Rabu, 03 September, 2025

Selasa, 14 Januari 2014

Kosmo Online - Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


Noor Jan ditahan depan isteri

Posted:

Noor Jan ditahan depan isteri

Noor Jan ditahan depan isteri

Oleh SOFIATUL SHIMA WAN CHIK dan NUZULSHAM SHAMSUDDIN
berita@kosmo.com.my

NOOR JAN ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah bagi membantu siasatan di bawah Akta Hasutan
selepas ditahan semalam.


JASIN - Noor Jan Tuah yang mencetuskan kontroversi lebih lapan tahun kerana mendakwa dirinya sebagai Sultan Melaka ditahan di Jeti Anjung Batu, Serkam di sini semalam bagi membantu siasatan di bawah Akta Hasutan.

Noor Jan (gambar kecil), 56, ditahan pada pukul 10.50 pagi ketika berada di jeti bersama isteri dan 30 pengikutnya untuk menaiki feri ke Pulau Besar.

Noor Jan mahu ke Pulau Besar bagi menghadiri upacara penyembelihan kambing sempena sambutan Maulidur Rasul.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, Noor Jan ditahan bagi membantu siasatan ekoran polis menerima lapan laporan yang dibuat oleh pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) yang menyatakan rasa tidak puas hati atas tuntutan Noor Jan yang mengaku dirinya sebagai Sultan Melaka.

"Noor Jan ditangkap ekoran penduduk negeri ini curiga dan gusar atas kebenaran tuntutan penama Noor Jan yang mengiktiraf dirinya Sultan Melaka.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Penyelia maut akibat injap paip terpelanting ke muka

Posted:

Penyelia maut akibat injap paip terpelanting ke muka

Penyelia maut akibat injap paip terpelanting ke muka


MAYAT Muthu Krishnan terbaring dengan injap paip gas di sisinya di Melaka semalam.


MELAKA - Seorang penyelia loji gas menemui ajal apabila saluran injap yang menyambungkan hos tiba-tiba tercabut ketika proses pemindahan gas ammonia dilakukan dan terpelanting ke mukanya di Kawasan Perindustrian Tangga Batu di sini semalam.

Dalam kejadian pukul 2.15 pagi itu mangsa yang dikenali sebagai Muthu Krishnan, 53, dari Kota Laksamana cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Difahamkan, ekoran kejadian itu, seorang lagi lelaki yang juga pemandu treler di loji itu dikejarkan ke hospital sama bagi menerima rawatan lanjut selepas terhidu gas ammonia.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian tersebut pada pukul 2.19 pagi dan seramai 25 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tangga Batu, Kubu dan Ayer Keroh bersama tiga jentera termasuk sebuah jentera Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) dikejarkan ke lokasi kejadian.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Diseret komuter tiga kilometer

Posted:

Diseret komuter tiga kilometer

Diseret komuter tiga kilometer

Oleh SHAHRULANOOR ISHAK
berita@kosmo.com.my


DI SINILAH lokasi sepasang suami isteri warga emas maut dilanggar komuter di Kajang, Selangor semalam.


KAJANG – Niat murni sepasang suami isteri warga emas untuk menziarahi saudara mereka yang terlantar sakit di Sungai Long di sini tidak kesampaian apabila mereka terbunuh akibat dirempuh dan diseret tren komuter di sini semalam.

Kejadian berhampiran Stesen Komuter Kajang dekat Jalan Reko pada pukul 12.35 tengah hari itu menyebabkan Md. Nor Lian, 69, dan isterinya, Noriah Mat Ani, 65, maut selepas diseret sejauh tiga kilometer.

Menurut adik ipar mangsa yang enggan dikenali, pasangan suami isteri berkenaan kerap menziarahi ibunya yang sakit pada setiap minggu.

Ujar ipar mangsa lagi, Md. Nor dan Noriah yang tinggal bersama tiga anak lelaki mereka berhampiran stesen komuter di Kajang Utama kerap melintas landasan tersebut sebelum menaiki kenderaan awam di hentian.

"Pukul 10 pagi tadi (semalam) abang telefon dan beritahu hendak ke rumah. Selepas melintas landasan, mereka akan menunggu teksi atau bas di hentian Kajang seperti biasa.

"Biasanya kurang daripada sejam mereka akan sampai ke rumah saya, tetapi kira-kira pukul 2 petang pula, kami dikejutkan dengan kejadian itu," katanya semasa ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Kajang di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab. Wahab berkata, kedua-dua mangsa yang tinggal kira-kira 200 meter dari tempat kejadian maut serta-merta akibat cedera parah.

"Mangsa adalah warga emas yang tidak bekerja dan disara oleh tiga orang anak lelaki. Mayat dihantar ke Hospital Kajang untuk bedah siasat.

"Kedua-dua mereka disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas dilanggar komuter yang dalam perjalanan dari Seremban ke Rawang," kata beliau.

Dalam pada itu, Pengurus Komunikasi Korporat Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Siti Badariah Wan Hanafi berkata, pasangan tersebut melintas di kawasan yang tidak dibenarkan.

"Justeru, pihak KTMB menasihati orang awam supaya tidak menceroboh landasan dan mengambil risiko berbahaya untuk melintas," katanya.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Sang Saka Biru sudah siap siaga

Posted:

Sang Saka Biru sudah siap siaga

Sang Saka Biru sudah siap siaga

Oleh MOHD. TURMADZI MADUN
turmadzi.madun@kosmo.com.my

ZAHID (tengah) beramah mesra dengan barisan pemain dan pegawai pada majlis pengenalan skuad PDRM musim 2014 di Hotel Marriott di Putrajaya semalam.


KEJAYAAN membimbing Pahang menjuarai Piala Malaysia musim lalu membuatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini menagih sentuhan magis Dollah Salleh.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau tidak rela lagi melihat Sang Saka Biru menghuni tangga tercorot liga.

Sebaliknya, Zahid yang juga penaung skuad PDRM mahu anak-anak buahnya bangkit seterusnya menjuarai kempen Liga Premier musim ini.

"Jika kita jaga kebajikan pemain, mereka akan memberikan yang terbaik buat pasukan. Jadi orang tercorot merupakan perkara yang memalukan.

"Ini berdasarkan pengalaman saya ketika bersama pasukan Perak dan Angkatan Tentera Malaysia. Jika gaji, elaun serta bonus dibayar tepat pada waktunya, maka pemain akan gembira," katanya ketika berucap pada majlis pengenalan skuad PDRM musim 2014 di Hotel Marriott di Putrajaya semalam.

Pada majlis itu, PDRM yang mendapat penajaan daripada Kappa dan Perkasa Jauhari Sdn. Bhd., memperkenalkan 26 pemain termasuk empat awang import.

Dalam pada itu, Zahid menegaskan, beliau tidak akan 'memberi muka' kepada pemain atau pegawai yang terlibat dalam skandal mengatur perlawanan.

"Saya tahu, pengurusan terdahulu banyak yang tidak telus atau hanky-panky. Jadi saya tidak mahu perkara yang sama berulang.

"Jika berlaku juga, saya tahu hendak buat macam mana ke atas orang yang suka merosakkan pasukan," katanya.

Sementara itu, jurularih PDRM, Dollah Salleh (gambar kecil) berkata, sasaran untuk muncul sebagai juara Liga Premier musim ini adalah suatu tugasan yang berat.

"Jadi para pemain perlu bekerja keras bagi membentuk pasukan yang mantap," jelasnya.

Gergasi mahu kembali digeruni

Posted:

Gergasi mahu kembali digeruni

Gergasi mahu kembali digeruni

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my

DURAKOVIC (barisan belakang, bertali leher) bergambar bersama para pemain dan pegawai skuad Selangor di SACC semalam.


SELANGOR tidak mahu ketinggalan bersaing hebat dengan pencabar-pencabar utama dalam kancah Liga Malaysia (Liga M).

Kelantan letak sasaran satu piala

Posted:

Kelantan letak sasaran satu piala

Kelantan letak sasaran satu piala


ANNUAR (memakai topi) bergambar kenangan dengan para pemain dan pegawai skuad Kelantan di Perdana Resort, Kota Bharu semalam.


PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) meletakkan sasaran untuk meraih sekurang-kurangnya satu kejuaraan pada kempen Liga Malaysia (Liga M) musim ini, lapor YATIMIN ABDULLAH.

Penasihat KAFA, Tan Sri Annuar Musa berkata, sasaran itu tampak realistik bersandarkan kepada adunan pemain yang membarisi skuad The Red Warriors musim ini selain dibantu kepakaran yang dimiliki pengendali baharu, Steve Darby.

"Sejak empat tahun kebelakangan ini, Kelantan cukup sinonim dengan kejuaraan. Pada saya, hasrat kita untuk mengekalkan atau memenangi salah satu trofi yang dipertandingkan musim ini mampu direalisasikan.

"Bagi saingan Liga Super pula kita meletakkan sasaran dalam kelompok enam pasukan terbaik walaupun Kelantan dilihat berpeluang untuk berada di kedudukan kedua atau menjadi juara," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar pengenalan jersi baharu Kelantan jenama Warriors di Perdana Resort dekat Kota Bharu semalam.

Annuar memberitahu, tajaan yang diterima oleh KAFA dilihat cukup untuk menampung perbelanjaan badan induk itu bagi mengharungi saingan musim ini.

Katanya, beliau gembira kerana banyak pihak yang sedia menaja The Red Warriors sehingga terpaksa membuat pilihan untuk mengisi kuota tersebut.

"Alhamdulillah, jumlah RM8 juta yang diperlukan untuk menampung perbelanjaan pasukan berjaya dipenuhi hasil sumbangan daripada rakan-rakan penaja musim ini.

"Saya berterima kasih kepada semua penaja dan ia menguatkan lagi semangat para pemain Kelantan untuk memberikan persembahan terbaik dalam saingan musim ini," ujarnya.

Musim ini menyaksikan KAFA menerima tajaan daripada sembilan buah syarikat - Hotlink, Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Kumpulan Adabi, Syatikat Muda Osman, Tresenergy Sdn. Bhd., Sinar Harian, Konsortium E-Mutiara, Andida dan Bayam Hospitaliti.

Dalam perkembangan lain, Annuar berkata, harga tiket di Stadium Sultan Muhammad IV masih kekal sebagai tanda terima kasih kepada penyokong Kelantan.

"Cuma harga tiket yang dibeli secara bermusim ada sedikit kenaikan selaras dengan kemudahan disediakan oleh pihak KAFA," jelasnya.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Varia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Mural tokoh kelahiran Pulau Mutiara

Posted:

Mural tokoh kelahiran Pulau Mutiara

Mural tokoh kelahiran Pulau Mutiara


SENIMAN Tan Sri P. Ramlee antara tokoh yang dipilih dalam Projek The Silent Figures Project.




MURAL Awang Had dilukis pada dinding berdekatan laluan Teluk Kumbar menghala ke Balik Pulau.


SENI lukisan jalanan atau mural memberi ilham kepada sekumpulan pemuda di Pulau Pinang untuk mengabadikan wajah tokoh-tokoh penting negara untuk tatapan generasi muda.

Menerusi projek sosial, The Silent Figures Project (TSFP), misi mereka ialah supaya nama-nama besar ini tidak terus tenggelam sebaliknya dikenali menerusi tatapan visual.

Projek ini dibiayai oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Lebuh Acheh Interpretation Center dengan kerjasama Yayasan Islam Pulau Pinang (YIPP), Think City Sdn. Bhd. dan Galeri Chandan.

Sebagai permulaan TSFP memilih 12 tokoh terutamanya anak kelahiran Pulau Mutiara untuk dilakarkan oleh pelukis amatur di dinding beberapa jalan utama di negeri itu.

Kenal tokoh

Lakaran wajah tokoh pendidikan negara kelahiran Pulau Betong, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Awang Had Salleh misalnya, dilukis di laluan Teluk Kumbar menghala ke Balik Pulau.

Mural Seniman Agung Negara, Tan Sri P. Ramlee pula menghiasi dinding kosong di tepi Jalan Sultan Azlan Shah, George Town.

Tokoh-tokoh lain yang dipilih ialah Ahmad Nisfu, M. Zain, Syed Sheikh al-Hadi, Sheikh Tahir Jalaluddin, Abu Bakar Asyaari, Sheikh Uthman Jalaluddin, Sheikh Salleh Masri, Cikgu Abdul Razak, Cikgu Mohd. Noor dan Sheikh Abdullah Fahim.

Menurut Pegawai Tadbir YIPP, Mohd. Fitri Ibrahim, projek ini dicetuskan hasil penyelidikan pihaknya yang mendapati ramai kalangan generasi muda tidak mengenali tokoh penting dalam sejarah negara.

Jelas beliau, generasi muda sebenarnya berminat untuk mengetahui jasa dan latar belakang tokoh-tokoh negara tetapi mereka ketandusan sumber.

"Keadaan ini memberi ilham kepada TSFP untuk menterjemahkannya dalam bentuk lebih mudah, kreatif dan menarik menerusi lukisan mural.

"Lebih membanggakan, beberapa pelukis muda bersetuju menyumbangkan kreativiti mereka melakarkan mural.

"Kita mahu buktikan bahawa artis-artis muda tempatan juga mampu menghasilkan karya bertaraf antarabangsa," ujarnya.

Projek ini juga mampu mencantikkan ruang kosong di sekitar negeri ini sekali gus menjadi tarikan pelancongan baharu.

Setiap mural tokoh-tokoh ini dilukis di tempat berasingan tetapi strategik iaitu tidak jauh dari persimpangan yang sibuk bagi membolehkan pengguna jalan raya menikmati karya tersebut.

Mural Awang Had Salleh misalnya dihasilkan oleh seorang anak muda dari Johor.

Mohd. Fitri berkata, lukisan mural ini diharap mencetuskan perasaan ingin tahu dalam kalangan rakyat mengenai tokoh sejarah negara dan membentuk sikap cintakan tanah air menerusi seni kreatif. - ZAKI SALLEH

Penyediaan penyelesaian perniagaan dalam talian

Posted:

Penyediaan penyelesaian perniagaan dalam talian

Penyediaan penyelesaian perniagaan dalam talian

Tawaran eksklusif menggalakkan perniagaan elektronik untuk menggunakan perkhidmatan jalur lebar tertumpu.


KEE SIAK (kanan) bersalaman dengan Lee pada majlis taklimat berhubung kerjasama antara P1 dengan Exabytes di Kuala Lumpur baru-baru ini.


PENYEDIA pengehosan laman sesawang, Exabytes Network Sdn. Bhd. (Exabytes), mengumumkan kerjasama dengan peneraju perkhidmatan 4G pertama di Malaysia, Packet One Networks (Malaysia) Sdn. Bhd. (P1) dalam menyediakan perkhidmatan jalur lebar terkini untuk perniagaan dalam talian tempatan.

Menurut Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Exabytes, Chan Kee Siak, kerjasama tersebut juga menyediakan teknologi terkini yang membolehkan pengusaha menguruskan perniagaan mereka dengan lebih berkesan termasuk komunikasi dengan pelanggan.

"Bagi kesemua perkhidmatan komunikasi dan pakej penyelesaian hubungan yang dilanggan Exabytes, P1 akan menawarkan mereka penjimatan tambahan daripada segi panggilan suara, pemasangan percuma, bayaran sewa talian dan peralatan berkaitan.

"Ia merupakan satu penyelesaian hubungan tertumpu yang membenarkan pelanggan kami berada dalam talian dan memulakan operasi perdagangan elektronik (e-Dagang), pada masa yang sama menguruskan penggunaan jalur lebar dan panggilan suara dengan lebih baik," katanya ketika ditemui pada majlis taklimat mengenai kerjasama kedua-dua pihak di Hotel Hilton, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Komersial P1, Kelvin Lee.

Kee Siak memaklumkan, kerjasama itu berhasrat untuk mengembangkan sektor e-Dagang tempatan melalui penyediaan perkhidmatan suara dan internet.

"Hubungan merupakan elemen teras dalam perniagaan dalam talian. Ini menjadi lebih penting dengan peningkatan saingan perniagaan pada hari ini.

"Kerjasama dengan P1 akan membantu perniagaan elektronik ini untuk mencapai tahap perniagaan dan perkhidmatan yang lebih baik," ujarnya.

Sementara itu, Lee berkata, usaha sama strategik itu juga membolehkan pihak P1 mencapai lebih 60,000 pelanggan Exabytes dalam ruang perniagaan dalam talian, di samping ribuan pedagang laman web Easy.my yang merupakan salah satu platform peruncitan dalam talian yang dikendali Exabytes.

"Menurut kajian Euromonitor International, pasaran e-Dagang Malaysia dijangka tumbuh pada kadar yang pesat, daripada RM842 juta pada tahun 2011 kepada RM1.9 bilion menjelang tahun 2016.

"Kami berharap lebih banyak perniagaan akan berada dalam talian dan menggunakan nilai teknologi hubungan tertumpu yang disediakan untuk menjalankan perniagaan dengan lebih efisien dan seiring dengan penggiat dalam pasaran antarabangsa," ujarnya.

Menerusi kerjasama itu juga, dijangka lebih 70,000 pelanggan Exabytes dan 25,000 pelanggan P1 bakal mendapat pakej istimewa yang akan diumumkan tidak lama lagi.

Tuah setia guna jenama Scotch-Brite

Posted:

Tuah setia guna jenama Scotch-Brite

Tuah setia guna jenama Scotch-Brite


DARI KIRI: Lay Hua bergambar bersama para pemenang Peraduan Padan dan Menang Scotch-Brite iaitu Safial Eqbal Zakaria, Chooi Lee dan Abdul Aziz Mohd. Soffian serta wakil AEON, Mohd. Fauzi Salim.


SIAPA sangka kesetiaan seorang suri rumah berusia 50 tahun terhadap penyental berjenama Scotch Brite sejak diperkenalkan ibunya ketika remaja membuka peluang kepadanya untuk membawa pulang hadiah utama Peraduan Padan dan Menang Scotch-Brite yang diadakan baru-baru ini.

Tee Chooi Lee mengakui sudah arif dalam setiap fungsi rangkaian produk pembersihan itu, sekali gus membolehkan dia membawa pulang hadiah berupa baucar beli-belah bernilai RM3,000 dalam peraduan yang menuntut peserta memadankan penggunaan betul penyental Scotch-Brite.

"Sejak membantu ibu di dapur sehingga saya sendiri bergelar seorang ibu, tidak pernah dalam fikiran saya terfikir untuk memperoleh hadiah lumayan ini. Apatah lagi dengan hanya setia pada satu produk penyental sahaja.

"Pada mulanya hasrat menyertai pertandingan ini sekadar mengisi masa lapang. Lagipun, soalan yang perlu diselesaikan tidak membebankan," katanya dalam satu kenyataan di sini baru-baru ini.

Sementara itu, Pengurus Besar Kumpulan Perniagaan Pengguna, 3M Malaysia Sdn. Bhd. (3M Malaysia), Kek Lay Hua berkata, kajian pensyarah kanan dalam bidang mikrobiologi perubatan di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Jamal Houssaini baru-baru ini mendedahkan bahawa peralatan dapur yang tercalar atau sumbing mampu menyumbang kepada pengumpulan bakteria sehingga mengakibatkan penyakit dan keracunan makanan.

"Kajian berkenaan menjelaskan pengumpulan bakteria berlaku di permukaan peralatan dapur yang tercalar. Ia juga dipengaruhi oleh penggunaan penyental yang salah.

"Oleh itu, kajian tersebut membuktikan bahawa penyental yang tidak mencalarkan mana-mana permukaan peralatan dapur adalah pilihan paling tepat kerana ia telah diuji mampu membersihkan permukaan tanpa meninggalkan kesan calar dan menghindar kehadiran bakteria," jelasnya.

Lay Hua memaklumkan, kesedaran terhadap penggunaan penyental yang betul masih kurang dalam kalangan pengguna di Malaysia.

"Jenama Scotch-Brite menawarkan penyental untuk segala permukaan termasuk periuk, kuali yang diperbuat daripada keluli tahan karat serta alatan dapur yang diperbuat daripada kaca dan seramik," katanya.

Beliau memaklumkan, peraduan Peraduan Padan dan Menang Scotch-Brite yang telah diadakan dengan kerjasama syarikat peruncit terkemuka, AEON Co. (M) Bhd. (AEON), itu bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan pengguna mengenai kepentingan menggunakan penyental yang betul demi memastikan peralatan dapur berada dalam keadaan yang baik.

Peraduan tersebut menawarkan hadiah sehingga RM7,000 dalam bentuk baucar tunai AEON kepada lapan pemenang bertuah dan menerima sambutan yang menggalakkan daripada peserta di seluruh negara.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online


Gempa sederhana melanda pantai barat Sumatra Utara

Posted:

Gempa sederhana melanda pantai barat Sumatra Utara

Gempa sederhana melanda pantai barat Sumatra Utara

14/01/2014 10:49pm

KUALA LUMPUR - Gempa bumi sederhana berukuran 5.1 pada skala Richter berlaku di luar pantai barat Sumatra Utara, pada pukul 6.36 petang hari

ini.

Jabatan Meteorologi dalam satu kenyataan berkata pusat gempa ialah di 211 kilometer sebelah barat daya Simeulue, Indonesia, dan 755 km sebelah tenggara Lumut, Perak.

Sementara itu, jurucakap jabatan itu berkata, mereka tidak menerima

sebarang laporan mengenai kejadian gempa di Semenanjung. - Bernama

Penganut Hindu di Kelantan minta Thaipusam dijadikan cuti umum

Posted:

Penganut Hindu di Kelantan minta Thaipusam dijadikan cuti umum

Penganut Hindu di Kelantan minta Thaipusam dijadikan cuti umum

14/01/2014 10:43pm

KOTA BHARU - Penganut agama Hindu di Kelantan memohon kerajaan negeri mewartakan perayaan Thaipusam sebagai hari cuti umum di negeri ini.

Pengerusi MIC Kelantan, M.Kuppusamy berkata, langkah itu bagi membolehkan penganut Hindu di negeri itu menyambutnya tanpa perlu memohon cuti.

"Kita akan membuat permohonan secara bertulis kepada kerajaan negeri bagi membolehkan sambutan Thaipusam dijadikan cuti umum pada tahun hadapan," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Tambahnya, sambutan Thaipusam Jumaat ini akan diadakan di Tumpat dengan dihadiri lebih 500 orang penganut agama Hindu di negeri itu.

Ahad lepas, kerajaan Kedah telah mengumumkan Jumaat ini sebagai cuti peristiwa negeri Jelapang Padi itu bersempena sambutan perayaan Thaipusam. - Bernama

Jumlah mangsa banjir di jajahan Pasir Mas terus berkurangan

Posted:

Jumlah mangsa banjir di jajahan Pasir Mas terus berkurangan

Jumlah mangsa banjir di jajahan Pasir Mas terus berkurangan

14/01/2014 10:44pm

KOTA BHARU - Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan jajahan Pasir Mas berkurangan malam ini kepada 1,968 orang

berbanding 2,076 orang petang tadi.

Menurut portal e-Banjir, mangsa banjir daripada 819 keluarga itu ditempatkan

di sembilan pusat pemindahan sementara di sekitar Rantau Panjang.

Setakat pukul 9 malam ini, paras air Sungai Golok di Rantau Panjang turun kepada 9.93 meter berbanding 10.03 meter petang tadi, namun masih di atas paras bahaya iaitu 9 meter.

Jalan-jalan dinaiki air yang masih ditutup untuk kenderaan ringan ialah

jalan alternatif Rantau Panjang ke Jeli di Panglima Bayu, Jalan Pasir Mas-Pohon

Tanjung-Rantau Panjang di Kilometer 11 dan Kilometer 3 Jalan Pengkalan Rakit. - Bernama

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Dunia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


Bangkok umpama kubu

Posted:

Bangkok umpama kubu

Bangkok umpama kubu

TIMBUNAN guni pasir diletakkan oleh kumpulan penunjuk perasaan antikerajaan di sebuah persimpangan di Bangkok.


BANGKOK - Beribu-ribu penunjuk perasaan antikerajaan menawan jalan-jalan utama di Bangkok semalam dalam usaha untuk melumpuhkan bandar raya berkenaan, sekali gus mendesak Perdana Menteri sementara, Yingluck Shinawatra meletak jawatan.

Kumpulan penunjuk perasaan membanjiri persimpangan utama di Bangkok dan membina pentas ceramah, khemah dan gerai-gerai yang menawarkan makanan percuma untuk para peserta.

Mereka juga berikrar untuk menawan lokasi-lokasi utama di Bangkok sehingga Yingluck meletak jawatan dan mengancam untuk mengganggu pilihan raya umum yang dijadualkan pada Februari depan.

"Hari ini (semalam) akan tertulis dalam sejarah Thailand," kata ketua penunjuk perasaan tersebut, Suthep Thaugsuban dalam satu bantahan malam kelmarin.

Beliau yang pernah menjadi timbalan perdana menteri juga berikrar untuk meluaskan bantahan berkenaan bagi melumpuhkan bandar berkenaan sehingga kerajaan sedia ada tumbang.

Para penunjuk perasaan itu cuba memaksa Yingluck meletak jawatan dengan sebuah kerajaan sementara dibentuk untuk melaksanakan pembaharuan bagi menamatkan rasuah dan poli- tik wang di Thailand.

Mereka juga mahu menggagalkan pilihan raya umum lebih awal yang diumumkan oleh Yingluck pada 2 Februari depan kerana bimbang pemimpin yang mempunyai kaitan dengan bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra kembali berkuasa.

Para penunjuk perasaan itu menuduh Yingluk menjadi boneka kepada Thaksin yang juga abangnya.

Thaksin pernah digulingkan dalam rampasan kuasa tentera pada 2006 selepas kerajaannya dicemari dengan penyalahgunaan kuasa dan rasuah.

Namun, Thaksin kini hidup dalam buangan dan akan dihukum penjara dua tahun jika kembali ke Thailand selepas didapati bersalah melakukan penyalahgunaan kuasa semasa menjadi Perdana Menteri. - Agensi

Banjir landa Jakarta

Posted:

Banjir landa Jakarta

Banjir landa Jakarta


GAMBAR menunjukkan sebuah kawasan yang dilanda banjir di Jakarta semalam.


JAKARTA - Seramai 5,000 orang di Jakarta terpaksa dipindahkan apabila hujan lebat selama beberapa hari menyebabkan beberapa lokasi di bandar raya berkenaan dinaiki air, lapor akhbar Jakarta Post semalam.

Jurucakap Agensi Mitigasi Bencana Kebangsaan, Sutopo Purwo Nugroho berkata, hujan lebat sejak beberapa hari lalu menyebabkan paras air sungai di bandar raya berkenaan melimpah.

Katanya, di bahagian barat Jakarta, air naik setinggi empat meter dan keadaan dijangka bertambah buruk kerana hujan lebat bakal berterusan selama beberapa hari lagi.

"Penduduk yang berpindah itu ditempatkan di 23 buah pusat pemindahan yang disediakan oleh kera- jaan," katanya.

Kejadian itu juga dianggap sebagai salah satu ujian kepada Gabenor Jakarta yang popular, Joko Widodo yang sebelum ini berjanji menyelesaikan masalah banjir di bandar raya berkenaan. - Agensi

Israel beri penghormatan terakhir kepada Sharon

Posted:

Israel beri penghormatan terakhir kepada Sharon

Israel beri penghormatan terakhir kepada Sharon


BENTUK kubur Sharon di sebelah kubur isterinya di ladang miliknya dekat Sderot, selatan Israel.


BAITULMUQADDIS - Para pegawai Israel dan beberapa pemimpin dunia hadir bagi memberi penghormatan terakhir kepada bekas Perdana Menteri ke-11 Israel, Ariel Sharon (gambar) sebelum pemimpin yang turut dikenali sebagai 'Penyembelih Beirut' itu dikebumikan di ladang miliknya di selatan Israel.

Keranda yang mengandungi mayat Sharon diletakkan di luar bangunan parlimen Israel untuk majlis penghormatan terakhir yang turut dihadiri oleh Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden dan bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair

Turut hadir pada upacara itu ialah Perdana Menteri Republik Czech, Jirí Rusnok dan seorang pegawai diplomat dari Mesir.

Selepas upacara itu, keranda yang mengandungi mayat Sharon dibawa menaiki kereta menuju ke sebuah ladang miliknya di selatan Israel untuk dikebumikan.

Mayat Sharon dikebumikan di sebelah kubur isteri- nya, Lily.

"Mendiang merupakan salah seorang pahlawan terbilang Israel dan kematiannya merupakan suatu kehilangan yang besar kepada negara,'' kata Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dalam majlis itu.

Pemimpin Yahudi yang digelar sebagai 'Penyembelih Beirut' itu koma selepas diserang strok dan pendarahan otak pada 4 Januari 2006 semasa berkempen untuk partinya menjelang pilihan raya umum di Israel.

Beliau yang merupakan seorang bekas jeneral, menjadi Perdana Menteri Israel dari tahun 2001 hingga 2006.

Sharon yang terkenal kerana kekejamannya, pernah dikutuk oleh masyarakat antarabangsa berhubung pembunuhan beramai-ramai penduduk Palestin di Beirut, Leba- non pada tahun 1982. - Agensi

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Bukan sekadar Raja Soundtrack

Posted:

Bukan sekadar Raja Soundtrack

Bukan sekadar Raja Soundtrack

BARISAN anggota Hyper Act terdiri daripada (dari kiri), Etan, Freddy, Ronnie, Toi, Akir dan Labib.


SERING dilabel penyanyi runut bunyi (OST), band Hyper Act tidak mudah melatah. Malah, mereka selesa dilabelkan sebegitu dan melihat penilaian peminat melangkaui ekspektasi dari sudut positif.

Mengakui kebenaran situasi tersebut, ujar vokalis band itu, Ronnie atau nama sebenarnya, Shahron Hussein, karya-karya yang dipilih untuk menjadi runut bunyi beberapa buah drama rantaian popular televisyen sedikit sebanyak membantu memberikan publisiti dan populariti pantas.

"Kebetulan sebenarnya apabila lagu-lagu yang kami cipta dipilih untuk menjadi runut bunyi beberapa buah drama popular dan usaha sama ini melibatkan matlamat kedua-dua belah pihak.

"Kami sebagai band yang menghasilkan lagu-lagu tersebut mendapat platform untuk dikenali dan pada masa sama karyawan drama memerlukan lagu yang sedap untuk didengar dan dimuatkan dalam drama mereka," ujarnya.

Tidak kisah andai dilabelkan Raja Soundtrack, Ronnie bagaimanapun menjelaskan, bukan strategi utama bandnya untuk menyumbangkan lagu untuk runut bunyi semata- mata.

"Lagu yang dicipta juga bergantung kepada kualitinya, kalau lagu itu berkualiti ia akan diterima baik oleh pendengar, Alhamdulillah dipilih menjadi lagu runut bunyi adalah peringkat promosi awal sebelum menembusi corong radio.

"Kami bergantung kepada permintaan pihak produksi drama yang inginkan kami menyumbangkan lagu untuk mereka, bukan main terima saja kerana kami pun ada strategi sendiri untuk memasarkan produk kami.

"Sasaran kami sebenarnya hanya sebuah lagu runut bunyi dalam tempoh setahun," katanya yang mengakui kini masih disunting oleh beberapa buah rumah produksi untuk memainkan lagu ciptaan mereka dalam masa terdekat.

Lagu Inggeris

Hyper Act yang ditubuhkan pada tahun 2009 di Johor asalnya hanya memainkan lagu-lagu berbahasa Inggeris sebelum disunting untuk merakam alabum dan mula berjinak berkarya dalam arus muzik semasa bahasa Melayu.

"Bermula daripada lagu Harapan, permintaan untuk kami mencipta lagu bahasa Melayu semakin bertambah dan kami mulai selesa.

"Malah, sekarang pun kami menilai progres band kami dalam meneroka pasaran muzik bahasa Melayu sebagai satu eksperimen yang mungkin ada sahaja risiko pada masa akan datang," tambahnya.


HYPER ACT bercita-cita mahu mencipta nama dan populariti setanding Wings dan Search.


Hyper Act pernah menghasilkan lima buah single bahasa Inggeris antaranya Shine, Battle dan Memories.

Ditanya mengenai sasaran jangka panjang dan kekuatan Hyper Act sebagai sebuah band yang mampu mengekalkan kerjasama sebagai sebuah pasukan, mereka kekal optimis.

"Kami mahu berkarya selagi mampu dan selagi boleh diterima ramai. Seboleh-bolehnya kami mahu menjadi seperti kumpulan Wings atau Search yang mana muzik mereka boleh didengar dalam jangka masa yang panjang

"Masing-masing sudah faham peranan masing-masing, jadi tidak timbul isu kumpulan ini mudah goyah dan senang berpecah.

"Lagipun, sudah lima tahun kami bersama-sama cuma yang berubah adalah konsep serta jiwa kepada muzik," ujarnya yang pernah mencipta lagu untuk Asmidar, Mohd. (Mentor) dan band Kristal.

Selain Ronnie, band Hyper Act dianggotai oleh lima anak muda berusia antara 25 hingga 37 tahun iaitu Toi atau nama sebenarnya Khairul Nizam Baharom selaku pemain bass, Etan (Shahrizan Syarifudin, gitaris), Labib (Zamri Haron, dram), Akir (Md. Zakir Rahizan, keyboard) dan Beby (Freddy Ady Putra Adnan, gitar utama).

AJL 28

Selain Harapan, lagu Ku Tiba Lagi terpilih sebagai OST dalam setiap episod drama Bunga April di TV3 manakala lagu Cinta untuk drama Antara Kita lakonan Anne Ngasri dan Aliff Aziz di TV1.

Sedang hangat diputarkan di radio, lagu Kayangan yang menjadi OST filem Laga dan single hits Hanya Aku yang pernah menjadi runut bunyi drama bersiri Teduhan Kasih lakonan mantap Adi Putra dan Sherry Ibrahim.

Malah, single Hanya Aku berjaya mendapat tempat untuk beraksi di pentas akhir Anugerah Juara Lagu ke-28 (AJL 28) pada 26 Januari ini di Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur selepas percubaan pertama tahun lalu menerusi lagu Harapan gagal.

"Kami bersyukur dan gembira kerana akhirnya dapat bertanding pentas akhir AJL selepas percubaan kali kedua, memang gemuruh kerana pentas ini berprestij dan menjadi kayu pengukur kecemerlangan sesebuah lagu atau penyanyi.

"Kelainan kali ini adalah kami akan beraksi bersama-sama 48 orang pemain orkestra dan sedang sibuk berlatih bersama, malah kami tidak akan tampil dengan gimik membawa hero dan heroin drama Teduhan Kasih pun sebab pasti penonton sudah menjangkakannya," celah Toi.

Menerapkan elemen Game On untuk konsep persembahan AJL 28 tahun ini, tambah Toi, mereka akan lebih memfokuskan manipulasi grafik dan pencahayaan pentas.

Selain sibuk dengan persiapan menjelang AJL 28, Hyper Act kini sedang menyiapkan album pertama mereka yang memuatkan lapan buah lagu antaranya Harapan, Impian, Ku Ikat Setia dan Kayangan.

Album itu dijangka siap pada hujung bulan Januari ini dan dilancarkan pada Februari depan.

AJL 28 bertemakan Game On

Posted:

AJL 28 bertemakan Game On

AJL 28 bertemakan Game On


SEBANYAK 12 pencalonan akhir AJL 28 bersedia untuk bertanding pada final yang berlangsung pada 26 Januari ini.


BERBEZA daripada penganjuran Anugerah Juara Lagu (AJL) tahun-tahun terdahulu, kali ini anugerah yang memberikan pengiktirafan kepada komposer dan penulis lirik lagu tempatan memperkenalkan konsep Game On sebagai tema utama.

Elemen Game On kata Pengurus Besar Kumpulan TV3 & TV9, Sherina Mohamed Nordin, akan direalisasikan menerusi grafik dan susunan imej bersama persembahan 12 finalis yang akan berentap pada peringkat akhir nanti.

"Tema tahun ini menarik sebenarnya untuk dilaksanakan dan mencabar kreativiti finalis agar lebih berimaginasi. Walaupun pertama kali tema sebegini diperkenalkan, rasanya tiada masalah untuk kesemua finalis mengikut tema yang telah ditetapkan.

"Tema ini tiada kena mengena dengan muzik tapi lebih pada konsep persembahan finalis, kami membenarkan kreativiti asalkan bersesuaian," ujarnya yang ditemui pada majlis sidang akhbar Anugerah Juara Lagu ke-28 (AJL 28) di Hotel Empire, Subang, Selangor baru-baru ini.

Ujarnya, tiada bantahan dibangkitkan berhubung tema Game On yang telah ditetapkan untuk AJL 28 kali ini dan perbincangan dengan finalis juga telah dilaksanakan dan dipersetujui sepenuhnya.

Dalam pada itu, Sherina menegaskan, tiada juri jemputan dari luar negara untuk mengadili peringkat akhir AJL 28 tahun ini dan pihaknya tidak merancang untuk menjemput juri luar seperti yang dilaksanakan tahun lepas dengan menjemput Hetty Koes Endang.

"Tiada isu perlu dibangkitkan berhubung penjurian kali ini kerana AJL 28 menggunakan khidmat juri tempatan sepenuhnya.

"Lagipun, industri kita sudah cukup barisan penggiat seni yang mampu mengadili sendiri persembahan artis-artis tempatan," tambahnya.

AJL 28 juga menampilkan muka baharu sebagai hos utama sepanjang acara berlangsung iaitu AG dan Scha Al-Yahya.

Ujar Sherina lagi, penambahbaikan itu dibuat memandangkan kesesuaian dan kebolehan yang ditonjolkan kedua-dua pengacara tersebut sepanjang mengendalikan Muzik Muzik sepanjang tahun 2013.

"AG dan Scha Al-Yahya telah mengendalikan Muzik Muzik dengan berjaya dan menghiburkan, malah kedua-duanya selesa bersama dan tahu latar belakang produk dengan mendalam," katanya.

AJL pernah dihoskan oleh Faizal Ismail, Cheryl Samad, Ally Iskandar dan Fara Fauzana sebelum ini manakala AG dan Scha Al-Yahya mula mengacarakan rancangan Muzik Muzik bermula awal tahun 2013 hingga sekarang.

Menarik mengenai AJL 28 tahun ini, persembahan pembukaan akan dibawakan secara konsep battle vokal dan tarian oleh Shila Amzah dan Mus May manakala segmen interlude mengetengahkan muzik hip hop menggandingkan penyanyi baharu dan lama antarnaya W.A.R.I.S, Datuk M. Daud Kilau, Ziana Zain, Ahli Fiqir dan One Nation Emcees.

Juara Lagu 28 akan memenangi trofi dan wang tunai RM35,000 manakala naib juara dan tempat ketiga akan meraih wang tunai RM15,000 dan RM10,000. Persembahan terbaik pula akan memenangi RM10,000 dan vokal terbaik RM10,000.

AJL 28 akan disiarkan secara langsung di TV3 dari Stadium Putra, Bukit Jalil bermula pukul 9 malam pada 26 Januari nanti. - KHAIRUL AMRI HASSAN

Ubat rindu Ning

Posted:

Ubat rindu Ning

Ubat rindu Ning

SETELAH kecundang dengan album eksperimentalnya yang berjudul Dewa pada tahun 2011, Ning Baizura kembali mengubati rindu peminat menerusi album kompilasi lagu-lagu hit berjudul Kekal.

Mempertaruhkan 11 buah lagu termasuk empat lagu baharu, Ning begitu teliti dalam menyampaikan koleksi lagu-lagu terbaiknya dalam sebuah album.

Trek Pelangi Untukmu merupakan sebuah lagu saduran yang dialih bahasa daripada lagu Inggeris popular, Somewhere Over The Rainbow. Lagu yang khas ditujukan untuk anak lelakinya ini kedengaran begitu lembut dan sangat sesuai untuk dijadikan lagu dodoian anak kecil.

Bukan Wanita Sempurna hasil ciptaan sepenuhnya Alwin Santiago ternyata memberikan dimensi baharu buat Ning bagi memperdengarkan sisi berbeza dalam dirinya.

Bijak bermain dengan emosi, lagu ini kedengaran sempurna pertama kali diperdengarkan sebagai halwa telinga.

Lagu-lagu lain yang turut dimuatkan dalam album ini termasuklah Curiga, Pasti, Kau Dan Aku, Ke Sayup Bintang, Penjara Kasih, Dugaanku, In Another Life dan Antara Kita (menampilkan Russell Curtis).

Bagi peminat tegar Ning, album kompilasi yang mengandungi lagu-lagu hit malar segar penyanyi berkulit hitam manis ini pasti membuai perasaan anda dalam mengenang memori indah yang ada pada setiap lagu. - IZWAN MOHD. ISA

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Rencana Utama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Amalan sunah pelengkap kehidupan

Posted:

Amalan sunah pelengkap kehidupan

Amalan sunah pelengkap kehidupan

SETIAP malam sebelum tidur, Mohd. Naufal Hakim, 15, akan mengibas tilamnya menggunakan selimut sebanyak tiga kali, membaca doa tidur sebelum dikukuhkan lagi dengan surah tiga Qul dan al-Fatihah.

Jika sebelum ini amalan itu sekadar rutin harian sebelum melelapkan mata, ternyata perbuatan lazim itu adalah antara sunah Rasulullah SAW yang tidak pernah diketahuinya.

Bercita-cita mahu menjadi seorang hafiz, penuntut Akademi Tahfiz al-Quran Cinta Madinah di Beranang, Selangor itu mengamalkan kehidupan persis yang disaran Baginda.

Satu perkataan yang sering dilafazkan dari bibir anak muda yang mula mendalami al-Quran sejak tiga tahun lalu itu ialah ketenangan.

Katanya, rutin harian dan amalannya lebih tersusun, malah jauh di lubuk hatinya dipenuhi dengan keyakinan terhadap Tuhan yang Esa serta cinta kepada Nabi Muhammad SAW.

"Sebenarnya terlalu banyak amalan harian yang sering kita lakukan sebelum ini berkait rapat dengan sunah Rasulullah SAW.

"Berdasarkan pengalaman saya, perkara asas yang menyebabkan kita gagal mengetahui tentang sesuatu amalan sunah itu kerana cetek ilmu. Walhal sunah nabi dalam kehidupan kita sentiasa selari di samping mudah diamalkan," katanya ketika ditemui Kosmo!. Sunah ialah perbuatan atau perkataan yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW.

Tidak kekok

Antara kelebihan mereka yang mengamalkan sunah Rasulullah SAW ialah mendapat syafaat daripada Baginda di akhirat kelak dan keberkatan hidup.

Mohd. Naufal memberitahu antara amalan sunah Rasulullah yang paling digemarinya ialah makan dalam dulang bersama rakan. Amalan itu disifatkan antara cara terbaik dalam mengeratkan ukhuwah sesama Islam.


ILMU mengenai sunah Rasulullah SAW amat penting sebelum mengamalkannya.


"Sebelum belajar di sini, saya sering menyaksikan pendakwah dan jemaah masjid serta surau berkongsi makanan dalam dulang yang sama.

"Kalau dahulu, saya melihat situasi itu sesuatu yang sangat asing dan pelik. Namun kini, ia adalah antara saat yang paling saya nantikan," jelasnya lagi.

Sementara itu, keletah seorang kanak-kanak bertubuh genit asyik menyugi gigi dan kadangkala dilihat menggigit kayu sugi sehingga tertunduk membuatkan ruangan kuliah dipenuhi suara nakal gelakan sinis pelajar.

Mempunyai wajah keanak-anakan, Muhammad Adib Ahmad, 12, sanggup merantau jauh dari Tapah, Perak semata-mata untuk bergelar ahli al-Quran.

Muhammad Adib ketika ditemui mengakui tidak kekok dengan rutin yang diamalkan sepanjang menghafaz al-Quran, sebaliknya lebih terkesan dengan cara yang diterapkan di akademi itu.

Ujarnya, antara amalan sunah yang cukup memberi keinsafan terhadap dirinya ialah bangun sepertiga malam untuk menunaikan solat sunat tahajud.

Adab tidur

"Sebelum mengamalkan cara hidup Rasulullah SAW, saya tidak pernah menyangka bahawa sebelum dan semasa tidur pun ada adab yang perlu diikuti. Apatah lagi difahamkan perlunya menjaga aurat ketika tidur.

"Tidur mengikut cara Nabi Muhammad SAW itu juga dianggap ibadah. Kalau tidur mengiring ke kanan ia berfungsi menjaga jantung dan pernafasan. Kalau ketika tidur kemudian terjaga, bangun dan bersugilah sebelum beribadah. Besar rahmatnya, kita bersugi mengikut sunah Nabi Muhammad SAW kerana dikhabarkan pahala lebih 70 kali ganda akan diberikan," tutur anak muda itu.

Baru memasuki akademi berkenaan kira-kira enam hari yang lalu, Muhammad Adib yang mahu bergelar pendakwah sekali gus memastikan setiap umat Islam dan mereka yang menyayangi Rasul mengamalkan sunah Baginda SAW.

"Rugi kepada mereka yang tidak menyedari betapa besarnya rahmat dalam setiap amalan sunah yang menjadi amalan.

"Contohnya, pernahkah kita tahu membasuh kedua-dua tangan sebelum makan, makan menggunakan tangan kanan dan keluar rumah dengan langkah kanan sebenarnya sunah Rasulullah?" tanyanya.


MAKAN bersama dalam dulang adalah sunah Rasulullah SAW.


Tanggungjawab Muslim

Hakikatnya, semua madrasah atau pusat menuntut ilmu berkonsepkan Islamik mewujudkan persekitaran kehidupan mengikut saranan agama.

Namun, cabaran masyarakat masa kini ialah bagaimana mahu mengamalkan sunah berkenaan dalam situasi yang menuntut manusia menumpukan kehidupan duniawi atas desakan hidup yang semakin tinggi.

Keadaan lebih meruncing apabila kehidupan umat Islam pada akhir zaman ini bertembung dengan pelbagai ideologi sekali gus amalan sunah adakalanya menjadi satu cabaran.

Misalnya menyimpan janggut. Meskipun ia sebenarnya sunah Rasulullah, namun ada pihak yang lain beranggapan golongan seperti ini dengan pelbagai label negatif seperti pengganas.

Kepada Aina Mastura Mohamed Saaid, 26, yang bertugas sebagai Penolong Pegawai Perkhidmatan Pelanggan di Kingsley International School, Putra Heights, Subang Jaya, Selangor berkata, menjadi tanggungjawab seorang Muslim mengamalkan sunah Nabi.

"Hari ini kita terlalu sibuk dengan kehidupan dunia apatah lagi dengan kos sara hidup yang makin meningkat memaksa kita bekerja lebih masa untuk meneruskan survival kehidupan.

"Tetapi, saya yakin sunah Nabi sering berkait rapat dengan kehidupan kita. Contohnya menghormati orang tua, dan membantu mereka yang kurang upaya, semua itu sunah. Malah senyuman juga dianggap sebagai sedekah.

"Justeru, mengapa kita perlu rasa terbeban sedangkan mengikut sunah adalah tanda kasih sayang dan kecintaan kita terhadap Baginda? soal Aina Mastura panjang lebar.

Lain pula kisah Mustafa Akmal Ariffin, 35. Beliau memilih untuk mendalami sunah Rasulullah SAW melalui pengajian ilmu Usrah Fitrah pada setiap hari Isnin dan kelas ta'lim yang diadakan setiap hari Jumaat selepas solat Isyak di Masjid Muadz Bin Jabal, Setiawangsa, Kuala Lumpur.

Pengajian yang dikendalikan oleh Habib Ali Zainal Abidin Al-Hamid itu banyak menerangkan perkara berkaitan amalan sunah Rasulullah SAW.

Kakitangan syarikat wasta itu tidak mempunyai sebarang masalah untuk menghadiri kelas berkenaan kerana berpegang kepada konsep istiqamah.

Jelasnya, untuk melahirkan rasa cinta terhadap Nabi Muhamamd SAW, sunah Baginda seharusnya dijadikan amalan.

"Baginda sangat meminati warna putih dan hijau, maka saya seboleh-bolehnya akan memakai pakaian warna putih terutama pada hari Jumaat.

"Dahulu saya tidak pernah tahu memakai pakaian berwarna putih itu sudah mengikut sunah Nabi Muhammad SAW. Benar, untuk mengamalkan sunah nabi itu mudah, tetapi kita sebagai manusia perlu ada sifat istiqamah," katanya.

Katanya lagi, tidak wajar jika umat Islam berpendapat mengingati Nabi Muhammad SAW itu hanya ketika sambutan Maulidur Rasul sahaja atau bermusim.

"Ramai orang berkata kepada saya, sunah itu adalah perkara sunat. Jadi, jika tidak melakukannya tidak mengapa. Namun ramai yang terlupa bahawa amalan sunah itu melengkapkan setiap perkara yang wajib.

"Jadi marilah kita menyelitkan dan berniat melakukan setiap sunah Nabi sebagai tanda kecintaan kita kepada Rasulullah di samping mengharapkan syafaat Baginda ketika di akhirat kelak," jelasnya.

Merentasi sempadan gunung berapi suci

Posted:

Merentasi sempadan gunung berapi suci

Merentasi sempadan gunung berapi suci


WARGA Korea menganggap lawatan ke Gunung Changbai sebagai lawatan suci kerana percaya ia tapak bermulanya warisan mereka.


TEMPAT paling spiritual bagi masyarakat Korea ialah sebuah gunung berapi yang terkenal dengan pelbagai mitos dan legenda. Namun, sejak semenanjung itu terpisah beberapa dekad lalu, mereka yang teringin untuk melihatnya perlu mengembara ke China terlebih dahulu.

Puncak yang dikenali sebagai Changbai dalam bahasa Cina dan Paektu dalam bahasa Korea, turut memaparkan sebuah kawah tasik yang menakjubkan di sempadan China-Korea Utara.

Bas-bas pelancongan kecil melalui jalan sempit yang bersimpang siur sebelum menurunkan pelancong Korea Selatan untuk berjalan kaki ke tebing kawah bagi membolehkan mereka melihat pemandangan Korea Utara yang terlarang dan mengimpikan satu penyatuan pada masa akan datang.

"Penyatuan!" jerit seorang lelaki Korea Selatan yang sedang berdiri di kawasan itu. Dia salah seorang daripada beribu-ribu orang yang melakukan kunjungan keagamaan itu setiap tahun di situ.

Berdasarkan mitos Korea, Dangun, yang mengasaskan kerajaan pertama negara itu pada 2333 Sebelum Masihi, dilahirkan di atas gunung itu oleh seorang wanita yang berubah daripada seekor beruang kepada seorang wanita.

Menurut Biro Pelancongan tempatan, destinasi itu dikunjungi oleh kira-kira 137,000 pelancong asing pada tahun lalu, dengan lebih separuh daripada mereka dipercayai dari Korea Selatan.

"Tempat ini sangat suci," kata Choi Byung-Eui yang mengembara bersama bapanya dari bandar di Korea Selatan, Gyeongju.

Langkahnya terhenti apabila angin bertiup kencang di tebing dan menghilangkan awan tebal yang menutupi kawah, sekali gus membolehkannya menikmati keindahan alam di situ.

"Saya begitu kecewa dan sedih kerana ramai orang terpisah akibat peperangan Korea. Kedua-dua Korea harus menjadi satu," kata beliau.

Puncak yang berada pada ketinggian kira-kira 2,750 meter merupakan gunung yang tertinggi di kedua-dua semenanjung Korea dan timur laut China. Ia juga merupakan sumber air Sungai Yalu dan Tumen iaitu antaranya merupakan sempadan China dan Korea Utara.

Harimau berkeliaran

Air di dalam kawah berkenaan dikenali sebagai Tianchi dalam bahasa Cina atau Tasik Syurga. Di sini, beberapa harimau Amur yang terancam kelihatan berkeliaran di cerun-cerun dan bukit di banjaran Changbai yang terbentang luas itu.

Korea Selatan menggelarnya Baekdu. Dalam sebuah buku panduan ke China yang diterbitkan di Seoul menggambarkannya sebagai lebih daripada sekadar sebuah gunung yang meninggi. Ia seperti tempat suci asal sebuah negara.

Walau bagaimanapun, gunung berapi itu menjadi tajuk utama beberapa tahun kebelakangan ini apabila pakar seismologi memberi amaran bahawa ia boleh meletus buat kesekian kalinya selepas berabad-abad lamanya. Ini sekali gus memberi peringatan bahawa satu bencana besar boleh memberi kesan kepada Korea Utara yang merupakan sebuah negara miskin tetapi bersenjata nuklear.

Negara itu menggunakan kepentingan puncak gunung itu dalam sejarah Korea melalui propaganda politik dengan menghubungkannya kepada mitologi pemerintah puak Kim.

Bekas pemimpin Korea Utara, mendiang Kim Jong-Il telah dilahirkan di cerun tersebut pada tahun 1942. Kisah kelahirannya disusuli dengan cerita hagiografi yang mendakwa kewujudan pelangi berganda dan bintang baharu pada masa itu. Namun demikian, cendekiawan-cendekiawan luar berkata kelahirannya di Kesatuan Soviet.

Apabila Jong-Il meninggal dunia pada 17 Disember 2011, laporan agensi berita Korea Utara melapor, lapisan ais beku pecah, menggoncangkan tasik dengan bunyi bising.

Menurut sebuah buku autobiografi rasmi Jong-Il, bapanya yang juga pengasas Korea Utara, Kim Il-Sung telah menganjurkan dan memimpin revolusi anti-Jepun untuk kemenangan.

Banjaran Changbai merentangi Manchuria, bahagian timur laut dari China yang ditakluki kumpulan etnik Manchu pada abad ke-17 dan kemudian memerintah Dinasti Qing selama 268 tahun. Maharaja-maharajanya direkodkan pernah membuat tawaran kepada gunung itu.

Gao Shang, seorang pelajar siswazah dari etnik Manchu berkata, dia mahu melihat kawah itu sejak kecil lagi apabila ibu bapanya memberitahunya bahawa ada kolam ajaib di Gunung Changbai.

Mengingat semula kisah itu, tambah beliau, kedua-dua ibu bapanya memberitahu tentang seekor raksasa yang hidup di dalam kawah tersebut.

Menjangkau imaginasi

"Mengikut tradisi keluarga, nenek moyang saya berasal dari kawasan tersebut. Sehubungan itu, gunung ini sangat penting bagi saya," ujar Shang.

Ramai penduduk Korea Selatan ternyata tidak menyukai pemilikan China terhadap puncak itu.

Bahkan, lima atlet wanita Korea Selatan pada Sukan Musim Sejuk Asia 2007 di Changchun, China telah menunjukkan sebuah papan tanda yang bertulis, Gunung Baekdu adalah tanah kami. Namun, mereka dilaporkan memohon maaf atas tindakan tersebut ekoran bantahan Beijing.

Lee Kang-Ho, yang melawat Changbai bersama bapa dan anaknya dari bandar pelabuhan, Busan, bangga dengan skala gunung berapi itu.

"Ia menjangkaui imaginasi saya," katanya sambil menggelar gunung itu sebagai penghubung dan susur galur Korea.

Pada masa yang sama, beliau menyatakan rasa malu kerana tidak dapat mengembara melalui Korea Utara untuk ke kawasan berkenaan.

"Saya berasa malu kerana terpaksa membelanjakan wang di China untuk datang ke sini." - AFP

Kad debit bantu urus kewangan

Posted:

Kad debit bantu urus kewangan

Kad debit bantu urus kewangan

KAD Debit Visa BSN ini merupakan kad debit pertama di Malaysia menggunakan teknologi tanpa sentuh payWave.


DUA kad kredit kepunyaan Aida Suraya Daud menjadi teman akrab tatkala berbelanja. Apatah lagi saat membeli-belah, barangan pujaan seperti pakaian berjenama dan aksesori mewah dapat dimiliki dengan mudah.

Keasyikan menggunakan instrumen pengganti tunai itu bagaimanapun tidak berpanjangan. Ekoran kegagalan melunaskan pembayaran semula bil-bil kredit untuk tempoh beberapa bulan, Aida Suraya, 27, terpaksa melayan panggilan 'pengutip hutang' hampir saban hari.

Paling menakutkan apabila pemungut pembayaran bertindak mahu mengeluarkan surat amaran. Detik itu, segenap keterujaan berbelanja lenyap dimamah kesal. Mengenangkan beban hutang bersama amaun bunga yang perlu dilunaskan, Aida Suraya mula tawar hati dengan khidmat kad kredit.

"Pada asalnya saya guna kad kredit untuk memudahkan urusan harian sepanjang belajar di luar negara. Namun lepas kembali ke Malaysia dan bekerja, baru saya rasai keperitan akibat menangguh bayaran kredit.

"Waktu berbelanja, memang niat hendak bayar bil kad kredit selepas gaji masuk. Tetapi akibat suka bertangguh, jumlah hutang bertambah dan bila diberi surat amaran, saya jadi tertekan," imbas Aida Suraya yang pernah membeli sebuah beg tangan bernilai RM5,000 menggunakan kad kredit.

Tidak sedar kewujudan bunga akibat pembayaran lewat, penulis bagi sebuah laman portal itu lantas menamatkan khidmat salah satu kad kreditnya. Dia juga memberitahu akan menghentikan penggunaan kad kredit keduanya kerana enggan hidup dikelilingi hutang.

Kad debit menjadi pengganti kad kredit yang efektif kepada Aida Suraya. Malah sejak menggunakan alternatif fungsional itu lima tahun lalu, Aida Suraya mula menyedari kelebihannya sebagai pencegah amalan berhutang.

Ujarnya, kad debit membolehkan pengguna menetapkan had penggunaan dan hanya boleh dipakai mengikut baki wang dalam akaun simpanan. Dengan cara ini, Aida Suraya dapat mengawal perbelanjaan dan mudah menjejak rekod keluar masuk wang di dalam akaunnya.

Begitupun, tambah Aida Suraya, sama ada kad kredit atau debit, kedua-duanya adalah instrumen yang memudahkan urusan individu jika diguna secara bijak.

"Paling penting, bila kita dapat duit, selesaikan hutang wajib dulu seperti pembiayaan kereta, sewa rumah dan pelbagai bil. Bahagikan wang bulanan kepada tiga iaitu untuk membayar hutang, belanja dan simpanan," saran Aida Suraya.

Rancang perbelanjaan

Sementara itu, pada usia 18 tahun, Megat Amir Danish Amir Noor Rashid telah melatih diri menggunakan kad debit. Sebagai seorang anak muda yang kerap berbelanja membeli pakaian, Megat cuba menegah diri daripada berhutang jika dia tidak mempunyai wang lebih bagi memenuhi kehendak peribadinya.

"Kalau tak ada duit dalam akaun, tak payah beli," begitu prinsip pegangan remaja yang digelar selebriti laman sosial Twitter itu yang kini mempunyai pengikut mencecah 74,000 orang.

Penuntut Diploma Komunikasi Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Lendu, Melaka itu juga beranggapan, kad debit memudahkan dia merancang perbelanjaan harian dan mengelak perbelanjaan tidak penting.

Berdasarkan kaji selidik yang dijalankan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) dan Pusat Penyelidikan dan Sumber Pengguna (CRRC) mendapati sebanyak 47 peratus belia Malaysia berumur antara 18 hingga 35 tahun di bandar berdepan masalah hutang serius.

Situasi tersebut terjadi apabila nilai pembayaran hutang individu mencecah atau melebihi 30 peratus daripada pendapatan kasar. Kelompok berusia 24 hingga 29 tahun dengan tangga gaji antara RM2,000 hingga RM3,000 pula mengalami krisis hutang kritikal akibat beban pembiayaan meliputi kenderaan, rumah, insurans dan tanggungjawab keluarga.


MEMILIKI kad kredit pada satu-satu masa bukanlah satu amalan yang digalakkan. - Gambar hiasan


Mendekati belia

Jumlah 11 peratus yang berhutang akibat kehilangan kawalan penggunaan kad kredit juga menjadi antara punca utama. Generasi Y didapati cenderung berbelanja di luar kemampuan terutama apabila melibatkan pakaian, gajet dan hiburan.

Demi memulihkan keseriusan masalah tersebut, Bank Simpanan Nasional (BSN) mewujudkan gerakan dipanggil YouAgainstDebt. Mula dijalankan sejak 27 November lalu sejajar dengan pengenalan Kad Debit Visa BSN baharu, gerakan tersebut menggunakan pendekatan unik bagi mendekati masyarakat khususnya belia.

Antaranya ialah pertunjukan jalanan di sekitar Kuala Lumpur yang melibatkan aksi seorang lelaki muda mengheret blok huruf gergasi bertulis DEBT yang diikat pada kakinya. Simbolik nyata terhadap bebanan hutang yang dialami orang muda masa kini itu berjaya menarik minat orang awam.

Ketua Bahagian Perniagaan Kad BSN, Mohd. Sofian Amirudin menjelaskan, gerakan yang bertujuan meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia agar tidak berhutang itu diharapkan dapat menukar kecenderungan masyarakat daripada menggunakan kad kredit kepada kad debit.

"BSN akan meneruskan gerakan ini sehingga Mac depan dan setakat ini kami telah menerima sebanyak 194,000 ikrar yang dilakukan secara dalam talian menerusi laman web rasmi YouAgainstDebt.

"Sokongan daripada artis dan individu berpengaruh dalam media sosial seperti Shaheizy Sam, Scha Alyahya dan Mathlutfi turut membantu peningkatan positif gerakan ini," ujar Sofian ketika ditemui Kosmo!.

Menurut Sofian, maklum balas yang diterima daripada orang awam terhadap Kad Debit Visa BSN sangat positif. Dalam tempoh kurang satu bulan sejak diperkenalkan, hampir 20,000 kad telah dikeluarkan dan BSN menyasarkan 1 juta pengguna dengan penggunaan RM250 juta untuk jangka masa setahun.

Peningkatan melebihi 200 peratus penggunaan kad debit dari segi nilai transaksi seperti laporan Bank Negara sepanjang tahun 2013 membuktikan bahawa instrumen kewangan itu semakin popular. Kad kredit pula tidak mencatatkan sebarang kenaikan.

Jelas Sofian, kad debit digunakan secara meluas di Eropah dan Australia. Kebolehannya membantu individu merancang kewangan bagi mengelakkan peningkatan beban hutang menjadikan ia instrumen terbaik untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Tanpa caj tambahan

"Kad Debit Visa BSN ini juga adalah kad debit pertama di Malaysia menggunakan teknologi tanpa sentuh payWave. Pelanggan tidak perlu menurunkan tandatangan atau memasukkan nombor pengenalan peribadi (PIN) ketika berbelanja.

"Namun had setiap transaksi menerusi payWave adalah sebanyak RM150. Bermula Disember lalu, pengguna boleh menggunakan khidmat ini di beberapa lokasi seperti panggung wayang Golden Screen Cinemas, pusat beli-belah Aeon Big dan Sogo," tambah Sofian.

Aplikasi lima dalam satu kad tersebut turut merangkumi kemudahan MEPS, Touch 'n Go, PLUSMiles dan program kesetiaan BCARD. Pelan pembayaran semula MEPS yang dicaj RM1 setiap kali mengeluarkan wang pada mesin juruwang automatik (ATM) juga antara faedah yang diterima pengguna kad itu.

Pengguna berusia bawah 21 tahun yang mempunyai baki RM500 ke atas pada akhir bulan layak menerima tiga MEPS percuma. Mereka yang berusia 21 tahun ke atas pula dengan baki bulanan melebihi RM3,000 akan diberikan lima MEPS percuma dan bonus faedah sebanyak dua peratus daripada kenaikan bulanan.

Tanpa caj tambahan, Kad Debit Visa BSN juga membolehkan pengguna menerima rebat tunai sebanyak 0.5 peratus. Ia tidak ditetapkan kepada had penggunaan dan merupakan yang tertinggi dalam pasaran.

Kredit: www.kosmo.com.my
 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved