Isnin, 17 Jun 2013

Kosmo Online - Stailo

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Stailo


Selebriti bantu lariskan produk

Posted:

Selebriti bantu lariskan produk

Selebriti bantu lariskan produk

Oleh HAFIZ AHMAD

GOLONGAN selebriti sering mendapat perhatian kerana mereka sentiasa tampil anggun dan mempesona. Justeru, bukanlah sesuatu yang menghairankan jika mereka acapkali dilantik sebagai duta produk kecantikan, kesihatan atau fesyen.

Kelibat selebriti dalam iklan media cetak atau elektronik mampu menarik perhatian masyarakat mendekati produk atau jenama masing-masing.

Tidak kira dunia seni antarabangsa mahupun tempatan, golongan selebriti mudah menjana sumber kewangan melalui kontrak yang diikat bersama syarikat tertentu.

Kontrak-kontrak itu pasti memberi pulangan lumayan kepada mereka. Baru-baru ini, penyanyi lagu Single Ladies, Beyonce Knowles mendapat kontrak bernilai AS$50 juta (RM157 juta) untuk menjadi duta produk syarikat minuman Pepsi.

Walaupun jumlah itu sangat mustahil untuk digapai selebriti tempatan, namun ia membuktikan betapa besar pengaruh seorang selebriti dalam dunia perniagaan.

Sebelum ini, Pepsi pernah bekerjasama dengan beberapa selebriti antarabangsa seperti Britney Spears, Michael Jackson, David Beckham dan Kanye West.

Baru tiga tahun menceburi dunia hiburan, pelakon Izara Aishah sudah dilamar sebagai jurucakap produk minuman kesihatan dan kecantikan, Innershine.

Dia mula dikenali beberapa tahun lalu iaitu menerusi drama Vanilla Coklat .

Model jelita

Selaku duta produk telah meletakkan nama aktres muda itu sebaris dengan nama-nama besar yang pernah menyandang gelaran sama termasuklah penyanyi Camelia, Maya Karin dan Ziana Zain.

"Walaupun menggantikan tempat Maya, saya langsung tidak beranggapan mempunyai taraf yang sama dengan pelakon senior itu kerana masih terlalu hijau dalam industri ini," ujarnya pada majlis pelancaran baru-baru ini.

Dia bakal menghiasi kempen-kempen iklan dan sesi promosi di seluruh negara. Izara berkata, Innershine banyak membantunya untuk kekal segar ketika berada di lokasi penggambaran. Ia juga membuatkan wajah berseri melalui minuman secara konsisten.

"Kandungannya kaya dengan serat pemakanan serta Vitamin C amat sesuai untuk wanita yang sentiasa bergerak aktif memandangkan ia bukan sahaja menyerikan wajah tetapi memelihara dalaman kulit agar bersih," kata Izara.

KECANTIKAN Maya mudah memikat syarikat kecantikan dan kesihatan antarabangsa untuk menjadi duta mereka.


Pemilihan Izara bertepatan dengan konsep Innershine Pati Prun dengan camu camu kerana model jelita itu membawa imej seorang wanita moden yang mementingkan kulit lembut, berseri dan semula jadi seiring dengan impian serta objektif Innershine.

"Izara sememangnya sesuai menjadi duta Innershine kerana mempunyai kecantikan asli dan keyakinan diri sekali gus mampu menguatkan imej produk kami," ujar Naib Presiden dan Pengurus Besar Cerebos (M) Sdn. Bhd., Koh Joo Siang.

Tambah Joo Siang, Izara mewakili wanita muda hari ini yang giat berusaha demi mencapai matlamat hidup sendiri dan mampu menguruskan kehidupannya dengan baik.

Jualan meningkat

Dalam pada itu walau sudah tidak bersama Innershine, khidmat Maya sebagai duta produk ternyata sangat meriah.

Syarikat yang mengeluarkan tilam yang menyokong kesihatan tulang iaitu Vono antara yang meletakkan kepercayaan kepada Maya sebagai jurucakap produk itu.

Kontrak pelakon Pisau Cukur itu disambung setahun lagi selepas bekerjasama sejak tahun 2010.

Maya mengakui amat selektif dalam memilih produk yang ingin menjadikannya sebagai duta namun selepas yakin dengan jenama itu, Maya tidak ragu-ragu untuk meneruskan kontrak.

"Saya akan terus bekerjasama bersama produk yang berkualiti dan memberi manfaat kepada masyarakat. Ia sesuatu yang baik apabila dapat memperkenalkan jenama yang bagus selain harga yang berpatutan kepada pengguna," ujarnya.

Tidak dinafikan kelibat Maya berjaya menarik perhatian masyarakat apabila penjualan tilam Vono meningkat sejak dia menjadi duta produk tersebut.

"Maya membantu Vono menjadi jenama kegemaran di Malaysia. Kami yakin melalui penyambungan kontrak ini, dia akan menarik lebih ramai pengguna di Malaysia," ujar Presiden Perniagaan Rantau Slumberland, Wong Wai Hong.

Tambahnya, selama empat tahun Maya menjadi duta Vono, hasil penjualan meningkat sebanyak 15 peratus.

Ia menunjukkan pengguna yakin dengan jenama itu sebagai refleksi kepada imej bersih Maya sepanjang berada dalam industri hiburan tempatan dan antarabangsa.

Keanggunan dan kewibawaan Maya juga pernah menghiasi beberapa jenama dan produk lain seperti Loreal, Pantene, Celcom dan Tag Heuer.

Bahang couture merah

Posted:

Bahang couture merah

Bahang couture merah

Oleh ALIF ABU BAKAR

IMEJ muda tetapi matang Chacha kelihatan jelas dengan menyarung busana Nazleen Noor.


WARNA merah melatari keseluruhan 17 helaian koleksi couture pereka duo AzuraAzwa. Pada pertunjukan fesyen bertemakan The Amazing Red: Kurung, Kebaya & Hijab yang berlangsung di The Weld, Kuala Lumpur itu menyaksikan pasangan adik-beradik tersebut berjaya menghamparkan rekaan-rekaan yang elegan.

Mengambil inspirasi daripada hidupan marin, dres bersama item signatur AzuraAzwa, turban dipentaskan oleh model-model jelita dan para peserta rancangan realiti televisyen Astro, Gadis Muka 2 (GM2) serta selebriti popular, Dynas Mokhtar.

"Elemen marin dapat dilihat ketara pada rekaan turban kami. Lapisan turban dengan teknik berombak dibentuk seakan-akan alga laut.

"Disebabkan bahagian kepala telah sarat dengan turban bersaiz besar, dres pula kami minimumkan dari segi penggunaan perincian. Renda dan manik diaplikasikan secara ringkas," ujar Azura Liyana Azmi, 28, ketika ditemui di The Weld.

Menggunakan rona merah pelbagai seperti merah cili dan merah darah, AzuraAzwa turut mengambil hitam bagi mencipta kesepadanan.

Jelas Azwa Elena Azmi, 25, pula, mereka banyak menggunakan material berupa sifon dan sutera untuk koleksi kali ini. Bagi menambah sensasi feminin, potongan bahagian bawah kain sengaja dibiarkan meleret.

"Koleksi ini dijual pada harga bermula RM2,000 ke atas dan disasarkan kepada wanita berumur 21 hingga 45 tahun," tambah Azwa.

Selain AzuraAzwa, majlis pada petang itu turut melibatkan puluhan artis wanita tanah air yang memperagakan busana rona merah pereka pilihan masing-masing.

Antara yang mencuri tumpuan ialah Rozita Che Wan, Ning Baizura, Datin Sofea Jane dan Vanidah Imran yang elegan dalam persalinan hasil kerja pereka Rizman Ruzaini.

Aktres yang sedang meningkat naik, Emma Maembong pula kelihatan comel mengenakan busana Nazleen Noor manakala adiknya, Chacha Maembong hadir menawan dalam rekaan Hazwani Osman.

Jambang lambang maskulin

Posted:

Jambang lambang maskulin

Jambang lambang maskulin


KADAR pertumbuhan bulu wajah bergantung kepada genetik seseorang.


LELAKI dengan jambang memang tampak maskulin. Tambahan pula apabila si jejaka secara semula jadi dianugerahkan rupa kacak dan kulit yang bersih, pasti aura kelelakian itu menyerlah dengan bulu yang tumbuh di tepi kiri dan kanan sisi pipi serta dagu.

Namun, tidak semua lelaki dikurniakan jambang. Ada yang sekadar berpuas hati dengan janggut dan misai. Ada pula kategori yang bebas tanpa sebarang bulu pada muka. Bagaimanapun, sebenarnya rata-rata lelaki memang menyimpan hasrat memiliki jambang.

Kadar pertumbuhan bulu wajah bergantung kepada genetik seseorang tetapi sekiranya anda mahu membentuk gaya berjambang, anda boleh mengikuti pelbagai teknik yang berbeza:

Jaga wajah

Cuba gantikan lapisan kulit wajah anda menerusi teknik pengelupasan. Gunakan lulur atau produk pengelupasan khusus untuk lelaki. Menyingkirkan sel kulit mati dapat merangsang pertumbuhan bulu muka baharu. Aplikasikan topeng pengelupasan pada wajah dan biarkan selama 10 hingga 30 minit sebelum dibilas.

Jaga kebersihan kulit. Cuci muka dengan air suam menggunakan pencuci muka bersesuaian dengan jenis kulit setiap pagi dan malam. Kulit yang bersih menggalakkan pertumbuhan bulu halus.

Gunakan krim atau pelembap dengan ektsrak kayu putih (eucalyptus). Bahan itu membantu bulu muka tumbuh lebih pantas.

Periksa bulu wajah yang tidak subur. Jambang tidak akan tumbuh sekata jika terdapat bulu jenis sebegitu.

Rehat secukupnya. Tidur dapat membaiki sel kulit rosak secara semula jadi, sekali gus menggalakkan pertumbuhan jambang.

Tangani tekanan secara sihat. Jambang akan tumbuh lebih cepat ketika anda relaks. Kebanyakan pakar kecantikan dan kesihatan percaya bahawa bulu atau rambut gugur disebabkan tekanan.


KEKACANG antara sumber protein yang baik untuk merangsang pertumbuhan jambang.


Vitamin dan makanan tambahan

Ambil biotin setiap hari. Makanan tambahan itu sangat terkenal dalam meningkatkan pertumbuhan rambut dan kuku. Gunakan 2.5 miligram biotin secara rutin bagi mendapatkan jambang dengan pantas.

Gabungkan vitamin B di dalam rejim diet anda. Vitamin B1, B6 dan B12 antara yang berkesan bagi membantu pertumbuhan bulu wajah.

Tingkatkan jumlah protein dalam pemakanan. Ia boleh diperoleh daripada daging, telur dan kekacang.

Jangan abaikan kepentingan buah-buahan dan sayur-sayuran. Bulu atau rambut tidak boleh tumbuh dengan baik tanpa nutrisi seimbang.

Jangan cukur

Elakkan daripada mencukur atau membentuk jambang. Jika anda mahu bulu wajah tumbuh cepat, biarkan ia tumbuh secara semula jadi. Anda akan berpeluang merapi jambang itu dalam tempoh empat hingga enam minggu selepas ia memenuhi wajah.

Abaikan kepercayaan yang mengatakan mencukur janggut dan jambang dengan kerap dapat membuatkan bulu wajah tumbuh lebih lebat dan pantas. Tiada bukti saintifik bagi menyokong kenyataan tersebut. Mencukur jambang hanya mengurangkan jumlah bulu pada wajah bukannya menambah kadar pertumbuhan bulu.

Bersedia dengan kewujudan bulu muka yang kasar. Tidak semua bulu muka tumbuh dengan sekata dan ia secara tidak langsung mengundang kerengasaan dan kegatalan. Sapu krim hidrokortison pada wajah secara harian dalam tempoh pertumbuhan jambang. Ia dapat membantu mengurangkan gatal dan steroid di dalam hidrokortison juga mempercepatkan pertumbuhan bulu muka.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Revington tarik balik keputusan letak jawatan

Posted:

Revington tarik balik keputusan letak jawatan

Revington tarik balik keputusan letak jawatan

REVINGTON (kanan) tidak memberikan sebarang kenyataan sejurus keluar dari pejabat Khairy di Putrajaya semalam.


JURULATIH skuad hoki senior negara, Paul Revington telah menarik balik keputusan peletakan jawatannya.

Difahamkan, pengendali kelahiran Afrika Selatan itu akan terus membimbing skuad negara sekurang-kurangnya sehingga pusingan separuh akhir Liga Hoki Dunia di Johor Bahru bermula 29 Jun ini.

Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan tertutup bersama Revington di kementeriannya di Putrajaya semalam.

"Saya rasa lega dengan keputusan itu sebab beliau telah kendalikan pasukan kebangsaan dengan baik, pemain pun menghormati beliau.

"Kita tidak mahu momentum pasukan kita untuk pusingan Liga Hoki Dunia terjejas," jelas Khairy.

Pada pertemuan yang berlangsung selama 20 minit itu, Khairy berkata, Revington turut bersetuju untuk mempertimbangkan keputusan terus bersama skuad negara selepas pusingan Liga Dunia itu.

"Menurut persefahaman antara kami, beliau mungkin akan terus (melatih) juga selepas Liga Dunia itu, cuma saya perlu bincang dengan pihak lain yang terlibat sebelum membuat ketetapan untuk beliau kekal," katanya.

Khairy dalam pertemuan itu turut memaklumkan kepada Revington bahawa beliau akan secara peribadi menangani isu tersebut bersama Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Beliau turut meminta Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong untuk meneruskan perjumpaan dengan MHC berhubung perkara tersebut yang dijangka diadakan di MSN hari ini.

"Saya tidak mahu tidak terlalu micro manage perkara ini. Saya memahami pandangan dan kerisauan beliau (Revington).

"Mengenai masa depan beliau, kita perlu tangani dengan individu yang lain yang ada dalam persatuan," katanya.

Sabtu lalu, Revington mendakwa wujud campur tangan dalam mengendalikan skuad kendaliannya terutama daripada jurulatih skuad remaja, Muhamad Dhaarma Raj Abdullah dan Pengarah Pembangunan Hoki 1MAS, Lim Chiow Chuan sehingga mendorong beliau untuk meletakkan jawatan.

Revington merupakan bekas jurulatih Ireland dan pernah memenangi anugerah Jurulatih Terbaik Dunia 2011 oleh Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH).

'Saya cakap nanti kena marah'

Posted:

'Saya cakap nanti kena marah'

'Saya cakap nanti kena marah'

MENTERI Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar seakan-akan sudah 'patah hati' dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Ketika diajukan soalan berhubung kemelut terbaharu yang melanda FAM membabitkan wang tajaan hak penyiaran perlawanan Liga Malaysia (Liga M) kepada persatuan bola sepak negeri-negeri, Khairy tidak lagi berminat menegur FAM biarpun mempunyai hak atas kapasitinya sebagai menteri berkaitan.

"Terpulang kepada FAM... ikut suka FAM. Saya pernah menjadi Timbalan Presiden FAM. Saya tahu apa yang berlaku dalam FAM. Saya cakap nanti kena marah.

"Biar ahli (majlis FAM) bercakap... kalau tak nak dengar cakap menteri yang budak berhingus ini, dengarlah cakap orang lain," kata Khairy kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) di pejabatnya di Putrajaya semalam.

Bagaimanapun, Khairy berkata, FAM sepatutnya mendengar pendapat ramai khususnya peminat bola sepak tempatan.

Baru-baru ini, Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa mempersoal FAM mengenai wang tajaan RM30 juta setahun yang diterima badan induk itu berhubung hak penyiaran perlawanan Liga Malaysia (Liga M).

Beliau berkata, FAM sepatutnya menyalurkan wang berkenaan bagi membantu persatuan-persatuan bola sepak negeri yang menghadapi masalah kewangan.

Namun, sehingga kini, FAM mengambil pendekatan berdiam diri dan enggan menjawab persoalan yang dibangkitkan itu.

Dalam perkembangan lain, Khairy berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim perlu mendapat persetujuan Kabinet jika berhasrat untuk terus menerajui Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) sehingga Sukan Olimpik 2016 di Brazil.

Beliau berkata, setakat ini tiada pengecualian bagi Shahidan memegang jawatan tersebut seperti yang termaktub dalam arahan Kabinet pada 2007.

Mengikut arahan tersebut, Menteri, Timbalan Menteri dan Setiausaha Parlimen dilarang daripada memegang sebarang jawatan dalam sebarang persatuan sukan tempatan.

Khairy menegaskan, jika Shahidan berkeras mahu kekal dalam ASUM, bekas Menteri Besar Perlis itu perlu mengemukakan cadangan membatalkan arahan tersebut pada mesyuarat Kabinet akan datang.

"Saya akan bertemu dengan beliau (Shahidan) pada Rabu ini bagi menerangkan secara jelas berhubung kedudukan itu. Saya akan ingatkan beliau, kecuali ada pengecualian daripada jemaah menteri yang batal keputusan yang lepas.

"Bagi saya sebagai menteri, saya tiada masalah kalau menteri Kabinet nak pegang jawatan selagi dia bukan Menteri Belia dan Sukan," katanya.

Sebelum ini, Shahidan menyatakan hasrat untuk mengekalkan jawatan Presiden ASUM sehingga Olimpik 2016 kerana beliau mempunyai banyak perancangan bagi memartabatkan lagi sukan itu.

2,000 tiket final diberi percuma

Posted:

2,000 tiket final diberi percuma

2,000 tiket final diberi percuma

Oleh MAZLINA ABDUL MAJID
mazlina.majid@kosmo.com.my


IMBAS KEMBALI... Para pemain Johor DT dan Pahang bersalaman selepas tamat aksi separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Nasional, Bukit Jalil awal bulan ini.


MENTERI Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (gambar kecil) akan menghadiahkan 2,000 tiket kepada penyokong Johor yang berhasrat untuk menyaksikan final Piala FA 2013 antara Johor Darul Takzim (Johor DT) dan Kelantan di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 29 Jun ini.

Mohamed Khaled berkata demikian melalui laman video yang dimuat naik melalui Facebook dan Twitter peribadinya semalam.

Dalam video berdurasi 1 minit 20 saat itu, beliau antara lain berkata: "Saya berbangga dengan pencapaian pasukan bola sepak negeri Johor sekarang.

"Sebagai tanda sokongan kerajaan (negeri), untuk perlawanan akhir Piala FA 2013, sebanyak 2,000 tiket percuma akan dihadiahkan kepada anak-anak Johor yang ingin menyaksikan perlawanan akhir tersebut."

Bagi mendapatkan tiket-tiket itu, Mohamed Khaled berkata, rakyat Johor diminta melayari laman Facebook miliknya iaitu facebook.com/MohamedKhaledNordin untuk maklumat lanjut.

Mereka antara lain disyaratkan mengambil gambar diri sendiri beridentitikan anak Johor selain mengisi slogan seperti yang diminta.

Menurut Mohamed Khaled, senarai pemenang akan diumumkan sebelum 25 Jun ini.

Johor DT layak ke final Piala FA musim ini selepas menyingkirkan Pahang dalam saingan separuh akhir.

Biarpun kedua-dua pasukan terikat dengan agregat 2-2, Johor DT lebih layak mara ke final berdasarkan peraturan gol di tempat lawan.

Johor DT menang 1-0 dalam aksi separuh akhir pertama di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin sebelum tewas 1-2 pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Sebagai rekod, kali terakhir Johor mara ke final Piala FA ialah pada 1998 yang menyaksikan skuad Harimau Selatan itu muncul juara selepas mengalahkan Sabah 1-0.

Kelantan pula tampil selaku penyandang juara Piala FA selepas menewaskan Terengganu dengan agregat 6-5.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Dunia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


Hassan Rowhani janjikan pembaharuan di Iran

Posted:

Hassan Rowhani janjikan pembaharuan di Iran

Hassan Rowhani janjikan pembaharuan di Iran

SEKUMPULAN penyokong calon Presiden Iran, Hassan Rowhani meraikan kemenangan pemimpin mereka di Teheran kelmarin.


TEHERAN - Ulama berhaluan sederhana, Hassan Rowhani menyifatkan kemenangan beliau dalam pilihan raya Presiden Iran sebagai kemenangan menentang ekstremisme ketika ribuan penyokong keluar ke jalan-jalan raya untuk meraikan kemenangannya semalam.

Akhbar-akhbar pro pembaharuan memuji Hassan sebagai "sheikh harapan" Iran.

Menurut media tempatan, kemenangan beliau menjanjikan harapan baharu buat rakyat Iran selepas lapan tahun negara itu diperintah pemimpin konservatif, Mahmoud Ahmadinejad.

Di ibu kota Iran di sini, berpuluh-puluh ribu orang keluar ke jalan - jalan raya sambil membawa gambar pemimpin berusia 64 tahun itu dan melaungkan slogan reformasi.

"Pada malam ini, kita gembira kerana harapan wujud sekali lagi di Iran," kata seorang lelaki berusia 31 tahun yang dikenali sebagai Ashkan sambil membawa poster Hassan.

Hassan diisytihar pemenang pilihan raya pada Jumaat lalu itu selepas memperoleh 50.68 peratus undi.

Dalam kenyataan pertama selepas kemenangannya disahkan, beliau menggesa kuasa besar dunia agar menghormati Iran dan hak negara itu.

"Kemenangan saya adalah kemenangan kebijaksanaan, kesederhanaan dan kemajuan ke atas ekstremisme," kata Hassan.

Menteri Dalam Negeri, Mohammad Mostafa Najjar berkata, Hassan menewaskan lima calon konservatif dengan memperoleh 18.6 juta undi.

Kemenangan besar itu dapat memastikan tiada pusingan kedua pada pilihan raya tersebut.

Tempat kedua menjadi milik Datuk Bandar Teheran, Mohammad Baqer Qalibaf yang memperoleh cuma 6.07 juta undi.

Mohammad berkata, seramai 36.7 juta orang atau 72.7 peratus daripada keseluruhan pemilih di negara itu keluar mengundi.

Dalam perkembangan berkaitan, pemimpin agung Ayatollah Ali Khamenei mengucapkan tahniah kepada Hassan.

Khamenei berkuasa membuat keputusan dalam semua isu strategik melibatkan Iran termasuk dasar nuklear negara itu.

"Saya menggesa semua orang membantu presiden yang dipilih ini kerana beliau ialah presiden untuk seluruh rakyat Iran," kata Khamenei di laman webnya.

Ucapan alu-aluan turut diberikan oleh ketua dasar luar Kesatuan Eropah, Catherine Ashton.

Ashton yang merupakan ketua perunding enam kuasa besar melibatkan isu program nuklear Iran berkata, beliau komited untuk bekerja dengan Hassan bagi mencari penyelesaian diplomatik segera berhubung isu nuklear Teheran.

Namun, Israel yang merupakan seteru utama Iran mahu sekatan ke atas republik Islam itu diteruskan.

Rejim Zionis memberi amaran bahawa hanya Khamenei yang yang berkuasa menentukan dasar nuklear Iran dan bukannya Presiden Iran. - AFP

Ribuan penunggang basikal berbogel

Posted:

Ribuan penunggang basikal berbogel

Ribuan penunggang basikal berbogel

SEJUMLAH penunggang mengayuh basikal tanpa seurat benang di bandar raya Madrid, Sepanyol kelmarin.


BANDAR RAYA MEXICO - Beribu-ribu penunjuk perasaan menunggang basikal dalam keadaan berbogel di sekitar jalan-jalan utama di sini kelmarin.

Tindakan tersebut dilakukan bagi memprotes sikap buruk pemandu kenderaan bermotor terhadap penunggang basikal.

Diadakan pada setiap tahun, acara antarabangsa itu berlangsung di sini buat kali kelapan.

Ia merupakan sebahagian daripada acara Menunggang Basikal Berbogel Sedunia (WNBR) yang diadakan di 29 buah bandar di seluruh dunia sejak 2004.

Acara tersebut bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang keselamatan semasa berbasikal.

Mereka berbasikal tanpa seurat benang untuk menunjukkan kerapuhan tubuh manusia.

Selain itu, acara kontroversi itu turut bertujuan untuk menarik perhatian orang ramai terhadap isu alam sekitar dengan menggalakkan mereka basikal berbanding memandu kereta.

Gerakan WNBR bermula pada 12 Jun 2004 di Vancouver, Kanada. - Agensi

AS minta puluhan ribu data Facebook, Microsoft

Posted:

AS minta puluhan ribu data Facebook, Microsoft

AS minta puluhan ribu data Facebook, Microsoft


GAMBAR pada 12 Jun lalu menunjukkan pusat simpanan data Facebook dekat bandar Lulea, Sweden.


WASHINGTON - Gergasi internet Facebook dan Microsoft mengaku pihaknya menerima beribu-ribu permintaan data pengguna daripada pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) pada tahun lalu.

Namun, kedua-dua syarikat itu menyatakan yang mereka dilarang daripada mendedahkan bilangan permintaan maklumat berkaitan isu keselamatan negara.

Pendedahan oleh Facebook dan Microsoft itu berlaku selepas kedua-dua firma berkenaan dikritik berhubung isu hak privasi pengguna internet.

Ia susulan pendedahan oleh seorang pakar teknologi maklumat, Edward Snowden, 29, mengenai program pengintipan e-mel dan akaun pengguna internet oleh Agensi Keselamatan Kebangsaan baru-baru ini.

Menurut Facebook, pihaknya menerima antara 9,000 hingga 10,000 permintaan untuk data pengguna merangkumi 18,000 hingga 19,000 akaun sepanjang enam bulan terakhir pada tahun lalu.

Sementara itu, Microsoft pula menyatakan, ia diminta mendedahkan antara 6,000 hingga 7,000 data melibatkan 31,000 hingga 32,000 akaun untuk tempoh sama.

Permintaan tersebut termasuk waran jenayah, perintah mahkamah dan perintah-perintah lain.

Namun, bilangan itu tidak termasuk permintaan data berhubung soal keselamatan dan siasatan mengenai suspek pengganas.

Bercakap tentang pendedahan tersebut, ketua penasihat undang-undang Facebook, Ted Ullyot berkata, pihaknya bertindak secara 'agresif' bagi melindungi privasi lebih satu bilion ahlinya.

"Kami kerap menolak mentah-mentah permintaan sebegitu atau meminta pihak berkuasa AS mengurangkannya atau kami memberikan data kurang daripada yang diminta," kata Ullyot.

"Kami bertindak hanya untuk memenuhi keperluan undang-undang," tambahnya. - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online


Tiga adik-beradik mati lemas di Sungai Golok

Posted:

Tiga adik-beradik mati lemas di Sungai Golok

Tiga adik-beradik mati lemas di Sungai Golok

17/06/2013 8:57pm

RANTAU PANJANG - Keriangan tiga beradik untuk bermandi manda di Sungai Golok buat pertama kalinya berakhir dengan tragedi apabila ketiga-tiga mereka mati lemas hanyut dibawa arus deras petang tadi.

Ketiga-tiga mereka Muhammad Zulhilmi Aziz, 7, Muhammad Syahmi, 6, dan Mohammad Irfan Rahman, 4, dikatakan telah bermain dan mandi disungai tersebut yang hanya 100 meter daripada rumah mereka di Kampung Rahmat Hilir.

Mereka ditemui oleh orang kampung antara pukul 5.20 petang hingga 5.50 petang tidak jauh dari tempat mereka terjatuh.

Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba Rantau Panjang Nasuhafadh Ahmad Mijar, pihaknya mendapat panggilan pada pukul 5 petang.

Ketiga-tiga mereka akan dikebumikan pada hari ini di Tanah Perkuburan Kampung Rahmat. - Kosmo!

UiTM diiktiraf universiti paling ramai pendaki tawan Everest

Posted:

UiTM diiktiraf universiti paling ramai pendaki tawan Everest

UiTM diiktiraf universiti paling ramai pendaki tawan Everest

17/06/2013 8:29pm

SHAH ALAM - Universiti Teknologi MARA (UiTM) menerima pengiktirafan dari Malaysia Book of Records sebagai universiti yang paling ramai penuntut dan alumninya berjaya menawan puncak Gunung Everest, iaitu 10 orang

pendaki.

Naib Canselor UiTM, Tan Sri Profesor Dr Sahol Hamid Abu Bakar berkata, usaha semua pendaki UiTM berkenaan untuk menawan puncak Gunung Everest dilakukan sejak 2004.

"Saya difahamkan sejak 1997, seramai 18 orang rakyat Malaysia berjaya

menawan Gunung Everest dan yang membanggakan, 10 daripadanya adalah warga UiTM," katanya dalam ucapan sempena Majlis Sambutan Rasmi Wira Everest 2013 hari ini.

Pengiktirafan itu disampaikan wakil Malaysia Book of Records, Zulhairi Md. Zin kepada Sahol Hamid. - Bernama

Polis tahan empat anggota sindiket samun kedai serbaneka

Posted:

Polis tahan empat anggota sindiket samun kedai serbaneka

Polis tahan empat anggota sindiket samun kedai serbaneka

17/06/2013 8:26pm

KUCHING - Tiga lelaki dan seorang perempuan ditahan polis, dipercayai terlibat dalam tiga kes samun melibatkan tiga buah kedai serbaneka di sekitar bandar raya ini, minggu lepas.

Minggu lepas polis melancarkan gerakan memburu tiga kumpulan penjenayah dikatakan merompak enam kedai serbaneka di sekitar bandar raya ini dalam tempoh kurang 48 jam.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Roslan Bek Ahmad berkata, dengan

penangkapan kesemua suspek itu, polis percaya turut dapat menyelesaikan beberapa kes samun lain di sekitar bandar raya ini.

"Pada 15 Jun kira-kira 9.30 pagi sepasukan anggota polis dari Balai Polis

Padungan membuat intipan ke atas sebuah kenderaaan jenis Proton Waja di tempat letak kereta di Hock Lee Centre, Jalan Datuk Abang Abdul Rahim di sini.

"Keempat-empat suspek ditangkap ketika datang untuk mengambil kenderaan tersebut, dan hasil pemeriksaan yang dijalankan mendapati kereta itu dilaporkan hilang di Sekama," katanya di sini hari ini. - Bernama

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Tidak kisah digelar lesbian

Posted:

Tidak kisah digelar lesbian

Tidak kisah digelar lesbian

DIA sudah banyak melakonkan watak gadis yang bersikap cukup feminin dan terbabit dalam dilema cinta.

Drama rantaian hebat Nora Elena dan Ruby sebagai contohnya yang telah menjadikan dirinya cukup sinonim dengan watak lakonan yang sebegitu.

Namun aktres jelita, Siti Saleha nampaknya sudah bosan dengan hakikat tersebut. Dia kini mencabar diri untuk membawakan karakter lebih berat dalam karier lakonannya yang sudah bermula sejak tahun 2008 itu.

Buat kali pertama, pelakon berdarah kacukan Melayu-Inggeris itu membawa peranan sebagai seorang lesbian bernama Tina dalam filem Tujuh. Dia bersetuju menerima tawaran melakonkan peranan lesbian bukan disebabkan gagal dalam percintaan dengan adik lelaki kepada pelakon Sharifah Sofia iaitu Syed Adney Syed Hussein, yang juga penjaga gol pasukan bola sepak Terengganu.

Sebaliknya, dia yang selesa dipanggil Saleha menjelaskan bahawa watak lesbian itu merupakan salah satu peluang untuknya menerokai sisi baharu dalam lakonannya.

Mengulas mengenai karakter tersebut, dedahnya, Tina memerlukan dia 'merogol' seorang wanita bernama Suri (lakonan Marsha Milan).

Bukan melakukan adegan seksual yang sebenar malah, tiada adegan cium bibir antara dirinya dan Marsha dalam filem itu.

Begitupun, Saleha mengakui tiada sebarang masalah melakonkan adegan ranjang bersama Marsha. Dia juga menegaskan boleh bercium dengan Marsha, jika itu adalah kehendak skrip filem.

Bunuh diri

Pendirian yang agak tegas berani daripada pelakon berusia 23 tahun itu, namun adakah dia tidak berasa bimbang dengan pandangan masyarakat negara ini kelak apabila filem tersebut ditayangakan di pawagam?

Sedar masyarakat Malaysia begitu sensitif apabila membabitkan nilai-nilai kerohanian, luah Saleha, dia bersedia menerima kritikan dan tidak kisah jika masyarakat mahu menggelarkan dirinya lesbian.

"Ketika bersetuju menerima tawaran peranan lesbian ini, saya tidak terfikir langsung mengenai kontroversi yang akan timbul.

"Walau bagaimanapun, saya bersedia dengan kritikan orang ramai terhadap watak Tina itu nanti.

SITI SALEHA mahu membuktikan kredibiliti lakonannya menerusi filem Tujuh.


"Saya juga tidak kisah jika masyarakat memanggil saya lesbian kerana ia hanya satu lakonan dan bukan diri saya yang sebenar," ujarnya yang mengakui cuma melakonkan watak lesbian tetapi turut menegaskan bahawa dia bukan seorang yang sebegitu.

Berkongsi sedikit mengenai filem Tujuh, Saleha memberitahu filem seram itu berlatarkan pada tahun 1970-an.

"Tujuh mengisahkan sekumpulan remaja yang menghabiskan percutian semester mereka dengan mengadakan parti liar di sebuah rumah persinggahan keluarga di atas bukit. Rumah itu dijaga oleh Tok Batin dan anaknya, Suri.

"Parti liar itu menjadi tidak terkawal apabila salah seorang daripada mereka telah merogol Suri. Sebaik sahaja parti itu tamat, Suri bersemuka dengan kumpulan remaja itu dan berjanji akan membalas dendam. Suri kemudian terjun membunuh diri.

"Amaran yang dirasakan hanya gurauan itu menjadi benar apabila salah seorang daripada remaja itu iaitu Yasmin dijumpai mati tergantung keesokan harinya," ujarnya mengenai filem arahan Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin itu.

Selain Saleha dan Marsha, Tujuh turut dibintangi Johan A'sari, Pekin Ibrahim, Aeril Zafrel, Riz Aminuddin, Cristine Suzanne dan Wan Hanafi Sue.

Tidak kekok bertudung

Dalam perkembangan kerjayanya, baru-baru ini Saleha dilantik menjadi duta produk Kotex untuk tahun 2013 bersama pelakon Nad Zainal.

Selain dilantik sebagai duta, Saleha juga membawa peranan sebagai Nur Hawa menerusi drama Memberku Hawa musim kedua yang sudah bersiaran sejak 5 Jun lalu, setiap hari Rabu, pukul 10 malam di Astro Ria (saluran Astro 104).

"Saya membawa watak Nur Hawa iaitu seorang wanita bertudung dalam drama ini dan dalam masa yang sama saya juga merupakan duta produk tuala wanita ini.

"Selain komitmen saya melakonkan watak Nur Hawa, saya dan Nad juga perlu melakukan beberapa program luar bersama pengguna Kotex.

"Namun begitu di alam realiti, saya tidak bertudung dan imej saya berbeza berbanding dalam drama berkenaan," ujarnya.

SITI SALEHA tidak mahu peminatnya keliru dengan imej dirinya yang berlainan dalam produksi lakonannya.


Saleha menegaskan tentang perkara itu kerana tidak mahu peminat keliru dengan imej dirinya yang bertudung dalam drama Memberku Hawa tetapi sebaliknya tidak mengenakan tudung dalam rutin kehidupannya.

Mengulas lanjut, tuturnya, apa yang lebih penting adalah tanggungjawab sebagai jurucakap atau duta produk tersebut dalam memberi inspirasi kepada setiap wanita.

Drama Memberku Hawa turut dibintangi oleh Bella Daly, Cristina Suzanne, Fattah Amin, Zain Hamid dan Sharifah Sofia.

Kakak bekas kekasih

Turut berlakon bersama dengan kakak Syed Adney iaitu Sharifah Sofia dalam drama tersebut, Saleha diajukan soalan sama ada hubungannya dengan Sharifah Sofia menjadi renggang atau tidak.

Menurut Siti Saleha, dia tiada masalah berlakon dengan kakak bekas kekasihnya itu kerana hubungannya dengan keluarga Sharifah Sofia masih baik dan mereka tiada masalah untuk keluar bersama jika ada masa terluang.

"Putus cinta tidak jejaskan hubungan baik saya dengan dia (Sharifah Sofia), malah kami sering keluar bersama.

"Mungkin saya dengan Syed Adney tiada jodoh, tetapi saya masih baik dengan keluarganya," luahnya.

Ditebak sama ada dia kini sudah ada pengganti, ujar Siti Saleha, dia masih solo dan ingin menumpukan perhatian kepada kerjaya selepas dua tahun hidup solo tanpa cinta.

Sabhi Saddi akui kahwini gadis Kelantan

Posted:

Sabhi Saddi akui kahwini gadis Kelantan

Sabhi Saddi akui kahwini gadis Kelantan

SABHI SADDI mengakui bakal menyambut Aidilfitri tahun ini di Pasir Mas, Kelantan.


PADA minggu lepas, dia menjadi bahan gosip apabila dikatakan sudah berkahwin. Penyanyi kelahiran Sabah, Sabhi Saddi didakwa telah berkahwin secara diam-diam dengan seorang gadis.

Lebih mengejutkan, hasil perkahwinan pelantun lagu Nadiku itu dikatakan telah dikurniakan seorang cahaya mata yang juga dirahsiakan identitinya.

Sebelum ini, Sabhi pernah dikatakan menjalinkan hubungan cinta dengan seorang penyanyi dari Indonesia bernama Vienna Fridiana.

Namun cinta mereka itu putus di tengah jalan. Kedua-dua Sabhi dan Vienna pernah merakamkan sebuah lagu duet berjudul Seperti Dulu Lagi sekitar tahun 2011.

Ikuti pengakuan eksklusif Sabhi, 29, kepada Kosmo! mengenai dirinya yang sudah bergelar suami kepada seorang gadis kelahiran Pasir Mas, Kelantan sejak Julai tahun lepas.

Kosmo!: Benarkah Sabhi sudah berkahwin dengan seorang gadis dan telah dikurniakan seorang cahaya mata?

SABHI SADDI: Ya, saya sudah berkahwin pada Julai tahun lepas di Kuala Lumpur. Isteri saya bernama Rosi Aswani Abdul Razak, 27, yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan.

Dia merupakan orang biasa. Kami diperkenalkan oleh kawan. Saya tak terfikir pun hubungan kami akan menjadi serius.

Namun selepas rapat sebagai kawan selama setahun, kami ambil keputusan untuk berkahwin. Apa yang boleh saya katakan, ia sudah rezeki dan jodoh kami.

Kami sudah dikurniakan seorang anak perempuan yang kini berusia empat bulan, Sofea Reesya.

Kenapakah Sabhi merahsiakan perkahwinan?

Perkara ini (perkahwinan) merupakan hal peribadi. Jadi, saya tak mahu hebohkan kepada umum mengenainya kerana saya rasa tak perlu. Biarlah saya sahaja yang tahu mengenainya kerana ia merupakan privasi saya.

Disebabkan perkahwinan Sabhi berjaya juga dihidu media, jadi bilakah anda mahu tampilkan isteri dan anak kepada umum?

Insya-Allah hujung tahun ni. Sebelum ini saya bimbang kalau saya hebohkan tentang perkahwinan kami, orang akan kata macam-macam. Sebab, ada peminat suka saya berkahwin dan ada juga yang tidak suka. Sebelum ini, bagi saya, biarlah rakan-rakan rapat dan keluarga terdekat sahaja yang mengetahui tentang perkahwinan kami itu.

Sabhi sudah bergelar suami kepada orang Kelantan. Jadi sempena Aidilfitri tahun ini, Sabhi akan pulang beraya di mana - Kelantan atau Sabah?

Pada tahun ini, saya akan menyambut Aidilfitri di rumah keluarga isteri di Pasir Mas, Kelantan.

Beralih sedikit mengenai perkembangan karier, apakah aktiviti anda sekarang?

Saya sedang menjalani penggambaran telefilem untuk disiarkan di TV3 pada bulan Ramadan ini berjudul Walau Air Mata Darah bersama Nadiya Nisaa dan Fizz Fairuz. Selepas ini, saya akan terbabit dengan penggambaran drama bersiri yang belum disahkan lagi judulnya.

Adakah ini langkah awal anda untuk terjun ke dalam bidang lakonan dengan lebih serius?

Sebelum ini saya pernah berlakon dalam filem Klip 3GP tahun lalu. Berlakon telefilem dan drama berbeza pengalamannya dan saya ingin merasai bidang tersebut.

Namun, prioriti saya masih dalam bidang nyanyian dan apabila saya memilih untuk terbabit dalam bidang lakonan, saya telah menetapkan syarat untuk dibenarkan 'cuti' pada setiap hari Sabtu dan Ahad untuk aktiviti nyanyian saya.

Elly tetap kunci mulut

Posted:

Elly tetap kunci mulut

Elly tetap kunci mulut

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN


ELLY enggan mengambil tahu tentang spekulasi berterusan terhadap status dirinya bersama tunangnya, Azmi.


SEJAK penyanyi dan pelakon Elly Mazlein mengikat tali pertunangan dengan pengarah Azmi Hata pada 29 Mei 2011, sudah acap kali kedengaran kisah kurang baik mengenai pasangan tersebut.

Sepatutnya mereka diijabkabulkan sebagai suami isteri pada Februari tahun lalu, tetapi ia terpaksa ditangguhkan pada Disember pula atas sebab-sebab yang hanya diketahui oleh mereka berdua.

Bagaimanapun, Elly dan Azmi tetap tidak melangsungkan perkahwinan seperti waktu yang dirancang, sehingga timbul spekulasi tentang hubungan mereka yang bermasalah.

Ketika ditemui pihak wartawan semasa majlis pratonton filem Awan Dania The Movie pada Mac lalu, Elly atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlin Syed Hanafi mengambil keputusan untuk tidak memberikan sebarang komen tentang tarikh perkahwinannya.

Setelah spekulasi berkenaan berlalu begitu sahaja, sebuah akhbar melaporkan bahawa hubungan antara Elly dan tunangnya itu sudah tidak dapat diselamatkan lagi dan harapan untuk berkahwin musnah.

Bagi mendapatkan kepastian berkenaan perkara tersebut, Kosmo! lantas menghubungi Elly bagi mengesahkan laporan berkenaan.

Kosmo!: Bolehkah ulas mengenai spekulasi yang mengatakan Elly tidak jadi berkahwin dengan Azmi?

ELLY: Setakat ini saya memang tidak pernah membuat sebarang kenyataan kepada mana-mana pihak berkenaan dengan status hubungan saya sekarang ini dengan Azmi.

Secara jujurnya saya langsung tidak ambil kisah terhadap sebarang cerita yang keluar mengenai hubungan kami berdua. Jadi, tidak ada apa yang perlu diperkatakan.


ELLY belum boleh mengesahkan sama ada dia akan berkahwin dengan tunangnya, Azmi atau sebaliknya tidak jadi berkahwin.


Jadi, bagaimanakah status hubungan anda dengan Azmi ketika ini?

Seboleh-bolehnya saya tidak mahu ulas dengan panjang lebar mengenai perkara ini, tetapi apa yang boleh saya komen ialah meminta semua pihak bersabar sehingga tibanya hari yang baik dan bahagia buat diri kami berdua.

Lagipun, spekulasi mengenai hubungan saya dan Azmi sedang berantakan sudah pernah dibangkitkan dan ditanya oleh pihak media sebelum ini. Saya tetap dengan pendirian untuk tidak mengulas panjang.

Adakah ia bermakna anda dan Azmi akan tetap melangsungkan perkahwinan?

Itupun saya tidak boleh berkata apa-apa dan cukuplah dengan komen ringkas yang saya berikan.

Apakah perkembangan terbaharu kerjaya anda sekarang?

Buat masa ini, saya sedang sibuk menjalani penggambaran drama bersiri Mencari Cinta sebanyak 40 episod. Saya baru sahaja selesai menjalani penggambaran untuk babak di Malaysia.

Kini saya berehat selama seminggu dan pada 17 Jun ini (hari ini) saya menyambung penggambaran drama berkenaan di Amsterdam, Belanda dan akan berada di sana selama sebulan.

Memandangkan sekarang ini semakin sibuk berlakon, adakah anda mahu melupakan terus bidang nyanyian?

Sudah tentu saya tidak melupakannya kerana pembabitan awal saya dalam dunia seni adalah sebagai penyanyi, malah single terbaharu saya sudah dilancarkan beberapa bulan yang lalu berjudul Sabarlah Hati.

Namun begitu, rezeki saya kini lebih terarah kepada bidang lakonan dan mungkin saya akan kembali aktif menyanyi semula. Sekarang saya mahu fokus kepada promosi lagu Sabarlah Hati sebelum keluar dengan single yang baharu pada tahun hadapan.

Kredit: www.kosmo.com.my

Ahad, 16 Jun 2013

Kosmo Online - Rencana Utama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Mahu penuhi 30 peratus kuota wanita

Posted:

Mahu penuhi 30 peratus kuota wanita

Mahu penuhi 30 peratus kuota wanita

SAAT nama beliau diumumkan sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 15 Mei lalu, Datuk Rohani Abdul Karim tergamam.

Beliau tidak menyangka akan menyandang portfolio tersebut.

Namun Rohani teruja apabila diberi kepercayaan untuk memimpin sebuah kementerian yang bukan sahaja menjaga kebajikan golongan wanita, malah setiap lapisan masyarakat tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang.

"Saya bersyukur kerana dipilih dan kehadiran saya di sini mendapat sokongan daripada banyak pihak. Mandat yang diberi oleh pemimpin akan dilaksanakan sebaik mungkin," katanya ketika menerima kunjungan Kosmo! di pejabat Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Persiaran Perdana, Putrajaya baru-baru ini. Pejabat Rohani di tingkat 38 bangunan itu ialah pejabat tertinggi di Putrajaya.

Rohani yang dilahirkan pada 3 Januari 1955 di Simanggang, Sarawak merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Sains dan Perniagaan Tani dari Universiti Pertanian Malaysia. Pernah melanjutkan pengajian di Universiti Ohio, Amerika Syarikat dalam jurusan Sarjana Pengurusan Perniagaan, Rohani berkecimpung dalam bidang politik sekitar tahun 1990.

Ibu tunggal kepada tiga orang cahaya mata itu memulakan kerjaya sebagai guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Kuching, Sarawak pada tahun 1980.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Penganalisis Pengurusan di Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia dan memegang jawatan Pengarah Biro Wanita Kementerian Pembangunan Sosial Negeri di Sarawak.

Memulakan tugas secara rasmi di KPWKM pada 17 Mei lalu, Rohani memberitahu, beliau mula mencintai tanggungjawab baharu yang diamanahkan kepadanya.

Setiap program, keperluan dan lapan kelompok sasar kementeriannya diteliti satu persatu agar tidak terlepas pandang.

Kebajikan masyarakat

Lapan kumpulan tersebut terdiri daripada warga emas, kanak-kanak, wanita, golongan miskin, keluarga, papa dan Orang Kelainan Upaya (OKU).

"Kementerian ini sangat penting kerana ia bukan sahaja menitikberatkan golongan wanita tetapi melibatkan kebajikan masyarakat secara holistik.

"Saya menyifatkan kementerian ini sensitif tetapi dinamik. Sehubungan itu, setiap program dan tindakan perlu diteliti sebaik mungkin supaya mencapai sasaran. Sekiranya tersilap langkah ia memberi impak negatif kepada kementerian," ujar Rohani.

Wanita yang memiliki sifat peramah dan gemar berjenaka itu merupakan Ahli Parlimen wanita yang pertama dari Sarawak.

Beliau ialah Naib Presiden Sayap Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang bertanding buat kali pertama di Parlimen Santubong pada tahun 1990 dan kekal sebagai penyandang di kerusi tersebut untuk tiga penggal berturut-turut sebelum berpindah ke Parlimen Batang Lupar pada tahun 2004.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13, Rohani terus mempertahankan kerusi Parlimen itu apabila menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat, Abang Zulkifli Abang Engkeh dengan majoriti undi sebanyak 10,964.


ROHANI ABDUL KARIM menghadiahkan kain songket kepada delegasi wanita dari Poland yang mengunjungi beliau di Putrajaya baru-baru ini.


Pada 8 Mac 2008 beliau dilantik sebagai Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani sehingga 3 April 2009. Pada 9 April tahun yang sama beliau menjawat jawatan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Menurutnya, pengalaman ketika bertugas di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta KPDNKK sebelum ini akan digunakan sebaik mungkin demi kebaikan rakyat.

Jelasnya, berkecimpung dalam bidang politik selama 22 tahun bukan satu perjalanan yang mudah. Terlalu banyak kenangan manis dan pahit serta rintangan yang perlu ditempuh.

Menyedari tugas dan tanggungjawab yang dipikul dalam kementerian sangat besar, Rohani tidak mementingkan diri. Beliau mengamalkan konsep bekerjasama dengan para pegawainya supaya setiap pelan yang direncanakan direalisasi dengan baik.

Mutu tugasan

Langkah pertama yang dilakukan ialah menerapkan budaya turun padang dalam kalangan para pegawai kementerian. Ia bertujuan mendidik dan memperbaiki mutu tugasan masing-masing.

"Kami menerima keluhan daripada orang ramai apabila permohonan mereka gagal atau lambat diterima. Kadangkala pengguna merungut kerana terpaksa melalui prosedur yang pelbagai selain wujud masalah penyampaian maklumat atau komunikasi yang lemah.

"Bagi mengatasi masalah ini saya melaksanakan program turun padang supaya para pegawai dapat merasai, melihat dan menilai sendiri keperluan kumpulan sasar. Saya percaya tindakan ini secara tidak langsung dapat mengelakkan rakyat berjauh hati dan semakin yakin kepada pihak kerajaan.

"Kawasan pertama yang perlu mereka lawati ialah kampung halaman saya iaitu di Batang Lupar, Sri Aman, Sarawak. Ia menjadi platform terbaik buat pegawai KPWKM bereksperimen dengan cara hidup masyarakat pedalaman yang berbeza dengan kehidupan komuniti di bandar," bicara Rohani yang memegang kata pepatah Inggeris, "charity begins at home."

Walau bagaimanapun Rohani memberitahu, Batang Lupar sekadar medan latihan buat para pegawainya sebelum menjalankan misi utama kepada pembangunan keseluruhan rakyat di negara ini.

"Sehingga kini saya masih terngiang-ngiang pesanan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang menasihatkan kami agar menjalankan tugas dengan adil dan saksama untuk orang ramai tanpa mengabaikan kawasan sendiri," tutur Rohani yang pernah bersekolah di Sekolah Rendah Abang Ali, Sibu, Sarawak dan Sekolah Perempuan Methodist, Sibu.

Rohani bersama para pegawainya mengambil pendekatan turun padang untuk mengenali masyarakat dengan lebih dekat.


Beliau juga berazam untuk menganjurkan lebih banyak program bersama masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan dan kementerian lain.

"Pendekatan ini penting supaya kementerian dapat menyelami dan memahami keperluan setiap kumpulan sasar serta diterjemahkan dalam bentuk tindakan," katanya.

Dalam tempoh lima tahun ini, Rohani berusaha untuk membantu kerajaan mencapai sasaran meningkatkan penglibatan golongan wanita dalam peringkat pembuat keputusan sektor korporat.

Kerajaan menyasarkan sekurang-kurangnya 30 peratus pertambahan bilangan wanita dilantik sebagai ahli lembaga pengarah. Langkah ini dibuat bagi memastikan kepakaran, daya saing dan kepimpinan wanita dapat dioptimumkan.

Rohani berharap sektor korporat khususnya syarikat milik kerajaan dan syarikat yang tersenarai dalam Bursa Malaysia memastikan sasaran itu dicapai dalam tempoh lima tahun akan datang kerana ia merupakan aku janji pilihan raya umum Barisan Nasional (BN).

"Dasar ini membuktikan bahawa kerajaan mengiktiraf peranan wanita dalam pembangunan dan kesejahteraan negara memandangkan keupayaan dan kredibiliti wanita pada masa ini sangat besar," kata Rohani yang anggun dalam persalinan baju kurung moden.

Aku janji

Rohani memberitahu, ketika ini kerajaan melalui Institut Pengupayaan Wanita Negara yang mengendalikan program latihan pengarah wanita telah mempunyai seramai 365 wanita yang kini bersedia untuk mengisi jawatan dalam lembaga pengarah mana-mana syarikat.

"Kesemua mereka adalah wanita yang layak dan sesuai untuk menjawat jawatan pembuat keputusan di syarikat korporat di negara ini," katanya.

Kementerian Hal Ehwal Wanita diwujudkan pada 17 Januari 2001 sebelum ditukar nama kepada KPWKM bermula 15 Februari 2001.

Kementerian tersebut sebelum ini dipimpin oleh Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil selaku Menteri sehingga Februari 2008 sebelum Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerajui kementerian itu bermula 7 April 2012.

Selepas Pilihan Raya Umum ke-13 pada 5 Mei lalu, Rohani dilantik sebagai menteri yang baharu.

Terubuk Lingga tarikan Batang Lupar di kaca mata dunia

Posted:

Terubuk Lingga tarikan Batang Lupar di kaca mata dunia

Terubuk Lingga tarikan Batang Lupar di kaca mata dunia

Oleh SOPI SAMAILE


PESTA BENAK yang mempamerkan keunikan arus kuat di Batang Lupar diiktiraf antara lima acara paling popular dalam kalendar pelancongan Sarawak.


BATANG LUPAR pernah menggemparkan negara dengan kisah buaya legenda Bujang Senang. Bagaimanapun, selepas buaya berukuran 5.46 meter panjang dengan lilitan perut 2.12 meter itu didakwa mati ditembak pada 12 Mei 1992 di anak Sungai Batang Lingga di Batang Lupar, arus sungai yang tenang itu masih berkocak setiap kali tiba masanya.

Setiap bulan hari ketiga dan ke-18 kalendar Lunar Cina, tebing Batang Lupar menjadi tempat penduduk tempatan dan pelancong berhimpun untuk menyaksikan fenomena alam yang dikenali sebagai benak.

Fenomena alam yang mempamerkan keunikan arus kuat di Batang Lupar itu telah diangkat sebagai Pesta Benak. Hari ini, acara itu diiktiraf antara lima acara paling popular dalam kalendar pelancongan Sarawak.

Benak merupakan ombak sungai yang terhasil ketika air laut pasang dan menyebabkan pertembungan arus antara air laut dan sungai. Keadaan itu menyebabkan air sungai mengalir ke arah yang bertentangan iaitu ke bahagian hulu.

Dengan kelajuan 20 hingga 30 kilometer (km) sejam, benak yang bermula di lokasi pertamanya di Pulau Seduku, Batang Lupar itu boleh mencecah ketinggian sehingga enam meter.

Dari Pulau Seduku, benak akan berterusan sehingga 30km ke Engkelili iaitu kira-kira 70km dari Laut China Selatan.

Pengalaman menyaksikan benak pernah diabadikan oleh novelis Inggeris, Somerset Maugham dalam buku bertajuk, Borneo's Stories. Novel itu mengisahkan tragedi yang hampir meragut nyawa Maugham ketika perahu yang dinaikinya dirempuh benak pada tahun 1949.

Batang Lupar merupakan salah sebuah sungai di Sarawak. Batang dalam bahasa Iban bermakna sungai. Sungai Batang Lupar ini mengalir sejauh 200 km ke Teluk Datu di Laut China Selatan dari Bukit Kapuas.

Penggerak ekonomi

Batang Lupar merupakan sebuah kawasan Parlimen yang terletak kira-kira 170km ke timur Kuching.

Menceritakan lanjut mengenai Batang Lupar, seorang penduduk Pulau Suku, Lingga, Arip Abong, 38, memberitahu, Parlimen Batang Lupar terdiri daripada tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menurut Arip, tiga DUN itu ialah Sebuyau, Lingga dan Beting Maro.

Ia juga mempunyai tiga batang sungai utama iaitu Sungai Batang Sadong, Sungai Batang Saribas dan juga Sungai Batang Lupar.

IKAN terubuk Lingga dapat permintaan tinggi daripada pelancong luar negara.


Keluasan kawasan Batang Lupar adalah 2,024km persegi meliputi Kawasan Sebuyau seluas 582km persegi, Lingga (970 km persegi) dan Beting Maro (472km persegi).

"Penggerak utama ekonomi di kawasan Batang Lupar ialah sektor pertanian dan nelayan.

"Pendekatan yang agresif mampu meningkatkan pendapatan golongan nelayan, petani dan penternak di kawasan ini yang mempunyai keluasan melebihi negeri Perlis dan Melaka," katanya kepada Kosmo!.

Arip memberitahu, salah satu projek kerajaan yang berjaya dilaksanakan di Batang Lupar ialah projek agropolitan Pulau Seduku.

Sejak sekurun lalu, penduduk di Pulau Seduku yang terletak dekat muara Batang Lupar hanya bergantung hidup dengan hasil laut dan sungai selain menjadi pekebun kecil untuk menampung kehidupan harian.

Menurut Arip, usaha kerajaan memindahkan penduduk di pulau itu ke tanah besar merupakan inisiatif terbaik untuk mengatasi masalah bekalan elektrik dan air bersih.

"Dengan bantuan kerajaan negeri bersama kerajaan pusat, hasrat penduduk Pulau Seduku untuk membina kehidupan baharu yang lebih selesa kini menjadi kenyataan. Ini kerana mereka akan berpindah ke Penempatan Baharu Rakyat (PBR) Seduku," ujarnya.

Selain itu, Batang Lupar juga merupakan salah satu kawasan yang akan dijadikan sebagai jelapang padi baharu seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan Bajet 2013.

Jelapang padi di Batang Lupar juga telah disenaraikan sebagai Projek Penggerak Ekonomi (EPP) 11 dan akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat mengikut Fasa 1 dan Fasa 2.

Terubuk tempatan

Fasa Satu akan merangkumi kawasan seperti Bijat, Stumbin dan Entulang yang berkeluasan 2,817 hektar membabitkan kira-kira 5,000 petani, manakala Fasa Dua pula melibatkan kawasan seperti Lingga dan Banting.

Arip memberitahu, kawasan Batang Lupar khususnya di Lingga cukup terkenal dengan spesies ikan terubuk tempatan.

"Ikan terubuk Lingga mendapat permintaan yang tinggi terutamanya daripada pelancong kerana rasanya yang enak sekali gus menjadi faktor penarik kehadiran pelancong ke Pekan Lingga.

"Terubuk tempatan di pekan Lingga mampu sehingga RM40 hingga RM60 bagi sekilogram atau lebih," kata Arip sambil menambah Lingga bakal menjadi pengeluar ikan terubuk terbesar di negeri ini.

Sebuah Pusat Penyelidikan Ikan Terubuk yang pertama di Sarawak sedang dibina di Pekan Lingga. Pekan kecil Lingga yang terletak di pinggir Batang Lupar mempunyai keluasan 945km persegi dan terletak 50km dari Bandar Sri Aman.

Gadai emas kerana tekanan kos sara hidup

Posted:

Gadai emas kerana tekanan kos sara hidup

Gadai emas kerana tekanan kos sara hidup


SELAIN emas, perkembangan industri pajak gadai menyebabkan beberapa jenis kedai pajak gadai lain diperkenalkan di Singapura contohnya berlian dan jam antik.


SURI RUMAH warga Singapura Siti Khadijah Abdul Rahman mempunyai beberapa barangan kemas yang bernilai ribuan dolar, namun peningkatan kos sara hidup menyebabkan dia tidak mempunyai pilihan lain kecuali menggadaikannya.

Terbeban dengan perbelanjaan isi rumah termasuk persekolahan kedua-dua anak remajanya, pajak gadai merupakan alternatif terbaik dalam meredakan beban kewangan wanita berusia 49 tahun itu.

Suaminya, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan mempunyai pendapatan sekitar S$1,500 (RM3,737) sebulan.

"Sekiranya berdepan masalah kewangan lebih baik meminjam di pajak gadai daripada kawan-kawan atau saudara-mara," kata Siti Khadijah.

"Jika mempunyai wang, saya akan menebus semula barang-barang kemas berkenaan."

Dia merupakan salah seorang daripada ribuan rakyat di negara itu yang terpaksa meminjam melalui skim pajak gadai ekoran kenaikan kos sara hidup di negara itu.

Laporan Unit Perisikan Ekonomi baru-baru ini turut menyatakan Singapura kini berada di tangga keenam sebagai negara yang mempunyai kos sara hidup tertinggi di dunia.

Pendapatan isi rumah

Menurut data dikeluarkan pendaftar industri, jumlah pinjaman pada tahun ini meningkat sebanyak 43 peratus, berbanding S$7.1 bilion (RM17.4 bilion) pada 2012.

Berdasarkan populasinya, Singapura melahirkan ramai jutawan tetapi pendapatan isi rumah yang melebihi S$65,000 (RM160,000) di negara itu pada 2012 mewujudkan jurang besar antara golongan kaya dan miskin.

Tiga buah rangkaian perniagaan pajak gadai terbesar di negara itu yang merangkumi hampir 200 cawangan kini menjadi tumpuan peminjam yang menggunakan barangan peribadi mereka sebagai cagaran untuk mendapatkan pinjaman jangka pendek.

"Kamu lihatlah di sekeliling, tidak hairanlah mengapa Singapura antara negara yang mempunyai kos sara hidup tertinggi di dunia," kata Derek Da Cunha, seorang pemerhati sosio politik tempatan.

"Berbanding sebelum ini, perkhidmatan pajak gadai menjadi semakin penting termasuk dalam kalangan profesional untuk mendapat pinjaman jangka pendek bagi menampung keperluan mereka."

Menurut perangkaan jabatan statistik, keluarga seperti Siti Khadijah yang mempunyai pendapatan isi rumah di bawah 10 peratus terpaksa berhadapan dengan penurunan 1.2 peratus dalam pendapatan per kapita mereka mengikut kadar inflasi pada tahun lalu.

Kos penjagaan perubatan juga meningkat sebanyak 3.9 peratus pada 2012 mengikut data yang dikeluarkan kerajaan.

Persatuan pengguna berkata purata harga bagi semangkuk mi berserta bebola ikan, kini 20 peratus lebih tinggi berbanding tahun lalu iaitu S$3 (RM7.50).


MONEY MAX merupakan salah sebuah rangkaian syarikat pajak gadai popular di Singapura.


Harga bahan-bahan asas seperti beras, daging, sayur-sayuran dan produk tenusu juga meningkat mendadak.

Sementara itu, flat-flat awam di kawasan tertentu juga meningkat kepada lebih S$1 juta (RM2.5 juta), manakala pemilik kenderaan juga terbeban dengan cukai tinggi dan sistem kuota kenderaan yang dilaksanakan.

Barangan kemas yang digadai akan dinilai oleh pakar-pakar emas dengan peminjam lazimnya akan dikenakan kadar satu peratus pada bulan pertama dan 1.5 peratus pada bulan berikutnya.

Barangan itu mesti ditebus dalam tempoh enam bulan atau ia tidak boleh ditebus kembali kecuali peminjam memperbaharui perjanjian mereka dengan pajak gadai.

Seorang peminjam yang enggan dikenali berkata, pajak gadai merupakan alternatif terbaik untuk mendapatkan pinjaman jangka pendek berbanding bank yang memerlukan kertas kerja dan tidak semestinya mendapat kelulusan segera.

"Bagi generasi lama, jika kamu menyimpan barangan kemas, lebih baik meminjam daripada pajak gadai," kata pekerja kilang itu yang memperbaharui pinjamannya dengan kedai pajak gadai berhampiran rumahnya setiap enam bulan sekali.

Rangkaian pajak gadai Valuemax dan pesaingnya MoneyMax juga semakin meningkat sekali gus menyaksikan kedua-duanya terpaksa bersaing sengit dengan Maxi-Cash yang menawarkan pinjaman awam sebanyak S$16.8 juta (RM40.6 juta) walaupun dalam keadaan pasaran yang lemah.

Premis-premis pajak gadai juga telah berubah wajah tanpa jeriji besi yang lazim dilihat sebelum ini di samping pemakaian uniform pekerja yang memberi imej seolah-olah sebuah cawangan bank komersial.

Perubahan itu menyaksikan premis pajak gadai turut dikunjungi golongan muda dan mewah yang kini menjadi faktor utama dalam mempopularkan kembali industri ini selain publisiti meluas dalam kalangan selebriti tempatan.

Kedai pajak berlian

Di samping emas, terdapat juga premis pajak gadai bagi berlian, barangan antik dan jam tangan antik.

Pihak berkuasa di negara itu memberitahu, peningkatan mendadak industri tersebut kini sedang dipantau termasuk kemungkinan kewujudan pinjaman mudah untuk kaki judi di negara yang mempunyai pasaran perjudian ketiga terbesar di dunia di belakang Macau dan Las Vegas.

April lalu, Kementerian Undang-Undang telah diminta untuk mendapatkan maklum balas orang ramai berhubung cadangan pindaan kepada undang-undang pajak gadai untuk mengukuhkan tadbir urus industri itu.

Bagi Da Cunha, beliau tidak percaya kerajaan akan mengambil sebarang langkah-langkah drastik bagi mengawal industri itu.

"Premis pajak gadai sememangnya sudah tertanam dalam jiwa masyarakat Singapura. Perkhidmatan yang ditawarkan jauh lebih baik daripada jika mereka meminjam daripada peminjam haram tanpa lesen," katanya. - Reuters

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Komuniti Kita

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Komuniti Kita


400 murid sertai bengkel cemerlang UPSR

Posted:

400 murid sertai bengkel cemerlang UPSR

400 murid sertai bengkel cemerlang UPSR

SEBAHAGIAN peserta bengkel kecemerlangan UPSR ceria selepas menerima sumbangan beg daripada JDDPs di Perlis baru-baru ini.


BENGKEL. Seramai 400 murid daripada 10 buah sekolah rendah seluruh Perlis terpilih untuk menyertai program kecemerlangan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2013 bagi meningkatkan pencapaian masing-masing.

Program anjuran Jemaah Dato'-Dato' Perlis (JDDPs) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Perlis itu melibatkan program kelas tambahan yang bermula April hingga September 2013.

Program di Sekolah Kebangsaan Panggas, Padang Besar itu dirasmikan oleh Setiausaha JDDPs, Datuk Hamzah Abdullah. Turut hadir ialah, Pemangku Pendaftar UniMAP, Zuber Mohamed dan Pegawai Pemantau Jabatan Pelajaran Perlis, Mohd. Afandy Ibrahim.

Sahoca juara Futsal SBP84

Posted:

Sahoca juara Futsal SBP84

Sahoca juara Futsal SBP84


PASUKAN Sahoca bersama piala Pertandingan Futsal SBP84 di Petaling Jaya baru-baru ini.


JUARA. Pasukan Sahoca daripada Kolej Sultan Abdul Hamid menjuarai Pertandingan Futsal SBP84 kali kelima yang dianjurkan oleh alumni sekolah berasrama penuh (SBP) dari seluruh negara di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Kemenangan tersebut merupakan kali ketiga yang diraih secara berturut-turut oleh pasukan itu sejak mula menjuarai SBP84 pada tahun 2011.

Kira-kira 150 alumni SBP daripada 12 pasukan menyertai pertandingan itu.

Menurut wakil penganjur, Mohamad Norzal Ghazali, 46, pertandingan itu dianjurkan bagi menghubungkan kembali bekas pelajar SBP yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun 1984.

941 orang terima elaun sara hidup nelayan

Posted:

941 orang terima elaun sara hidup nelayan

941 orang terima elaun sara hidup nelayan


TAJUL URUS (tiga dari kiri) menyampaikan bantuan elaun sara hidup nelayan kepada salah seorang penerima di Sungai Petani baru-baru ini.


BANTUAN. Seramai 941 ahli Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Tanjung Dawai dan Pantai Merdeka menerima bantuan elaun sara hidup nelayan di Kelab Cinta Sayang Sungai Petani, Kedah baru-baru ini.

Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Kedah, Mohamad Noor Had berkata, sejumlah RM148,600 diperuntukkan bagi tujuan itu dan setiap nelayan menerima bantuan sebanyak RM200.

"Bantuan ini menunjukkan kerajaan ambil berat mengenai masalah nelayan di negara kita," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Dawai, Datuk Tajul Urus Mat Zain yang menyempurnakan penyampaian bantuan itu berkata, kehidupan nelayan pasti bertambah baik jika mereka terus menyokong usaha yang dilakukan oleh kerajaan.

Kredit: www.kosmo.com.my
 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved