Isnin, 22 Ogos 2011

Kosmo Online

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online


Pelajar UPSR putus jari akibat mercun

Posted:

Pelajar UPSR putus jari akibat mercun

Pelajar UPSR putus jari akibat mercun

22/08/2011 5:41pm

KOTA BHARU — Seorang pelajar yang bakal menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) bulan depan menerima padah akibat mercun apabila jari telunjuk sebelah kanannya putus dalam kejadian tengah hari ini.

Pelajar Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Sri Ketereh, Noor Saiful Muhammad, mengalami kemalangan itu di rumahnya di Kampung Laka, Ketereh di sini pada pukul 1 tengah hari selepas pulang dari sekolah.

"Mercun bola yang saya gunakan itu meletup sebelum sempat saya lemparkan ke luar," katanya kepada pemberita di Wad Kecemasan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini.

Noor Saiful berkata, dia ketika itu bermain mercun dengan menggunakan api yang dipasang melalui dapur memasak dan mahu melempar bahan itu di luar dapur.

"Bila meletup tiba-tiba tangan saya jadi kebas dan darah keluar dengan banyak lalu saya pun jerit meminta tolong," katanya.

Ketika kejadian, ibunya Siti Mariam Ibrahim, 52, sedang menggosok pakaian tanpa menyedari Noor Saiful secara diam-diam ke bahagian dapur untuk bermain mercun.

Akibat letupan itu juga ibu jari tangan dan jari tengah mangsa turut cedera. — Bernama

Bom lama ditemui di Kuala Lukut

Posted:

Bom lama ditemui di Kuala Lukut

Bom lama ditemui di Kuala Lukut

22/08/2011 4:57pm

PORT DICKSON — Sebutir bom lama ditemui di tepi jalan di Kuala Lukut dekat sini pagi ini.

Ketua Polis Port Dickson, Supt. Baljit Singh berkata ia ditemui orang awam pada 8 pagi dan kemudian menghubungi polis.

Katanya, Unit Pemusnah Bom dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan telah pergi ke tempat kejadian dan membawa bom itu untuk dimusnahkan.

Baljit berkata bom itu dipercayai tinggalan Perang Dunia Kedua. — Bernama

Jalan alternatif untuk lori ke Sg. Penchala

Posted:

Jalan alternatif untuk lori ke Sg. Penchala

Jalan alternatif untuk lori ke Sg. Penchala

22/08/2011 4:57pm

KUALA LUMPUR 22 Ogos — Satu laluan alternatif sepanjang 500 meter bersebelahan Jalan Datuk Sulaiman 1 di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) di sini akan dibina bagi memudahkan perjalanan lori yang terlibat dalam pembangunan kediaman di kawasan Kampung Sungai Penchala, kata Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Fuad Ismail.

Jalan alternatif bernilai RM9 juta termasuk proses pengambilan tanah penduduk itu dicadangkan untuk dibina memandangkan sebelum ini lori yang membawa bahan binaan ke projek pembangunan itu berkongsi jalan yang sama dengan penduduk TTDI iaitu Jalan Datuk Sulaiman 1, katanya.

Ahmad Fuad berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan membayar RM6 juta untuk kos pengambilan tanah seluas 0.67 hektar serta bayaran pampasan kepada penduduk TTDI yang terlibat dalam projek jalan alternatif itu.

"Tanah yang kita ambil sangat sedikit dan terhad. Tanah mereka belum dibangunkan lagi jadi mereka perlu menyerahkannya untuk tujuan kemudahan awam.

"Kita bayar pampasan kepada mereka (penduduk TTDI) berdasarkan luas tanah yang kita ambil. Jalan di TTDI bukan diwujudkan untuk lori keluar masuk," katanya kepada (1/8)emberita di Menara 1 DBKL di sini hari ini.

Ditanya sekiranya wujud sebarang bantahan mengenai pengambilalihan tanah penduduk di TTDI termasuklah membawa bantahan itu ke mahkamah, Ahmad Fuad berkata DBKL akan menggunakan peruntukan Akta Pengambilalihan Tanah 1960 bagi proses itu. — Bernama

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Beraya bersama buah hati

Posted:

Beraya bersama buah hati

Beraya bersama buah hati

DUA figura kesayangan ramai ini sememangnya agak sukar menzahirkan perasaan mengenai soal hati. Baik Lisa Surihani Mohamed, 26, mahupun Farid Kamil Zahari, 30, masing-masing lebih selesa bercerita tentang kerjaya lakonan.

Namun, tiada siapa tahu mengenai kuntuman bunga yang sedang mekar dan harum di hati mereka tatkala menyentuh mengenai sambutan Syawal pada tahun ini.

Bertemu dengan Lisa dan Farid ketika majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim dan malam kongsi raya anjuran syarikat Metrowealth Movies Production Sdn. Bhd. di Petaling Jaya, Selangor, kedua-duanya kelihatan begitu teruja bercerita mengenai persiapan raya tahun ini.

Malah, tanpa berselindung, Lisa dan Farid mengaku akan beraya ke rumah buah hati masing-masing iaitu Yusry KRU dan Diana Danielle.

Lisa akan beraya ke rumah Yusry pada minggu pertama hari raya nanti manakala Farid pula akan singgah ke rumah Diana Danielle di Perak sebelum berangkat pulang ke Kuala Lumpur selepas beraya di kampung halamannya di Alor Setar, Kedah.

"Kami tiada perancangan teliti mengenai raya nanti kerana masing-masing begitu sibuk dengan kerja tetapi saya akan beraya ke rumah Yusry pada hari raya nanti. Minggu pertama puasa hari itu pun Lisa ada datang ke rumah Yusry berbuka bersama keluarganya," katanya tanpa berselindung.

Mengaku hubungan dia bersama Diana Danielle kini ke arah lebih matang, Farid pula memberitahu, "Insya-Allah, sebelum pulang ke Kuala Lumpur selepas beraya di Alor Setar saya akan singgah beraya di rumah Diana di Perak."

Farid yang baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama bersiri Wasiat untuk Astro Prima juga merancang untuk bercuti lama pada hari raya nanti.


LISA SURIHANI dan Farid Kamil akan mengunjungi rumah kekasih hati masing-masing iaitu Yusry dan Diana Danielle pada Lebaran ini.


Walaupun keduanya serasi tatkala menyentuh mengenai raya bersama buah hati, namun apabila menyentuh mengenai persiapan raya, ternyata pendirian Lisa dan Farid berbeza. Lisa sudah bersedia hampir 80 peratus untuk menyambut lebaran nanti dengan baju yang ditempah bersama juadah manakala Farid lebih senang melakukan persiapan di saat akhir.

"Setakat ini persiapan raya Lisa sudah hampir 80 peratus siap. Tidak terlalu menyeluruh tetapi semua kelengkapan raya buat keluarga sudah tersedia. Untuk Lisa sendiri sebanyak lima pasang baju raya sudah ditempah. Dua pasang dengan pereka Nurita Harith dan tiga pasang lagi dengan Lindasu," katanya yang membeli sebahagian baju raya di Bangkok, Thailand.

Bagi Farid pula: "Saya merancang untuk membeli baju raya warna hijau kerana tidak pernah memiliki warna tersebut pada hari raya".

Rumah terbuka

Untung daripada filem arahan Farid iaitu Kongsi yang menerima kutipan sebanyak RM8.5 juta, pemegang Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Seni Persembahan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu menerima wang bonus daripada pemilik syarikat Metrowealth, David Teo sebanyak RM50,000. Tuah Farid juga bukan setakat itu sahaja apabila dia turut menerima wang tajaan belajar ke luar negara sebanyak RM50,000.

Merasakan tuahnya itu harus dikongsi bersama peminat, anak kepada Datuk Dr. Zahari Che dan Datin Sharifah Bardah Syed Abdillah itu juga merancang mengadakan rumah terbuka buat pertama kali untuk peminat di Kedah sempena berkongsi bonus yang diterima pada hari raya ketiga nanti.

Farid juga merancang untuk menjemput Diana ke rumah terbukanya nanti.

"Sebelum ini mak ayah saya sahaja yang mengadakan rumah terbuka. Tahun ini saya pula yang akan mengadakan rumah terbuka untuk peminat-peminat sempena berkongsi bonus yang diterima.

"Saya tidak merancang untuk membawa Diana pulang ke Kedah kerana dia akan beraya di kampung halamannya di Perak tetapi saya akan menjemputnya pada hari rumah terbuka itu nanti," ujar hero filem Lagenda Budak Setan itu yang menjanjikan juadah seperti soto, lontong dan nasi tomato ayam masak merah pada rumah terbukanya nanti.

Sebaliknya, bagi heroin filem Lagenda Budak Setan, Lisa Surihani pula, dia tidak merancang untuk mengadakan rumah terbuka pada tahun ini.

"Saya teringin untuk buat rumah terbuka tetapi kena tengok keadaan dan masa yang sesuai dulu. Takut makanan tak cukup dan sesetengah daripada tetamu yang hadir tidak dapat saya layan," katanya berterus terang.


KONGSI REZEKI. Farid (kanan) dan Lisa bermesra sambil mengedarkan duit raya kepada anak-anak yatim yang turut menjadi tetamu majlis berbuka puasa anjuran Metrowealth Movies Production Sdn. Bhd. di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.


Menyentuh mengenai juadah raya, pastinya juadah harissa (sejenis makanan Arab) menghiasi menu lebarannya.

Katanya, hidangan wajib ada setiap kali raya sudah semestinya nasi beriani Arab masakan ibunya serta juadah-juadah Arab lain.

Memori raya

Indahnya suasana Syawal pastinya meninggalkan memori buat yang meraikannya. Bagi Farid, setiap kali raya bersama keluarga merupakan kenangan yang manis buat dirinya. Namun, dia juga tidak boleh melupakan insiden sedih yang berlaku menjelang raya dan juga ketika raya.

Insiden baju raya koyak ketika berada di tingkatan tiga dan juga terpaksa bekerja pada hari raya pertama sehingga hari raya ketiga selepas menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) merupakan kenangan paling utuh dalam memorinya.

"Masa tingkatan tiga saya pernah pakai baju raya naik motosikal sehari sebelum raya. Mungkin tak sabar sangat nak beraya. Akhirnya saya terjatuh motosikal dan baju raya yang dipakai koyak. Esoknya, pada hari raya saya terpaksa pinjam baju adik.

"Lagi satu kenangan paling saya tidak boleh lupa masa kena kerja di Kentucky Fried Chicken (KFC) selepas SPM pada hari raya pertama sehingga ketiga," katanya yang mula berlakon pada usia 21 tahun.

Bagi Lisa yang akan menyambut rayanya di Kuala Lumpur pula, memori raya paling utuh dalam memori ketika tahun terakhir bersama arwah bapanya, Mohamed Mahbob.

"Tahun-tahun terakhir sebelum ayah meninggal disebabkan barah hati pada tahun 2008 merupakan raya paling menggembirakan. Walaupun beraya di hospital ketika arwah ayah sakit, kami tetap sambut dengan memakai baju raya dan meriah," katanya mengenai arwah ayahnya yang jatuh sakit selepas dia pulang belajar di United Kingdom (UK).

Lisa juga berkongsi cerita mengenai rayanya ketika belajar di UK. Walaupun dikelilingi rakan-rakan bersama pelbagai juadah suasana tetap tidak semeriah beraya bersama keluarga tercinta.

Hakikatnya, raya Lisa tahun ini sedikit sebanyak berjaya membuatkan hatinya melonjak girang kerana beraya di samping buah hatinya, Yusry.

Jennifer bangga jadi kurus

Posted:

Jennifer bangga jadi kurus

Jennifer bangga jadi kurus


JENNIFER HUDSON


JENNIFER HUDSON mendedahkan dia amat berbangga apabila berat badannya turun berbanding kejayaannya merangkul anugerah Oscar pada tahun 2007.

Pemenang Oscar Aktres Terbaik itu yang berjaya mengurangkan berat badannya sebanyak 36.3 kilogram dan pada awal Ogos lalu dikatakan sudah boleh memakai pakaian bersaiz lima mengakui dia sangat berbangga dengan pencapaiannya itu.

Katanya: "Berbanding Oscar yang di raih pada tahun 2007 dulu, saya lebih bangga dengan penurunan berat badanku ini."

Bekas peserta American Idol 2004 itu mulai terpanggil untuk menurunkan berat badannya selepas melahirkan anak sulungnya, David, kini berusia dua tahun.

Ujarnya kepada majalah Self: "Selama ini saya memakai baju bersaiz 16. Saya tidak rasa diri seorang yang gemuk sehinggalah saya menghadiri acara karpet merah dan ada wartawan bertanya bagaimana rasanya menjadi selebriti berbadan gemuk di Hollywood, barulah saya sedar saya gemuk."

Tambahnya: "Saya berasal dari Chicago. Di sana, wanita yang memakai baju bersaiz 16 dianggap sebagai normal tetapi lain pula di Hollywood."

Jennifer, 29, yang menjalani program diet dengan syarikat Weight Watchers sejak April tahun lepas itu bagaimanapun tidak pula mendedahkan jumlah sebenar berat badannya itu.

Namun sumber mendedahkan Jennifer kini sudah mampu menyarung pakaian bersaiz kosong.

Hos program The View, Joy Behar baru-baru ini mendedahkan Jennifer kini memakai pakaian bersaiz kosong berbanding saiz 16 impak penurunan berat badannya yang mendadak itu.

Berdansa di Aidilfitri

Posted:

Berdansa di Aidilfitri

Berdansa di Aidilfitri


NAIB juara Sehati Berdansa, Amyza dan suami bakal menghangatkan Mari Berdansa yang bakal disiarkan pada hari raya kedua nanti.


MEMILIH tiga pasangan Sehati Berdansa dan Mari Menari, mereka berpadu tenaga dan gerak tari untuk bersaing merebut juara dalam program terbaharu, Mari Berdansa.

Menariknya, program Mari Berdansa itu nanti apabila ia hanya ditayangkan pada hari raya kedua.

Antara pasangan Sehati Berdansa yang mengambil bahagian ialah Amyza Adnan dan suami, Khai dan Rosma serta Sasha Saidin dan suami.

Bagi pasangan Mari Menari yang mengambil bahagian pula terdiri daripada Ariz dan Syikah, Razif dan Alia serta Fahmi dan Azlin.

Mereka bakal bersaing gerak tari mengikut alunan lagu raya. Malah, mereka mewakili badan kebajikan masing-masing untuk merebut gelaran juara.

Tiga pasangan Sehati Berdansa dan Mari Menari akan bersaing sesama sendiri dan pemenang daripada kedua-dua kumpulan pula akan berentap untuk merebut gelaran juara.

Menurut penerbit Mari Berdansa, Azlan Zanudin, program itu dihasilkan untuk mendapat respon peminat kedua-dua program Sehati Berdansa dan Mari Menari di hari raya nanti, manakala pesertanya pula dipilih daripada program Sehati Berdansa musim kedua dan Mari Menari musim pertama.

"Kami hasilkan program Mari Berdansa ini untuk tengok respon peminat apabila kedua-dua program ini digabungkan.

"Tidak semua peserta Sehati Berdansa 2 dan Mari Menari yang terlibat. Cuma Sehati Berdansa 2 dengan Mari Menari.

"Mari Berdansa juga menawarkan koreografer yang pernah terlibat dengan Sehati Berdansa dan Mari Menari untuk menata tari peserta-peserta Mari Berdansa," katanya mengenai program Mari Berdansa yang akan disiarkan pada hari raya kedua, jam 5 petang di saluran Astro Ria (104).

Azlan turut menghadapi cabaran dalam pemilihan lagu raya yang sesuai untuk ditarikan peserta.


DARI KIRI, Amyza Aznan, Sasha Saidin bersama pasangan masing-masing serta pasangan Rosma dan Khai bakal berentap di gelanggang Mari Berdansa yang dihoskan oleh Awal Ashaari dan Lisa Surihani.


Berbekalkan hanya dua hari keenam-enam peserta Sehati Berdansa dan Mari Menari akan menjalani latihan menari.

Menurut wakil Sehati Berdansa, Khai, walaupun masa yang diberikan hanya dua hari, dia dan Rosma dapat menghafal gerak tari yang diberikan koreografer mengikut alunan lagu.

"Dengan pengalaman menari yang ada kami cuma polish up balik gerak tari. Jadi, masa dua hari yang diberikan cukup walaupun agak kelam-kabut," katanya.

Sebaliknya, Razif yang mewakili Mari Menari Razif pula berkata, dia menerima tawaran untuk menyertai Mari Berdansa bukan semata-mata untuk menang tetapi sekadar menghiburkan penonton pada hari raya nanti.

"Saya dan Alia sertai Mari Berdansa bukan untuk menang tetapi kerana kami suka menari dan berharap penonton suka dengan persembahan kami nanti," katanya.

Program Mari Berdansa akan kendalikan oleh dua hos popular Mari Menari iaitu Awal Ashaari dan Lisa Surihani. Malah, Sharifah Shahira juga dijemput sebagai pengacara di sebalik tabir program Mari Berdansa bagi menambah rencah kepada program tersebut.

Turut terlibat dalam program Mari Berdansa itu nanti ialah Erra Fazira, Linda Jasmine dan Joseph Gonzalez yang bakal mengisi kerusi barisan juri tetap.

Kredit: www.kosmo.com.my

Ahad, 21 Ogos 2011

Kosmo Online - Rencana Utama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Tradisi Masjid Kampung Hulu

Posted:

Tradisi Masjid Kampung Hulu

Tradisi Masjid Kampung Hulu

Oleh MAZLINA ABDUL MAJID
mazlina.majid@kosmo.com.my

MASJID Kampung Hulu yang terletak di tengah-tengah bandar Melaka sudah berusia 283 tahun. Rumah Allah yang dibina oleh seorang pendatang dari negara China itu sudah merentasi beberapa zaman. Namun, reka bentuk dan struktur konkritnya masih utuh dan tersergam indah.

Masjid Kampung Hulu tidak pernah sunyi sehingga kini. Alunan ayat-ayat suci al-Quran sentiasa bergema di corong-corong pembesar suara.

Para jemaahnya pula merentasi benua. Wajah-wajah unik dari Tanah Arab mahupun dari China sesekali mendominasi ruang masjid tertua di Melaka itu. Ketika Ramadan, syiar Islam di Masjid Kampung Hulu dikatakan lebih terkesan dan terserlah.

Baru-baru ini penulis bersama jurufoto, Abdul Razak Latif berpeluang merasai aura Ramadan di sana. Sebaik para jemaah selesai menunaikan solat Asar, para jemaah lelaki berkumpul di beberapa sudut masjid.

Ada yang sibuk menyusun pinggan mangkuk dan cawan plastik. Tidak kurang pula yang berhempas-pulas mengalih dan mengangkat beberapa periuk besar dari bara api.

Seorang budak lelaki pula sedang sibuk mencedok bubur lambuk. Sementara lelaki yang serius wajahnya, khusyuk menyusun kurma di atas sebiji pinggan.

Selepas itu, datang seorang lelaki berkulit sawo matang dan berketayap mengangkat dua biji dulang yang dipenuhi nasi dengan kedua-dua belah tangannya.

Pada petang yang mendung itu, rumah Allah itu bertali arus didatangi oleh pelbagai manusia yang entah dari mana. Mereka dilihat menghantar bungkusan makanan. Tanpa sebarang pesan, mereka meletakkan bingkisan itu di tepi tangga dan terus beredar.

Sukarelawan masjid

Namun seorang lelaki India Muslim yang memikul beberapa kampit beras sempat membisikkan sesuatu kepada seorang pegawai masjid.

"Ya, pada bulan Ramadan ini, ramai datang bersedekah, murah rezeki masjid ini, Alhamdulillah.


KATA Abdullah, Masjid Kampung Hulu merupakan satu-satunya masjid di Melaka menggunakan beduk untuk menandakan azan Maghrib sudah masuk waktu.


"Sekarang, saya dan beberapa sukarelawan masjid sedang menyediakan persiapan untuk berbuka puasa untuk para jemaah, tapi sebenarnya kita dah mula sejak awal pagi," kata norja Masjid Kampung Hulu, Abdullah Abdul Kadir, 62, kepada Kosmo!.

Hubungan antara masjid itu dan Abdullah sangat akrab. Dia mengetahui serba-serbi mengenai rumah Allah tersebut.

Topik perbualan kami pada petang itu terarah tentang rutin Ramadan di masjid tersebut. Kata anak jati Melaka ini, Masjid Kampung Hulu masih mengekalkan stail makan dalam dulang sejak hampir tiga abad yang lampau.

"Zaman dulu, masjid ini pakai material yang dibawa khas dari China tapi sekarang semua dah pecah.

"Sehingga kini, kita tak pernah terfikir untuk ubah tradisi itu (makan dalam dulang), cuma jemaah perempuan saja kita tukar makan pakai pinggan tapi jemaah lelaki tetap sama," jelasnya yang dilantik menjadi norja sejak 12 tahun lalu.

Abdullah tidak berseorangan dalam mengurus masjid itu. Dia dibantu oleh seramai lima hingga lapan sukarelawan yang ikhlas dan tidak kisah melakukan kerja-kerja secara percuma.

Pada setiap hari, norja memberitahu, 50 dulang makanan disediakan untuk majlis berbuka puasa. Sebanyak 40 dulang untuk lelaki dan bakinya untuk jemaah wanita.

"Menu kita ialah nasi bukhari, nasi putih, kari, kurma, tembikai, air panas dan air sejuk. Selebihnya datang daripada orang ramai dan akan diagih-agihkan secara adil kepada semua orang," ujarnya yang membeli keperluan melalui dana masjid dan hasil derma orang ramai.

Apakah menariknya makan sedulang? Menurut pendakwah bebas, Hashim Awaludin, makan secara berjemaah akan mewujudkan hubungan yang baik.

"Makan sedulang berupaya mengeratkan hubungan sesama insan.

"Rasulullah sering makan sedulang dengan anggota keluarganya kerana Maha Pencipta menjanjikan keberkatan kepada mereka yang mengamalkannya," katanya ketika dihubungi Kosmo!.

Cerita musafir

Melihat jemaah yang berwajah asing, berbeza pemakaian dan loghat percakapan, Abdullah ditanya tentang tetamu-tetamu Allah itu.

"Ya, ada antara mereka terdiri daripada musafir yang datang dengan tujuan. Tidak ketinggalan ada orang yang sesat dan yang bermunajat, kita sambut dengan hati terbuka" katanya.


SETIAP hari, pihak masjid akan menyediakan 50 dulang untuk para jemaah yang datang bertandang ke sini.


Abdullah terus bercerita. Ujarnya, sejak zaman berzaman, setiap kali Ramadan, masjid itu akan diimarahkan dengan ibadah yang tidak pernah putus sejak fajar mula menyingsing sehingga lewat pagi.

Jemaah bukan saja didorong menunaikan solat sunat tarawih dan bermoreh, tetapi diajak bersama-sama menyemarakkan majlis witriah.

"Witriah adalah bacaan puji-pujian kepada Allah pada bulan Ramadan dan kalau hendak tahu, Masjid Kampung Hulu saja merupakan satu-satunya masjid yang mengekalkan amalan ini," ujar Abdullah.

Hal itu diakui oleh Setiausaha Biro Ekonomi Masjid Kampung Hulu, Yusop Tambri. Yusop yang juga kariah masjid tersebut sejak berumur 12 tahun berkata, tempat ibadat itu sememangnya dekat di hati masyarakat Kampung Hulu.

"Masjid ini sungguh istimewa dan gemar dilawati umat Islam lebih-lebih lagi terdapat makam Sayyid Abdullah Al-Haddad," katanya. Sayyid Abdullah Al-Haddah ialah seorang guru agama dan mempunyai ilmu tasawuf yang tinggi. Beliau dianggap sebagai wali Allah pada sekitar tahun 1800-an.

Sedar tidak sedar, langit semakin gelap. Itu menandakan azan Maghrib akan berkumandang pada bila-bila masa.

Abdullah mengenakan songkok lantas menaiki tangga untuk memukul beduk yang terletak betul-betul di atas gerbang masjid.

Layanan baik

Dia tidak hentam kromo mengalunkan irama sebaliknya nada irama yang dipalunya ada oktaf tersendiri.

"Beduk atau gendang yang digunakan bagi menandakan masuk waktu solat pada zaman dulu hanya terdapat di masjid ini," katanya sambil memberitahu paluan beduk hanya layak disempurnakan oleh pegawai masjid sahaja.

Sebaik azan dilaungkan, kurma dijamah dan tanpa mengenal latar belakang, empat individu berkongsi nasi yang dihidangkan dalam satu dulang.

Sudah terbiasa makan di masjid, seorang jemaah Myanmar yang mahu dikenali sebagai Ahmad, 32, memberitahu, kemiskinan hidup telah mengheretnya ke masjid tersebut.

"Saya bersyukur kerana orang masjid di sini melayan orang luar dengan baik," katanya.

Seorang jemaah wanita, Latifah Awang, 51, berkata, masjid itu telah mengikat hubungan persaudaraan dengan para jemaah lain.

"Selain gembira makan bersama, kami sesama jemaah sudah menjadi kawan baik," katanya yang sering ke masjid tersebut sejak dua tahun lalu.

Siti, 27, yang tinggal di Peringgit, Melaka pula sanggup hadir ke masjid kerana baginya aura masjid itu sungguh mempesona dan sukar didapati di mana-mana.

Meskipun Masjid Kampung Hulu dikelilingi kedai-kedai yang diusahakan oleh peniaga kaum Cina, ia sedikit pun tidak mengganggu keharmonian masjid ini.

Seperti kata Yusop: "Orang Cina di sini tak pernah merungut sebaliknya mereka sentiasa mengharapkan masjid ini meriah. Mereka kata itu boleh dijadikan sebagai panduan mereka bangun untuk mula bekerja."

Jaket penyejuk badan

Posted:

Jaket penyejuk badan

Jaket penyejuk badan


PEMAKAI akan kelihatan sedikit pelik kerana jaket tersebut akan menggelembung apabila digunakan.


KUCHOFUKU yang bermaksud 'pakaian berhawa dingin', telah menerima tempahan yang tinggi ekoran catuan tenaga elektrik di Jepun selepas bencana gempa bumi dan tsunami yang melanda negara itu pada 11 Mac lalu.

Permintaan terhadap produk yang mampu memberi kelegaan kepada tubuh badan daripada haba panas semakin meningkat dan mendapat perhatian.

Salah satunya ialah jaket Kuchofuku. Dua kipas elektrik di dalam jaket tersebut boleh dikawal untuk menyedut udara pada kelajuan yang berbeza, sekali gus membuatkan pakaian itu kelihatan kembung.

Walaupun kelihatan sedikit pelik disebabkan gelembung itu, setakat ini tiada pengguna yang mengeluh berpakaian sedemikian kerana lebih suka berasa sejuk berbanding kelihatan sedikit unik.

"Saya bekerja di tempat yang sangat panas dan perlu memakai pakaian lengan panjang, sebab itu saya datang ke sini untuk membeli jaket ini untuk kekal sejuk ketika bekerja," kata Ryo Igarashi yang ditemui ketika keluar dari pejabat Kuchofuku Sdn. Bhd. selepas membeli sepasang jaket berhawa dingin.

Igarashi, 33, menyatakan pakaian tersebut menawarkan kelegaan kepadanya yang bekerja di tapak pembinaan yang terdedah pada cuaca panas.

Hampir 1,000 syarikat di Jepun menggunakan Kuchofuku termasuklah syarikat gergasi automobil, pengeluar keluli, syarikat makanan dan firma pembinaan.

Selain itu, syarikat berkenaan turut menjual kusyen dan tilam berhawa dingin yang menggunakan sistem jaring plastik paten Kuchofuku yang membolehkan udara mengalir sambil menyokong berat badan.

Bateri untuk 11 jam

Produk tersebut dianggap paling signifikan sejak loji tenaga nuklear Fukushima Daiichi ditutup gara-gara terjejas teruk dek bencana. Gangguan terhadap bekalan tenaga elektrik menyebabkan kerajaan mengisytiharkan syarikat-syarikat besar di Tokyo dan wilayah utara Tohoku wajar mengurangkan penggunaan tenaga sebanyak 15 peratus.

Inisiatif tersebut secara tidak langsung tidak memerlukan para pekerja menanggalkan tali leher atau menaikkan suhu penyaman udara untuk keselesaan semasa bertugas.


ICHIGAYA (kiri) menunjukkan dua buah kipas yang terdapat di belakang jaket Kuchofuku.


Lebih menarik, ia juga memberi kesejukan kepada pekerja buruh di tapak pembinaan.

Berdasarkan laporan pihak kastam, import kipas elektrik melalui pelabuhan Tokyo mencecah rekod tertinggi pada bulan Mei. Ia melambung sebanyak 70 peratus daripada tahun sebelumnya pada 1.24 juta unit.

Jelas Presiden syarikat Kuchofuku Sdn. Bhd., Hiroshi Ichigaya, kipas-kipas di dalam jaket Kuchofuku disambungkan pada pek bateri lithium-ion yang mampu bertahan selama 11 jam untuk sekali cas, menggunakan sedikit tenaga yang digunakan oleh alat penyaman udara konvensional.

Kata Ichigaya lagi, pakaiannya itu mengurangkan rasa panas dan menawarkan penyelesaian bertentangan iaitu seseorang akan berasa lebih sejuk sekiranya memakai baju yang lebih tebal berbanding membuka pakaian.

"Orang ramai kini cuba memakai senipis mungkin pakaian seperti kempen Super Cool Biz. Tetapi apabila menyarung Kuchofuku, lebih tebal fabrik jaket itu, tubuh anda akan lebih dingin," kata Ichigaya.

Sebanyak 20 liter udara sesaat akan berputar melalui jaket dan keluar menerusi kolar dan lengan baju bagi mengeringkan peluh dan menyejukkan tubuh badan si pemakai.

Idea mencipta jaket penyejuk badan peribadi tersebut mula bermain di fikiran jurutera Sony, Ichigaya selama dua dekad sebelum pada awal tahun 1990-an, dia berusaha mencipta alat penghawa dingin yang menggunakan tenaga elektrik yang sedikit.

"Idea ini muncul apabila memikirkan bahawa kita tidak memerlukan suhu yang sejuk untuk segenap ruang bilik. Apa yang penting individu yang berada di dalam merasai kedinginan itu," katanya

Kuchofuku yang pertama kali dilancarkan pada tahun 2004, telah menarik perhatian dan mendapat permintaan tinggi daripada pihak pengilang dan syarikat pembinaan. Menariknya baru-baru ini, mereka turut menerima tempahan yang banyak daripada kumpulan pekerja yang bekerja di pejabat dan suri rumah.

Jaket penyejuk udara bersaiz standard dijual pada harga 11, 000 yen (RM422), manakala saiz yang lain dijual pada harga yang lebih tinggi. - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Infiniti

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Infiniti


Posted:

[unable to retrieve full-text content]
Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


Hasrat tunaikan umrah berkecai

Posted:

Hasrat tunaikan umrah berkecai

Hasrat tunaikan umrah berkecai

Oleh ZULKIFLI MANZOR
zulkifli.manzor@kosmo.com.my

ROHAIZA dan Muhammad Bahauddin terpaksa pulang semula ke rumah selepas nama tiada dalam senarai penerbangan ke Mekah di KLIA semalam.


KUALA LUMPUR – Hasrat dua beranak untuk menunaikan ibadah puasa 10 hari terakhir serta menyambut Aidilfitri di Mekah berkecai apabila kedua-dua mereka mendakwa menjadi mangsa penipuan ejen syarikat pengurusan umrah yang beroperasi di Wangsa Maju di sini.

Muhammad Bahauddin Arif Karkhi, 26, dan ibunya, Rohaiza Yaacob, 46, mendakwa, mereka hanya menyedari penipuan itu apabila mendapati nama mereka tiada dalam senarai penumpang umrah penerbangan Saudi Arabian Airlines yang sepatutnya berlepas petang semalam.

Muhammad Bahauddin berkata, ejen terbabit memberitahu bahawa dia dan ibunya sepatutnya berlepas ke Tanah Suci untuk menunaikan umrah pada pukul 3 petang semalam.

Ikuti berita selanjutnya di Kosmo! hari ini.

Jangan tertipu kurma RM1

Posted:

Jangan tertipu kurma RM1

Jangan tertipu kurma RM1

Oleh NOOR HASLIZA NUSI
hasliza.nusi@kosmo.com.my


PERBEZAAN kurma tiruan (kiri) dan kurma asli yang kelihatan segar.


GEORGE TOWN – Permintaan tinggi buah kurma semasa bulan Ramadan menyaksikan ada segelintir peniaga mengambil kesempatan dengan menjual buah kurma yang dicampur dengan bahan pemanis.

Kebiasaannya, cara ini diamalkan oleh peniaga yang menjual buah kurma secara pukal atau timbang dengan harga yang lebih rendah.

Difahamkan, peniaga atau pemborong ini mengimport buah kurma yang berkualiti rendah secara pukal sebelum diproses bagi membolehkan buah kurma ini dijual semula.

Kosmo! diberitahu, buah-buah kurma ini digaul dengan gula merah dan disimpan beberapa lama untuk sebati sebelum dicampur semula dengan buah kurma kualiti sederhana.

"Hasilnya, buah kurma kualiti rendah ini akan terasa manis seperti kurma sebenar (buah kurma yang berkualiti baik) tapi sebenarnya ia telah dicampur gula merah.

"Buah kurma jenis ini dijual secara timbang dan banyak dijual di kedai-kedai runcit atau gerai kaki lima sepanjang Ramadan," ujar sumber yang memberitahu pernah mempraktikkan kaedah tersebut.

Ikuti berita selanjutnya di Kosmo! hari ini.

Kompas mohon maaf kepada Najib

Posted:

Kompas mohon maaf kepada Najib

Kompas mohon maaf kepada Najib


HARIANTO (kiri) memohon maaf kepada Najib mengenai tiga berita tidak benar yang disiarkan oleh akhbar Kompas baru-baru ini.


JAKARTA – Akhbar Kompas semalam memohon maaf kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan keluarganya atas satu laporan yang disiarkan pada 4 Ogos lalu yang berunsur fitnah.

Permohonan maaf itu adalah berkaitan dengan tulisan yang mengaitkan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dengan sebuah syarikat perniagaan yang telah dinafikan kebenarannya dan juga cincin berlian berharga AS$24 juta (RM71.5 juta) yang sebenarnya tidak pernah dipesan oleh Rosmah.

Permohonan maaf itu juga merujuk kepada laporan tentang bakal besan Perdana Menteri yang dikatakan kononnya mempunyai hubungan dengan mafia Rusia.

"Atas berita tersebut, Pemimpin Redaksi Kompas, Rikard Bagun pada Sabtu (20 Ogos) di Jakarta, secara khusus menyatakan permintaan maafnya kepada ketua kerajaan dan keluarga," kata Rikard dalam Kompas Minggu semalam.

Ikuti berita selanjutnya di Kosmo! hari ini.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Permata baharu Anfield

Posted:

Permata baharu Anfield

Permata baharu Anfield

LONDON – Dua gol selepas dua perlawanan membuktikan betapa bernilainya Luis Suarez (gambar) untuk membawa Liverpool kembali ke kelompok empat pasukan terbaik Liga Perdana England musim ini.

Bermula dari bangku simpanan pada aksi menentang Arsenal malam kelmarin, penyerang Uruguay itu bersama-sama Raul Meireles yang dimasukkan pada minit ke-70 berjaya membantu Liverpool mencatat kemenangan 2-0 ke atas Arsenal.

Gandingan dua pemain itu berjaya mencipta banyak peluang sekali gus dua jaringan terhasil menerusi gol sendiri Aaron Ramsey pada minit ke-78 dan jaringan Suarez pada penghujung perlawanan.

"Ia satu gandingan baik serta pertukaran yang berkesan. Bagaimanapun kami tetap gembira dengan aksi Andy Carroll dan Dirk Kuyt sebelum mereka dibawa keluar.

"Tapi apabila kami memiliki dua pemain berkualiti di bangku simpanan, tak salah untuk kami mempertaruhkan mereka," kata pengurus Liverpool, Kenny Dalglish.

Suarez sebelum ini menjaringkan gol tunggal Liverpool ketika seri 1-1 dengan Sunderland pada aksi sulung minggu lalu.

Dalglish turut menegaskan betapa pentingnya untuk menguruskan pembahagian beban pemain bagi mengelak kecederaan sambil mengakui kesilapannya ketika meletakkan Suarez dalam kesebelasan utama menentang Sunderland.

"Minggu lalu mungkin saya tidak berlaku adil terhadap Suarez. Saya rasa tidak adil untuk dia yang baru kembali menyertai skuad. Saya lihat dia begitu hebat pada sesi latihan dan berasakan dia perlu diturunkan.

"Memang dia masih mampu menjaringkan gol dan beraksi dengan baik pada perlawanan itu tetapi dia tidak dapat memiliki kekuatan sama seperti kebiasaannya," jelas Dalglish.

Suarez, 24, baru saja kembali ke England selepas membantu Uruguay menjuarai Copa America dan muncul pemain terbaik kejohanan selepas berjaya meledak empat gol. – Agensi

Peluang terakhir skuad negara

Posted:

Peluang terakhir skuad negara

Peluang terakhir skuad negara


PEMAIN negara tetap serius berlatih di Shenzhen semalam meskipun impian mereka meraih pingat sudah berkubur.


SHENZHEN – Skuad bola sepak negara bakal berdepan tugas getir apabila bertemu Republik Czech pada penentuan tempat ke-11 dan 12 di Sukan Universiti Dunia (Universiade) 2011.

Selepas tewas kesemua tiga perlawanan di peringkat kumpulan, Malaysia berpeluang untuk memperbaiki ranking apabila menewaskan Thailand 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti.

Begitupun, skuad negara mempersia-siakan peluang terbaik untuk melakar rekod baru pada temasya ini selepas tewas 1-5 kepada Kanada pada penentuan tempat kesembilan hingga 12 di Stadium Sekolah Sukan Shenzhen kelmarin.

Jurulatih, Aminuddin Hussin berkata, kekalahan itu adalah yang terburuk sepanjang empat perlawanan di Universiade 2011.

"Ini adalah aksi paling buruk di temasya ini. Saya berasa amat kecewa kerana para pemain tidak bermain dengan baik seperti mana yang diharapkan," kata Aminuddin ketika ditemui selepas aksi di Stadium Sekolah Sukan Shenzhen kelmarin.

"Corak permainan hari ini lebih kepada individu dan bukannya bermain secara berpasukan. Kita mungkin akan membuat rombakan secara besar-besaran pada aksi selepas ini."

Kini, skuad negara perlu menewaskan Republik Czech pada pertemuan di Stadium Pusat Sukan Bao'an Xixiang petang ini sekiranya masih berhajat untuk menamatkan saingan di tempat ke-11.

Bagaimanapun, Aminuddin berkata, dia berasa sedikit bimbang dengan situasi penjaga gol, Norhadi Ubaidillah yang mengalami kecederaan selepas bertembung dengan pemain Kanada kelmarin.

"Selepas terlepas peluang untuk menamatkan saingan di ranking kesembilan dan ke-10, kami tidak ada pilihan lain selain menewaskan Republik Czech pada aksi terakhir Isnin ini (esok).

"Namun, saya sedikit bimbang dengan situasi kecederaan bahu yang dialami Norhadi meskipun tidak begitu serius. Esok (hari ini) para pemain akan berehat bagi proses pemulihan.

Pada penampilan di Bangkok, Thaialand empat tahun lalu, skuad negara sekadar menduduki tempat ke-12 daripada 16 pasukan yang bertanding.

Sementara itu, aksi final Universiade 2011 bakal menemukan Jepun dan Britain manakala penentuan tempat ketiga antara Rusia dan Brazil yang bermain bersama Malaysia di peringkat kumpulan.

Kuartet 4x100m 'kunci mulut'

Posted:

Kuartet 4x100m 'kunci mulut'

Kuartet 4x100m 'kunci mulut'


SITI FATIMAH (kiri) antara tonggak dalam kuartet 4x100 meter wanita negara.


SHENZHEN - Kuartet 4x100m wanita negara diarah 'kunci mulut' selepas berlaku perbalahan kecil di Perkampungan Sukan pada temasya Sukan Universiti Dunia (Universiade) 2011 kelmarin.

Insiden itu telah menyebabkan Nurul Sarah Abdul Kadir, Siti Fatimah Mohamad, Nor Jannah Hafiszah Jamaludin dan Siti Zubaidah Adabi 'melarikan diri' daripada petugas media sebaik menamatkan larian di Stadium Utama Shenzhen petang kelmarin.

Sejak dikejutkan dengan isu doping, tidak ada tanda-tanda yang menunjukkan kuartet ini akan berbaik semula.

Situasi itu bertambah buruk selepas masing-masing berbalas kenyataan di media kerana tidak berpuas hati antara satu sama lain, sekali gus telah mencetuskan pergaduhan kecil sebelum mereka bergabung dalam saringan pertama 4x100m pada Universiade 2011.

Bagaimanapun, keempat-empat pelari itu membuktikan bahawa masih mampu bekerja bersama dan memiliki sikap profesionalisme yang tinggi dalam diri asing-masing.

Bagi meredakan kontroversi, pengurus pasukan, Afizal Abu Othman menasihatkan mereka supaya berbaik-baik semula dan mengelak daripada membuat kenyataan di media.

Pada aksi kelmarin, kuartet 4x100 meter wanita sekadar menamatkan saringan pertama di tempat keenam, catatan masa 45.47s tetapi cukup memberangsangkan selepas sekian lama tidak menjalani latihan bersama.

Catatan masa itu jauh lebih pantas berbanding yang dilakukan ketika memenangi pingat emas Sukan Universiti ASEAN (AUG) di Chiangmai, Thailand tahun lalu (45.73s).

Ia hanya 0.14s perlahan berbanding rekod kebangsaan yang dirakam Yee Yi Ling, Nurul Sarah, Norjannah Hafiszah dan Siti Zubaidah di Poland, Julai 2010.

Misi di Shenzhen berjaya menyatukan semula kuartet ini dan Nor Jannah Hafiszah yang mempunyai catatan terbaik 100m wanita, 11.60s sudah kembali ke tanah air untuk melakukan persiapan ke Kejohanan Olahraga Dunia di Daegu, Korea Selatan minggu depan.

Namun, apakah mereka mampu bertahan sehingga temasya Sukan SEA 2011?

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Stailo

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Stailo


Warna terang semarakkan Syawal

Posted:

Warna terang semarakkan Syawal

Warna terang semarakkan Syawal

Oleh IZYAN LIYANA MOHD. DARIF
izyanliyana.darif@kosmo.com.my

BAGI pengasas butik konsep vintaj, Old Blossom Box, Jezmine Zaidan, 27, sememangnya baju tradisional begitu sinonim digayakan pada hari lebaran.

Mungkin bagi sesetengah orang, tidak lengkap rasanya jika tidak menyarungkan persalinan baju kurung, kebaya ataupun baju kurung Pahang pada pagi Syawal.

Namun, pereka muda itu mula memikirkan sesuatu yang baru. Jika sehelai blaus ataupun dres labuh sentiasa diminati dalam rekaan moden dan terkini, mengapa tidak trend tersebut tidak diaplikasi pada pakaian tradisional Melayu.

"Dari situ tercetusnya idea yang mendorong saya untuk bereksperimen menghasilkan koleksi baju kurung yang trendy, comel dan funky tanpa perlu mengubah potongan asas baju tersebut.

"Daripada hasil pemerhatian dan kajian yang dilakukan, maka saya mencipta koleksi fesyen raya Old Blossom Box (OBB) bertemakan Candy Raya Wonderland.

"Nama candy atau gula-gula menjadi pilihan memandangkan 60 pasang busana yang dihasilkannya berwarna-warni, sama seperti warna gula-gula terutamanya manisan lolipop.

"Pada masa yang sama, kuasa warna ini membantu menyuntik mood ceria bagaikan berada di taman fantasi," jelas Jezmine yang merupakan graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor.

Berbicara selanjutnya, anak sulung daripada dua orang adik-beradik itu menyatakan ilham menghasilkan baju kurung warna kontra dan menerapkan bahagian kolar baju konsep comel tercetus daripada koleksi fesyen vintaj yang ditawarkan di OBB.

"Sejak beroperasi, butik OBB hanya memberi tumpuan kepada penjualan pakaian dan aksesori konsep vintaj. Jika diperhatikan kebanyakan baju stail vintaj banyak bermain dengan kolar potongan comel dan unik. Apabila konsep kolar ini digabungkan bersama baju kurung ternyata ia memberi nafas baru pada busana tradisional.

"Justeru, bagi menampakkan lagi unsur-unsur vintaj itu, saya menggunakan kain sifon, kain kapas dan renda vintaj yang ringkas dan tidak sarat dengan perincian manik dan labuci.

"Seterusnya, saya padankan bersama kain polka dot yang mengembalikan nostalgia era retro," tutur Jezmine yang menjual koleksi Candy Raya Wonderland pada harga antara RM289 hingga RM299.

Inspirasi warna buah-buahan

Sementara itu, seorang lagi pereka yang semakin dikenali para pencinta fesyen, Nik Erwan Nik Roseli, 25, turut mengambil pendekatan serupa iaitu menghasilkan busana hari lebaran berasaskan warna-warna terang dan kontra.


SELEBRITI ATILIA (enam dari kiri) kelihatan comel dan funky dalam persalinan baju kurung Sitrus Raya, rekaan Nik Erwan (tujuh dari kiri).


Menurut graduan Ijazah Rekaan Fesyen, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (FSSR), Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor itu, konsep warna tersebut diinspirasi daripada warna buah seperti buah epal, nanas, tembikai dan jambu air.

"Saya ingin menyuntik kelainan dan mempamerkan keunikan pada himpunan busana hari raya pada tahun ini. Ironinya, saban tahun menjelang saja Aidilfitri, golongan wanita khususnya gemar menempah dan membeli baju raya warna lembut dan gelap.

"Jarang sekali, melihat wanita tampil bergaya pada pagi raya dengan baju kurung mahupun kebaya warna terang atau kontra. Mereka bimbang warna sedemikian bakal mengundang reaksi pelik dalam kalangan masyarakat.

"Nasihat saya, usah prejudis pada warna kerana warna-warna terang itu membantu menyerlahkan penampilan," jelas Nik Erwan mengenai koleksi fesyen Sitrus Raya rekaannya yang terdiri daripada baju kurung moden, baju kurung Pahang dan baju kurung pesak.

Tambahnya, pakaian berasaskan nuansa terang dan kontra sudah mula dipraktikkan oleh pencinta fesyen di London, Amerika Syarikat (AS) dan Paris.

Permintaan koleksi fesyen warna terang meningkat terutamanya pada musim bunga dan musim panas. Justeru, memandangkan cuaca di Malaysia panas dan lembap sepanjang tahun maka pakaian warna terang antara yang ideal dan menawan digayakan.

Memahami bukan semua wanita sanggup menyarungkan persalinan busana kasual atau santai berwarna terang dan kontra, maka Nik Erwan menyifatkan pakaian tradisional boleh dijadikan fasa permulaan bagi wanita membiasakan diri dengan warna-warna terang.

"Sebab itulah terciptanya koleksi lebaran Sitrus Raya. Koleksi ini hadir dalam 10 pasang baju tradisional pelbagai warna, potongan dan perincian.

"Selain menawarkan padanan baju rona merah jambu dan kain nuansa ungu atau baju hijau dan kain jingga, Sitrus Raya turut menampilkan teknik perincian yang menarik.

"Bagi konsep fesyen raya kali ini, saya banyak bermain dengan perincian batu-batu dan kayu-kayu potongan kecil berbanding taburan labuci atau manik," terang Nik Erwan yang menyasarkan jualan Sitrus Raya kepada kelompok remaja yang gemarkan fesyen unik dan ceria.


PAKAIAN tradisional berasaskan kain polka dot menyuntik elemen vintaj dan retro.


Menyentuh mengenai fabrik, Nik Erwan menyatakan koleksi Sitrus Raya menggunakan fabrik sutera Thai, satin Belanda, sifon, krep dan tafeta iaitu kain yang berkilat, nipis serta ringan.

"Bagi wanita bertubuh langsing, bermacam-macam fabrik ideal digayakan. Namun bagi wanita yang berbadan gempal Nik Erwan menyarankan supaya memilih koleksi Sitrus Raya yang diperbuat menggunakan kain sifon.

"Walaupun hari raya bakal menjelang, tempahan untuk Sitrus Raya masih terbuka khususnya buat pelanggan yang ingin menggayakan koleksi ini tatkala memenuhi undangan majlis rumah terbuka," ujar Nik Erwan kepada Stailo.

Merah pilihan Jovian

Dalam pada itu, pereka ternama, Jovian Mandagie turut menampilkan koleksi fesyen raya yang diberi nama Lebaran 2011. Jika tahun lalu, pereka kelahiran Jakarta, Indonesia itu mempamerkan kehebatan rekaan koleksi kaftan moden kontemporari tetapi pada tahun ini, Jovian menghasilkan busana tradisional Melayu yang diberi sentuhan moden.

Koleksi pakaian yang diperbuat daripada kain berjenama seperti Aldo Biyanki, Marco Lagotolla, Riechers Marescot dan Lady Villary itu menyaksikan kombinasi rekaan fesyen moden dan klasik.

Ini terbukti apabila Jovian mengambil inisiatif menghasilkan baju kurung Kedah yang dipadankan bersama kain ala pario dan baju kurung Kedah konsep jalur yang menampilkan perincian bunga timbul di bahagian kaki baju.

Menariknya, koleksi raya jenama Jovian Mandagie bukan saja hadir dalam rona lembut dan gelap malah, turut hadir dalam nuansa terang seperti jingga serta merah menyala.

Persalinan sedondon pada pagi aidilfitri

Posted:

Persalinan sedondon pada pagi aidilfitri

Persalinan sedondon pada pagi aidilfitri

Oleh ROSMALINA ABD. KADIR
rosmalina.kadir@kosmo.com.my


AYU dan segak dengan pilihan busana rona warna lembut.


SETIAP kali tibanya Ramadan, pasangan kekasih, tunangan dan suami isteri pasti sedang memikirkan apakah corak dan warna sesuai untuk dipakai sedondon sempena menyambut Aidilfitri yang bakal tiba.

Pilihan busana sedondon sudah menjadi pilihan berzaman bagi menandakan keakraban dan kerukunan serta persefahaman di antara pasangan, begitu juga perasaan kasih sayang saat memilih busana sepadan untuk disarungkan.

Justeru, usah berfikir panjang kerana di Wisma Jakel pelbagai pilihan busana sedondon disediakan.

Bagi wanita, sudah pastinya pilihan baju kurung moden, baju kurung Pahang, baju kurung pesak gantung dan baju kurung Johor menjadi antara pilihan utama untuk Aidilfitri tahun ini.

Bagi lelaki pula, pilihan baju Melayu Johor dan baju Melayu cekak musang sememangnya menjadi busana tradisi turun-temurun. Lebih segak apabila dipadankan dengan samping daripada fabrik songket bercorak ringkas.

Menurut Eksekutif Pengiklanan dan Promosi Jakel Trading Kuala Lumpur, Fazreen Ramli, sempena musim perayaan Aidilfitri tahun ini, Jakel menampilkan pelbagai rekaan, warna dan corak baju kurung dan Melayu untuk disarungkan pada pagi lebaran.

"Pelanggan boleh membuat pilihan sama ada membeli baju kurung daripada rekaan kurung moden, kurung Pahang, kurung pesak gantung atau kurung Johor dalam fabrik kosong atau bercorak serta dihiasi perincian-perincian indah.


JAKEL menawarkan pelbagai rona fabrik terkini untuk mereka yang inginkan penampilan segar pada hari lebaran.


"Kesemua tawaran ini hadir dalam pelbagai saiz iaitu daripada saiz SS hingga saiz XXXL," katanya.

Menurut Fazreen, busana kurung dan baju Melayu yang ditawarkan tampil dalam pilihan-pilihan warna menawan dan terkini seperti kelabu, merah, coklat, biru firus, hijau pucuk pisang, ungu, merah jambu dan sebagainya.

"Busana-busana ini dihasilkan menggunakan fabrik bermutu tinggi seperti kain kapas, sutera, sifon bercorak, lycra bercorak, sutera Thai dan sebagainya.

"Pelanggan juga dapat membeli mengikut kemampuan masing-masing kerana harga yang ditawarkan amat berpatutan iaitu antara RM59 hingga RM799," katanya.

Kredit: www.kosmo.com.my
 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved