan saya nanti," katanya kepada Kosmo! semalam.

Mungkin ramai juga yang sudah lupa dengan kehebatan Safee meledak dua gol semasa menundukkan Vietnam 2-0 ketika separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki sebelum ini di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 15 Disember 2010.

Ia merupakan gol pertama Safee pada kejohanan tersebut selepas gagal meledak sebarang gol pada peringkat kumpulan sebelum itu.

Sejak itu, Safee tidak lagi menoleh ke belakang apabila meledak tiga lagi gol semasa menewaskan Indonesia menerusi agregat 4-2 dalam pentas final, sekali gus muncul penjaring terbanyak kejohanan dengan lima gol.

Lebih manis, ia juga merupakan kali pertama skuad kebangsaan mendakap trofi Piala AFF Suzuki sejak ia diperkenalkan pada 1996 (ketika itu dikenali sebagai Piala Tiger) yang menyaksikan Malaysia tewas 0-1 kepada Thailand dalam aksi final.

"Sudah tentu ia sesuatu yang cukup istimewa (apabila kembali berdepan Vietnam). Sejujurnya, saya tidak sabar untuk mengulangi sejarah dan berharap kemarau gol saya sekali lagi berakhir apabila berdepan mereka (malam esok)," kata Safee.

Dalam pada itu, Safee juga mengesahkan tidak menyertai mana-mana kelab menerusi pinjaman biarpun saingan Liga Super Indonesia (ISL) bersama kelabnya, Pelita Jaya hanya bermula pada Januari tahun depan.

"Jendela perpindahan pemain (musim ini) sudahpun ditutup, jadi saya hanya akan berlatih bersama skuad Harimau Muda bagi mengekalkan prestasi," katanya.

SPRM terus siasat skuad Penyu

Posted:

SPRM terus siasat skuad Penyu

Oleh MANIRAH OTHMAN
manirah.othman@kosmo.com.my


SHARBINEE antara pemain Terengganu yang sudah memberi keterangan kepada SPRM.


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil beberapa orang lagi pemain Terengganu dalam masa terdekat bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menjual perlawanan.

Sebelum ini, lapan individu telah diambil keterangan termasuk Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh dan penjaga gol utamanya, Mohd. Sharbinee Allawee Ramli.

Selain itu, jurulatih pasukan, Peter Butler turut memberi keterangan berhubung isu berkenaan yang membabitkan perlawanan Piala Malaysia antara Terengganu dengan Kedah di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, 1 September lalu.

Pengarah SPRM negeri, Md. Yusoff Md. Zain berkata, pada 4 dan 5 September lalu, selain tiga individu itu, dua lagi pemain dan selebihnya pihak pengurusan telah dipanggil bagi membantu siasatan.

"Buat masa ini, saya tidak boleh memberi ulasan lanjut mengenai perkara ini kerana ia masih dalam proses siasatan. Bagaimanapun sekiranya perlu, kita akan panggil semula mereka dan beberapa pemain lain untuk membantu siasatan.

"Kita jalankan siasatan bukan untuk mencari kesalahan tetapi untuk mencari kebenaran, siasatan sentiasa berjalan dan diteruskan," katanya.

Beliau ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri Jabatan Imigresen Negeri Terengganu di Wisma Persekutuan, Kuala Terengganu semalam.

Jelasnya, kertas siasatan masih dibuka tetapi belum ada sebarang perkembangan mengenainya namun proses siasatan tetap diteruskan.

Kem Terengganu mula diselubungi isu berkenaan apabila dua pemain tonggak, Muslim Ahmad dan Ismail Faruqi dikatakan mempunyai masalah disiplin dan disingkir Butler daripada pasukan itu.

Belum reda dengan isu itu, sekali lagi kem Terengganu goyah dengan dakwaan menjual perlawanan akibat tindakan Sharbinee yang dikatakan melepaskan gol mudah dan menyaksikan pasukan itu sekadar seri 1-1 dengan Kedah.

Kes kemudiannya disiasat SPRM dan PBSNT menubuhkan pasukan siasatan khas bagi menyelesaikan masalah itu sebelum musim baru bermula selepas pasukan itu terlepas peluang untuk mara ke pusingan seterusnya dalam saingan Piala Malaysia musim ini.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Dunia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


Puting beliung landa pantai New York

Posted:

Puting beliung landa pantai New York

SEORANG lagi penduduk, Joey Mure merakamkan gambar puting beliung di Breezy Point.


NEW YORK - Dua puting beliung melanda pantai di pinggir bandar raya ini kelmarin menyebabkan bekalan elektrik terputus di sebuah kawasan.

Tiada sebarang kecederaan serius dilaporkan apabila puting beliung tersebut melanda sebuah kawasan perumahan di tepi pantai.

Satu lagi puting beliung berlaku 20 minit kemudian.

Beberapa orang sempat merakamkan imej puting beliung itu.

"Saya sedang menunjukkan video (yang dirakamkan menerusi telefon bimbit) tentang puting beliung kepada seorang anak lelaki saya berusia empat tahun. Dua minit kemudian puting beliung melanda," kata seorang penduduk di kawasan Breezy Point, Peter Maloney.

Sebahagian atap bangunan rosak akibat puting beliung tersebut.

Seorang penduduk dilaporkan mengalami kecederaan ringan semasa pentas runtuh pada Festival Rosslyn Jaz di daerah Arlington, Virginia. - Agensi

Dua mati di selatan Thailand

Posted:

Dua mati di selatan Thailand

BEBERAPA pegawai polis mengangkat mayat lelaki Islam yang dibunuh di daerah Rangea, Narathiwat semalam.


NARATHIWAT - Sekumpulan lelaki bersenjata membunuh seorang penduduk Islam dan remaja di selatan Thailand semalam, kata polis.

Mangsa yang terbunuh itu berusia 27 tahun dan 17 tahun ditemui dengan tangan mereka diikat.

Kesan tembakan terdapat di kepala mereka.

Kejadian tersebut berlaku di Narathiwat yang merupakan salah satu daripada tiga wilayah di selatan Thailand.

Polis menyatakan kejadian tersebut mungkin mempunyai kaitan dengan konflik berkaitan dadah selain gerakan gerila pemisah.

Pada kejadian berasingan, seorang budak berusia sembilan tahun terpijak bom di tepi jalan semasa dia berjalan ke rumah dari sebuah kedai bersama dua rakannya.

Letupan tersebut menyebabkan kaki kiri budak tersebut putus.

Seorang lagi kanak-kanak yang berusia sembilan tahun juga cedera.

Ribuan orang terbunuh sejak gerila pemisah melancarkan serangan di wilayah selatan Thai pada tahun 2004. - Agensi

Filem Korea Selatan menang anugerah utama

Posted:

Filem Korea Selatan menang anugerah utama

KI-DUK menunjukkan anugerah Golden Lion pada Festival Filem Venice di Venice, Itali kelmarin.


VENICE, Itali - Filem pengarah Korea Selatan, Kim Ki-duk yang berjudul Pieta memenangi anugerah utama pada Festival Filem Venice kali ke-69 kelmarin.

Kim-duk menyanyi lagu rakyat Korea, Arirang di atas pentas sebagai cara untuk mengucapkan terima kasih kepada juri kerana memilih filemnya memenangi Anugerah Golden Lion.

Filem arahannya itu menceritakan tentang pemberi pinjaman wang haram di sebuah daerah di Seoul.

Menurutnya, kos filem tersebut ialah AS$100,000 (RM311,342).

Bagaimanapun, timbul kontroversi apabila terdapat dakwaan bahawa panel juri dikatakan mahu memilih filem The Master arahan Paul Thomas Anderson.

Bagaimanapun, filem The Master itu telah memenangi pengarah dan pelakon lelaki terbaik.

Peraturan festival itu menyatakan sebuah filem tidak boleh memenangi lebih daripada dua anugerah.

Justeru, panel juri sekali lagi bermesyuarat dan memutuskan Pieta dipilih sebagai filem terbaik.

Kim-duk yang berusia 51 tahun pernah memenangi anugerah pengarah terbaik pada tahun 2004 pada festival yang sama menerusi filem Bin-jip.

Pelakon lelaki filem terbaik dimenangi Joaquin Phoenix dan Philip Seymour Hoffman dalam filem The Master.

Pengarah filem terbaik dimenangi Anderson menerusi filem tersebut.

Filem itu mengisahkan seorang juruterbang veteran yang mengetuai sebuah pergerakan yang dikenali sebagai The Cause.

Pelakon wanita terbaik dimenangi Hadas Yaron menerusi filem tentang penduduk Yahudi di Tel Aviv, Lemale Et Ha'Chalal. - Agensi

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online


Lelaki terlibat kes tetak penyelia ladang diburu

Posted:

Lelaki terlibat kes tetak penyelia ladang diburu

10/09/2012 7:41pm

BELURAN — Polis sedang memburu seorang lelaki bagi membantu siasatan kes bunuh seorang penyelia sebuah ladang kelapa sawit di sini, yang mati ditetak dalam satu pergaduhan semalam.

Ketua Polis Daerah Beluran, DSP Sivanathan Velautham berkata, lelaki itu hanya dikenali sebagai Arsel berusia dalam lingkungan 20-an.

Sivanathan berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, mangsa Manuel Quimson, 26, mati di tempat kejadian akibat cedera parah di beberapa bahagian badan.

Sebelum kejadian, beliau berkata, mangsa telah menegur tiga pekerjanya mengenai sikap mereka yang sering meminum minuman keras.— BERNAMA

Sindiket curi kenderaan Proton, Perodua lumpuh

Posted:

Sindiket curi kenderaan Proton, Perodua lumpuh

10/09/2012 6:45pm

MIRI — Satu sindiket yang akfif mencuri kenderaan Proton dan Perodua di bandar raya Miri sepanjang Februari hingga September tahun ini berjaya dilumpuhkan polis dengan penahanan tiga lelaki rakyat tempatan, minggu lepas.

Ketua Polis Miri, ACP Mun Kok Keong berkata, ketiga-tiga suspek yang berumur 29 hingga 55 tahun ditahan pada 7 dan 8 September lalu dengan salah seorang suspek ialah pemilik sebuah bengkel membaiki kenderaan yang terletak di Lorong 6 Krokop.

"Polis berjaya selesaikan tujuh kes curi kenderaan antara Februari hingga September tahun ini selepas penemuan enjin di bengkel itu," katanya di sini hari ini.

Kok Keong berkata, polis juga yakin 10 kes kecurian dilaporkan pada tempoh yang sama akan diselesaikan dalam masa terdekat berikutan penemuan enjin-enjin di bengkel yang sama tetapi nombor enjin tersebut dikikis oleh suspek untuk mengelak dicam polis.— BERNAMA

Pemandu treler maut langgar belakang lori

Posted:

Pemandu treler maut langgar belakang lori

10/09/2012 6:42pm

IPOH — Seorang pemandu treler maut selepas kenderaan yang dipandunya merempuh sebuah lori di km 178 Lebuhraya Utara-Selatan di Alor Pongsu, Bagan Serai, dekat Parit Buntar hari ini.

Ketua Polis Daerah Kerian, Supt. Mat Fauzi Nayan berkata, Marzuki Mat Desa, 30, berasal dari Bagan Tiang, Tanjung Piandang dekat sini, cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Dalam kejadian pada 10.15 pagi itu, treler yang membawa muatan makanan ternakan itu telah hilang kawalan sebelum merempuh belakang sebuah lori yang dipandu perlahan di lorong kecemasan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mat Fauzi berkata, lori berkenaan sedang mengutip lebihan batu jalan yang sedang dalam pembinaan di lebuh raya itu.— BERNAMA

Kredit: www.kosmo.com.my

Ahad, 9 September 2012

Kosmo Online - Rencana Utama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Getaran tali sape jentik emosi

Posted:

Getaran tali sape jentik emosi

KELUNAKAN bunyi sape seringkali diiringi tarian Orang Ulu di Sarawak untuk menyambut kedatangan tetamu.

JIKA kanak-kanak lain lebih gemar menghabiskan usia mereka dengan bermain alat permainan seperti kereta dan patung, namun lain pula pengalaman Ainal Bustari Johari, 23, ketika zaman kecilnya.

Pada usia lapan tahun, anak jati Kuching, Sarawak itu lebih gemar bermain alat-alat muzik tradisional memandangkan bapanya, Johari Morshidi, 50, seorang ahli muzik perkusi di Kampung Budaya Sarawak, Santubong, Sarawak.

Biarpun tidak mahir mengendalikan alat-alat permainan itu namun dia tetap bermain secara bersendirian di rumah tanpa tunjuk ajar bapanya.

Pada setiap hari, dia akan mengambil apa sahaja peralatan yang terdapat di dalam rumahnya. Tidak kira serunai, gendang, rebana, mahupun sape (instrumen petikan dalam masyarakat Ulu, Sarawak). Pendek kata, apa sahaja alat muzik yang ada di rumahnya, dia akan mencuba.

Bagaimanapun, minat untuk mengenali alat-alat tradisional itu tidak pernah dipaksa bapanya. Keinginan itu terbit daripada pengaruh bapa dan pak ciknya yang gemar bermain alat muzik tradisional termasuk sape di rumah sebagai latihan sebelum mengadakan persembahan.

Menceritakan lanjut mengenai alat muzik tradisional, anak sulung daripada tiga adik-beradik itu berkata, dia seringkali mendengar kelunakan petikan muzik sape yang dimainkan bapa dan pak cik-pak ciknya.

"Mereka akan bermain sape secara ramai-ramai. Dari situlah, saya rasa sape mempunyai keunikan tersendiri kerana alunan muziknya membuatkan seseorang itu berasa lebih tenang," katanya ketika ditemui Kosmo! di ibu negara baru-baru ini.

Bertutur lanjut, Ainal memberitahu, sejak itu dia mula mendengar dan melatih dirinya belajar sape.

KELUNAKAN bunyi sape seringkali diiringi tarian Orang Ulu di Sarawak untuk menyambut kedatangan tetamu.


Meskipun tidak begitu mahir, sekurang-kurangnya dia boleh memetik tali sape dan mampu mengeluarkan melodi yang sedap.

Secara jujurnya, Ainal memberitahu, dia tidak pernah serius untuk belajar bermain sape sehinggalah dua tahun yang lalu.

Dengan berbekalkan sedikit pengalaman, dia sekadar suka-suka menyertai persembahan menunjukkan bakat bermain alat muzik tradisional yang diadakan di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang.

Beranikan diri

Ainal yang juga merupakan pelajar jurusan Diploma Muzik dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) itu buat julung-julung kalinya mengadakan persembahan sape di UPM.

Berikutan dorongan rakan-rakannya, dia memberanikan diri menjadi wakil Sarawak untuk membuat persembahan sape.

"Majlis tersebut diadakan untuk memperkenalkan alat muzik tradisional. Tanpa berfikir panjang, saya menyertai persembahan itu sedangkan saya tidaklah terlalu mahir bermain sape," akuinya.

Tambahnya, membuat persembahan tanpa mempunyai selok-belok teknik membuatkannya berasa gementar. Begitupun, dia mengetepikan perasaan itu demi kelancaran persembahan.

"Saya sendiri tidak sangka apabila menerima sorakan gemuruh daripada penonton yang hadir ke persembahan itu. Nyata, mereka kelihatan teruja dengan persembahan alat muzik sape," katanya sambil tersenyum.

Sebaik tamat persembahan, kawan-kawan tidak putus-putus menasihatkan saya supaya tidak lupa untuk bermain sape dan terus mempelajari tekniknya dengan lebih mendalam.

Sejak hari itu, Ainal mula menumpukan alat permainan tradisional masyarakat Ulu yang dikatakan begitu unik dan mempunyai nilai seni yang tinggi.

ZAMZAHARMAN (dua dari kanan) pernah mengadakan persembahan sape pada majlis ASEAN Korean Traditional Orchestra pada tahun 2010.


Keunikan sape

Bagi Ahli Muzik Orkestra Tradisional Malaysia, Zamzaharman Mohamad Zambrin, 43, beliau mengakui petikan muzik sape mempunyai keunikan tersendiri.

Biarpun dipetik dengan apa cara sekalipun, alunan dari alat muzik sape itu tidak akan menghasilkan bunyi sumbang sebaliknya setiap satu petikan sape mampu memberi getaran yang menyentuh perasaan pendengarnya.

Beliau yang sudah berjinak-jinak dengan peralatan itu sejak 19 tahun berkata, alat muzik itu berbeza berbanding dengan alat muzik lain.

Misalnya, alat muzik seperti gitar, jika tidak kena pada notnya, ia akan menghasilkan melodi yang tidak sedap. Bagi sape pula, walaupun menekan pada mana-mana bahagian pada tali sape, ia tetap menghasilkan bunyi lunak dan harmoni dengan not-not bunyi sebelum dan seterusnya.

Beliau merupakan ahli pemuzik Flute dan Caklempong dan turut menjadi jurulatih di Istana Budaya.

Menceritakan lanjut mengenai alat muzik itu, anak jati Lenggeng, Negeri Sembilan itu memberitahu, mempelajari sape sebenarnya mudah memandangkan tidak mempunyai banyak teknik.

Beliau yang mempelajari sape menerusi seorang guru yang berasal dari Ulu dari kaum Kayan, Sarawak di Pusat Pinang Kasih, Pulau Pinang pada tahun 1993 berkata, seseorang individu itu boleh menguasai sape sekiranya mempunyai minat.

Ubah suai

Selain itu, beliau menjelaskan skil pentatonik yang digunakan juga menyebabkan ia tidak sukar untuk dipelajari. Pentatonik merujuk kepada tangga nada dengan skala skala lima not per oktaf.

Jelas beliau, dengan menggunakan skil pentatonik sahaja ia sebenarnya tidak dapat berkembang dengan meluas.

Menyingkap sedikit pengalaman ketika mengadakan persembahan Asean Korean Traditional Orchestra pada tahun 2010, beliau sedar alunan muzik sape dengan menggunakan skil pentatonik menyebabkan muzik tersebut tidak dapat menembusi keserasian dalam kebanyakan lagu.

Sebaik pulang dari Korea, timbul idea untuk mengubah suai sape supaya alunan muzik dari peralatan itu boleh dibawa masuk ke dalam kesemua lagu baik moden mahupun tradisional.

KUMPULAN ahli Muzik OTM membuat persembahan di Korea.


Dengan menggunakan kreativiti sendiri, beliau menukar sifat sape dari menggunakan skala pentatonik ke skala kromatik (skala yang berjarak setengah nada, seperti A,A#,B,C,C#,D, dan seterusnya) dengan menggunakan gitar.

"Skil itu boleh digunakan untuk memainkan semua lagu sekali gus tidak membataskan instrumen istimewa itu untuk dimainkan dalam majlis besar terutamanya orkestra," jelas beliau yang merupakan satu-satunya pemilik sape yang menggunakan skil kromatik.

Sementara itu, pemain sape terkenal, Jerry Kamit turut mengakui alat muzik tersebut kini diubah suai untuk menarik minat golongan muda.

Wanita lawan tentera rejim Bashar

Posted:

Wanita lawan tentera rejim Bashar

APABILA kebangkitan Syria bermula, Fatima Zahra menghantar kelima-lima anaknya untuk menyertai pasukan pemberontak untuk menentang tentera kerajaan pimpinan Presiden Syria, Bashar al-Assad. Bukan itu sahaja, dia berusaha mencari jalan untuk melakukan lebih daripada itu.

Selepas beberapa bulan, dia mengubah rumahnya menjadi pusat asas sokongan Tentera Bebas Syria. Dia memasak secara besar-besaran untuk mengagihkan makanan kepada pejuang pemberontak, menawarkan rawatan dan penjagaan perubatan asas.

Tidak ketinggalan Fatima menyediakan perlindungan kepada pemberontak tentera selain menyimpan senjata di bilik rumahnya.

"Sejak kanak-kanak lagi, saya mahu melihat pengakhiran rejim. Jadi apabila peluang itu datang, saya tahu saya akan mampu membantu," kata Fatima sementara suaminya, Ahmed Zahra sedang menyediakan kopi untuk anggota Tentera Bebas Syria yang berada di rumahnya.

Bapa Fatima di hantar ke Kuwait pada tahun 1980-an apabila rejim itu cuba memisahkan rangkaian anggota Ikhwanul Muslimin. Bapa Fatima bukan sebahagian daripada kumpulan itu, tetapi dia seorang lelaki yang tidak berpendidikan dan kuat agama.

"Kami hidup dalam ketakutan sebelum kebangkitan tercetus. Walaupun di sebalik pintu rumah yang tertutup, anda sama sekali tidak boleh memburukkan nama-nama seperti Bashar atau Hafez," kata Fatima merujuk kepada Presiden Syria dan bapanya Hafez al-Assad.

Perjuangan keluarga

Tetapi sekarang, Fatima memberitahu, dia tidak lagi takut.

Malah, dengan bangga memberitahu, keputusan beliau untuk membantu pemberontak walaupun jiran-jirannya melarikan diri kerana takut dengan keselamatan.

"Saya memasak dan merawat mereka yang cedera semampu yang boleh. Malah, saya menyediakan tempat tinggal kepada tentera Bashar yang lari daripada pasukannya untuk mendapatkan perlindungan di sini," katanya.

Dua daripada anak lelaki Fatima sedang berjuang di barisan hadapan di Aleppo, manakala dua yang lain membantu pelarian menyeberang ke Turki. Anak bongsunya yang berusia 16 tahun pula menghantar mesej dan senjata kepada pasukan pemberontak.

Ahmed, suami Fatima kelihatan bangga dengan isterinya yang sedang bersemangat menceritakan pengorbanan keluarga mereka.

"Apa yang dilakukan oleh isteri saya adalah sesuatu yang biasa. Kami sanggup memberikan penglihatan kami kepada pasukan pemberontak jika kami mampu," katanya tegas. "Saya berharap untuk melakukan lebih banyak daripada ini."

Antara mereka yang mendapat manfaat daripada bantuan yang disediakan oleh Fatima adalah dua orang tentera yang melarikan diri dan kini menggunakan rumah tersebut sebagai tempat perlindungan.

Abu Mohamed berpaling tadah daripada unit Damsyik dua bulan lalu, selepas dia ditempatkan berdekatan kawasan itu.

"Apa yang dilakukan Fatima, sungguh luar biasa. Dia membantu kami dengan baik sekali. Dia melayan kami lebih baik daripada keluarga sendiri," katanya.

Lelaki berusia 23 tahun itu semasa bersama tentera ditugaskan mengendalikan pusat pemeriksaan sehingga dia memutus untuk berpaling.

"Saya berpaling tadah apabila menyedari bahawa kami sebenarnya melindungi orang tertentu, bukan negara. Mereka meminta kami untuk menembak mana-mana kereta yang menghampiri pusat pemeriksaan, tidak kira wanita dan kanak-kanak di dalamnya atau tidak," ujar Abu Fahd.

Dia ditempatkan di kawasan itu dengan unit daripada Homs dan memutuskan untuk keluar selepas berjaya menyelinap dengan membuat panggilan telefon rahsia kepada keluarganya.

"Kami tidak mempunyai televisyen atau radio atau apa-apa komunikasi dalam pasukan tentera. Mereka memberitahu, kami melawan pengganas dan semua orang percaya mereka, termasuk saya," kata lelaki berkulit putih berusia 24 tahun itu.

"Selepas saya bercakap kepada ahli keluarga, saya baru sedar apa yang sebenarnya sedang berlaku. Saya telah menembak orang yang tidak bersalah dan memutuskan untuk meninggalkan pasukan tentera," kongsi Abu Fahd.

"Mereka adalah anak-anak saya," kata Fatima dengan bangganya. "Semua pemberontak dalam pasukan ini adalah anak-anak saya."

Glamor tempe Sekinchan

Posted:

Glamor tempe Sekinchan

PERJALANAN menuju pekan Sekinchan di Sabak Bernam, Selangor yang mengambil masa hampir dua jam dari Kuala Lumpur tidak begitu dirasakan jauhnya lebih-lebih lagi selepas mendengar kelazatan tempe yang diusahakan oleh seorang pengusaha di daerah yang terkenal dengan sawah padi itu.

Sebaik sahaja sampai di Taman Ria, Sekinchan, kru Jurnal disambut oleh seorang wanita yang berusia 57 tahun yang masih sihat dan bertenaga.

"Jangan fikir bukan-bukan, ini bukan sebab makan tempe," katanya bergurau.

Tempe sememangnya dikenali sebagai antara makanan bagi masyarakat Jawa di negara ini malah majoriti penduduk negara jiran, Indonesia menggemarinya.

Jariah menceritakan, beliau telah mengusahakan perniagaan tempe selama hampir 30 tahun.

"Cerita asal mengenai tempe saya kurang pasti tetapi menurut kisah yang diperturunkan dari generasi ke generasi, ia bermula selepas berlakunya kebuluran di Indonesia pada tahun 1930.

"Ramai yang terpaksa mencari makanan alternatif. Pada mulanya mereka mencuba biji getah kemudian soya yang ditransformasikan menjadi tempe.

"Hakikatnya, apabila manusia tertekan dan hidup dalam keadaan sukar mereka menjadi kreatif untuk mencipta sesuatu yang boleh memberikan manfaat," ujarnya.

Kata Jariah, perniagaan tempe yang diusahakannya secara kecil-kecilan mendapat sambutan hangat semasa musim perayaan dan kenduri-kendara.

TEMPE merupakan makanan wajib bagi masyarakat Jawa di negara ini.


"Ada juga yang menempah tempe untuk dibuat barangan hantaran untuk majlis pertunangan dan pernikahan. Kebiasaannya ia diletakkan di dalam bekas khas.

"Tempe yang disediakan ialah jenis tempe goreng pedas," ujarnya.

Teruja

Wanita ini berkata, tempe sesuai dibuat goreng dan dicicah dengan sambal kicap. Selain itu, makanan ini juga sedap dimasak rendang dan lodeh.

Bagaimana pula dengan rasanya, penulis berpeluang untuk merasainya sendiri. Teksturnya agak lembut selain enak dimakan bersama sambal kicap.

Cukup mengenyangkan tanpa perlu dimakan bersama nasi.

Beliau juga teruja untuk menceritakan bagaimana tempe dihasilkan.

Ujarnya, mula-mula kacang soya dipecahkan menggunakan sebuah mesin khas untuk dikisar. Kemudian ia direndam selama tiga hari di dalam sebuah besen yang dicampur bersama air.

Selepas itu, kacang soya itu dibasuh menggunakan mesin basuh yang diubahsuai sebelum direbus selama dua jam.

Tidak berhenti setakat itu, kacang yang siap direbus akan dicampur bersama ragi untuk mengelakkan pertumbuhan cendawan.

"Sebaik sahaja siap, ia dibungkus dengan daun pisang dan plastik. Daun pisang digunakan kerana ia lebih lembut selain baunya lebih sedap," katanya.

Jariah memberitahu, banyak dakwaan mengenai khasiat tempe tetapi tiada kajian lanjut dijalankan mengenainya.

"Ada yang mendakwa ia menjadikan seseorang lebih awet muda tapi saya percaya perkara itu disebabkan kacang soya sebagai antara bahan utama kosmetik.


TEMPE goreng lebih lazat jika dicicah dengan sambal hitam.


"Selain itu, makanan ini dikatakan mampu mengurangkan sembelit dan sakit perut. Sebenarnya ia bergantung kepada individu itu sendiri," ujarnya.

Tempe juga digunakan sebagai baja organik untuk pelbagai jenis pokok seperti pisang, mempelam dan nanas.

Semasa sedang rancak berbual dengan Jariah, suaminya Paad Damin, 65, pulang ke rumah menggunakan kenderaan Mitsubishi Storm.

Seakan-akan mengetahui perbualan kami berkisar mengenai tempe dia terus memotong perbualan penulis dengan isterinya.

"Dahulu berniaga tempe sukar kerana saya menjualnya menggunakan sebuah basikal tua. Perjalanan dari rumah menuju ke pekan Sekinchan sejauh 10 kilometer.

"Untuk memprosesnya juga agak rumit dengan biji kacang soya dibasuh di saluran air sawah padi, tapi dahulunya airnya bersih selain tiada penggunaan racun perosak," katanya.

Kemudian, ia dihancurkan menggunakan kaki sebelum diproses.

"Sekarang lebih mudah dengan penggunaan teknologi moden termasuk kenderaan seperti Mitsubishi Storm berwarna kuning itu untuk proses penghantaran," katanya tersenyum.

Paad menceritakan, kaum Cina dan India juga meminati tempe. Malah, seorang kanak-kanak Australia turut menggemari tempe yang belum digoreng yang dijamahnya di tapak perniagaan milik Paad di Pasar Sekinchan.

"Kata budak itu rasa tempe itu seperti kerepek kentang," cerita beliau.

Lelaki yang selesa memakai kopiah ini juga menceritakan pengalaman pahitnya semasa berusia awal 40-an.

Kerepek

"Dahulu, saya berniaga pasar malam. Jadi sering keluar awal pagi dan balik pukul 3 pagi keesokkan hari. Perkara ini berulang selama tiga tahun.


KACANG soya dicampur bersama ragi untuk mengelakkan pertumbuhan cendawan.


"Tetapi peristiwa anak saya memanggil jiran sebelah rumah sebagai 'ayah' menyebabkan saya mengambil keputusan untuk tidak terlalu obses bekerja," katanya.

Anaknya, Hairul Ashid Paad, 35, kemudian memberi nafas baru dengan memperkenalkan kerepek tempe.

"Ia baru bermula pada tahun 2010. Sambutan yang diterima cukup menggalakkan. Kerepek tempe boleh dimakan begitu sahaja tanpa perlu digoreng.

"Malah, rasanya seperti kerepek pisang dan ubi. Cuma saya tidak berani mengambil tempahan dalam skala besar kerana kurang kemampuan dari segi teknologi dan pekerja.

"Lagipun ini idea bersama saya, isteri Masliza Punari dan bapa mertua," kata Hairul.

Katanya, antara bahan utama yang digunakan ialah garam, jintan manis, rempah biji, ketumbar dan sedikit kapur.

"Kerepek ini akan digoreng dengan minyak panas sebelum dikeringkan selama beberapa jam. Harganya pula RM7.50 untuk 350 gram.

"Ramai yang membelinya untuk dijadikan hidangan semasa Hari Raya Aidilfitri selain kudapan semasa kenduri-kendara," katanya.

Kredit: www.kosmo.com.my
 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved